Artikel "Utama" Terkini
Spesies Temoleh Dan Kelisa Dilarang Tangkap Di Tasik Kenyir
HULU TERENGGANU, 16 Mac – Jabatan Perikanan menjalankan penguatkuasaan secara berkala bagi memastikan tidak berlaku tangkapan bagi dua spesies ikan yang dilarang tangkap tanpa permit iaitu spesies temoleh dan kelisa di Tasik Kenyir.
Pengarah Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, penguatkuasaan turut dijalankan dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perhutanan Terengganu serta beberapa pihak penguatkuasa lain.
"Sebelum ini kita ada menerima bebarapa aduan berkenaan aktiviti menangkap ikan tanpa kawalan di kawasan Tasik Kenyir. Pihak jabatan ada membuat siasatan serta rondaan di kawasan terlibat.
"Penguatkuasaan itu antara lain dilakukan bagi melindungi dua spesies ikan berkenaan yang disenarai dalam Jadual Pertama, Kaedah-Kaedah Perikanan Darat Terengganu 1988 (Pindaan 1993) di bawah Kaedah 3 (4) iaitu jenis ikan yang dilarang tangkap tanpa permit," katanya ketika dihubungi pemberita.
Katanya, setiap aktiviti tangkapan ikan perlu mendapat kelulusan bagi mengelak spesies berkenaan terancam dan pupus.
"Tasik Kenyir dibawah kawalan Ketengah dan aktiviti menangkap ikan menggunakan peralatan menangkap ikan perlu mempunyai lesen mengikut Kaedah- Kaedah Perikanan Darat Negeri Terengganu," tegas beliau lagi.
Terdahulu, Ruzaidi menyertai aktiviti pelepasan 157,000 ekor benih ikan lampam sungai, baung dan udang galah ke perairan Sungai Leban Kerbat.
"Program itu bertujuan menambahkan sumber perikanan yang dijangka akan memberi manfaat kepada 21 nelayan darat (sepenuh masa dan sambilan) berdaftar dibawah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu serta aktiviti eco-pelancongan di Tasik Kenyir," ujarnya.
16 Mar 22
569
Kerajaan Negeri Sasar 200,000 Pengunjung Ke Karnival Beautiful Terengganu
KUALA TERENGGANU, 15 Mac- Kerajaan negeri menyasarkan kehadiran seramai 200,000 pengunjung ke Karnival Beautiful Terengganu 2022 dalam tempoh tiga hari program itu diadakan bermula 17 Mac ini di Pulau Poh, Tasik Kenyir.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Ariffin Deraman berkata, karnival tersebut merupakan usaha kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri untuk merancakkan kembali sektor pelancongan domestik.
Katanya, ia juga merupakan platform bagi menghimpunkan kepelbagaian produk pelancongan dari seluruh daerah yang akan dipaparkan secara langsung kepada pengunjung.
"Pelbagai acara menarik menanti pengunjung, antaranya pertunjukan malam berlampu yang bakal menerangi Tasik Kenyir, modular pameran agensi, jualan pakej pelancongan istimewa ditawarkan pemain industri.
"Selain itu, terdapat juga persembahan kebudayaan, pertandingan memasak ikan baung, pertandingan houseboat dan speedboat berhias, pakej Kenyir Trail, permainan sukan rakyat.
"Acara utama pada malam perasmian pula adalah pertunjukan Kenyir Aqua Light and Sound, pertunjukan ukiran laser Tasik Kenyir, pancutan air berirama dan pelbagai lagi," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena penganjuran program Karnival Beautiful Terengganu 2022 di Bilik Mesyuarat Jabatan Pelancongan Negeri, hari ini.
Tambah Ariffin, penganjuran Karnival Beautiful Terengganu diharap dapat menjadi satu acara yang dapat menarik kunjungan orang ramai dan seterusnya mempromosikan Kempen Visit Beautiful Terengganu.
“Penganjuran karnival ini sekaligus bakal menonjolkan lagi Tasik Kenyir sebagai destinasi eko pelancongan yang terunggul bukan sahaja di Terengganu, tetapi juga di peringkat nasional.
"Malah penganjuran karnival ini turut diharap dapat menyumbang kepada peningkatan taraf sosio-ekonomi rakyat negeri melalui impak aktiviti rantaian dari sektor pelancongan, kesenian dan kebudayaan," jelasnya.
