Artikel "Utama" Terkini
UniSZA Jalin Kerjasama Antarabangsa, Fokus Pembiakbakaan Jagung
KUALA NERUS, 23 Oktober – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melalui Fakulti Biosumber dan Industri Makanan (FBIM) telah menjalinkan kerjasama dengan beberapa institusi penyelidikan dan pengajian tinggi berpusat di Mexico dalam memfokuskan bidang pembiakbakaan jagung.
Menerusi satu kenyataan, antara institusi yang menyertai adalah daripada industri utama yang terlibat dalam pembangunan biji benih dan penyelidikan berkaitan jagung di dunia.
“The International Maize and Wheat Improvement Center (CIMMYT), Colegio de Postgraduados en Ciencias Agricolas (COLPOS) dan Universidad de Guadalajara dan Pengarah Green World Genetics (GWG) yang telah berbincang sekali sejak bulan September lalu.
“Kerjasama ini adalah melibatkan penyelidikan dan pembelajaran bagi meningkatkan pengetahuan dan skil dalam bidang pembiakbakaan tumbuhan terutamanya jagung dan beberapa jenis tanaman lain.
“Antara aktiviti yang dirancang oleh kedua-dua pihak adalah sesi perkongsian pengetahuan melalui webinar antara pakar bidang daripada kedua-dua negara, perkongsian budaya Malaysia dan Mexico, latihan kepada staf dan pelajar,” katanya menerusi laman web rasmi UniSZA.
Tambahnya, kolaborasi berkaitan dengan pembiakbakaan tumbuhan, penanaman benih jagung yang akan dibekalkan oleh pihak CIMMYT di ladang UniSZA serta pembangunan bank biji benih jagung di Malaysia dengan kerjasama industri iaitu Green World Genetics (GWG).
“Semoga kerjasama ini akan berterusan dan dapat membantu pihak FBIM untuk meningkatkan pengetahuan dan teknik dalam bidang pembiakbakaan tumbuhan di disamping menjadi salah satu hub rujukan dalam bidang pertanian di pantai timur.
22 Oct 21
411
ADTEC Kemaman Rintis Program Jurukimpal Bawah Air
KEMAMAN, 21 Oktober - Projek perintis, program Kimpalan Bawah Air di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (Adtec) bakal melahirkan juru kimpal tempatan dan membuka peluang kerjaya berpendapatan tinggi bagi rakyat tempatan dalam industri minyak dan gas.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, seramai 10 orang peserta telah terpilih menerusi syarat ketat daripada 160 orang pemohon yang terdiri daripada lulusan bidang Teknologi Kimpalan di Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM).
Katanya, program melibatkan empat modul tersebut dibiayai menerusi dana Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).
Menurutnya, industri minyak dan gas di Malaysia menghadapi kekurangan tenaga kerja mahir yang kompeten daripada kalangan warga tempatan sebagai 'Juru Kimpal Bawah Air' atau lebih dikenali sebagai 'Underwater Welder'.
“Saya melihat penganjuran program khas 'Underwater Welding' ini amat wajar bagi mengurangkan kebergantungan kepada warga asing selari dengan apa yang dihasratkan oleh Kerajaan.
“Di industri minyak dan gas, juru kimpal bawah air berupaya memperoleh pendapatan enam angka setahun,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Surat Tawaran Dana Kompetitif Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran Bagi Program Kimpalan Bawah Air Di ADTEC Kemaman, hari ini.
Turut hadir, Ahli Parlimen Kemaman Che Alias Hamid, Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia, Shakib Ahmad Shakir dan Pegawai Daerah Kemaman Mohd Sophian Abu Bakar.
Jelasnya, yuran pembiayaan untuk menjalani kursus Kimpalan Bawah Air adalah sangat tinggi mencecah RM46 ribu seorang, kerana kursus tersebut melibatkan pensijilan oleh badan antarabangsa.
