Artikel "Utama" Terkini
Terengganu Sedia Laksana Hudud, Tunggu Isyarat Persekutuan
KUALA TERENGGANU, 15 September – Terengganu bersedia melaksanakan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud Dan Qisas) 2002 sebaik sahaja cadangan dua Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU355 mendapat kelulusan di peringkat Persekutuan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, sebahagian Rang Enakmen hasil pimpinan kerajaan PAS terdahulu telah berjalan mengikut bidang kuasa sedia ada seperti menguatkuasakan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001.
“Kita sedia maklum empat undang-undang yang sekarang diselia di peringkat persekutuan.
“Pelaksanaan ini akan melibatkan kadar populasi 96 peratus Melayu Islam tanpa berkait dengan mereka yang bukan Islam, ini kerana ia merupakan satu ibadah dan tuntutan buat seorang muslim.
“Buat masa kini kita memaksimakan penggunaan peruntukan 356 iaitu maksimum tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam sebatan seperti termaktub di dalam Akta 355,” katanya ketika sidang media selepas Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-14, hari ini.
Tambahnya, penerangan menerusi bengkel dan sesi dialog sedang giat dijalankan melibatkan pelbagai jabatan penguatkuasaan, pendakwaan dan hakim mahkamah Syariah.
“Kita bergerak secara berperingkat dan tahun hadapan pihak kami akan mempertingkatkan pelaksanaan di bawah bidang kuasa bagi memberi pendidikan dan penjelasan buat masyarakat.
“Insya-Allah Terengganu akan menjadi negeri pertama yang melaksanakan hudud mengikut peruntukkan yang diizinkan dan proses ini sentiasa diteliti bagi mengelakkan konflik dengan undang-undang sivil di peringkat persekutuan,” katanya lagi.
Jelasnya lagi, Terengganu juga sedang menaiktaraf infrastruktur seperti mahkamah Syariah kepada empat lapisan serta kaedah-kaedah teknikal sedang dikemaskini.
Terbaharu, cadangan dua RUU355 dan RUU Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam sudah bersedia untuk dibawa ke perundingan bersama negeri-negeri pada bulan hadapan menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary.
Untuk rekod, RUU 355 bertujuan meningkatkan bidang kuasa menghukum mahkamah syariah bagi kesalahan jenayah syariah tanpa membabitkan masyarakat bukan Islam, namun ia hanya di peringkat mengemukakan usul tanpa perbahasan.
15 Sep 21
2734
Kerajaan Negeri Cadang Bina Perumahan Bercampur Di Pulau Perhentian
KUALA TERENGGANU, 15 September - Kerajaan negeri bersedia melaksanakan pembangunan perumahan bercampur secara penswastaan hibrid di Pulau Perhentian.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, pihaknya kini dalam proses menyediakan kertas kerja permohonan cadangan pembangunan.
"Dua tapak telah dicadangkan iaitu Pasir Hantu, Pulau Perhentian Kecil yang memerlukan kerja-kerja pembaikan carun yang menelan kos sebanyak RM21 juta.
"Yang kedua adalah Teluk Dalam, Pulau Perhentian Besar yang merupakan kawasan berhutan tebal dan memerlukan kerja-kerja pembersihan tapak serta terpaksa melalui Arwana Resort untuk ke tapak," ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman di Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-14, di sini, semalam.
15 Sep 21
691
Sidang DUN : Seminar 'Mental Health Advocater' Secara Atas Talian Oktober Ini
KUALA TERENGGANU, 15 September - Kerajaan negeri menerusi Badan Bukan Kerajaan(NGO) akan bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan(KBS) melalui Bahagian Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBSNT) dalam melaksanakan Seminar Mental Health Advocater secara atas talian pada Oktober ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata program tersebut mampu mencetuskan perkembangan positif selain mencerminkan tahap keprihatinan yang tinggi terhadap isu kesihatan berkenaan.
"Kita sedia maklum bahawa masalah mental antara isu serius yang dihadapi masyarakat ketika pandemik COVID-19.
"Oleh sebab itu, program kesedaran mengenai kesihatan mental perlu dititip dalam kalangan komuniti terutama belia bagi memperkasa keutuhan mental mereka untuk berhadapan dengan cabaran semasa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-14 di sini, hari ini.
Dalam masa yang sama, beliau berharap seminar sebegini dapat menjadi platform kepada belia berkongsi masalah, mendapatkan kaunseling tentang cara dan bagaimana menguruskannya mengikut saluran yang tepat.
15 Sep 21
99
Sidang DUN : Optimumkan Penglibatan Komuniti Setempat Dalam Industri Pelancongan
KUALA TERENGGANU, 15 September - Kerajaan negeri bersedia melibatkan komuniti setempat dalam memajukan industri pelancongan di Terengganu secara optimum.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, antara langkah yang telah diambil ialah mengalakkan penyertaan komuniti setempat bagi menggerakkan program pelancongan berasaskan komuniti (CBT).