Katanya, program melalui kolaborasi lebih daripada 20 jabatan dan agensi itu turut menyasarkan pelbagai golongan pengunjung, termasuk belia, pelancong dalam dan luar negeri, pelajar, penduduk tempatan dan mereka yang sudah berkeluarga bagi memeriahkan karnival.
15 Mar 22
650
4,560 Ketua Isi Rumah Di Terengganu Terima RM1,000
KUALA TERENGGANU, 15 Mac- Seramai 4,560 ketua isi rumah (KIR) yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) ketika banjir gelombang kelima melanda Terengganu telah menerima bayaran Bantuan Wang Ihsan (BWI) berjumlah RM1,000, setakat ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, ianya melibatkan peruntukan sebanyak RM4.56 juta.
Katanya, BWI yang disalurkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) itu telah selesai diagihkan kepada KIR yang berpindah ke 147 PPS melibatkan daerah Kuala Terengganu, Besut, Dungun, Marang , Hulu Terengganu dan Kuala Nerus.
“Di Kuala Terengganu seramai 246 KIR menerima bayaran masing-masing, Besut (534), Dungun (1,094), Marang (1), Hulu Terengganu (2,478), dan Kuala Nerus (207) ,”ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Buku Sejarah Dan Perkembangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Primula Beach Hotel, semalam.
Hanafiah berkata, hanya Kemaman dan Setiu daerah yang belum selesai dibuat pembayaran BWI.
“Setakat ini, berdasarkan rekod yang kita ada seramai 2,881 KIR berdaftar dengan 39 PPS di Kemaman manakala 643 pula berpindah di 35 PPS di Setiu ketika banjir baru-baru ini.
“Bagaimanapun, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) masing-masing sedang dalam proses mengemaskini lagi jumlah mangsa-mangsa banjir sehingga 20 Mac ini untuk diangkat kepada pusat bagi bayaran RM1,000.
“Selepas selesai, kami akan membuat permohonan untuk bantuan kerosakan perabot pula,” ujarnya.
15 Mar 22
9349
Yayasan PETRONAS Santuni 3,000 Ribu Pelajar B40
KUALA TERENGGANU, 15 Mac – Yayasan PETRONAS berjaya menyantuni seramai 3,000 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah di negeri ini sempena program PETRONAS Back To School 2022.
Pengurus Kanan, PETRONAS Pantai Timur, Azeman Said, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 1,800 disampaikan kepada murid sekolah rendah terpilih di daerah Kemaman, Marang, Setiu, Besut dan Hulu Terengganu. Manakala 1,200 lagi sumbangan diagihkan kepada pelajar sekolah menengah rendah terpilih di daerah Dungun, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.
Katanya, sejak dilancarkan pada tahun 2003, program PETRONAS Back To School terus komited dengan matlamatnya meringankan bebanan golongan berpendapatan rendah di dalam bidang pendidikan di negara ini.
“Situasi pandemik dan peningkatan harga barang, menambahkan cabaran yang dihadapi oleh ibu bapa di dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak.
“Justeru itu, kami berharap sumbangan ini dapat meringankan bebanan yang dihadapi oleh golongan berpendapatan rendah di dalam menghadapi sesi persekolahan 2022,” katanya kepada pemberita.
Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan berbentuk kelengkapan sekolah, pakaian sukan serta kit kebersihan diri kepada Timbalan Pengarah Sektor Perancangan & Pengurusan, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Awi Salleh, di dalam satu majlis ringkas di pejabat Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu di sini hari ini.
Jelasnya, setiap murid menerima sumbangan sepasang pakaian seragam sekolah, sepasang pakaian sukan, sepasang kasut sekolah, sepasang stokin, sebuah beg galas, sebuah bekas makanan dan sebuah botol minuman.
“Mereka juga dibekalkan barang keperluan pembelajaran terdiri daripada set alat tulis termasuk set geometri kepada pelajar sekolah menengah dan buku aktiviti yang disediakan sempena Program Duta Guru anjuran Yayasan PETRONAS.
“Selain daripada itu, setiap pelajar juga turut menerima sumbangan kit kebersihan diri seperti dua helai pelitup muka tiga lapisan (boleh digunakan semula) dan dua helai tuala muka,”tambah beliau lagi.
