lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

90 Program Pertanian Terengganu 2021 Berjaya Dilaksanakan
90 Program Pertanian Terengganu 2021 Berjaya Dilaksanakan
KUALA TERENGGANU, 2 Januari - Kerajaan negeri berjaya melaksanakan 90 daripada 94 program yang disenaraikan dalam Tahun Pertanian Terengganu 2021 dengan peruntukan sebanyak RM2,951,380. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, program utama tersebut melibatkan sebahagian besar sektor pertanian, perikanan dan penternakan dengan peratusan pelaksanaan 96 peratus. “Sebelum tirai Tahun Pertanian Terengganu (TPT) 2021 ditutup dengan penganjuran karnival Pertanian Negeri Terengganu pada 26 hingga29 Januari ini, kita yakin mampu melaksanakan lebih 99.9 peratus dari program yang tersenarai dalam kalendar dengan manfaat langsung kepada rakyat. “Dari jumlah 45 projek pembangunan dalam kalendar TPT 2021, kerajaan negeri telah berjaya melaksanakan kesemua 45 projek melibatkan peruntukan RM12,436,335,” jelasnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Amanat Tahun 2022 Sektor Pertanian bersama warga Mafi Inc Terengganu di Duyong Convention Centre, Duyong Marina Resort, hari ini. Turut hadir, Pengerusi Mafi Inc. Negeri Terengganu, Zulkepli Amin Mat Jusoh@Yusof. Menurut beliau, majlis tersebut sebagai penghargaan kepada barisan hadapan warga kerja MAFI Inc. Terengganu yang terus tekun bekerja menyantuni petani, peladang, penternak dan nelayan terutamanya dalam situasi sukar pandemik COVID-19.  Dalam perkembangan sama katanya, program-program dalam Pelan Strategik Pertanian Negeri Terengganu (PSPNT) 2019-2023 disasarkan menjadi suatu solusi meringankan beban rakyat dengan objektif besar meningkatkan ‘food security’ negeri. “Usaha kita mula menampakkan hasil dengan peningkatan tahap sara diri (SSL) makanan ruji padi dimana tahun 2018 (43 peratus), 2019 (48 peratus) dan 2020 (53 peratus) dan SSL 2021 mencapai 55.8 peratus. “Kita perlu berada bersama rakyat untuk merasai impak dan denyut nadi rakyat. Apatah lagi penilaian kesan dari projek serta program adalah subjektif dan relatif. Perlaksanaan program dan projek yang terkandung dalam Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023 sentiasa melalui proses penilaian semula sebagai analisa berkala terhadap kejayaan dan  keberkesanannya,” katanya.  
02 Jan 22
893
Mangsa Banjir Di Terengganu Menurun
Mangsa Banjir Di Terengganu Menurun
KUALA TERENGGANU, 1 Januari- Mangsa banjir di Terengganu menunjukkan penurunan kepada 165 orang berbanding 451 mangsa sebelum ini. Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri dalam satu kenyataan memaklumkan, sebanyak 49 keluarga masih ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah berkenaan. "Seramai 165 mangsa masih ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja, Dewan Orang Ramai Kampung Minda dan Dewan Orang Ramai Kampung Shukor di Dungun dan sebuah lagi PPS yang masih dibuka di Kemaman iaitu di Surau Kampung Ban Ho," kata kenyataan itu pada Sabtu. Jelas kenyataan itu, keadaan semasa cuaca di Terengganu kini kadangkala hujan renyai di beberapa tempat. Sementara itu, menurut laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, sehingga jam 4 petang Sabtu, tiga stesen sungai utama menunjukkan bacaan melepasi paras amaran. Dua sungai melebihi paras amaran iaitu di stesen Kuala Jengai, Dungun (20.34 meter) dan Kampung Keruak, Besut (34.32m) menunjukkan trend menurun, manakala satu lagi sungai di Kampung Langkap, Setiu (20.68m) trend menaik.
