Artikel "Utama" Terkini
Panasonic Cadang Bina Kilang Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 2 Oktober - Syarikat teknologi gergasi Jepun, Panasonic Appliances Air-Conditioning Malaysia Sdn Bhd (PAPAMY) bakal berkerjasama dengan Terengganu sebagai kerajaan negeri pertama sejak 1972 dalam membangunkan ekonomi dan modal insan tempatan.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro Dan Hal Ehwal Pengguna, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, antara cadangan awal kerjasama itu adalah melalui pembinaan kilang pembuatan penghawa dingin serta keutamaan jawatan buat lepasan institusi latihan dalam negeri ini.
“Kita akan menawarkan kepada PAPAMY untuk melebarkan sayap perkilangan pertama kali di Pantai Timur, saya difahamkan jumlah kilang elektronik dibawah cabang itu adalah 22.
“Terengganu mempunyai tanah industri bersesuaian dengan lokasi strategik berdekatan dengan perlabuhan, tambahan lagi dengan projek Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), faktor pemilihan akan berdasarkan jajaran tersebut,” katanya ketika ditemubual pemberita, baru-baru ini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera itu turut berkongsi hasrat kedua PAPAMY iaitu mereka mahu menjadikan pusat latihan kemahiran dalam negeri sebagai ‘anchor’ bagi meningkatkan jaminan pekerjaan buat lepasan pendidikan tersebut.
“Mereka ingin menghasilkan satu kursus dalam bidang penghawa dingin sebagai silibus pembelajaran, menerusinya, ia memberi jaminan buat pelajar kita bagi terus bekerja sebaik sahaja menamatkan latihan tidak mengira sijil, diploma atau degree.
“Silibus mereka sudah diiktiraf Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), bagi menyelaraskan pelaksanaannya, Urus setia Pekerjaan Terengganu (UPNT) yang mempunyai 30 agensi bercampur dibawahnya akan meneliti cadangan awal ini,” katanya lagi.
Terdahulu, Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Terengganu Human Resource Development Centre (T-HRDC) dengan Panasonic Appliances Air conditioning Malaysia Sdn Bhd (PAPAMY) telah dimeterai bagi memastikan kadar pengangguran dikurangkan seterusnya akan meningkatkan mutu dan taraf hidup rakyat.
02 Oct 21
4824
COVID-19 : Kes ICU, Penggunaan Katil Pesakit Di Terengganu Menurun
KUALA TERENGGANU, 2 Oktober – Terengganu mencatatkan trend penurunan kes aktif pesakit COVID-19 dan yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sejak akhir bulan lepas sehingga awal bulan ini.
Berdasarkan data semasa jangkitan COVID-19 di Malaysia yang dimuatnaik ke laman web COVIDNOW, kadar kes ICU menurun daripada 37 kes (20 September) kepada 19 kes sehingga semalam.
“Ini menjadikan kadar penggunaan katil ICU untuk COVID-19 sebanyak 50 peratus dengan kadar keseluruhan sebanyak 62.5 peratus sahaja,” jelasnya.
Sementara itu, Jumlah kes pesakit virus diwadkan di hospital turut menunjukkan penurunan sebanyak satu kali ganda dengan 412 kes (12 September) kepada 291 kes aktif di wad.
“Kadar penggunaan katil untuk pesakit kini mencatatkan kurang 60 peratus dengan kadar penggunaan keseluruhan hampir 80 peratus.
“953 kes aktif direkodkan pada 11 September yang juga kes tertinggi direkodkan sejak bulan Mei tahun ini telah menurun kepada 699 kes pada semalam,” menurut maklumat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Terbaharu, Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin, telah bersetuju agar setiap kemudahan yang diumumkan sebelum ini dilaksanakan dengan syarat vaksinasi lengkap kekal bagi semua fasa pelan pemulihan negara.
“Bagi individu yang tidak boleh divaksin atas sebab kesihatan, mereka perlu mengemukakan maklumat kesihatan yang telah disahkan oleh Pegawai Perubatan,” katanya setelah Mesyuarat Jemaah Menteri, semalam.
02 Oct 21
1200
Kerajaan Diharap Teruskan Inisiatif Bantu Pengendali Hotel Hingga Jun 2022
KUALA TERENGGANU, 2 Oktober - Sejak COVID-19 melanda Malaysia, industri pelancongan merupakan sektor paling teruk terjejas dengan menyaksikan banyak pemain industri itu sekali gus memberi kesan langsung kepada kehidupan tenaga kerjanya.
