Artikel "Utama" Terkini
747 Orang Asli Terengganu Terima Vaksin
HULU TERENGGANU, 25 September- Seramai 747 Orang Asli di Terengganu menerima suntikan vaksin COVID-19, hasil pelbagai kempen yang dijalankan untuk meningkatkan kesedaran mereka mengenai kepentingan suntikan tersebut.
Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dato' Dr Kasemani Embong berkata, jumlah itu meliputi 327 Orang Asli di Sungai Berua, Hulu Terengganu, 398 orang di Sungai Pergam, Kemaman dan 22 orang di Hulu Besut.
"Untuk hari ini, kita selesaikan di Sungai Berua dan diteruskan kepada masyarakat Orang Asli di Sungai Pergam, Kemaman pula pada esok.
"Semua Orang Asli yang layak divaksin di dua perkampungan ini menerima vaksin jenis CanSino," katanya selepas meninjau proses pemberian vaksin kepada Orang Asli di Sekolah Kebangsaan Sungai Berua, di sini hari ini.
Dalam masa yang sama, program yang turut mendapat kerjasama Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) itu turut melibatkan saringan penyakit kusta dan pemeriksaan pergigian.
Tambah Dr Kasemani lagi, 23 Orang Asli di Kuala Sayap, Hulu Besut, sudah lengkap menerima dua dos vaksin jenis Pfizer dan Sinovac pada bulan lepas.
25 Sep 21
333
Amaran Fasa Peralihan Monsun Di Pantai Timur
KUALA TERENGGANU, 23 September - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan negara termasuk negeri di Pantai Timur mengalami ribut petir dan hujan lebat yang lebih kerap pada petang dan awal malam Fasa Peralihan Monsun bermula hari ini.
Ketua Pengarah MetMalaysia Muhammad Helmi Abdullah berkata, fasa yang berterusan sehingga awal November 2021 menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang telah bermula sejak 19 Mei 2021.
“Semasa fasa Peralihan Monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang amat sesuai untuk kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat serta angin kencang dalam jangka masa yang singkat.
“Jangkaan jumlah hujan di negeri Pantai Timur semasa Peralihan Monsun pada Oktober 2021 ialah antara 200 hingga 400 mm.
“Namun begitu kebanyakkan kawasan di negeri-negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak turut terlibat berpotensi dilanda banjir kilat serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh,” katanya dalam satu kenyataan media, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Muhammad Helmi menasihati untuk lebih berwaspada ketika tempoh ini dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia melalui laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi Jabatan.
“Orang ramai juga boleh menghubungi Hotline Jabatan 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut,” katanya lagi.
Menurutnya, MetMalaysia turut Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh yang akan bermula pada awal November ini hingga Mac tahun hadapan.
24 Sep 21
3381
Setelah Berkurung Hampir Sebulan, PKPD Paka Tamat Esok
DUNGUN, 23 September - Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengumumkan penamatan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tujuh lokaliti di Paka pada hari esok.
Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md. Saad berkata, keputusan itu dibuat selepas penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Tujuh lokaliti tersebut membabitkan Bandar Paka, Gong Gemia, Cacar Baru, Limbong, Kuala Paka, Taman Indah Permai dan Telaga Mas yang membabitkan sejumlah lebih 10,000 penduduk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, PKPD dikuatkuasakan di lokaliti tersebut bermula pada 28 Ogos menjadikan hampir satu bulan setelah dilanjutkan tempoh sehingga 24 September bagi mengekang penularan COVID-19 di kawasan tersebut.
23 Sep 21
1004
Pulau Bidong Punyai Daya Tarikan Antarabangsa
KUALA NERUS, 23 September - Pernah diisytiharkan sebagai pusat penempatan orang hanyut menjadikan Pulau Bidong mempunyai daya tarikannya tersendiri bagi pelancong terutamanya warga asing untuk bertumpu ke lokasi terbabit.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, sebelum dunia dilanda wabak pandemik Covid-19, pulau terbabit merekodkan 3,000 sehingga 5,000 pelancong dari luar negara.
"Kita tunggu sedikit waktu lagi apabila sempadan negara serta negeri dibuka, saya yakin mereka akan kembali semula ke sini. Kebiasaan mereka datang meminta kebenaran untuk upacara termasuk melangsungkan perkahwinan di sini selain mengenang datuk dan nenek moyang mereka yang pernah tinggal di sini.
