Artikel "Utama" Terkini
9,510 Pelajar UniSZA Masuk Ke Kampus Bermula 9 Mac
KUALA NERUS, 16 Februari – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bersedia menerima kemasukan seramai 9,510 pelajar ke kampus bermula 9 Mac ini secara berperingkat mengikut kategori yang ditetapkan.
Naib Canselor (Menjalankan Fungsi), Prof Dr. Fadzli Adam berkata, kemasukan secara berfasa , semua semua pelajar dibenarkan memasuki kampus namun keutamaan diberikan kepada pelajar berkeperluan daripada lima kategori yang telah ditetapkan
“Keutamaan akan diberi kepada kategori satu iaitu pelajar daripada program pengajian peringkat asasi, diploma, ijazah sarjana muda dan pascasiswazah yang memerlukan praktikal, makmal, klinikal, latih amal, studio, bengkel, peralatan khas dan pelajar badan beruniform yang perlu melengkapkan silibus mereka.
“Manakala kategori dua adalah pelajar Berkeperluan Khas (OKU) dan kategori tiga adalah pelajar yang tidak mempunyai akses dan persekitaran tidak kondusif bagi melaksanakan pembelajaran dalam talian turut dibenarkan ke kampus.
“Bagi kategori empat adalah semua pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu dan untuk kategori lima iaitu pelajar yang menduduki peperiksaan Malaysia University English Test (MUET), antarabangsa dan badan profesional juga diberi keutamaan kembali ke kampus," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu katanya, bagi pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu, hanya yang lengkap vaksinasi sahaja dibenarkan masuk ke Malaysia dan wajib menjalani tempoh kuarantin selama 7 hari atau sekiranya telah mendapat dos penggalak, tempoh kuarantin ialah selama 5 hari.
Tambahnya lagi, pelajar yang lengkap vaksinasi dan tidak lengkap vaksinasi dibenarkan masuk ke kampus. Pelajar yang telah lengkap vaksinasi perlu menjalani ujian saliva RTK COVID-19 manakala pelajar yang tidak lengkap vaksinasi perlu membuat ujian RT-PCR dalam tempoh tiga (3) hari sebelum masuk ke kampus dengan tanggungan sendiri.
Dalam masa yang sama, pelajar perlu mendapatkan surat kebenaran kembali ke kampus daripada Portal Pelajar dan bagi pelajar yang ingin tinggal di kolej kediaman perlu membuat permohonan dan kelulusan tertakluk kepada kekosongan.
Prof Dr. Fadzli berkata, tarikh kemasukan pelajar adalah secara berfasa mengikut kategori dan pelaksanaan pembelajaran dan pengajaran (PdP) akan dilaksanakan secara hibrid mengikut SOP yang telah ditetapkan.
“Bagi pelajar dari kategori satu iaitu seramai 4,932 orang, mereka boleh kembali ke kampus bermula 9 hingga 12 Mac, manakala kategori 2,3,4 dan 5 iaitu 1,504 orang akan pulang pada 21 hingga 25 Mac.
“Bagi pelajar bukan dari kategori selain yang ditetapkan, mereka boleh kembali ke kampus pada 3 hingga 20 April dengan melibatkan seramai 3,074 orang”, katanya.
16 Feb 22
890
Bantuan Khas Bazar Ramadan Diteruskan
KUALA TERENGGANU, 16 Februari – Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan memperuntukkan RM250 ribu dibawah Skim Pembiayaan Khas Bazar Ramadan (SPBAR) khusus untuk ahli Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Terengganu yang berdaftar bagi tahun 2022.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, skim itu secara tidak langsung dapat membantu para peniaga meningkatkan modal dan memenuhi keperluan mereka sepanjang sebulan berniaga.
“Oleh itu, kita bersedia meneruskan pinjaman jangka masa pendek dengan tempoh pembayaran pada bulan Syawal dengan kadar RM1,000 hingga RM3,000 bagi setiap ahli di bawah jaminan persatuan.
