lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Anak Muda Diseru Sertai TARC
Anak Muda Diseru Sertai TARC
Oleh : Rohayati Ripin KUALA TERENGGANU, 5 Disember - Anak-anak muda diseru agar melibatkan diri masing-masing dengan menyertai Kelab Penunggang Motosikal Sejahtera Seluruh Terengganu (Terengganu All Riders Motorcycle Prosperous Club) sebagai aktiviti riadah bermanfaat berbentuk holistik. Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Dato' Haji Yahaya Ali berkata, kelab ini merupakan satu landasan yang tepat dalam menarik minat warga belia yang meminati elemen permotoran.  "Sebagai salah seorang pemimpin dalam kerajaan negeri Terengganu pada hari ini, antara perkara utama yang saya selalu tekankan adalah mengenai aspek penglibatan aktif rakyat terutamanya warga belia anak muda dalam aktiviti-aktiviti sosial dan sukan.  "Penekanan dalam aspek sosial dan sukan ini adalah penting dalam melahirkan masyarakat yang sentiasa ceria dan aktif selain menjauhi segala masalah sosial yang berlaku sekarang ini," jelasnya. Beliau berkata demikian dalam program majlis Taujid bersama ahli TARC di Hotel Paya Bunga, pada semalam. Katanya, beliau percaya keaktifan masyarakat dalam beriadah dan beraktiviti secara tidak langsung akan menjadi pemangkin kepada pengurangan masalah sosial yang melanda masyarakat terutamanya golongan remaja. "TARC boleh memainkan peranan menjadi “rakan sebaya” yang menjadi “role model” sesuai dengan matlamat TARC dalam mensasarkan untuk menjadi sebuah kelab motosikal yang terulung. "Dalam menjaga adab dan akhlak selain menjadi platform untuk menyampaikan dakwah kepada umum," ujar beliau. Justeru itu, beliau berharap agar pihak TARC mencari berusaha mencari inisiatif mendekati dan mempergiatkan lagi usaha mendekati pemuda. "Usaha ini adalah penting kerana melalui TARC, pelbagai aktiviti permotoran dapat dijalankan secara lebih selamat dan bermanfaat selalu memenuhi semangat permotoran orang belia. "Adalah menjadi suatu kebahagian kepada keluarga dan masyarakat apabila kita dapat melahirkan pemuda yang seimbang. "Dalam satu masa dilihat tekun mencari ilmu, tetapi dalam masa yang lain kuat beriadah dan berekreasi, ringan tulang membantu masyarakat dan aktif berjamaah di masjid dan surau," tambah Dato' Yahaya.  
05 Dec 21
557
23,766 Anggota Polis Positif COVID-19
23,766 Anggota Polis Positif COVID-19
MARANG, 5 Disember - Seramai 23,766 anggota polis di negara ini termasuk ahli keluarga mereka direkodkan positif Covid-19 sejak Mac tahun lalu hingga kini. Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, daripada jumlah itu sebanyak 13,508 kes melibatkan pegawai dan anggota manakala 10,258 kes melibatkan ahli keluarga mereka. Beliau memberitahu, sepanjang tempoh berkenaan 39 kematian direkodkan membabitkan anggota dan ahli keluarga. "Empat daripadanya merupakan pegawai kanan polis manakala 35 yang lain adalah pegawai rendah. “Jumlah itu tidak termasuk tiga kematian yang membabitkan pegawai awam dan 118 ahli keluarga,” katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan 26 kereta Toyota Hilux GS Cargo kepada polis Kontinjen Terengganu di Pangkalan Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) di Wakaf Tapai di sini hari ini. Beliau berkata, jangkitan dalam kalangan warga PDRM berlaku ketika kes Covid-19 memuncak di negara dalam tempoh dua tahun. Pada majlis itu, sebanyak  26 pikap Toyota Hilux GS Cargo  di serahkan bagi kegunaan ibu pejabat polis daerah (IPD) di seluruh negeri. "Ia bagi membantu meringankan penugasan pegawai dan anggota di negeri ini termasuk operasi pada musim banjir," katanya lagi.    
