Artikel "Utama" Terkini
Amaran Hujan Berterusan Di Empat Daerah
KUALA TERENGGANU, 10 November – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran (kuning) hujan berterusan dijangka berlaku sepanjang hari ini di empat daerah di Terengganu
Melalui satu kenyataan hari ini, antara kawasan terlibat ialah Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang yang dikategorikan kawasan kuning.
“Orang ramai dinasihatkan agar bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh dan sentiasa peka dengan amaran hujan lebat serta angin kencang dan laut bergelora.
“Maklumat berkenaan akan dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia melalui laman web rasmi Jabatan, aplikasi mobil myCuaca dan laman media sosial rasmi Jabatan,” jelasnya lagi.
Terdahulu, lebih 20 lokasi di tujuh daerah telah dikenalpasti berisiko banjir, susulan fenomena air pasang besar yang dijangka bermula awal bulan ini sehingga hujung Disember.
10 Nov 21
5326
Jalan Aring-Kenyir-Kuala Jeneris Ditutup Akibat Mendapan Jalan
HULU TERENGGANU, 10 November - Jalan Aring 8-Kenyir-Kuala Jeneris di laluan FT 36 melibatkan Kilometer (KM) 74.8 sehingga KM 75 di seksyen 87 (52) ditutup kepada semua kenderaan sehingga 2 Disember.
Menurut kenyataan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Hulu Terengganu baru-baru ini, jalan sepanjang 200 meter itu ditutup sementara sebagai langkah berjaga-jaga akibat mendapan jalan.
Jurutera JKR Daerah, Alif Zuwairi Baharuddin berkata, papan tanda lalulintas akan dipasang di tapak untuk panduan pengguna jalan raya.
“Para pengguna hendaklah mematuhi tanda arah serta papan tanda keselamatan yang disediakan. Kerjasama sepenuhnya daripada semua pengguna jalan raya amat diharapkan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Jelasnya, buat sementara waktu, para pengguna jalan raya boleh menggunakan laluan alternatif FT 08 Jalan Kota Bharu Gua Musang.
Untuk maklumat lanjut, boleh berhubung dengan Pejabat JKR Daerah Hulu Terengganu, Terengganu di talian 09-6811900, faks 09-6811896.
10 Nov 21
16547
Solat, Makan Berjemaah Rahsia Tokoh Keluarga Tunggal Mithali
KUALA TERENGGANU, 10 November – Solat dan makan berjemaah menjadi rahsia tokoh Keluarga Tunggal Mithali, Hasnah Abdullah, 66, dari Kampung Pauh, Telemong dalam mendidik dan melahirkan sembilan orang anak hingga berjaya.
Katanya, tugas menjaga anak bukan mudah namun berkat kesabarannya, dia kini mampu tersenyum bangga kerana kesemua anaknya itu berjaya melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat universiti dan seterusnya berjaya dalam bidang yang diceburi serta menyumbang bakti kepada masyarakat, agama, bangsa dan negara.
Bekas pesara guru yang kematian suami sejak 13 tahun lalu berkata perkara pertama yang diterapkan dalam diri anak-anak adalah pendidikan agama kerana ia tunjang kehidupan seseorang individu.
Beliau sentiasa mengingatkan anak-anaknya bahawa kalau ingin berjaya, mereka hendaklah sembahyang dan berdoa kepada Tuhan. Sembahyang dan doa ini pula, hendaklah disusuli dengan kerja keras untuk mendapatkan apa yang dihajati itu.
“Kalau nak baiki hubungan ukhuwah antara keluarga, perkara pertama yang kita kena buat ialah Solat Berjema'ah! Dari solat berjemaah, kita akan belajar nilai hormat, nilai taat, nilai kasih sayang dan sebagainya
“Selepas solat pula, hiasi ia dengan zikir atau sedikit pesanan ringkas kepada ahli keluarga anda,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Anugerah Keluarga Mithali 2021, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu(YPKT), di Kompleks Ibu Tunggal, Chendering di sini hari ini.
