Artikel "Utama" Terkini
Peniaga ‘Online’ Disyaki Edar Dadah Ditahan Polis
KUALA TERENGGANU, 14 Oktober - Polis menahan seorang peniaga dalam talian (online) yang dipercayai terlibat dengan sindiket pengedaran dadah di sekitar Terengganu dan Kelantan di sebuah rumah di Bukit Tok Beng di sini, jam 8.30 malam pada Selasa.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Superintenden Tium Ming Kung berkata, dalam serbuan itu polis menahan seorang lelaki tempatan yang merupakan peniaga 'online' berusia 43 tahun yang dipercayai telah melakukan kegiatan itu sejak tiga tahun lalu.
"Hasil pemeriksaan di lokasi berkenaan menemukan dadah jenis heroin dianggarkan seberat 28 gram (gram) dan dadah ini dipercayai untuk dijual di sekitar Terengganu dan Kelantan," katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.
Menurut Ming Kung, ujian saringan air kencing suspek adalah negatif dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Beliau juga berkata, polis turut menyita enam kenderaan, empat jenis barang kemas dan sejumlah wang tunai RM27,400.00 dipercayai hasil jualan dadah.
"Antara kenderaan yang di sita ialah Toyota Vellfire, kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi, empat motosikal jenis Kawasaki Z800, Yamaha Y15 ZR serta dua motosikal Yamaha RXZ dengan keseluruhan nilai sitaan dianggarkan RM381,900," ujar Ming Kung
.
Katanya lagi, semua harta-harta yang diperoleh secara haram daripada sumber kegiatan dadah juga akan disiasat dan dilucuthakkan.
14 Oct 21
696
Derita 35 Tahun Menanti Bekalan Air Bersih Bakal Berakhir
HULU TERENGGANU, 14 OKTOBER - Kesukaran lima keluarga di Kampung Jerlan, Ajil dekat sini, bagi mendapatkan bekalan air bersih bakal berakhir tidak lama lagi selepas projek penyaluran kemudahan itu sedang giat dijalankan selepas permohonan diluluskan Kementerian Kemajuan Pembangunan Luar Bandar (KPLB).
Wakil penduduk, Che Nawang Abdullah, 62, berkata, selama bertahun-tahun mereka terpaksa mengangkut air dari sebuah perigi yang dibina untuk kegunaan harian.
"Kami hanya bergantung pada air perigi, selain air hujan untuk memasak yang terletak kira-kira 20 meter dari rumahnya untuk rutin harian. Mujur ada air perigi berdekatan rumah dan tidak kering walaupun kemarau panjang.
“Air itulah kami anak beranak guna setiap hari. Namun, pada waktu malam kami bimbang haiwan berbisa seperti ular berada di kawasan itu kerana ia terletak di pinggir tebing dan kawasan semak,” katanya selepas lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri ( AJIL ), Maliaman Kassim ke rumahnya, hari ini.
Menurutnya, kemudahan itu memberikan manfaat cukup besar buat lima keluarga yang sudah lama mengimpikan bekalan air bersih.
"Selepas ini , tidak perlu lagi bersengkang mata atau 'bermandi' peluh mendapatkan bekalan air untuk kehidupan harian.
"Saya harap meter yang akan dipasang di kawasan rumah kami nanti dapat berfungsi dan dapat menyalurkan bekalan air bersih untuk kegunaan kami," katanya yang bekerja sendiri.
Seorang lagi penduduk, Mizi Mat Rashid, 44, berkata walaupun sudah biasa menggunakan air perigi untuk kegunaan harian, dia berharap masalah itu diselesaikan kerana mengambil kira kebersihan air digunakan mereka sekeluarga.
"Air perigi yang digunakan untuk memasak dan minum kadang-kadang dibimbangi tahap kebersihannya, selain kami juga turut menggunakan air hujan sekiranya bekalan air perigi habis," jelasnya.