“Mereka boleh membuat permohonan daripada persatuan bagi meringankan beban modal untuk memulakan perniagaan setelah kita umumkan kelak,”ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Tambah beliau, YPU yakin peniaga mampu membayarnya semula dalam tempoh tersebut kerana telah mendapat wang pusingan modal dan keuntungan hasil perniagaan sepanjang Ramadan.
“Berdasarkan rekod sebelum ini, kita dapati seratus peratus mereka yang menggunakan skim ini mampu membayar balik mengikut syarat yang telah ditetapan dan ia merupakan satu penunjuk yang baik,” ujar Mohd Nurkhuzaini lagi.
Justeru itu katanya, mereka yang berminat boleh menghubungi YPU atau Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Terengganu untuk maklumat lanjut,
Skim ini telah diperkenalkan pada tahun 2019 dengan peruntukan sebanyak RM160,500 disalurkan kepada 141 ahli persatuan pada tahun tersebut, namun ia dihentikan pada 2020 kerana tiada penganjuran bazar Ramadan berikutan pandemik COVID-19.
16 Feb 22
1377
Terengganu Agih RM500 Kepada Warga Tani Positif Covid-19
Kerajaan Negeri Terengganu mengagihkan bantuan tunai sebanyak RM500 kepada warga tani yang dijangkit Covid-19.
16 Feb 22
125
Rakyat Syukur Kerajaan Kembalikan Tanah Dirampas
Seramai 16 peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Pertanian di Paya Kolam Marang bersyukur dan gembira apabila kerajaan PAS Terengganu mengembalikan semula tanah rakyat yang pernah dirampas oleh pentadbiran terdahulu.
16 Feb 22
165
Kerajaan Salur RM65.6 Juta Kepada Iman, Bilal, Guru Takmir Dan KAFA
Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan kewangan sebanyak RM65,580,285.60 kepada iman, bilal, guru takmir dan guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) Terengganu, tahun ini.
16 Feb 22
97
Isu Bekalan Ayam, Telur Perlu Dipandang Serius
KUALA NERUS, 16 Februari - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN Tepoh), Hishamuddin Abdul Karim menggesa pihak kerajaan persekutuan agar isu kekurangan bekalan ayam dan telur dipandang lebih serius dalam menghadapi musim bulan Ramadan
Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Yaakob dan semua menteri terlibat secara langsung dengan sektor kepenggunaan perlu menggiatkan lagi usaha untuk memastikan bekalan ayam dan telur dapat dipulihkan seberapa segera khususnya menghadapi bulan puasa akan datang.
"Ia tidak boleh dibebankan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) semata-mata.
“KPDNHEP hanya mengawal harga di peringkat akhir ketika turun kepada pembeli. Kesukaran penternak dengan modal semasa juga perlu dipertimbangkan," jelasnya kepada kepada pemberita ketika hadir di Karnival Jualan Keluarga Malaysia, perkarangan Pasaraya PXR Kampung Gong Datuk, baru-baru ini.
Menurut Hishamuddin, pelbagai rungutan serta kebimbangan diluahkan oleh masyarakat susulan kekurangan bekalan telur di pasaran menjelang musim perayaan Islam tersebut.
Jelasnya, ia memerlukan penglibatan semua kementerian berkait supaya dapat memberikan komitmen dan juga dapat memastikan supaya semua sumber bekalan ini dapat diselesaikan dengan segera.
Sementara itu, beliau turut menjelaskan, pihaknya serta Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato Khairuddin Aman Razali telah memperuntukkan subsidi buat penganjuran Karnival Jualan Keluarga Malaysia di kawasan yang sambutan luar biasa khususnya masyarakat dalam daerah tersebut.
"Hari ini makanan seperti ayam ditaja oleh parlimen dengan memberikan sedikit subsidi jualan. Insya-Allah berkat kerjasama semua rakyat tidak terhimpit dan terbeban.
