Artikel "Utama" Terkini
KPDNHEP Kesan 34 Kes Jual Kit Ujian Kendiri Covid-19 Mahal
HULU TERENGGANU, 18 September - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merekodkan 34 kes peniaga dan pengusaha farmasi yang menjual kit ujian kendiri COVID-19 melebihi harga ditetapkan bagi tempoh 5 September lalu sehingga kelmarin.
Timbalan Menterinya, Dato' Rosol Wahid berkata pihaknya melakukan pemeriksaan terhadap lebih 1,800 premis membabitkan sektor pengedaran, pemborong dan peruncitan di seluruh negeri selepas diberi tempoh seminggu untuk penyelarasan harga dari tempoh kuat kuasa harga siling kit ujian kendiri.
" Daripada pemeriksaan tersebut, terdapat 34 kes menjual melebihi harga kawalan, satu kes telah dikenakan kompaun sebanyak RM250 manakala 185 menjual di bawah harga kawalan.
"Selebihnya iaitu 1,552 menjual mengikut harga kawalan dan didapati kadar pematuhan kawalan harga mencapai tahap tertinggi,"ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin Di Akademi Binaan Malaysia Jenagor di sini, hari ini.
Sementara itu, seramai 1,800 penduduk sekitar menerima suntikan kedua dalam program vaksinasi tersebut.
Tambahnya lagi, konsep penguatkuasaan harga maksimum itu adalah sebagai penanda aras atau harga siling agar peniaga tidak menjual melebihi harga siling yang ditetapkan.
Untuk rekod, KPDNHEP menetapkan harga runcit maksimum bagi setiap set kit ujian kendiri COVID-19 pada harga RM19.90 manakala harga borong pula ditetapkan RM16 bermula 5 September lepas.
18 Sep 21
392
Q'Fish Bakal Stabilkan Harga Ikan Di Pasaran
HULU TERENGGANU, 18 September - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk mengeluarkan stok ikan sejuk beku Q'Fish di pasaran bagi menstabilkan harga ikan di pasaran.
Timbalan Menteri, Dato' Rosol Wahid berkata, penjualan ikan Q'Fish adalah alternatif kepada orang ramai yang berdepan dengan peningkatan harga ikan.
Katanya, Q'Fish membantu menstabilkan harga ikan dan mengurangkan impak peningkatan kos sara hidup pengguna ketika berhadapan dengan wabak pandemik COVID-19 ketika ini.
"Kita dapat aduan dalam Facebook, dari pegawai dan secara terus kepada saya mengenai kenaikan ini, ikan selar dijual RM16 sekilogram manakala ikan kembung pula hingga RM22 sekilogram....oleh itu ikan Q'Fish akan menjadi alternatif kepada pengguna.
“Ikan Q'Fish tak sama dengan ikan kotak.Ia masih segar dari laut dan dibekukan segera malah sangat berbaloi dengan harga yang ditawarkan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin Di Akademi Binaan Malaysia Jenagor di sini, hari ini.
Justeru itu katanya, orang ramai disarankan meningkatkan penerimaan dan kesedaran terhadap pengunaan Q'Fish sebagai pilihan kedua selain ikan segar di pasaran.
Q'Fish ialah ikan segar beku berkualiti dikeluarkan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang dijual dengan harga murah kepada pengguna.
Produk ini bersifat tahan lama, menawarkan kadar harga yang berpatutan serta tidak bergantung pada faktor cuaca atau musim.
18 Sep 21
555
141 Pasukan Polis Pantau 'Hotspot' Pelancongan
KUALA NERUS, 17 September – Polis Terengganu menggerakkan 141 pasukan pemantau bagi memastikan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) di kawasan ‘hotspot’ pelancongan dipatuhi.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, pihaknya memberi tumpuan dalam sektor tersebut memandangkan negeri ini telah beralih kepada fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) hari ini.
“Semua Polis daerah-daerah telah diarahkan untuk membuat penugasan di pulau dan pusat peranginan, ini termasuk di Kuala Terengganu seperti Pantai Batu Buruk dan Teluk Ketapang juga menyaksikan aktiviti masyarakat luar biasa.
“Contohnya seperti di Pulau Redang, kita mengarahkan 21 orang penguatkuasa memantau kawasan pantai, restoran dan kafe dari segi susun atur meja dan kedudukan supaya tidak sesak dengan pengunjung tempatan.
“Pada hujung minggu juga kita akan beroperasi lebih kerap dan mengerahkan anggota bantuan daripada ‘mainland’ datang ke sini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas program perjumpaan bersama pengusaha pelancongan Pulau Redang di Balai Redang hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato' Yahaya Ali dan Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Fadli Yusof Zakaria.