Majlis perasmian dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat,
Para pemenang membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000 serta sijil penghargaan.
Tambah Hasnah, satu lagi amalan keluarganya ialah makan bersama-sama bagi menikmati masa berkualiti dengan anak-anak,
“Waktu makan adalah waktu yang tenang dan menyeronokkan sebab ketika inilah anda boleh berinteraksi dengan anak-anak
“Cara ini secara tidak langsung akan merangsang anak berinteraksi dan dapat meluahkan pandangan mereka dengan lebih baik,”ujarnya.
Sementara itu, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu telah menerima 27 pencalonan untuk kategori Keluarga Lengkap Mithali dan 24 pencalonan daripada kategori Keluarga Tunggal Mithali.
Menurut Pengarah YPKT, Wan Zaki Wan Abdullah, pemilihan ini sudah tentu mengambilkira kriteria-kriteria seperti keperibadian calon, kejayaan mendidik dan membesarkan anak-anak hingga anak-anak berjaya dengan cemerlang.
Katanya ini termasuk dengan sumbangan dan keaktifan dalam masyarakat, ketabahan dalam mendidik dan membesarkan anak-anak.
10 Nov 21
1957
UMT Tubuh Pusat Arkeologi Bawah Air Pertama Di Malaysia
KUALA NERUS, 9 November - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah melancarkan pusat arkeologi bawah air pertama di Malaysia dengan penubuhan Pusat Latihan Arkeologi Bawah Air Marin di Stesen Penyelidikan Alami Marin dan kampus induk.
Naib Canselor UMT, Prof Dr Mazlan Abd Ghafar berkata, penubuhan tersebut berkait rapat dengan pemeliharaan dan pemuliharaan warisan budaya bawah air seperti peninggalan kapal karam ‘The Bidong Shipwreck’.
“Antara kelebihan Bidong adalah kewujudan khazanah sejarah tersebut yang telah dikaji sejak 2017, serta kedalaman dasar yang tidak melebihi 18 meter.
“Ini bermaksud kawasan ini boleh diterokai penyelam rekreasi, dengan adanya juga 11 replika mercu tanda terkenal negara ASEAN (AUMIL) juga, ia amat bagus sebagai tempat latihan arkeologi.
“Pusat latihan ini turut melibatkan kerjasama pakar-pakar daripada negara ASEAN yang berkongsi dan bertukar pengetahuan serta pengalaman dalam menguruskan cabaran dalam perlindungan warisan budaya dan arkeologi bawah air,” katanya.
Tambahnya, kolaborasi bersama negara jiran seperti Kemboja dan Thailand adalah penting bagi melihat bagaimana tamadun terdahulu berinteraksi dan berkembang di Malaysia.
Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian AUMIL di Pulau Bidong, semalam.
Sementara itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Dato’ Seri Nancy Shukri menyifatkan usaha kerjasama pihaknya dengan UMT dan Jabatan Warisan Negara adalah penting dalam menjayakan Seminar Pemuliharaan dan Perlindungan Warisan Budaya Bawah Air ASEAN.
“Kita ingin mengekalkan budaya Terengganu yang sinonim dengan sejarah maritim serta khazanah dasar laut dan kehidupan marin.
“Pemeliharaan semua bentuk budaya dan warisan bawah air mesti diberikan kepentingan yang sama, kerana ia adalah sebahagian daripada warisan kita kepada generasi akan datang,” tambahnya.
08 Nov 21
1669
11 Mercu Tanda Asia Tenggara Kini Produk Pelancongan Terengganu
KUALA NERUS, 8 November – Sebanyak 11 replika mercu tanda terkenal negara ASEAN telah dilabuhkan di dasar laut Pulau Bidong melalui projek khas, 'The 1st ASEAN Underwater Mini Landmark' (AUMIL) hari ini sekali gus mencipta sejarah di Asia Tenggara.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Dato’ Seri Nancy Shukri berkata, produk pelancongan baharu tersebut akan menjadi pameran Warisan Budaya Bawah Air ASEAN yang pertama dalam sejarah ASEAN.