Justeru itu, Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Terengganu berharap kerajaan dapat meneruskan beberapa inisiatif bantuan sehingga Jun 2022 untuk memastikan kelangsungan industri itu mengharungi cabaran pasca pandemik COVID-19.
Pengerusinya, Suaibah Harun berkata industri pelancongan jelas memerlukan lebih banyak bantuan kerajaan dan mempunyai harapan besar supaya banyak perkara dipermudahkan demi kebaikan bersama.
Jelasnya, ini bersesuaian dalam usaha untuk menyokong pengusaha untuk bangkit semula selepas sekian lama terjejas.
"Untuk memulakan kembali operasi pasti agak sukar, jadi ketika inilah kami amat memerlukan sokongan kerajaan seperti Program Subsidi Upah, diskaun bayaran bil elektrik air dan sistem pembetungan serta penambahbaikan sistem percukaian dalam industri pelancongan.
"Pengendali hotel sangat berharap kerajaan meneruskan Program Subsidi Upah untuk membantu majikan mengekalkan jumlah pekerja yang sama di premis masing-masing.
"Inisiatif ini perlu diteruskan sekurang-kurangnya hingga Jun 2022 atau ketika sempadan antarabangsa dibuka semula," katanya ketika ditemui pemberita di sini malam tadi.
Suaibah berkata, sehingga kini terdapat 36 hotel yang berdaftar dengan MAH Terengganu.
Beliau yang juga Pengurus Besar Primula Beach Hotel berkata MAH Terengganu juga berharap kerajaan negeri, bank dan agensi berkaitan misalnya Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd dan Indah Water Konsortium dapat memberi diskaun kepada mereka.
"Pengusaha hotel memerlukan bantuan khas kerana perniagaan mereka ketika ini bukan hanya terjejas teruk tetapi juga menanggung bayaran utiliti, cukai, sewa dan gaji pekerja sedangkan syarikat-syarikat tersebut masih melaporkan keuntungan besar.
"Oleh itu, kami berharap diskaun yang bakal diberi dapat membantu kami di fasa pemulihan untuk membuka semula operasi," katanya.
Tambahnya lagi, kerajaan juga diharap meneruskan pengecualian cukai pelancongan sehingga 2023 serta pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) untuk bilik dan makanan sehingga Jun 2022.
02 Oct 21
276
Kesedaran Tinggi Jadikan Persilatan Melayu Sebagai Ko-Korikulum
Oleh : Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU, 1 Oktober – Kesedaran tinggi dalam mengukuhkan jati diri generasi muda melalui ilmu telah menjadikan Persilatan Melayu sebagai Ko-Korikulum di 53 buah sekolah di negeri ini.
Yang Dipertua persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, program Satu Sekolah Satu Silat (1S1S) dijalankan sebagai usaha untuk memperkenalkan seni pertahanan diri itu kepada pelajar.
“Ini adalah warisan budaya kita berdasarkan ajaran agama Islam kita yang padat dengan nilai disiplin cukup tinggi untuk pembinaan jati diri. Inilah yang kita mahu terapkan dlm program ISIS.
“Saya juga percaya bahawa anak-anak generasi baru perlu mempunyai jati diri yang tinggi dalam membawa diri dalam kehidupan masing. Antara cara yang boleh mengukuhkan jati diri generasi muda adalah melalui ilmu persilatan,” jelasnya.
Beliau yang juga Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup Kejuaraan 1S1S negeri Terengganu secara atas talian, baru-baru ini.
Katanya, matlamat pendidikan bukan sekadar nak lahirkan warganegara yang baik dan produk bagi memenuhi keperluan negara dalam pelbagai sektor tetapi mereka juga dibekalkan dengan ilmu dan kemahiran.
“Kita sudah punyai pelbagai program ko-kurikulum termasuk seni mempertahankan diri seperti judo, karate yang diimpot dari luar dengan disiplin mereka.
“Kita mahu adab Islam dalam dunia persilatan kita seperti menghormati dan mematuhi arahan guru, bekerjasama dalam satu pasukan, bahkan niat belajar silat dari awal diperbetulkan, bukan untuk riak dan mencabar orang tapi sebagai pertahanan diri serta membantu mereka yang menjadi mangsa dan perlu dibantu,” ujar Dato Yahaya.
Menurutnya, selain mempunyai nilai-nilai disiplin tinggi yang diterapkan dalam silat, ia juga turut menjadi warisan yang sepatutnya menjadi kebanggaan anak bangsa.