"Peninggalan sejarah seperti kubu, pasar, perahu lama, dan beberapa monumen menjadi bukti kedatangan orang Vietnam bermula tahun 70-an dahulu yang meninggalkan kesan sejarah yang menjadi daya tarikan untuk mereka datang ke sini," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), ketika hadir melakukan perasmian aktiviti gotong-royong membersihkan pulau berkenaan, di sini baru-baru ini.
Turut hadir, Pengarah Lembaga Muzium negeri, Che Muhammad Azmi Ngah.
Mengulas mengenai program tersebut, Ariffin berkata ia diuruskan oleh pihak muzium negeri dengan Jabatan Pelancongan Negeri, Jabatan Perikanan dan beberapa pihak lain sebagai simbolik pembukaan sektor pelancongan bermula 1 September setelah dua tahun tidak menerima kehadiran pelancong.
Katanya, kerajaan komited untuk memelihara segala apa yang ada di pulau tersebut termasuk flora dan fauna yang masih tidak terusik sehingga menjadi syurga kepada peminat snorkeling serta selam skuba selain menjadi tumpuan peminat dan pengkaji sejarah.
"Biarlah tidak sehebat atau setanding Pulau Redang, Pulau Perhentian mahupun Pulau Kapas usaha kerajaan adalah memastikan apa sahaja yang ada di sini kekal terpelihara.
"Sebab itulah kami(kerajaan) tidak membenarkan chalet atau resort dibina oleh pengusaha-pengusaha di sini walaupun menerima banyak permintaan yang ada ialah 'camp site', ada pusat pemeliharaan coral kerana kita hendak pastikan ia terus terkenal melalui khazanah semula jadi yang ada di sini," ujarnya.
Ujarnya lagi, walaupun tidak menjadi lokasi mewah untuk bercuti namun dengan usaha dijalankan itu menjadikan ia sebagai destinasi pilihan dalam keadaan masyarakat masih bimbang berkait keselamatan di waktu pandemik ini.
"Maksudnya tidak mendatangkan masalah tidak sebagaimana di pulau lain yang menjadi tumpuan orang ramai, di sini pelancong akan merasa selesa untuk menghayati keindahan dengan coralnya yang sangat cantik dan juga merupakan tempat yang sangat sesuai untuk aktiviti menyelam kerana tidak perlu bersesak dengan orang ramai.
"Namun kita mengingatkan kepada mereka yang hadir agar tidak meninggalkan sampah, kita berharap sangat oleh kerana tidak ada 'resort' mahupun perkampungan, adalah menjadi tanggungjawab yang perlu dididik dalam diri setiap pengunjung.
"Lagi pula kita tidak mengupah mana-mana pihak untuk melakukan pembersihan, kita hanya ada pihak yang menjaga pulau ini sahaja," ujarnya.
23 Sep 21
571
Cadangan Penyelenggaraan Infrastruktur TTI Dalam Perbincangan
KUALA TERENGGANU, 22 September – Cadangan menyelenggara infrastruktur dan monumen di Taman Tamadun Islam (TTI) sedang dalam perbincangan kerajaan negeri sedang dalam perbincangan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, idea itu diperhalusi bagi menambah baik destinasi pelancongan berkonsepkan keindahan sejarah Islam yang dihiasi dengan teknologi moden itu.
Kataya, antara perancangannya adalah kerjasama dengan universiti tempatan terutamanya dalam bidang seni bina bagi membantu kerja baik pulih 22 koleksi yang berasal dari 20 buah negara.
“Kerajaan negeri sendiri akan memohon bajet daripada kerajaan pusat kerana usaha membaiki keseluruhan infrastruktur dan tarikan di TTI melebihi RM10 juta.
“Jika diluluskan, kerja penambahbaikkan dan penyelenggaraan pusat tarikan dengan lebih 160 kakitangan ini akan mengambil masa lebih dua tahun, kerana saiz kecil dan kerumitan reka bentuk setiap monument yang berbeza,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas perasmian pembukaan kembali TTI di Pulau Wan Man, Losong Panglima Perang, pagi semalam.
