Artikel "Utama" Terkini
TDM Plantation Jalin Kerjasama Dengan UCTATI Tingkat Produktiviti Syarikat
KUALA TERENGGANU, 3 Disember- TDM Berhad melalui bahagian perladangannya, TDM Plantation Sdn Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Universiti Kolej TATI (UCTATI) untuk meningkatkan produktiviti dan operasi syarikat melalui teknologi mekanisasi dan perkongsian kepakaran inovasi.
Pada majlis MoU yang berlangsung di Hotel Permai semalam, TDM Plantation diwakili Penasihat Perladangan TDM Jalaini Che Kar dan Ketua Pegawai Eksekutif TDM Plantation Sdn Bhd, Hamdan Ibrahim.
Manakala UCTATI diwakili rektornya Profesor Dr. Anuar Ahmad dan Timbalan Rektor (Akademik dan Pengantarabangsaan), Profesor Madya Ts. Dr.Rosliza Ramli.
Turut menyaksikan MoU tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri, Satiful Bahari Mamat dan Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin.
Menurut Hamdan, kerjasama itu merupakan satu peluang bagi syarikat untuk mendapatkan pandangan dalam bidang inovasi teknologi dan mekanisasi, serta automasi daripada pemain industri yang berpengalaman dan berkebolehan tinggi.
"Peluang ini membolehkan syarikat menambah baik operasi melalui kemajuan teknologi, seterusnya memastikan pergerakan syarikat selaras dengan Revolusi Perindustrian Keempat atau Industri 4.0 dan Internet of Things (IoT).
“TDM Plantation Sdn Bhd bukan sahaja bertujuan untuk memacu produktiviti dan pertumbuhan ekosistem perladangan, tetapi juga untuk memastikan sistem sokongan yang baik dapat disediakan. Ini termasuklah infrastruktur, kemudahan, latihan dan ilmu pengetahuan yang berkaitan untuk mekanisasi operasi perladangan, menyelesaikan masalah kekurangan tenaga yang semakin meruncing di ladang dan memastikan syarikat kekal berdaya saing, terutamanya ketika mengharungi wabak pandemik kini," ujarnya.
Melalui perjanjian ini, kedua-dua pihak akan bekerjasama untuk memanfaatkan kepakaran dan kekuatan masing-masing.
Dalam tanggungjawab yang dipersetujui, UCTATI akan memberikan sokongan dan nasihat yang diperlukan berhubung dengan inovasi dan mekanisasi aktiviti operasi perladangan, penganjuran simposium, persidangan, kursus pendek dan mesyuarat berkenaan inovasi dan mekanisasi perladangan, perkongsian hasil penyelidikan untuk faedah komersial bagi kedua-dua pihak dan mana-mana bidang kerjasama lain yang dipersetujui bersama.
Sementara itu, Dr Anuar berkata, dengan rangkaian pakar berkemahiran tinggi yang cekap, lengkap dengan keupayaan dalam pelbagai bidang teknikal, pihaknya yakin untuk menyokong TDM Plantation Sdn Bhd kearah merealisasikan potensi syarikat sepenuhnya.
“Kami mengharapkan hasil positif daripada gabungan keupayaan TDM Plantation Sdn Bhd dengan kepakaran teknikal UCTATI. Kita juga bersedia membantu pihak mereka dalam menangani cabaran masa kini dan jangka panjang yang boleh mengganggu momentum syarikat, termasuk dalam usaha mengurangkan beban kerja yang intensif sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manusia melalui mekanisasi dan automasi teknologi,” katanya.
TDM Plantation Sdn Bhd sebelum ini memeterai perjanjian dengan Edaran Badang Sdn. Bhd. bagi mendapatkan jentera Mechanical Buffalos untuk kegunaan ladang.
03 Dec 21
602
Banjir: 50 Meter Jalan Di Kampung Lubuk Panjang Runtuh
SETIU, 3 Disember - Hujan lebat berterusan sejak dua hari lalu, menyebabkan hampir 50 meter jalan di Kampung Lubuk Panjang di Chalok, Setiu runtuh.
Menurut seorang penduduk Abdul Rahman Dollah, 58, ia dipercayai berlaku selepas arus air sungai yang deras di kawasan berdekatan melimpah.
"Kami sedar kejadian itu sekitar jam 7.30 pagi Jumaat dan apabila tengok tar jalan pun habis hanyut.
"Setiap tahun kawasan itu pasti dinaiki air namun pada kali ini ia lebih besar berbanding kebiasaannya," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Tambahnya, jalan yang terletak kira-kira 10 meter dari kediamannya itu baru sahaja dibaik pulih kira-kira dua bulan lalu.
“Baru je baiki tapi dah runtuh lagi.Kawasan ni memang rendah dan tempat laluan air sebab tu buat tinggi tapi begini pula jadinya," katanya lagi.
Terdahulu, dua daerah di negeri Terengganu mula dilanda banjir dan menyebabkan 174 mangsa dipindahkan ke tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) di Setiu dan Kuala Nerus.
