lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Kuala Berang Wilayah E-Wallet Luar Bandar Pertama Di Malaysia
Kuala Berang Wilayah E-Wallet Luar Bandar Pertama Di Malaysia
HULU TERENGGANU, 30 Oktober - Kuala Berang bakal menjadi wilayah E-Wallet luar bandar pertama di Malaysia melalui pelaksanaan Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (Retail Digitalisation Initiative - ReDI). Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato Rosol Wahid berkata ia akan memberi satu momentum kepada agenda digitalisasi negara untuk pemain industri sektor peruncitan di kawasan luar bandar. Katanya, sesuai dengan tagline "Jom E- Wallet Sereme" semua warga peniaga dan pengguna daerah ini tidak ketinggalan dalam arus digitalisasi seperti saranan kerajaan. "Sehingga hari ini, 63 peratus  daripada 375 peniaga di Ajil serta Kuala Berang telah berdaftar dengan E-Wallet dan saya yakin akan ia akan meningkat sehingga 100 peratus. "Dengan adanya program seperti ini, saya yakin ia akan memberi impak yang disasarkan termasuk melonjakkan semula ekonomi peniaga di daerah ini yang terjejas akibat wabak pandemik," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Pelancaran Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (Retail Digitalisation Initiative - ReDI) di Pasar Besar Kuala Berang, di sini hari ini. Turut hadir, Ketua Setiausaha KPDNHEP, Dato Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh dan Pengarah KPDNHEP negeri, Saharuddin Mohd Kia. Dalam masa yang sama, pihak ShopeePay turut menyumbangkan 20 kereta sorong (Pushcart) kepada peniaga yang dikenalpasti bersesuaian di Terengganu. "Pihak ShopeePay juga akan membantu secara terus dengan pendaftaran e-dompet dan juga memberikan rebat tunai (cashrebate)  RM3 bagi setiap pembelian yang bernilai RM15 ke atas. "Kerjasama ini diharap tidak terhenti di Terengganu sahaja malahan diharap akan diperluaskan kepada seluruh negara," katanya. Tambah Rosol, bagi menyokong pelaksanaan program ReDI ini juga,  Kementerian menerusi Sekretariat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) akan melaksanakan satu program rintis sumbangan kepada pengguna bagi kumpulan sasar terpilih secara tanpa tunai di Hulu Terengganu ini.  "Program ini akan melibatkan sumbangan kepada lebih 200 ketua isi rumah dengan suntikan kewangan sebanyak RM50 selama 3 bulan  dan hanya boleh ditebus menggunakan aplikasi E-Wallet," ujar beliau.
30 Oct 21
1003
Pendidikan Awal Penting Dalam Mencegah Bahana Arak
Pendidikan Awal Penting Dalam Mencegah Bahana Arak
Oleh: Rohayati Ripin KUALA TERENGGANU, 29 Oktober – Pendidikan pada peringkat awal dalam kalangan orang Islam adalah mustahak bagi membawa budaya yang baik terutamanya bagi mencegah perbuatan haram seperti minum bahan yang beralkohol. Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Haji Yahaya Ali berkata, perlu diwujudkan suatu sistem di peringkat prasekolah dalam membentuk generasi yang baik pada masa akan datang. “Di antara yang penting dalam soal sistem pendidikan, kita mahu sistem ini dapat memenuhi apa dikatakan falsafah pendidikan Islam itu sendiri untuk melahirkan  insan yang seimbang dari segi rohani, inteleknya, emosi dan jasmani dalam bentuk bersepadu. “Jadi perkara ini perlu dibina daripada awal prasekolah hingga institut pengajian tinggi supaya kesedaran beragama itu mesti dibina sepanjang masa. Kalau dari kecil berterusan hingga peringkat lebih tinggi saya yakin masyarakat kita ini akan melihat isu arak ini sangat merosakkan ibu segala maksiat yang perlu dijauhi,” jelasnya. Beliau berkata demikian dalam satu forum atas talian dianjurkan oleh Terengganu Strategic & Integrity Institute, pada semalam. Justeru itu, beliau berharap ahli Badan Legislatif melihat perkara ini sebagai isu serius dan pada masa yang sama pihak kerajaan sendiri perlu lebih tegas. “Supaya kita mahu dalam negara kita ini walaupun ada kebebasan di kalangan orang bukan Islam untuk minum arak secara privasi tapi tidak boleh kita katakan apa sahaja perkara berkait dengan arak walaupun mereka berhak minum arak. “Mereka boleh bertindak bebas yang menyebabkan kita tidak menjaga dari segi keharmonian masyarakat itu sendiri,” tegasnya. Beliau menambah, kerjasama semua pihak memainkan peranan masing-masing yang amat penting. “Di peringkat mereka yang berkuasa mesti ada suatu kemahuan yang begitu tinggi bagaimana kita nak melaksanakan tanggungjawab sebagai orang Islam dan khalifah Allah di atas muka bumi ini. “Islam bukan hanya dilaksanakan secara peribadi tentang solat, puasa tetapi untuk melahirkan masyarakat yang bertakwa, dibina atas dasar akidah yang sudah tentu hasrat  utama umat Islam,” tambah beliau lagi.