Menurutnya, pada kedalaman 10 sehingga 15 meter, projek kebudayaan tersebut telah diluluskan pada 2019 dengan jumlah peruntukan RM 290,955 (USD 70,000) di bawah Tabung Kebudayaan ASEAN.
“Kita akan mengalakkan pelancong daripada negara-negara jiran ini untuk datang kembali ke Terengganu sekaligus meningkatkan ekonomi penduduk tempatan serta menaikkan nama negeri yang sinonim dengan produk perikanan.
“Terutamanya golongan penyelam skuba dan fotografi bawah air daripada antarabangsa, Pulau Bidong bakal menjadi syurga buat mereka.
"Monumen ini adalah tambahan baharu di dasar laut Bidong yang juga mempunyai khazanah sejarah daripada kapal-kapal karam daripada tamadun Asia lama,” katanya.
Antara Mercu tanda ASEAN di dasar Pulau Bidong
Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian AUMIL di Pulau Bidong, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman, Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Wira Dr. Noor Zari Hamat, Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu, Professor Dr. Mazlan Abd Ghaffar serta Duta Besar negara-negara ASEAN di Malaysia.
Tran Quoc Pagoda (Vietnam)
Tambahnya lagi, selain menggalakkan usaha memulihara dan memelihara warisan budaya bawah air, AUMIL juga akan memupuk penghargaan budaya yang lebih tinggi di kalangan masyarakat ASEAN.
Antara 11 monumen tersebut ialah Menara Berkembar Petronas Kuala Lumpur-KLCC (Malaysia), Masjid Sultan Haji Omar Ali Saifuddien (Brunei), Cambodia Independence Monument (Cambodia), Patuxai Monument (Laos), Indonesia National Monument (Indonesia), Shwedagon Pagoda (Myanmar), Jose Rizal Monument (Filipina), Merlion (Singapura), Wat Arun Ratchawararam Ratchaworamahawihan (Thailand) dan Tran Quoc Pagoda (Vietnam) serta lambing ASEAN Secretariat (ASEAN).
Menggunakan kepakaran dan kemahiran anak tempatan dari kampung Tok Badir, Bukit Payong, Kuala Terengganu, 11 replika mercu tanda ini berjaya disiapkan dalam tempoh hampir dua bulan.
Replika Masjid Sultan Haji Omar Ali Saifuddien (Brunei)
08 Nov 21
1396
PAS Tidak Pernah Berhasrat Keluar MN - Tuan Ibrahim
KUALA TERENGGANU, 7 November - PAS tidak pernah melahirkan hasrat untuk keluar daripada Muafakat Nasional (MN) kerana gabungan itu mempunyai matlamat yang besar hasil daripada pemeteraian piagam pada 14 September 2019.
Timbalan Presidennya, Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata MN ialah penyatuan ummah antara parti politik Melayu Islam terbesar di Malaysia yang tidak hanya dengan UMNO.
"MN merupakan agenda besar dan gagasan yang tidak berdaftar seperti Perikatan Nasional (PN).
"Walau bagaimanapun, PAS tidak pernah berniat untuk keluar dari MN dan kita harap bahawa pertemuan, perbincangan dapat diteruskan daripada masa ke semasa demi kebaikan semua pihak," ujarnya.
Beliau berkata demikian di sidang media Muktamar Tahunan PAS di Duyung Marina Resort, di sini hari ini.
Sementara itu, Tuan Ibrahim juga berkata, PAS akan mengekalkan sumpah baiah kepada calon mereka yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.
Beliau berkata setiap calon yang bertanding menggunakan nama PAS, perlu melafazkan baiah sebagai janji mengikut segala syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh parti.