Dalam pada itu, Rohaimi turut menyeru kerjasama pengusaha pelancongan seperti di resort dan chalet dalam memastikan SOP wajib dipatuhi seperti lengkap dua dos vaksin melebihi tempoh 14 hari.
“Jika tinjauan harian tidak dapat menampung, oleh itu, dialog bersama para pengusaha seperti hari ini penting dalam memberi kefahaman, kerjasama dan tanggungjawab kepada mereka untuk menjaga sektor ini.
“Agensi penguatkuasa tempatan juga akan turut sertai dalam usaha mengekang penularan COVID-19 di kalangan pengunjung,” katanya lagi.
17 Sep 21
923
Terengganu Kembali Hantar Pelajar Ke Luar Negara
KUALA NERUS, 17 September – Setelah mengharungi pandemik COVID-19, sektor pendidikan luar negara Terengganu kembali rancak dengan pelepasan 29 pelajar ke Kaherah Mesir bagi menyambung pengajian berbentuk fizikal, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, para pelajar berkelulusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2019 itu telah mengikuti pembelajaran atas talian dan mengikuti persiapan bahasa sejak tahun lepas.
“Walaupun suasana COVID-19 telah reda hasil program imunisasi, namun Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan masih dipatuhi dengan kesemua pelajar divaksin penuh dan melalui ujian reaksi rantai polimerase (PCR) sebelum berangkat.
“Apabila mereka tiba di Kaherah, pegawai pengiring dan Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir (KPT) turut bersama dalam melicinkan kerja pendaftaran dan sebagainya.
“Terima kasih juga kepada Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT) dan NGO Al-Azhar Care yang turut serta dalam usaha menghantar kembali anak Terengganu kita menyambung pelajaran dalam pengajian Islam, Usuluddin dan lain-lain lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelepasan Pelajar Ke Republik Arab Mesir di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, petang semalam.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, YB Ustaz Maliaman Kassim, Presiden Al Azhar Care, Alif Mahari dan Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM) Ridhuan Mahmud.
Menurut Satiful lagi, dalam masa terdekat, Terengganu juga akan menghantar kira-kira 60 orang bagi menyambung pelajaran ke Jordan di bawah seliaan Yayasan Terengganu dan persendirian.
Seorang pelajar yang bakal menjalani bidang Usuluddin, Ahmad Syahmi Mohd Azzam menjelaskan, perasaannya berdebar namun teruja kerana pertama kali dapat menimba ilmu di luar negara.
“Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk mempelajari pelbagai perkara dan pengalaman baharu di Universiti Al-Azhar akan datang.
“Insya-Allah sebagai anak pertama ke Mesir, matlamat saya adalah belajar bersungguh-sungguh dan kekalkan niat itu dalam mencapai cita-cita memberi khidmat kepada masyarakat sebagai seorang pengajar,” jelasnya yang juga anak kedua daripada lima beradik.
Syahmi turut berterima kasih kepada keluarganya serta kerajaan negeri dan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Ajil, atas segala sumbangan dan bantuan kewangan dan akan membalas jasa dengan berbakti kepada komuniti.
16 Sep 21
1099
Jejak Veteran Melalui Kayuhan Hari Malaysia
HULU TERENGGANU, 16 September- Program berbasikal sempena sambutan Hari Malaysia berlangsung dengan penyertaan kira-kira 60 peserta di Dewan Undangan Negeri (DUN)Ajil.
ADUN Ajil, Maliaman Kassim, berkata pihaknya mengajak komuniti enam buah kampung untuk bersama-sama menyemarakkan lagi sambutan ini termasuk aktiviti ziarah veteran anggota keselamatan yang uzur.
“Objektif utama program kayuhan ini untuk membangkitkan semangat cintakan negara terutama golongan remaja dan mengenal mereka yang pernah berjuang sehingga ada yang cedera parah semasa bertugas.
“Ia juga dapat mengeratkan hubungan masyarakat serta mewujudkan semangat kesukanan dalam kalangan anak muda, selain melahirkan masyarakat yang sihat dan cergas,” katanya.
Kayuhan seawal jam 7.30 pagi itu singgah di lima buah rumah veteran Angkatan Tentera dan Polis berakhir di Dataran Felda Bukit Bading.
Perjalanan kayuhan sejauh 12 kilometer jarak perjalanan yang memakan masa kira kira dua jam dari Dataran Masjid Durian Kassim berakhir di Dataran Felda Bukit Bading.
