Artikel "Utama" Terkini
Terengganu Impi Anak Tempatan Berlumba Dalam MotoGP
KUALA NERUS, 17 Oktober – Kerajaan negeri yakin akan kebolehan anak-anak muda tempatan dalam sukan permotoran dan menetapkan cita-cita untuk menyertai saingan motosikal antarabangsa seperti kejuaraan Grand Prix Motosikal (MotoGP).
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, impian tersebut berpotensi untuk direalisasikan melihat kepada pencapaian bakat pelumba muda seawal umur lapan tahun seperti Pelumba cilik Terengganu, Qabil Irfan Azlan.
“Nama seperti Adam Danial Abdul Fattah dan juga Hakim Danish Ramli turut cemerlang dan sinonim dengan Kejohanan SIC MiniGP serta menyerlah bukan sahaja di peringkat nasional malah antarabangsa.
“Di peringkat kejohanan Cub Prix juga ada pelumba daripada negeri ini yang telah juara, Insya-Allah dengan pelapis sebegini tidak mustahil bakal melahirkan bakal pencabar di pentas MotoGP pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Karnival Permotoran Anak Muda Terengganu 2021 di Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, baru-baru ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu (JBSNT), Mohd Izwandy Ismail dan Pengarah Urus setia Belia Sukan dan NGO Terengganu (UBSNT), Mohd Nasir Abd Razak.
Tambah Wan Sukairi, anjuran program permotoran tersebut telah lama dirancang namung kekangan pandemik menangguhkan usaha kerajaan dalam penganjuran tersebut.
“Namun begitu, sempena Sambutan Hari Sukan Negara, Terengganu berjaya menganjurkan acara ini sebagai tanda galakkan dan sokongan kepada warga muda.
“Kerajaan negeri sentiasa menyokong segala aktiviti dijalankan orang muda terutamanya yang bertujuan baik. Dalam ucapan saya tadi, saya turut menasihati anak-anak muda yang hadir agar sentiasa mengutamakan syariat agama dalam bersukan disamping tidak meninggalkan solat,” katanya lagi.
Untuk pengetahuan Karnival Permotoran Anak Muda Terengganu 2021 mempertandingi empat kategori iaitu Sprint Test (Kereta) Sprint Test (Motorsikal), Time Attack Battle (Kereta) dan Time Attack Battle (Motorsikal).
17 Oct 21
602
Transformasi Digital Beri Kemudahan Rujukan Maklumat Kepada ADUN
Oleh : Rohayati Ripin
ALOR STAR, 16 Oktober - Transformasi digital dalam memberi kemudahan rujukan maklumat kepada para Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) diterjemahkan melalui pembangunan sistem dimana ianya mampu menyediakan maklumat berkaitan institusi legislatif secara lebih efektif, efisien dan Interaktif.
Yang Dipertua DUN Terengganu, Dato' Haji Yahaya Ali berkata, aplikasi seperti Perpustakaan Digital Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu membantu dalam skop peranan mereka sebagai ahli badan legislatif dapat maklumat dengan cepat dan tepat.
"Rombongan Pejabat DUN Terengganu membuat kunjungan ke Dewan Undangan Negeri Kedah, bukan sahaja untuk bertukar idea atau pandangan secara amnya namun secara spesifiknya turut mahu mendapatkan input melalui kunjungan ke Perpustakaan Digital Kedah bagi diadapatasi kepada sistem pembangunan sistem Perpustakaan Digital DUN Terengganu.
"Kita dalam proses membangunkan Digital Library di peringkat DUN. Jadi oleh kerana kita baru diperingkat permulaan jadi kita nak ambil pengalaman apa di negeri Kedah yang sudah ada satu 'Digital Library," jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Darul Aman pada semalam.
Selain itu, katanya, apa yang penting dalam lawatan ini adalah bertukar pengalaman dari segi bagaimana sebuah badan legislatif melaksanakan peranan yang lebih baik dari semasa ke semasa.
"Kita saling melengkapi apa yang baik ada di negeri kedah dan negeri lain yang kita lawati ada di Negeri Terengganu diambil pengalaman negeri lain.
"Kita juga ada menimba pengalaman baru yang ada di negeri Kedah sebagai contoh umpamanya kita didedahkan tadi berkait dengan penulisan hand-sign menggunakan suara yang secara automatik diterjemahkan secara tulisan," ujarnya lagi.
Justeru itu, selain dari mahu membina hubungan baik dengan Yang Berhormat Speaker dari negeri lain, beliau juga berhasrat menguruskan peranan badan legislatif dengan lebih berkesan dengan saling bekerjasama lengkap melengkapi maklumat dan pembaharuan diantara satu sama lain.
