lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Program Anak Susuan Patuh Syariah Dalam Kajian
Program Anak Susuan Patuh Syariah Dalam Kajian
KUALA TERENGGANU, 8 Disember- Kerajaan negeri menerusi portfolio Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri menjelaskan bahawa cadangan melaksanakan program Anak Susuan Patuh Syariah masih dalam peringkat kajian terperinci oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT). Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, JHEAT akan mencari solusi terbaik bagi memastikan program itu berjaya dilaksanakan.  “Memang terdapat permintaan terhadap program ini, bagaimanapun ianya masih di peringkat kajian JHEAT. “Apabila kajian dan lain-lain selesai, Insyaallah program ini dapat dilaksanakan,” ujarnya kepada pemberita ketika ditemui pada program penyerahan sumbangan Kumpulan Ketengah Holding Sdn. Bhd. dan Ketengah Jaya Sdn Bhd kepada Tabung Darul Iman di Wisma Darul Iman, semalam. Hanafiah dalam laporan media sebelum ini memberitahu, ibu susuan bakal menjadi cabang kerjaya khusus kepada ibu-ibu yang tidak bekerja setelah kerajaan Terengganu memperkenalkan program Anak Susuan Patuh Syariah. Katanya,  program kali pertama di Terengganu itu akan dilaksanakan bagi membantu ibu-ibu bekerja menyusu bayi mereka dalam masa yang sama membantu ibu-ibu yang tidak bekerja. Katanya, hal itu penting memandangkan tempoh usia enam bulan pertama bayi perlu mendapatkan penyusuan eksklusif daripada air susu ibu (ASI) malah ia juga telah dipraktikkan sejak zaman Rasulullah SAW. “Ramai ibu-ibu bekerjaya yang tiada masa memberikan bayi mereka ASI. Ada yang turun dari rumah jam 7 pagi pulang jam 6 petang. “Jadi, ini adalah berita gembira buat ibu bekerjaya dan juga wanita yang tidak bekerjaya namun mampu memberikan ASI dengan memenuhi kriteria seperti sihat tubuh badan dan telah berkahwin. “Ibu-ibu yang memenuhi syarat yang ditetapkan akan ditempatkan di satu tempat khas untuk menyusu,” jelasnya.  Bagaimanapun katanya, rekod penyusuan perlu diteliti dan disimpan dengan baik bagi mengelak berlakunya perkahwinan sesama adik-beradik susuan. “Ini merupakan perkara pokok bagi membendung berlakunya gejala perkahwinan sesama saudara susuan ekoran salah faham berkaitan anak susuan dan ketiadaan rekod antara anak dan ibu susuan,” katanya. Beliau berkata, sebagai permulaan program itu akan digerakkan dengan kolaborasi Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bersama kumpulan penyelidik Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan turut mendapat kerjasama daripada Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT). Katanya, penyelidikan itu dijalankan di bawah geran penyelidikan FRGS: Pembinaan Model Pengurusan Pensijilan dan Dokumentasi Anak Susuan Patuh Syariah serta SIG Penyusuan Susu Ibu Patuh Syariah bagi membentuk kaedah persijilan dan dokumentasi anak susuan patuh syariah. Menurutnya, projek itu akan diketuai Ketua Penyelidik iaitu Pensyarah Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Dr Siti Fatimah Salleh.
