lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Hiwalah Solusi Masalah Pengabaian Nafkah
Hiwalah Solusi Masalah Pengabaian Nafkah
KUALA TERENGGANU, 24 Mac - Pelaksanaan hiwalah boleh menjadi sebagai salah satu cara penyelesaian terhadap masalah pengabaian nafkah oleh bekas suami terhadap keluarganya. Hiwalah merujuk kepada proses pemindahan wang atau hakmilikan melalui akaun bank atau institusi kewangan bekas suami atau bapa yang culas dalam pemberian nafkah oleh pihak Mahkamah Syariah, untuk digunakan bagi melunaskan tuntutan nafkahnya. Hal ini bagi memastikan hak nafkah dan mut’ah bekas isteri serta anak-anak tidak diabaikan oleh seorang bekas suami atau bapa. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor berkata dengan adanya perintah hiwalah, nasib wanita bergelar isteri serta anak-anak lebih terbela. "Secara teorinya kaedah ini sangat bagus untuk membantu mengurangkan atau menyelesaikan masalah nafkah tertunggak, namun untuk pengetahuan sidang hadirin hadirat sekalian proses hiwalah ini agak sulit dilaksanakan kerana kesukaran untuk mendapatkan maklumat pihak suami dari institusi kewangan. "Oleh itu, suka untuk saya mencadangkan agar kaedah hiwalah ini mendapat perhatian pihak yang terlibat, dan memohon agar prosesnya dipermudahkan,"ujarnya. Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan usul menjunjung kasih Titah Ucapan Tuanku Sultan Mizan di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, kelmarin. Walau bagaimanapun masih ramai wanita dari kalangan ibu tunggal yang belum mendapat pendedahan mengenai alternatif bagi menuntut hak mereka dari sudut nafkah. Zuraida mencadangkan agar turut diadakan sebaran ilmu literasi undang-undang bagi memastikan keadilan kepada wanita-wanita Terengganu dapat ditegakkan. Menurut beliau lagi, perintah hiwalah bukanlah semata-mata ingin menghukum bekas suami, namun bersifat mendidik supaya para suami tidak mengambil ringan perihal nafkah dan supaya mereka menjadi lebih bertanggungjawab. Cadangan pelaksanaan hiwalah ini mendapat respon yang positif daripada Kerajaan Negeri Terengganu.
23 Mar 22
536
Libatkan 30 Peratus Wanita Penggubal Dasar  Di Terengganu
Libatkan 30 Peratus Wanita Penggubal Dasar  Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 23 Mac – Penglibatan sekurang-kurangnya 30 peratus golongan wanita sebagai penggubal dasar dalam Kerajaan Negeri perlu disambut dan disokong oleh pelbagai pihak. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor berkata perlu ada persekitaran yang menyokong penglibatan wanita secara aktif, segala bentuk diskriminasi yang menghalang wanita berkecimpung dalam kepimpinan atau pun politik perlu dihalang di samping merancakkan program berbentuk latihan serta pendidikan. Katanya, Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan dasar untuk mencapai sekurang-kurangnya 30 peratus wanita sebagai pembuat keputusan di sektor awam pada tahun 2004 dan di sektor swasta pada tahun 2011.  “Jawatan peringkat pembuat keputusan di sektor perkhidmatan awam di peringkat pusat, iaitu Gred Utama C dan ke atas yang dipegang oleh golongan wanita berjaya melebihi sasaran iaitu 38.2 peratus. “Sebaliknya di Terengganu, golongan wanita yang memegang jawatan utama belum mencapai sasaran 30 peratus. Saya difahamkan ada syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan Kerajaan (GLIC) di Terengganu belum mempunyai wanita sebagai Ahli Lembaga Pengarah. “Oleh itu, pendirian saya tetap konsisten untuk melihat penglibatan 30 peratus wanita sebagai penggubal dasar dalam pembangunan melalui bidang sosial di Terengganu,”ujarnya. Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan usul menjunjung kasih Titah Ucapan Tuanku Sultan Mizan di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di sini hari ini. Zuraida juga berpandangan bahawa program kepekaan gender memainkan peranan penting dalam memberikan pemahaman berhubung kepentingan penyertaan wanita sebagai pembuat keputusan, termasuk sebagai seorang Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen.  
23 Mar 22
327
Gerbang Kerjaya Tawar 3,070 Peluang Pekerjaan
Gerbang Kerjaya Tawar 3,070 Peluang Pekerjaan
KUALA TERENGGANU, 23 Mac - Program Gerbang Kerjaya sempena penganjuran Karnival Usahawan Terengganu (KUAT) 2022 yang bermula esok hingga Isnin depan menawarkan sebanyak 3,070 peluang pekerjaan khususnya kepada rakyat Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, tujuh syarikat akan terlibat dalam karnival itu dan lima daripadanya menawarkan 1,870 pekerjaan di negeri ini. "Antara syarikat tersebut ialah Eastern Steel Sdn Bhd, Malaysia Rail Link Sdn Bhd, Mc Donald's, Encompass Industries Sdn Bhd, APTIV, MyBrush dan Samsung Electronics (M) Sdn Bhd. "Kita harapkan ramai pencari kerja akan hadir sepanjang karnival itu berlangsung dan berjaya mencari pekerjaan yang sesuai dengan kelulusan dan kemahiran mereka," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri (DUN), Keempat Belas, di Wisma Darul Iman, pada semalam. Katanya, selain peluang pekerjaan, karnival yang berlangsung di Dataran Drawbridge itu juga akan mengumpulkan lebih 100 usahawan untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka kepada pengunjung. Beliau berkata karnival itu juga antara salah satu inisiatif kerajaan negeri bagi membantu merancakkan kembali industri pelancongan di Terengganu dengan sasaran 30,000 pengunjung sepanjang ia berlangsung. “Antara aktiviti yang akan diadakan termasuk jualan kenderaan saji, seminar keusahawanan, ceramah agama, 'fun run', mini zoo, 'fun ride', program derma darah dan pertunjukan wau naga,” ujarnya.