03 Dec 21
2768
Amaran Cuaca Buruk Di Terengganu Dan Kelantan
KUALA TERENGGANU, 3 Disember - Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca buruk tahap jingga di Terengganu dan Kelantan, esok.
Amaran itu membabitkan Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.
Manakala di Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai).
Sementara itu, amaran cuaca waspada (tahap kuning)turut dikeluarkan membabitkan Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.
"Tiupan angin dari arah timur laut dijangka berpotensi membawa hujan berterusan dan angin kencang yang boleh menyebabkan banjir di kawasan berkedudukan rendah.
"Hari ini, Setiu Terengganu dan Pasir Putih di Kelantan dilanda banjir susulan hujan berterusan sejak semalam," menurut kenyataan tersebut.
03 Dec 21
1846
Gelombang Pertama Banjir Di Terengganu Kini Bermula
KUALA TERENGGANU, 3 Disember - Gelombang pertama banjir di Terengganu kini bermula dengan hujan lebat sejak semalam menyebabkan beberapa kawasan rendah di negeri ini dinaiki air.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri berkata, setakat pukul 11 pagi ini, dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Setiu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan yang beroperasi kini adalah tiga termasuk di Kuala Nerus.
Katanya, seramai 45 orang daripada 10 keluarga ditempatkan di kesemua tiga PPS berkenaan.
“Di Setiu, PPS Balai Raya Kampung Bari Besar dibuka pukul 8 pagi ini dengan melibatkan pemindahan seramai 16 mangsa manakala di PPS Masjid Chalok Kedai pula dihuni seramai lima mangsa.
“Keseluruhan mangsa banjir kini seramai 45 orang termasuk 24 daripadanya ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Kompleks Mengabang Telipot di Kuala Nerus yang dibuka semalam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Setakat pagi ini, cuaca di seluruh negeri masih lagi hujan lebat di kebanyakan tempat.
03 Dec 21
8575
Malaysia Kesan Kes Pertama Omicron
Foto Ihsan : Google
PUTRAJAYA, 3 Disember - Malaysia merekodkan kes pertama positif varian yang dibimbangi (VOC) Omicron melibatkan seorang pengembara bukan warganegara berusia 19 tahun.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, individu itu merupakan seorang pelajar di sebuah universiti swasta di Ipoh, Perak, tiba dari Afrika Selatan melalui Singapura pada 19 November lalu.
Katanya, dia menjalani ujian RT-PCR Covid-19 setibanya di pintu masuk antarabangsa Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan kes diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di bawah Seksyen 15, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).
“Dia menjalani kuarantin wajib di penginapan yang disediakan oleh pihak universiti di Ipoh. Perjalanan kes dari KLIA ke Ipoh adalah menggunakan bas yang disediakan khas oleh pihak universiti,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE
03 Dec 21
739
595 Kematian Akibat COVID-19 Di Terengganu Tidak Terima Vaksin
KUALA TERENGGANU, 2 Disember - Seramai 595 orang yang meninggal dunia akibat COVID-19 di Terengganu adalah melibatkan individu yang tidak pernah divaksin.
Pengarah Kesihatan Negeri, Dato’ Dr. Kasemani Embong berkata, ia merupakan 77.5 peratus daripada 768 kematian secara keseluruhan.
“Dalam kalangan kematian COVID-19 Terengganu, 343 orang (45.0 peratus) adalah dalam kalangan wanita dan 425 (55.0 peratus) lelaki.
“Peratus kematian mengikut umur paling tinggi adalah dalam kalangan individu yang berusia 60 hingga 69 tahun iaitu sebanyak 25.3 peratus, diikuti dengan individu dalam lingkungan usia 70 hingga 79 tahun (23.6 peratus) dan 50 hingga 59 tahun (17.2 peratus),” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, dari jumlah kematian ini juga, 85.7 peratus (658 orang) mempunyai faktor komobid.
“Antara faktor penyebab peningkatan kematian ini adalah kelewatan mendapatkan rawatan, pesakit yang mempunyai faktor komorbid berganda (2 dan ke atas), belum mendapatkan vaksinasi dan pesakit dalam kalangan mereka yang berumur melebihi 50 tahun.
“Mereka yang berumur 50 tahun lebih berisiko untuk mempunyai imuniti berkurangan kerana sebahagian besar dalam kalangan mereka telah mendapat vaksin lebih awal.
Namun majoriti yang telah lengkap vaksinasi dalam kalangan pesakit yang dimasukkan ke ICU dan yang meninggal belum mendapatkan suntikan vaksin penggalak,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama katanya, seramai 31,397 individu telah menerima suntikan dos penggalak, namun jumlah itu amat rendah jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain.
Katanya, bagi meningkatkan pencapaian suntikan dos penggalak JKNT melaksanakan beberapa strategi iaitu meningkatkan kapasiti fasiliti swasta.
