Artikel "Utama" Terkini
UiTM Terengganu Rintis Projek Jana Kuasa Solar Pertama
DUNGUN, 21 September - Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Terengganu muncul sebagai institusi pengajian tinggi awam pertama di negeri ini yang membangunkan janakuasa elektrik solar PV.
Ketua Projek Tenaga Solar UiTM Terengganu, Dr. Ermeey Abd. Kadir berkata, penggunaan teknologi tenaga solar memberi banyak kelebihan sama ada dari segi penjimatan, penjanaan tenaga dan penyelidikan.
Katanya, ia akan membantu strategi UiTM dalam mengurus penggunaan tenaga elektrik dan menyumbang kepada penjimatan sebanyak 15 hingga 25 peratus.
"Pihak kami mampu menjimatkan kos penggunaan elektrik di kampus antara RM50,000 hingga RM80,000 sebulan berbanding kos sebenar RM350,000 bergantung kepada penggunaan.
"Janakuasa ini juga menjana pendapatan Ram700,000 melalui eksport tenaga kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB)," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau lokasi projek panel solar di UiTM Cawangan Terengganu Kampus Dungun di sini, semalam.
Turut hadir, Rektor UiTM Cawangan Terengganu, Profesor Dr Mazidah Puteh.
Tambah beliau, kos pemasangan 3,885 panel solar dilaksanakan UiTM Holdings Sdn. Bhd. (UHSB) dan menelan belanja kira-kira RM6 juta dimulakan pada Julai 2020 dan siap pada Disember.
"Tenaga solar berkapasiti 1.6MW itu mempunyai tempoh matang sehingga 25 tahun dan pihak kami bercadang melaksanakan projek sama di UiTM kampus Chendering dan kampus Bukit Besi pada tahun depan melibatkan anggaran kos sebanyak RM3 juta,"ujarnya lagi.
Sementara itu, UiTM Cawangan Terengganu juga akan memperkenalkan satu program baharu iaitu Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Sistem Pintar yang dijangka dimulakan pada dua tahun lagi.
"Pengambilan pertama akan dibuka kepada 30 pelajar dan program baharu ini akan seiring dengan perancangan UiTM untuk menjadikan projek tenaga solar yang ada di sini sebagai salah satu aspek pembelajaran,” katanya.
21 Sep 21
892
38,114 Pelajar Tingkatan 4 Dan 5 Terima Vaksin Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 21 September - Seramai 38,114 pelajar tingkatan 4 dan 5 di negeri ini mula menerima suntikan pertama vaksin melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja.
Pengarah Kesihatan negeri, Dato' Dr Kasemani Embong berkata proses vaksinasi semua pelajar itu akan dilakukan di 56 sekolah di seluruh negeri yang dijadikan Pusat Pemberian Vaksin(PPV).
Katanya, kesemua pelajar adalah dari sekolah menengah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), termasuk sekolah menengah agama dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).
"Suntikan dos pertama akan diberikan kepada pelajar terlibat bermula hari ini dan dijangka dilengkapkan menjelang 2 Oktober.
“Maklum balas yang diterima daripada golongan pelajar sendiri rata-ratanya positif, dengan majoriti daripada mereka bersemangat untuk berdaftar mendapatkan suntikan vaksin melalui aplikasi MySejahtera,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau program vaksinasi pelajar tingkatan 4 dan 5 di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman, di sini hari ini.
Dalam program tersebut, lebih 800 pelajar dari tiga sekolah iaitu SMK Padang Negara, SMK Sultan Sulaiman dan SM Agama Atas Sultan Zainal Abidin menerima suntikan dos pertama Pfizer.
Tambahnya, bagi remaja yang tidak bersekolah dan bersekolah di luar daerah pula, mereka boleh dapatkan vaksin di PPV dan klinik kesihatan berhampiran.
Sementara itu, JKNT turut merekodkan hampir 8,000 pelajar yang mempunyai masalah kesihatan telah membuat rujukan di klinik kesihatan di seluruh daerah.
