lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Bayaran BPR Fasa 3 Dikreditkan Selasa Ini
Bayaran BPR Fasa 3 Dikreditkan Selasa Ini
KUALA LUMPUR, 26 September - Seramai 3.6 juta penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) Keluarga Malaysia Fasa 3 termasuk mereka yang diluluskan permohonan rayuan bakal menerima bantuan itu, mulai Selasa ini secara berperingkat melibatkan peruntukan berjumlah RM2.82 bilion. Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembayaran itu akan dikreditkan ke dalam akaun penerima isi rumah dalam tempoh tiga hari sehingga 30 September ini memanfaatkan penerima sedia ada kategori isi rumah dan pemohon rayuan BPR yang telah diluluskan. Menurutnya, bagi fasa tiga, setiap penerima bakal memperoleh sehingga RM1,400 manakala penerima bayaran rayuan BPR akan menerima sehingga RM2,300. “Ini termasuk bayaran BPR tambahan di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa+) bernilai sehingga RM500 bagi setiap penerima mengikut kategori kelayakan masing-masing iaitu berdasarkan status perkahwinan, jumlah pendapatan isi rumah dan bilangan anak,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad. Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, pembayaran fasa tiga ini adalah penyaluran penuh baki nilai yang sepatutnya diterima penerima dan rayuan BPR untuk meringankan beban mereka. “Kerajaan terus komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia, terutamanya nasib kumpulan sasar yang terjejas akibat pandemik Covid-19 sentiasa terbela,” ujarnya. Dalam pada itu, beliau berkata, beberapa bantuan tunai lain seperti Bantuan Khas Covid-19 (BKC) dan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) akan diberikan kepada penerima yang layak dan akan disalurkan pada Oktober hingga Disember 2021. Penerangan lanjut berhubung pembayaran BPR Fasa 3 ini akan diperincikan Kementerian Kewangan melalui portal rasmi BPR  iaitu https://bpr.hasil.gov.my untuk mendapatkan maklumat lanjut.
26 Sep 21
3482
Terengganu Buka PKRC Baharu Di Stadium Tertutup Gong Badak
Terengganu Buka PKRC Baharu Di Stadium Tertutup Gong Badak
KUALA TERENGGANU, 26 September- Sebuah lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC)baharu dibuka di stadium dan mula beroperasi pada hari ini. Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dato' Dr Kasemani Embong berkata PKRC Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus itu boleh memuatkan 1,200 katil dan tempat ini mempunyai kemudahan sesuai buat pesakit serta petugas. "Pembukaan PKRC baharu ini bukanlah bermaksud situasi COVID-19 di Terengganu semakin teruk. "Sebaliknya ia dibuka susulan penutupan tiga PKRC di Institut Pengajian Tinggi Awam yang kini dalam proses persediaan menerima kemasukan pelajar untuk sesi pembelajaran secara bersemuka bermula 15 Okt depan," katanya ketika dihubungi pemberita hari ini. Tiga PKRC yang ditutup secara berperingkat sejak bulan lepas ialah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Chendering di sini, Universiti Malaysia Terengganu di Kuala Nerus dan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Mizan di Besut.  Dalam pada itu, Dr Kasemani turut memaklumkan seramai 138,100 remaja berusia 12 hingga 17 tahun di Terengganu layak menerima vaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). "Daripada jumlah itu, seramai 101,000 remaja adalah pelajar sekolah di bawah Kementerian Pendidikan dan pelajar sekolah swasta. Setakat semalam, kita telah memberi suntikan kepada 30,494 orang remaja. Kesemua mereka ini akan menerima suntikan vaksin dos pertama selewat-lewatnya 6 Okt depan," katanya. Jelas beliau, kesemua mereka yang layak akan menerima suntikan vaksin dos pertama selewat-lewatnya 6 Oktober depan.  
