lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

KPDNHEP Jamin Bekalan kit Ujian Kendiri COVID-19 Mencukupi
KPDNHEP Jamin Bekalan kit Ujian Kendiri COVID-19 Mencukupi
HULU TERENGGANU, 9 Oktober - Orang ramai tidak perlu bimbang mengenai kemungkinan kekurangan kit ujian kendiri covid-19 kerana bekalan alat itu mencukupi dalam pasaran. Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato Rosol Wahid berkata pihak KPDNHEP kini sedang bekerjasama dengan pembekal untuk memastikan bekalan kit ujian kendiri COVID-19 mencukupi, selaras dengan permintaan yang semakin tinggi. Katanya, permintaan bagi kit sedemikian dijangka semakin meningkat selepas saranan kerajaan untuk rakyat melakukan ujian kendiri COVID-19 sebelum merentas negeri dalam masa terdekat dan negara memasuki fasa endemik. "Buat masa sekarang, kita ada kira-kira enam juta kit ujian kendiri COVID-19 dalam pasaran dengan 28 syarikat yang diberikan lesen oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai pembekal dan pengedar. "Kita jangka jumlah pembekal ini akan meningkat dari semasa ke semasa untuk menampung permintaan dalam negara dan tidak timbul isu bekalan," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas penyampaian hadiah program kayuhan basikal 'Fun Ride' Parlimen Hulu Terengganu sempena Hari Sukan Negara 2021, di Dataran Pasar Tani Kuala Berang, hari ini. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim. Tambah beliau, pengguna juga boleh mula mendapatkan kit ujian ini di premis selain farmasi, iaitu pasar raya dan kedai serbaneka menjelang akhir bulan nanti. Sementara itu, mengulas cadangan beberapa pihak supaya kerajaan memberi subsidi pembelian kit ujian kendiri COVID-19, selain dijadikan barangan kawalan juga sesuatu yang wajar dipertimbangkan, Rosol berkata  perkara itu memerlukan kajian mendalam. "Dalam keadaan ekonomi negara yang tidak stabil dan dalam fasa pemulihan, saya rasa perkara itu perlu dikaji dengan lebih mendalam kerana kerajaan telah memberikan terlalu banyak subsidi seperti subsidi makanan, minyak masak dan sebagainya. "Namun setelah kerajaan menurunkan harga kit dengan lebih murah, saya yakin semua orang mampu memilikinya," ujarnya. Dalam pada itu, Rosol berkata harga maksimum baharu kit ujian COVID-19 dijangka akan diumumkan Menteri KPDNHEP akhir November ini selepas perbincangan bersama pemain industri dan KKM dimuktamadkan.
09 Oct 21
205
Terengganu Sasar Peningkatan Lima Peratus Hasil Ikan Zon A
Terengganu Sasar Peningkatan Lima Peratus Hasil Ikan Zon A
KUALA NERUS, 9 Oktober – Kerajaan negeri menyasarkan pengeluaran ikan di pesisir pantai (Zon A) sekitar lima peratus sempena Tahun Pertanian 2021 selepas melaksanakan inisiatif memperkayakan sumber hasil laut tersebut di perairan Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, sasaran dibuat melihat kepada peningkatan sebanyak 4.8 peratus tahun 2020 masing-masing 17,266.1 tan matrik berbanding tahun 2019 sebanyak 16,462.2 tan matrik “Bermula tahun 2018, kerajaan negeri telah mula bergiat dalam program membina dan melabuh unjam di seluruh negeri Terengganu, kenaikan hasil program memperbanyakkan sumber nelayan boleh dibuktikan dengan data terkini. “Fokus kita adalah nelayan pantai, kerana kategori zon A ini kelompok masyarakat yang berada di bawah golongan B40. “Sehingga kini, 188 orang nelayan di tujuh daerah mendapat manfaat program pembinaan unjam 2021 dengan 320 unit berjaya dilabuhkan dengan peruntukkan kerajaan negeri sebanyak RM160,000,” katanya. Beliau berkata demikian selepas Program Labuh Tukun Tiruan, di perairan Tok Jembal Kuala Nerus, pagi Khamis. Turut hadir, Pengarah Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat, Pengarah Pertanian Negeri Terengganu Zulkepli Amin Mat Jusoh @ Yusof dan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab. Menurutnya lagi, sebanyak 27 unit tukun tiruan rekreasi telah dilabuhkan pada siri jelajah keempat di Kuala Nerus, diikuti dengan Setiu (Kuala Setiu) pada 17 Oktober ini.