“Harapan supaya perintis ini dapat melebarkan usaha melatih anak tempatan lain melalui bakal juru kimpal sedia ada hari ini, itu diantara objektif utama kami," katanya lagi.
21 Oct 21
1665
JKNT Sedia Gerak 680 Petugas Bantu Di PPS
KUALA TERENGGANU, 20 Oktober - Seramai 680 petugas Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) bersedia membantu mangsa-mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh Terengganu.
Pengarahnya, Dato' Dr Kasemani Embong berkata, pihaknya sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga untuk menghadapi banjir di semua daerah, lebih-lebih lagi dalam tempoh pandemik Covid-19 ini.
"Seramai 322 orang mengendalikan aktiviti pencegahan di samping kawalan penyakit sebelum, semasa dan selepas banjir di PPS atau kawasan terjejas banjir.
"Setiap pasukan kesihatan itu diwakili tiga anggota yang terdiri daripada penolong pegawai kesihatan persekitaran, pembantu kesihatan awam dan pemandu,"
katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, baki 358 petugas daripada 72 pasukan lagi memberikan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan, rawatan dan rujukan jika berlaku kejadian kecemasan di PPS.
“Mereka ialah pegawai perubatan, pembantu pegawai perubatan, jururawat terlatih, jururawat masyarakat dan pemandu yang sentiasa bersiap sedia apabila diarahkan,” ujarnya.
Kasemani juga berkata walaupun kes Covid-19 di Terengganu menunjukkan tren yang semakin menurun, tetapi semua pihak tidak boleh leka.
"Pematuhan SOP mesti diutamakan bagi membendung penularan wabak ini di Pusat Pemindahan Sementara (PPS),"tegas beliau.
20 Oct 21
430
Jurunikah Tokoh Maulidur Rasul Terengganu
KUALA TERENGGANU, 18 Oktober - Jurunikah yang juga pesara guru, Yassin Salleh diumumkan sebagai tokoh Maulidur Rasul Terengganu tahun ini.
Yassin, 79, dilahirkan di Kampung Banggol Cempedak, Serada dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kampung Serada dan menyambung pengajian peringkat menengah di Pondok Durian Guling.
Beliau kemudian melanjutkan pelajaran ke Universiti Darul Uloom Deoband, Saharanpur Uttar Pradesh, India dalam bidang syariah dan undang-undang.
Pada 1970, beliau menyambung pengajian ijazah sarjana muda syariah di Universiti Al-Azhar di Mesir di samping mengambil diploma pendidikan di Universiti Ain Shams di negara sama sebelum pulang ke tanah air dan berkhidmat sebagai guru agama bermula pada 1974.
Bapa kepada tiga anak itu diumumkan sebagai tokoh Maal Hijrah oleh Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Mat Azmi Arshad sempena Pelancaran Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri, yang diadakan secara dalam talian, semalam.
Beliau menerima hadiah wang tunai RM12, 000, plak dan sijil penghargaan.
Dalam majlis sama, Anugerah Tokoh Dakwah pula diberikan kepada Mohd. Suhaimi Daud dari Dungun manakala Mohd. Draman pula dinobatkan sebagai Tokoh Keluarga Lengkap Mithali dan Hasnah Abdullah (Tokoh Keluarga Tunggal Mithali).
Bagi Anugerah Kebersihan dan Keceriaan Masjid, johan diraih Masjid Kubang Ikan, Kuala Terengganu diikuti Masjid Hadhari, Besut (kedua) dan Masjid Paya Pelandang, Dungun (ketiga).
Untuk surau pula, tempat pertama dimenangi Surau Taman Baiduri Geliga, Kemaman manakala Surau Nurul Amin Taman Golf, Kuala Nerus (kedua) dan Surau Al-Iman Losong, Kuala Terengganu (ketiga).