05 Dec 21
773
10 Unit Kuarters Balai Polis Pulau Redang Bakal Dibina Tahun Hadapan
10 Unit Kuarters Balai Polis Pulau Redang Bakal Dibina Tahun Hadapan
MARANG, 5 Disember - Kira-kira 10 unit kuarters Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dibina di Pulau Redang pada tahun hadapan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 Rolling Plan 2 2022. Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata pembinaan tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM13 juta manakala proses reka bentuk dan tender masih dalam perancangan. "Buat masa ini hanya terdapat lapan unit kuarters di Balai Polis Pulau Redang dan sebahagian daripada 28 pegawai terpaksa berulang alik dari tanah besar setiap masa kerana kesukaran untuk mendapatkan rumah sewa di pulau berkenaan. "Justeru itu, kita ucap terima kasih kepada kerajaan untuk  tambahan kuarters ini bagi keselesaan serta kebajikan warga PDRM terutama jika tiba musim tengkujuh yang boleh membahayakan keselamatan mereka," ujarnya. Beliau berkata demikian di sidang media Majlis Penyerahan Kenderaan Jenis Toyota Hilux GS Carco PDRM Kontinjem Terengganu di Pangkalan PSP Unit 6 Wakaf Tapai, Marang, hari ini. Dalam program sama, Mazlan menyampaikan sumbangan kepada 35 warga serta pesara PDRM kontijen Terengganu yang merupakan golongan asnaf dan terkesan sepanjang Covid-19. Sementara itu, beliau juga memaklumkan ibu pejabat polis kontinjen Terengganu yang baharu dijangka siap sepenuhnya pada Disember  2024. "Ini termasuk ibu pejabat polis daerah Hulu Terengganu yang dijangka siap pada April 2024," tambahnya.  
05 Dec 21
729
Sasar 320 Pendaftaran Bagi Pemilihan Adun Belia Terengganu
Sasar 320 Pendaftaran Bagi Pemilihan Adun Belia Terengganu
KUALA TERENGGANU, 5 Disember - Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera (UBNST) menyasarkan 320 calon akan berdaftar untuk mewakili 32 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pemilihan Ahli Dewan Undangan (Adun) Belia sesi 2021/2023. Penolong Pegawai Seranta Unit Belia UBSNT, Syed Ahmad Abdus Salam Syed Nazmi berkata, pemilihan calon telah bermula dan terdapat beberapa pembaharuan serta penambahbaikan dilakukan dalam struktur Dewan Belia Terengganu pada sesi kali ini. “Sambutan agak baik, kita sasarkan sepuluh belia dapat mewakili sebagai calon DUN masing-masing. “Bagi calon yang terlibat dengan bencana banjir dan kuarantin mereka boleh hadir pada sesi pemilihan semula yang akan diumumkan kelak,” ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di Pemilihan Adun Belia Siri Dua di Pusat Sains Dan Kreativiti Terengganu, semalam. Katanya, bagi peringkat pertama pemilihan Adun Belia, calon perlu melalui proses saringan melibatkan peperiksaan bertulis. "Seterusnya, selepas proses pemilihan ini, peserta akan terus ke kem teori yang disertai oleh calon-calon yang sama memohon menjadi Adun Belia. “Di kem teori akan diadakan saringan yang kedua, ada ujian lisan, prestasi serta lain-lain penilaian. “Yang berjaya ke peringkat seterusnya akan masuk kem induksi, mereka inilah yang akan menjadi Adun Belia mewakili DUN masing-masing dan akan ke peringkat keempat iaitu persidangan dan angkat sumpah sebagai Adun Belia di Dewan Belia Terengganu,” jelasnya. Menurutnya, pelantikan sebagai Adun Belia adalah sebagai latihan untuk mereka, selain menarik golongan muda untuk bersama-sama mengetengahkan dan menyalurkan apa jua isu kepada kerajaan, bagi membolehkan langkah selanjutnya diambil. “Objektif program ini adalah untuk melahirkan pelapis kepimpinan negeri dan untuk menyuarakan suara anak muda kepada kerajaan negeri. “Malah, sebagai platform untuk mereka ini berpidato menyampaikan idea dan membentangkan cadangan-cadangan dan seterusnya mereka ini juga perlu aktif melibatkan diri  bersama masyarakat dan komuniti setempat,” katanya.