09 Dec 21
445
Pelumba TSG Juara Keseluruhan Di Jelajah Thailand
Pelumba TSG Juara Keseluruhan Di Jelajah Thailand
KUALA TERENGGANU, 8 Disember - Pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) berjaya merangkul gelaran pelumba terbaik keseluruhan menerusi pelumbanya Jambaljamts Sainbayar. Atlet berbasikal berbangsa Mongolia itu berjaya menyarung jersi kuning setelah mengekalkan prestasi sejak hari pertama, meskipun menamatkan kayuhan terakhir di tempat kedua. Pada perlumbaan peringkat keenam, Adne van Engelene dari Bike Aid muncul tempat pertama dengan catatan masa 3 jam 45 minit 16 saat sementara Sarawut Sirironnachai mewakili Thailand Continental Cycling Team di kedudukan ketiga ( 3 jam 45 minit 51 saat). Bagi kategori pasukan terbaik pula dimenangi oleh Bike Aid manakala TSG berada di kedudukan kedua dan Team Sapura Cycling ketiga. Jersi Hijau pula dimenangi oleh pelumba Bike Aid Lucas Carstensen manakala Engelene mengungguli sebagai Raja Bukit (Jersi Polka Dot). Dalam pada itu, Jambaljamts berkata, dia berpuas hati dengan kerjasama semua pihak untuk memperoleh keputusan positif dalam perlumbaan Jelajah Thailand. "Perlumbaan yang cukup mencabar namun saya berterima kasih kepada pasukan, rakan dan juga penaja yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang tempoh perlumbaan," katanya seperti dilaporkan Harian Metro, baru-baru ini. Sementara itu, rakan sepasukannya, Nur Amirullah Fakhruddin Mazuki lega dengan kemenangan itu sekali gus menyaksikan strategi yang diterapkan sepanjang tempoh perlumbaan membuahkan hasil. "Syukur Alhamdulillah, perlumbaan terakhir rakan sepasukan dapat memenangi Jersi Kuning. Ini adalah hasil daripada taktik berkesan untuk memperoleh kejayaan itu," jelasnya. Untuk pengetahuan, Jelajah Thailand edisi 2021 menawarkan hadiah secara keseluruhan mencecah setengah juta ringgit dengan pasukan Bike Aid mendominasi wang kemenangan itu apabila memperoleh kira-kira RM115,000.
08 Dec 21
1055
KHSB, Ketengah Jaya Salur Sumbangan RM250 Ribu Kepada Tabung Darul Iman
KHSB, Ketengah Jaya Salur Sumbangan RM250 Ribu Kepada Tabung Darul Iman
KUALA TERENGGANU, 8 Disember- Kumpulan Ketengah Holding Sdn. Bhd. (KHSB) dan Ketengah Jaya Sdn Bhd menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) menyalurkan sumbangan bernilai RM250,000 kepada Tabung Darul Iman. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KHSB, Mohd. Zaid Sulaiman berkata, pemberian sumbangan hasil keuntungan perniagaan anak-anak syarikat itu bagi membantu meringankan beban rakyat terutamanya yang ditimpa musibah, menghidap penyakit kronik dan yang memerlukan bantuan perubatan. “Kita serahkan sumbangan sebanyak RM250,000 kepada Tabung Darul Iman untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan. “Sumbangan ini merupakan inisiatif CSR kita pada setiap tahun dengan jumlah tertentu mengikut keuntungan yang diperoleh,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis penyerahan replika cek tersebut oleh Mohd Zaid kepada Pengerusi Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat yang mewakili Tabung Darul Iman. Turut hadir, Pengerusi KHSB, Mohd Yusof Majid. Sementara itu, Hanafiah merakamkan ucapan terima kasih kepada KHSB dan Ketengah Jaya Sdn Bhd yang sentiasa prihatin terhadap rakyat yang memerlukan bantuan. “Semoga Ketengah sentiasa memperoleh keuntungan dan dapat menyalurkan sumbangan kepada lebih ramai lagi selepas ini,” ujarnya.  