Dalam pada itu,Ketua Teknikal SATU Hulu Terengganu Izul Badri Muhamad berkata, bekalan air yang disalurkan kepada penduduk di sini melibatkan kos kira kira RM250,000.
Menurutnya, kemudahan itu memberikan manfaat cukup besar buat seluruh penduduk kampung yang sudah lama mengimpikan bekalan air bersih.
13 Oct 21
396
Jangan Lewat Buat Permohonan i-RAHMAN - Dr Alias
KUALA TERENGGANU, 13 Oktober - Kerajaan negeri menyarankan masyarakat yang berminat dengan Skim Pembiayaan Perumahan Terengganu (i-RAHMAN) agar tidak lewat dalam membuat permohonan yang akan dibuka 17 Oktober ini sehingga 28 Februari 2022.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan Dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, nasihat tersebut agar melancarkan proses permohonan bagi memastikan penerima yang benar-benar layak menerima manfaat berkenaan.
Jelas beliau, antara syarat permohonan skim i-RAHMAN seperti pemohon atau pasangan merupakan rakyat Terengganu yang menetap di negeri Terengganu serta berumur 21 tahun ke atas.
“Bagi pemohon yang melebihi umur 50 tahun boleh dipertimbangkan dengan syarat mempunyai jaminan bayaran daripada ahli keluarga (isteri/adik-beradik/ibubapa/anak-anak).
“Berkahwin manakala 10 peratus diperuntukkan kepada golongan bujang yang berumur 35 tahun ke atas layak dipertimbangkan.
“Pemohon dan pasangan juga tidak memiliki rumah sendiri dengan pendapatan isi rumah bermula RM2,000.00 sehingga RM4,500.00,” katanya ketika Majlis Pelancaran I-Rahman, pagi tadi.
Tambahnya, syarat bagi kategori beli rumah penswastaan adalah pemohon yang ingin membeli rumah penswastaan tetapi tidak melepasi kelayakan pinjaman melalui bank perlu disertakan surat penolakan daripada bank (sekurang-kurangnya dua bank).
“Manakala syarat tanah (RMR RAHMAN) adalah permohonan bina rumah di atas tanah sendiri perlu mempunyai keluasan minima (50’ lebar x 72’ panjang) serta tapak bersesuaian dan bebas dari gadaian atau bebanan ke atasnya (siap tambun).
“Untuk maklumat lanjut, boleh merujuk di laman web e-perumahan di pautan laman sesawang https://eperumahan.terengganu.gov.my mengenai syarat-syarat, dokumen yang diperlukan untuk membuat sebarang permohonan yang ditawarkan oleh SUK (Bahagian Perumahan).
“Kesemua permohonan adalah secara atas talian sejak tahun 2014, untuk memudahkan rakyat tanpa perlu hadir ke pejabat,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal.
Beliau turut menyifatkan ia sebagai satu detik kejayaan dalam menjayakan Manifesto ke-11 iaitu memperuntukkan RM50 juta setahun untuk Tabung Pinjaman Perumahan Rakyat, bertujuan untuk membantu rakyat membina rumah atas tanah sendiri.
13 Oct 21
6077
i-RAHMAN Bukan Berbentuk Pinjaman Peribadi
KUALA TERENGGANU, 13 Oktober - Skim Pembiayaan Perumahan Terengganu (i-RAHMAN) bukan berbentuk pinjaman peribadi atau pinjaman perumahan sebagaimana ditawarkan oleh bank komersial, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan Dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak.
Menurutnya, ia tidak seperti Lembaga Pinjaman Perumahan Sektor Awam (LPPSA) yang membenarkan pemohon untuk membuat permohonan sebanyak mana yang diingini.
“Kerajaan Negeri akan mengadakan usahasama dengan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) yang berpengalaman luas dalam pembinaan Rumah Mesra Rakyat (RMR) di seluruh Malaysia.