16 Oct 21
250
Tasik Kenyir Bakal Sesak Dengan Kehadiran Pelancong Luar
HULU TERENGGANU, 16 Oktober - Kawasan pelancongan Tasik Kenyir dijangka lebih sesak dengan kehadiran pengunjung dari luar bermula minggu hadapan selepas kebenaran rentas negeri.
Ketua Polis negeri, Dato' Rohaimi Md. Isa berkata, semalam Tasik Kenyir merekodkan jumlah pengunjung tertinggi iaitu 15,000 orang dengan jumlah kenderaan 4,500 buah.
Katanya, dengan kehadiran pelancong yang semakin meningkat, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) tetap perlu dititikberatkan dan pihak polis akan melakukan pemantauan secara berterusan bagi membendung penularan Covid-19.
"Kita jangka apabila masuk minggu kedua dan ketiga nanti pengunjung luar dari Terengganu akan datang untuk bercuti di sini termasuk menyewa rumah bot.
"Oleh sebab itu, kita akan beri lebih tumpuan kepada kawasan ini kerana jeti Tasik Kenyir lebih sesak dari jeti Pulau Perhentian dan Pulau Redang,"ujarnya kepada pemberita selepas membuat tinjauan pematuhan SOP di Tasik Kenyir, di sini hari ini.
Katanya, hanya pengunjung yang lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19 dibenarkan masuk dan pemeriksaan secara rawak akan dilakukan melalui aplikasi MySejahtera.
Tambah beliau lagi, sebanyak enam pasukan melibatkan 12 pegawai dan 35 anggota ditempatkan di Tasik Kenyir pada hujung minggu bagi memantau aliran trafik serta kesesakan pengunjung selain pemantauan SOP ditetapkan.
Sementara itu, Rohaimi berkata Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) mencatatkan peningkatan trafik melebihi 65 peratus bermula semalam.
16 Oct 21
587
Kanak-Kanak Tiga Tahun Lemas Terjatuh Dari Rumah Bot
HULU TERENGGANU, 16 Oktober - Malang tidak berbau apabila seorang kanak-kanak berusia tiga tahun ditemukan lemas selepas terjatuh dari sebuah rumah bot di di Air Terjun Sungai Lasir, Pengkalan Gawi,Tasik Kenyir, semalam.
Dalam kejadian jam 8.20 malam, mangsa Muhammad Al Fateh Muhammad Khairul Aiman yang tinggal di Kampung Seberang Takir, Kuala Terengganu sedang bercuti bersama ahli keluarganya.
Ketua Polis negeri, Dato' Rohaimi Md. Isa berkata, kejadian itu berlaku ketika bapa mangsa Muhammad Khairul Aiman Mohd Ariffin, 30,
sedang ambil air sembahyang untuk solat Isyak sebelum dimaklumkan anak bongsunya terjatuh ke dalam tasik berkenaan.
"Salah seorang kakitangan rumah bot berkenaan telah terjun dan berjaya menyelamatkan kanak-kanak ini namun mangsa tidak sedarkan diri lalu diberi bantuan pernafasan.
"Mangsa dibawa ke jeti Pengkalan Gawi menggunakan bot laju dan diberikan bantuan pernafasan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di jeti berkenaan
namun disahkan meninggal dunia pada jam 10.48 malam," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat tinjauan pematuhan SOP di Tasik Kenyir, di sini hari ini.
Rohaimi berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Hulu Terengganu bagi tujuan bedah siasat.
Justeru itu, beliau turut menasihatkan ibu bapa untuk peka dan memantau pergerakan anak-anak bagi mengelakkan berlakunya kejadian yang tidak diingini.
16 Oct 21
1906
Rentas Negeri: Pengguna lebuh Raya LPT2 Disaran Patuh SOP Di R&R, Hentian Sebelah
KUALA TERENGGANU, 15 Oktober - Orang ramai yang menggunakan laluan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) disarankan supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) apabila berada di kawasan awam seperti di kawasan rehat dan rawat (R&R), hentian sebelah.
Pengurus Perniagaan Wilayah LPT2, Suhaimi Samat berkata,ia berikutan susulan jangkaan peningkatan trafik bermula hujung minggu ini hingga cuti umum Maulidur Rasul, Selasa depan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar memakai pelitup muka, mengimbas kod MySejahtera, memeriksa suhu badan dan menjaga jarak fizikal termasuk ketika beratur mendapatkan makanan.
“Kami mengalu-alukan semua pelanggan untuk singgah di lima hentian rehat dan rawat (R&R) serta empat hentian sebelah dan bagi yang ingin makan secara ‘dine in’ di medan selera, mereka perlu menunjukkan status vaksinasi Covid-19 ketika membuat pesanan di gerai yang beroperasi.
“Setiap pelanggan akan menerima pelekat hijau sebelum memasuki ruang makan dan sekiranya berlaku kesesakan hingga menjejaskan penjarakan fizikal, maka LPT2 serta rakan peniaga akan menawarkan pembelian makanan secara bungkus,” katanya dalam kenyataan di sini.