09 Oct 21
281
SEAmEQ Tawar Lebih 100 Kekosongan Sebagai Agen Jualan Sampingan
SEAmEQ Tawar Lebih 100 Kekosongan Sebagai Agen Jualan Sampingan
KUALA NERUS, 9 Oktober – Syarikat Keropok ikan segera, SEAmEQ membuka peluang kepada warga dalam dan luar Terengganu mendapat pendapatan sampingan sebagai agen jualan. Produk keluaran syarikat Maperow Sdn. Bhd. (Maperow) itu menawarkan sehingga 100 lebih kekosongan terutamanya anak tempatan dan mereka yang boleh memasarkan kudapan pelbagai perisa itu ke luar negeri. Pengurus Pemasarannya, Nurfarzana Tajul Arifin berkata, pihaknya peka akan kesan ekonomi akibat pandemik COVID-19 yang melanda seluruh negara melibatkan mereka yang kehilangan kerja dan punca pendapatan. “Jadi kami sediakan ruang ini untuk semua bagi bantu mereka yang berminat berniaga pelbagai pilihan produk kami terutamanya keropok segera berasaskan isi ikan. “Antara manfaatnya, agen boleh membeli stok daripada kami dengan harga lebih murah dan boleh menetapkan harga jualan sendiri yang bersesuaian. Ganjaran tambahan juga diberikan kepada para agen setiap bulan. “Setakat ini kami mempunyai lebih 70 agen dalam negara dengan peratusan besar beroperasi di Kuala Lumpur, sasaran SEAmEQ akan mempunyai 200 wakil jualan pada tahun ini,” katanya ketika ditemubual pemberita, baru-baru ini. Tambah Nurfarzana, antara contoh agen SEAmEQ berjaya adalah daripada Kelantan yang berjaya meraih hasil sehingga RM13,000 hasil jualan kira-kira 1,500 ribu paket keropok segera. “Selain itu, tiada yuran pendaftaran dikenakan kepada mereka yang berminat, dengan modal rendah sahaja diperlukan,” katanya lagi. Menurutnya juga, selain keropok segera lima perisa, perniagaannya turut menjual produk berasaskan ikan seperti keropok lekor, keropok keping, satar goreng dan lain-lain lagi. Untuk maklumat lebih lanjut, boleh hubungi SEAmEQ HQ di talian 60127648528 atau media sosial; Instagram: seameqhq dan FB Page: Seameq HQ.
09 Oct 21
1527
FAMA Jamin Bekalan Sayur, Buah di Kawasan Banjir Tidak Terputus
FAMA Jamin Bekalan Sayur, Buah di Kawasan Banjir Tidak Terputus
HULU TERENGGANU, 8 Oktober - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA)Terengganu memberi jaminan bekalan komoditi seperti sayur dan buah di kawasan dilanda banjir tidak akan terputus, selain terus dijual pada harga berpatutan. Pengarahnya, Che Ghani Che Wan berkata sehingga kini FAMA mempunyai pembekalan serta kelengkapan yang mencukupi untuk menyalurkan bekalan dari Cameron Highlands ke Terengganu. "Kita ada dua belas pasar tani di seluruh negeri  dan lebih kurang seratus empat puluh lagi outlet peruncitan yang diusahakan oleh usahawan tempatan yang akan beroperasi seperti biasa walaupun musim tengkujuh. "Pihak kami akan bekerja sepenuh masa sepanjang musim banjir bagi memastikan rakyat khususnya di Terengganu tidak terbeban akibat terjejas bekalan makanan menjelang musim banjir,"katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Walkabout Ke Pasar Tani Kuala Ping Sempena Sambutan Ulang Tahun ke 56 FAMA di sini hari ini. Tambahnya, walaupun pengeluaran hasil pertanian dan produk makanan berkurangan akibat banjir, beliau memberi jaminan bahawa harga yang dikenakan adalah berpatutan.  
08 Oct 21
206
Lakukan Ujian Kendiri Sebelum Masuk Terengganu - Dr Alias
Lakukan Ujian Kendiri Sebelum Masuk Terengganu - Dr Alias
KUALA TERENGGANU, 8 Oktober - Orang ramai yang berhasrat ke Terengganu selepas kebenaran rentas negeri diumumkan, digalakkan mengambil ujian saringan Covid-19 terlebih dahulu sebelum masuk ke negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Dr Alias Razak berkata, itu merupakan syarat kerajaan negeri bagi mengawal penularan kes Covid-19 di Terengganu. Katanya, langkah tersebut difikirkan perlu berikutan  peningkatan jumlah kes Covid-19 terutama melibatkan varian Delta dan Beta di negeri ini sejak kebelakangan ini. "Sejak akhir Jun sehingga Selasa, sebanyak 42 kes penularan varian Delta(33 kes)dan Beta( 9 kes) sudah dikesan. "Justeru,orang ramai diingatkan agar lebih berhati-hati dan mengamalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat berikutan penularan varian membimbangkan (VOC) ini, katanya kepada pemberita hari ini. Tambah Dr Alias,  kit ujian saringan tersebut boleh didapati sama ada di klinik kesihatan kerajaan atau klinik swasta sebelum memulakan perjalanan ke sini. "Mereka juga boleh melakukan ujian saringan kendiri dengan membeli kit ujian kendiri di farmasi berhampiran tempat tinggal masing-masing. "Sekiranya keputusan ujian tersebut positif, pengunjung dinasihatkan menangguhkan perjalanan kerana kita tidak mahu mereka mencetuskan penularan wabak Covid-19 sekaligus menyusahkan ramai pihak," katanya.  