"Semua calon pas baiah kepada parti dan istiqamah tidak akan keluar parti sekiranya mereka menang malah PAS konsisten menentang agenda lompat parti,"katanya.
07 Nov 21
219
MB Terengganu Kekalkan Jawatan Naib Presiden PAS
KUALA TERENGGANU, 7 November - Tiga penyandang Naib Presiden PAS berjaya mengekalkan jawatan mereka bagi sesi 2021-2023.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad menerima undi tertinggi sebanyak 1,164 diikuti Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah (956) dan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (778) dalam pemilihan kali ini.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki pula tewas 623 undi dalam perebutan jawatan nombor tiga PAS sempena Muktamar PAS Ke-67.
Keputusan pemilihan jawatan itu diumumkan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, sebentar tadi.
Sebanyak 1,299 layak mengundi dan undi diterima 1,221 melalui e-voting bagi memilih untuk tiga slot jawatan naib presiden dan 18 Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat bagi sesi 2021/2023 pada muktamar kali ini yang berlangsung di Duyong Marina Resort , di sini.
Terdahulu, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man mengekalkan jawatan masing-masing apabila menang tanpa bertanding pada pemilihan sempena Muktamar PAS kali ke-67.
Berikut keputusan pemilihan Ahli Jawatankuasa Kuasa PAS Pusat sesi 2021-2023 :
1) Muhammad Khalil Abdul Hadi(884)
2) Muhammad Sanusi Md Nor (877)
3) Kamaruzaman Mohamad (872)
4) Khairil Nizam Khirudin(844)
5) Riduan Mohd Nor (841)
6) Iskandar Abdul Samad(822)
7) Halimah Ali, Dr. Hajjah (774)
8) Mohamad Fadzli Hassan (736)
9) Marzuk Shaari (707)
10) Mohd Nassuruddin Daud (706)
11) Najihatussalehah Ahmad (695)
12) Siti Zailah Mohd Yusof (688)
13) Azman Ibrahim (679)
14) Nasrudin Hassan (645)
15) Amzad Hashim (615)
16) Ali Akbar Gulasan (613)
17) Mahfodz Mohamed (609)
18) Rosni Adam(609)
07 Nov 21
1104
PAS Kecewa Dengan Keputusan UMNO
KUALA TERENGGANU, 7 November - PAS merasa kecewa dengan tindakan UMNO yang mengumumkan untuk bertanding semua kerusi secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.
Timbalan Presidennya, Dato Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perbincangan yang panjang hasil inisiatif semua pihak pada awalnya menunjukkan keputusan positif namun dihujungnya gagal.
"Pertemuan dan perbincangan pada peringkat awal sangat positif tetapi apabila UMNO mengumumkan akan bergerak solo di PRN Melaka, kami kecewa sebab usaha penyatuan gagal pada saat akhir.
"Sebenarnya pada peringkat awal kita runding menggelak pertembungan kerusi tapi kerana UMNO buat keputusan bertanding semua, maka kita tidak ada pilihan dan terpaksa meletakkan calon PN," ujarnya.
Beliau berkata demikian di sidang media Muktamar Tahunan PAS di Duyung Marina Resort, di sini hari ini.
Dalam pada itu ketika mengulas pengumuman calon PN petang tadi yang mana PAS akan bertanding lapan kerusi di PRN Melaka, Tuan Ibrahim berkata PAS berpuas hati kerana ia telah dipersetujui bersama dalam rundingan peringkat awal.
"Kita telah bincang agihan kerusi bersama Bersatu dan Gerakan maka tak timbul rasa tidak puas hati kerana setiap parti bertanding sebagai satu pasukan.
"PAS akan bertanding atas tiket parti dan menggunakan bendera PN,"ujarnya lagi.
Bagaimanapun, Tuan Ibrahim menolak dakwaan pertembungan di Melaka merupakan bayangan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), sebaliknya menjadi indikator kepada beberapa perancangan di masa depan.