Sementara itu, Pesara Polis, Lokman Deraman, 61, berkata selain memeriahkan lagi sambutan Hari Malaysia, penganjuran acara berbasikal itu diharap dapat memberi keinsafan kepada masyarakat supaya mengenang cabaran anggota keselamatan dalam menjaga bumi berdaulat ini sehingga ada yang terkorban.
“Tidak ramai golongan remaja meraikan Hari Malaysia dengan mengibarkan Jalur Gemilang.
“Saya berharap kayuhan ini secara tidak langsung menyuntik kembali semangat mereka dalam meluahkan semangat cintakan negara dan memahami erti kemerdekaan sebenar,” katanya.
16 Sep 21
216
Sidang DUN : Jawatankuasa Khas Kurangkan Kadar Pengangguran
Kerajaan Terengganu menerusi Urus Setia Pekerjaan negeri terus giat mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan di negeri ini bagi mengurangkan kadar pengangguran yang berlaku terutamanya dalam tempoh dua tahun ini ekoran pandemik Covid-19.
16 Sep 21
87
Fesyen Berbilang Kaum Empat Beradik Warnai Hari Malaysia 2021
KUALA TERENGGANU, 15 September - Fesyen kepelbagaian kaum menjadi tema pakaian buat empat adik beradik sempena menyambut Hari Malaysia 2021 dengan konsep Keluarga Malaysia.
Tuan Aqeel Aysar Safuan, 11, (kiri) dan kembarnya Tuan Aqeef Aysar, 11, (kanan) serta dua adik mereka Damia Aysarah Khalieesya, 8, dan Mia Aysarah Ayuni, 6, menyemarakkan lagi sambutan Hari Malaysia ke-58 dengan mengibarkan Jalur Gemilang di Kuala Ibai.
Ibu mereka, Tuan Syazwiain Tuan Zaharahim Nazri, 31, berkata, walaupun mengharungi situasi norma baharu, ia bukan penghalang buat mereka untuk mempamerkan semangat cinta akan negara menerusi keunikan fesyen.
“Pakaian ini direka dengan campuran tema bangsa Melayu untuk lelaki dan perempuan berpakaian kebaya, kain batik serta anak bongsu berpakaian cheongsam menunjukkan kepelbagaian kaum di Malaysia.
“Setiap tahun kami membuat persiapan untuk hari kemerdekaan dengan pelbagai fesyen kebangsaan berlainan.
“Tema 'Malaysia Prihatin' masih menjadi sebahagian daripada sambutan Hari Malaysia 2021 bagi mengingatkan rakyat pengorbanan yang dilalui dalam proses pembangunan negara serta kebanggaan menjadi anak Malaysia,” katanya ketika ditemubual media hari ini.
16 Sep 21
1726
Tasik Kenyir Catat 4,582 Pengunjung Dalam Tempoh 15 Hari
KUALA TERENGGANU, 16 September – Tasik Kenyir kembali menikmati perkembangan positif dengan mencatat kehadiran seramai 4,582 pengunjung dalam tempoh 15 hari selepas dibuka kepada orang ramai sejak 1 September lalu.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Senator Dato' Razali Idris berkata, peningkatan jumlah itu dicapai walaupun prosedur operasi standard (SOP) ketat yang memerlukan pengunjung tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Katanya, beliau menjangkakan akan berlaku peningkatan dari semasa ke semasa dan memberi impak positif kepada ekonomi penggiat pelancongan di sana.
"Pengusaha rumah bot dan bot laju turut menawarkan pakej istimewa dan potongan harga antara 5 hingga 15 peratus bergantung kepada jumlah hari tempahan, hujung minggu atau hari biasa kepada pengunjung orang kurang upaya (OKU), warga emas dan pelajar.
“Mereka juga menerima banyak tempahan sepanjang bulan September dan Oktober,” katanya kepada pemberita.
Razali berkata tidak semua produk pelancongan di pulau itu dibuka kepada pelancong berikutan Terengganu masih berada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Bagaimanapun katanya, suasana dijangka lebih meriah selepas Terengganu beralih kepada Fasa 3 PPN bermula Jumaat.
"Apabila dibuka sepenuhnya, ia akan memberi memberi peluang kepada penggiat ekonomi pelancongan untuk kembali 'bernafas' dan menghidupkan kembali ekonomi mereka,"ujarnya.
Dalam masa yang sama, Razali berharap semua penggiat pelancongan Tasik Kenyir kekal patuh kepada SOP dan begitu juga kepada pelancong yang bercuti di sana.