Sementara itu, menyentuh usaha melibatkan pusat peranginan dalam negeri sebagai gelembung pelancongan seperti Pulau Langkawi, Ariffin menjelaskan, proses tersebut diputuskan di persekutuan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
“Kita sedang mengusahakan dua pulau iaitu Pulau Redang dan Perhentian supaya dipertimbangkan dalam pengecualian rentas negeri tersebut. Ini kerana proses dibuat secara berperingkat.
“Hasil perbincangan dengan pemain industry tersebut, mereka ingin sempadan dibuka sebelum tiba musim tengkujuh, namun begitu terdapat beberapa pengusaha yang berniat untuk buka sehingga Disember,” katanya lagi.
23 Sep 21
785
Taman Tamadun Islam Kembali Dibuka
KUALA TERENGGANU, 22 September – Setelah menangguhkan pengoperasian selama beberapa bulan berikutan pandemik COVID-19, destinasi pelancongan berkonsepkan ‘Edutainment’ Taman Tamadun Islam (TTI) kembali dibuka dengan pelbagai promosi menarik.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, sebagai galakan bagi menarik lebih ramai pengunjung dalam negeri, pihak TTI sentiasa menawarkan tawaran sempena pembukaan ini iaitu ‘Promo Lengkap Vaksin’.
“Promosi ini diberikan kepada para pengunjung yang ingin menyusuri Sungai Terengganu atau meneroka Taman Monumen TTI dengan harga RM10 sahaja bagi kanak-kanak dan warga emas, manakala RM15 sahaja ditawarkan kepada dewasa.
“Bagi pengunjung setia Restoran B'beteng pula, ia akan kembali beroperasi seperti waktu biasa iaitu dari pukul 10 pagi hingga 11 malam dengan menawarkan pelbagai menu istimewa seperti Ayam Soksek, Nasi Kak Murni, Ikan Bakar yang menjadi “trademark” Restoran B’Benteng,” ujarnya selepas merasmikan pembukaan TTI di Pulau Wan Man, Losong Panglima Perang, pagi tadi.
Beliau yang juga Pengerusi TTI Management Sdn.Bhd berkata, walaupun sebelum ini, TTI tidak dapat beroperasi sepenuhnya, Restoran B’Beteng masih menawarkan perkhidmatan COD dan 'Dine in', manakala Pusat Konvensyen digunakan sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
“Pengoperasian semula Taman Tamadun Islam yang bermula hari ini akan berpandukan kepada penetapan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan keselamatan pengunjung menjadi keutamaan," katanya.
Untuk maklumat lanjut atau tempahan boleh hubungi TTI di talian: 096278888, serta dapatkan pelbagai informasi di facebook dan instagram Taman Tamadun Islam.
Menurut kenyataan penganjur, perkembangan aktiviti-aktiviti menarik pelancongan negeri Terengganu menerusi laman sosial rasmi media sosial seperti Facebook, Youtube, Instagram, Wechat, Weibo dan Telegram dengan nama BEAUTIFUL TERENGGANU MALAYSIA, dan ikuti twitter di @trgtourism.
22 Sep 21
934
Air Percuma Tetap Diberi, Pelarasan Bil Teknikal Biasa
KUALA TERENGGANU, 22 September - Pemberian air percuma selama dua bulan kepada pengguna terjejas bekalan di Kuala Nerus serta sebahagian daerah ini tetap akan dilaksanakan.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh berkata, pelarasan bil yang dilakukan Syarikat Air Terengganu (SATU) pada waktu ini pula hanyalah sementara.
Katanya, kaedah itu terpaksa dilakukan kerana sewaktu insiden Air Berangan pertama dan kedua, pekerja SATU tidak dapat bertugas membaca meter air.
“Ini kerana mereka menumpukan tenaga dalam pengagihan air, oleh itu, antara penyelesaian SATU ialah mereka melihat kepada bulan sebelumnya dan buat anggaran.
“Contohnya, jika purata bil bulan-bulan sebelum ini RM20 sebulan, jadi kita ambil itu sebagai rujukan kemudian untuk membuat pelarasan atau rebat atau itu adalah bayaran semasa tempoh petugas tidak bertugas membaca meter.