Bagi kategori tanah perkuburan, pemenangnya ialah Tanah Perkuburan Pulau Manis, Kuala Terengganu (pertama); Tanah Perkuburan Kampung Kayu Kelat, Besut (kedua) dan Tanah Perkuburan Masjid Tok Gebok, Hulu Terengganu (ketiga)
19 Oct 21
1552
COVID-19 : Terengganu Catat Kes Terendah Sejak Lebih Dua Bulan
KUALA TERENGGANU, 18 Oktober - Kes positif harian COVID-19 di Terengganu menunjukkan trend penurunan konsisten kepada 319 kes pada semalam, jumlah terendah sejak akhir Julai lalu.
Berdasarkan data semasa jangkitan COVID-19 di Malaysia yang dimuatnaik ke laman web COVIDNOW, kes harian di dalam negeri mencatatkan pengurangan kes harian sejak 3 Oktober daripada 827 kes.
“Ini menjadikan keseluruhan kes COVID-19 sebanyak 65,053 kes dengan jumlah kematian melebihi 400 kes.
“Jumlah pesakit COVID-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP) turut berkurang kepada 14 kes (kadar penggunaan 39 peratus) berbanding 26 kes pada akhir bulan September.
“Data pesakit aktif menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) juga menurun kepada 18 kes (kadar penggunaan katil 48 peratus) iaitu jumlah terendah sejak akhir bulan Julai,” katanya menurut maklumat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM ingin menasihati orang ramai termasuk individu yang sudah menerima vaksin Covid-19 supaya terus mematuhi saranan serta nasihat kesihatan yang sering ditekankan.
"Patuhlah kepada prosedur operasi standard (SOP) sebagai norma baharu dan dapatkan vaksin Covid-19 bagi mengurangkan risiko jangkitan yang serius, bilangan kes kematian sekali gus membina imuniti kelompok," katanya dalam satu kenyataan semalam.
18 Oct 21
1878
Lima Projek RMK-12 Mampu Rancakkan Sosioekonomi Terengganu
KUALA TERENGGANU, 17 Oktober - Lima projek berskala besar melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) akan diteruskan di Terengganu bagi mempercepatkan pembangunan sosioekonomi dan di negeri ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Mustapa Mohamed berkata, antara projek itu ialah Taman Industri Polimer di Kertih di samping Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu di Kemaman, Pemuliharaan Muara Sungai di Besut, Dungun dan Setiu serta Tebatan Banjir di Kuala Terengganu Utara.
Katanya, projek lain termasuk Menaik Taraf Jalan Persekutuan FT237 membabitkan susur keluar Cukai di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) ke Kemaman diikuti Projek Jalan Raya Simpang Pulai-Gua Musang-Kuala Berang.
“Projek kelima pula membabitkan pembangunan kawasan penanaman getah pekebun kecil.
“Pelbagai usaha dirancang untuk merancakkan ekonomi Terengganu dengan memanfaatkan kelebihan dan peluang sedia ada,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas Sesi Libat Urus Pasca RMK-12 bersama kerajaan negeri di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Yang hadir sama, Menteri Besar Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Dalam perkembangan sama, Mustapa berkata, pihaknya turut mengambil perhatian mengenai isu penyediaan bekalan elektrik di Pulau Redang dan Pulau Perhentian di samping kemudahan kesihatan untuk rakyat dan pertanian yang dibangkitkan bagi pembangunan baharu di Terengganu.
“Kita berjanji dalam masa dua minggu lagi kita akan menjawab secara lebih terperinci kepada kerajaan negeri supaya dapat diberi pencerahan,” katanya
17 Oct 21
1445
Pakai Jaket Keselamatan Sepanjang Masa Bila Berkunjung Ke Tasik Kenyir
DUNGUN, 17 Oktober - Orang ramai dinasihatkan mengutamakan pemakaian jaket keselamatan sepanjang masa ketika berada di Tasik Kenyir bagi mengelakkan berlakunya perkara tidak diingini.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Dato' Razali Idris berkata, pihaknya akan berbincang dengan pengusaha rumah bot, rumah rakit dan bot laju supaya langkah-langkah keselamatan dapat ditingkatkan termasuk mewajibkan pemakaian jaket berkenaan dapat diambil
Katanya, tindakan tegas terhadap mereka yang masih ingkar mengenai keselamatan akan turut diambil bagi mengelakkan sebarang kemalangan berlaku.