“Maka harga dapat diturunkan dengan lebih rendah, sekadar untuk sokongan dalam program seperti ini dan kita juga memberikan potongan separuh harga ikan sangkar sungai yang berada di dalam kaunter jualan.
“KPDNHEP telah memainkan peranan yang cukup baik dengan inisiatif penganjuran Karnival Jualan Keluarga Malaysia dan seumpamanya,” katanya lagi.
16 Feb 22
387
Sakit Kepala, Loya Antara Gejala Utama Omicron
KUALA LUMPUR, 16 Februari - Varian Omicron virus Covid-19 tidak menyebabkan penghidapnya hilang deria bau seperti varian Delta.
Pakar Perubatan Patologi (Mikrobiologi dan Imunologi) Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) Dr Masita Arip berkata, itu merupakan satu daripada perbezaan ketara antara gejala varian Omicron dan Delta.
"Selain itu, varian Omicron juga tidak menyebabkan demam dengan suhu yang tinggi sebagaimana pesakit Covid-19 varian Delta sebelum ini. Antara gejala utama yang dibawa oleh varian Omicron adalah sakit kepala dan loya.
"Orang ramai yang mempunyai gejala demam dan sakit kepala dinasihatkan mendapatkan rawatan dengan segera," katanya ketika menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam tadi.
Menurut Dr Masita, gejala yang dialami oleh penghidap varian Omicron adalah lebih singkat iaitu kurang lima hari berbanding varian Delta.
Beliau berkata, masyarakat Malaysia perlu bersikap matang dalam menghadapi situasi melawan pandemik Covid-19 dengan segera mendapatkan rawatan apabila bergejala, sentiasa mengamalkan kawalan kendiri dan mengambil dos penggalak supaya mempunyai imuniti terhadap varian berkenaan.
"Individu yang melakukan ujian kendiri Covid-19 di rumah dan mendapati diri mereka positif perlu jujur dan bertanggungjawab dengan tidak keluar rumah dan membahayakan orang lain," katanya. - BERNAMA. Foto Ehsan - Harian Metro.
16 Feb 22
582
Madinah Ramadan Diteruskan Dengan Skala Kecil
KUALA TERENGGANU, 16 Februari – Program Madinah Ramadan bakal mewarnai malam-malam bulan puasa di bandar raya ini dengan memilih dataran Drawbridge sebagai lokasi baharu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu, Mohd Nor Hamzah berkata namun disebabkan penularan Covid-19 melibatkan varian Omicron, program tersebut diadakan dalam skala lebih kecil mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
"Program Madinah Ramadan tahun ini kita tidak buat solat tarawih, hanya pasang kanopi untuk solat Maghrib dan tazkirah sebelum waktu solat sahaja berikutan keadaan semasa Covid-19 yang semakin meningkat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Program Halaqah Darul Iman (HaDI) yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Dewan Besar Wisma Darul Iman di sini, baru-baru ini.
Sementara itu, kerajaan negeri juga membenarkan jemaah menunaikan solat tarawih di masjid dan surau kawasan masing-masing sepanjang Ramadan mengikut SOP ditetapkan pihak berkuasa.
“Kita tidak menyekat pelaksanaan aktiviti lain mengimarahkan bulan puasa seperti agihan bubur lambuk dan tadarus al-Quran dengan pematuhan SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menyekat penularan jangkitan Covid-19," katanya.
16 Feb 22
260
36 Bazar Ramadan Di Kawasan MBKT
KUALA TERENGGANU, 15 Februari- Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menyediakan 36 lokasi bazar Ramadan termasuk di daerah Kuala Nerus tahun ini.
Datuk Bandar MBKT, Rozali Salleh berkata, lokasi tersebut membabitkan 4,385 petak dengan 26 tapak membabitkan 3,694 petak di kawasan bandaraya manakala sepuluh tapak (691 petak) di Kuala Nerus.