29 Oct 21
319
"Rindukan Panggilan Ibu..."
"Rindukan Panggilan Ibu..."
MARANG, 29 Oktober - “Setiap hari selepas bangun tidur, saya harap sangat dia sebut perkataan ibu dan ayah seperti sebelum ini," kata Suria Aziela Mansor, 34, ibu kepada Mohammad Haris Mohd Hisyam, 13, yang lumpuh seluruh badan. Keadaan Haris yang lumpuh seluruh badan menyebabkannya tidak mampu bercakap dipercayai berpunca daripada jangkitan kuman dalam darah dihidapinya tiga tahun lalu. "Anak sulung saya adalah seorang anak yang aktif dan ceria sejak kecil namun selepas menjalani tiga kali pembedahan pada tahun 2018, dia terus lumpuh dan sejak itu hanya terlantar di katil. "Ibu mana yang tak sedih apabila melihat anak kesayangan jadi begitu, redha dengan ketentuan tapi sungguh saya rindu nak dengar suara dia panggil ibu macam biasa dan mengharapkan ada keajaiban pada satu hari nanti," ujarnya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Kijing, di sini hari ini. Terdahulu, Pengerusi Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM), Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah meluangkan masa menziarahi Muhammad Haris di samping menyampaikan sumbangan. Ibu kepada tiga anak itu berkata semasa Muhammad Haris sihat, mereka sekeluarga menetap di kuaters Felcra di Besut kerana suaminya, Mohd Hisham Hussin, 36 bekerja di situ. "Selepas kesihatan Muhammad Haris semakin merosot pada pertengahan 2018 akibat jangkitan kuman dalam darah, kami sekeluarga berpindah menumpang ke rumah ibu saya di Kampung Kijing kerana lebih mudah untuk menyelesaikan pelbagai urusan berkaitan," katanya lagi. Dalam masa yang sama, dia mengucapkan rasa syukur kerana terdapat perubahan positif apabila anaknya itu menunjukkan reaksi terhadap kesakitan. Suria Aziela berkata kos  perbelanjaan bulanan Muhammad Haris mencecah lebih RM2,000 termasuk kos ambulans untuk rawatan susulan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah. "Namun kami rasa bersyukur kerana beban yang kami tanggung agak berkurangan kerana mendapat bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM). "Kami diberi bekalan susu dan lampin pakai buang dari Maidam serta wang tunai bulanan RM400 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya.    