26 Sep 21
2917
JPJ Sasar Tunggakan Ujian Memandu Selesai Akhir Tahun
JPJ Sasar Tunggakan Ujian Memandu Selesai Akhir Tahun
KUALA TERENGGANU, 26 September - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyasarkan semua ujian yang tertangguh di 232 institut memandu di seluruh negara melibatkan 462,124 calon akan selesai sebelum akhir tahun ini. Timbalan Ketua Pengarah Perancangan dan Operasi JPJ Aedy Fadly Ramli berkata bagi mencapai sasaran itu, jabatan tersebut akan menambah bilangan penguji sehingga 20 peratus, bergantung pada keperluan setiap institut memandu. "Selain itu, kita juga akan menambah jumlah kuota harian calon yang akan diuji di setiap institut memandu. Jumlahnya berbeza mengikut kapasiti premis, oleh itu, jumlah penguji tambahan yang akan dihantar adalah mengikut keperluan di setiap institut tersebut," katanya kepada pemberita selepas melawat Institut Memandu Bitara dekat Padang Midin di sini hari ini Turut hadir Pengarah JPJ Terengganu Zulkarnain Yasin.  Menurut Aedy Fadly terdapat seramai 530 pegawai penguji di seluruh negara dan institut memandu disaran untuk mengutamakan ujian calon yang telah lama tertangguh susulan Perintah Kawalan Pergerakan, berbanding calon baharu. Dalam pada itu, beliau berkata JPJ akan memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) di semua institut memandu secara berkala. "Pemantauan juga dilakukan oleh unit naziran institut memandu untuk mengesan kesalahan seperti menerima calon bukan warganegara, pemasangan cermin gelap pada kenderaan dan tidak mengemas kini senarai sijil kenderaan," katanya. BERNAMA  
26 Sep 21
378
Sedia Bantu Golongan LGBT Kembali Kepada Fitrah Asal
Sedia Bantu Golongan LGBT Kembali Kepada Fitrah Asal
HULU TERENGGANU, 26 September - Kerajaan sentiasa bersedia untuk membantu golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) untuk kembali ke jalan yang benar.  Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad berkata, tumpuan seharusnya diberi kepada usaha mendekati dan mendidik golongan itu untuk kembali kepada fitrah mereka. "Kita akan membantu golongan LGBT dari segi kaunseling jika mereka nak bertaubat dan kembali berubah kepada identiti asal,"ujarnya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada Madrasah Darul Ansar Kampung Basong, di sini, hari ini. Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh dan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Nasrudin Hassan. Idris berkata demikian ketika diminta mengulas tentang isu usahawan kosmetik Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat yang kini dalam proses permohonan ekstradisi  dari pihak berkuasa Thailand. "Jika Nur Sajat atau golongan LGBT mengaku salah dan ingin berubah ke fitrah asal.. insya-Allah kalau dia sudi datang kepada kita,  tidak ada masalah, kita terima dan bantu kerana kita bukan mahu menghukum, tetapi lebih kepada mendidiknya," katanya.
26 Sep 21
366
Kejohanan PUBGM 2021 Galak Perkembangan E-Sports Terengganu
Kejohanan PUBGM 2021 Galak Perkembangan E-Sports Terengganu
KUALA TERENGGANU, 26 September – Kerajaan negeri komited memberi sokongan dan ruang kepada anak muda dalam perkembangan Sukan elektronik (e-sports) melalui penganjuran permainan PlayerUnknown's Battlegrounds (PUBG) Mobile dalam Program Karnival Esports Belia Terengganu 2021. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, penganjuran kali kedua sukan tersebut merupakan medium bagi mencungkil bakat anak muda di setiap daerah dalam arena e-sukan. “Program anjuran Urus Setia Belia Sukan & NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT) dan Department of culture and sport-Esport (DACSes) serta E-sport Malaysia Terengganu (ESM) berjaya menolak persepsi negatif terhadap bidang tersebut dengan diselitkan syarat-syarat dan garis panduan tertentu kepada peserta. “Agama islam tidak menghalang apa-apa minat termasuk dalam sukan e-sport dengan memberi panduan terbaik untuk melakukan sebarang pekerjaan begitu juga apabila berhadapan dengan permainan e-sport ini. “Kerajaan negeri mahu melihat anak muda di Terengganu berjaya menempa nama dalam apa-apa yang diceburi dengan jayanya,” katanya semasa siaran langsung pelancaran di Facebook UBSNT, semalam. Menurutnya, penganjuran kali kedua tersebut menampilkan seramai 512 pasukan daripada seluruh negeri dengan 64 skuad setiap lapan daerah berentap dalam kejohanan secara atas talian tersebut. “Antara hadiah bakal direbut pada Peringkat Daerah sehingga RM1,500 bagi Juara, Naib Juara sebanyak RM800 manakala tempat Ketiga RM500 dan Tempat Ke-4 RM250,” katanya lagi. Menurut kenyataan penganjur, kejohanan bermula 24 September lalu sehingga 16 Oktober depan akan bersiaran setiap Jumaat dan Sabtu pada peringkat daerah. “Pasukan empat Teratas setiap daerah akan ke peringkat seterusnya, yang akan mengumpulkan 32 pasukan terbaik Pejuang PUGBm Terengganu di Peringkat Grandfinal Offline,” jelasnya.