Justeru itu, beliau berharap program seumpama ini, yang mengangkat warisan kebudayaan perlu diteruskan lagi pada masa akan datang.
“Saya ucapkan tahniah dan syabas sekali lagi buat para penganjur diatas kejayaan penganjuran 1S1S ini,” tambah beliau lagi.
01 Oct 21
278
35 Kes Meninggal Luar Hospital Di Terengganu Akibat COVID-19
SETIU, 29 September – Sehingga kini, Terengganu mencatatkan 35 kematian akibat COVID-19 di luar hospital dan institusi kesihatan (BID) atau sebelum bantuan perubatan secara khusus diberi.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, kebanyakan kes kematian di luar hospital tersebut berlaku akibat sesetengah masyarakat lewat ke hospital dan mendapat rawatan setelah terkesan teruk akibat virus itu.
“Bila sudah tenat baru pergi hospital, COVID-19 ini penyakit baharu dan simptomnya boleh datang tiba-tiba seperti sesak nafas kerana saluran penafasan diserang wabak.
“Kebanyakan golongan yang kehilangan nyawa akibatnya belum divaksin serta komorbid (berpenyakit kronik) seperti kencing manis, darah tinggi dan sebagainya,” katanya ketika ditemubual pemberita semalam.
Beliau menasihati agar masyarakat tidak mengambil mudah simptim COVID-19 dan segera ke institusi kesihatan bagi mendapat ujian saringan.
“Jika anda mengalami tanda-tanda atau gejala, buat ujian saringan dahulu, jika didapati positif maka rawatan segera boleh diambil. Jika tidak ia akan berpotensi untuk menjadi pesakit COVID-19 tahap 4 dan 5 (kritikal).
“Jika anda telah menerima suntikan dua dos, maka kemungkinan untuk diselamatkan adalah tinggi,” katanya lagi.
Kes BID direkodkan sebagai kes baru dan kematian baru secara serentak.
29 Sep 21
1973
Panasonic Tawar Kerja Kosong, Anak Terengganu Diutamakan
KUALA TERENGGANU, 29 September – Syarikat gergasi Jepun, Panasonic Appliances Air-Conditioning Malaysia Sdn Bhd (PAPAMY) buat julung kali mengadakan kerjasama dengan kerajaan negeri membuka peluang pekerjaan bagi rakyat Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro Dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, syarikat elektronik yang memfokuskan pengeluaran penghawa dingin itu memerlukan tenaga tempatan setelah mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.
Katanya, PAPAMY mempunyai 800 kekosongan dengan lebih 500 daripadanya memerlukan pekerja dengan kadar segera.
“Sebuah Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Terengganu Human Resource Development Centre (T-HRDC) telah dijalin bagi pembekalan tenaga daripada anak-anak Terengganu yang berkelayakan,” katanya ketika dihubungi pemberita.
Menurutnya, syarikat Jepun tersebut amat positif dalam kolaborasi itu dan memberi keutamaan kepada Terengganu.
"Kami di peringkat pengurusan bersama T-HRDC serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan membentuk pakej pekerjaan sesuai bagi proses seterusnya.
“Apa yang ditawarkan PAPAMY, T-HRDC akan menjadi platform untuk rakyat bagi memperoleh pakej tersebut dan melalui proses interview dan pengambilan kerja.
“Insya-Allah sebuah mekanisma baik akan dibentuk bagi mencapai matlamat mengurangkan kadar pengangguran dalam negeri,” katanya lagi.
Tambahnya, antara jawatan pekerjaan ditawarkan seperti pengendali (operator) di kilang dengan gaji sehingga RM2,700 (termasuk elaun tambahan).
Terdahulu, sebuah majlis MoU diadakan di Seksyen 21, Shah Alam, Selangor yang dihadiri CEO T-HRDC, Tuan Aminuddin Bin Omar, manakala PAPAMY diwakili oleh Pengarah Urusannya, Toshikatsu Fukunaga.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar.
29 Sep 21
5911
Wujudkan Tabungan Rakyat, Perkasa Sistem Waqaf
Oleh : Syahirah Salleh
KUALA LUMPUR, 28 September - Ahli Parlimen Kuala Nerus mencadangkan kepada kerajaan untuk mewujudkan sistem tabungan rakyat yang boleh digunakan ketika krisis seperti pandemik Covid-19 sekarang.
Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, rakyat kini hanya mempunyai dua sistem tabungan, iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Bagaimanapun, katanya pandemik Covid-19 menyebabkan sebahagian rakyat terpaksa menggunakan simpanan KWSP yang sepatutnya hanya digunakan pada usia tua.
Katanya, kerajaan mempunyai satu lagi pilihan, iaitu Tabung Haji yang perlu diperkasakan sepenuhnya dan bukan sahaja simpanan untuk waktu tua, tetapi boleh digunakan ketika krisis.
“Dengan tabungan yang besar milik negara, digunakan dalam program pelaburan yang terjamin dan berisiko rendah, maka rakyat boleh mendapat dividen besar, sehingga mungkin mencapai 10 peratus,” ujarnya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat, hari ini.
Dr Mohd Khairuddin yakin jika tabungan itu diwujudkan dan disusun semula oleh kerajaan, rakyat akan mempunyai satu lagi bentuk tabungan simpanan yang boleh digunakan ketika berhadapan sebarang krisis.
Beliau meminta kerajaan meneliti cadangan ini dengan serius untuk memperkasakan sistem tabungan rakyat bagi menghadapi perkara yang berlaku seperti hari ini.
Sementara itu, Dr Mohd Khairuddin mencadangkan kerajaan supaya memperkasakan sistem waqaf yang sepatutnya menjadi sumber pendanaan untuk pembangunan rakyat.
Katanya, walaupun di Malaysia terdapat Yayasan Waqaf Malaysia, tetapi jumlah kutipan yang dikumpul masih kecil dan perkara ini perlu diberi perhatian. – Harakahdaily.
29 Sep 21
333
1,300 Pelajar Seberang Takir Disuntik, Petanda Sambutan Baik PICK
KUALA NERUS, 28 September – Sambutan memberangsangkan dapat dilihat dari segi kehadiran setelah 1300 pelajar telah menerima vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin Sekolah Menengah Kebangsaan Kompleks Seberang Takir (KOMSTAR) melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja.
Pengetuanya, Zalina Hassan berkata, ibu-bapa sudah dimaklumkan awal oleh pihak pengurusan sekolah masing-masing supaya hadir bersama salah seorang daripada penjaga atau membenarkan seorang wakil jika penjaga tidak dapat hadir.
“Lima orang petugas dari setiap sekolah telah memberikan komitmen yang baik tambah lagi petugas darip pejabat kesihatan daerah dan para doktor telah menjalankan tugas menyuntik pelajar tingkatan empat dan lima
“Setakat hari ini kita tidak menerima apa-apa aduan daripada ibu-bapa, semua berpuas hati dan terima kasih kepada Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang melancarkan proses PPV sebelum ini,” katanya ketika ditemubual pemberita semasa PICK di KOMSTAR, Seberang Takir, hari ini.
Turut hadir Pegawai Perhubungan Parlimen Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir mewakili Ahli Parlimen Kuala Nerus, Azmi Mokhtar.
Sementara itu, Pegawai Penyelaras DUN Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab menzahirkan penghargaan buat ibu-bapa kerana memberi sokongan kepada anak-anak untuk menerima suntikan vaksin.
“Seberang Takir mencatatkan peningkatan kes, oleh itu saya mengharapkan usaha ini dapat memastikan risiko jangkitan di sekolah dikurangkan dan seterusnya mencegah kejadian kes dan kluster di kalangan warga sekolah.
"Jumlah kehadiran melebihi 1200 murid merupakan satu petanda baik bahawa golongan pelajar sedia divaksin,” katanya lagi.
Dalam pada itu, pihak Pusat Khidmat Masyarakat DUN Seberang Takir turut mengagihkan bekalan makanan dan pelitup muka percuma kepada pelajar yang telah mendapat suntikan vaksin dos pertama.
28 Sep 21
885
Projek Rumah Gong Cempedak Berjalan Selepas Urusan Tanah, Bank Selesai
SETIU, 28 September - Projek perumahan Kampung Gong Cempedak fasa 3, Marang yang terbengkalai akan disambung semula pembinaannya setelah urusan tanah dan pinjaman bank diselesaikan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, pemaju projek swasta terbabit, Grand East Coast Construction Sdn. Bhd. memberi komitmen sama untuk meneruskan projek itu dengan seberapa segera.
Katanya, terbaharu urusan geran tanah telah berjaya diselesaikan pada 8 Julai lalu dengan bantuan kerajaan negeri.