"Daripada jumlah tersebut, seramai 98 telah menerima suntikan bermula 15 September baru-baru ini dan bakinya akan menyusul,"ujarnya lagi.
Salah seorang pelajar yang ditemui, Muhammad Luqman Hakim Syazril Syahlan, 17, dari SMK Padang Negara berkata dia cukup teruja untuk menerima suntikan dos pertamanya hari ini.
"Rasa lebih selamat, yakin apabila melangkah ke sekolah nanti dan saya berharap suntikan vaksin itu sebagai 'penawar' kepada rindu pada masa di sekolah sebelum pandemik melanda,"katanya.
Bagi Nuraleesya Sufia Che Rosli, 17, juga dari SMK Padang Negara, berharap dapat masuk sekolah segera supaya lebih bersemangat untuk belajar dengan rakan-rakan yang lain tanpa ada rasa bimbang kerana sudah divaksin.
"Saya rindu zaman sekolah sebelum pandemik apabila kita semua dapat bersemuka dengan guru, kawan-kawan dan buat aktiviti kurikulum bersama,"ujarnya.
21 Sep 21
1329
Terengganu Sasar Jadi Pengeluar Utama Susu Segar
KUALA TERENGGANU, 21 September – Terengganu bakal memperluaskan sektor industri susu segar melalui kerjasama Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) sejajar dengan sasaran untuk menjadi pengeluar utama produk tenusu di Malaysia.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perkara terbabit telah dibincangkan melalui pertemuan kerja bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad di Mersing, baru-baru ini.
“Saya telah menghadiri satu sesi taklimat tentang agrofood@ECER dan Pembangunan Mampan di kepulauan ECER yang telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat.
“Dalam pada itu, ECERDC telah menandatangani Perjanjian Kerjasama untuk membangunkan projek Lembah Tenusu Jamaluang (JDV) untuk mewujudkan dan memperkembangkan industri tenusu di negara kita yang melibatkan beberapa buah negeri termasuk Terengganu,” katanya menerusi ciapan di Facebook rasminya.
Sementara itu, Baidzawi menjelaskan, JDV adalah salah satu komponen Lembah Tenusu ECER yang dirancang oleh ECERDC bagi mewujudkan industri tenusu yang cekap dan mampan merentasi ECER, di Setiu, Terengganu, Pahang Barat, Lojing, Kelantan serta Jemaluang, Mersing.
“Ini bertujuan meningkatkan Tahap Mampu Diri (Self-sufficiency Level – SSL) susu segar di negara ini sebanyak 40% bagi mengurangkan kebergantungan kepada susu import.
“Matlamatnya adalah untuk membangunkan rantaian nilai yang kukuh merangkumi aktiviti huluan dan hiliran, termasuk pembangunan pusat-pusat pemprosesan susu.
“Dengan cara ini, ECERDC menyasarkan untuk mewujudkan peluang pekerjaan bagi penduduk tempatan dan juga peluang keusahawanan dalam industri tenusu sebagai Peladang Satelit, pengedar dari rumah, dan pembekal makanan haiwan,” tambahnya.
21 Sep 21
828
Bukit Tok Salai Sungai Nerus, Destinasi Terbaharu Penggemar 'Hiking'
KUALA NERUS, 20 September - Bukit Tok Salai Sungai Nerus (BTSSN) kini menarik perhatian pengunjung tempatan sebagai destinasi baharu bagi penggemar aktiviti mendaki bukit di Negeri Terengganu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim berkata, lokasi tersebut mempunyai masa depan cerah sebagai tarikan rekreasi secara tidak langsung memberi manfaat ekonomi kepada penduduk Kampung Kesom Che Nordin ini kawasan sekitarnya.
“Bukit berketinggian 160 meter dari paras laut itu bakal menjadi terkenal bagi penggemar aktiviti ‘hiking’ dan mereka yang baru menyahut cabaran pendakian.
