lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

644 Terima Manfaat Pencen Rakyat Terengganu
644 Terima Manfaat Pencen Rakyat Terengganu
SETIU, 11 Februari - Satu lagi janji manifesto kerajaan Negeri Terengganu ditunaikan melalui Pencen Rakyat apabila 644 rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri turut menerima manfaat tersebut. Pegawai Penyelaras DUN berkenaan, Zul Bhari A Rahman berkata, penerima pencen rakyat  terdiri daripada mereka yang tidak menerima bantuan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan bukan pesara yang menerima pencen tetap penjawat awam. Zul Bhari ketika menyampaian ucapan dan merasmikan Majlis Penyampaian Pencen Rakyat Negeri Terengganu peringkat DUN Permaisuri. ​​​​​​ "Inilah janji dan komitmen kerajaan Negeri Terengganu sebagaimana yang ditawarkan dalam manifesto PRU-14 yang lalu dan kini menjadi kenyataan, Alhamdulillah. "Walaupun kita merasakan nilai ini kecil tetapi ia sangat bernilai kepada semua penerima yang menerimanya hari ini," katanya. Beliau berkata demikian ketika ucapan perasmian Majlis Penyampaian Bantuan Pencen Rakyat Terengganu peringkat DUN Permaisuri di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Setiu di Sungai Tarom, semalam. Terdahulu ucapan aluan disampaikan oleh Penolong Pegawai Daerah Setiu, Muhammad Maliki Md Jusoh yang mewakili Pegawai Daerah Setiu. Pada majlis itu, setiap penerima Pencen Rakyat menerima RM300 secara tunai yang melibatkan sejumlah peruntukkan RM193,200 bagi DUN Permaisuri. Osman Daud, 73 salah seorang penerima ketika ditemui berkata, dia bersyukur atas penerimaan Pencen Rakyat dan akan menggunakannya bagi membeli keperluan keluarga.
11 Feb 22
475
Wan Sukairi Harap Insiden 'Kungfu' Tidak Berulang
Wan Sukairi Harap Insiden 'Kungfu' Tidak Berulang
KUALA TERENGGANU, 10 Februari- Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berharap insiden yang berlaku dalam perlawanan antara Terengganu FC II dan Penang FC, semalam. "Saya bagi pihak penganjur mengucapkan syabas dan tahniah kepada Terengganu FC II yang muncul juara Kejohanan Empat Penjuru Piala Menteri Besar Terengganu 2022. Wan Sukairi bertemu pengurusan Penang FC selepas perlawanan semalam. "Dalam masa sama, melahirkan rasa kecewa dengan insiden yang berlaku dan kita harapkan insiden sebegini dapat dielakkan dalam pertandingan selepas ini.  "Walaupun insiden berlaku, semoga tujuan dan matlamat perlawanan bukan sahaja untuk dapat kemenangan tetapi juga menaikkan taraf sukan bola sepak dan melahirkan bakat hebat tercapai," katanya. Jelasnya, perkara berkenaan akan dirujuk kepada pihak berwajib dan kepada Malaysian Football League (MFL) untuk membuat sebarang keputusan berdasarkan laporan yang bakal diberikan penganjur nanti. Tambah Wan Sukairi, peristiwa yang berlaku juga tidak sekali-kali mematahkan semangat penganjur untuk terus mengadakan kejohanan itu pada masa akan datang. "Kepada pasukan Terengganu FC I dan II, pengurusan dan juga kru supaya dapat saling bekerjasama serta membantu satu sama lain untuk menjadikan Terengganu FC pasukan yang digeruni dan mampu memenangi apa juga kejohanan yang disertai. "Momentum yang ada malam ini adalah satu permulaan yang baik. "Kita harap ini adalah petanda baik dan pembuka semangat kepada pasukan dalam kejohanan yang lain," katanya.              
