Artikel "Utama" Terkini
Kerajaan Teliti Pelaksanaan Vaksin Terhadap Kanak-kanak
HULU TERENGGANU, 13 November – Kerajaan masih meneliti data-data bagi memastikan pelaksanaan vaksinasi terhadap kanak-kanak berusia 5 hingga 12 tahun di Malaysia selamat buat warga sasar tersebut.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim memaklumkan perkara tersebut dan percaya kerajaan akan mengambil langkah-langkah sesuai bagi memastikan pelaksanaannya yang sudah berjalan di negara luar, bermanfaat buat masyarakat Malaysia.
Menurutnya, penglibatan MOSTI dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kini hanya khusus kepada kajian pembangunan vaksin.
“Kita telah serah tanggungjawab vaksinasi dibawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), namun makluman berkenaan program suntikan kepada kanak-kanak masih dalam proses kajian dan perancangan yang mencukupi dan lengkap.
“Seperti mana sebelum ini kita perlu pastikan risiko dos vaksin adalah seperti mana sebelum ini iaitu pada kadar minimum,” katanya selepas program Jelajah Ilmuan ‘Ride to Kenyir’ di Madrasah Darul Ansar, Kampung Basung, petang tadi.
Terdahulu, Malaysia akan meneruskan pemerolehan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech untuk kanak-kanak berusia 5 hingga 12 tahun menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Khairy bagaimanapun belum memperincikan bilakah pemberian vaksin COVID-19 akan mula diberikan kepada kanak-kanak berusia 5 hingga 12 tahun itu.
Sehingga semalam, Terengganu mencatatkan kadar vaksinasi sekurang-kurangnya satu dos adalah sebanyak 69.8 peratus, dengan 67.6 peratus lengkap divaksinasi dengan 30 peratus lagi belum disuntik dos vaksin COVID-19.
13 Nov 21
244
250 'Mat Motor' Jelajah Ke Kenyir, Madrasah
HULU TERENGGANU, 13 November – Kerajaan negeri meraikan seramai 250 penunggang motosikal sempena program Jelajah Ilmuan 'Ride To Kenyir' bagi meningkatkan semangat warga belia serta melawat pusat-pusat ilmu, di sini.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, acara tersebut melibatkan jarak lebih 100 kilometer dengan penyertaan dari seluruh daerah dalam negeri.
“Kita turut menjelajah ke pusat ilmu pendidikan agama di daerah ini seperti Madrasah Darul Ansar, Madrasah Darul Zahra dan Maahad Tahfiz Asy-Syatibi.
“Pihak saya mengambil kesempatan menyampaikan sumbangan wang tunai kepada setiap pusat ilmu dikunjungi sebagai suntingan pembangunan buat madrasah di sini.
“Antara pengisian juga adalah lawatan ke Pulau Herba di Tasik kenyir, saya melihat banyak potensi boleh dibangunkan daripada herba-herba tempatan dari segi aspek kajian saintifik terutamanya buat MOSTI,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa program Jelajah Ilmuan ‘Ride to Kenyir’ di Madrasah Darul Ansar, Kampung Basung, petang tadi.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, Pengarah Urus setia Belia Sukan dan NGO Terengganu (UBSNT), Mohd Nasir Abd Razak dan Pengarah Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), Ramlan Mahmood.
Tambah Amzad, beliau turut mengingatkan warga muda termasuk masyarakat bahawa negeri tidak akan kekal selamat dari segi penularan COVID-19 jika Prosedur Operasi Standard (SOP) tidak terus dipatuhi.
“Kita baru sahaja berpindah kepada Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) Oktober lalu, oleh itu kita perlu kekal mengambil langkah menjaga keselamatan diri dan keluarga," katanya.
13 Nov 21
889
Tiga Empangan TNB Jadi Tebatan Banjir
KUALA LUMPUR, 12 November - Tiga empangan hidroelektrik Tenaga Nasional Berhad(TNB) di Tasik Kenyir, Terengganu, Cameron Highlands, Pahang dan Sungai Perak, Perak kini diletakkan dalam keadaan bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh.
Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco), Datuk Nor Azman Mufti, berkata pihaknya telah membuat persediaan awal dengan mengurangkan paras air bagi menampung peningkatan kapasiti air.
"Proses pelepasan air secara terkawal di empangan hidroelektrik TNB dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan.
"Ketiga-tiga empangan itu kini bersedia menakung kapasiti air dari hulu sungai yang dijangka meningkat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Nor Azman berkata, selain menjana elektrik, empangan TNB mempunyai kapasiti menakung air di hulu sungai yang dapat mengelakkan bencana lebih besar daripada berlaku di kawasan hiliran setiap kali musim tengkujuh.
“Ini termasuk beberapa siri taklimat persediaan dan latihan kecemasan di stesen hidroelektrik dan pejabat operasi TNB dilaksanakan bagi meningkatkan kecekapan dan siapsiaga semua pihak di musim tengkujuh,” katanya lagi.
Sementara itu, orang ramai turut dinasihatkan supaya mengutamakan aspek keselamatan, sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa jika premis mereka dinaiki air.
"Jika ada pencawang elektrik yang ditenggelami air dan operasinya terpaksa dihentikan, penyambungan semula hanya akan dibuat TNB selepas keadaan selamat,"ujar beliau.
Bagi sebarang maklumat lanjut mengenai perkhidmatan dan bekalan elektrik, orang ramai boleh menghubungi talian TNB CareLine di 15454 atau Facebook TNB Careline.
12 Nov 21
878
44 Pasukan Berentap Dalam Kejohanan Terengganu Royal 7's
KUALA NERUS, 12 November- Sebanyak 44 pasukan dari pelosok Malaysia turun berentap dalam Kejohanan Ragbi Terengganu Royal 7's, bermula hari ini.
Kejohanan yang julung kali diadakan di Kuala Nerus itu merupakan kejohanan bertaraf kebangsaan dan menjadi antara penganjuran kejohanan ragbi tujuh sepasukan terbesar di pantai timur.
Kejohanan ini mempertaruhkan Piala Tengku Muhammad Ismail sebagai perebutan utama kategori terbuka lelaki selain hadiah kemenangan bernilai RM10,000, hadiah kewangan antara tertinggi pernah ditawarkan dalam penganjuran sukan ragbi tanah air.
Selain itu, kategori lain yang dipertandingkan ialah terbuka wanita dan lelaki bawah-22 yang menawarkan hadiah kemenangan bernilai RM5,000 bagi setiap kategori.
Tuan rumah menampilkan enam pasukan terdiri Hanelang Warriors, Hanelang 7s White, Kemaman Rugby dan Marang Rugby bagi kategori terbuka lelaki manakala kategori terbuka wanita pasukan tuan rumah dikenali sebagai Hanelang Ladies 7s.
Hanelang 7s Black mewakili pasukan tuan rumah bagi kategori Lelaki U22(Bawah usia 22 tahun) yang memfokuskan penyertaan pasukan Sukan Malaysia(SUKMA).
Kejohanan ini berlangsung selama tiga hari sehingga Ahad dan boleh ditonton secara langsung melalui Facebook Ragbi Online.
12 Nov 21
761
Empat Beradik Derita Penyakit Saraf Terima Bantuan Tambahan
KEMAMAN, 12 November - Kerajaan negeri bersetuju menyalurkan Bantuan Am Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 sebulan kepada empat beradik yang lumpuh seluruh badan akibat penyakit saraf mulai Januari depan.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat, berkata bantuan tambahan bernilai RM150 seorang kepada tiga beradik dari Kampung Teluk Kalong itu diputuskan apabila dia difahamkan bantuan sedia ada tidak mencukupi untuk keperluan harian.