“Ini terbukti dengan kehadiran mencecah ribuan pengunjung dalam satu-satu masa walaupun baru sahaja dibuka orang awam sejak pertengahan tahun ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan hadiah Merdeka Photo Contest Bukit Tok Salai di kaki Bukit Tok Salai, baru-baru ini.
Menurutnya lagi, pendakian ke puncak bukit mengambil masa sekitar 30 hingga 40 minit sahaja, sesuai didaki oleh semua lapisan masyarakat.
“Bila sudah terkenal, sudah tentu diikuti dengan pembangunan dari segi infrastruktur dan prasarana bagi memastikan keselesaan kepada pengunjung, saya percaya akan terus bertambah dan bertambah akan datang.
“Aktiviti jual beli akan menjadi lebih rancak kerana keperluan makanan, minuman dan cenderahati, membuka peluang kepada penduduk setempat untuk berniaga," jelasnya.
Tambah Ridzuan, beliau turut melahirkan rasa syukur dengan pencapaian dan kerjasama dikalangan warga komuniti yang bersemangat tinggi menggembleng tenaga bagi memajukan projek tersebut.
“Syabas dan tahniah kepada Kampung Kesom Che Nordin khususnya peringkat Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), persatuan penduduk dan semua pihak yang terlibat dalam memajukan kawasan ini,” katanya lagi.
20 Sep 21
2991
Masjid Haji Muhammad Dibangunkan Semula
KUALA TERENGGANU, 20 September – Kerja-kerja membina semula Masjid Haji Muhammad di Kg. Mengabang Tengah telah dimulakan sejak 22 Ogos yang lalu.
Masjid berusia lebih seratus tahun itu telah mengalami kerosakan hampir keseluruhannya pada tahun 2019 yang lalu akibat bencana.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi telah turun meninjau proses pembinaan masjid tersebut, semalam.
“Alhamdulillah, setelah beberapa proses dibuat, masjid ini telah dapat dibangunkan semula.
“Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk akan sentiasa memantau dan memberikan bantuan untuk memastikan pembinaan masjid ini selesai dan dapat digunakan kembali,” kata Ustaz Muhammad Khalil kepada pemberita.
Tambahnya lagi, penduduk di kampung tersebut ketika ini menggunakan masjid sementara yang dibina berdekatan tapak tersebut.
Turut hadir dalam tinjauan tersebut pihak Jawatankuasa Masjid Haji Muhammad dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat.
20 Sep 21
602
KPDNHEP Keluarkan Lebih RM3.67 Juta Kompaun Langgar SOP PPN
HULU TERENGGANU, 20 September - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengeluarkan lebih RM3.67 juta kompaun sejak 1 Jun lalu di bawah pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Timbalan Menterinya, Dato' Rosol Wahid berkata, kompaun itu dikeluarkan melibatkan 764 kes pelbagai kesalahan menerusi pemeriksaan terhadap 228,000 premis perniagaan di seluruh negara.
"Daripada jumlah tersebut, kesalahan paling tinggi adalah gagal mendaftar masuk premis menggunakan buku atau aplikasi My Sejahtera sebanyak 323 kes dan keduanya menjalankan aktiviti yang tidak dibenarkan (130).
"Selebihnya 61 kes kerana gagal menyediakan penanda jarak satu meter, gagal memakai penutup muka (46 kes), gagal mempamer hal bilangan maksima pelanggan (27 kes), gagal mematuhi waktu operasi (5 kes), dan lain- lain kesalahan (172 kes)," ujarnya kepada pemberita.
Rosol juga berkata, seramai 2,000 anggota penguatkuasa terlibat dalam Op Samar di seluruh negara secara agresif turun ke lapangan setiap hari bagi memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di kalangan pemain sektor perniagaan dan peruncitan serta pengguna.
Katanya, anggota penguat kuasa akan berpakaian biasa dan menyamar sebagai pelanggan bagi memastikan kadar pematuhan SOP sektor peniagaan dan peruncitan.
"Penyamaran itu dilakukan bagi menjalankan pemantauan di bawah Akta 342 di premis perniagaan termasuk bagi kebenaran aktiviti 'dine-in' di restoran dan kedai makan seluruh negara," jelasnya.
