lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Jambatan Baru Pulau Kekabu Beroperasi , Kurangkan Kesesakan
Jambatan Baru Pulau Kekabu Beroperasi , Kurangkan Kesesakan
MARANG, 7 Disember – Jambatan Baharu di Pulau Kekabu yang siap dibina sepenuhnya bakal membawa manfaat buat penduduk dan pengunjung dalam aspek pelancongan dan ekonomi selain mampu mengatasi masalah kesesakan. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kesesakan di laluan masuk iaitu jambatan lama Pulau Kekabu sebelum ini telah menimbulkan situasi yang kurang selesa bagi pengunjung. “Pada tanggal 23 April 2019, saya telah mengumumkan berita gembira kepada warga setempat iaitu pembinaan jambatan baharu di Pulau Kekabu ini semasa merasmikan Hentian Bas Marang. “Disiapkan pada 26 Oktober tahun ini dengan panjang 47.3 meter, projek ini adalah satu lagi usaha pihak kerajaan bagi menyediakan prasarana dalam usaha memberi keselesaan kepada penduduk setempat. “Saya percaya Majlis Daerah Marang yang diberi mandat untuk membangunkan Taman Rekreasi Keluarga Pulau Kekabu ini merangka pelbagai cadangan ke arah memajukan lagi kawasan ini,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam merasmikan Jambatan Pulau Kekabu, di sini, pagi tadi. Turut hadir, YBM Tengku Seri Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Terengganu, ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong dan Pegawai Daerah Marang, Lizan Che Mat. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman menjelaskan, pembinaan bernilai RM1.38 juta itu akan membantu lagi Taman Rekreasi Keluarga Pulau Kekabu Marang. “Kawasan ini telah menjadi satu fenomena baharu dan telah menjadi tarikan kepada pengunjung dari dalam dan luar negeri. “Aktiviti rekreasi seperti joging, memancing dan sampan menarik pelancong sehingga 3,000 orang pada akhir minggu dan musim perayaan. Kini dua jambatan yang lebih selamat telah diwujudkan. “Diharapkan agar keindahan ini tidak tercemar jika pengunjung tidak cakna kebersihan, saya menyeru agar kita bersama-sama kerajaan negeri, Pihak Berkuasa Tempatan serta Badan Bukan Kerajaan sama-sama menjaga imej negeri,” katanya lagi.
07 Dec 21
3835
Musim Tengkujuh : Penduduk Seberang Takir Dinasihat Terus Berwaspada
Musim Tengkujuh : Penduduk Seberang Takir Dinasihat Terus Berwaspada
KUALA NERUS, 6 Disember – Penduduk Daerah Kuala Nerus terutama di Seberang Takir dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dengan sebarang potensi cuaca buruk ekoran musim tengkujuh yang sedang melanda. Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Nerus, Kapt.(PA) Zahidi Zainuddin, komuniti yang tinggal di kawasan yang berisiko banjir perlu sentiasa bersedia dengan apa jua keadaan yang bakal terjadi berikutan keadaan hujan yang berterusan baru-baru ini. “Mohon penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir untuk sentiasa memantau pergerakan ahli keluarga terutama kanak-kanak agar tidak mendekati kawasan seperti parit, sungai serta tempat-tempat takungan air. "Pastikan juga dokumen penting disimpan di tempat tinggi serta selamat," ujarnya yang juga Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah tersebut. Beliau turut menasihati agar sentiasa berhati-hati dengan kehadiran binatang berbisa yang mencari tempat perlindungan seperti di kawasan rumah dan juga di dalam rumah. Tambahan lagi, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, Terengganu menjangkakan episod hujan lebat berterusan bermula semula Khamis ini.  Sementara itu, Pegawai Penyelaras DUN Seberang Takir, Mohd Fadil Wahab turut menasihati penduduk Seberang Takir untuk sentiasa berhati-hati dan berwaspada dengan air pasang yang melanda akibat kehadiran musim tengkujuh ini. “Saya nasihatkan supaya komuniti di sini elakkan terlalu leka dan jangan biarkan ahli keluarga untuk keluar bermain air di musim sekarang. "Jika kita lihat kedudukan air laut dikeluarkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Terengganu, paras air laut dilihat semakin naik ekoran cuaca sekarang," jelasnya. Beliau turut menegaskan agar penduduk yang mengalami masalah dan musibah terus berhubung dengan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat agar dapat dihulurkan bantuan untuk membantu mangsa. Terdahulu, Seberang Takir merupakan antara kawasan yang mempunyai mangsa banjir yang paling ramai di daerah Kuala Nerus dan mereka ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) hingga cuaca kembali pulih.