08 Oct 21
1056
Harga Kit Ujian Kendiri COVID-19 Akan Lebih Murah-KJ
Harga Kit Ujian Kendiri COVID-19 Akan Lebih Murah-KJ
KUALA LUMPUR, 7 Oktober - Kerajaan memberi jaminan harga kit ujian kendiri Covid-19 yang sedia ada akan diturunkan dalam masa terdekat supaya mampu dimiliki oleh semua golongan. Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat. Kata beliau, pihaknya dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan berbincang untuk menurunkan harga tersebut. "Namun kita ambil kira masa peralihan untuk pembekal  jual bekalan sedia ada.  "Kali terakhir terakhir kita turun harga kit, mereka tidak cukup masa untuk jual stok sedia ada,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. Terdahulu, kerajaan menetapkan harga runcit maksimum bagi setiap set kit ujian kendiri COVID-19 pada harga RM19.90, manakala harga borong ditetapkan RM16. Penetapan harga maksimum bagi kit ujian pantas antigen COVID-19 itu berdasarkan jangkaan berlakunya peningkatan permintaan susulan kesedaran orang ramai dalam membuat ujian sendiri bagi memastikan diri bebas daripada wabak COVID-19. Ujian pengesanan kendiri COVID-19 kini menjadi satu norma baharu yang perlu diadaptasi dalam kehidupan seharian masyarakat.
07 Oct 21
250
Terengganu Luluskan Jumlah Lesen Nelayan Terbesar
Terengganu Luluskan Jumlah Lesen Nelayan Terbesar
KUALA NERUS, 7 Oktober – Kelulusan lesen sampan khas 2021 sebanyak 600 lesen yang juga merupakan jumlah terbesar dalam sejarah, menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam memperjuangkan golongan nelayan dalam negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata isu lesen nelayan sampan sebelum ini dikatakan lapuk dan tidak diselesaikan sejak berpuluh tahun lalu. “Kebanyakkan warga ini telah lama turun ke laut mencari rezeki sepenuh masa, namun tidak mempunyai lesen sampan. “Ini menyebabkan mereka dinafikan beberapa hak seperti minyak subsidim elaun sara diri nelayan, bantuan bencana dan sebagainya, ini yang kita perjuangkan di peringkat kementerian bersama jawatankuasa khas dianggotai pelbagai jabatan dan persatuan nelayan. “Hasilnya, kita buat pemutihan sebanyak 800 orang nelayan sampan yang belum mendapat lesen untuk dibawa ke ibu pejabat Jabatan Perikanan di Putrajaya,” katanya. Beliau berkata demikian selepas Program Labuh Tukun Tiruan, di perairan Tok Jembal Kuala Nerus, pagi tadi. Turut hadir, Pengarah Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat, Pengarah Pertanian Negeri Terengganu Zulkepli Amin Mat Jusoh @ Yusof dan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab. Jelasnya, daripada jumlah tersebut, 600 lesen diluluskan dengan 503 telah diagihkan ke Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman. “Baki 200 lagi yang belum diluluskan akan diteliti dalam beberapa aspek teknikal sebelum diselesaikan,” tambahnya.
07 Oct 21
406
Hulu Terengganu Siap Siaga Hadapi Banjir
Hulu Terengganu Siap Siaga Hadapi Banjir
HULU TERENGGANU, 7 Oktober –Semua agensi yang terbabit dengan usaha dan operasi banjir kini berada dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi musim tengkujuh dan kesannya kepada beberapa kawasan berisiko tinggi yang terdedah kepada bencana di daerah ini. Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, kesiapsiagaan membabitkan amaran awal, mencari dan menyelamat, pemindahan mangsa, pengurusan pusat pemindahan dan urusan pasca banjir. Katanya, sebanyak 111 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh daerah ini sudah bersedia untuk menampung mangsa banjir pada musim tengkujuh yang dijangka melanda pada pertengahan bulan November nanti. "Kita tahu dalam suasana COVID-19 banyak persiapan yang terpaksa kita lakukan dengan prosedur operasi standard (SOP), bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19. “Kita sudah mempunyai pengalaman melaksanakan operasi banjir dalam suasana Covid-19 pada tahun lalu dan Alhamdulillah tiada kes penularan berlaku di PPS pada waktu itu,"katanya ketika ditemui di Dataran Kampung Sungai Dusun. Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan penutup program Latih Amal Operasi Pengurusan Bencana Banjir peringkat Daerah Hulu Terengganu yang melibatkan 30 anggota pelbagai agensi. Sementara itu, Mohd Adli berkata pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga sudah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan bencana banjir akibat peralihan Monsun Timur Laut. "JKM kini sedang menghantar bekalan makanan kering dan peralatan untuk kegunaan bakal mangsa banjir di 50 pangkalan hadapan di seluruh daerah ini yang dijangka selesai sepenuhnya pada hujung bulan ini," ujarnya lagi. Menurut beliau, sebanyak tiga lokasi berisiko di Kuala Telemong, Ajil dan Kuala Berang yang sering dilanda banjir hampir setiap tahun akan diberikan tumpuan. “Kesemua penduduk yang berisiko menghadapi banjir di tiga kawasan berkenaan akan dipindahkan lebih awal ke PPS sebaik bacaan air sungai berhampiran menghampiri paras bahaya,"ujarnya.