Dalam masa yang sama, beliau juga berkata, pihaknya ada menerima aduan mengenai sikap segelintir peniaga terutama pengusaha restoran dan kedai makan yang dikatakan mengabaikan semakan terhadap status vaksinasi pelanggan dine-in sehingga menimbulkan rasa kurang senang di kalangan pelanggan.
“Kementerian mengambil serius laporan ini dan kita mahu pastikan peniaga dan orang ramai patuh kepada SOP yang ditetapkan.
"Ini penting kerana ia membabitkan soal keselamatan dan kesihatan orang ramai, selain tanggungjawab semua pihak untuk mematuhi SOP ditetapkan selepas kelonggaran untuk dine-in diberikan kerajaan," ujarnya.
20 Sep 21
218
Kerjasama Pengusaha Pelancongan Tingkatkan Keselamatan Pengunjung
KUALA NERUS, 20 September – Kerajaan negeri sedang giat memperkemaskan strategi bagi memastikan keselamatan pelancong berada di tahap terbaik.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, Prosedur Operasi Standard (SOP) amat penting dalam mengekang peningkatan kes COVID-19 dan meyakinkan pengunjung.
“Buat masa kini daripada dialog bersama pengusaha chalet dan resort, SOP dan kedatangan pelancong dalam negeri masih terkawal.
“Kita mengikut rapat SOP daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan penguatkuasaan polis serta agensi berkaitan.
“Namun begitu, jika ada permintaan daripada pemain sektor ini, maka kita akan adakan perbincangan dan membuat keputusan dalam mesyuarat mingguan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas program perjumpaan bersama pengusaha pelancongan Pulau Redang di Balai Redang, baru-baru ini.
Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato' Yahaya Ali, Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa dan Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Fadli Yusof Zakaria.
Tambahnya, beliau memuji langkah proaktif beberapa pengusaha resort di Pulau Redang yang mewajibkannya sebelum memasuki Pulau Redang meskipun tidak diwajibkan ujian calitan COVID-19 menurut MKN (kecuali Langkawi).
“Asalnya syarat asas ditetapkan adalah pengunjung mesti selesai divaksin dua dos namun kita buka ruang untuk kolaborasi dan penambahan demi keselamatan kita bersama,” ujarnya.
Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat, beliau turut bersetuju dengan cadangan tempahan awal sebagai syarat memasuki pulau-pulau peranginan bergantung kepada persediaan pengusaha masing-masing.
20 Sep 21
236
Pengusaha Resort Wajibkan Pelancong Buat Saringan COVID-19
KUALA NERUS, 20 September – Pengusaha resort yang berpangkalan di Pulau Lang Tengah mengambil langkah proaktif dengan mewajibkan ujian saringan COVID-19 terhadap pengunjung sebelum memasuki pulau peranginan itu.
Pengurus Summer Bay Resort, Wong Kim Woor, 40, berkata, ia bagi memastikan semua pelanggan yang memasuki resortnya mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ketat bagi mengekang kesan buruk jika berlaku penularan virus.
Wong Kim Woor
“Majlis Keselamatan Negara (MKN) mewajibkan dua dos, tapi kita mengambil langkah jauh dengan membeli ujian Kit Ujian Pantas Antigen (RTK-Ag) buat pelanggan untuk mereka buat di dalam kereta masing-masing.
“Jika negatif, maka mereka boleh memasuki jeti Merang dan mendaftar, memastikan tiada masalah jangkitan 100 peratus,” katanya ketika ditemu bual pemberita di Pulau Redang, baru-baru ini.
Menurutnya lagi, sambutan pelancong dalam negeri mampu merancakkan lagi bisnesnya dalan fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula 17 September.
“Namun begitu, kebanyakkan pelanggan luar negeri seperti Kuala Lumpur, Melaka dan sebagainya diperlukan kerana warga Terengganu hanya menempah selama satu hari. Saya harap kerajaan akan memberi kelonggaran buat kemasukan pengunjung luar bagi menghidupkan lagi sektor ini,” ujarnya lagi.