“Satu reka bentuk konsep rumah yang patuh syariah, berkeluasan 1000 kps yang diberi nama Rumah Mesra Rakyat Darul Iman (RMR RAHMAN) akan dibina oleh pihak SPNB.
“Pembinaan akan dibuat di atas tanah pemohon sebagaimana spesifikasi berikut iaitu tiga bilik tidur, dua bilik air, ruang tamu, ruang makan dan dapur,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, pagi tadi.
Beliau menjelaskan, Pembinaan RMR RAHMAN ini akan mendapat subsidi daripada Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) sebanyak RM20,000 bagi setiap unit rumah yang akan dibina.
“Kos yang akan ditanggung oleh pemohon adalah berjumlah RM55,000 dengan bayaran balik bulanan RM286.00 sebulan selama 15 tahun.
“Pembiayaan ini adalah pembiayaan tanpa faedah dimana penawaran dan kutipan balik pembiayaan akan diuruskan oleh Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu yang mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan Rumah Mampu Milik di negeri Terengganu.
“Untuk makluman, tanah atau tapak cadangan tuan-tuan dan puan-puan akan dibuat gadaian kepada pihak PMINT yang bertindak sebagai pemegang amanah bagi menjamin pembiayaan i-RAHMAN ini,” katanya lagi.
Bagi tujuan beli rumah penswastaan pula, Alias Razak memaklumkan, kerajaan negeri memberi nafas baharu kepada rakyat tidak berjaya mendapatkan pinjaman melalui bank komersial (not bankable), setelah mendapat tawaran oleh SUK (Bahagian Perumahan) untuk memiliki rumah jenis A (Swasta).
“Kami sekali lagi ingin membantu golongan ini untuk mendapatkan pembiayaan, iaitu dengan menawarkan pembiayaan di bawah skim i-RAHMAN ini bagi memastikan golongan ini akan mendapat pembiayaan bagi membeli rumah penswastaan tersebut.
“Jumlah pembiayaan bagi tujuan beli rumah penswastaan berkenaan adalah maksimum sebanyak RM80,000 maksimum mengikut lokaliti harga sesuatu projek perumahan.
“RM5,000 perlu dibayar oleh pihak pemohon sebagai deposit dan bayaran bulanan sebanyak RM266.70 selama 25 tahun akan dikenakan kepada pemohon tanpa sebarang faedah dan perlu dibayar kepada PMINT selaku pengurus dana i-RAHMAN," jelasnya.
Tambah beliau, pembiayaan tersebut akan disalurkan terus oleh pihak PMINT kepada pihak pemaju perumahan penswastaan yang dipilih dalam permohonan.
Untuk pengetahuan, permohonan i-RAHMAN bagi bina rumah atas tanah sendiri/pihak ketiga (RMR RAHMAN) bagi tahun 2022 kini boleh dibuat menggunakan sistem e-Perumahan Versi III bermula 17 Oktober 2021 sehingga 28 Februari 2022 di pautan laman sesawang https://eperumahan.terengganu.gov.my.
13 Oct 21
6269
Pembiayaan Perumahan Tanpa Riba Dibuka Minggu Depan
KUALA TERENGGANU, 13 Oktober - Permohonan Skim Pembiayaan Perumahan Terengganu (i-RAHMAN) tanpa faedah yang bernilai RM50 juta akan dibuka pada minggu hadapan, 17 Oktober hingga Februari 2022.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pelaksanaan inisiatif itu menjadikan kerajaan negeri kini telah mengotakan 17 daripada 20 manifesto yang dijanjikan.
Menurutnya, sistem pembiayaan tersebut terbahagi kepada dua kaedah pelaksanaan, iaitu 30 peratus daripada RM50 juta (RM15 juta) adalah pembinaan rumah atas tanah sendiri atau pihak ketiga Rumah Mesra Rakyat (RMR RAHMAN).
