lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

PDRM Terengganu Rekod Kutipan Saman Lebih RM 6 Juta
PDRM Terengganu Rekod Kutipan Saman Lebih RM 6 Juta
KUALA TERENGGANU, 13 Disember - Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu merekodkan kutipan lebih RM6.09 juta bayaran saman menerusi tawaran diskaun saman trafik sempena program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang bermula sejak Khamis lalu. Ketua Polis Negeri, Dato Rohaimi Md Isa berkata  nilai kutipan itu membabitkan jumlah saman sebanyak 371,042 yang berjaya dilangsaikan bermula 9 Disember sehingga semalam. “Sejumlah 32,129 orang pengunjung telah hadir membuat bayaran di kaunter bermula dari hari pertama pelaksanaan sehingga kaunter ditutup pada jam 6.00 semalam,”ujarnya dalam satu kenyataan. Rohaimi turut menasihati orang ramai agar membuat perancangan untuk menyelesaikan saman trafik dan tidak menunggu pada saat akhir agar tidak berlaku kesesakan semasa mengunjungi kaunter saman kelak. Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani turut mengumumkan tempoh diskaun bagi pembayaran saman trafik akan dilanjutkan sehingga 31 Disember ini. Lanjutan dilakukan bagi memberi peluang kepada orang ramai mengambil sedikit masa menyelesaikan saman tertunggak selain mengelakkan kesesakan di kaunter-kaunter bayaran saman. Pengurangan kompaun 80 peratus dengan had minima RM30 itu tidak termasuk bagi kesalahan kemalangan, memotong secara berbahaya, menggunakan lorong kecemasan, tidak patuh isyarat lampu merah dan memotong di garisan berkembar. Kesalahan yang dikategorikan tidak boleh kompaun (NC), berstatus berkaitan kenderaan berat dan pengubah suaian ekzos kenderaan turut ditawarkan pengurangan.
13 Dec 21
845
Kos Haji Tidak Bebankan Jemaah
Kos Haji Tidak Bebankan Jemaah
MARANG, 12 Disember- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad memberi jaminan, penetapan kos ibadah haji bagi musim ini tidak akan membebankan jemaah dan pada masa yang sama masih menjaga kepentingan pendeposit lain. Katanya, keputusan mengenai sama ada berlakunya kenaikan kos pelaksanaan ibadah haji bagi musim ini atau tidak susulan peningkatan kos semasa akan diputuskan Kabinet selewat-lewatnya, Januari depan. “Kos haji belum lagi kita muktamadkan, insya-Allah apa yang kita akan putuskan adalah situasi menang-menang supaya tidak membebankan kedua-dua pihak iaitu jemaah dan pendeposit Tabung Haji (TH),” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Peduli : Musa'adah Asnaf di Masjid Padang Mengkuang, di sini, hari ini. Kata Idris, TH memperuntukkan kos sehingga RM400 juta bagi menampung kos subsidi jemaah dan adalah wajar juga untuk memastikan kepentingan pendeposit diambil kira. Sementara itu, megulas mengenai program tersebut katanya, bantuan yang disampaikan kepada 80 keluarga terpilih di kawasan masjid terbabit merupakan satu usaha yang berterusan pihak YADIM. Jelas beliau, program berkenaan merupakan salah satu inisiatif pihaknya untuk membantu asnaf dan mualaf yang terkesan akibat pandemik COVID-19 serta mereka yang dikenalpasti memerlukan bantuan.  
12 Dec 21
448
PBSNT Anjur Liga Semi Pro Terengganu Tahun Depan
PBSNT Anjur Liga Semi Pro Terengganu Tahun Depan
KUALA NERUS, 1 Disember - Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) akan menganjurkan Liga Bola Sepak Semi Pro Terengganu pada tahun hadapan. Menurut Timbalan Presiden PBSNT, Marzuki Sulong, penganjuran tersebut telah diputuskan dalam mesyuarat eksekutif dan mesyuarat pengurusan serta sedang dilaksanakan secara berperingkat oleh jawatankuasa teknikal dan jawatankuasa pertandingan. "Pada tahun hadapan kita akan melaksanakan satu liga bertaraf semi-profesional dan kita cuba sebagaima yang dilakukan Persatuan Bola Sepak malaysia (FAM) di peringkat kita demi memartabatkan bola sepak Terengganu. "Tarikh yang dirancang adalah pada bulan Mac, di mana kita mahu kesemua sepuluh ahli gabungan ada kelab sendiri yang akan menjadi hati peminat bola sepak daerah masing masing dengan dua pasukan jemputan sebagai asas pembentukan liga kita," katanya kepada pemberita selepas Kongres Tahunan PBSNT 2021 di Raia Hotel Gong Badak, hari ini. Turut hadir, Setiausaha Agung PBSNT, Tengku Seri Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu. Jelasnya, kehadiran persatuan pengadil sebagai ahli gabungan PBSNT akan lebih memantapkan penganjuran liga berkenaan. "Kita mahu betul betul bertaraf 'semi pro', di mana orang Besut boleh bermain untuk kelab di Kuala Terengganu dan sebagainya. "Kita juga akan berbincang dengan FAM supaya juara nanti dapat bersaing di Liga M3 anjuran FAM," katanya. Beliau juga bersetuju dengan idea pengajuran liga bola sepak pantai bagi menyemarakkan bakat baru dalam sukan tersebut. "Kami juga terbuka untuk menjadi penganjur dalam kejohanan bola sepak panta di pelbagai peringkat. Kalau rasa perlu ada liga di peringkat negeri, kita akan buat," katanya.   