“Kita ada PRN Sarawak selepas ini dan bagi PAS serta PN kita ada banyak ruang untuk berbincang sebelum PRU-15.
“Kita bersedia berbincang dengan semua parti-parti politik bukan sahaja UMNO tetapi pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Pas sebagai komponen dalam Keluarga Malaysia berperanan ke arah masa pembentukan masa depan lebih harmoni,” katanya.
Terdahulu, PAS akan bertanding di lapan kerusi DUN dalam PRN Melaka pada 20 November ini iaitu Kuala Linggi, Taboh Naning, Durian Tunggal, Bukit Katil, Duyong, Serkam, Kelebang dan Merlimau.
07 Nov 21
1175
Kukuhkan MN, PN Demi Penyatuan Ummah
KUALA TERENGGANU, 6 November - Tiga parti Melayu utama di negara ini perlu mengukuhkan Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional bagi penyatuan politik dan ummah.
Perwakilan PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Abdul Razib Abdul Rahim berkata, di Pulau Pinang ketiga-tiga parti teras melayu amat penting duduk bersama untuk kembali mentadbir kerajaan.
"Sekiranya ini berlaku, ia mampu membenamkan DAP serta Pakatan Harapan di bumi Pulau Pinang dan sebaliknya.
“Hanyalah satu retorik semata-mata. Inilah yang berlaku di negeri Pulau Pinang apabila kekaburan dan juga kesamaran tentang penyatuan ummah ini tidak mampu untuk menyatukan parti-parti politik,” ujarnya.
Beliau berucap membahas Ucapan Dasar Presiden PAS bertemakan ‘Islam Menyatukan Ummah’ dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-67 di Duyong Marina Resort, di sini sebentar tadi.
Mengulas lanjut, beliau berkata demografi Pulau Pinang tak sama dengan negeri-negeri yang lain kerana Dewan Undangan Negeri dan Parlimen majoritinya dikuasai bukan Islam ataupun bukan melayu.
“Umpamanya Parlimen hanya tiga kerusi saja yang didominasi oleh orang -orang Melayu. Dan juga di peringkat DUN, 15 kerusi saja yang hanya didominasi oleh orang Melayu daripada majoriti 40 kerusi yang dikuasi oleh DAP atapun Pakatan Harapan.
“Maka dengan sebab itu PAS Pulau Pinang nak menyatakan kepada para pimpinan dan muktamrin sekalian, bahawa penyatuan ummah mampu merubah senario ini," ujarnya.
06 Nov 21
191
PAS Tetap Tolak Usaha Jajaran Baharu Dalam Politik
KUALA TERENGGANU, 6 November - PAS mengulangi pendirian menolak apa jua usaha untuk membentuk penjajaran baharu dengan pelbagai jenama atau perubahan yang dicadangkan.
Presidennya, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata Muafakat Nasional (MN) baru sahaja ditubuhkan mengikut acuan asal yang lengkap sebagai pendahuluan mengikut piagam yang terbuka bukan tertutup.
"Dalam pada itu, kita berjaya menubuhkan PN yang lebih terbuka dan kuat, sehingga berjaya mengambil alih Kerajaan Persekutuan, laksana menanam benih yang baru tumbuh dengan subur.
"Maka, sebarang cadangan lain laksana tumbuhan liar yang mesti dihapuskan atau makhluk perosak yang wajib dimusnahkan," ujar Abdul Hadi.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar dan merasmikan Muktamar Tahunan PAS di Duyung Marina Resort, di sini hari ini.
Dalam masa yang sama, beliau berkata PAS juga enggan dikurung dalam sebarang permuafakatan yang tertutup dan menjadi penumpang dalam perjalanan politik tanah air.
Sebaliknya, Abdul Hadi berkata, parti itu perlu menjadi pemimpin bersama rakan-rakan sehingga berjaya menarik sokongan rakyat bagi menyelamatkan negara bersama Islam yang telah diperkenalkan oleh PAS.
06 Nov 21
273