lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Tiket Bas Ke Terengganu Dapat Permintaan Tinggi
Tiket Bas Ke Terengganu Dapat Permintaan Tinggi
KUALA TERENGGANU, 12 Oktober – Tiket pengangkutan ke pantai timur khususnya Terengganu dilaporkan mendapat permintaan luar jangkaan susulan kebenaran rentas negeri sejak semalam. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Sani United Bhd, Md Yusri Che Romli berkata, pusat peranginan di negeri tersebut turut mendapat permintaan tinggi daripada orang ramai termasuk lokasi lain seperti Langkawi dan negeri utara semenanjung lain. “Pembelian tiket di Klang Sentral meningkat dan saya percaya di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) turut menyaksikan trend sama. “Permintaan bas ini sudah penuh untuk ke utara dan pantai timur terutama destinasi pusat peranginan. “Kami menyediakan bas untuk ke stesen bas di Kuala Besut sebelum penumpang bertolak ke Pulau Perhentian dan Kuala Perlis sebelum ke Langkawi,” katanya sepertimana dilaporkan Sinar Harian, pada isnin. Sementara itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, menyifatkan pengumuman kelonggaran tersebut pasti melegakan pemain industri terutamanya sektor pelancongan yang sekian lama menyepi bakal kembali rancak sekali gus menyumbang kepada ekonomi yang lebih baik. “Susulan itu juga, Terengganu sebagai negeri yang mempunyai pelbagai tempat menarik untuk dilawati bersedia menerima kedatangan pelawat. Semoga kedatangan anda memberi seri semula kepada sektor pelancongan di negeri Terengganu. Beliau turut menasihati orang ramai agar mengamalkan mengamalkan TRIIS iaitu Test, Report, Isolate, Inform, Seek sepanjang kelonggaran diberikan. “Ini adalah tangunggjawab kita bersama dalam usaha membantu negara dengan pembukaan semula ekonomi serta persediaan menjalani fasa endemik dengan selamat atau #ReopeningSafely,” katanya menerusi kenyataan media di Facebook rasminya.
12 Oct 21
2759
IBU PEJABAT POLIS KONTINJEN TERENGGANU DIBINA BARU
IBU PEJABAT POLIS KONTINJEN TERENGGANU DIBINA BARU
12 Oct 21
114
Hujan Lebat Dijangka Landa Terengganu Akhir Bulan Ini
Hujan Lebat Dijangka Landa Terengganu Akhir Bulan Ini
KUALA TERENGGANU, 12 Oktober -Terengganu dijangka dilanda hujan lebat ketika musim Monsun Timur Laut mulai akhir Oktober ini dan boleh menyebabkan berlakunya banjir di kawasan rendah. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri, Hanafiah Mat, berkata, Monsun Timur Laut pada kali ini dijangka menyebabkan peningkatan hujan sebanyak 20 hingga 40 peratus daripada biasa. Katanya, secara purata kebiasaannya taburan hujan sepanjang tahun di Terengganu sekitar 3,000 milimeter (mm) namun tahun ini dijangka mencecah  hingga 3,600 mm.  "Setakat ini taburan hujan yang telah turun hampir 2,000 mm dengan kadar hujan yang turun dalam sehari sekitar 80 mm.  "Jika taburan hujan turun dalam 300 hingga 400 mm sehari, situasi banjir  mungkin akan berlaku seperti di Gunung Jerai iaitu berlakunya banjir disebabkan kepala air," ujarnya. Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penghantaran Barangan Ke Pengkalan Hadapan Pulau Redang,di Jeti LKIM, Chendering, hari ini. Dalam program tersebut, sebanyak empat metrik tan bekalan makanan dihantar ke Pulau Redang sebagai persediaan menghadapi banjir. Katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, bekalan keperluan makanan akan dihantar ke kawasan itu hanya mencukupi untuk tempoh tiga hingga lima hari. "Jika bekalan itu tidak mencukupi, kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan melakukan penghantaran bekalan fasa kedua," katanya. Dalam pada itu, beliau berkata mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri juga telah diadakan sebelum tiba musim tengkujuh untuk memastikan semua pihak bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan. Tambahnya, kerajaan negeri juga menyediakan prosedur operasi standard (SOP)  pengurusan mangsa di PPS bagi menghadapi banjir sepanjang pandemik Covid-19. "Bilik khas saringan awal akan disediakan di PPS bagi menempatkan mangsa banjir bergejala dari zon merah atau terdedah kepada pesakit Covid-19, manakala petugas kesihatan akan berada di PPS. "Bagaimanapun, sekiranya didapati positif, mereka akan dihantar ke hospital untuk rawatan," ujarnya.
