lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Amanah Raya Berhad Agih Zakat Kepada Asnaf
Amanah Raya Berhad Agih Zakat Kepada Asnaf
KUALA TERENGGANU, 15 Februari – Seramai 24 orang golongan asnaf dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk menerima Bantuan Zakat Wakalah Amanah Raya, semalam.  Agihan bantuan tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi dalam satu majlis yang diadakan di Balairaya Kampung Mengabang Tengah.  Kata, Ustaz Muhammad Khalil, bantuan itu mampu memberi sedikit kepada rakyat untuk hidup dengan lebih selesa. "Kerajaan Negeri Terengganu sentiasa menekankan soal kebajikan rakyat khususnya melibatkan golongan asnaf. "Namun dalam menyelesaikan masalah kemiskinan yang melibatkan golongan asnaf ini, ia bukan sahaja tanggungjawab kerajaan tetapi ia merupakan tanggungjawab bersama,” kata Ustaz Muhammad Khalil dalam ucapannya.  Turut hadir dalam majlis itu Pengurus Wilayah Timur Amanah Raya, Tuan Noraizan Tuan Long, wakil Parlimen Kuala Terengganu, Tuan Ngah Tuan Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) Mengabang Tengah, Wan Ismail Wan Ngah. ADUN Batu Buruk menyampaikan ucapan Tambah beliau lagi, badan bukan kerajaan atau syarikat-syarikat besar boleh mengeluarkan zakat untuk membantu dan dimanfaatkan oleh golongan asnaf ini. “Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Amanah Raya Berhad kerana memilih DUN Batu Buruk untuk kali ini,” ujar beliau lagi.  Terdahulu bantuan zakat ini telah diadakan di beberapa kawasan dalam Negeri Terengganu iaitu DUN Pengkalan Berangan dan Kuala Berang.   Penerima Bantuan Zakat Wakalah Amanah Raya  
15 Feb 22
529
Banjir : Terengganu Aktifkan Tabung Bencana Pertanian Serta Merta
Banjir : Terengganu Aktifkan Tabung Bencana Pertanian Serta Merta
BESUT, 15 Februari - Tabung Bencana Pertanian Negeri Terengganu diaktifkan serta-merta setelah kejadian banjir berlaku sehingga memusnahkan tanaman padi di sekitar Besut, pagi ini. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata hujan yang turun berterusan sejak malam tadi menyebabkan beberapa sawah padi milik penduduk ditenggelami air menjadi serupa laut. Katanya, beliau turun meninjau kawasan baruh Gong Telikong, Besut dan mendapati padi yang baru berusia 20 hari telah rosak. "Namun terdapat beberapa sawah lain seperti di Gong Pasir dan Lapan Tuai, Gong Nibong berada dalam keadaan baik, kamu juga masih mengumpulkan laporan kemusnahan lain. "Insya-Allah Kerajaan Terengganu menyediakan bantuan sewajarnya melalui Tabung Bencana Pertanian Negeri Terengganu supaya petani dan pesawah kita bangkit kembali menghadapi banjir," jelas beliau kepada UPDI. Menurutnya, kejadian banjir pada bulan ini memang berada di luar jangkaan semua pihak. "Apabila perkara yang tidak dijangka ini berlaku, maka kita perlu persiapkan dari segi persiapan bantuan. "Saya harapkan para pesawah kita bersabar dengan ujian yang menimpa ini. Insya-Allah kerajaan negeri dan jabatan pertanian akan bersama," katanya. - FOTO : Syafiq Halim.