“Yang kedua, penswastaan (70 peratus atau RM35 juta daripada RM50 juta) atau pinjaman untuk pembelian rumah bagi projek-projek swasta yang dibuat usaha sama dengan kerajaan negeri (bergantung kepada peruntukan kerajaan negeri).
“Sebagai permulaan, kerajaan akan melaksanakan kaedah pembinaan rumah atas tanah sendiri terlebih dahulu, ia akan melibatkan kerjasama kita dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) iaitu pembinaan RMR di atas tanah pemohon yang dikenali sebagai RMR RAHMAN.
“Sistem pinjaman sebanyak RM55 ribu tanpa faedah ini akan dikenakan kepada pemohon yang layak dan berjaya, permohonan (RMR RAHMAN) bagi tahun 2022 kini boleh dibuat menggunakan sistem e-Perumahan Versi III bermula 17 Oktober 2021 sehingga 28 Februari 2022,” katanya.
Jelasnya lagi, melalui sistem yang baharu ini, permohonan akan diwar-warkan melalui pautan yang dipaparkan dalam sistem dan pemohon boleh memasukkan butiran peribadi dan butiran tanah yang akan dicadangkan untuk pembinaan rumah tersebut.
“Hanya tanah yang sesuai dan memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan akan dipertimbangkan,” katanya ketika bersiaran langsung dalam Majlis Pelancaran (i-RAHMAN), pagi tadi.
Menjelaskan tentang usaha mewujudkan tabung pinjaman perumahan tersebut, Samsuri berkata, kerajaan negeri memerlukan pulangan modal seimbang agar pinjaman tersebut dapat diberikan kepada pemohon-pemohon yang baru.
“Sehubungan itu, saya menyeru kepada para peminjam yang berjaya membuat pembiayaan melalui i-RAHMAN ini untuk melunaskan bayaran pinjaman setiap bulan, ramai golongan di luar sana yang sangat memerlukan dana untuk membuat pinjaman perumahan yang mampu dimiliki.
“Kerajaan negeri amat bertegas dalam soal ini agar kita dapat membantu seramai mungkin rakyat yang memerlukan,” ujarnya.
13 Oct 21
6332
Polis Terengganu Sedia Laluan Alternatif Elak Kesesakan
KUALA TERENGGANU, 13 Oktober - Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu menjalankan Ops Lancar bagi menangani kesesakan lalu lintas berikutan jangkaan pertambahan jumlah kenderaan pada hujung minggu ini.
Ketua JSPT Terengganu, Superintendan Ismail Man berkata, operasi melibatkan kekuatan seramai 73 anggota termasuk lapan pegawai selain dibantu 14 anggota kereta peronda polis (MPV) di setiap daerah.
"Sempena Ops Lancar ini, kita membuat perancangan untuk menyediakan beberapa laluan alternatif untuk menyuraikan kesesakan lalu lintas sekiranya berlaku pertambahan kenderaan.
"Sekiranya didapati berlaku pertambahan kenderaan dan sistem lampu isyarat tidak dapat menampung kesesakan tersebut, beberapa langkah akan diambil bagi melancarkan aliran trafik bagi pengguna jalan raya yang dalam perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan untuk ke Kuala Terengganu," katanya.
Beliau berkata, pengguna jalan raya boleh menggunakan jalan alternatif iaitu laluan susur keluar Lebuhraya Pantai Timur (LPT2) – Lampu Isyarat Tepoh – Bulatan Batu Rakit – Penarik – Bulatan Che Selamah – Saujana – Beting Lentang – Kampung Raja – Kampung Lampu – Kuala Besut.
"Selain itu, pengguna jalan raya dari arah Kuala Terengganu ke Kelantan juga boleh menggunakan laluan alternatif di simpang tiga Kampung Renek, seterusnya melalui jalan pantai untuk ke arah Kelantan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Ismail berkata, pengguna jalan raya dari arah Kelantan ke Terengganu juga boleh menggunakan laluan alternatif melalui simpang di Kampung Seberang Jerteh (Persimpangan lampu isyarat Masjid Ulul Albab), seterusnya melalui jalan pantai untuk ke arah Kuala Terengganu.