26 Sep 21
456
Vaksin COVID-19 : Empat Penemuan Baharu
Vaksin COVID-19 : Empat Penemuan Baharu
KUALA TERENGGANU, 26 September – Suntikan vaksin COVID-19 yang lengkap dibuktikan dapat mencegah beberapa perkara berdasarkan empat aspek kajian dijalankan bermula 1 April sehingga 12 September melibatkan 14,500,984 individu lengkap vaksinasi. Menurut KKM, kajian itu membuktikan pengambilan vaksin COVID-19 dengan dos lengkap adalah 83 peratus berkesan dalam mencegah kemasukan ke ke unit rawatan rapi (ICU) dan 88 peratus berkesan dalam mencegah kematian. “Selain itu, pengambilan dua dos suntikan 88 peratus berkesan mengurangkan risiko jangkitan serta 86 peratus berkesan mengurangkan risiko jangkitan bergejala,” katanya menerusi hantaran di Twitter, kelmarin. Katanya, analisis tersebut dijalankan Real-World Evaluation of Covid-19 Vaccines di bawah PICK (RECoVaM) dan diterajui Institut Penyelidikan Klinikal (ICR-NIH) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). “Daripada lebih 14.5 juta individu lengkap vaksinasi itu, 953 orang atau 0.0066% dimasukkan ke ICU manakala 1,445 atau 0.010 peratus kematian. “Majoriti individu lengkap vaksin yang dimasukkan ICU dan kematian adalah warga emas dan mempunyai komorbid. Dalam pada itu, AstraZeneca menunjukkan bilangan kes ICU dan kematian yang lebih rendah. “Ini kerana bilangan penerima dos lengkap vaksin itu yang sedikit berbanding vaksin Pfizer dan Sinovac serta sebahagian besar penerima vaksin itu adalah golongan muda,” katanya lagi menerusi webinar dibentang oleh Pengarah ICR-NIH, Dr. Kalai Peariasamy. Berdasarkan Laman web rasmi kerajaan Malaysia untuk data dan analisa tentang COVID-19, Terengganu telah mencapai kadar vaksinasi lengkap bagi dewasa lebih 80 peratus dengan 91 peratus lagi sekurang-kurangnya disuntik satu dos.
26 Sep 21
1405
Semua Aktiviti Keagamaan Di Masjid Dan Surau Dibenarkan
Semua Aktiviti Keagamaan Di Masjid Dan Surau Dibenarkan
KUALA TERENGGANU, 25 September - Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu (MAIDAM)Terengganu  bersetuju untuk memperluaskan aktiviti keagamaan di masjid dan surau dalam negeri berkuatkuasa serta merta. Yang Dipertuanya, Dato' Osman Muda berkata, kebenaran pelaksanaan itu diperkenankan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin susulan perluasan aktiviti keagamaan dalam tempoh fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN). Katanya, semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau dibenarkan dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Kesihatan Dan Keselamatan yang ditetapkan. "Dalam masa yang sama, semua masjid dan surau dikehendaki mengadakan solat hajat dan bacaan Surah Yasin setiap malam Jumaat. "Majlis akad nikah di masjid, surau dan premis persendirian juga dibenarkan dengan mengikut garis panduan yang akan dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini. Tambahnya lagi, kebenaran juga diberikan kepada semua Institusi Pondok, Madrasah dan Pusat Tahfiz yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu untuk menjalankan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara bersemuka tertakluk kepada SOP Kesihatan dan Keselamatan yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Osman turut menegaskan, masjid dan surau yang dikenakan arahan penutupan mengikut Seksyen 18, (1), (d), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) tidak dibenarkan melaksanakan aktiviti sepanjang tempoh penutupan. Dalam masa yang sama, aktiviti ziarah kubur dibenarkan  dengan memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) Kesihatan dan Keselamatan dipatuhi.      
25 Sep 21
1646
323,000 Penerima Dos Ketiga Vaksin Di Terengganu
323,000 Penerima Dos Ketiga Vaksin Di Terengganu
HULU TERENGGANU, 25 September - Pemberian dos ketiga  vaksin Co­vid-19 di negeri ini akan melibatkan seramai 323,000 penerima. Pengarah Kesihatan negeri, Dato' Dr. Kasemani Embong berkata, pemberian dos ketiga ini akan dimulakan sebaik sahaja menerima arahan pelaksanaannya di peringkat negeri. Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 31,000 merupakan petugas barisan hadapan kesihatan diikuti 104,000 warga emas dan 188,000 golongan komorbiditi. “Proses suntikan berkenaan dijangka dilakukan di pusat pemberian vaksin (PPV) klinik kesihatan atau hospital memandangkan PPV awam dan integrasi akan ditutup pada 15 Oktober depan,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau program vaksinasi Orang Asli di Kampung Sungai Berua di sini hari ini. Semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, garis panduan mengenai proses agihan dos ketiga atau dos penggalak vaksin Covid-19 bakal dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) minggu depan. Katanya, ketika ini panel pakar perubatan dan kesihatan sedang membangunkan garis panduan pelaksanaan pemberian dos berkenaan. Dalam pada itu, Kasemani memberi jaminan Terengganu tidak mempunyai sebarang masalah berhubung bekalan vaksin bagi pemberian dos ketiga kerana mempunyai jumlah yang mencukupi.