15 Feb 22
1007
Suara Hati Bukan Tumpu Kaum Wanita Sahaja
Suara Hati Bukan Tumpu Kaum Wanita Sahaja
KEMAMAN, 15 Februari – Suara Hati Wanita bukanlah tertumpu kepada kaum wanita sahaja, lelaki termasuk pemimpin setempat juga diseru agar mengambil tahu informasi dan maklumat berkenaan hak wanita juga. Pengarahnya, Wan Nur Sakinah Din berkata, program ini  memberi pendedahan dan garis panduan berkenaan permasalahan berlaku mengikut saluran yang tepat. “Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) berhasrat untuk menjadi agen penerangan dan pemudahcara kepada wanita Terengganu untuk memahami hak-hak yang boleh dituntut oleh wanita serta mendedahkan saluran betul. “Ia satu program diadakan untuk menerangkan ilmu kepada kaum kaum wanita terutamanya wanita yang teraniaya dalam konteks perundangan dan hak-hak wanita,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Suara Hati Wanita di Dewan Seri Amar, Kemaman, baru-baru ini. Katanya, Kemaman menjadi pilihan pertama bagi program siri pertama kerana berdasarkan statistik kadar jenayah lalu menunjukkan bahawa daerah ini mempunyai purata kadar jenayah terhadap wanita yang tinggi, iaitu jenayah rogol. Beliau menambah lagi, masih ramai sebenarnya yang belum tahu mengenai saluran-saluran yang boleh dicapai sekiranya ingin menuntut hak kita sebagai seorang wanita teraniaya. “Kesedaran wanita berkaitan hak wanita dalam undang-undang ini amat penting agar wanita bukanlah objek yang sentiasa disakiti dan menjadi mangsa.  “Bukan sahaja isu permasalahan tentang keluarga, tetapi juga termasuk isu mental, terjejasnya masalah ekonomi, kesihatan dan juga berlaku masalah cerai.  “Dalam hal ini, secara tidak langsung kebanyakan golongan wanita sering ditindas dan hilang tempat pergantungan mengakibatkan kepada masalah-masalah sosial yang lain,” ujar Sakinah. Justeru itu, beliau berharap agar program sebegini dapat diperluaskan lagi sebaran  bagi masyarakat tak kira lelaki dan wanita mendapat maklumat serta  apa-apa masalah dapat diselesaikan dengan cara yang betul tanpa sebarang diskriminasi jantina.
15 Feb 22
183
Dera Wanita : PDRM Saran Masyarakat Jadi Mata Dan Telinga
Dera Wanita : PDRM Saran Masyarakat Jadi Mata Dan Telinga
KUALA TERENGGANU, 15 Februari - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyarankan masyarakat menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa berkenaan sebarang isu yang berlaku. Insp D13 Siasatan Databank DNA Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kemaman, Inspector Azlizawani Adenan berkata, mereka harus melaporkan sekiranya berlaku sebarang penderaan di persekitaran. "Buka minda dan kita dah tahu kena ambil tindakan jangan jadi walaupun kita bukan mangsa tapi  kita kena jadi mata dan telinga kepada persekitaran samada di kalangan adik beradik , jiran, satu taman dan kampung. “Kita kena cakna dan ambil tahu sebab kita nak bantu mangsa-mangsa dari segi Inilah bukan biarkan sahaja mereka ini dengan penderitaan yang dia alami,” jelasnya. Beliau berkata demikian dalam program Suara Hati Wanita di Dewan Seri Amar, Kemaman, baru-baru ini. Menurutnya, masyarakat kena ambil tindakan segera tanpa membiarkan si pelaku menganiayai si mangsa.  “Andai kata pernah berlaku dipukul walau sekecil-kecil kecederaan perlu rasa benda itu serius dan kena buat laporan polis sekiranya melibatkan kecederaan.    “Apa-apa pun kita kena buka minda dan kena ambil tindakan, jangan dah tahu tapi membiarkan sesuatu situasi berlaku begitu sahaja, sebab daripada benda sekecil-kecil ini yang akan membawa kepada kes yang lebih besar,” tegasnya. Beliau menambah, terdapat banyak tempat perlindungan melibatkan jabatan-jabatan lain bukan sahaja melibatkan peguam , pihak polis dan jabatan lain yang terlibat termasuk NGO, pihak hospital dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). “Kalau sebelum kejadian pun dipukul ada cara perlindungan-perindungan kita dapatkan dari JKM, boleh hubungi nombor 15999 untuk dapatkan perlindungan daripada JKM dulu. “Dan ia akan ‘link’ dengan PDRM untuk bagi perlindungan kepada mangsa ini walaupun tiada report sebab ia banyak jenis. Tiga jenis perlindungan samada sebelum, sementara ke ataupun perlindungan biasa. “Sebelum ada laporan polis pun kita akan dapat perlindungan. Masa kes berlangsung kita dapat perlindungan daripada pihak berwajib dan selepas pada keputusan pun ada perlindungan,” tambahnya lagi.