05 Dec 21
641
Tiga Sekawan Johan Explorace Terengganuku Comel 2021
Tiga Sekawan Johan Explorace Terengganuku Comel 2021
KUALA TERENGGANU, 5 Disember - Tiga sekawan muncul juara dalam acara Explorace Terengganuku Comel 2021, baru-baru ini. Muhamad Muda, 52, bersama dua rakannya iaitu Bahri Chik, 54, dan Mohd Ikhwan Yusof, 36, menyertai acara berkenaan kerana minat mereka terhadap aktiviti seperti itu. Kata mereka, ia sangat menarik kerana peserta didedahkan dengan keindahan yang terdapat di Terengganu, serta soalan-soalan disediakan pihak penganjur amat mencabar. "Alhamdulillah rezeki pada kami, kita pun tidak menjangkakan meraih tempat pertama, ingatkan hanya akan tersenarai di antara 10 yang terbaik semata-mata, bersyukur kepada Allah. "Setiap kali menyertai acara kami ada buat 'homework', 'study' dari segi bentuk soalan-soalan yang lepas, dari pengalaman yang lalu kami jadikan satu panduan untuk buat yang terbaik dimana selama 10 tahun setiap kali diadakan kami akan menyertainya.  "Bagi kami peserta lain juga 'profesional hunter' cuma rezeki lebih menyebelahi kami. Kalau hendak dikutkan pening kepala juga hendak menjawab soalan, tambahan pula dalam keadaan musim sekarang beri halangan dari sudut untuk fokus pada pemanduan dalam masa yang sama hendak menjawab setiap soalan," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman, pada kejohanan Explorace Terengganu Comel 2021, selepas diumumkan juara pada Majlis Perasmian Penutup, di Muzium Negeri Terengganu, semalam. Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah dan Pengarah Urus Setia Belia Sukan & NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT), Mohd Nasir Abdul Razzab. Program berkenaan dianjurkan oleh kerajaan negeri dengan kerjasama UBSNT dan Lembaga Muzium Negeri Terengganu. Penyertaan terhad kepada 100 buah kenderaan atas dasar 'Siapa Cepat Dia Dapat' itu bermula Drawbridge kemudian meneruskan perjalanan ke Muzium Bukit Besi dan Muzium Negeri Terengganu menjadi lokasi penamat program berkenaan pada sebelah petang. Dengan menawarkan hadiah di tempat pertama wang tunai sebanyak RM3,000, naib juara RM 2,000, tempat ketiga RM1,500, keempat RM800, manakala tempat kelima sehingga ke lapan RM200. Dalam pada itu Wan Sukairi berkata, melihat kepada penyertaan yang memberangsangkan itu pihak negeri bersetuju untuk mengadakannya lagi pada masa akan datang dengan penyertaan lebih ramai serta menawarkan hadiah lebih menarik memandangkan ia mendapat sambutan sangat menggalakkan. "Ini juga merupakan suatu inisiatif untuk memperkenalkan Terengganu kepada para peserta terutama mereka yang luar dari negeri ini mengenai keindahan dan keunikan yang terdapat di negeri ini, dari sudut makanan, budaya, tradiri, kesenian dan sebagainya," katanya mengulas mengenai program yang diadakan itu. Manakala, Mohd Nasir pula menyifatkan program tersebut agak kompetitif namun ia memberi impak yang sangat baik. "Sekali gus program seumpama ini membolehkan setiap rakyat melakukan aktiviti bersama keluarga, sanak saudara, juga bersama rakan-rakan. "Melalui program ini menghasilkan satu aura dan semangat baru untuk melakukan rutin harian termasuk di bidang pekerjaan dengan lebih bersemangat," ujarnya.    
05 Dec 21
1061
Pelancongan Sukan Terengganu Kembali Rancak
Pelancongan Sukan Terengganu Kembali Rancak
DUNGUN, 5 November – Sektor pelancongan bertemakan sukan atau ‘Sports-Tourism’ di Terengganu tetap rancak meskipun sedang mengharungi musim Monsun Timur Laut. Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Fadli Yusof Zakaria berkata, pusat pelancongan rekreasi seperti kelab golf dalam negeri kini beroperasi sepenuhnya dengan maklumbalas pengusaha resort dan padang amat baik. “Kebanyakkan padang golf juga ditempah penuh pada hujung minggu. Terengganu popular dengan padang-padang seperti di Kelab Golf Bukit Besi, Kelab Golf Dungun dan lain-lain lagi. “Terengganu terkenal dengan musim monsun di Pantai Timur, ini kerana program dan sambutan memberangsangkan diterima dalam acara lain seperti 4x4 Challenge di Bukit Besi dan Explorace Terengganu Comel 2021 di Kuala Terengganu. “Insya-Allah pada pertengahan bulan ini juga ada program ASEAN Monsoon Casting, dengan itu jumlah pelawat yang hadir sepanjang musim tengkujuh amat menggalakkan,” katanya ketika ditemu bual pemberita. Beliau berkata demikian selepas program, Visit Beautiful Terengganu Golf Challenge 2021 di Kelab Golf Bukit Besi, semalam. Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil dan Pegawai Kewangan Negeri, Zainal Abidin Mohamed. Sementara itu, Fadli menceritakan, penganjuran Visit Beautiful Terengganu Golf Challenge 2021 amat meriah dengan disertai oleh lebih 200 peserta dari serata negeri. “Program selama dua hari ini adalah pertama kali diadakan sejak dua tahun disebabkan oleh pandemik COVID-19, Insya-Allah program tahunan ini dapat diteruskan pada tahun hadapan dengan lebih awal lagi,” katanya. Dalam pada itu, Juara keseluruhan acara tersebut dimenangi oleh Shazwan Syakir Sobri dari Kedah yang membawa pulang sebuah trofi beserta sebuah televisyen.