08 Dec 21
684
1,214 Hektar Tanah Terbiar Di Setiu Diteroka Secara Haram
1,214 Hektar Tanah Terbiar Di Setiu Diteroka Secara Haram
KUALA TERENGGANU, 8 Disember - Lebih 1,214 hektar tanah kerajaan di Setiu diteroka secara haram oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan sebahagian besarnya melibatkan aktiviti penanaman kelapa sawit. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, ia diteroka secara haram sejak 15 tahun lalu . Katanya, walaupun inisiatif penyelesaian sudah digerakkan bermula 2018, namun berdepan laluan sukar berikutan timbul pelbagai isu.  “Kerajaan negeri telah menyediakan pelan penyelesaian bagi merungkai isu lapuk ini, malah saya tiada masalah untuk berdepan atau berbincang secara baik dan harmoni dengan peneroka. “Kita tidak bercakap dalam topik penguatkuasaan atau pendakwaan, tetapi bagaimana ruang peraturan dan undang-undang sedia ada boleh dimanfaatkan untuk membuka jalan supaya yang haram boleh dihalalkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Azman berkata, penyelesaian isu itu bakal membolehkan kedua-dua pihak mendapat manfaat kerana rakyat boleh terus mencari rezeki manakala kerajaan negeri sebagai tuan tanah pula mendapat hak yang sepatutnya.  Dalam pada itu, beliau berkata, isu pensijilan Sijil Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) sebagai syarat kepada pekebun menjual sawit mereka bermula tahun depan akan dapat diselesaikan dengan penyelesaian status tanah. “Sekali gus mampu menarik peneroka haram untuk menyelesaikan isu tanah berkenaan kerana untuk dapat sijil MSPO, status tanah yang diusahakan mesti 'halal’,” ujar Azman.  
08 Dec 21
698
Villapadu Desa Janjikan Percutian ‘Ala Kayangan’ Di Terengganu
Villapadu Desa Janjikan Percutian ‘Ala Kayangan’ Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 8 Disember - Ingin merasai pengalaman bercuti di villa yang  mewah dan privasi umpama berada di rumah sendiri dan jika itu yang diimpikan maka anda boleh merasainya di Villapadu Desa di Kampung Seberang Baruh, di sini Pastinya rumah yang lengkap dengan set BBQ, peralatan rumah yang hebat dengan suasana yang eksklusif, ibarat anda pulang ke kampung halaman sendiri.  Paling menarik adalah sudah pasti landskapnya yang cukup cantik menghijau sambil bunyi air di kolam renang yang tenang menambahkan lagi perasaan bercuti yang bebas tanpa gangguan. Menurut pemiliknya, Zulhisham Ayob,61, idea penataan landskap dan seni bina keseluruhan vila berkenaan dirancang rapi supaya keindahan alam semula jadi di sekitarnya dapat dinikmati tetamu sepanjang masa. “Apabila lokasi penginapan terletak di dalam kampung, sudah tentu tetamu yang bakal tiba membayangkan panorama unik dengan idea binaan menarik, bilik selesa dan sedap mata memandang. “Mengambil kira keperluan itulah landskap tropika cuba diketengahkan selari dengan keadaan asal tanah ini yang kaya dengan tumbuh-tumbuhan hijau,” kata bapa kepada lapan anak yang berpandangan jauh itu. Berpegang teguh untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan dan berfungsi sebagai penginapan mewah yang mampu menyaingi mana-mana hotel lima bintang di luar jangkaan mereka, sebaik sahaja mereka mendaftar masuk. Bermula dengan harga RM2,000 semalam, terdapat tiga bilik tidur utama yang mampu memuatkan 10 orang dewasa termasuk tiga kanak-kanak. Katanya, dengan pakej yang ditawarkan walaupun bersifat ‘premium’ namun dijanjikan kepuasan berganda kepada mereka yang membelinya. “Setiap pelanggan utamakan kebersihan, saluran paip yang terkemuka, katil yang selesa, penghawa dingin yang