“Sebelum ini, perbincangan telah diadakan bersama pemaju bagi mengenalpasti masalah dan perancangan menyelesaikan projek ini, persetujuan sekali lagi dicapai bahawa mereka akan meneruskan projek selepas ini.
“Mereka memaklumkan, kekangan juga timbul sebelum ini kerana pelaksanaan PKP 3.0 pada Jun lalu, ia menghalang mereka untuk melakukan kerja pembinaan semua projek termasuk kemajuan perumahan lain sebagaimana komitmen awal iaitu selepas Aidilfitri.
“Dalam masa yang sama, kerajaan negeri sekali lagi mengadakan perbincangan bersama pelbagai jabatan seperti Pejabat Tanah Marang, Majlis Daerah Marang bagi membantu dalam urusan geran tanah dan melancarkan pembangunan rumah itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah, Projek Perumahan Taman Seri Buchu di Batu Rakit di sini, hari ini.
Menurut Dr Alias, bagi memastikan pembinaan fasa 3 melibatkan 212 unit yang terbengkalai tersebut berjalan segera, rundingan bersama pihak bank sedang diusahakan agar bayaran pinjaman meneruskan projek itu diperolehi.
“Masalah kewangan ini antara faktor perumahan tersebut tidak menepati tarikh siap pada 2019, dengan mengalami keuntungan kurang memberangsangkan hasil penyiapan fasa satu dan dua.
“Diharapkan dengan kelonggaran ekonomi dalam fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) ini dapat memberi ruang untuk perbincangan antara pemaju dan pembeli, penyelesaiannya sudah ada namun perlu mengikuti peraturan sedia ada,” katanya lagi.
Terdahulu, antara penyelesaian awal kerajaan negeri pada Jun 2020 adalah melalui penghantaran aduan kepada Bahagian Pemantauan Perumahan Swasta, Jabatan Perumahan Negara (JPN) di bawah Kementerian Perumahan Kerajaan dan Tempatan (KPKT), namun tiada tindakan segera dijalankan.
Untuk rekod, projek Perumahan Gong Cempedak yang terbengkalai lebih 10 tahun lalu merupakan pembinaan yang dilupuskan kepada pihak swasta pada tahun 2006 dan ia adalah 100 peratus di bawah pengurusan sendiri serta tidak melalui Setiausaha Kerajaan (SUK) Perumahan Negeri serta campur tangan kerajaan negeri.
28 Sep 21
918
Gelandangan Di Kuala Terengganu Terima Vaksin COVID-19
KUALA TERENGGANU, 27 September – Golongan gelandangan di sekitar daerah ini menerima suntikan vaksin semalam dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md. Noor berkata, hampir 20 gelandangan termasuk yang menghidap masalah mental telah disuntik dos pertama.
“Antara lokasi tumpuan adalah di Terminal Bas Express Kuala Terengganu, Stesen Bas Tanjung dan Kuala Terengganu Waterfront di Jalan Bukit Balik.
“Pelaksanaan ini disambut baik melibatkan penyertaan daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta agensi kerajaan seperti Kementerian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis, Jabatan Pendaftaran Malaysia (JPN) serta Persatuan Komuniti Sosial Negeri Terengganu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas program vaksinasi orang gelandangan di Terminal Bas Express Kuala Terengganu, semalam.
Tambah Zuraida, inisiatif seumpama itu perlu diadakan secara berkala kerana masih ramai lagi golongan gelandangan yang belum disuntik kerana sukar dijejaki.
“Projek ini amat bagus dalam mencapai sasaran semua rakyat Malaysia menerima suntikan vaksin termasuk golongan kurang bernasib baik,” katanya lagi.
Sementara itu, ADUN Bandar, Ahmad Shah Muhamed menjelaskan walaupun sasaran asal 14 orang namun pada malam itu pihaknya berjaya menyantuni 18 gelandangan.
“Insya-Allah akan diteruskan lagi kerana gelandangan negeri Terengganu berlainan dengan bandar besar kerana kebanyakkan mereka sudah mempunyai rumah sendiri.
“Walaupun jumlah sedikit, namun kerjasama baik bersama golongan sasar ini amat baik dalam menerima dos suntikan tanpa sebarang masalah,” katanya lagi.
Untuk pengetahuan, selain orang gelandangan, usaha pemvaksinan di Terengganu turut melibatkan golongan sasar lain seperti penghuni Penjara Marang dan Orang Asli di sekitar negeri.
27 Sep 21
547