15 Feb 22
421
Terengganu Agih RM500 Kepada Warga Tani Positif Covid-19
Terengganu Agih RM500 Kepada Warga Tani Positif Covid-19
KUALA TERENGGANU, 14 Februari – Kerajaan Negeri Terengganu mengagihkan bantuan tunai sebanyak RM500 kepada warga tani yang dijangkit Covid-19. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata siri pertama bantuan itu telah berjaya diagihkan kepada seramai 92 orang warga tani, penternak dan nelayan untuk tempoh dari Mac 2020 sehingga Julai 2021. "Hari ini untuk siri kedua, kami agihkan lagi kepada seramai 101 orang dari seluruh negeri Terengganu yang disahkan positif Covid-19 dalam tempoh sehingga Disember 2021. "Jika dilihat kepada angka sektor ini, mereka antara yang berisiko rendah untuk dijangkiti Covid-19 sebab dari bulan Mac 2020  sampai Julai 2021 tidak sampai 100 orang. Namun kini ada peningkatan agak ketara yang perlu digandakan langkah berjaga-jaga," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Penyerahan Bantuan Covid-19 di Pusat Pertanian Bandar Batu Buruk Kuala Terengganu hari ini. Dalam pada itu menurutnya, bantuan 'one off' tersebut bukanlah satu jumlah yang besar namun ia diharap dapat membantu para penggiat pertanian. "Bantuan ini bukan istilah tidak boleh beri sedikit banyak tidak mengapa tapi istilahnya tidak boleh beri banyak pun tidak mengapa namun sekurang-kurangnya ada," katanya. Jelas beliau, pihak negeri dan portfolio pertanian sangat menghargai sumbangan, jasa bakti dan keringat yang dicurahkan oleh para warga tani. "Bekerja dalam situasi sukar pandemik yang tidak pernah berhenti demi untuk membekalkan makanan kepada rakyat negeri Terengganu. Sejak daripada Mac 2020 saya dengan jabatan pertanian, berjuang tanpa henti demi memastikan sektor pertanian ini tidak disekat. "Yang akhirnya nelayan boleh turun ke laut, penternak boleh pergi kendang hasil pertanian boleh dipasarkan dengan apa cara sekalipun. "Keadaan jatuh bangun, penuh kesukaran naik turun sejak daripada perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac 2020 sampai kepada hari ni tak pernah terhenti. Kalau ada halangan yang menghalang pergerakan rantaian sektor kerana sebab PKP tolong maklumkan untuk kita tengok di mana halangan itu boleh diselesaikan," tegasnya.  
14 Feb 22
552
Sektor Pertanian Sasar 86 Program Tahun 2022
Sektor Pertanian Sasar 86 Program Tahun 2022
KUALA TERENGGANU, 14 Feb – Sektor pertanian Negeri Terengganu mensasarkan 86 program bagi tahun 2022 yang bakal dinikmati oleh warga petani, penternak dan nelayan di negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata semua susunan yang diatur ini pastinya akan bermanfaat kepada rakyat.   ‘’ Tidak guna kalau kita melakukan suatu perancangan, akhirnya perancangan itu berhenti sekerat jalan dan tidak sampai kepada rakyat. Tahun 2021 kita dapat selesaikan 93 program, kita ingat program akan berkurangan rupa-rupanya ada 86 program yang akan disempurnakan tahun ini. ‘’  kita tidak sekadar bekerja syok sendiri, menerima laporan-laporan yang bernada kosmetik tapi hakikatnya ia tidak sampai ke bawah. Ini bukan cara kami kerja. Kami bekerja dengan memastikan apa sahaja keputusan yang dibuat di peringkat dasar kerajaan, dilaksanakan di peringkat jabatan dan tuan-tuan dan puan-puan mendapat manfaat yang sebaiknya.’’ Katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Penyerahan Bantuan Covid-19 di Pusat Pertanian Bandar Batu Buruk Kuala Terengganu, hari ini. Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, sepanjang tahun 2021 , sektor ini telah berjaya menyempurnakan 93 program, menyiapkan  45 projek dan menutup tahun pertanian negeri Terengganu dengan karnival  tahun pertanian pada  27-29 januari lepas di Pekan Jabi walaupun berdepan keadaan yang sukar. ‘’ Alhamdulillah, peningkatan sepanjang 2021 yang kita beri penekanan secara intensif untuk melihat sektor pertanian ini berada pada satu posisi terhormat, Dalam pada itu menurutnya, dalam sidang dewan sentiasa memberikan penghargaan kepada khidmat bakti warga tani Terengganu. ‘’ Malah dalam majlis-majlis besar pun kita berikan penghargaan kepada segala keringat yang dicurahkan kerana tanpa mereka sektor pertanian tidak akan ke mana. ‘’ Inilah sektor yang benar-benar mendasar sampai ke bawah, berpijak di bumi nyata dan diceburi oleh kira-kira 70% rakyat Terengganu. Alhamdulillah, saya mendapat maklumat semua yang dijangkiti covid-19, sudah pulih seperti biasa dan terus berjaga-jaga dengan varian baru.’’ Jelasnya lagi.