berfungsi, dapur yang serba lengkap, lokasi yang strategik, perkhidmatan pelanggan yang baik, sambungan internet, kemudahan hiburan dan perkhidmatan tambahan . “Jadi kenapa saya tidak boleh menawarkan tetamu semua keselesaan  yang mereka harapkan daripada percutian kelas pertama dan menjadikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan yang hebat dengan perkhidmatan yang baik daripada penduduk tempatan,” tambah bekas bos Pakar Media dan pengasas Oranje-ISC, salah satu agensi media dan pemasaran yang paling berjaya di Malaysia. Satu pengalaman yang menakjubkan jika anda dapat berkunjung ke sini malah satu tempat yang sangat menarik dan sesuai untuk anda sekeluarga.  Apa yang penting, anda perlu tahu bahawa pengalaman, ketenangan dan kepuasan hati adalah jauh melampaui dari wang ringgit. Jadi jangan terlalu berkira untuk "hadiahkan" diri anda dan keluarga anda dengan percutian! Empat hartanah di Kuala Terengganu, semuanya miliknya, kini menjadi tapak homestay vila mewah,yang membawa anda kembali kepada ke pangkuan desa dan alam menghijau tetapi lebih istimewa, dengan suasana yang lebih bergaya dan elegan. Sebuah rumah kampung lama, telah diubah suai menjadi sebuah vila yang indah di bawah jenama Villapadu, dua lagi hartanah, satu di sepanjang Sungai Terengganu dan satu lagi di tepi laut, hampir siap sementara satu lagi masih dalam pembinaan di Kampung Kubang Parit. “Ia bukan sekadar mempunyai harta untuk disewa, ia tentang memberikan segala-galanya kepada pelanggan,” ujarnya.
08 Dec 21
5025
Covid-19 : Terengganu Catat Kes Kematian Tertinggi
Covid-19 : Terengganu Catat Kes Kematian Tertinggi
PUTRAJAYA , 8 Disember- Terengganu mencatatkan kematian tertinggi berbanding negeri lain dengan 12 kes dilaporkan, daripada jumlah keseluruhan 66 kes kematian Covid-19 di seluruh negara. Menurut data pada laman web CovidNow, angka tersebut menjadikan jumlah kematian terkini sebanyak 30,718 kes serta tiada kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam semalam. “Sebanyak sembilan kes meninggal dunia di luar hospital atau brought-in-dead (BID) dengan jumlah kes BID di Malaysia sebanyak 6,216 kes,” demikian maklumat tersebut di sini hari ini. Negeri-negeri lain yang merekodkan kematian ialah di Selangor (11), Kedah (8), Perak (7), Pulau Pinang (6), Sabah (5), Negeri Sembilan (4), Kuala Lumpur (3), Johor (3), Sarawak (2), Pahang (2), Kelantan (2) dan Melaka (1) serta tiada kematian di Perlis, Labuan dan Putrajaya. Terdapat 60,411 kes aktif melibatkan 49,279 kes dikuarantin di rumah, 5,875 kes di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), 4,820 kes di hospital, 197 kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) tanpa bantuan pernafasan dan 240 kes di ICU dengan bantuan pernafasan. Sebanyak 4,965 kes harian semalam disumbangkan oleh Selangor (1,196 kes), Kelantan (573 kes), Johor (438 kes), Pulau Pinang (388 kes), Kuala Lumpur (380 kes), Kedah (365 kes), Pahang (363 kes), Sabah (307 kes), Terengganu (219 kes), Negeri Sembilan (212 kes), Sarawak (71 kes), Melaka (181 kes), Perak (170 kes), Perlis (46 kes), Putrajaya (33 kes) dan Labuan (23 kes). -K! ONLINE
08 Dec 21
3119
Tradisi Lumba Perahu Gamit Kembali Budaya Terengganu
Tradisi Lumba Perahu Gamit Kembali Budaya Terengganu