07 Oct 21
262
Sindiket Pindah Minyak Masak Subsidi Tumpas
Sindiket Pindah Minyak Masak Subsidi Tumpas
MARANG, 6 Oktober - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu berjaya menumpaskan kegiatan membungkus semula minyak masak bersubsidi di sebuah premis di Binjai Rendah, Bukit Payung di sini hari ini. Pengarahnya,  Saharuddin Mohd Kia berkata, operasi jam 11 pagi itu dijalankan empat penguatkuasa KPDNHEP, selepas siasatan awal dan risikan yang dijalankan selama seminggu. Katanya, dalam serbuan yang dilakukan, sebanyak 3,700 liter  minyak masak bersubsidi, dan dua buah lori dirampas manakala penyelia dan pekerja ditahan untuk disoal siasat. "Siasatan mendapati kilang itu beroperasi sejak Ogos lepas dan membungkus semula minyak masak bersubsidi sebelum diedarkan ke kedai-kedai di sekitar daerah itu. "Kita dapati sindiket memotong paket satu kg dan dipindahkan ke dalam sebuah tangki skid dalam premis sebelum diproses semula dalam pek pembotolan (tidak bersubsidi) tanpa kebenaran daripada Pengawal Bekalan Malaysia. "Ia bertujuan untuk mengaut keuntungan tinggi yang tidak sah melalui penjualan minyak masak berbotol yang lebih tinggi harganya berbanding minyak masak paket satu kg,"katanya kepada pemberita. Menurutnya, kesemua barangan tersebut dirampas untuk siasatan lanjut dan jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM80, 400. Beliau berkata, dalam serbuan ini juga, pihaknya menahan lima lelaki tempatan berumur 20 hingga 50 tahun  bagi membantu siasatan. "Premis ini juga tidak memiliki apa-apa kebenaran bagi menyimpan atau berurusan dengan barang kawalan berjadual iaitu minyak masak,"jelasnya lagi. Tambahnya, siasatan juga akan dijalankan ke atas pihak yang membekal minyak bersubsidi kepada premis tersebut. "Kes itu disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961," kata Shaharuddin.
06 Oct 21
993
COVID-19: 42 Kes Varian Delta, Beta Di Terengganu
COVID-19: 42 Kes Varian Delta, Beta Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 6 Oktober -  Sebanyak 42 kes jangkitan COVID-19 membabitkan varian Delta dan Beta dikesan di negeri ini sejak akhir Jun lalu sehingga semalam. Pengarah Kesihatan negeri, Dato' Dr Kasemani Embong berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 33 kes membabitkan jangkitan varian Delta dan sembilan lagi varian Beta. "10 kes varian membimbangkan (VOC) direkodkan di daerah Kemaman,sembilan di daerah Kuala Terengganu, masing-masing enam di Besut dan Dungun, empat di Hulu Terengganu, tiga di Marang, Setiu ( dua) dan Kuala Nerus (dua),”katanya menerusi Facebook rasmi beliau, semalam. Dr Kasemani berkata, trend tersebut amat membimbangkan kerana kebolehjangkitan dua varian itu menular dalam kalangan masyarakat adalah tinggi. "Fakta penting perlu diberi perhatian utama setiap rakyat adalah kadar kebolehjangkitannya yang tinggi dan sifatnya yang sentiasa berubah,"jelasnya lagi. Sehubungan itu, beliau menasihatkan masyarakat agar terus mematuhi SOP yang ditetapkan terutama sewaktu berada di luar rumah walaupun Terengganu sudah mula melangkah ke fasa tiga, Pelan Pemulihan Negara (PPN) sejak 17 September lalu. "Walaupun individu sudah mengambil vaksin, mereka tidak kebal sepenuhnya dan masyarakat jangan leka.Terus memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal," ujarnya .  
06 Oct 21
1252