10 Feb 22
2772
Kerajaan Salur RM65.6 Juta Kepada Iman, Bilal, Guru Takmir Dan KAFA
Kerajaan Salur RM65.6 Juta Kepada Iman, Bilal, Guru Takmir Dan KAFA
KUALA NERUS, 10 Februari- Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan kewangan sebanyak RM65,580,285.60 kepada iman, bilal, guru takmir dan guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) Terengganu, tahun ini. Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato' Idris Ahmad berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM18,865,180.80 disalurkan kepada imam, bilal dan guru takmir yang melibatkan seramai 5,817 orang penerima. “Selain itu, bagi menghargai sumbangan guru KAFA di negeri ini yang telah mencurah bakti mendidik anak bangsa, sebanyak RM1,638,000 disalurkan kepada 3,276 orang penerima sebagai bayaran bantuan khas tahun 2022. “Manakala jumlah peruntukan elaun guru KAFA pula adalah sebanyak RM45,077,104.80 yang melibatkan seramai 3,276 orang,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri Terengganu di Masjid Kampung Seberang Takir, hari ini. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri Terengganu, Mohd Nor Hamzah. Sementara itu katanya, bermula Januari lalu guru KAFA wanita yang bersalin layak diberikan cuti bersalin sebanyak 60 hari dengan dibayar elaun berbanding dengan sebelum ini guru KAFA wanita layak cuti bersalin tetapi tidak layak dibayar elaun. “Ini adalah usaha kerajaan dalam menjaga kebajikan guru-guru KAFA sepanjang kontrak mereka berkuatkuasa dengan Agensi Pelaksana KAFA Negeri. “Diharapkan agar semua guru KAFA berperanan membawa imej murabbi ummah memacu perkembangan modal insan dalam mendepani cabaran masa kini,” ujarnya.  
10 Feb 22
960
Terengganu Hijab Day : Bakal Tampil Busana Batik Unik Buat Wanita
Terengganu Hijab Day : Bakal Tampil Busana Batik Unik Buat Wanita
KUALA TERENGGANU, 9 Februari – Program Hijab Day 2022 bakal berlangsung secara bersemuka pada bulan in akan menampilkan dengan gaya busana batik menutup aurat khusus untuk anak muda wanita di negeri ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata, ia membawa konsep batik dalam tema fesyen sebagai pakaian mereka. “Kita ketengahkan batik masa budaya batik Terengganu dikalangan wanita khususnya beliawanis sebab ia ada keunikan kain tersebut yang jarang diketahui umum. “Batik dari negeri mana, batik jenis apa jenis canting atau terap ke dan elemen-elemen itulah saya akan tekankan pada “Terengganu Hijab Day”,” jelasnya ketika ditemui pihak media selepas mesyuarat di Pejabat Urus Setia Wanita Terengganu (USWa), hari ini. Menurutnya, terdapat juga pertunjukan fesyen menampilkan pelbagai butik tempatan pada hari tersebut termasuk ‘Fashion Show’ yang bertemakan batik dan pelbagai gerai jualan. “Kita berhasrat untuk nak bawa produk batik pada program Saidatina Aisyah nanti. Saya akan buat satu program khas untuk kita nak macam mana anak muda kerana pada hari ini nak pakai kain sarung pun bermasalah.  “Macam mana kita nak dianovasi letak getah ke. Buat tapario tertarik dengan batik,” jelasnya. Sementara itu, beliau menyeru seluruh masyarakat Terengganu agar sama-sama menghadirkan diri pada kemuncak program, 12 Februari 2022 di Perpustakaan Negeri Terengganu.  “Sepanjang Februari, kita ada gelombang “Street Dakwah dan Gelombang untuk kita nak menyatakan tema dan hasrat kita iaitu sempurnakan hijabmu. “Ayuh sama-sama  kita  boleh follow kami di page Terengganu Hijab Day, Facebook dan Instagram serta doakan agar insya Allah pakat doa program berjalan dengan lancar," ujar Zuraida. Sehingga kini, penyertaan untuk tiga acara pertandingan masih terbuka dan akan ditutup pada hari ini.