Sementara itu, pengusaha bot penambang, Mohammad Amri Mad Adik, 28, juga bersetuju dengan kepentingan SOP bukan sahaja daripada kerajaan tetapi juga daripada penggiat sektor dan pelancong.
Mohammad Amri Mad Adik
“Semasa berada di pulau, potensi untuk penyebaran virus menjejaskan satu kawasan terpencil ini amat tinggi, oleh itu kita harapkan agar kelonggaran fasa ini menghidupkan kembali pulau peranginan setelah berbulan tiada pengunjung,” katanya yang juga ahli Persatuan Pengusaha dan Pemandu Bot Pelancong Redang.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman menjelaskan, kerajaan negeri memberi ruang dan peluang perbincangan bersama pengusaha dalam menghasilkan peraturan baharu bagi memastikan kawalan penularan di lokasi pelancongan terjaga.
20 Sep 21
445
2,000 Peluang Pekerjaan Khas Buat Wanita Terengganu
KUALA TERENGGANU, 20 September - Golongan wanita dalam negeri diseru agar merebut kira-kira 2,000 peluang kekosongan jawatan dan ilmu keusahawanan dalam Karnival Kerjaya dan Usahawan Wanita 2021 Peringkat Negeri Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, karnival atas talian yang julung kali diadakan itu memfokuskan peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan khusus kepada golongan hawa.
“Tujuan program ini diadakan bagi membantu masyarakat dalam mengatasi kesan ekonomi teruk akibat pandemik COVID-19.
“Dengan peningkatan kecil kadar pengangguran Terengganu kepada 4.1 peratus pada tahun lepas, pelaksanaan ini penting dalam merancakkan lagi ekonomi wanita.
“Sehubungan itu, saya berharap warga Terengganu mengambil peluang ini untuk sama-sama mengikuti karnival melalui pelbagai platform seperti Cisco Webex, Zoom dan siaran langsung Facebook di ‘JPW Terengganu’,” katanya ketika bersiaran langsung di FB JPW Terengganu.
Tambah beliau, pengisian program bermula hari ini sehingga 23 September turut melibatkan peluang mendapatkan insentif-insentif kerajaan serta perkongsian penceramah berpengalaman dalam pelbagai industri.
Untuk pengetahuan, pelaksanaan tersebut dianjurkan oleh Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Terengganu dengan kerjasama Urus Setia Pekerjaan Negeri Terengganu.
20 Sep 21
1289
65 Pelajar Terengganu Jadi Anak Yatim Akibat COVID-19
KUALA TERENGGANU, 19 September – Sejumlah 65 pelajar di Terengganu menjadi anak yatim ekoran kematian ibu atau bapa atau kedua-duanya atau penjaga disebabkan wabak COVID-19 di negeri tersebut.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff berkata, jumlah tersebut adalah pecahan daripada keseluruhannya iaitu 4,422 murid yang terlibat di seluruh negara sehingga 13 September lepas.
“Statistik keseluruhan juga mendapati murid kematian bapa disebabkan pandemik adalah 2,687 murid di Malaysia dengan Terengganu 46 orang, antara kes terendah berbanding 993 murid di Selangor.
“Dalam pada itu, 1,441 murid lagi kehilangan ibu ekoran Covid-19 dengan Selangor masih tertinggi iaitu 522 manakala paling sedikit kekal di Perlis iaitu tiga diikuti 17 murid di Terengganu.
“Dua murid disenaraikan dalam data bilangan anak yatim piatu yang kematian penjaga mereka akibat Covid-19 daripada jumlah 140 murid di seluruh negara,” katanya sepertimana dilaporkan Utusan Online, baru-baru ini.
Namun begitu, ujar Siti Zailah, tiada murid dikesan Kementerian Pendidikan yang terus menjadi anak yatim piatu akibat wabak maut itu di Terengganu, termasuk di Pahang, Perlis, Pulau Pinang, WP Labuan dan WP Putrajaya.
19 Sep 21
1653