06 Dec 21
945
TFC Pilih Jurulatih Baru Petang Ini
TFC Pilih Jurulatih Baru Petang Ini
DUNGUN, 6 Disember- Teka teki mengenai siapakah pengendali Terengganu FC (TFC) bagi musim 2022 bakal terjawab hari ini. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pengurusan tertinggi Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd akan mengadakan mesyuarat khas bersama Ahli Lembaga Pengarah petang ini bagi menentukan calon terbaik yang bakal mengisi kekosongan jawatan itu. “Ahli Lembaga Pengarah TFC yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar akan bermenyuarat. “Pelantikan jurulatih baru antara agenda yang akan dibincangkan dan kita akan buat keputusan mengenainya dan beberapa perkara berkaitan pengurusan pasukan dalam menyuarat tersebut, “ ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program TDM Prihatin Mesra Komuniti di Dewan Balora, Bandar Al- Muktafi Billah Shah, hari ini. Dalam laporan media sebelum ini menyatakan, selain jurulatih musim ini, Nafuzi Zain, beberapa nama kini berada dalam radar pengurusan skuad itu untuk memegang jawatan berkenaan termasuk bekas pengendali T-Team, Tomislav Steinbruckner dan Rahmad Darmawan serta pembantu jurulatih Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Nenad Bacina.
06 Dec 21
2750
107 Sertai 'Monsoon Fun Ride'
107 Sertai 'Monsoon Fun Ride'
SETIU, 6 Disember : Seramai 107 peserta menyertai program Monsoon Fun Ride Permaisuri 2021 yang julung-julung kali diadakan itu. Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawasan Permaisuri, Zul Bhari A Rahman berkata, program yang menghimpunkan peminat sukan berbasikal itu wajar diadakan sebagai medan ukhwah mengeratkan silaturahim antara satu sama lain. "Kita mengharapkan penganjuran seperti ini dapat diteruskan lagi di masa akan datang memandangkan ianya salah satu sukan yang dekat pada masyarakat disamping sukan lain," katanya ketika ditemui pada majlis perasmian penutup di Laman Seri Rhu 10.  Terdahulu, pelepasan program berbasikal itu disempurnakan oleh Pegawai Penyelaras DUN Permaisuri, Zul Bhari A Rahman dan Penolong Pegawai Daerah Setiu, Muhammad Maliki Md Jusoh. Program yang bermula dari Kampung Guntung Luar menuju ke Laman Seri Rhu 10 sejauh hampir 20 kilometer itu tidak mematahkan semangat peserta walaupun dalam keadaan hujan.  Rata-rata peserta ditemui menyatakan keterujaan menyertai 'Monsoon Fun Ride' yang diadakan kali ini.  
06 Dec 21
609
Banjir Di Terengganu Pulih Sepenuhnya
Banjir Di Terengganu Pulih Sepenuhnya
KUALA TERENGGANU, 6 Disember - Gelombang banjir pertama di Terengganu pulih apabila pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir  ditutup pada 12 tengah hari, hari ini. Seramai 26 mangsa banjir daripada sembilan keluarga yang ditempatkan PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Atas Tol merupakan mangsa terakhir dibenarkan pulang sejak pagi tadi. Berdasarkan rekod, kesemua mangsa banjir dari tiga buah kampung iaitu Kampung Bukit, Kampung Titian Baru dan Kampung Surau Panjang di Kuala Terengganu ditempatkan di PPS berkenaan yang mula dibuka Sabtu lalu. Dalam pada itu, laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, paras air sungai di Terengganu turut menunjukkan trend penurunan apabila semua sungai kembali kepada paras normal. Sebelum ini, empat sungai di negeri ini berada pada paras amaran manakala lima lagi berada pada paras waspada susulan hujan berterusan. Terdahulu, gelombang pertama menyaksikan empat daerah di negeri ini terjejas apabila 224 mangsa daripada 75 keluarga di daerah Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu dipindahkan ke 10 PPS.