16 Sep 21
624
'Nak Berjaya, Kita Kena Tolong Orang'
KUALA TERENGGANU, 14 September – “Kalau kita inginkan sesuatu, kita kena tolong orang," begitulah antara rahsia seorang pelajar cemerlang Che Ku Muhammad Burhamikhail Che Ku Adnan dalam memperoleh kejayaan dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2020 dan tajaan pendidikan daripada PETRONAS.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Kuala Terengganu yang turut memperolehi keputusan 8A 1B+ itu berpegang kepada pesanan Nabi Muhammad SAW yang menyebut Allah akan bantu kita selagi mana kita membantu orang lain.
“Saya seronok melihat rakan-rakan gembira, justeru saya tidak pernah menolak apabila mana-mana rakan yang meminta pertolongan dari saya,” kata anak kepada seorang buruh binaan itu.
Apabila ditanya apakah rahsia kejayaannya, Mikhail percaya masa yang berkualiti lebih penting berbanding dengan kuantiti masa yang diperuntukan dalam mengulangkaji pelajaran.
“Oleh itu, saya memperuntukkan masa dinihari untuk menelaah selain melazimkan ibadah qiamullail 30 minit sebelum masuk waktu subuh,” katanya lagi ketika ditemubual pemberita.
Hasilnya, Mikhail melayakkannya diri melanjutkan pengajian ke Universiti Teknologi PETRONAS di dalam jurusan Sains Komputer.
Lebih membanggakan apabila kos lima tahun pengajian Mikhail bakal dibiayai sepenuhnya oleh syarikat petroleum negara itu selepas berjaya melepasi ujian kelayakan Program Penajaan Pendidikan PETRONAS (PESP).
Sementara itu, Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, Che Ahmad Tarmizi Abdul Rahman berkata, Mikhail adalah diantara 43 anak Terengganu cemerlang yang memperoleh lebih RM 11 juta tajaan di bawah PESP.
“Semenjak 1975, lebih daripada 37,000 rakyat Malaysia telah mendapat manfaat daripada PESP dengan tajaan pendidikan bernilai lebih dari RM3.3 bilion.
“Mereka yang terpilih, bakal melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah di Universiti Teknologi PETRONAS dan universiti tempatan lain selain daripada universiti-universiti terkemuka di Australia, Kanada, China, Jepun, New Zealand, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
“Sebagai salah satu usaha menyokong agenda kelestarian dan tenaga lebih bersih daripada PETRONAS, penajaan tahun ini diperluas untuk merangkumi disiplin ilmu seperti Biokimia, Pentadbiran Perniagaan (Pemasaran & Perdagangan) dan juga Sains Alam Sekitar,” jelasnya.
Menurut Che Ahmad Tarmizi, PETRONAS menerima lebih 10,000 pemohon di seluruh Malaysia yang kemudian disenarai pendek dan dinilai berdasarkan kepada kemahiran berfikir secara kritis, kepimpinan dan inovasi sebagai tambahan nilai kepada pencapaian akademik mereka.
16 Sep 21
1234
Terengganu Beralih Ke Fasa 3 PPN Jumaat Ini
KUALA TERENGGANU, 15 September - Terengganu akan beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuatkuasa 17 September, Jumaat ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kelonggaran diberikan sama seperti negeri memasuki Fasa 3 PPN sebelum ini seperti Perlis, Negeri Sembilan dan Sarawak.
"Prosedur operasi standard (SOP) terkini akan dikemaskini oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) di laman sesawang www.mkn.gov.my," katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.
Pada masa sama, beliau turut menasihatkan rakyat supaya tidak mengambil mudah dan terus patuh pada SOP untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.
"Orang ramai mula mengabaikan SOP ditetapkan kerajaan susulan kelonggaran SOP diumumkan kerajaan baru-baru ini.
"Kesediaan Kerajaan membenarkan lebih banyak kelonggaran tidak bermakna kita sudah boleh mengabaikan langkah-langkah keselamatan yang diamalkan selama lebih setahun ini," katanya lagi.
Beliau juga mengharapkan agar kelonggaran ekonomi yang diberikan ini dapat dimanfaatkan oleh rakyat dengan penuh disiplin dan rasa tanggungjawab.
Perkara tersebut turut disuarakan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak yang terdahulu mengingatkan kepada seluruh warga negeri agar terus berdisiplin dalam pematuhan SOP dan tidak mengambil mudah terhadap kelonggaran tersebut.
“Saya menasihati kepada semua bahawa peralihan fasa ini bukan bermakna tiada risiko virus, anda masih lagi boleh dijangkiti dan menjangkiti, walaupun telah lengkap suntikan. Kelonggaran ini adalah lebih menjurus kepada keperluan ekonomi," jelasnya.
15 Sep 21
4142