"Kita tawarkan pakej pelancongan CBT yang kreatif dan mampu menarik pengunjung dalam melahirkan komuniti yang berfikir dan bertindak ke arah pelancongan.
"Langkah ini berjaya memberi pulangan secara langsung kepada komuniti setempat termasuk berjaya mengenalpasti produk-produk CBT yang berpotensi untuk diketengahkan," ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Rantau Abang, Alias Harun di Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-14, di sini, hari ini.
Tambahnya, antara contoh CBT yang berjaya adalah Dataran Batu Putih, Kalang Warisan dan Merchang di daerah Marang.
15 Sep 21
73
Sidang DUN : Sedia Perkasakan 'Sport Tourism' Sebagai Sub Pelancongan Negeri
KUALA TERENGGANU, 15 September - Terengganu sedia memperkasakan 'Sport Tourism' sebagai salah satu sub pelancongan yang mampu menarik pelancong ke negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman, berkata, 'sport tourism' berupaya menjadi produk menarik kumpulan tertentu seperti peminat memancing, menyelam dan lain-lain lagi.
"Selain itu, kita juga mempromosikan aktiviti ini melalui penganjuran acara seperti Perhentian Island Challenge, Terengganu Surfing, Terengganu Paragliding dan Larian Jambatan Sultan Mahmud bagi menarik pelancong," ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman di Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-14, di sini, hari ini.
Tambahnya, ia termasuk bekerjasama dan berkolaborasi dengan badan sukan yang terkenal di peringkat antarabangsa dan dunia seperti Terengganu Cycling Team (TSG).
Dalam masa yang sama, Ariffin juga berkata, perancangan tersebut terpaksa ditangguh akibat pandemik COVID-19 buat sementara waktu.
"Program-program ini akan kembali diadakan seperti biasa setelah wabak ini dapat diatasi," ujar beliau.
15 Sep 21
290
Sidang DUN : Kerjasama Pelbagai Pihak Tangani Kenaikan Harga Makanan Ternakan
KUALA TERENGGANU, 14 September - Kerajaan negeri telah bekerjasama dengan beberapa agensi dan persatuan bagi menangani isu kenaikan harga makanan ternakan di Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan pengusaha kilang makanan ternakan (pellet), Koperasi Peserta-peserta Felcra Malaysia Berhad (KPFB) di Gong Badak dan wakil persatuan Ternakan Ruminan negeri.
"Kerjasama ini diadakan bagi memastikan harga makanan ternakan dalam negeri terkawal dan harga yang lebih berpatutan berbanding sumber dari luar negeri.
"Kita juga telah meminta agar persatuan tersebut memainkan peranan dalam mempromosikan makanan keluaran tempatan dengan harga yang lebih berpatutan kepada ahli-ahlinya dan penternak yang lain," ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Rantau Abang, Alias Harun di Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-14, di sini, hari ini.
Tambah Dr Azman lagi, penternak-penternak juga digalakkan menumpukan kepada penggunaan makanan hijau sebagai makanan utama ternakan bagi mengurangkan kos makanan melalui pembangunan tanah Rizab Padang Ragut.
14 Sep 21
491
Sidang DUN : Tiga Menara Baharu Di Air Putih Dalam Pembinaan
KUALA TERENGGANU, 14 September - Sebanyak tiga menara baru sedang dan akan dibina di Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih di bawah program Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, ia bagi mengatasi masalah di kawasan tersebut yang mengalami capaian internet lemah.
"Sebanyak 44 menara sedia ada dalam proses naiktaraf kepada liputan 3G dan sebanyak 2,583 premis sedang dinaiktaraf kepada gentian fiber optik talian tetap sehingga tahun 2022.
"Daripada jumlah itu, satu menara telah siap dibina, 25 menara sedia ada telah dinaiktaraf kepada liputan 4G dan sebanyak 2,350 premis boleh menikmati liputan jalur lebar tetap," ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Air Putih, Ab Razak Ibrahim di Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-14, di sini, hari ini.
Sementara itu, satu menara sedang dibina di Kampung Perasing dan menara sedia ada di Felda Neram sedang dinaiktaraf.
Kerajaan negeri melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga sedang merancang untuk menyediakan liputan talian tetap UNIFI kepada penduduk pada masa akan datang.
14 Sep 21
782
Varian Delta Di Terengganu Bertambah, Tujuh Daerah Berisiko
KUALA TERENGGANU, 13 September – Jangkitan COVID-19 melibatkan varian delta di Terengganu meningkat kepada 12 kes, manakala varian beta sembilan kes, lapor Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT).