06 Dec 21
770
Hotel, Taman Tema Tasik Kenyir Dijangka Beroperasi Tahun Depan
Hotel, Taman Tema Tasik Kenyir Dijangka Beroperasi Tahun Depan
KUALA TERENGGANU, 6 Disember - Projek hotel di Pulau Poh, Tasik Kenyir yang tertangguh lama pembinaannya sebelum sebelum ini kini berada di landasan terbaik untuk beroperasi Jun 2022 apabila dijangka siap dibina pada akhir 2021. Pengarah Eksekutif Terengganu Incorporated (Terengganu Inc), Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun berkata, pihaknya sedang menyediakan dokumen Permintaan Untuk Cadangan (RFP) bagi pemilihan syarikat berkelayakan sebagai pengurus pusat penginapan dengan 150 bilik tersebut. “Di samping itu, kita juga akan membaik pulih taman tema air di tempat sama dengan kos tambahan sebanyak RM1.5 juta. Taman Tema ini akan menggabungkan konsep pusat penginapan dan rekreasi keluarga. “Formula terbaik adalah dengan melantik satu syarikat pengurusan bagi hotel tiga bintang dan ‘waterpark’, namun kita akan meneliti pemilihan ini dengan senarai nama pemain industri yang kukuh bagi pengoperasian semula tasik kenyir dengan beberapa tarikan menarik. “Kita juga memberi ruang kepada peniaga dalam negeri jika mereka ada cadangan yang baik, namun kita tekad dalam memastikan projek ini berjaya,” katanya. Beliau berkata demikian selepas program Hi-tea bersama Kumpulan Terengganu Inc, petang semalam. Tambahnya, dengan penyiapan jambatan di Pulau Poh dan dua projek lain iaitu Marina Dome dan Hotel Pulau Poh akan memberi manfaat ekonomi buat komuniti setempat. Tegas Burhanuddin, syarikat pegangan pelaburan kerajaan negeri tersebut komited dengan mandat kerajaan negeri bagi memastikan pembangunan di kawasan tersebut tidak terus diibaratkan seperti gajah putih. “Kita telah bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi memastikan pasukan yang bakal mengendalikan pusat peranginan tersebut berkemahiran tinggi dalam bidang pengurusan yang sesuai, ini akan dicapai melalui pemilihan khusus kerana ia bukan perkara kecil,” katanya lagi
06 Dec 21
4429
Qabil Muncul Juara Keseluruhan Junior SIC Ohvale
Qabil Muncul Juara Keseluruhan Junior SIC Ohvale
SEPANG, 6 Disember - Pelumba cilik Terengganu, Qabil Irfan Azlan sekali lagi membuktikan dia berada di kelas tersendiri apabila muncul juara keseluruhan bagi kelas 110cc Kejuaraan Junior SIC Ohvale 2021. Kejayaan tersebut adalah dua kali berturut-turut setelah turut muncul juara SIC MiniGP tahun lepas, sebelum kejuaraan itu dijenamakan semula kepada Kejuaraan Junior SIC Ohvale. Qabil bersama bapanya, Azlan Abd Rahman. Pada pusingan kemuncak minggu ini, pelumba berusia sembilan tahun itu menguasai keempat-empat perlumbaan dan seterusnya menutup tirai kempen 2021 dengan 284 mata. Berada di tempat kedua adalah rakan senegerinya, Adam Danial yang menamatkan kempen dengan 219 mata manakala Shah Putra melengkapkan podium di tempat ketiga, 167 mata. Mengulas mengenai dua perlumbaan hari ini termasuk yang terakhir berlangsung dalam keadaan litar basah, Qabil berkata, saingan sedikit sukar berbanding biasa. "Sedikit susah hari ini disebabkan hujan namun sebelum ini saya banyak melakukan latihan dalam keadaan hujan. "Selain itu, tahun ini lebih susah berbanding tahun lalu kerana kali ini, pesaing ramai yang lebih laju," katanya seperti dilaporkan Berita Harian Online, semalam. Qabil (nombor satu) dilihat pantas mendahului saingan Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah menerusi satu hantaran di Facebook turut mengucapkan tahniah buat pelumba cilik kebangaan negeri itu. “Semoga kejayaan ini akan menjadi pembakar semangat buat pelumba-pelumba cilik Terengganu yang lain,” katanya. Untuk rekod, Qabil daripada 12 perlumbaan musim 2021, Qabil meraih 11 kemenangan dan hanya sekali berada di tempat ketujuh pada Perlumbaan 2 Pusingan 4 di Litar Kart Antarabangsa Sepang, sebelum ini.
