lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Jangkitan COVID-19 Di Terengganu Masih Belum Stabil
Jangkitan COVID-19 Di Terengganu Masih Belum Stabil
KUALA TERENGGANU, 1 November – Walaupun trend kes harian COVID-19 di Terengganu menunjukkan penurunan sejak awal bulan Oktober, namun ia masih belum stabil dan memerlukan peranan masyarakat bagi mengharungi fasa endemik. Pengarah Majlis Keselamatan Negara Negeri Terengganu, Yusri Yusof berkata, penularan virus dalam negeri sehingga 31 Oktober masih berada dalam tiga angka iaitu 276 dan ia belum pulih sepenuhnya. “Situasi ini adalah mustahak bagi kita sebagai komuniti dalam negeri dan negara untuk sama-sama bekerjasama dalam mengurangkan jangkitan kepada satu angka sekurang-kurangnya. “Peralihan kepada fasa endemi adalah satu pencapaian baik, namun ia perlu disertai dengan kesedaran dan kefahaman yang tinggi dalam kalangan rakyat. “Khususnya dalam pembudayaan norma baharu dan Prosedur Operasi Standard (SOP), ia perlu diteruskan sepertimana mengikut slogan ‘kita jaga kita,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, baru-baru ini. Katanya lagi, beliau menekankan kepentingan pendidikan pada peringkat keluarga, organisasi dan seterusnya terutamanya mengenai 3S (elakkan kawasan yang sesak, sempit dan sembang dengan jarak yang dekat) dan pengamalan 3W (Wash, Wear dan Warn). “Sementara itu, penularan COVID-19 di Terengganu adalah daripada luar negeri, bukan dari dalam. “Oleh itu, saya menasihati kepada sesiapa yang ingin memasuki negeri agar menjalani saringan kendiri COVID-19 supaya orang tersayang tidak dijangkiti,” jelasnya lagi. Menurut laporan dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Terengganu mencatatkan jumlah keseluruhan kes COVID-19 sebanyak 68,822 kes dengan jumlah kumulatif kematian sejumlah 449 kes. 
01 Nov 21
1056
Anak Terengganu 'Daebak', Cemerlang Dalam Pidato Korea Peringkat Dunia
Anak Terengganu 'Daebak', Cemerlang Dalam Pidato Korea Peringkat Dunia
KUALA TERENGGANU, 1 November – Anak kelahiran Terengganu, Amelya Shamira Kamarudin sekali lagi mencipta kejayaan di pentas antarabangsa dengan menerima anugerah tertinggi dalam Pertandingan Pidato Korea Dunia K-Speech ke-25. Berasal dari Paka, Amelya mewakili Malaysia untuk bersaing dan berjaya mendapat tempat pertama dalam kategori penutur luar, mengalahkan 15 pemidato asing dari negara-negara seperti India, Inggeris, Singapura, China dan lain-lain lagi. "Sebelum ini, saya telah muncul sebagai juara kategori kelas tinggi (advanced) dalam Pertandingan Pidato Bahasa Korea 2020, "Melalui kemenangan itu, saya melayakkan diri di pentas antarabangsa, saya memang tidak jangka kemenangan kedua ini dan lebih gembira setelah dinobatkan juara," kata Amelya yang belajar bahasa Korea sejak dia berusia 10 tahun. Pemidato berusia 20 tahun itu juga menghadapi cabaran terhadap 25 penutur asli dari Korea Selatan dan enam wakil dari luar negara di Jepun, Thailand dan lain-lain dalam pertarungan lisan. "Kali ini lebih mencabar, kerana saya harus bersaing dengan bahasa Korea sebagai bahasa ibunda mereka, dan kaedah pemarkahannya amat ketat. "Pertandingan bertutur dalam bahasa Korea dan Melayu sangat berbeza dari segi format menulis ucapan rasmi, itu juga di antara satu halangan. "Proses penulisan skrip untuk pidato amat sukar kerana bahasa Korea bukan bahasa pertama dan kedua, ditambah dengan sedikit atau tanpa latihan bahasa formal," katanya yang juga seorang siswi dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam. Namun begitu, Amelya muncul sebagai pemenang setelah menyampaikan pidato bertajuk ‘Sehingga Musim Bunga Tiba’ menceritakan penyatuan semula damai di Semenanjung. "Di masa depan, saya merancang untuk menyertai lebih banyak pertandingan ini jika peluang itu muncul. "Saya juga merancang untuk mengikuti Ujian Kemahiran dalam Bahasa Korea (TOPIK) segera bagi meningkatkan peluang dalam mencari pekerjaan setelah tamat pengajian," tambahnya. Hadiah yang dibawa pulangnya berbentuk sijil dan Anugerah diiktirafkan Dewan Negara Korea Selatan, berserta piala dan sijil. Pertandingan tersebut adalah anjuran bersama oleh Yongsan-gu Office dan Korea Speech Oratory Association dan ditaja oleh Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Luar Negeri dan Majlis Metropolitan Seoul. Menurut Persatuan Korea di Malaysia (KSM), penutur perwakilan menyampaikan kemahiran berbahasa Korea yang mereka kembangkan selama bertahun-tahun mengenai pelbagai topik seperti memerangi COVID- 19, perdamaian di Semenanjung Korea, dan promosi budaya dan persahabatan Hallyu.