Katanya, empat daripada 26 tapak bazar Ramadan akan diswastakan dan tender dijangka buka minggu depan.
"Empat tapak bazar Ramadan iaitu di Dataran Shah Bandar dan dua di kawasan tempat letak kereta serta di kawasan stesen teksi Kampung Tanjung, di sini akan diswastakan.
"Tender untuk tapak bazar Ramadan berkenaan akan dibuka minggu depan," katanya kepada pemberita.
Dalam perkembangan sama, Rozali berkata prosedur operasi standard (SOP) bazar Ramadan yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan (KKM)bagi menangani penularan pandemik Covid-19 akan disampaikan kepada peniaga bazar Ramadan.
"MBKT tidak akan bertanggungjawab jika bazar Ramadan diarahkan ditutup oleh KKM atas kesalahan mengabaikan pematuhan SOP.
"MBKT juga akan memulangkan bayaran pendahuluan kepada peniaga dan penganjur jika bazar Ramadan tidak dibenarkan dibuka susulan peningkatan kes Covid-19," katanya.
15 Feb 22
685
Tasik Kenyir Disasarkan Jadi Taman Geo Park Akhir Tahun Ini
KUALA TERENGGANU, 15 Februari - Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu (UPEN) mensasarkan kawasanT asik Kenyir, Hulu Terengganu sebagai Taman Geo (Geo-Park) bakal menjadi realiti menjelang akhir tahun ini.
Pengarah UPEN, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, pihaknya kini sedang dalam usaha untuk merealisasikan perkara tersebut yang bakal menjadi tarikan terbaharu di tasik buatan manusia tersebut.
Katanya, langkah ke arah itu kini kembali aktif sebaik mendapat persetujuan kerajaan negeri dengan membenarkan UPEN untuk menyelaras serta bersetuju Pejabat Daerah Hulu Terengganu (PDHT) mengetuai perancangan itu.
Tambah beliau, buat permulaan pihak berkaitan sudah menganjurkan Bengkel Pemurnian Dossier Geopark Tasik Kenyir bersama 15 jabatan dan dua universiti terpilih termasuk Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Universiti Malaysia Terengganu, Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Terengganu serta PDHT.
“Hasil rumusan bengkel akan dibentang kepada Mesyuarat Ahli-Ahli Majlis Kerajaan Negeri dalam tempoh terdekat dan seterusnya diangkat kepada Jawatankuasa Geopark Kebangsaan (JGK) untuk direalisasikan.
“Pihak kami berharap, usaha kali ini yang dibarisi pakar penyelidik dan beberapa pengkaji benar-benar berjaya bukannya projek rancang dan dibiarkan tanpa tujuan atau diibaratkan`touch and go’.
“Taman Geo aset penting bagi Terengganu dan bakal memberi manfaat daripada pelbagai sudut termasuk sektor pelancongan, ekonomi penduduk, peluang pekerjaan, pendapatan negeri dan menarik minat lebih ramai pelabur,” katanya.
Berdasarkan rekod, perancangan menjadikan Taman Geo, Tasik Kenyir bermula sejak 2015 dan pada 2017 segala dokumen berkaitan diangkat kepada JGK tetapi gagal disebabkan beberapa faktor termasuk tiada pihak yang bersetuju untuk mengetuai rancangan itu.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Bengkel Pemurnian Dossier Geopark Tasik Kenyir, di Hotel Permai, anjuran Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Unit Perancang Ekonomi Negeri dan Jabatan Mineral dan Geosains Terengganu di sini, hari ini.
Tun Ahmad Faisal turut menjelaskan pengisytiharan Tasik Kenyir sebagai Taman Geo tidak akan membebankan mana-mana pihak atau menjejaskan pendapatan sedia ada kerana tidak membabitkan pewartaan sebaliknya hanya perlu dijenamakan semula.
15 Feb 22
1422