06 Dec 21
1209
Jalan Persinggahan Persisir Pantai Batu Buruk Ditutup Bagi Pemangkasan Pokok
Jalan Persinggahan Persisir Pantai Batu Buruk Ditutup Bagi Pemangkasan Pokok
KUALA TERENGGANU, 6 Disember - Jalan persinggahan persisir Pantai Batu Buruk kini ditutup sementara kepada semua kenderaan sehingga 8 Disember. Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Rozali Salleh berkata, jalan itu ditutup bagi membolehkan kerja-kerja pemangkasan pokok secara bersepadu dilakukan di laluan tersebut. "Pemangkasan pokok secara bersepadu ini dilakukan sebagai langkah pencegahan kepada pengguna laluan tersebut pada masa akan datang setelah penilaian risiko keselamatan dibuat terhadap pokok-pokok ini. Kerja-kerja pemangkasan giat dilakukan "Bagi menjamin keselamatan pengguna, laluan yang bermula dari selekoh Primula Beach Resort sehingga bulatan berhampiran Restoran A&W ini hanya akan ditutup dari 8.00 pagi hingga 5.00 petang sahaja sepanjang kerja-kerja itu dilaksanakan," jelasnya. Rozali Salleh, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu Tambah Rozali, selepas waktu tersebut, pengguna boleh melalui laluan tersebut seperti sedia kala. "Papan tanda lalulintas akan dipasang di tapak untuk panduan pengguna jalan raya. “Para pengguna hendaklah mematuhi tanda arah serta papan tanda keselamatan yang disediakan. Kerjasama sepenuhnya daripada semua pengguna jalan raya amat diharapkan,” katanya. Jelasnya, buat sementara waktu, para pengguna jalan raya boleh menggunakan Jalan Sultan Mahmud sebagai laluan alternatif.  
06 Dec 21
870
ECERDC Tarik Hampir RM3.0 Bilion Pelaburan Ke Terengganu
ECERDC Tarik Hampir RM3.0 Bilion Pelaburan Ke Terengganu
KUALA TERENGGANU, 5 Disember – Terengganu menerusi Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah menarik pelaburan komited sebanyak RM2.9 bilion bagi tahun 2021. Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat berkata, pelaburan tersebut bakal mewujudkan lebih 5,000 peluang pekerjaan dan 600 peluang keusahawanan direkodkan sehingga bulan lepas. “Tumpuan diberikan kepada Taman Biopolimer Kerteh (KBP), salah sebuah taman perindustrian paling berjaya yang dibangunkan oleh ECERDC. “ECERDC akan memperhebatkan kegiatan mempromosikan pelaburan ke Terengganu dengan kerjasama agensi-agensi Persekutuan dan Negeri untuk menarik pelaburan baharu serta memastikan pelaburan dapat direalisasikan terutamanya di KBP. “Baru-baru ini, KBP telah berjaya menarik pelaburan berjumlah RM220 juta daripada Greenverse Sdn. Bhd. (GVSB) untuk membangunkan sebuah loji pengurusan sisa berjadual secara bersepadu,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini. Menurutnya lagi, pelaburan tersebut dijangka mewujudkan sehingga 250 peluang pekerjaan baharu yang merangkumi jawatan profesional, pengurusan dan kemahiran teknikal. “KBP, hab bioekonomi dan bahan kimia khusus ECER yang meliputi kawasan seluas 140 hektar, telah menarik pelaburan yang direalisasikan berjumlah RM5.2 bilion setakat ini. “Kompleks PKS KBP juga menerima sambutan yang menggalakkan walaupun siap ketika pandemik. “Sebanyak 98 peratus daripada lot yang ada telah diduduki majoritinya oleh syarikat-syarikat Industri Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) yang memberi sokongan kepada PETRONAS dan syarikat-syarikat petrokimia lain di Wilayah ini,” katanya lagi. Jelasnya, sasaran ECERDC adalah pertumbuhan industri petrokimia khusus, dan kini sedang membangunkan Fasa 4 yang terdiri daripada kawasan tambahan seluas 397 ekar bagi menampung pertumbuhan akan datang untuk para pelabur menjelang pertengahan tahun 2025.