01 Jan 22
528
112 Jemaah Umrah Terengganu Positif COVID-19
112 Jemaah Umrah Terengganu Positif COVID-19
KUALA TERENGGANU, 1 Januari – Seramai 112 orang jemaah umrah Terengganu positif COVID-19 dari 25 November hingga 30 Disember tahun lepas iaitu sejak kumpulan pertama tersebut berlepas ke Tanah Suci pada 13 Oktober 2021. Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, data kes positif virus tersebut mewakili 23 peratus daripada jumlah Jemaah Terengganu iaitu seramai 487 sepanjang tempoh tersebut. Susulan itu, kerajaan memutuskan untuk menangguhkan sementara kebenaran perjalanan umrah bermula 8 Januari ini. Dalam pada itu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, sebanyak 1,306 daripada 11,108 jemaah yang pulang menunaikan umrah dikesan positif COVID-19, setakat akhir bulan disember lalu. "Daripada jumlah tersebut, 592 dikesan positif hasil ujian pertama pada hari ketibaan di Malaysia. "Tetapi, paling membimbangkan adalah, 714 kes dikesan positif hasil ujian kedua yang dijalankan pada hari kelima kuarantin," katanya seperti mana dilaporkan Astro Awani. Sementara itu, bagi tempahan tiket perjalanan umrah yang baharu, Khairy berkata, ia ditangguhkan berkuat kuasa 1 Januari. Jelas Khairy, penangguhan sementara aktiviti umrah dijangka dapat membantu mengurangkan risiko penularan Omicron dalam negara dan memperlahankan peningkatan kes COVID-19. Selain itu, ujarnya, langkah tersebut diharap dapat memberi peluang dan ruang kepada kerajaan untuk membuat perancangan serta persediaan rapi dalam pengurusan jemaah umrah sebelum aktiviti itu boleh dibenarkan semula. "Penilaian risiko situasi COVID-19 varian Omicron di dalam dan luar negara khususnya di Arab Saudi akan dilakukan secara berkala bagi membuat keputusan untuk membenarkan semula aktiviti umrah," katanya lagi.
01 Jan 22
5635
Tiada Keperluan Lanjut Tempoh Pengurangan Diskaun Trafik
Tiada Keperluan Lanjut Tempoh Pengurangan Diskaun Trafik
DUNGUN, 1 Januari - Polis Diraja Malaysia(PDRM) tidak berhasrat melanjutkan  tempoh tawaran pengurangan pembayaran saman kompaun sebanyak 80 peratus selepas berakhir 31 Disember semalam. Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, ia berikutan sambutan luar biasa orang ramai terhadap pelanjutan tarikh tersebut. "Peringkat awal, mereka menyerbu kaunter trafik sebelum kita lanjutkan tempoh tawaran dan selepas minggu terakhir, ia mula lenggang. "Oleh sebab itu, saya percaya kebanyakan daripada mereka telah menyelesaikan hampir ke semua saman termasuk yang tertunggak,"katanya. Beliau berkata demikian kepada selepas melawat Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Kampung Jongok Batu, di sini hari ini. Tambahnya, bermula 9 hingga 31 Disember 2021 sebanyak 8.6 juta notis saman diselesaikan berbanding 12.2 juta yang telah dikeluarkan. Mengulas mengenai banjir, pihaknya berpuas hati dengan pengurusan bencana itu yang melibatkan pelbagai agensi di negara ini.  Katanya, segala persiapan dan persediaan yang diatur di peringkat negeri berjalan lancar seperti dirancang.  Dalam perkembangan sama, Acryl Sani berkata, setakat ini sebanyak 50 kematian direkodkan melibatkan insiden banjir di enam negeri dengan dua lagi masih belum ditemukan yang dilaporkan di Telemong dan Bentong di Pahang.   
01 Jan 22
319
JBPM Guna Dron Pantau Kawasan Terjejas Banjir
JBPM Guna Dron Pantau Kawasan Terjejas Banjir
DUNGUN, 31 Disember - Empat unit dron berteknologi tinggi diterbangkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi memantau bencana banjir di seluruh negeri, bermula hari ini. Pengarahnya, Md. Hilman Abd. Rashid berkata, penggunaan dron membolehkan pihaknya membuat penilaian tahap risiko lokasi yang terjejas dengan sebaik mungkin. Katanya, teknologi berkenaan memudahkan urusan bomba mengenal pasti kawasan yang berisiko dinaiki air di samping membantu mendapatkan maklumat berkaitan banjir. "Dua daripada dron berkenaan dimiliki JBPM negeri dan Akademi Bomba Wakaf Tapai manakala bakinya dipinjam daripada JBPM Melaka dan Kedah. “Dron ini mampu meninjau di sekitar radius 10 kilometer dan dapat merakam imej pada waktu malam sekali gus membantu pasukan penyelamat melakukan operasi pada waktu malam,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika memantau situasi banjir di Dungun, hari ini. Mohd Hilman juga berkata, penggunaan dron tersebut akan  memudahkan pergerakan pasukan penyelamat  melalui maklumat yang dikumpul hasil pemantauan yang dilakukan oleh unit berkenaan. Tambah beliau,  penggunaan dron akan digerakkan ke kawasan yang dikenal pasti berisiko banjir mengikut keperluan semasa. Foto ihsan - JBPM Terengganu.      