14 Feb 22
314
YBC Rai Tahun Baru Cina Bersama Warga Tionghoa
YBC Rai Tahun Baru Cina Bersama Warga Tionghoa
KEMAMAN, 14 Februari - Seramai lebih 250 warga Tionghoa diraikan dalam Majlis Ramah Mesra sempena Tahun Baharu Cina 2022. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional, Hanafiah Mat berkata sambutan Tahun Baru Cina dilihat mampu merapatkan lagi hubungan silaturahim sesama masyarakat setempat meskipun berbeza budaya, agama dan kepercayaan masing-masing. "Saya mengharapkan kalian dapat bergembira bersama keluarga menyambut perayaan Tahun Baharu Cina. “Semoga perniagaan kalian juga tahun ini berada dalam keadaan yang baik serta memperolehi keuntungan setelah beberapa tahun menghadapi cabaran dalam musim wabak Covid-19. "Kerajaan negeri pula sentiasa mengharapkan kita semua dapat meneruskan kehidupan di dalam keadaan aman dan damai," ujarnya ketika merasmikan majlis itu di Dewan Seri Amar Diraja di sini, semalam. Sementara itu, Pengerusi Majlis Perniagaan Cina Kemaman, Dato' Soh Kok Hiang menzahirkan rasa bertuah dan teruja di atas penghargaan dan kecaknaan pemimpin kerajaan negeri dengan mengadakan majlis yang sangat istimewa ini. "Sepanjang Hanafiah menjadi wakil rakyat di sini, beliau telah banyak memberikan bantuan serta menolong masyarakat Tionghoa. "Antaranya ialah menyediakan kemudahan dan fasiliti Dewan Tionghoa Kemaman untuk membolehkan pelbagai aktiviti dapat diadakan, menyumbang untuk pintu gerbang cina di jalan Jakar, menyediakan tapak tanah untuk rumah mayat bagi kegunaan dan kemudahan kaum kami," tambahnya.  
14 Feb 22
351
Stesen Bas Kerteh Selesai Dirasmikan
Stesen Bas Kerteh Selesai Dirasmikan
KEMAMAN, 14 Februari – Setelah sekian lama perancangan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) untuk mengadakan majlis perasmian, akhirnya Stesen Bas di Bandar Kertih berjaya dirasmikan sepenuhnya setelah memberi manfaat pengangkutan buat rakyat rakyat Kemaman sejak 2019. Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid berkata, berikutan penularan COVID-19, perancangan perasmian sering tertangguh walaupun ia telah beroperasi sejak tiga tahun lalu. "Sebanyak RM2.2 juta telah diperuntukan di bawah Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Terengganu akhirnya terbina Stesen Bas di Bandar Kerteh. “Menjadi satu keutamaan pemimpin menyediakan keselesaan untuk rakyat dan Infrastruktur yang lengkap bagi kemudahan kita bersama. "Sebelum pembinaan Stesen Bas ini, orang ramai terutama pelajar-pelajar yang menggunakan bas sebagai pengangkutan utama hanya menggunakan kaki lima jalan-jalan utama untuk menunggu dan turun di lokasi yang dituju," katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Stesen BAS Kerteh, baru-baru ini. Beliau mengharap agar masyarakat sama-sama menjaga prasarana pengangkutan itu dengan baik dan bukannya tempat melepaskan geram di dinding-dinding bangunan. Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) Jusman Ibrahim menjelaskan, fasiliti tersebut mempunyai kemudahan tiga kaunter tiket, satu kedai makan, satu tandas dan satu surau sudah cukup bagi pengguna yang menggunakan Stesen Bas ini. "Kedudukan Stesen Bas berhampiran dengan Bandar Kerteh menjadikan ianya lokasi strategi untuk ekonomi setempat berikutan fasilitinya yang berhampiran dengan persimpangan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 2 Kerteh serta perancangan pembinaan Stesen East Coast Rail Link (ECRL) Kerteh dan Lapangan Terbang Kerteh," tambahnya. Sebelum bermulanya majlis perasmian Stesen Bas tetamu terhormat menaiki Bas Sani Express dari perhentian Paka ke Stesen Bas Kerteh seawal 9 pagi. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir. Saiful, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan serta Pemilik Sani Ekspress Sdn Bhd, Datuk Wan Mohammad Sani Salleh.