12 Dec 21
4197
Kuala Nerus Lakukan Persiapan Rapi Hadapi Banjir
Kuala Nerus Lakukan Persiapan Rapi Hadapi Banjir
KUALA NERUS, 11 Disember – Kuala Nerus telah menjalankan persediaan rapi bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir yang akan berlaku di kawasan itu. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Dr Alias Razak berkata, persediaan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dijalankan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan di peringkat DUN-DUN masing-masing. “Menerusi Pejabat Daerah Kuala Nerus yang telah bermesyuarat, peralatan dan jentera bagi menangani bencana tersebut di dalam keadaan terbaik. “Antara kawasan dikenalpasti seperti di Seberang Takir dan Tepoh, pada 2 Disember hujan lebat berterusan menyebabkan Kampung Alor Damat dilanda banjir kilat (sempadan Tepoh-Batu Rakit) menjejaskan lima buah rumah di dalam perkampungan tersebut menyebabkan 25 penduduk dipindahkan ke PPS. “Jika ditakdirkan kita mengharungi musim banjir, maka pihak kami telah menyediakan payung sebelum hujan,” katanya juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri dalam satu kenyataan semalam. Terdahulu, gelombang pertama menyaksikan empat daerah di negeri ini terjejas apabila 224 mangsa daripada 75 keluarga di daerah Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu dipindahkan ke 10 PPS.
11 Dec 21
389
Sukarelawan Jabatan Amal Terima Anugerah Wira Perdana
Sukarelawan Jabatan Amal Terima Anugerah Wira Perdana
KUALA NERUS, 10 Disember – Atas jasa kesukarelawanan, Bekas Pengarah Jabatan Amal Negeri Terengganu, Sauji Abd Rasid diumumkan sebagai penerima Anugerah Wira Perdana sempena Sambutan Hari Sukarelawan Peringkat Negeri Terengganu 2021. Beliau telah bergiat aktif dalam Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Persatuan Amilin Amal Terengganu dan sebagai sukarelawan Yayasan Amal serta telah menabur bakti di dalam misi kemanusiaan dalam dan luar negara. “Boleh dikatakan saya hidup mati dengan Jabatan Amal, walaupun tidak mampu menolong dari segi kewangan, namun kami infaqkan tubuh dan tenaga bagi membantu masyarakat. “Alhamdulillah, bila dapat anugerah ini saya bersyukur, sebelum ini kerja kebajikan saya tidak meminta sebarang balasan dan biar Allah menilai, tapi terus doakan kami agar terus istiqamah berbakti kepada komuniti,” katanya. Beliau berkata demikian selepas Majlis Sambutan Hari Sukarelawan Peringkat Negeri Terengganu di Pusat Konvensyen Raia Hotel, malam semalam. Sementara itu, penerima Anugerah Wirawati Perdana, Azizah Mahmood yang menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai anugerah daripada Allah agar terus meningkatkan semangat sukarelawan dalam meringankan beban mereka yang memerlukan. “Perasaan saya amat terkejut dan rasa memang tidak layak terima, tapi mungkin ini adalah hasil melibatkan diri dalam misi kemanusiaan di Indonesia, Bangladesh, Brunei dan lain-lain lagi. “Sejak daripada bangku sekolah lagi saya telah terlibat dengan pelbagai persatuan, jiwa memang tidak boleh lari dan akan dibawa sampai tua, mudah-mudahan saya terus menabur bakti kepada masyarakat,” katanya yang mewakili NGO Kelab Aktivis Media Inspirasi (KAMI). Kedua-dua penerima berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1,000 serta plak penghargaan yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat. Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, sambutan tersebut diadakan bersempena Hari Sukarelawan Sedunia bagi meraikan sukarelawan dan NGO dalam pelbagai segmen daripada alam sekitar sehingga kebajikan. “Hasrat kita untuk meningkatkan lagi semangat mereka dalam membuat kerja kebaikan. “Perancangan tahun depan agar acara tahunan ini dapat diadakan dengan lebih banyak kategori,” jelasnya. Untuk rekod, antara kategori lain dipertandingkan seperti Anugerah Bakti Perdana serta Pertandingan Video Sukarelawan pelbagai segmen. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu (JBSNT), Mohd Izwandy Ismail dan Pengarah Urus setia Belia Sukan dan NGO Terengganu (UBSNT), Mohd Nasir Abd Razak.  