"Sebelum ini Mohd. Marsudi Rozali, 36, dan Mohd. Aismuddin, 33, menerima bantuan RM300 sebulan daripada JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) manakala Mohd. Amerizam, 42 menerima pencen ilat PERKESO sebanyak RM1,000 sebulan.
"Setelah berbincang dengan pihak JKM, saya syorkan dan terus meluluskan Bantuan Am Negeri sebanyak RM450 sebulan bagi keempat-empat anak Makcik Rosanani termasuk Rozanariah Rozali, 43, yang tinggal berasingan dan dijaga oleh suaminya.
"Jadi jumlah keseluruhan adalah RM1,800 dan kami harapkan jumlah itu dapat menampung perbelanjaan mereka," katanya ketika ditemui pemberita di kediaman Rosanani di Kampung Teluk Kalong, hari ini.
Dalam pada itu Hanafiah berkata, kerajaan negeri juga akan membekalkan lampin pakai buang di bawah peruntukan Tabung Darul Iman untuk kegunaan adik-beradik tersebut selama mana mereka memerlukannya.
Sementara itu, Rosanani Salleh, 62, berterima kasih atas keprihatinan kerajaan negeri dalam meringankan bebannya bagi urusan penjagaan ketiga-tiga anaknya yang lumpuh berikutan pendapatan sebagai penjual lemang yang tidak menentu kira-kira RM800 sebulan.
"Syukur sebab beban saya makin berkurangan dan boleh luangkan masa lebih banyak dengan anak-anak dan menjaga mereka lebih teliti berbanding sebelum ini terpaksa meninggalkan mereka untuk bekerja," katanya.
11 Nov 21
295
Bot Penambang Berkonsepkan Realiti Maya Diperkenalkan Awal Tahun Depan
KUALA TERENGGANU, 11 November - Kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan bakal menambahbaik perkhidmatan bot penambang antaranya mengadakan pendekatan realiti maya (VR), bermula tahun depan
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Ariffin Deraman berkata inisiatif terbaharu itu akan mempersembahkan kepada pelancong, satu pengangkutan tradisi tetapi berkonsepkan VR di Terengganu.
"Perkhidmatan bot penambang yang makin dipinggirkan malah kurang mendapat perhatian pelancong akan menikmati pengalaman baharu menyusuri Sungai Terengganu dengan kemudahan VR yang lebih menyeronokkan.
“VR membolehkan penggguna merasai pengalaman menyaksikan video tiga dimensi (3D) lokasi tarikan pelancongan di Terengganu sewaktu berada di dalam bot penambang,” ujarnya.
Beliau berkata demikian di sidang media selepas Majlis Sumbangan Kepada Agen Promosi Pelancongan (Beca dan Bot Penambang) di Event Space, TD1303, di sini hari ini.
Tambah Ariffin, pihaknya juga akan memperkenalkan beca berkuasa solar kepada lima pengayuh terpilih sebagai nilai tambah kepada perkhidmatan tersebut pada awal tahun hadapan.
“Ciptaan tersebut mendapat kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi mudah diselenggara serta dikendalikan dan masih beridentitikan tradisional Terengganu.
"Kita juga merancang laluan baharu beca di tempat tumpuan ramai termasuk di jambatan angkat dan Kampung Budaya,"ujar beliau lagi.
Dalam masa yang sama, Ariffin berkata penetapan harga standard bagi setiap laluan beca kini diperingkat perbincangan dalam usaha menambah pendapatan pengayuh-pengayuh beca di sekitar Kuala Terengganu.
11 Nov 21
361
Pelan Strategik Kelestarian Pelancongan Terengganu Wujudkan Dimensi Baru
KUALA TERENGGANU, 11 November- Kerajaan negeri mengorak langkah melancarkan Pelan Strategik Kelestarian Pelancongan Negeri Terengganu sebagai inisiatif melestarikan pelancongan negeri secara menyeluruh, memulihkan dan mewujudkan dimensi baru industri pelancongan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, pelan tersebut merangkumi misi dan matlamat dalam menjadikan Terengganu sebagai negeri pilihan pelancong dalam dan luar nagara.