"Mereka boleh menggunakan laluan pasir Puteh melalui Kuala Besut – Penarik – Bulatan Batu Rakit – Lampu Isyarat Tepoh ke LPT 2.
"Jika di daerah Setiu, pengguna boleh membuat laluan terus di lampu Isyarat Chalok, lampu Isyarat Permaisuri dan lampu isyarat Panchor Merah. Kita akan menempatkan anggota 'point duty' di kawasan yang dikenal pasti akan menjadi kesesakan 'bottle neck'," katanya.
Menurut Ismail, jika di Besut pula, pihaknya sudah membuka tiga lorong di atas Jambatan Jerteh di mana dua lorong dibuka kepada kenderaan dari arah Kuala Terengganu ke Kelantan, manakala satu lorong dibuka kepada kenderaan dari arah Kelantan ke Terengganu dengan cara meletakkan penghadang sebagai pembahagi jalan sementara.
"Kita akan menempatkan anggota 'point duty' di tiga persimpangan lampu isyarat iaitu di persimpangan lampu isyarat hadapan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Chung Hwa, Jerteh; persimpangan lampu isyarat Pekan Jerteh (hadapan bank CIMB Jerteh) dan persimpangan lampu isyarat Seberang Jerteh (hadapan Masjid Ulul Albab)," katanya.
Ismail berkata, pihaknya sudah mengambil tindakan sebelum tiba di bulatan Kampung Lampu dengan menempatkan anggota 'point duty' di lokasi bertujuan mengawal pergerakan lalu lintas.
"Tindakan selepas di bulatan Kampung Lampu pula, kita menempatkan anggota 'point Duty' di lokasi bagi mengawal pergerakan lalu lintas.
"Di Marang pula, kita akan membuat laluan terus di lampu isyarat seberang Marang dan lampu isyarat akan dibuat 'amber flashing' selain menempatkan anggota 'point Duty' di kawasan yang menjadi kesesakan 'bottle neck'," katanya.
SINAR HARIAN
13 Oct 21
748
UniSZA Sedia Sambut Kembali 2,500 Pelajar Jumaat Ini
KUALA NERUS, 13 Oktober - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah membuat persiapan sepenuhnya bagi menerima kembali seramai 2,500 mahasiswa sedia ada ke kampus bermula Jumaat ini.
Naib Canselor UniSZA (Menjalankan Fungsi), Prof. Dr Fazli Adam berkata, persediaan tersebut telah berjalan lancar sepertimana yang ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di ketiga-tiga kampus iaitu Gong Badak, Besut dan Perubatan.
Katanya lagi, kemasukan pelajar ke kampus adalah secara berperingkat bagi yang lengkap divaksin serta membabitkan mereka yang berkeperluan.
“Bagi fasa 1 iaitu 15 Oktober ini adalah membabitkan pelajar yang memerlukan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka, manakala Fasa 2 pada 28 Oktober adalah pelajar dari kategori berkeperluan lain.
“Manakala Fasa 3 pula pelajar bukan kategori berkeperluan yang akan masuk pada 13 November.
“Proses PdP akan dilaksanakan secara hibrid dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, bagi kursus atau program yang dijalankan secara dalam talian, pelajar boleh memilih untuk meneruskan PdP dari lokaliti masing-masing.
Sementara itu, Prof Fazli turut memaklumkan bahawa seramai 1,961 orang pelajar baharu sedang menjalani Minggu Mesra Siswa (MMS) secara dalam talian yang bermula 10 Oktober sehingga hari ini.
“Pelajar baharu sarjana muda ini telah mula mendaftar secara dalam talian bermula 16 September lalu dan mereka boleh masuk ke kampus pada Fasa 2 jika berkeperluan.