10 Dec 21
884
Dua Hospital Baru Bakal Beroperasi Tahun Hadapan
Dua Hospital Baru Bakal Beroperasi Tahun Hadapan
KUALA TERENGGANU, 9 Disember – Operasi dua hospital baharu dijangka akan bermula sebelum Hari Raya Aidilfitri tahun hadapan. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, dua kemudahan tersebut adalah Hospital Dungun di daerah tersebut dan Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Kuala Nerus. Katanya, pembukaan dua hospital itu bagi menampung keperluan penjagaan kesihatan serta peningkatan penggunaan katil pesakit COVID-19. “Hospital Dungun dengan kos RM120 juta akan disiapkan pada 28 Januari 2022 setelah mengalami penangguhan sebanyak tujuh kali daripada tarikh asal siap iaitu 2019. “Terdapat pelbagai kekangan luar jangka yang tidak dapat dielakkan oleh pihak kontraktor sepanjang tempoh menyiapkan projek ini termasuk arahan menghentikan operasi pembinaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang turut memberi gangguan terhadap sebahagian rangkaian pembekal. “Projek yang masih berbaki sebanyak 1.5 peratus ini juga memerlukan pandangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi persiapan penambahbaikkan spesifikasi khusus,” katanya. Tambahnya, Hospital pengajar di UniSZA sudah siap dan dilengkapi sebanyak 200 katil dan akan diserahkan kepada peringkat Universiti dalam masa terdekat. Beliau berkata demikian selepas menjalankan lawatan kerja ke Hospital Dungun, di sini, petang semalam. Turut hadir, YBM Tengku Seri Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Terengganu. Jelas beliau, Hospital pakar ketiga di Terengganu (Hospital Dungun) telah didirikan di atas tapak seluas 15.3 daripada 50.7 ekar keseluruhan tanah milik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). “Ia merupakan projek pembinaan fasiliti kesihatan berkapasiti 110 katil yang menyediakan perkhidmatan bertaraf pakar (minor) untuk kemudahan penduduk setempat. Untuk rekod, hospital terletak di 2KM dari bandar Dungun itu mempunyai 10 skop kepakaran iaitu Perubatan Am, Pembedahan Am, Pediatrik, Obstetrik dan Ginekologi, Anestesiologi, Ortopedik, Patologi, Pengimejan, Perkhidmatan Kecemasan dan Pergigian (Pembedahan Pediatrik dan Mulut).  
10 Dec 21
2953
Tiada Pelajar Terengganu Tercicir Kerana Miskin
Tiada Pelajar Terengganu Tercicir Kerana Miskin
KUALA TERENGGANU, 9 Disember - Tiada masalah keciciran murid sekolah yang berlaku di Terengganu disebabkan kemiskinan keluarga terutamanya ketika negara dilanda pandemik COVID-19. Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, semua pihak memainkan peranan dalam memastikan pelajar negeri ini dapat meneruskan pelajaran dengan baik. “Kita sentiasa membuat pemantauan, tidak berbangkit isu keciciran pelajar ketika pandemik COVID-19 kerana pihak kerajaan, swasta, sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan lain-lain pihak sentiasa membantu termasuk menghulurkan sumbangan kepada pelajar yang kurang berkemampuan bagi membolehkan mereka belajar dengan selesa. “Termasuk pemberian data internet, telefon pintar dan sebagainya ketika pelajar terpaksa mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) di rumah,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Penutup Program Asasi Imtiaz Sekolah-Sekolah Menengah Yayasan Terengganu Dewan Kenanga, TER, hari ini. Walau bagaimanapun Satiful berkata, tidak dinafikan kemungkinan terdapat pelajar yang masih tidak hadir ke sekolah kerana kebimbangan ibu bapa terhadap situasi COVID-19 ketika ini. “Tiada isu keciciran pelajar ini negeri ini. Kemungkinan yang tidak hadir sebab ibu bapa tidak mahu hantar lagi. Kita pun tidak ambil tindakan, kecuali calon peperiksaan seperti SPM, STPM mereka hadir untuk selesaikan sukatan,” ujarnya.  