"Ibarat sebuah rumah lama, kita perlu penambahbaikan untuk menjadikannya lebih baik. Sebenarnya, kita telah bermula hujung tahun lalu, cuma kerana pandemik, kami menunggu masa yang sesuai untuk dilancarkan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas pelancaran Buku Pelan Strategik Kelestarian Pelancongan Negeri Terengganu oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman, semalam.
Jelasnya, antara fokus utama yang terkandung di dalamnya adalah memastikan mutu penyampaian perkhidmatan yang berkualiti, menekankan pembangunan produk pelancongan melalui pendekatan komuniti serta pemantapan jaringan infrastruktur pemasaran melalui sinergi pelbagai agensi.
"Antaranya, kita telah kenal pasti 40 produk Pelancongan Berasaskan Komuniti (CBT) dan memperuntukkan hampir RM1 juta dalam menjayakannya.
"Pandemik ini, sektor pelancongan sangat terjejas dan antara yang boleh memberikan suntikan ekonomi segera adalah CBT yang dimajukan," katanya.
Tambah Ariffin, kerajaan negeri turut sasarkan kedatangan sekitar tiga juta pengunjung ke Terengganu bagi tahun 2022 dalam tempoh pemulihan semula industri pelancongan negeri tersebut dan berharap pembukaan semula gerbang antarabangsa mampu membantu mencapai sasaran berkenaan.
11 Nov 21
661
Penarik Beca, Pengusaha Bot Penambang Terima Insentif Khas RM1,200
KUALA TERENGGANU, 11 November - Kerajaan negeri memperuntukkan RM79,200 sebagai insentif khas kepada 49 penarik beca dan 17 pengusaha bot penambang di Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Ariffin Deraman berkata pembayaran tersebut diselaraskan oleh Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu (PPNT), menerusi Jabatan Pelancongan Negeri.
"Golongan terbabit adalah yang terjejas pendapatan terutama pada musim pandemik menerima RM1,200 setiap seorang.
"Bayaran insentif tersebut juga diberikan untuk tempoh enam bulan iaitu RM200 sebulan melibatkan bayaran dari bulan Julai hingga Disember 2021," ujarnya.
Beliau berkata demikian di sidang media selepas Majlis Sumbangan Kepada Agen Promosi Pelancongan (Beca dan Bot Penambang) di Event Space, TD1303, di sini hari ini.
Tambah Ariffin, pembayaran insentif itu akan diteruskan pada tahun hadapan sebanyak RM200 sebulan.
"Kita akan bayar setiap tiga atau enam bulan sekali dan berharap bantuan ini mampu meringankan beban mereka," ujarnya.
Salah seorang penerima bantuan beca, Yahya Ismail, 79, Kampung Gong Tok Nasek berkata bantuan hari ini akan digunakan sebaik mungkin.
Dia yang hampir 40 tahun membawa beca berkata sebahagiannya akan digunakan untuk membayar sewa rumah dan selebihnya bagi perbelanjaan dapur dan simpananan kecemasan
"Memang kehidupan agak sukar ketika semua aktiviti disekat, hanya mengharapkan bantuan anak-anak.
"Masa sebelum Covid-19, sebulan boleh dapat sehingga RM500 tapi sekarang nak dapat RM100 pun susah,"katanya.
Dalam masa yang sama, Yahya turut bersyukur apabila mendapat bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) sebanyak RM1,600 setahun.
11 Nov 21
449
PETRONAS Pacu Penghutanan Semula Paya Bakau Kertih
KEMAMAN, 11 November - PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PCSB) bekerjasama dengan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) menanam 500 anak pokok bakau baharu sepanjang Sungai Kertih bagi menyokong pemuliharaan alam sekitar.