29 Oct 21
894
BSMM Berjaya Vaksinasi 12,000 Golongan Rentan Dan OKU
BSMM Berjaya Vaksinasi 12,000 Golongan Rentan Dan OKU
MARANG, 29 Oktober - Bulan Sabit Merah Malaysia (BBSM) sehingga kini telah memberi vaksin kepada 12,000 golongan rentan dan komuniti terpencil di seluruh negara melalui klinik bergerak milik persatuan itu. Pengerusi BSMM, Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah berkata, ia merupakan salah satu sokongan berterusan BSMM dalam usaha Malaysia memerangi Covid-19. Selain kawasan bandar, pihaknya turut menyantuni masyarakat orang asli dan penduduk di luar bandar untuk memastikan mereka tidak terkecuali mendapat perlindungan kesihatan itu. "Seperti hari ini, kami datang ke Terengganu bagi program  vaksin rumah ke rumah pesakit terlantar dan warga emas yang tidak boleh bergerak ke pusat vaksinasi. "Esok, kita akan bergerak ke Pahang untuk vaksinasi penduduk di pendalaman termasuk orang asli.Selepas itu ke Johor dan Pulau Pinang untuk pastikan tidak ada golongan rentan dan oku yang tercicir dari program vaksinasi," ujarnya. Tunku Puteri Intan Safinaz berkata demikian kepada pemberita selepas menziarah remaja terlantar, Muhammad Haris Mohd Hisham, 13, di Kampung Kijing di sini hari ini. Tambahnya, BSMM juga berusaha mencari mereka termasuk pekerja asing yang tidak mempunyai dokumen sah untuk divaksinasi. "Kita usahakan vaksinasi mereka kerana mereka juga dalam masyarakat yang tidak dapat ke pusat vaksinasiatas kekangan pengenalan diri," jelas Tunku.
29 Oct 21
609
Kerajaan Negeri Peruntuk RM20,000 Baiki Jalan Ke Rumah Rakit
Kerajaan Negeri Peruntuk RM20,000 Baiki Jalan Ke Rumah Rakit
DUNGUN, 1 November – Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM20,000 bagi membaik pulih laluan di kawasan rumah rakit di kaki Gunung Bongsu, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu setelah meneliti aduan daripada pengusaha tempatan. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Ariffin Deraman berkata, kerja membina laluan tersebut akan dijalankan dengan segera demi keselamatan pengguna susulan keadaannya yang berlopak dan berlumpur. “Ini adalah isu yang paling besar berdasarkan permintaan daripada persatuan rumah rakit disitu, membataskan kemasukan kenderaan rendah. "Kita telah meluluskan peruntukan tersebut melalui Pejabat Daerah dan kita telah salur peruntukan itu pada 11 Oktober,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini. Tambahnya, pihaknya juga akan berkolaborasi dengan pengusaha rumah rakit bersama Jabatan Pelancongan bagi mempromosikan tempat tersebut berikutan nilai tarikannya sebagai syurga buat kaki pancing. “Sekarang ini, hanya isu capaian internet dan komunikasi telah dikenalpasti dan sedang dalam perhatian sebuah syarikat telekomunikasi,” katanya lagi.
29 Oct 21
542
Proses Pembersihan Laluan Air Elak Banjir Mula Dijalankan
Proses Pembersihan Laluan Air Elak Banjir Mula Dijalankan
KUALA TERENGGANU, 28 Oktober – Kerja-kerja pembersihan saliran air di Kampung Kolam dan Kampung Padang Luar bagi mengelakkan kejadian banjir mula dijalankan pada Isnin lalu. Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi kerja-kerja pembersihan tersebut merupakan antara persiapan awal untuk menghadapi musim tengkujuh.  “Kawasan ini antara yang selalu naik air dan setiap tahun kita akan buat operasi pembersihan laluan air untuk memastikan sisitem saliran air berjalan dengan lancar, tidak tersumbat. “Setakat yang biasa kita buat, ia berkesan untuk mengurangkan risiko banjir di kawasan ini,” kata Ustaz Muhammad Khalil ketika membuat tinjauan di kawasan tersebut selepas turun padang meninjau operasi itu. Tambah beliau lagi, cadangan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk penyelesaian masalah banjir di kawasan tersebut telah diterima dan ia akan dilaksanakan secara berperingkat.  “Pada tahun ini, fokus kami di Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk ialah untuk menyelesaikan isu banjir di Mukim Kuala Ibai,” katanya lagi.  Sementara itu, sebuah longkang baharu telah dibina di Kampung Gong Kemunting untuk melancarkan aliran air di situ.  