Suhaimi berkata, semua kemudahan di R&R dan hentian sebelah LPT2 sentiasa dibersihkan serta dinyah kuman mengikut jadual.
Di samping itu, katanya, berkata umat Islam yang ingin menunaikan solat di surau R&R juga perlu dihadkan dan disaran membawa kelengkapan solat sendiri seperti telekung serta sejadah.
"Pihak kami komited menyediakan pengalaman perjalanan yang selamat dan selesa kepada para pelanggan,"ujarnya.
15 Oct 21
256
Pantai Angin Berbisik Lokasi Terbaharu Percutian Keluarga
MARANG, 15 Oktober- Pantai Angin Berbisik diisytiharkan sebagai lokasi peranginan keluarga dan produk pelancongan terbaharu berteraskan komuniti yang utama di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata dengan keindahan dan keunikan tersendiri mampu menarik pelancong dari seluruh negara untuk memilih lokasi berkenaan untuk bercuti bersama keluarga terutamanya pada hujung minggu.
"Pihak kerajaan bersama Jabatan Pelancongan akan mempromosikan tempat ini dengan sebaik-baiknya dan dalam jangka masa lima tahun saya yakin ia akan dapat dibangunkan dengan baik dan akan menjadi seumpama Pantai Kekabu yang telah pun diketahui dan telah penuh sesak dengan pengunjung kerana berdekatan dengan Kuala Terengganu.
"Namun di sini ia ada tarikannya yang tersendiri yang kita jangkakan selepas ini akan menerima kunjungan lebih ramai samada pelancong dari negeri ini sendiri ataupun dari luar,
"Dalam pada itu pihak kerajaan bersama Jabatan Pelancongan akan berbincang dan memikirkan dari semasa ke semasa untuk menyediakan inisiatif yang boleh diberikan dalam menjadikan tempat ini popular, " ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), pada Program Perasmian Pantai Angin Berbisik Serta Program Pengindahan Produk Pelancongan Merchang Lestari, di sini, pada hari ini.
Turut hadir, ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong dan Pengarah Jabatan Pelancongan negeri,Fadhli Yusof Haji Zakaria.
Mengulas lanjut Ariffin berkata, program pengindahan produk pelancongan daerah tersebut adalah kesiapsiagaan negeri dalam pembukaan sektor terbabit secara terkawal dalam menuju Pelan Pemulihan Pelancongan.
"Saya juga yakin, sebagai sebuah negeri yang popular ia akan menjadi pilihan untuk rakyat seluruh negara dan luar negara melancong ke sini dijangka akan berlaku peningkatan drastik bermula bulan hadapan apabila telah masuk fasa endemik.
"Dimana perkara berkenaan akan diumumkan dengan melihat penurunan kes semasa melibatkan jangkitan Covid-19, memandangkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) telah membatalkan gelembung pelancongan.
"Semua tempat pelancongan telah dibenarkan untuk dibuka dengan sepenuhnya, namun begitu pengunjung lengkap dua dos vaksin tetap menjadi keutamaan," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Merchang, Awang Hussin atau dikenali oleh penduduk setempat sebagai Haji Mat Nor berkata, dengan perasmian pantai berkenaan ia akan memberi impak yang baik kepada komuniti setempat.
"Kita telah angkat permohonan kepada kerajaan bermula tahun 2018 bagi dimajukan tempat ini, Alhamdulillah dengan pertambahan pengunjung datang ke sini, ia akan membantu mengerakkan ekonomi penduduk.
"Dimana mereka boleh berniaga dengan membuka gerai-gerai jualan dan juga boleh mengusahakan untuk membuka tempat menginap seperti chalet dan inap desa, jadi usaha kita selama ini mendatangkan hasil yang berbaloi apabila kerajaan bersedia memajukan tempat ini
"Sangat dialu-alukan untuk datang dengan keluarga pada hari minggu terutamanya hari Sabtu yang telah diisytiharkan oleh kerajaan negeri sebagai 'Hari Keluarga' untuk melakukan pelbagai aktiviti yang terdapat di sini menghabiskan masa di waktu hujung minggu, selain ia juga selamat untuk mandi manda," katanya.
Di antara aktiviti yang boleh dilakukan pengunjung ialah berkayak, aktiviti mencari kepah dan teritik, ekspedisi berkeluarga ke laluan herba di Pulau Ranggut, menghilir mudik Sungai Merchang yang damai sambil memancing dan mencandat sotong selain adanya gerai jualan makanan produk tempatan.
Untuk rekod, kerajaan pada tahun ini telah memperuntukkan RM800,000 kepada 39 lokasi Program Pengindahan Produk pelancongan di seluruh negeri, yang dibuat secara gotong royong melibatkan komuniti setempat, Badan Bukan Kerajaan (NGO), penggiat pelancongan dan sebagainya.