25 Sep 21
1633
Harga Kit Ujian Kendiri COVID-19 Dijangka Lebih Murah
Harga Kit Ujian Kendiri COVID-19 Dijangka Lebih Murah
HULU TERENGGANU, 25 September- Kementerian  Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengadakan perjumpaan dengan wakil beberapa persatuan pengusaha farmasi bagi menurunkan harga kit ujian kendiri COVID-19 menjelang akhir bulan ini. Timbalan Menteri, Dato' Rosol Wahid berkata, seperti yang dihasratkan kerajaan, harga kit ujian tersebut akan diturunkan lebih murah menjelang akhir bulan ini dan pengumuman harga terbaharu itu akan dilakukan dalam masa terdekat. Katanya, ia juga untuk memudahkan ibu bapa membuat ujian saringan sebelum anak mereka memulakan sesi persekolahan pada 3 Okt depan. "Penjualannya juga tidak hanya terhad di farmasi dan klinik seperti sekarang sebaliknya akan diperluaskan ke premis perniagaan yang lain seperti pasar raya besar dan pasar mini. "Ini akan memudahkan rakyat kerana bukan sahaja harganya lebih murah tapi ia juga mudah untuk didapati. Walaupun penurunan harga itu belum dimuktamadkan lagi, namun jumlahnya nanti mampu dimiliki dan tidak membebankan rakyat berbanding harga sekarang," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau proses vaksinasi 327 Orang Asli di Kampung Sungai Berua di sini, hari ini. Turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri Dato' Dr Kasemani Embong. Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata walaupun harga sekarang sudah murah tetapi agak membebankan ibu bapa terutama yang anak mereka masih ramai bersekolah. "Kalau ada lebih lima orang anak, harga kit ujian kendiri yang perlu dibeli sudah mencecah RM100..harga baharu ini nanti tidak akan membebankan lagi dan yang penting buat ujian untuk pastikan  anak sihat sebelum kembali ke sekolah," katanya. Bermula 5 September lepas, KPDNHEP menetapkan harga runcit maksimum bagi setiap set kit ujian kendiri COVID-19 pada harga RM19.90 manakala harga borong pula ditetapkan RM16.    
25 Sep 21
255
'Ern Udah Coit Vaksin'- Orang Asli Sungai Berua
'Ern Udah Coit Vaksin'- Orang Asli Sungai Berua
HULU TERENGGANU, 25 September - 'Ern udah coit vaksin'(Saya sudah ambil vaksin) ujar Putra Kamarudin, 20, selepas menerima vaksin dos tunggal CanSino  di Sekolah Kebangsaan Sungai Berua di sini menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan hari ini. Menurutnya, pada permulaan dia dan ahli keluarganya tidak mahu menerima suntikan vaksin namun setelah diberi penerangan kebaikan dan kepentingan vaksin mereka mengubah fikiran dan bersetuju mendapatkan suntikan. "Saya rasa bertuah apabila hanya dengan sekali suntikan dapat menghalang jangkitan virus Covid-19 yang begitu mudah merebak. "Selepas menerima vaksin saya dinasihatkan supaya berehat sehari di rumah sebelum boleh mencari rezeki di hutan," katanya kepada pemberita. Bagi bapa kepada dua anak, Sam Kulim, 31, berkata sebelum ini dia tidak berminat untuk menerima vaksin namun mengubah fikiran demi keselamatan diri dan keluarga. "Banyak cerita buruk pasal vaksin menyebabkan kami rasa takut tetapi apabila tengok keadaan wabak makin teruk, saya akur demi kebaikan bersama,"ujarnya. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Alias Pelong berkata,  beliau lebih yakin dapat menghindari jangkitan Covid-19 selepas menerima suntikan itu. “Saya sentiasa menjelaskan kepada anak buah di kampung supaya jangan takut terima vaksin dan jangan percaya mitos yang tular di aplikasi Whatsapp bahawa suntikan ini boleh membawa maut. "Bagi pihak orang asli, saya mengharapkan suntikan vaksin itu memudahkan kami keluar ke bandar bagi menyelesaikan urusan harian yang sebelum ini tertangguh kerana orang ramai takut untuk berurusan,"ujar beliau.  
25 Sep 21
373