“Insya-Allah kita akan menerima lagi jumlah pelajar baharu yang telah memohon bagi fasa rayuan dan sedang diproses oleh pihak KPT.
“Warga kampus mengalu-alukan kepulangan pelajar, walaupun tidak semua, namun suasana kampus pasti sedikit berubah walaupun perlu mematuhi SOP yang ditetapkan,” jelasnya lagi.
13 Oct 21
954
Jalan Raya Alternatif Kuala Por Siap Dibina
Oleh : Anis Nabihah
HULU TERENGGANU, 11 Oktober - Laluan alternatif yang menghubungkan Kampung Kuala Por ke Kampung Pasir Nering siap dibina sementara menunggu kerja pembaikan serta pembinaan jambatan baharu siap sepenuhnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh berkata, jalan yang dibina lebih tiga kilometer itu menelan perbelanjaan lebih daripada RM700 ribu.
"Pada tahun lepas, kita membina sebuah jambatan untuk menghubungkan jalan ini daripada Kuala Por ke Pasir Nering dan anggaran kos jambatan tersebut kira-kira sebanyak RM200 ribu.
"Jalan baru ini akan memudahkan penduduk setempat kerana jambatan dahulu runtuh pada akhir tahun lepas dan jambatan yang baharu sedang dalam proses pembinaan," jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas membuat tinjauan di jalan baru Kuala Por, Kuala Berang, semalam.
Menurut beliau yang juga Exco kerajaan negeri, jambatan itu akan memberi kemudahan kepada penduduk setempat.
"Dahulu di sini banyak kawasan pertanian dan sukar untuk penduduk datang, oleh itu dengan siapnya jalan ini dapat menyelesaikan perkara tersebut.
"Dijangkakan dalam masa beberapa tahun lagi ramai penduduk akan membina rumah mereka di sekitar jalan ini kerana kawasan ini sudah tidak banjir lagi serta kemudahan dari segi air dan elektrik tidaklah begitu sukar dilalukan, insya-Allah," katanya lagi.
12 Oct 21
888
Projek Sungai Tiruan RM300 Juta Bermula Awal Tahun Hadapan
KUALA TERENGGANU, 12 Oktober - Projek pembuatan sungai tiruan bernilai RM300 juta bagi meminimakan kesan banjir di daerah Kemaman dan beberapa kampung di Chukai akan dimulakan awal Januari 2022.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, pembinaan sungai itu adalah sepanjang sembilan kilometer dari Paman ke Tasik Bungkus, Ibok.
Katanya, projek itu mengambil masa selama enam tahun untuk disiapkan.
"Lebar sungai tiruan itu ialah 250 meter dan ketinggiannya ialah dua meter. Jabatan Alam Sekitar telah pun memberi kelulusan Laporan Impak Alam Sekitar (EIA) projek ini.
"Apabila siap kelak, masalah banjir di sekitar pekan Chukai akan dapat diminimakan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penghantaran Barangan Ke Pengkalan Hadapan Pulau Redang,di Jeti LKIM, Chendering, hari ini.
Hanafiah berkata, projek pembinaan sungai tiruan tersebut dapat meminimumkan pertembungan Sungai Air Putih dan Sungai Cerul yang terletak di Hulu Kemaman yang mana keadaan lebih buruk jika berlaku fenomena air pasang besar dan hujan lebat.
Katanya, jika pertembungan ini berlaku ia menyebabkan banjir kawasan di sekitar Chukai seperti Bandar Baru Bukit Mentok, Kampung Pengkalan Pandan dan Kampung Tempurung.
"Keadaan lebih buruk jika berlaku fenomena air pasang besar," ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Chukai berkata, projek berkenaan memakan masa untuk dimulakan kerana ia melibatkan pengambilan tanah milik penduduk.
12 Oct 21
1363
KENALI TENGGOL, MUTIARA TERSEMBUNYI DI TERENGGANU
12 Oct 21
81