“Seterusnya, apabila staf akan mula bertugas membaca meter dan mendapati penggunaan air RM3, jadi kita tolak dengan rujukan pertama atau bayaran RM20 tadi, menjadikan ada lagi baki RM17, RM17 itu pula akan dibawa ke bil-bil hadapan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Dalam pada itu, menurut Dr Mamad, tempoh dan kaedah pemberian air percuma akan diumumkan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
“Perbincangan dan keputusan bagi pelaksanaan terbaik bantuan bil air percuma ini telah dijalankan melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pagi tadi,” jelasnya lagi.
Sebelum ini, kerajaan negeri bersetuju untuk memberikan air percuma selama dua bulan kepada seluruh pengguna di dua daerah yang terjejas sebaik proses membaik pulih bekalan selesai sepenuhnya, namun tarikh pelaksanaannya belum diputuskan.
Untuk rekod, bekalan air berjaya dipulihkan secara berperingkat mulai 9 September lalu.
22 Sep 21
2702
Sebahagian Guru Tolak Vaksinasi Mula Mahu Divaksin
KUALA TERENGGANU, 22 September - Lebih 100 guru di Terengganu yang menolak untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 kini makin berkurangan selepas diberi penerangan dan kefahaman kepada mereka.
Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Salim Ab Ghani berkata, pihaknya sentiasa mencari penyelesaian terbaik dalam menangani isu berkenaan supaya tiada sebarang masalah berlaku apabila sesi persekolahan dibuka 3 Oktober nanti.
"Saya difahamkan jumlah guru yang menolak vaksin semakin berkurangan dan pihak jabatan masih terus memberikan penerangan serta kefahaman kepentingan vaksin kepada guru yang masih enggan divaksin.
"Saya tidak berani beri jumlah (guru tolak vaksin terkini) sebab ia sentiasa berubah. Apa pun, kita sentiasa beri peluang kepada mereka dan sekiranya ingin divaksin, boleh pergi ke PPV (pusat pemberian vaksin) bila-bila masa saja secara walk in,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas status kumpulan guru di negeri itu yang sebelum ini dilaporkan enggan menerima vaksin berkenaan selepas meninjau proses pemberian vaksin Covid-19 kepada pelajar bersama Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman, di sini semalam.
Bagaimanapun menurutnya, data terkini baki cikgu yang masih berkeras menolak vaksin masih belum diperolehi.
Sementara itu, Salim berkata, semua sekolah kini bersedia untuk sesi persekolahan secara bersemuka pelajar sekolah di negeri ini pada 3 Oktober nanti.
Katanya, dianggarkan 17,000 pelajar Tingkatan Lima dan 2,000 pelajar Tingkatan Enam di negeri ini akan memulakan pembelajaran secara bersemuka nanti.
“Tapi sekiranya ada ibu bapa yang masih keberatan untuk benarkan anak-anak ke sekolah secara fizikal nanti, terpulang kepada mereka dan ia tidak menjadi kesalahan disiplin. Cuma ibu bapa perlu serahkan surat makluman sebagai rekod kita,” katanya.
22 Sep 21
329
Mahasiswa Terengganu Perlu Bersedia Hadapi Cabaran Masa Hadapan
Oleh: Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU, 22 September – Mahasiswa Terengganu khususnya perlu membuat persiapan rapi untuk menghadapi masa depan yang lebih mencabar selepas negara dilanda oleh pandemik Covid-19 sejak hampir dua tahun yang lalu.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, beliau menggariskan tiga perkara utama bagi bakal graduan untuk mempersiapkan diri mereka apabila terjun ke dunia sebenar termasuk perubahan dalam politik dan keperluan sosial.
“Dalam konteks berpolitik kerajaan sudah mengiktiraf golongan muda yang mana diperingkat parlimen telah luluskan akta yang mana menurunkan hak mengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun. Bahkan sudah diusahakan pendaftaran automatik. Cukup 18 tahun ke atas mereka layak mengundi.
“Hak orang muda juga diberikan perhatian termasuk menjadi calon dan mengikut analisa terakhir jumlah pengundi muda dihubung kait undi penentu Pilihan Raya Umum (PRU) nanti,’ jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam majlis Penutupan Rasmi Persidangan Mahasiswa Intelektual 2021 (PRIMA 2.0) yang diadakan secara atas talian pada hari ini.