06 Dec 21
689
Menyelamat, Melegakan Dan Membaikpulih Jadi 'Hashtag' Khidmat Malaysia
Menyelamat, Melegakan Dan Membaikpulih Jadi 'Hashtag' Khidmat Malaysia
Oleh: WA Hadi KEMAMAN, 6 Disember - Menyelamat, Melegakan dan Membaikpulih (3M) menjadi 'hashtag' kepada badan bukan kerajaan (NGO) Sukarelawan Khidmat Malaysia bagi mengurus kecemasan dan bencana di Malaysia. Pengerusi Khidmat Malaysia negeri, Hanafiah Mat berkata pihaknya melakukan setiap kerja secara ikhlas tanpa mengharapkan balasan demi kesejahteraan semua lapisan rakyat. "Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada sukarelawan Khidmat Malaysia dan agensi kerajaan yang berkhidmat dengan cemerlang pada tahun-tahun yang lalu ketika banjir melanda daerah Kemaman. Bacaan doa oleh Ustaz Nik Mohammad Nasri "Walaupun sebahagian besar daripada anda tidak dibayar dengan wang ringgit, tetapi saya yakin dan percaya bahawa ganjaran tersebut bakal diterima diakhirat kelak," ucapnya. Beliau berkata demikian di Majlis Pelancaran Khidmat Malaysia Parlimen Kemaman 2021, di Dewan Seri Amar, Cukai, semalam yang dihadiri oleh seramai 200 orang petugas sukarelawan. Pada masa yang sama, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kemaman, Mohd Sophian Abu Bakar yang juga Pegawai Daerah Kemaman berkata beliau amat mengharapkan kerjasama daripada semua NGO yang ada di Kemaman sekiranya berlaku bencana atau kecemasan tanpa mengira masa dan tempat. Gimik pelancaran oleh Sukarelawan Khidmat Malaysia Kemaman. "Saya amat mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama dan perkongsian idea daripada semua pihak dalam memberikan khidmat yang terbaik kepada masyarakat di Kemaman terutama ketika bencana banjir. "Kita perlu terus berubah bagi meningkatkan lagi keberkesanan perkhidmatan yang sedia ada terutama dari segi pembangunan sikap dan akhlak yang perlu diseiringkan dengan pembangunan fizikal dan proses kerja juga perlu lebih pantas," katanya. Sementara itu, Pengerusi Khidmat Malaysia Kemaman, Che Alias Hamid mengharapkan agar majlis ini dapat menyuntik semangat para sukarelawan Khidmat Malaysia agar terus meningkatkan usaha dan terus istiqomah. "Sokongan dan bantuan dari semua amat diperlukan bagi meringankan beban yang bakal dipikul oleh agensi kerajaan yang terlibat dalam memberi bantuan kepada rakyat," ucapnya yang juga  Ahli Parlimen Kemaman. Turut dipamerkan dimajlis tersebut adalah sebahagian daripada eset bagi kerja-kerja bantuan semasa dan selepas operasi banjir termasuk peralatan komunikasi. Penerangan oleh petugas Unit Komunikasi Khidmat Malaysia Kemaman (RAK).  
06 Dec 21
435