"Pihak kita juga sedang mengkaji untuk memberikan insuran perlindungan nyawa secara berkelompok ataupun bagi setiap tiket.
"Ini termasuk memastikan barang-barang keselamatan lengkap disediakan pengusaha akan menjadi syarat utama, agar keselamatan pengunjung menjadi keutamaan," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media pada Majlis Pra Pembukaan Muzium Bukit Besi, di sini pada hari ini.
Tambahnya, dengan semua pihak mengambil sikap berhati-hati kejadian yang melibatkan dua nyawa sebagaimana rumah rakit dahulu dan terkini melibatkan kanak-kanak berusia tiga tahun ditemui lemas terjatuh dari rumah bot tidak akan berlaku lagi serta akan menjadi pengajaran kepada semua.
Dalam pada itu katanya, pihaknya turut bersetuju mengagihkan 3,000 pasang jaket keselamatan bernilai RM250,000 kepada pengusaha pelancongan di tasik buatan manusia berkenaan.
"Disamping itu, kita akan mewujudkan pasukan penyelamat khas bagi melakukan pemantauan di setiap lokasi berisiko yang menjadi tumpuan pengunjung" ujarnya.
17 Oct 21
1425
Muzium Bukit Besi Sasar Kehadiran 36,500 Pengunjung Setahun
DUNGUN, 17 Oktober- Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) mensasarkan kehadiran 36,500 setahun ke Muzium Bukit Besi terutama peminat sejarah untuk menelusuri sejarah kegemilangannya seketika dahulu.
Pengerusinya, Senator Dato Razali Idris berkata ia bukan sahaja menjadi tarikan kepada pengunjung dalam negara bahkan warga asing akan bertumpu terutama bagi mereka yang mempunyai nenek moyang yang pernah bekerja di lombong Bijih Besi.
Katanya, pembinaan muzium berkenaan sangat penting dalam menyokong operasi dan pakej Pelancongan Bukit Besi Bandar Bersejarah sebagaimana Laporan Rancangan Kawasan Khas (RKK) Bukit Besi dengan memfokuskan kepada sejarah perlombongan bijih besi.
"Kita akan buat promosi secara besar-besaran dan kita juga dalam usaha untuk mengumpulkan lagi bahan-bahan yang bersesuaian untuk memberi gambaran dan maklumat kepada orang ramai untuk dijadikan sebagai pusat rujukan untuk tujuan ilmiah oleh institusi pendidikan.
"Untuk dua bulan pertama ini kita buka secara percuma kepada orang ramai untuk hadir, di mana dalam satu masa boleh memuatkan 100 pengunjung dalam suatu masa pada fasa endemik nanti,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media pada Majlis Pra Pembukaan Muzium Bukit Besi, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata muzium berkenaan akan dirasmikan sepenuhnya oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dalam masa terdekat.
"Kita juga telah menandatangi perjanjian dengan pihak Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Univerisiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk mengkaji artifak ataupun peninggalan sejarah dahulu yang ada di sekitar Bukit Besi ini.
"Dengan wujudnya muzium ini, secara tidak langsung dapat mempromosikan produk-produk pelancongan yang sedia ada di kawasan berhampiran muzium juga di Bukit Besi ini seperti sejarah pasir Raja dan kita juga mempunyai Pokok Chengal terbesar di Asia Tenggara," katanya lagi.
Tambah beliau, pihaknya juga mensasarkan 600 penduduk sekitarnya akan terlibat dalam pelbagai bidang bagi menjana ekonomi setempat.