Menerusi kenyataan di Facebook rasminya, ia menjadikan jumlah keseluruhan melonjak kepada 21 kes varian membimbangkan (VOC) sejak ia mula dikesan akhir Julai lalu.
Katanya, daerah Hulu Terengganu merekodkan kes tertinggi dengan lima kes VOC diikuti Kuala Terengganu dan Besut (empat kes), Marang (tiga kes), Dungun dan Kemaman (dua kes) serta satu di Setiu.
“Kemungkinan besar varian berkenaan sudah pun menular dengan meluas dalam komuniti di semua daerah dengan sekurang-kurangnya satu jenis VOC dilaporkan di seluruh negeri kecuali daerah Kuala Nerus.
“Fakta ini penting dan perlu diambil serius oleh setiap rakyat Terengganu kerana kadar kebolehjangkitannya yang tinggi dan sifatnya yang sentiasa berubah-ubah.
“Susulan itu, JKNT juga akan terus memantapkan aktiviti kawalan seperti memperbanyakkan ujian saringan COVID-19, melakukan pengesanan kontak rapat dan pengasingan kes serta langkah kesihatan awam lain bagi membendung penularan varian ini dalam komuniti,” jelasnya.
Menurutnya lagi, individu yang telah divaksin juga diingatkan agar terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti mengekalkan pemakaian topeng pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.
“Orang ramai juga perlu mengelakkan diri dari berada di tempat yang sempit dan sesak dan sentiasa menjaga kebersihan diri dan tangan. Mencegah lebih baik dari merawat perlu sentiasa dalam ingatan,” katanya lagi.
13 Sep 21
11927
Exco Terengganu Positif Covid-19
KUALA TERENGGANU, 13 September - Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro Dan Hal Ehwal Pengguna negeri Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman dilaporkan positif Covid-19, dan kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, (HSNZ), di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Terengganu, Dr Alias Razak berkata, Mohd Nurkhuzaini yang juga ADUN Kota Putera disahkan positif selepas menjadi kontak rapat kepada pesakit COVID-19.
"Beliau disahkan positif dan dimasukkan ke hospital sebelum kita mewajibkan semua ADUN membuat ujian saringan Covid-19 pada 9 September lalu.
"Saya tidak dapat nak beri penjelasan secara terperinci tetapi difahamkan beliau kini stabil dan hanya menunggu masa untuk keluar daripada hospital," katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-14 di sini, hari ini.
Menurut Dr Alias, melalui ujian saringan Covid-19 sebagai persiapan menghadiri Persidangan DUN pada 9 September lalu, semua ADUN selain Mohd Nurkhuzaini adalah negatif.
"Untuk ujian saringan COVID-19 tidak ada ADUN yang disahkan positif COVID-19," katanya.
13 Sep 21
1784
100 Guru Tolak Vaksin Sedang Dipujuk
KUALA TERENGGANU, 13 September - Kira-kira 100 guru yang menolak pemberian vaksin di negeri ini dinasihatkan untuk segera mengambil vaksin sebelum persekolahan dibuka awal Oktober ini.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata dari jumlah tersebut, ada yang masih belum menerima vaksin atas sebab kesihatan yang dinasihatkan oleh doktor dan sebahagiannya merupakan antivaksin.
Katanya, setakat ini, Jabatan Pendidikan negeri telah memainkan peranan untuk memujuk guru-guru tersebut untuk menerima suntikan vaksin tersebut secepat mungkin.
"Ada sebahagiannya telah akur mengambil suntikan vaksin namun masih ada yang 'hardcore' (tegar) dan menolak pengambilannya.
"Demi kebaikan bersama, saya menyeru guru-guru ini agar segera mendapatkan vaksin kerana tindakan mereka akan menyusahkan diri sendiri dalam banyak perkara," ujarnya selepas Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-14 di sini, hari ini.
Ahmad Samsuri berkata, mereka perlu pertimbangkan maslahah dan kebaikan bersama untuk semua pihak termasuk anak-anak murid dan keluarga bagi mengelak penularan wabak pandemik di sekolah apabila dibuka nanti.
Terdahulu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata pihaknya sedang berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi melihat tindakan selanjutnya kepada 2,500 guru di seluruh negara yang enggan mengambil vaksin.
Beliau berkata, buat masa ini, guru-guru yang tidak divaksin tidak dibenarkan untuk mengajar secara bersemuka di dalam kelas.
Sementara itu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) turut menyokong langkah Kementerian Pendidikan (KPM) yang memutuskan supaya guru yang enggan terima vaksin dilarang mengajar secara bersemuka apabila sekolah dibuka 3 Oktober nanti.
13 Sep 21
1321