28 Oct 21
418
Terengganu Catat Kesalahan Merokok Tertinggi
Terengganu Catat Kesalahan Merokok Tertinggi
KUALA TERENGGANU, 26 Oktober - Terengganu mencatatkan pengeluaran notis kesalahan tertinggi berkaitan merokok di premis makanan dengan sejumlah 652 notis sehingga 24 Oktober tahun ini. Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, empat negeri lain dengan notis pengeluaran tertinggi diikuti dengan Pahang (601 notis), Sarawak (365 notis), Perak (356 notis) dan WP Kuala Lumpur (303 notis). “Secara keseluruhan, aktiviti penguatkuasaan larangan merokok di seluruh negara telah dijalankan sepanjang tahun 2021. Sejak Januari hingga 24 Oktober 2021, sebanyak 3,419 notis kesalahan di tempat makan telah dikeluarkan di bawah Seksyen 32B, PPKHT 2004. “Kementerian Kesihatan Malaysia telah mempergiatkan lagi aktiviti penguatkuasaan larangan merokok di tempat makan khususnya selepas peralihan fasa pemulihan negara dan kebenaran makan di tempat makan telah diberikan oleh kerajaan. “Antara contoh kesalahan lain seperti notis dikenakan ke atas tuan punya premis kerana gagal mempamerkan tanda larangan merokok dan memastikan tiada orang merokok di premis masing-masing serta bagi kesalahan merokok di kompleks membeli belah,” katanya dalam satu kenyataan. Tegasnya, larangan merokok bukan bertujuan untuk menghukum golongan perokok tetapi ia dilaksanakan bagi mengelakkan komplikasi akibat tabiat merokok kepada golongan perokok serta golongan perokok pasif iaitu mereka yang berada di sekeliling. “Penguatkuasaan larangan merokok sangat penting dalam memastikan negara bersedia beralih ke fasa endemik selaras dengan kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa aktiviti merokok termasuk penggunaan rokok elektronik boleh meningkatkan risiko untuk mendapat komplikasi yang lebih teruk sekiranya dijangkiti COVID-19. "Pelaksanaan ini juga penting terutama ketika negara masih berhadapan dengan pandemik COVID-19, kita sentiasa membantu golongan perokok untuk berhenti merokok. “Pendaftaran ke perkhidmatan berhenti merokok mQuit boleh dibuat melalui laman sesawang www.jomquit.com,” katanya lagi. Terdahulu, semua tempat makan termasuk restoran berhawa dingin dan tempat makan terbuka telah diwartakan sebagai tempat dilarang merokok di bawah Peraturan 11(1)(d), Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018 berkuatkuasa 1 Januari 2019 di seluruh negara.
26 Oct 21
573
Terengganu Ketatkan Kelulusan Lesen Korek Pasir
Terengganu Ketatkan Kelulusan Lesen Korek Pasir
KUALA TERENGGANU, 26 Oktober - Syarat kelulusan pemberian lesen kepada aktiviti mengorek pasir di Sungai Terengganu akan diperketatkan bermula tahun depan bagi mengelak masalah paip bocor dan patah hingga menjejaskan pengguna berulang. Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu (UPEN), Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, prosedur operasi standard (SOP) baharu kelulusan lesen korek pasir itu kini sedang dirancang dan diperhalusi oleh semua jabatan terlibat. Menurut beliau yang mempengerusikan jawatankuasa khas siasatan paip bocor, SOP baharu lebih teliti dan ketat merupakan antara yang disyorkan oleh jawatankuasa itu kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MKKN) selepas siasatan selesai. “Laporan siasatan sudah dikemukakan kepada MKKN pada bulan lepas dan kita membuat beberapa pengesyoran jangka masa pendek serta panjang dan MKKN telah bersetuju dengan pengesyoran kita. “Antaranya pemetaan struktur bawah air sebagaimana disebut Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, garis panduan baharu mengorek pasir dan kajian tahap kesihatan lembangan sungai Terengganu,” katanya kepada pemberita pada Isnin. Tun Ahmad Faisal berkata, SOP baharu itu sebagai penambahbaik kepada garis panduan sedia ada dan ia tidak hanya terhad kepada kerja mengorek pasir sahaja, tetapi termasuk juga projek pembinaan serta aktiviti lain di dalam sungai. “Contohnya, kita mungkin kena kurangkan bilangan pengusaha pasir dalam satu-satu kawasan dan jarak lokasi memproses pasir perlu mengambil kira sensitiviti kawasan itu kerana keadaan sungai berbeza, kuala sungai lain, hulu sungai lain,” katanya. Ditanya punca sebenar kerosakan paip dasar Sungai Terengganu hingga menjejaskan ribuan pengguna di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus pada Ogos lalu, beliau berkata, tiada keputusan yang konkrit boleh dinyatakan sehingga kajian lebih teliti dibuat.