09 Dec 21
994
Sambutan Ulang Tahun Pas ke-70 Di TTI Ahad Ini
Sambutan Ulang Tahun Pas ke-70 Di TTI Ahad Ini
KUALA TERENGGANU, 9 Disember - Kemuncak saambutan ulang tahun Pas ke-70 diadakan di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI) di sini, Ahad ini. Pengarah program, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, acara kemuncak dalam sambutan yang berlangsung dari pukul 2 hingga 6 petang itu ialah ucapan Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man. Katanya, pengisian program dimulakan dengan ucapan Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan disusuli kesemua pesuruhjaya Pas negeri-negeri. “Turut berucap ialah tiga Menteri Besar daripada Pas iaitu Datuk Ahmad Yakob, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan  Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor. “Acara diteruskan dengan ucapan wakil-wakil dewan dan sidang As-Sabiqun di samping penyampaian Anugerah Tokoh Istiqamah kepada lima penerima,” katanya dalam sidang akhbar secara dalam talian hari ini. Terdahulu, dalam Muktamar Pas Ke-67 bulan lalu, kepemimpinan parti memutuskan untuk mengadakan majlis sambutan ulang tahun ke-70 di negeri ini. Pas ditubuhkan secara rasmi pada 23 Ogos 1951 dan sambutan berkenaan dilihat signifikan bagi membuktikan parti itu kekal utuh sepanjang 70 perjuangannya dalam politik tanah air. – UTUSAN ONLINE
09 Dec 21
417
Orang Ramai 'Serbu' Kaunter Trafik
Orang Ramai 'Serbu' Kaunter Trafik
KUALA TERENGGANU, 9 Disember - Orang ramai mengambil peluang membayar saman trafik  apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) menawarkan pengurangan saman trafik terpilih sehingga 80 peratus bermula Khamis sehingga 12 Disember ini. Tinjauan mendapati orang ramai mula berbaris menunggu giliran untuk menyemak dan membayar saman sejak seawal 7.30 pagi walaupun kaunter hanya dibuka pada 9 pagi. Rata-rata yang ditemui berkata  langkah itu mampu mengurangkan sedikit beban, khususnya yang terjejas pendapatan atau kehilangan pekerjaan akibat pandemik COVID-19, selain golongan B40. Bagi  Umi Kalsom Ismail, 34, dar Kuala Terengganu berkata  dia menyambut baik inisiatif PDRM itu bagi melunaskan  saman trafik atas namanya sejak beberapa tahun lalu. "Oleh sebab sentiasa menangguhkan bayaran saman kerana kekangan masa dan wang menyebabkan jumlah saman meningkat dan sekali lagi menyukarkan untuk menjelaskannya lebih-lebih lagi keadaan sekarang. "Bila PDRM umum tentang potongan diskaun sehingga 80 peratus, sudah tentu bagi mereka yang mempunyai saman trafik tertunggak, ini peluang terbaik untuk menyelesaikan semua saman ini," katanya yang mengetahui mengenai potongan saman terbabit melalui media sosial. Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim berkata, diskaun tersebut diberikan sempena 100 hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. "Pengurangan kompaun tidak ditawarkan bagi kesalahan kemalangan, memotong secara berbahaya, menggunakan lorong kecemasan, tidak patuh isyarat lampu merah dan memotong di garisan berkembar," katanya dalam kenyataan pada Rabu.  
09 Dec 21
975
300 Hektar Tanah Terbiar Berjaya Dibangunkan
300 Hektar Tanah Terbiar Berjaya Dibangunkan
KUALA TERENGGANU, 9 Disember - Sebanyak 300 daripada 8,000 hektar  projek pemulihan tanah terbiar berjaya dibangunkan dibawah Pelan Strategik Pertanian Negeri Terengganu 2019-2023. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim, berkata ia membabitkan tiga projek utama pertanian dan beberapa projek berskala kecil. "Tiga projek utama itu melibatkan penanaman nanas MD2 di Kampung Pak Kancil, Setiu sebanyak 140 hektar, Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Pengkalan Aman, Setiu(mangga harum manis seluas 40 hektar) dan penanaman durian jenis Musang King di RTB Kampung Rahmat seluas 60 hektar. "Selebihnya berbentuk projek berskala kecil melibatkan tanaman kontan seperti tembikai, labu dan jagung yang diusahakan secara individu," katanya kepada pemberita. Azman juga mensasarkan 10 hingga 20 peratus daripada keseluruhan 8,000 hektar tanah terbiar dapat dipulihkan seperti yang dirancang.
09 Dec 21
570