01 Nov 21
1249
Tengkujuh: Taman Eko-Rimba, Hutan Taman Negeri Ditutup Sementara Bermula Esok
Tengkujuh: Taman Eko-Rimba, Hutan Taman Negeri Ditutup Sementara Bermula Esok
KUALA TERENGGANU, 31 Oktober - Jabatan Perhutanan Terengganu menutup sementara semua Taman Eko-Rimba dan Hutan Taman Negeri, kepada pengunjung, bermula esok.  Pengarah Perhutanan negeri, Roslan Rani berkata,  penutupan itu adalah berikutan musim tengkujuh yang melanda negeri ini. "Penutupan selama empat bulan hingga 28 Februari 2022 itu susulan musim tengkujuh dan risiko kejadian kepala air.  "Sehubungan itu, aktiviti rekreasi, pendakian, pacuan empat roda dan sebagainya dalam hutan simpan kekal adalah tidak dibenarkan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.  Dalam pada itu, Roslan berkata, mana-mana individu yang melanggar arahan itu boleh didakwa mengikut Enakmen Perhutanan Negara (Penerimaan-pakai) 1986.
31 Oct 21
1488
KUNJUNG HORMAT MENTERI AGAMA PERKUKUH HUBUNGAN NEGERI, PEERSEKUTUAN
KUNJUNG HORMAT MENTERI AGAMA PERKUKUH HUBUNGAN NEGERI, PEERSEKUTUAN
31 Oct 21
69
KMI HEALHTCARE YAKIN PEROLEH PENDAPATAN RM 220 JUTA
KMI HEALHTCARE YAKIN PEROLEH PENDAPATAN RM 220 JUTA
31 Oct 21
61
KMI HEALTHCARE BINA HOSPITAL SWASTA KEENAM
KMI HEALTHCARE BINA HOSPITAL SWASTA KEENAM
31 Oct 21
272
2,144 PESAKIT MENTAL TERIMA RAWATAN TAHUN LEPAS
2,144 PESAKIT MENTAL TERIMA RAWATAN TAHUN LEPAS
31 Oct 21
46
Kerjasama TSIS, UKM Dan UMT Hasilkan Tiga Karya Penyelidikan
Kerjasama TSIS, UKM Dan UMT Hasilkan Tiga Karya Penyelidikan
KUALA TERENGGANU, 31 Oktober - Hasil kerjasama Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) bersama dua Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) telah berjaya membuahkan tiga buku dalam memperkayakan lagi bidang penulisan dalam negeri. Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, antara buku yang telah dilancarkan seperti “Menelusuri Setiu Wetland Bersama Ayah Ku” penulisan Dr. Jarina Mohd Jani dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT). “Dua lagi hasil penulisan antaranya bertajuk “Fiqh Siasah Abdul Hadi Awang Dalam Sosio-politik Malaysia & Antarabangsa” dan buku ketiga bertajuk “Sosiopolitik Islam” hasil penulisan Prof. Madya Dr. Latifah Abdul Majid serta ahli kumpulan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). “Tentunya semua penulisan dihasilkan daripada penyelidikan yang telah dijalankan tidak mudah untuk diterbitkan terutamanya bila berdepan dengan kekangan pandemik COVID-19. “Sebagai negeri yang Maju Berkat dan Sejahtera, bukan sahaja maju dalam konteks teknologi dan pembangunan malah turut maju dalam membentuk peradaban masyarakat dan ketinggian ilmu dimiliki,” katanya. Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Pelancaran Buku Penyelidikan TSIS Dengan Kerjasama UMT & UKM 2021 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, baru-baru ini. Turut hadir, Yang Dipertua DUN Terengganu, Dato' Yahaya Ali, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TSIS, Dr. Wan Mat Sulaiman berkata, pihaknya sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan agensi kerajaan negeri yang berminat menjalankan kajian dalam meningkatkan lagi pengurusan, penjanaan hasil dan sebagainya. “Hari ini adalah hasil daripada geran yang diberikan TSIS kepada UKM dan UMT, sebanyak tiga buah buku dilancarkan. “Pada tahun ini juga, TSIS telah menandatangani perjanjian penyelidikan dengan 13 pasukan penyelidik daripada pelbagai universiti awam. “Minat daripada mereka amat tinggi, contohnya, apabila TSIS mewar-warkan geran kecil penyelidikan kita telah menerima 714 cadangan penyelidikan,” jelasnya.