09 Feb 22
610
28 Mangsa Banjir Perantau Dibantu ADUN Buluh Gading
28 Mangsa Banjir Perantau Dibantu ADUN Buluh Gading
KUALA NERUS, 9 Februari - Seramai 28 orang anak perantau daripada kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading telah menerima sumbangan wang tunai setelah terjejas teruk akibat banjir di Negeri Pahang dan Selangor, baru-baru ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim berkata, pihaknya telah menyalurkan bantuan kewangan bernilai RM500 bagi setiap keluarga yang terkesan akibat bencana pada akhir tahun lepas itu. Sumbangan kepada mangsa banjir yang diadakan di Shah Alam, Selangor "Banjir yang melanda tanpa jangkaan yang melibatkan lebih 70 ribu mangsa di dua negeri tersebut telah merosakkan banyak harta benda terutamanya barangan keperluan rumah. “Pada mulanya, kita ke Pahang dan Selangor untuk menyerahkan sumbangan ini. “Namun begitu apabila ramai perantau pulang bercuti di kampung masing-masing ketika cuti Tahun Baru Cina baru-baru ini, kita buat satu lagi majlis di Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Buluh Gading," katanya ketika ditemu bual pemberita selepas selesai agihan sumbangan baru-baru ini. Katanya, ketiga-tiga majlis berasingan telah dianjurkan bagi menyempurnakan agihan itu. Sumbangan kepada mangsa banjir yang diadakan di Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Buluh Gading Jelasnya lagi, beliau berharap agar sumbangan berupa kewangan itu dapat meringankan serba sedikit kos penyediaan kelengkapan rumah kesan daripada musibah banjir tahun lepas.
09 Feb 22
518
21,901 Kanak-Kanak Terengganu Daftar Vaksin Covid-19
21,901 Kanak-Kanak Terengganu Daftar Vaksin Covid-19
KUALA TERENGGANU, 8 Februari - Seramai 21,901 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun telah didaftarkan menggunakan aplikasi Mysejahtera untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICK Kids) di Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata jumlah tersebut hanya meliputi 12 peratus dari 124,206 kanak-kanak yang disasarkan untuk diberikan suntikan vaksin COVID-19 di negeri ini. Justeru itu katanya, semua ibu bapa yang mempunyai anak berumur lima hingga 11 tahun diseru untuk membenarkan anak mereka diberi suntikan vaksin Covid-19 sama ada melalui PPV sekolah atau mendaftar melalui MySejahtera. “Pemberian vaksin kepada kanak-kanak akan mengurangkan kemungkinan mereka untuk mendapat jangkitan serius atau mengalami komplikasi jangka panjang akibat jangkitan COVID-19. “Ujian klinikal menunjukkan pengurangan 90 peratus kemungkinan mendapat jangkitan bergejala di kalangan kanak-kanak yang telah divaksin.  “Vaksin yang digunakan telah mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah untuk digunakan kepada kanak-kanak berumur lima hingga bawah 12 tahun,” ujarnya. Beliau berkata demikian di sidang media selepas merasmikan Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) 5 hingga 12 tahun di Klinik Paediatrik, Kompleks Rawatan Harian, HSNZ di sini hari ini. Turut hadir, Pengarah Kesihatan negeri, Dato' Dr Kasemani Embong. Dalam program tersebut, seramai 20 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun menjadi kumpulan pertama penerima suntikan vaksin melalui PICKids di Terengganu. Dalam perkembangan sama, sebanyak 141 pusat pemberian vaksin (PPV) melibatkan 64 PPV sekolah, 39 PPV klinik swasta, 24 PPV klinik kesihatan, lapan PPV 'off site' dan 6 PPV hospital kerajaan diaktifkan di seluruh Terengganu bagi menjayakan PICKids. Beliau juga berkata seramai 7,200 kanak-kanak tergolong dalam kumpulan komobid dan berisiko tinggi telah dikenalpasti dan mereka perlu mengambil vaksin di PPV hospital bagi memudahkan pemantauan dibuat Tambahnya lagi, pihaknya juga akan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) dalam melaksanakan PPV di sekolah dengan sasaran 80 peratus kanak-kanak yang layak akan menerima vaksin Covid-19,” kata Dr Alias. Sementara itu, rata-rata ibu bapa ditemui  memilih untuk menghantar anak masing-masing menerima suntikan vaksin kerana yakin langkah itu satu ikhtiar untuk kehidupan yang lebih selamat. Peningkatan kembali kes jangkitan Covid-19 di negara ini antara faktor mereka merebut peluang melalui PICKids untuk menghantar anak masing-masing mendapatkan suntikan vaksin dengan segera.