Selain itu pihaknya akan mengaktifkan semula semua klinik kesihatan dan hospital terlibat sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) serta melaksanakan suntikan vaksin secara jangkau luar kepada anggota barisan hadapan bukan KKM.
“Bagi individu yang layak untuk menerima suntikan dos penggalak, individu disarankan untuk mendapatkan suntikan di fasiliti kesihatan KKM dan swasta yang menjadi Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
“JKNT ingin menasihatkan kepada yang mempunyai ibubapa atau saudara-mara yang berusia 50 tahun dan ke atas supaya segera mendapatkan suntikan vaksin dos penggalak,” ujarnya.
02 Dec 21
986
Tiga Strategi Kekang COVID-19 Semasa Musim Banjir
KUALA TERENGGANU, 2 Disember – Kerajaan Negeri sedang mengambil tiga langkah proaktif bagi mengekang penularan wabak COVID-19 jika berlakunya bencana banjir di mana-mana kawasan dalam Terengganu.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana negeri, Hanafiah Mat berkata, di peringkat Pusat Pemindahan Sementara (PPS), pihaknya telah mencadangkan agar semua daerah menyediakan satu bilik isolasi bagi mangsa banjir bergejala.
“Ini bagi memastikan mereka yang disyaki dijangkiti COVID-19 dikuarantinkan, jika didapati kategori kritikal, maka mereka akan dipindahkan ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Selain itu, saya juga sarankan semua daerah agar menyediakan sebuah hospital sementara bagi kes-kes virus tersebut bagi penempatan mangsa positif.
“Contohnya jika dipindahkan ke sebuah sekolah ia boleh dijadikan sebagai pusat rawatan sementara,” katanya selepas majlis bersama media di Hotel Sumai, petang semalam.
Tambahnya, Prosedur Operasi Standard (SOP) di PPS juga akan dikemaskini dan ditambahbaik sejak ia dilaksanakan pada tahun lepas.
“Antaranya seperti pengamalan penjarakkan sosial, dahulunya mungkin masa ditempatkan dalam bilik kecil, sekarang ini kita perbesarkan.
"Manakala bagi mereka yang telah divaksin penuh atau tidak pernah menerima dos suntikan, kita masih memperhalusinya.
“Saya dapati tahun lepas di Kemaman, pematuhan SOP amat memuaskan dengan pengambilan suhu serta mangsa yang demam akan dikuarantin,” jelasnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri.
02 Dec 21
251
Hujan Berterusan, Fenomena Air Pasang Pada Jumaat
KUALA TERENGGANU, 2 Disember – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melanjutkan amaran hujan berterusan peringkat kuning di seluruh negeri Terengganu yang dijangka berlarutan sehingga esok diikuti fenomena air pasang.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga serta Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat berkata, Perairan pantai Terengganu juga dijangka akan mengalami fenomena air pasang besar bermula malam ini.
“Berdasarkan ramalan, paras air laut akan meningkat sehingga 3.7 meter dengan waktu kemuncak pada 5 (Ahad 10.30 malam) hingga 6 Disember (Isnin 11.30 malam).
“Ini akan meningkatkan lagi risiko banjir pada musim tengkujuh.
“Diharapkan mereka yang menetap di kawasan tepi pantai dari Besut sehingga Kemaman agar berwaspada potensi dibadai angin dan ombak besar,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau turut menyeru seluruh warga negeri agar mengadakan Solat Tahajud dan Solat Hajat agar tidak berlaku banjir besar dan ribut semasa mengharungi waktu genting tersebut.
Terdahulu, sebanyak 37 kampung di Terengganu dijangka berdepan risiko banjir berikutan fenomena air pasang besar serta hujan lebat yang berterusan.
02 Dec 21
1263
EMPAT RESTORAN DIKOMPAUN LANGGAR PEMATUHAN HARGA
02 Dec 21
222
Amaran Hujan Berterusan Di Terengganu Bermula Esok
KUALA TERENGGANU, 1 Disember - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan peringkat kuning di seluruh negeri Terengganu bermula esok.
MetMalaysia dalam satu kenyataan di laman Facebook berkata, amaran cuaca tersebut dijangka berlarutan sehingga Jumaat di semua kawasan.
Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana negeri, Hanafiah Mat berkata, semua agensi kerajaan di peringkat daerah telah bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan banjir.
“Menurut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), bulan disember ini dijangka hujan hampir 1000 mm belum lagi didapati belum turun.
“Saya mengharapkan kepada semua rakyat khususnya yang tinggal di tanah rendah agar segera berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sebelum paras air meningkat, ini bagi memastikan tiada tercicir akhir saat terutamanya pada waktu malam.
“Kedua, penduduk berdekatan kawasan sungai agar waspada fenomena kepala air, kurangkan beriadah bersama keluarga pada musim Monsun Timur Laut ini,” katanya lagi.
Jelasnya, pelbagai agensi seperti Pejabat Daerah, Majlis Perbandaran, Bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Khidmat Malaysia Terengganu akan sentiasa bersedia untuk memberi bantuan jika perlu.
01 Dec 21
1085