31 Dec 21
431
Video Tular Air Deras Bukan Di Tasik Kenyir-TNB
Video Tular Air Deras Bukan Di Tasik Kenyir-TNB
KUALA TERENGGANU, 31 Disember- Tenaga Nasional Berhad (TNB) menafikan satu video berdurasi 18 saat yang dimuat naik melalui aplikasi TikTok menunjukkan air sungai deras sehingga melimpah ke jambatan berlaku di Tasik Kenyir. TNB dalam satu kenyataan menjelaskan air deras yang berlaku itu adalah dari Sungai Telemong berdekatan dengan Gawi. "Aliran air Sungai Telemong itu tidak memasuki Tasik Kenyir dan setakat ini, paras air di empangan Tasik Kenyir masih selamat dan terkawal. "Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak terpedaya dengan video tular dan tidak berkongsi berita yang tidak sahih di media sosial," katanya. Dalam perkembangan yang sama, TNB berkata, paras air di empangan hidroelektrik di Stesen-Stesen Janakuasa Kenyir TNB Genco, hari ini berada pada paras terkawal dan di bawah paras limpah. "Pemantauan secara berterusan terus dijalankan dan maklumat yang berkaitan akan disalurkan kepada pihak berkenaan secara berkala," menurut kenyataan itu.  
31 Dec 21
2721
Maahad Tahfiz Lumpuh Dibantu Sukarelawan Kuala Nerus
Maahad Tahfiz Lumpuh Dibantu Sukarelawan Kuala Nerus
TEMERLOH, 31 Disember – Maahad Tahfiz Integrasi Mukmin yang terkesan teruk selepas ditenggelami banjir kilat telah mendapat perhatian dan bantuan tenaga daripada 46 orang sukarelawan daripada badan Khidmat Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) dan kawasan Kuala Nerus. Menurut Timbalan Pengerusi pusat pendidikan agama tersebut, banjir kilat tersebut adalah lebih parah berbanding pada musim tengkujuh pada Januari lalu. "Ketinggian air banjir melepasi paras kepala di seluruh kawasan tahfiz dan kos kerugian yang ditanggung sekitar RM100 hingga RM300 ribu. "Bangunan-bangunan yang telah pun berusia 35 tahun yang sebelum ini berjaya melahirkan ribuan pelajar tahfiz juga terpaksa di bangunkan untuk kali kedua. "Namun begitu, Alhamdullilah saya berterima kasih kepada sukarelawan daripada Kuala Nerus atas usaha dan bantuan yang diberikan Tambahnya, beliau turut redha serta menganggap segala ujian tersebut datangnya daripada Allah SWT dan percaya akan mendapat kebaikan pada masa hadapan terutama kepada 200 orang anak-anak tahfiz yang belajar di situ. Dalam pada itu, kumpulan bantuan yang diketuai oleh Pegawai Penyelaras DUN Seberang Takir Mohd Fadhil telah hadir ke tempat kejadian bagi mengerahkan tenaga membersihkan lumpur tebal meliputi hampir semua kawasan pusat itu. “Kami telah ditugaskan untuk mencuci kawasan Maahad Tahfiz ini yang dikatakan dalam pembinaan semula dua kali diuji dengan banjir besar hingga menyebabkan kerujian sebanyak ratusan ribu ringgit. “Misi banjir dijalankan sebagai tanda peduli dan cakna terhadap mangsa banjir terutama mereka yang seagama,” kata Mohd Fadhil sewaktu proses pembersihan di kawasan tersebut.
31 Dec 21
472
Ketengah Peruntuk RM83.4 Ribu Kepada Pelajar Cemerlang
Ketengah Peruntuk RM83.4 Ribu Kepada Pelajar Cemerlang
DUNGUN, 30 Disember -Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) memperuntukkan RM83.4 ribu sebagai sumbangan kepada 103 pelajar yang cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2020. Pengerusinya, Senator Datuk Razali Idris berkata, sumbangan berupa wang tunai dan sijil penghargaan sebagai tanda keprihatinan dan kecaknaan Ketengah. "Ia melibatkan 54 pelajar SPM dengan jumlah peruntukan RM44,000 dan 49 pelajar STPM dengan jumlah  RM39,400 melibatkan tiga daerah iaitu Dungun, Kemaman dan Hulu Terengganu. "Pelajar-pelajar ini adalah wajar diberi penghargaan dengan menyalurkan sumbangan dalam bentuk kewangan bagi membantu meringankan beban keluarga untuk memastikan perjalanan pendidikan mereka diteruskan ke peringkat yang lebih tinggi," ujarnya kepada pemberita. Dalam perkembangan yang sama, sebanyak RM1,030,000 telah diperuntuk dalam menyediakan keperluan kepada 998 mangsa pasca banjir dan yang terkesan COVID-19. "Ia merangkumi Kit Bantuan Bencana, Bantuan Pembaikan Rumah, Bantuan Input Pertanian dan Bantuan Usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS). "Seramai 37 sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan Ketengah juga telah digerakkan bersama peralatan logistik lengkap seperti kenderaan bagi membantu mangsa banjir," katanya.