Dalam perkembangan yang sama, Azeman berkata sumbangan Back To School PETRONAS pada kali ini memperlihatkan peningkatan jumlah penerima sebanyak 71 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Menurutnya, pada tahun 2022, sumbangan tersebut disampaikan kepada 36 ribu pelajar di seluruh negara dengan 22 ribu daripadanya terdiri daripada murid sekolah rendah dan 14 ribu pelajar sekolah menengah rendah.
15 Mar 22
696
Kadar Zakat Fitrah Di Terengganu Kekal RM7
KUALA TERENGGANU, 15 Mac - Kadar zakat fitrah bagi negeri Terengganu tahun ini kekal RM7 atas perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
Yang Dipertuanya, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, penetapan kadar zakat fitrah itu dinilai berdasarkan harga gred Super Tempatan di pasaran selepas mengambil kira nilai bersamaan dengan beras lima peratus hancur.
"Kadar bayaran zakat fitrah itu kekal sejak 2016 dan kita melantik seramai 966 amil bertauliah untuk memudahkan masyarakat Islam membuat bayaran.
"Berdasarkan jumlah umat Islam di negeri ini, kita mensasarkan kutipan zakat fitrah tahun ini adalah RM6.9 juta," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat penetapan kadar zakat fitrah di bilik Mesyuarat MAIDAM, Kompleks Seri Iman, di sini, hari ini.
Yang turut hadir adalah Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, M Rozi Bidin.
Shaikh Harun berkata, umat Islam di negeri ini diminta membuat bayaran secara tunai kepada amil yang ditauliah.
Katanya, berdasarkan Seksyen 40, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001, mereka yang tidak bertauliah dan didapati bersalah memungut zakat serta fitrah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
"Umat Islam yang membuat bayaran zakat dan fitrah kepada mereka yang tidak bertauliah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 41, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali," katanya.
15 Mar 22
1035
INSTEP Sumbang Bantuan Persekolahan
KUALA NERUS, 15 Mac – Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP) menyumbangkan bantuan persekolahan kepada 2,772 orang murid di lapan buah sekolah rendah di Batu Rakit, sempena Program Kembali ke Sekolah (BTS) 2022.
Ketua Pegawai Eksekutif INSTEP, Idris Ibrahim, berkata, di antara sekolah yang menerima sumbangan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Pagar Besi, SK Batu Rakit, SK Darat Batu Rakit, SK Maras, SK Pechah Rotan, SK Bukit Wan, SK Lembah Bidong, dan SK Merang.
Katanya, bantuan berbentuk alat tulis, pengimbas suhu, pelitup muka, kit sanitasi dan bahan bacaan STEM (sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik) tersebut merupakan salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) tahunan INSTEP
“Ia membuktikan keprihatinan dan tanggungjawab kami dalam dalam menyumbang kepada agenda kelestarian pendidikan bagi kesejahteraan masyarakat.
“Sumbangan ini diharapkan dapat membantu meringankan beban keluarga dan sekolah di dalam menyediakan kelengkapan persekolahan bagi sesi pembelajaran 2022 serta menyuntik semangat untuk belajar bersungguh-sungguh,” ujarnya kepada pemberita.
Tambah beliau, program tersebut merupakan hasil kolaborasi di antara Badan Kebajikan Islam PETRONAS (BAKIP) dan Jabatan Komunikasi Strategik INSTEP dengan nilai sumbangan berjumlah lebih RM 14 Ribu.
15 Mar 22
616
Waspada Hadapi Kemungkinan Banjir Kilat Akibat Peralihan Monsun
KUALA TERENGGANU, 15 Mac- Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menasihatkan orang ramai terutama yang tinggal di kawasan rendah supaya peka, berwaspada dan bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir kilat susulan fasa peralihan monsun yang dijangka bermula pada semalam sehingga pertengahan Mei ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Md. Nasir Md. Noh berkata, kejadian ribut petir dijangka berlaku dan lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat.
Katanya, situasi itu boleh meningkatkan kejadian banjir kilat dan sangat bergantung kepada keupayaan sungai, sistem saliran, kolam takungan, pintu air, rumah pam, pam mudah alih dan lain-lain infrastruktur banjir sedia ada.