Menurutnya, beliau menyokong program ini dilaksanakan kerana ia menjadi satu platform untuk mahasiswa khususnya mengasah bakat kemahiran insaniah dalam diri masing-masing sekaligus membantu mereka meningkatkan keyakinan diri semasa berhadapan dengan masyarakat.
“Kita kena berhati-hati oleh kita sebagai orang Islam kena ada dan bawa jati diri sebagai orang Islam walau di mana kita berada.
“Macam kita kata ikan dilautlah walaupun air laut itu masin tetapi daging ikan itu tetap tawar kerana ia ada jati diri,” ujarnya.
Sementara itu katanya, golongan muda mesti bersedia menghadapi apa jua cabaran dan tidak boleh terlalu memilih pekerjaan apabila keluar daripada institute pendidikan tinggi (IPT) nanti.
“Kalau kita mempunyai satu kemahiran dalam bidang ICT umpamanya, ia dapat banyak membantu kita dalam apa bidang sekalipun. Saya selalu sebut kepada mahasiswa supaya kuasailah bidang ICT.
“Kalau kita keluar dari kampus nanti apa peluang dan kemahiran yang ada pada kita ini untuk memberikan dalam bentuk kertas kerja, cadangan yang konkrit dan apa yang kita nak nak lakukan dalam konteks anak Terengganu, kita ingin bersama dalam arus pembangunan negeri Terengganu,” katanya.
Dato Yahaya menambah, golongan muda adalah aset yang sangat penting dan kerajaan mengiktiraf mereka sebagai pemegang taruh yang mana Terengganu menghargai pandangan, permasalahan dan cabaran yang dihadapi mereka.
“Bahkan kalau kalau kita bincang diperingkat nasional umpamanya banyak kepimpinan kerajaan di banyak negara sekarang ini menjadikan satu kluster bagi nasihat kepada kerajaan adalah golongan muda.
”Mereka jadikan golongan ini sebahagian penasihat mereka. Orang muda lebih tahu apa yang ada dalam dunia orang muda, dari segi apa kehendak mereka, apa keutamaan , apa cabaran yang mesti diselesaikan oleh pihak berwajib untuk mereka menjadi sebahagian daripada mata rantai dalam arus pembangunan dalam sesebuah negeri,” tambah Dato Yahaya.
22 Sep 21
569
Langgar SOP: JKNT keluarkan Kompaun RM2.7 Juta
KUALA TERENGGANU, 21 September - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengeluarkan 1,048 kompaun bernilai RM2.7 juta kepada syarikat dan individu di seluruh negeri itu kerana ingkar Prosedur Operasi Standard Perintah Kawalan Pergerakan (SOP PKP) bermula Januari hingga semalam.
Pengarahnya, Dato' Dr Kasemani Embong berkata antara kesalahan dilakukan adalah melakukan rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran, mengadakan ziarah raya, tidak memakai pelitup muka, gagal mendaftar dalam MySejahtera dan tidak melakukan penjarakan fizikal.
"Daerah Kemaman merekodkan kompaun paling tinggi dikeluarkan iaitu lebih RM1 juta diikuti Dungun (RM923,000), Setiu (RM157,000), Kuala Terengganu (RM139,000) dan Marang (RM127,500).
Beliau berkata demikian selepas meninjau program vaksinasi pelajar tingkatan 4 dan 5 di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman, di sini hari ini.
Dalam program tersebut, lebih 800 pelajar dari tiga sekolah iaitu SMK Padang Negara, SMK Sultan Sulaiman dan SM Agama Sultan Zainal Abidin menerima suntikan dos pertama Pfizer.
Sementara itu, Dr Kasemani berkata sebanyak RM49,500 nilai kompaun sudah dikeluarkan dalam tempoh peralihan Terengganu ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara sejak 17 September hingga Isnin.
"Dalam tempoh empat hari, hasil pemeriksaan sebanyak 24 kompaun dikeluarkan yang mana dua kesalahan adalah masing-masing gagal daftar di MySejahtera dan ingkar perintah kuarantin.
"Selebihnya kerana menaiki kenderaan melebihi kapasiti dibenarkan dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD)," katanya.
21 Sep 21
981