31 Oct 21
493
731 Entiti Dilantik Selia Bekalan Barangan Ketika Banjir
731 Entiti Dilantik Selia Bekalan Barangan Ketika Banjir
HULU TERENGGANU, 30 Oktober - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) setakat ini melantik 731 peruncit, pemborong dan pengilang terpilih bagi menyelia bekalan barang keperluan asas ketika banjir. Timbalan Menterinya, Dato Rosol Wahid berkata ia melibatkan 428 peruncit terpilih daerah (DDR), 299 pemborong terpilih daerah (DDW) dan empat pengilang terpilih daerah (DDM) di 246 kawasan di seluruh negara. "Mereka telah diberikan kebenaran untuk menyimpan tambahan 30 peratus kuota bekalan makanan dan keperluan asas terutama dalam menghadapi jangkaan musim tengkujuh. "Ini sebagai persediaan untuk memastikan kecukupan bekalan makanan dan keperluan di 1,030 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan penduduk di kawasan berisiko banjir seluruh negara," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Pelancaran Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (Retail Digitalisation Initiative - ReDI) di Pasar Besar Kuala Berang, di sini hari ini. Turut hadir, Ketua Setiausaha KPDNHEP, Dato Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh dan Pengarah KPDNHEP negeri, Saharuddin Mohd Kia. Dalam pada itu, Rosol turut menasihati pengguna supaya tidak panik dan mengelakkan membuat pembelian secara banyak atau berlebihan kerana bekalan barang kawalan dan keperluan asas sentiasa mencukupi.
30 Oct 21
236
KPDNHEP Sasar 15,200 Peniaga Kecil, Mikro Terima Manfaat ReDI
KPDNHEP Sasar 15,200 Peniaga Kecil, Mikro Terima Manfaat ReDI
HULU TERENGGANU, 30 Oktober - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mensasarkan 15,200 peniaga kecil dan mikro di luar bandar seluruh negara akan menerima manfaat melalui pelaksanaan Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan(ReDI). Timbalan Menterinya, Dato Rosol Wahid berkata pihaknya akan menjalinkan kolaborasi strategik bersama Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta setiap KPDNHEP negeri bagi melaksanakan program tersebut. "Kita mensasarkan 100 peniaga (di setiap PBT) akan menyertai Program ReDI menjelang akhir 2022.  "Sekiranya ini dapat dilaksanakan, kita yakin sasaran awal sebanyak 15,200 peniaga restoran, medan selera, gerai, peniaga pasar tani, pasar malam, pasar basah dan pasar borong, selain kedai runcit dan kedai pengkhususan di luar bandar seluruh negara akan menerima manfaat dan turut serta dalam memberi pilihan kepada pengguna,"ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Pelancaran Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (Retail Digitalisation Initiative - ReDI) di Pasar Besar Kuala Berang, di sini hari ini. Turut hadir, Ketua Setiausaha KPDNHEP, Dato Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh dan Pengarah KPDNHEP negeri, Saharuddin Mohd Kia. Tambah Rosol lagi, penggunaan e-wallet ini bukan sahaja memberi nilai tambah yang besar terhadap pengembangan perniagaan, tetapi juga dapat memastikan peniaga mempunyai pengurusan rekod kewangan yang lebih tersusun dan  sistematik kerana dijana secara automatik. "Selain itu, peniaga khususnya peniaga kecil dan mikro juga berpeluang merebut akses pinjaman mikro yang disediakan penyedia kemudahan E-Wallet ini,"katanya.
30 Oct 21
641