“Orang ramai terutama penduduk yang berada di kawasan rendah dan berhampiran sungai dinasihatkan sentiasa peka, berwaspada dan bersiap sedia.
“Orang ramai juga diingatkan tidak membuang sampah merata-rata dan menjaga persekitaran supaya aliran sungai tidak terhalang,” katanya dalam kenyataan.
Sebagai persiapan, Md. Nasir berkata, JPS sentiasa melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan semua infrastruktur berkenaan secara berkala supaya berfungsi dengan baik termasuk ban dan tebing sungai yang dipantau rapi untuk memastikan tindakan serta-merta dilaksanakan apabila berlakunya kejadian ban pecah atau tebing runtuh.
Menurutnya, JPS turut melaksanakan Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) yang kini telah beroperasi penuh di Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Maklumat lanjut mengenai hebahan amaran banjir, status aras air sungai dan kelebatan hujan di seluruh Malaysia boleh dilayari melalui laman sesawang Public Infobanjir iaitu https://publicinfobanjir.water.gov.my atau memuat turun aplikasi mobile apps, MyPublicInfoBanjir.
15 Mar 22
1187
Sultan Mizan Lancar Buku Sejarah Dan Perkembangan DUN Terengganu
KUALA TERENGGANU, 14 Mac - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli melancarkan buku bertajuk Sejarah Dan Perkembangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di sini, hari ini.
Keberangkatan baginda disambut, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Negeri, YBM Tengku Seri Bijaya Raja, Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Razali Che Ani.
Hadir sama, Ahli Dewan Pangkuan Diraja, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli-Ahli Parlimen serta Ketua-Ketua Jabatan.
Menurut Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, Dato' Yahaya Ali, buku yang dilancarkan oleh baginda Sultan itu sangat besar nilainya baik dari segi sejarah, mahupun nilai estetikanya bagi negeri Terengganu.
“Ia adalah buku kedua diterbitkan oleh DUN setelah buku pertama bertajuk 'Pemantapan DUN - Perkembangan Dan Masa Depan' dilancarkan kira-kira dua tahun lalu.
“Buku ini merupakan himpunan sejarah perkembangan badan legislatif Negeri Terengganu sejak pertama kali diwujudkan secara rasmi pada tahun 1959 iaitu sebaik selesai Pilihan Raya DUN kali pertama selepas negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957,” ujarnya ketika berucap di Majlis Pelancaran Buku Sejarah Dan Perkembangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Primula Beach Hotel, hari ini.
Katanya, dalam tempoh 63 tahun ini, beliau yakin semua pimpinan DUN telah melakukan usaha yang terbaik di zaman masing-masing bagi membina sebuah badan legislatif negeri yang bersifat Islamik sesuai dengan semangat yang terkandung dalam 'Itqanul muluk bi ta'dil as-suluk'.
“Dan pada masa yang sama ia sedang bergerak dengan lebih demokratik, meraikan suara rakyat dan mempunyai hubungan yang inklusif dengan masyarakat,” ujarnya.
Menurut Yahaya, Fasal 26 dan Fasal 44 Undang-Undang Tubuh Negeri atau Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu (Bab Yang Pertama) adalah jelas memperuntukkan kedudukan dan kuasa Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan dalam DUN.
“Saya turut merasa bangga buku yang akan dilancarkan ini sebahagian besar kandungannya memuatkan gambar-gambar istiadat keberangkatan DYMM Sultan di zaman pemerintahan baginda masing-masing.
“Termasuk sewaktu setiap kali pembukaan penggal baru persidangan khususnya bagi menyampaikan Titah Ucapan DiRaja, di mana ianya dibahas dan akhirnya diterima oleh Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi mencapai halatuju pembangunan negeri ini.
“Kandungan buku ini juga turut memuatkan antara lain sejarah perkhidmatan Yang DiPertua (YDP) dan Setiausaha Dewan selain daripada gambar-gambar bersejarah sidang DUN, sejarah perkhidmatan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan sejarah perkhidmatan semua ADUN dari sidang DUN kali pertama hingga keempat belas,” jelasnya.
Tambah beliau, selain dari sejarah bangunan tempat persidangan DUN, cokmar tanda kebesaran dan pakaian rasmi sewaktu persidangan, ia juga turut memaparkan tulisan oleh tokoh-tokoh akademik mengenai sejarah negeri ini, sejarah perlembagaan negeri, pilihanraya dan institusi DUN serta aktiviti-aktiviti pejabat DUN dan YDP DUN bagi turut memantapkan kerajaan,” katanya.