Pengurus Besar Kanan Aset Semenanjung Malaysia PCSB, Hafiz Azzad Zubir berkata, acara Penghutanan Semula Bakau Sentuhan Alam adalah usaha tertumpu dalam pemuliharaan alam sekitar yang turut bermanfaat kepada masyarakat dan alam sekitar.
“Hutan bakau yang ditanam semula akan berfungsi sebagai habitat pelbagai spesies hidupan laut dan di pada masa yang sama menyumbang kepada kesihatan keseluruhan ekosistem sekeliling.
“Kesedaran ini penting untuk kita mendidik satu sama lain untuk melindungi dan memelihara ekosistem bakau,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Menurutnya lagi, bertempat di Pusat Pendidikan Alam Sekitar ecoCare dibawah Sentuhan Alam Yayasan PETRONAS, lebih 30 sukarelawan dari PCSB, E&P O&M Services Sdn Bhd dan MNS telah mengambil bahagian dalam program tersebut.
Katanya, bakau adalah penting untuk perlindungan pantai, di samping menjadi tempat pembiakan ikan yang bernilai komersial.
“Sehingga kini, hampir 12,000 pokok bakau telah ditanam di sebuah kawasan ecoCare seluas 14,000 meter persegi di sepanjang Sungai Kertih,” jelasnya.
Untuk pengetahuan, Penghutanan Semula Bakau Sentuhan Alam merupakan siri program kesedaran yang dianjurkan oleh PCSB’s Peninsular Malaysia Assets selari dengan Yayasan PETRONAS Sentuhan Alam program bertujuan memberikan impak yang mampan kepada masyarakat.
11 Nov 21
1489
Keluarga Terdekat Jaga Anak Yatim Wajar Diberi Potongan Cukai Khas
KUALA NERUS, 11 November - Kerajaan dicadangkan supaya menyediakan potongan cukai khas buat ahli keluarga penjaga anak-anak yatim, menurut Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali.
Beliau berkata, ini termasuk bantuan khas turut diberikan kepada keluarga yang menjaga mereka bagi meringankan beban.
"Penjagaan oleh wali seperti datuk dan bapa saudara atau keluarga terdekat lebih berkesan kerana melibatkan kestabilan emosi, psikologi, pendidikan, persekitaran keluarga dan kasih sayang dalam kehidupan anak-anak yatim tersebut.
“Dalam Islam, anak-anak yatim perlu menjadi tanggungjawab wali mereka selepas kematian ibu bapa iaitu datuk, bapa saudara, adik beradik dan seterusnya.
“Justeru, saya mencadangkan agar kerajaan dapat menyediakan potongan cukai khas kepada ahli keluarga yang menjaga anak-anak yatim ini di samping bantuan khas kepada keluarga yang menjaga anak-anak ini,” katanya dalam kenyataan ketika persidangan bajet, baru-baru ini.
Dalam Bajet 2022, kerajaan menyediakan sebanyak RM25 juta kepada Yayasan Keluarga Malaysia bagi melindungi kebajikan, pendidikan dan masa depan anak yatim yang ibu bapa mereka meninggal dunia akibat COVID-19.
Sehingga kini, lebih 4,700 anak yatim kehilangan ibu bapa akibat pandemik Covid-19.
Sementara itu, Dato' Dr. Khairuddin turut menjelaskan, rumah kebajikan untuk anak yatim juga wajar diberikan peruntukan khas apabila mereka mengambil anak yatim atau yatim piatu yang kehilangan ibu bapa akibat pandemik Covid-19.
Dalam pada itu, beliau mencadangkan bagi anak yang kehilangan ibu supaya kerajaan menyediakan bantuan PRIHATIN yang sesuai untuk bapa mereka mencari pasangan baharu supaya boleh membantu mereka menjaga anak-anak.
“Malah dana khas juga perlu diberikan kepada ibu-ibu yang sudi menjaga anak suami mereka atau anak tiri seperti anak sendiri,” katanya sepertimana dilaporkan Utusan Online.
11 Nov 21
213