12 Oct 21
2481
Pemburu Kerja Disaran Rebut Elaun Cari Kerja Sehingga RM400
Pemburu Kerja Disaran Rebut Elaun Cari Kerja Sehingga RM400
BESUT, 11 Oktober – Para pemburu kerja dalam negeri ini disaran merebut elaun mencari pekerjaan atau dikenali sebagai SIP Prihatin 2.0 yang menawarkan Elaun Persediaan Bekerja dalam bentuk one-off sebanyak RM400. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, pencari kerja dapat menikmati elaun tersebut jika menghadiri sesi temuduga sebanyak satu kali dan diterima kerja oleh pihak majikan. “Menerusi Pakej Perlindungan Rakyat Dan Pemulihan Ekonomi 2.0 (PEMULIH), perluasan Elaun Mencari Pekerjaan bernilai RM300 telah disediakan oleh pihak PERKESO kepada pencari kerja yang menghadiri temuduga sebanyak 3 kali temuduga selama dua bulan. “Manakala Elaun Persediaan Bekerja sekiranya telah kembali bekerja bagi individu yang tidak dilindungi dibawah Sistem Insuran Pekerjaan (SIP) PERKESO dan juga bagi individu yang menganggur dan aktif mencari pekerjaan. “Bakal warga kerja khususnya anak-anak negeri perlu mengambil peluang inisiatif kerajaan ini dalam membantu usaha penempatan pekerjaan,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program 'Outreach' Kesejahteraan Pekerjaan Rakyat Terengganu Edisi Daerah Besut di Dewan Majlis Daerah Besut, Jertih, pagi tadi. Sementara itu, Ketua Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) PERKESO, Dato’ Mohd Sahar Darusma menceritakan jumlah permohonan bagi SIP Prihatin 2.0 secara keseluruhannya adalah sebanyak 4,991 orang. “128 permohonan telah diluluskan dengan jumlah perbelanjaan setakat ini adalah sebanyak RM56,300. “Setakat ini, jumlah rakyat Terengganu secara umumnya yang telah berdaftar dibawah portal MYFuture Jobs adalah seramai 38,287 orang. “2,550 orang adalah daripada kawasan Jerteh, Besut. Manakala Majikan pula, jumlah telah berdaftar adalah sebanyak 1,590 majikan dan 40 majikan adalah berasal dari kawasan Jerteh," ujarnya. Katanya lagi, pihaknya akan membantu kerajaan negeri dalam meningkatkan lagi pemohonan rakyat Terengganu untuk mendapatkan insentif pelan disediakan sejak berkuatkuasa pada 15 Julai lalu. Pencari kerja perlu menggunakan portal MYFuture Jobs iaitu Portal Pencarian Pekerjaan Kebangsaan bagi memuat naik aktiviti pencarian pekerjaan.
11 Oct 21
461
Program 'Outreach' Pekerjaan Bantu Rakyat Dapat Kerja
Program 'Outreach' Pekerjaan Bantu Rakyat Dapat Kerja
BESUT, 11 Oktober – Usaha kerajaan negeri dalam membuka peluang pekerjaan kepada rakyat diteruskan dalam siri pertama Program 'Outreach' dengan menyasarkan kekosongan 800 jawatan di syarikat Panasonic Appliances Air-conditioning Malaysia Sdn Bhd (PAPAMY) dipenuhi. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, 'outreach; itu sudah bermula hari ini di Besut dan akan berakhir esok. Katanya, buat julung kalinya ia diadakan secara bersemuka di peringkat negeri dan pihaknya menyasarkan 200 orang pemburu kerja hadir di daerah tersebut. “Sehingga kini seramai 33 orang telah ditemubual dan daripadanya 25 orang telah diterima kerja dengan dua orang lagi telah bermula kerja di Kilang bertempat di Shah Alam, Selangor bersama syarikat gergasi teknologi Jepun tersebut. “Sesiapa yang berjaya memenuhi kekosongan itu juga bakal menikmati elaun mobiliti sehingga RM1,000, penginapan dan pengangkutan percuma dan lain-lain lagi manfaat. “Sambutan melalui media sosial juga amat memberangsangkan dengan kebanyakkan pencari kerja tidak mengetahui insentif ‘one-off’ yang dijalankan kerajaan bagi memudahkan mereka,” katanya. Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program 'Outreach' Kesejahteraan Pekerjaan Rakyat Terengganu Edisi Daerah Besut di Dewan Majlis Daerah Besut, Jertih, pagi tadi. Turut hadir, Pegawai Daerah Besut, Ahmad Farhan Abdul Wahab, Ketua Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) PERKESO, Dato’ Mohd Sahar Darusma dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC), Aminuddin Omar. Nurkhuzaini yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera menjelaskan antara objektif lain penganjuran tersebut bagi memberi maklumat tentang insentif PEMULIH yang disediakan oleh kerajaan kepada para pencari kerja. “Di samping menggalakkan mereka mencari pekerjaan secara aktif, ia turut memberi rakyat peluang untuk mendaftar dan melibatkan diri dalam program pekerjaan yang melayakkan mereka mendapat manfaat daripada insentif ini,” jelasnya lagi. Menurutnya juga, maklumat peserta menerusi Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) di setiap DUN akan digembleng bagi program penempatan pekerjaan diteruskan lagi di Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan daerah lain. “Kita bergantung kepada permintaan majikan (PAPAMY), jika kita berjaya merancang di tiga daerah lain, maka kita akan lihat kekosongan lain lagi pada masa akan datang,” katanya lagi. Terdahulu, T-HRDC telah menandatangani Memorandum Persefahaman kerjasama dengan PAPAMY pada 23 September dengan persetujuan bagi menghebah peluang pekerjaan kepada rakyat negeri Terengganu.