26 Oct 21
887
2,144 Pesakit Mental Terima Rawatan Tahun Lepas
2,144 Pesakit Mental Terima Rawatan Tahun Lepas
KUALA TERENGGANU, 26 Oktober - Seramai 2,144 individu telah mendaftar dan mendapat rawatan sebagai pesakit mental  di Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (Mentari) di Terengganu sepanjang tahun lalu. Pengarah Kesihatan negeri, Dato Dr Kasemani Embong berkata namun berlaku sedikit penurunan pada tahun ini apabila data menunjukkan seramai 1,797 pesakit mendapatkan rawatan sama sehingga September lalu.  Katanya, sehingga kini terdapat dua buah Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (MENTARI) di Terengganu iaitu di Wakaf Tapai dan di Hospital Sultanah Nur Zahirah "Kedua-duanya menawarkan perkhidmatan psikiatri, kaunseling dan psikoterapi kepada individu yang mengalami kemurungan serta pengurusan kes berkaitan tingkah laku bunuh diri. "Ini termasuk Perkhidmatan Klinik  Minda Sihat di semua klinik kesihatan yang telah ditambah baik dan dikendalikan oleh pegawai terlatih," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Negeri Terengganu di Kompleks Psikiatri, Hosptal Sultanah Nur Zahirah, di sini, hari ini. Katanya, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) turut melaporkan bahawa kemurungan adalah salah satu penyebab utama ketidakupayaan seseorang individu Dalam masa yang sama Kasemani berkata, JKNT  turut melaksanakan advokasi Let’s TALK Minda Sihat secara menyeluruh melibatkan media massa, media sosial dan agensi lain.  "Kempen ini merupakan kolaborasi pintar (smart partnership) bersama agensi-agensi kerajaan, dan NGO dalam usaha mempertingkatkan kesedaran kesihatan mental secara meluas bagi mengatasi stigma terhadap kesihatan mental dalam kalangan masyarakat. "Ia juga merupakan salah satu usaha KKM mendidik masyarakat agar lebih terbuka dalam membincangkan perkara berkaitan kesihatan mental, menghapuskan stigma serta menggalakkan masyarakat lebih mengambil tahu tentang masalah dan penyakit mental,"katanya.            
26 Oct 21
289
Tiga Tan Bahan Buangan Elektronik Dikumpulkan
Tiga Tan Bahan Buangan Elektronik Dikumpulkan
KUALA TERENGGANU, 25 Oktober - Sebanyak tiga tan bahan buangan elektrik dan elektronik (E-waste) telah berjaya dikumpulkan bagi tujuan pelupusan sempena Minggu Sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2021 Peringkat Negeri Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr Alias Razak berkata, program tersebut telah mendapat sambutan menggalakkan daripada orang awam terutamanya yang berada di daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus. ”Acara ini dianjurkan bertujuan menggalakkan semua lapisan masyarakat di negeri ini menguruskan buangan E-Waste ini mengikut kaedah yang betul dan selamat. ”Orang ramai yang datang secara pandu lalu bagi menyumbangkan bahan buangan elektrik dan elektronik boleh menukar bahan buangan dengan wang tunai mengikut harga yang ditetapkan,” katanya. Beliau berkata demikian selepas merasmikan program tersebut di di Taman Rekreasi Pantai Batu Buruk, semalam. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal itu turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Terengganu, rakan-rakan strategik yang terdiri daripada PETRONAS, Syarikat KT Wan Recycle Sdn.Bhd dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan usaha-usaha kelestarian alam sekitar berkenaan. Tambah beliau, kerajaan negeri juga akan mengadakan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di semua daerah ke arah menyediakan kemudahan tempat pelupusan E-Waste. Katanya, sehingga kini, JAS mengambil inisiatif melesenkan beberapa syarikat yang bertanggungjawab mengumpul dan seterusnya menguruskan proses kitar semula.
25 Oct 21
630