08 Feb 22
523
Tiga Beradik Antara Kanak-Kanak Terawal Terima Vaksin Di Terengganu
Tiga Beradik Antara Kanak-Kanak Terawal Terima Vaksin Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 8 Februari – “Saya tak nak kena Covid-19 sebab bila virus ni jangkit.. tak boleh pergi sekolah, tak boleh jalan-jalan dan badan jadi lemah. Jadi kena cucuk vaksin biar badan kuat,”ujar  Nazeef Audric Kamarul Azhar Zainon, 9 tahun. Nazeef  yang turut ditemani dua lagi adiknya iaitu Nurlisa Maureen, 6, dan Nazriel Ariqin, 5, tahun mencipta sejarah apabila menjadi antara kanak-kanak terawal di Terengganu yang menerima vaksin Covid-19. Dia yang merupakan murid di Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1, mengakui gembira kerana telah berjaya mendapatkan vaksin Covid-19. “Tak sakit pun, lepas ni badan jadi lebih kuat dan boleh menjalani kehidupan normal bersama rakan-rakan selepas ini,”katanya ketika ditemui pemberita di Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) 5 hingga 12 tahun di Klinik Paediatrik, Kompleks Rawatan Harian, HSNZ di sini hari ini. Bagi ibu bapa kanak-kanak berkenaan, Kamarul Azhar Zainon, 47 dan Nor Ruziah Ismail, 46, berkata  mereka menyahut baik PICKids yang dilaksanakan oleh kerajaan. Menurut Kamarul, suntikan vaksin satu usaha pencegahan dalam melindungi anak ketika situasi pandemik Covid-19 yang terus berlanjutan ketika ini. Tambahnya, setelah pendaftaran dibuka, dia terus mendaftarkan tiga anak mereka untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 di HSNZ. "Apa yang kerajaan buat adalah untuk kebaikan semua rakyat dan kita jangan tengok dari segi keburukan sahaja. "Vaksin sebenarnya bagus untuk imuniti kanak-kanak yang mudah dijangkiti seperti dua anak saya yang menghidap asma.Bagi saya baik mengurangkan risiko jangkitan dan kesannya jika dibandingkan dengan mereka yang tidak mengambil suntikan vaksin," ujarnya.  Suntikan vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak yang berusia lima sehingga 11 tahun bermula bulan ini, sejurus selepas ketibaan vaksin Pfizer (kanak-kanak) 31 Januari lalu.  
08 Feb 22
1609
USWa Sokong Pelaksanaan Syariah Di Terengganu
USWa Sokong Pelaksanaan Syariah Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 9 Februari -  Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) menyokong tindakan kerajaan negeri mengambil berat dan mengutamakan pelaksanaan syariah Terengganu dalam memastikan kesejahteraan rakyat terjamin. Pengarahnya, Wan Nur Sakinah Din berkata, dengan pelaksanaan tersebut akan membawa rakyat negeri ini hidup dan mengamalkan ajaran Islam yang benar. “Sebenarnya pelaksanaan syariah negeri Terengganu sedang giat diusahakan dan insya-Allah selepas kita menghadapi dua tahun pandemik COVID-19. "Kita akan rancakkan kembali pelaksanaan konsisten syariah dan dakwah kepada rakyat yang kini juga sedang bergerak secara berperingkat. "Saya mengucapkan tahniah kepada usaha-usaha kerajaan laksanakan dalam memastikan pelaksanaan Syariah di negeri ini,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabat Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) di Dataran Alamanda, semalam. Menurutnya, pelaksanaan peraturan Islam ini perlu diperhalusi dari segi pelaksanaannya supaya rakyat Terengganu terjamin, terpelihara dan dilindungi oleh Allah. “Mungkin peringkat pertama dan fasa awal ini kita beri (nasihat), kita tak terus kepada penguasaan undang-undang atau beri hukuman tetapi kita beri kepada pendidikan dan kesedaran. “Fokus utama adalah bagi memastikan rakyat faham kenapa perlu mengikut garis panduan yang Islam telah tetapkan,” ujar Sakinah. Katanya lagi, pendekatan menyampaikan pendidikan dan kesedaran boleh diperluaskan pada pelbagai peringkat bermula seawal bangku sekolah hingga ke peringkat seterusnya. “Jadi tahun ini alhamdulillah kempen kesedaran dan juga semarak dakwah akan terus digiatkan yang akan dimainkan pelbagai pihak, agensi kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO). “Insya-Allah ini adalah usaha daripada  kerajaan negeri untuk kita satu padukan agensi dan jabatan serta NGO dalam kerja dakwah kepada rakyat,” katanya lagi.