KUALA NERUS , 8 Disember - Selepas 30 tahun hilang dalam budaya masyarakat Terengganu, tradisi lumba perahu kini diperkenalkan semula oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tanjung Sabtu kepada golongan muda dan dewasa. Program ini telah menarik peminat dari kalangan golongan remaja dan dewasa sekaligus mengeratkan lagi silaturahim antara penduduk kampung bersama barisan JPKK dengan kemeriahan sambutan yang sangat menggalakkan.  Mewakili Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, Abdullah Amir Zabudin berkata, program tersebut telah menarik peminat dan sambutan yang sangat menggalakkan. Menurutnya, program sebegini diharap dapat diteruskan lagi pada masa-masa akan datang dalam memelihara tradisi lumba perahu, warisan zaman berzaman demi generasi seterusnya. “Penganjuran program seperti ini memberi kebaikan dalam mengekalkan tradisi kita sebagai rakyat Terengganu disamping mengeratkan hubungan antara penduduk kampung yang lain. “Insya-Allah kerjasama akan sentiasa dihulurkan oleh Pihak Parlimen Kuala Nerus demi kebaikan dan kemakmuran rakyat khususnya di daerah ini,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini. Menurutnya lagi, lumba perahu menggunakan perahu kayu telah terhenti sejak tahun 1986, iaitu kira-kira 33 tahun selepas ia digantikan dengan perahu gentian kaca. Dalam pertandingan lumba perahu tersebut, pasukan dari Kampung Buluh Gading telah mendahului tiga pasukan lain dan berjaya membawa pulang RM600 beserta pingat. Manakala, pasukan Tanjung Sabtu telah meraih tempat kedua diikuti Petai Bubus di tempat ketiga dan Jeram di tempat keempat, masing-masing membawa wang tunai RM480, RM360, RM240 beserta pingat. Turut hadir menyempurnakan majlis tersebut, Ketua Penolong Pengarah (Pembangunan Produk) Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Fathil Abd Ghani dan Penolong Pengarah Jabatan Korporat, Kemasyarakatan dan Kualiti, Mohd Saiful Bahari Ramli. 
08 Dec 21
2044
Pelebaran Jambatan Kampung Gong Baru Hampir Selesai
Pelebaran Jambatan Kampung Gong Baru Hampir Selesai
KUALA TERENGGANU, 8 Disember – Penantian lebih 10 tahun penduduk Kampun Gong Baru untuk menaiktaraf jambatan yang sempit hampir menemui sinar penghujungnya. Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi memaklumkan perkembangan terkini jambatan tersebut telah 90% disiapkan dan berbaki 10 peratus lagi untuk disempurnakan.  “Alhamdulillah, isu yang sepatutnya telah lama di selesaikan ini telah berjaya diselesaikan dalam tempoh pemerintahan Parti Islam Se-Malaysia (PAS). “Ini merupakan satu rahmat dan kita bersyukur kepada Allah SWT atas usaha ini demi keselamatan, kesejahteraan dan keselesaan penduduk Kampung Gong Baru,” kata Muhammad Khalil ketika mengadakan tinjauan di lokasi tersebut.  ADUN Batu Buruk meninjau kerja-kerja pelebaran jambatan di lokasi tersebut Sementara itu, Pengerusi Jabatan Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Gong Baru, Abdul Razak Abdul Rashid menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak kerajaan atas penyelesaian isu ini.  “Isu ini telah lama diadukan oleh penduduk setempat, lebih 10 tahun penduduk berdepan dengan keadaan jambatan yang sempit ini. “Keadaan ini menyukarkan dan mengancam keselamatan Kampung Gong Nangka dan Kampung Gong Baru dan pernah suatu ketika jentera bomba terlewat tiba ke lokasi rumah terbakar kerana tidak dapat melalui jambatan tersebut. “Saya mengucapkan terima kasih kepada ADUN Batu Buruk dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu atas kecaknaan dan keperihatinan akan isu ini,” kata Abdul Razak. Keadaan jambatan Kg. Gong Baru sebelum ini  
07 Dec 21
898
'Ini Bantuan Tahunan Pertama Saya Terima'
'Ini Bantuan Tahunan Pertama Saya Terima'