30 Dec 21
280
Tujuh Beradik Yatim Piatu Tumpang Kasih Ibu, Bapa Saudara
Tujuh Beradik Yatim Piatu Tumpang Kasih Ibu, Bapa Saudara
DUNGUN, 30 Disember- "Allah gantikan kesunyian kami berdua tanpa zuriat dengan kehadiran tujuh beradik yatim piatu sebagai ganti,"ujar Anazul Ami Idris, 42. Beliau yang merupakan bapa saudara kepada mereka bertujuh menganggap hasratnya dan isteri Mariani Othman, 42 untuk bergelar seorang ayah dan ibu kini telah tertunai. "Kami berdua sangat bersyukur kerana dapat menjadi 'ibu bapa' kepada mereka tujuh beradik dan berusaha memberikan kasih sayang terbaik kepada anak-anak yang kehilangan kedua orang tua dalam kemalangan jalan raya.  "Alhamdulillah, sejak kami menjaga mereka dua tahun lepas, rezeki sentiasa ada untuk menampung perbelanjaan bulanan dan kami berazam mahu memastikan mereka mendapat pendidikan terbaik demi masa depan yang cerah untuk mereka," katanya. Beliau ditemui pemberita ketika menerima kunjungan Ahli Jawatankuasa Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT) sempena program Sentuhan Kasih KAWAT di Bandar Al Muktafi Billah Shah di sini hari ini. Pada pertemuan itu, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) turut memberi sumbangan bakul makanan kepada keluarga tersebut yang kini menetap di Kampung Pasir Raja di sini. Anazul Ami berkata meskipun kemalangan tragis dua tahun lepas meragut nyawa adik perempuannya, Norhapisah Idris, 34 dan suami, Kamal Hisham Mustaffa Mohammad, 35, kehadiran anak-anak saudara mereka berjaya mengubat kerinduan tersebut. Tujuh beradik itu ialah Muhammad Danial, 14; Muhammad Danish Irfan, 13; Muhammad Darwish Iqbal, 11; Muhammad Dhiyauddin Aiman, 10; Muhammad Daim Amin, 8; Muhammad Dhiya Arsyad, 7 dan Dayyinah Athirah, 5. Menurut Anazul Ami, beliau menerima sumbangan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM800 setiap bulan. Manakala kesemua tujuh beradik itu masing-masing menerima sumbangan RM200 dari Pertubuhan Kebajikan Sosial dan RM200 lagi dari Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia setiap bulan. Sementara itu, Timbalan Presiden KAWAT Mohd Ishak Abdillah Ngah berkata program itu adalah sebahagian usaha pengamal media di Terengganu kepada masyarakat kerana sebagai golongan yang sentiasa berada di lapangan, media juga mahu memainkan peranan untuk membantu golongan yang memerlukan.
30 Dec 21
945
Tiga Sungai Di Terengganu Melepasi Paras Bahaya
Tiga Sungai Di Terengganu Melepasi Paras Bahaya
KUALA TERENGGANU, 30 Disember - Tiga sungai di Terengganu masing-masing di Besut, Hulu Terengganu dan Dungun kini melepasi paras bahaya setakat bacaan jam 8 malam, hari ini. Berdasarkan laman web rasmi Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran,  Sungai Besut di Jambatan Keruak, Besut dengan bacaan 35.02 meter (m) berbanding paras normal 28.5 m. Sementara itu, dua lagi sungai kini direkodkan melepasi paras amaran membabitkan Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu berada pada paras 19.89 m (16.5 m paras normal) dan Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja, Dungun merekodkan bacaan 38.63 m (34.5 m paras normal). Manakala, Sungai Nerus di Kampung Langkap dan Sungai Besut di Kampung La kini berada pada paras amaran apabila merekodkan bacaan 20.59 m dan 20.91 m. Selain itu, Sungai Setiu di Kampung Besut, Setiu dan Sungai Terengganu kini  berada paras waspada  dengan bacaan 16.44 m dan 1.42 m. Terdahulu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan banjir akan berlaku di empat negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Pahang dan Johor bermula esok dan Sabtu susulan amaran hujan berterusan tahap waspada    
30 Dec 21
6165