11 Oct 21
904
Hutan Berusia Lebih 200 Tahun, Tarikan Pengkaji Dan Pencinta Alam
Hutan Berusia Lebih 200 Tahun, Tarikan Pengkaji Dan Pencinta Alam
DUNGUN, 10 Oktober – Dengan jarak 20 kilometer dari pesisir Pantai Dungun, terdapat sebuah hutan berusia lebih 200 tahun dengan flora dan fauna jarang disentuh pembangunan serta pencerobohan manusia di Pulau Tenggol. Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu, Roslan Rani berkata, hutan simpan tersebut telah diwartakan sejak tahun 1941 merupakan antara 44 hutan simpan kekal di dalam negeri dengan keluasan 207 hektar. “Dari segi flora dan fauna di sini, terdapat pelbagai jenis pokok dan tumbuhan seperti di sebelah timur menghadap Laut China Selatan diatas geologi batu batan dengan tumbuhan renek. “Manakala di sebelah barat kita lihat kawasan hutan amat baik dengan pelbagai pokok Balau Laut dan Meranti bersaiz lebih 120 cm lebar dianggarkan berusia lebih satu abad. “Dari segi petak, kita mempunyai satu petak hutan simpan dara (VJR) yang boleh dibuat kajian spesis-spesis asal untuk rujukan ekologi pada masa hadapan,” katanya ketika ditemubual pemberita, baru-baru ini. Tambahnya, antara spesis herba yang terdapat di lantai hutan seperti Tongkat Ali, Bogak (kawasan berbatu) dan lain-lain sesuai bagi kerja kajian. Menjelaskan perancangan jabatannya, Roslan mencadangkan supaya dipasang papan tanda tentang jenis-jenis tumbuhan serta maklumat tentang larangan ‘Do’s and don’ts’ bagi mendidik pengunjung tentang hutan perlindungan tersebut. Sementara itu, pemilik bersama Tenggol Coral Beach Resort, Galaxxy Siew berkata, kewujudan hutan simpan tersebut juga merupakan satu daripada daya tarikan pelancong ke pulau itu terutama pencinta alam semula jadi. "Kita memang sangat berharap kawasan hutan di Pulau Tenggol ini sentiasa terpelihara daripada sebarang aktiviti pembangunan kerana ia memberi satu lagi nilai tambah kepada Pulau Tenggol kerana bukan sahaja golongan penyelam malah mereka yang sukakan tumbuh tumbuhan juga akan suka datang ke sini. "Kewujudan hutan simpan yang mengelilingi kawasan pulau juga menjadikan cuaca di sini sentiasa redup dan teduh. Jadi, pelancong dapat mandi di pantai tanpa rasa panas walaupun pada waktu tengah hari," katanya. Dalam pada itu, Siew berkata bagi menggalakkan pengunjung lebih menghargai Hutan Simpan Pulau Tenggol, pihaknya menyediakan laluan pendakian di sebuah bukit berhampiran resort itu yang kira-kira 100 meter. Beliau berkata apabila berada di puncak bukit tersebut. para pendaki bukan sahaja disajikan dengan pemandangan Laut China Selatan malah mereka akan dapat menikmati kehijauan kawasan Hutan Simpan Pulau Tenggol yang terletak di bahagian belakang bukit.