05 Dec 21
841
Pasukan Padat 4x4 Juarai Bukit Besi Monsoon Challenge
Pasukan Padat 4x4 Juarai Bukit Besi Monsoon Challenge
DUNGUN, 5 Disember – Pasukan Padat 4x4 muncul juara dalam Kejohanan Bukit Besi 4x4 Monsoon Challenge kategori Open Hardcore, semalam meskipun berdepan kesukaran berdepan cuaca di musim tengkujuh. Pasukan gabungan tiga krew 4x4 daripada Terengganu, Kedah dan Kuala Lumpur tersebut berjaya mengalahkan Geng Tookmu untuk membawa pulang wang tunai sebanyak RM10,000 beserta trofi dan sijil. Pemandu jentera ‘Buggy’ pasukan tersebut, Mohd Effendi Husin berkata pencapaian itu bukan perkara yang mudah kerana perlu berentap dengan jumlah peserta yang ramai. “Kategori ini memerlukan ketahanan daripada segi mental, itu nombor satu, jentera kita juga serta kerjasama antara pemandu dan pemandu bersamanya, Muhammad Ifan Jamaludin dari kemaman, juga antara elemen penting bagi menguasai lapan trek disini. “jika kereta atau ahli pasukan tidak mahir, kita tidak mampu sampai ke tahap ini, nasib juga menyebelahi kita. “Ini adalah penyertaan kedua saya, sebelum ini pada 2018 saya gagal mendapat tempat disebabkan masalah teknikal dengan 4x4, jadi hari ini saya berjaya menebuskan kekecewaan dua tahun lalu,” katanya yang berasal daripada Kuala Lumpur. Tambahnya, 90 peratus daripada trek memerlukan skil kawalan tinggi dalam menghadapi faktor seperti cuaca dan keadaan yang licin serta rintangan tinggi. Pemandu daripada LC Houz tersebut berkata demikian selepas Kejohanan Bukit Besi 4x4 Monsoon Challenge di Bukit Besi Rainforest Park, Dungun, petang semalam. Turut hadir, Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Roslee Daud dan Pengarah Eksekutif Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Terengganu Inc), Burhanuddin Hilmi Mohamed @Harun. Jelas Effendi, dia berterima kasih kepada Kelab Teguh Fourwheller Team (TFT) dan Kerajaan Negeri atas penganjuran yang disifatkan mampu mengeratkan hubungan antara kedua-dua pihak. “Dengan hadiah besar ini amat berbeza dengan acara lain, sebelum ini kami rasa tidak dihargai, tapi hari ini saya harap setiap tahun kejohanan sebegini dapat diadakan di tempat lain dalam Terengganu,” katanya lagi. Terdahulu, Pengarah Kelab Teguh Fourwheller Team (TFT), Shamsul Anuar Musa berkata, sebanyak 52 kelab melibatkan 190 pemandu dari pelbagai negeri berentap dalam Cabaran Monsun Bukit Besi 4x4 2021 selepas penganjuran pertama pada 2018.  