14 Feb 22
1071
Pusat Antarabangsa UniSZA : Bina Reputasi Pendidikan Bertaraf Dunia
Pusat Antarabangsa UniSZA : Bina Reputasi Pendidikan Bertaraf Dunia
KUALA NERUS, 14 Februari – Sejak ditubuhkan pada 2014, Pusat Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sentiasa berada di barisan hadapan dalam menarik pelajar antarabangsa dari seluruh dunia sekali gus mempopularkan Terengganu sebagai pusat pendidikan bertaraf dunia. Pengarahnya, Anuar McAfee, berkata universiti itu telah berkembang pesat dari segi pengambilan antarabangsa berbanding zaman Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) hasil sebaran dari mulut ke mulut, kemajuan fasiliti universiti dan persekitaran negeri yang aman. “Apabila saya memegang jawatan (sebagai pengarah) 8 tahun lalu, antara persoalannya adalah bagaimana kita boleh menarik orang luar ke sini kerana ramai antara mereka lebih gemar tinggal di bandar besar seperti Kuala Lumpur. “Namun begitu, Pusat Antarabangsa dan kemasukan kami berkembang setiap tahun walaupun berdepan saingan daripada universiti pantai barat, bermula dengan 200 orang pelajar meningkat kepada 600 sehingga hari ini dengan lebih 1,170 pelajar dari 40 negara. “Jika bertanya kepada mereka (pelajar), kebanyakkan menyatakan keterujaan tinggal di Terengganu, menyifatkan ia sebagai tempat yang kondusif untuk belajar, tenang, selamat, murah untuk didiami dengan kualiti pendidikan bertaraf dunia di UniSZA,” katanya yang juga pensyarah Bahasa Inggeris berasal dari Kanada. Jelasnya, antara faktor lain yang menarik minat warga asing untuk datang dan melanjutkan pengajian tinggi, adalah disebabkan hubungan erat antara pelajar dan kakitangan yang sentiasa terjalin. “Sesetengah pelajar lebih suka tinggal di sini berbanding pantai barat, melihat UniSZA lebih kecil berbanding 20 Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) lain. “Pada permulaannya, kebanyakan kemasukan adalah dari Brunei, Indonesia, Singapura dan lain-lain sehingga pertengahan 90-an dengan mahasiswa China yang mengambil pengajian Islam. Namun pada 2006, kami terpaksa melakukan pengemaskinian besar apabila KUSZA dinaiktaraf sebagai Universiti Awam. “Kini dengan fakulti baharu, program, pengembangan dalam penyelidikan, pengantarabangsaan bermula secara beransur-ansur sehingga UniSZA menjadi pilihan utama terutamanya di kalangan warga Jordan, Indonesia, Nigeria dan ramai lagi melalui pemasaran dari mulut ke mulut,” tambahnya. Tambahnya ketika ditemubual pemberita, dengan sekatan COVID-19 yang semakin longgar, anjuran program pelajar antarabangsa dan masyarakat adalah cerah dengan program pertama tahun ini ialah pembersihan pantai Seberang Takir. “Kami berharap jurang antara rakyat Terengganu tempatan dan siswazah antarabangsa akan berkurangan, menerusi lebih banyak aktiviti seperti dengan masjid awam, program alam sekitar dan banyak lagi. "Ini bukan sahaja membuka peluang untuk ikatan antara budaya tetapi juga meningkatkan ekonomi tempatan dan pelancongan untuk negeri ini," katanya lagi.
14 Feb 22
848
400 Peserta Terlibat Gotong Royong Bersepadu Bersih Pantai Setiu
400 Peserta Terlibat Gotong Royong Bersepadu Bersih Pantai Setiu
SETIU, 14 Februari - Gotong royong secara bersepadu bagi membersihkan kawasan pantai di daerah ini telah diadakan dengan jumlah penyertaan seramai 400 orang yang melibatkan 10 jabatan dan agensi kerajaan  juga pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Kolej Bestari (UCB). Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu, Ahmad Rizal Mamat berkata, tujuan program berkenaan adalah memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat supaya memelihara keindahan pantai yang ada di negeri ini. "Pantai sentiasa menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negeri sebab itu menjaga kebersihan bukan hanya tanggungjawab pihak tertentu sahaja tetapi ia merupakan tugas semua orang jadi. Ahmad Rizal Mamat. Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di tapak gotong royong bersepadu Kampung Kuala Baru, Kampung Mangkok pada Jumaat. Katanya, kawasan tersebut merupakan tapak pelancongan, oelh itu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan mengambil langkah bagi memastikan kawasan ini sentiasa bersih akan mengambil perjalanan untuk diletakkan tong sampah di hujung kawasan perkelahan ini.    
13 Feb 22
426