10 Oct 21
434
Rentas Negeri Dibenarkan Di Seluruh Negara Bermula Esok
Rentas Negeri Dibenarkan Di Seluruh Negara Bermula Esok
KUALA LUMPUR, 10 Oktober - Orang ramai dibenarkan untuk merentas negeri selepas kelonggaran kebenaran merentas negeri yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini. Menurut beliau, keputusan tersebut berdasarkan peratusan rakyat Malaysia dewasa yang lengkap divaksinasi telah mencapai 90 peratus. "Alhamdulillah, menurut KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di bawah Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) telah mencapai 90 peratus. “Sehubungan itu, kerajaan bersetuju memberi kebenaran untuk Keluarga Malaysia yang telah menerima vaksinasi lengkap untuk melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu memohon kebenaran daripada PDRM bermula esok,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini. Namun katanya, mereka  dinasihat agar tidak bersikap sambil lewa terhadap kelonggaran perjalanan rentas negeri yang diberikan,  "Jika hal ini diambil mudah, tidak mustahil penularan wabak COVID-19 ini akan kembali meningkat.  "Anda kini adalah barisan hadapan yang akan melindungi keluarga dan komuniti daripada jangkitan virus COVID-19," katanya.    
10 Oct 21
184
Tukun Dan Unjang Milik Komuniti, Usah Monopoli - Dr Azman
Tukun Dan Unjang Milik Komuniti, Usah Monopoli - Dr Azman
KUALA NERUS, 9 Oktober – Kerajaan negeri menyarankan kepada seluruh warga nelayan agar tidak memonopoli tukun dan unjang komuniti yang telah dilabuhkan agar nikmat kekayaan hasil laut dapat dikongsi bersama. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, nasihat tersebut dikeluarkan susulan beberapa aduan diterima berkenaan penanda tukun di perairan negeri dipercayai dipotong. “Bila kita labuhkan dua infrastruktur dalam air ini bertujuan bagi manfaat buat komuniti itu sendiri, maknanya ia adalah hak milik bersama. “Jangan ada mana-mana pihak menguasai dan jadikan ia milik peribadi dengan menandakan koordinat GPS sendiri selepas memotong penanda, akhirnya orang lain tidak tahu di mana lokasi tukun yang kita bekerja keras ingin hasilkan,” katanya. Beliau berkata demikian selepas Program Labuh Tukun Tiruan, di perairan Tok Jembal Kuala Nerus, baru-baru ini. Berdasarkan maklumat dikeluarkan Jabatan Perikanan Terengganu, sebanyak 2,445 buah Vesel menangkap ikan yang berlesen di mana 1,305 buah adalah nelayan sampan 792 buah Vesel Zon A, 118 buah Vesel Zon B, 178 buah Vesel Zon C dan 52 buah Vesel Zon C2 2. “Bilangan nelayan yang mengusahakan dan bekerja di atas bot-bot menangkap ikan berlesen adalah seramai 8,549 orang terdiri 6.340 orang (74 peratus) nelayan tempatan dan 2,209 orang (26 peratus) nelayan asing yang kebanyakkan adalah terdiri daripada rakyat Thailand dan Vietnam,” katanya.
09 Oct 21
225
Lebih 30 Peratus Bajet Negeri Bagi Langsaikan Hutang Projek Mega
Lebih 30 Peratus Bajet Negeri Bagi Langsaikan Hutang Projek Mega
KUALA TERENGGANU, 9 Oktober – Sehingga 35 peratus bajet kerajaan negeri terpaksa diguna bagi melangsaikan hutang pelbagai projek infrastruktur mega pentadbiran kerajaan terdahulu, menurut Menteri Besar Terengganu. Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, walaupun Terengganu kaya dengan hasil minyak petroleum yang menyumbang kepada 75 peratus daripada bajet negeri, namun konteks sebenar itu perlu difahami. Kata beliau, pihaknya perlu mengambil kira perancangan dan pembangunan yang dilaksanakan kerajaan terdahulu bagi mengelakkan timbul masalah lain. “Pertama, saya ucapkan terima kasih kerana telah menyediakan ruang bagi penyediaan program pembangunan infrastruktur, cuma apabila pelaksanaannya menggunakan pelbagai kaedah ia telah memberi tekanan kepada sumber kewangan kerajaan negeri. “Banyak projek ini telah menggunakan kaedah pembayaran tertangguh dan pembayaran berjadual, maka sudah tentu ada faedah ‘interest’ dan sebagainya. “Katakan satu projek bernilai RM1 bilion, oleh kerana pentadbiran negeri tidak biayai projek pada waktu permulaan tetapi menerusi kaedah tersebut, pembinaan berjalan