05 Dec 21
751
KPDNHEP Kenal Pasti 12 Barangan Kawalan Bagi SHMKM
KPDNHEP Kenal Pasti 12 Barangan Kawalan Bagi SHMKM
HULU TERENGGANU, 4 Disember - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengenal pasti 12 jenis barangan terkawal bagi pelaksanaan program Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM). Timbalan Menterinya, Dato Rosol Wahid berkata ia  berkuatkuasa pada 7 hingga 31 Disember 2021 ini. Katanya, antara barangan tersebut adalah  ayam, telur, kacang panjang, cili merah, tomato, sawi, kubis bulat import Indonesia dan China serta timun. "Untuk SHMKM, harga maksimum ayam standard ditetapkan RM9.30 sekilogram bagi jualan runcit dan RM8 sekilogram untuk pemborong di Semenanjung, kecuali Langkawi. “Ia berlainan dengan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas yang akan diumumkan kemudian,” katanya. Beliau berkata demikian di sidang media selepas meninjau  Program Jualan Keluarga Malaysia (JKM) di perkarangan DM Pemborong Sdn Bhd di Kuala Berang hari ini. Katanya, penentuan harga barangan dibuat mengikut kesesuaian harga pasaran semasa dan mengambil kira pelbagai faktor perubahan harga khususnya bagi barangan import. "Harga kawalan bagi 11 barang lain terbabit juga adalah berbeza mengikut kawasan, dengan penetapan dibuat berdasarkan kesesuaian harga pasaran," ujarnya.   Menurut beliau lagi, program itu akan diperluaskan di seluruh kawasan Parlimen dan mengikut perancangan awal, ia akan diadakan dua kali sebulan serta disasarkan berlangsung sehingga Februari tahun hadapan. "Kita sasarkan kawasan B40 dan M40 kerana mereka adalah golongan yang terkesan teruk akibat kenaikan harga barang terutama selepas Covid-19. “Antara barangan yang dijual seperti beras, gandum, gula, bahan kering dan barang basah dengan diskaun 20 hingga 50 peratus,” ujar Rosol. Dalam masa yang sama, pihaknya juga akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini di bawah Akta Kawalan Harga dan Pencatutan 2011. Sementara itu, beliau juga juga berkata kerajaan akan membawa masuk 200 kontena ayam sejuk beku dari luar negara bagi memberi pilihan harga lebih murah berbanding ayam segar dari ladang. Rosol berkata , langkah itu sebagai usaha mengawal kenaikan harga ayam di pasaran yang sedang berlaku.    
04 Dec 21
227
Nadma Sedia 4,000 Kit Ujian Kendiri COVID-19
Nadma Sedia 4,000 Kit Ujian Kendiri COVID-19
KUALA NERUS, 4 Disember- Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menyediakan 4,000 kit ujian kendiri COVID-19 sebagai persediaan bagi mengawal penularan wabak berkenaan di pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh negeri ini. Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata, Sekretariat Jawatankuasa Bencana Negeri sudah menerima peralatan berkenaan untuk digunakan bagi mengesan jangkitan wabak di kalangan mangsa banjir yang ditempatkan di PPS. "Bagaimanapun, kita hanya menggunakan peralatan ini (kit ujian kendiri) terhadap mangsa banjir yang bergejala sahaja," katanya ketika meninjau fenomena air pasang besar di Pantai Miami Seberang Takir, malam tadi. Katanya, fasa pertama banjir, sebanyak lapan PPS dibuka membabitkan dua di daerah ini, lima di Setiu dan satu di Besut membabitkan 174 mangsa daripada 58 keluarga. Rosman berkata, pihaknya juga menyediakan bilik isolasi di semua PPS bagi menempatkan mangsa banjir yang bergejala. "Bagaimanapun, setakat ini belum ada mangsa yang bergejala di lapan PPS berkenaan. "Mangsa banjir juga perlu melalui proses pengambilan suhu badan serta diberikan pelitup muka sebelum membuat pendaftaran masuk di semua PPS," katanya. Dalam pada itu katanya, trend banjir di tiga daerah terbabit iaitu Kuala Nerus, Setiu dan Besut semakin pulih berikutan cuaca yang semakin baik.
04 Dec 21
462
Fenomena Air Pasang Besar Bukan Untuk Berpesta
Fenomena Air Pasang Besar Bukan Untuk Berpesta
KUALA NERUS, 4 Disember - Orang ramai disaran mengutamakan keselamatan dan tidak ke pesisir pantai di negeri ini untuk menyaksikan fenomena air pasang besar tanpa memikirkan keselamatan diri. Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Mohd. Rosman Abdullah berkata, beliau kesal dengan sikap segelintir masyarakat yang masih ghairah melihat fenomena air pasang besar.   Katanya, berdasarkan pemantauan di Pantai Seberang Takir di sini, masih ramai yang berkumpul di pesisir pantai untuk melihat ombak besar "Air pasang besar yang membawa ombak setinggi 2.9 meter tersebut bukan lah pesta malah boleh membahayakan nyawa. "Ada juga yang datang dari Kuantan (Pahang) semata-mata untuk menyaksikan fenomena tersebut," katanya ketika ditemui ketika memantau Pantai Seberang Takir di sini kelmarin. Beliau menasihatkan orang ramai  agar mematuhi arahan menjauhi kawasan pesisir pantai di seluruh negeri ini sehingga 13 Disember depan. "Orang ramai diminta agar menjauhi kawasan pantai sehingga fenomena air pasang besar ini reda demi keselamatan masing-masing," katanya. Dalam masa yang sama, Rosman berkata, fenomena terbabit juga memberi risiko banjir kepada 37 penempatan yang terletak berhampiran pantai di seluruh negeri ini.
04 Dec 21
897