MARANG, 7 Disember – Senyuman jelas terukir pada wajah penerima Pencen Rakyat Warga Emas di Rhu Rendang setelah manifesto PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) itu direalisasikan hari ini. Seorang warga emas dari Kampung Sungai Kerak, Liong Ming Soon, 83, meluahkan rasa gembira atas sikap prihatin kerajaan kerana ia adalah bentuk bantuan tahunan pertama diberi kepadanya. “Pencen pertama diberi kerajaan ini saya akan simpan untuk keperluan seperti membeli ubat dan keperluan harian. “Terima kasih kepada kerajaan negeri, bagi kami orang miskin, wang ini tanda mereka jaga rakyat, hati pun suka,” katanya yang juga bekas penjual surat khabar kepada pemberita. Sentimen sama turut disuarakan seorang datuk kepada 12 orang cucu, Ali Jambul, 71 yang menggambarkan keperluan bantuan tersebut terutamanya kepada golongan sepertinya yang tiada pencen. “Dulu saya kerja sebagai tukang motor bot, dengan sumbangan RM300 ini saya amat berterima kasih kepada kerajaan negeri, sebelum ini belum pernah ada lagi,” jelasnya yang berasal dari Kampung Pantai Seberang Marang. “Cukup suka, ini boleh menjadi sumber dapatan kewangan baru untuk keluarga kita,” luah Owi Seyu Huwa yang mewakili suaminya Lan See Sing dalam mengambil bantuan dana tersebut. Katanya yang juga isteri kepada penjual ikan, manfaat tersebut akan digunakan sebaik mungkin dalam membayar kos ubatan serta keperluan harian buatnya dan suaminya yang sedang menghidap strok. Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pelaksanaan pada tahun ini hanya melibatkan suku kedua, bermula Jun sehingga Disember atau sebanyak RM300 kepada 19,230 orang penerima dengan 404 orang di Rhu Rendang. “Alhamdulillah, dengan pelaksanaan manifesto ini menjadikan 18 daripada 20 janji manifesto telah ditunaikan.  “Insya-Allah, dua lagi akan dilaksanakan dan dimasukkan dalam Belanjawan 2022 sekali gus menjadikan kesemua 20 janji manifesto akan direalisasikan,” ucapnya semasa Majlis Penyampaian Pencen Rakyat DUN Rhu Rendang di Dewan Majlis Daerah Marang (MDM), Kampung Paya, pagi tadi. Terdahulu, seramai 19,230 warga emas berumur 60 tahun ke atas di negeri ini akan mula menerima bantuan Pencen Rakyat sebanyak RM300 seorang.
07 Dec 21
3117
Pembinaan Jambatan Baharu Marang Bermula Tahun Depan
Pembinaan Jambatan Baharu Marang Bermula Tahun Depan
MARANG, 7 Disember – Terengganu bakal memulakan projek pembinaan Jambatan Marang bagi mengelakkan masalah kesesakan, setelah usaha rundingan dengan Kerajaan Persekutuan membuahkan hasil. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, urusan di peringkat Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Kewangan bagi projek jambatan yang dianggarkan bernilai RM400 juta itu telah selesai. “Dokumentasi dan surat juga telah dihantar kepada syarikat yang dilantik bagi mengendalinya. “Insya-Allah selewat-lewatnya Februari ketika musim monsun telah reda, kerja awal seperti pemecahan tanah boleh bermula. “Kewujudan laluan ini amat penting bagi mengatasi kesesakan kenderaan kerana jambatan sedia ada ‘bottleneck’ daripada empat Lorong jadi sempit sedangkan ia adalah laluan utama,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam merasmikan Jambatan Pulau Kekabu, di sini, pagi tadi. Tambah beliau, kerajaan negeri sentiasa komited dan meneliti keperluan menaiktaraf jambatan baharu di laluan penting seperti jambatan Manir di Kuala Terengganu. “Kami tidak nafikan laluan (jambatan Manir) itu penting, namun pihak kami menilai laluan mana memerlukan dan ingin didahulukan. "Berbanding dengan jambatan baharu di Pulau Kekabu dengan kos RM1.38 juta, pelaksanaan projek bernilai ratusan juta perlu diperhalusi di peringkat negeri dan pusat,” katanya lagi.
07 Dec 21
1414