dahulu dan tempoh pembayaran ditentukan dalam masa 5 hingga 10 tahun,” katanya. Tambahnya, antara contoh diberikan seperti pada tahun 2021, kerajaan negeri terpaksa mengeluarkan hampir RM440 juta bagi pembayaran projek terdahulu. “Bila sampai tahun ini, jumlah tersebut perlu dibayar sedangkan bajet negeri hanyalah sekitar RM1.42 bilion sahaja. Maknanya sehingga 34 peratus bajet telah digunakan bagi melangsaikan hutang dilaksanakan kerajaan sebelum ini. “Bukan kita tidak boleh membuat program pembangunan infra menggunakan hasil minyak, tapi perlu diambil kira bahan api fosil tersebut akan habis, oleh itu perancangan kini berbentuk timbal balik,” katanya lagi. Mengulas lanjut tentang punca lain pengurangan hasil kerajaan negeri, Ahmad Samsuri menjelaskan, antaranya adalah penggunaan dana negeri bagi pembiayaan projek pembangunan yang sepatutnya diambil tanggungjawab oleh Kerajaan Persekutuan. “Contohnya seperti pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 2, yang menjadi tanggungjawab pusat tetapi Terengganu telah (dalam pentadbiran lalu) menggunakan dana kerajaan negeri hasil daripada petroleum sebanyak RM1.2 bilion untuk pembiayaan LPT2. “Walaupun telah siap dibina, namun perundingan daripada awal peringkat sepatutnya diadakan bagi menuntut tanggungan kos yang perlu dibayar Kerajaan Persekutuan, tapi tiada perjanjian khusus diadakan maka tiada tarik tali. “Hasilnya, apa yang kita laksanakan di Terengganu sehingga 2023 adalah mengurangkan projek pembangunan berskala mega kerana bagi memfokuskan kepada pemberdayaan rakyat sendiri,” jelas Ahmad Samsuri. Menyentuh berkenaan perancangan pentadbirannya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang itu menceritakan, antara fokus ‘empowerment’ adalah seperti mengeluarkan rakyat daripada kemiskinan, suasana kepincangan ekonomi dan lain-lain lagi. “Kita fokuskan kepada pendidikan dan memberi keupayaan dalam sektor tersebut, walaupun tiada hasil kewangan namun bagi jangka masa panjang bagi membantu keluarga dan masyarakat. “Bukan sekadar beri bantuan kewangan secara terus, tetapi melalui inisiatif lebih produktif untuk mereka bertahan,” ulasnya. Menjawab persoalan kesediaan PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, beliau menyifatkan pihaknya melaksanakan amanah diberi daripada rakyat. “Rakyat akan menilai, kita percaya pertimbangan adil harus diberikan oleh masyarakat, berdepan dengan suasana netizen yang memberi gambaran salah, perkara ini perlu ditangani dengan penerangan. “Itu adalah tugas kita semua sebagai rakyat yang bertanggungjawab yang akan menjawab di hadapan Allah SWT,” jelasnya lagi.
09 Oct 21
1465
Mayat Tiga Kanak-kanak Lemas Ditemui
Mayat Tiga Kanak-kanak Lemas Ditemui
SETIU, 9 Oktober - Mayat tiga kanak-kanak yang lemas di Sungai Kuala Baru, Kampung Mangkok ditemui awal pagi ini. Ketua Polis Daerah Setiu merangkap Ketua Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) DSP Afandi Hussin berkata, mayat pertama Nur Amni Insyirah Saiful Tarmizi, 9, ditemui pada pukul 1.08 pagi manakala adiknya Muhammad Aryyan Faheem, 7, ditemui pada 1.47 pagi. "Mangsa ketiga dan terakhir Nurul Hasya Humaira Che Mohd Humaizi, 11, ditemui pada 8.15 pagi ini. "Kesemua mangsa yang ditemui berada tidak jauh dari lokasi kejadian," katanya hari ini. Terdahulu Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir bersama ADUN Jabi, Azman Ibrahim, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri dan Langkap, Zulbhari A Rahman serta Azmi Maarof menemui keluarga mangsa dan mengucapkan takziah atas kejadian yang berlaku. Pegawai Daerah Setiu yang juga Pengerusi Bencana Daerah Setiu, Rosli Latif dalam pada itu mengumumkan penutupan operasi pada 8.40 pagi dan mengucapkan tahniah kepada semua petugas SAR. Sementara itu, Che Jemani Abdullah datuk kepada mangsa ketiga Nurul Hasya Humaira ditemui tidak dapat menahan sebak mengenangkan kejadian yang berlaku kepada cucu sulungnya itu. Dia juga mengucapkan terima kasih kepada semua anggota penyelamat yang terlibat operasi mencari cucunya.  
09 Oct 21
1554