"Harapan saya dan semua penduduk agar pembinaan muzium ini dapat memelihara nilai sejarah yang ada ini untuk tatapan generasi akan datang selain merancakkan lagi sektor pelancongan negeri Terengganu," katanya.
Menurut Setiausaha Kehormat Persatuan Sejarah Malaysia kawasan Dungun, Wan Mohd Rosli Wan Ngah Bukit Besi merupakan nadi pertumbuhan eknomi yang penting dalalam negara apabila aktiviti perlombongan dimulakan oleh Kuhara Mining dari Jepun pada Mei 1930 yang beroperasi 24 jam.
Justeru itu katanya, pihaknya bersama 130 ahli persatuan berusaha mengumpul maklumat dan bukti semua perkara bersejarah untuk dijadikan rujukan bertepatan dengan muzium yang diwujudkan tersebut, agar generasi pada hari ini mengetahuinya.
"Kami juga menghubungi dan mencari semula bekas pekerja yang pernah tinggal di Bukit Besi malah turut berhubung dengan waris warga asing yang pernah menetap di sini. Sebahagian peralatan yang ada telah dibeli daripada pemilik asal dan juga disumbangkan oleh waris dari Kanada dan Australia," ujarnya.
Untuk rekod, antara monumen yang terdapat di muzium untuk pengunjung mengimbau kembali sejarahnya itu ialah, Stesen Crushing Plant, Stesen Opal, Stesen Kolam Renang, Stesen Simpan Bahan Letupan dan Stesen Chimney.
17 Oct 21
1301
13,000 Petugas Kesihatan Di Terengganu Mula Terima Suntikan Dos Penggalak
KUALA TERENGGANU, 17 Oktober - Kira-kira 13,000 petugas barisan hadapan kesihatan mula menerima suntikan dos penggalak vaksin Covid-19, penggalak secara berperingkat bermula hari ini.
Pengarahnya, Dato' Dr Kasemani Embong berkata suntikan akan dilakukan di enam hospital kerajaan dan di 20 Pusat Pemberian Vaksin Kementerian Kesihatan (PPVKK).
"Suntikan dos penggalak hanya akan diberikan kepada mereka yang sudah melepasi tempoh sekurang-kurang enam bulan daripada tarikh penerimaan dos kedua secara sukarela,"katanya kepada pemberita.
Sementara itu, pemberian dos penggalak kepada petugas barisan hadapan dan warga emas berusia 60 tahun ke atas,
akan diberikan di PPV swasta tidak lama lagi.
17 Oct 21
761
Kebersihan Tanggungjawab Bersama – ADUN Batu Buruk
KUALA TERENGGANU, 17 Oktober - Kebersihan merupakan tanggungjawab semua pihak baik di peringkat kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) mahupun individu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi bersama NGO Geng Plastik Ija pada Jumaat lalu telah mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan Pantai Pandak, Chendering.
Program tersebut juga mendapat sambutan yang menggalakkan daripada komuniti setempat termasuklah para pengunjung yang hadir ke situ.
“Apa yang kita buat hari ini untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat betapa pentingnya kita menjaga kebersihan.
“Kita sering memberikan contoh negara Jepun yang begitu berdisiplin tentang kebersihan.
“Justeru, kita perlu mendidik masyarakat kita sehingga ke tahap itu dan ditambah lagi Islam juga sangat menekankan kepentingan menjaga kebersihan,” kata Ustaz Muhammad Khalil dalam ucapannya.
Tambah beliau lagi, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk mengucapkan terima kasih kepada Geng Plastik Ija dan semua yang turut serta dalam program tersebut.
“Semoga kerjasama ini dapat diadakan lagi pada masa akan datang,” katanya lagi.
Program gotong-royong itu telah berjaya mengumpulkan sebanyak 706kg sampah dan melibatkan seramai 200 orang sukarelawan.
ADUN Batu Buruk menyerahkan sumbangan kepada NGO Geng Plastik Ija.
17 Oct 21
537