14 Mar 22
650
Proses Bina Tapak Parkir Masjid Gong Tok Nasek Dimulakan
KUALA TERENGGANU, 14 Mac – Pembinaan tapak parkir Masjid Gong Tok Nasek (MGTN) telah dimulakan pada semalam dengan kerja-kerja pembersihan kawasan tersebut.
Pembinaan tapak parkir berkeluasan setengah ekar itu dibuat bagi menyelesaikan isu parkir di masjid tersebut yang terhad dan kos pembinaan akan dibiayai melalui hasil sumbangan orang ramai dengan anggaran RM30,000.
Terdahulu, Kerajaan Negeri Terengganu telah menyelesaikan pembayaran pengambilan tanah kepada penduduk yang terlibat.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Terengganu dibawah kepimpinan Menteri Besar Terengganu, Dato Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang telah meluluskan pengambilan tanah bagi pembinaan ini dan disokong oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.
“Harapan saya agar ianya dapat memberikan keselesaan dan dapat dimanfaatkan oleh masyarakat setempat bagi sama-sama hadir mengimarahkan lagi masjid ini,” kata Pengerusi MGTN, Ustaz Mohd Soud Said kepada pemberita.
Pengerusi MGTN, Ustaz Mohd Soud Said
Menurut beliau lagi, kerja-kerja pembinaan tersebut dijangka akan memakan masa selama 2 minggu.
“Insya-Allah, pembinaan ini dapat memberikan manfaat kepada jemaah masjid khususnya menjelang ketibaan bulan Ramadan nanti yang kebiasaannya akan menjadi tumpuan penduduk setempat,” tambahnya.
13 Mar 22
865
Hampir RM8 Juta Berjaya Disalurkan Manfaat Daripada SBMT
KUALA TERENGGANU, 10 Mac - Skim Bantuan Modal Tani (SBMT) mencatatkan rekod pengagihan dana hampir mencecah RM8 Juta sejak ia mula dilancarkan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata Negeri Terengganu antara satu-satunya negeri yang menyediakan kemudahan bantuan modal seperti ini kepada warga tani, penternak dan nelayan.
"Untuk rekod, sejak SBMT mula diwujudkan pada tahun 2019, sebanyak RM7,658,693 telah disalurkan kepada 424 orang penerima.
"Walau kita akui SMBT ini masih ada kekurangan dan kelemahan yang perlu diperbaiki tapi jangan dinafikan jasa dan sumbangan SBMT kepada warga tani Terengganu dalam menyelesaikan isu masalah kekurangan modal.
Malah, bukan hanya bagi modal melalui SBMT bahkan kita perkukuhkan lagi dengan Kursus Pemantapan Projek bagi menjayakan perlaksanaan projek-projek berjalan dengan sebaiknya dalam satu rantaian lengkap,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Kursus Pemantapan Projek (SBMT) Siri 1/2022 di Pusat Sains Dan Kreatif Terengganu, kelmarin.
Dalam pada itu, beliau turun melawat beberapa tapak projek yang diusahakan petani dan penternak yang terpilih sempena Program Walkabout Projek Usahawan SBMT Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bukit Payong dan Alor Limbat, Marang.
Diantara yang terpilih ialah Suhairi dan Suhaizi, merupakan dua beradik dari Kampung Tok Dir Marang gigih mengusahakan ternakan lembu secara ‘feedlot’.
"Kita telah bagi bantuan modal kepada anak muda bersemangat tinggi ini sebanyak RM60 ribu melalui SBMT Kerajaan Negeri Terengganu. Bantuan dalam bentuk bagi kail dan umpan inilah yang menjadi keutamaan kita berbanding bantuan bagi ikan.
"Manakala Mohd Syafiq dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Limbat Marang juga antara anak muda usahawan tani yang dibiayai dengan dana ini dibawah bimbingan Pertubuhan Peladang Kawasan Bukit Payong Marang.
"Tahniah anak muda ini yang gigih mengusahakan tanaman Cili Sakata atau Cili Minyak sebanyak 1200 polibeg. Harga kini di pasaran RM11/kg,"ujarnya.
09 Mar 22
590