15 Oct 21
11163
Terengganu Catat Kadar Kelahiran Tertinggi
KUALA TERENGGANU, 17 Oktober – Terengganu mencatatkan kadar tertinggi Kadar Kelahiran Kasar (CBR) pada tahun 2020 di Malaysia dengan 21.6 kelahiran bagi setiap seribu penduduk.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata semua negeri mencatatkan penurunan bilangan kelahiran hidup pada 2020 berbanding 2019 kecuali Terengganu, Perlis dan Labuan.
Mengulas lanjut, katanya penurunan bilangan kelahiran itu mengakibatkan CBR di Malaysia menurun daripada 15.0 kelahiran pada 2019 kepada 14.4 bagi setiap seribu penduduk pada 2020.
“Antara daerah dengan kadar tertinggi di Malaysia adalah Kuala Terengganu mencatatkan CBR teratas pada tahun 2020 dengan 26.9 kelahiran setiap seribu penduduk.
“Ini diikuti oleh tiga daerah di Terengganu iaitu Marang (25.0), Setiu (22.7) dan Besut (22.7).
“Sementara itu, CBR terendah dicatat oleh Kinabatangan, Sabah pada 3.7 kelahiran per seribu penduduk, diikuti oleh Timur Laut, Pulau Pinang (6.9) dan Putatan, Sabah (7.3),” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Dr Mohd Uzir menjelaskan, wanita memainkan peranan yang penting dalam menentukan bilangan dan kadar kelahiran dalam sesebuah negara.
"Trend penurunan kelahiran ini disumbangkan oleh peningkatan taraf pendidikan wanita dan peningkatan pembabitan wanita dalam tenaga buruh.
"Selain itu, faktor seperti peningkatan purata umur perkahwinan pertama, kesan evolusi pembandaran, perubahan gaya hidup, status ekonomi dan peningkatan penggunaan kaedah perancang keluarga juga turut menyumbang kepada trend penurunan kelahiran pada masa ini," katanya lagi.
15 Oct 21
351
Kadar Kesuburan Wanita Malaysia Menurun, Tapi Terengganu...
KUALA TERENGGANU, 15 Oktober - Kadar Kesuburan Jumlah (TFR) bagi wanita umur reproduktif di Malaysia mencatatkan penurunan kepada 1.7 anak pada 2020 namun Terengganu merekodkan kadar di atas paras penggantian iaitu 2.9 anak.
Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, berkata Kadar kesuburan pada tahun 2020 merupakan yang terendah sejak empat dekad yang lalu dengan 4.9 anak bagi setiap wanita pada tahun 1970.
Katanya, bagi peringkat negeri, semua negeri mencatatkan TFR di bawah paras penggantian kecuali tiga negeri iaitu Terengganu, Putrajaya (2.8 anak) dan Kelantan (2.7 anak).
“Kadar kesuburan Malaysia berada di bawah paras penggantian 2.1 anak mulai tahun 2013,” jelasnya dalam satu kenyataan.
Merujuk kepada manual Principles and Recommendations For A Vital Statistics (Revision 3), United Nations Statistics Division (2014), paras penggantian 2.1 bermaksud purata bilangan anak yang perlu dilahirkan oleh seorang wanita dengan menanggung seorang anak perempuan yang hidup sehingga anak tersebut melahirkan anak.
“Antara faktor penurunannya adalah peningkatan purata umur perkahwinan pertama, kesan evolusi pembandaran, perubahan gaya hidup, status ekonomi dan peningkatan penggunaan kaedah perancang keluarga juga turut menyumbang kepada trend penurunan kelahiran pada masa ini.
“Jika paras penggantian kesuburan kekal dalam tempoh yang panjang, setiap generasi secara tepat akan menggantikan dirinya dan pasangannya tanpa mengambil kira migrasi penduduk,” jelasnya.
Katanya, trend penurunan kadar kesuburan di Malaysia adalah selari dengan negara maju yang lain seperti Australia (1.7 anak), United Kingdom (1.7 anak), United States (1.7 anak), New Zealand (1.6 anak), Japan (1.4 anak) dan Republic of Korea (0.9 anak).
"Trend yang sama juga diperhatikan di negara ASEAN iaitu Laos (2.6 anak), Philippines (2.5 anak), Kemboja (2.5 anak), Indonesia (2.3 anak), Vietnam (2.1 anak), Myanmar (2.1 anak), Brunei Darussalam (1.8 anak), Thailand (1.5 anak) dan Singapura (1.1 anak)," katanya.
15 Oct 21
686
PROGRAM OUTREACH PEKERJAAN BANTU RAKYAT DAPAT KERJA
14 Oct 21
174
DIJANGKA 1.5 JUTA PELANCONG KE TERENGGANU
14 Oct 21
51