08 Feb 22
455
2022 Jadi Tahun Semarak Dakwah- Mohd Nor
2022 Jadi Tahun Semarak Dakwah- Mohd Nor
KUALA TERENGGANU, 7 Februari- Kerajaan negeri optimis dengan pendekatan tersusun yang diatur dan kerjasama semua pihak, 2022 akan menjadi tahun semarak dakwah. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, fokus utama adalah untuk membangunkan manusia mengikut panduan Islam. “Kerja dakwah adalah paling penting dan kita yang diberi amanah perlu masukkan roh Islam dalam semua perkara termasuk menyusun program-program untuk beri kesedaran dan mendidik masyarakat tentang peranan seorang muslim. “Moga kita semua kembali bangkit dan penuh bersemangat untuk melakukan kerja-kerja kebajikan dan kesukarelawanan dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan yang ada terutamanya dibawah portfolio Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan amanat kepada kakitangan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) sempena Program Budaya Kerja Intqan Insani di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, semalam. Turut hadir, Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Kamaruzaman Abdullah. Mohd Nor berkata, beliau turut meminta masjid-masjid di negeri ini memperbanyakkan program semarak dakwah. “Insyaallah kita akan lancarkan program semarak dakwah awal Mac ini dan pelbagai pengisian telah dirancang. “Termasuk bulan penghayatan solat, Terengganu Hijab Day, Ops Kapel dan pelbagai lagi,” ujarnya.
07 Feb 22
408
Ketengah Peruntuk Lebih RM519 Ribu Bantu 118 Usahawan
Ketengah Peruntuk Lebih RM519 Ribu Bantu 118 Usahawan
DUNGUN, 7 Februari – Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) memperuntuk RM519,500 kepada 118 usahawan pelbagai sektor bagi membantu mereka meningkatkan perniagaan masing-masing. Pengurus Besar Ketengah, Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa berkata, bantuan tersebut melibatkan empat kategori iaitu program pembangunan usahawan, usahawan mobile luar bandar, sokongan pengukuhan usahawan luar bandar dan insentif usahawan terjejas Covid-19. Menurutnya, seramai 81 usahawan pelbagai bidang yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19 menerima bantuan tersebut bagi meringankan beban ditanggung dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM165,000. “Sebanyak RM44,100 bantuan pula diberikan kepada lima usahawan terlibat dalam bidang pertanian, penternakan dan pengusaha industri kecil sederhana (IKS) untuk memperkasa produk dan pensijilan barang masing-masing. “Kita juga memberi peluang kepada masyarakat luar bandar dari B40 yang menunjukkan minat dan kesungguhan untuk menjadikan keusahawanan sebagai sumber pendapatan mereka sekaligus meningkatkan ekonomi keluarga. Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyampaian Bantuan Usahawan Wilayah Ketengah di Pusat Komuniti Desa, Bandar Al Muktafi Billah Shah di sini hari ini. Tambahnya lagi, seramai 10 orang penerima bantuan yang terdiri daripada usahawan elektronik, fotografi dan videografi, salon kecantikan, pembuatan makanan, pembaikan gajet, komputer serta alat muzik turut  menerima peruntukan sebanyak RM130,000. Sementara itu, beliau berkata seramai 466 orang usahawan luar bandar telah mendapat manfaat peningkatan pendapatan melalui pengembangan perniagaan dan perusahaan, pensijilan premis dan produk melalui  Program Pembangunan Keusahawanan Desa menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12). “Ketengah telah menyumbangkan bantuan berjumlah RM9 juta sehingga tahun lepas untuk membantu mereka dalam merealisasikan hasrat KPLB bagi memupuk budaya keusahawanan dalam kalangan masyarakat luar Bandar,”ujarnya.  
07 Feb 22
406