23 Mar 22
556
Terengganu Sokong Beku Akaun Lelaki Ingkar Bayar Nafkah
Terengganu Sokong Beku Akaun Lelaki Ingkar Bayar Nafkah
KUALA TERENGGANU, 23 Mac - Kerajaan negeri menyokong penuh langkah Kerajaan Persekutuan untuk membekukan akaun bank lelaki yang gagal membayar nafkah kepada bekas isteri selepas berlaku perceraian antara mereka. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, langkah itu tepat kerana ia akan menjamin kebajikan kaum hawa yang perlu menjaga anak mereka selepas bercerai. "Saya menyokong penuh pandangan yang dikemukakan oleh Kementerian dan diusulkan oleh Perdana Menteri itu, bagi memastikan suami yang ingkar selepas penceraian membuat pembayaran. "Tindakan membekukan akaun bank mereka (lelaki) supaya suami ini faham tanggungjawab terhadap bekas isteri dan anak-anak," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri (DUN), Keempat Belas, di Wisma Darul Iman, pada hari ini. Sabtu lalu, Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, akaun bank bekas suami akan dibekukan jika mereka ingkar perintah mahkamah untuk membayar nafkah kepada bekas isteri. Perkara itu antara yang diputuskan kerajaan sebagai menghargai dan menjaga kepentingan wanita, khususnya yang diceraikan suami. Selain itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga akan mengarahkan bank untuk menyalurkan bayaran yang ditetapkan mahkamah secara terus kepada wanita. Sementara itu, dalam perkembangan sama Hanafiah berkata, di Terengganu kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) menyediakan khidmat biro guaman secara percuma kepada pasangan suami isteri yang berdepan masalah rumahtangga. “Di sana (YPK), kita ada peguam-peguam bagi membela isteri yang ada kes mahkamah. “Biro guaman kita akan bagi nasihat. Saya harap pasangan yang ada masalah hadir ke YPK untuk dapat khidmat nasihat,” ujarnya. Tambah Hanafiah, bagi mengekang kes penceraian ÝPK turut mengadakan program ‘second honeymoon.’ “Kalau di peringkat awal hendak berpisah, mereka dihantar oleh pejabat agama atau LPPKN untuk kita buat ‘second honeymoon’ dengan membawa pasangan ke mana-mana lokasi secara berkumpulan selama tiga hari dua malam dimana program tersebut diselitkan dengan tazkirah, motivasi dan sebagainya. “Selepas mengikuti program ini kebanyakkan menunjukkan reaksi positif dan membuat keputusan untuk tidak berpisah,” katanya.
23 Mar 22
449
Galak Wanita Ceburi Bidang Sains, Kejuruteraan
Galak Wanita Ceburi Bidang Sains, Kejuruteraan
KUALA TERENGGANU, 23 Mac - Kaum wanita digalakkan untuk menceburi bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) secara lebih aktif. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor berkata peratus keterlibatan wanita dalam bidang tersebut jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan kaum lelaki.  Menurut beliau, data daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mendedahkan lebih 70 peratus penyelidik dalam STEM adalah lelaki manakala wanita pula kurang 30 peratus. "Begitu juga di peringkat pengajian tinggi, direkodkan hanya 30 peratus pelajar perempuan memilih untuk menceburkan diri dalam bidang STEM. "Saya mencadangkan agar kerajaan memanfaatkan kewujudan Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) dengan merangka program yang bersesuaian, yang mana kumpulan fokusnya adalah wanita dengan mengambil model daripada MOSTI untuk turut diaplikasi di PSKT. "Suka saya mencadangkan satu insentif khas diberikan buat wanita Terengganu yang menceburi bidang ini," tambahnya. Beliau berkata demikian ketika dalam berucap dalam Perbahasan Ucapan Titah Tuanku dalam Sidang DUN di Wisma Darul Iman, sebentar tadi. Zuraida menegaskan bahawa perlunya wujud usaha untuk menarik wanita bagi menceburi bidang STEM. "Saya teguh dengan pendirian sepertimana yang telah dilontarkan dalam sidang yang lalu, mereka ini wajar mendapat galakan serta diberi bimbangan sebagai pemangkin untuk menceburi bidang ini," ulasnya lagi.  
23 Mar 22
406
Wujud Jawatankuasa Bagi Kelulusan Projek Pelaburan Di Terengganu
Wujud Jawatankuasa Bagi Kelulusan Projek Pelaburan Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 23 Mac – Satu penubuhan jawatankuasa akan diwujudkan pantas bagi memastikan setiap projek pelaburan yang dijalankan di Terengganu dapat diluluskan dengan kadar segera.  Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, alternatif itu diyakini dapat mengatasi masalah yang timbul berkaitan isu kelewatan kelulusan yang lazimnya dialami rata-rata pelabur. “Antara cabaran besar yang selalu dihadapi dalam kalangan pelabur ialah proses mendapatkan kelulusan di peringkat awal hingga kilang didirikan. “Oleh itu, kerajaan negeri akan mewujudkan jawatankuasa fast track yang akan bertindak sebagai pemantau dan membantu dari segi mendapatkan kelulusan cepat daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi sesuatu permohonan pelaburan,” katanya. Beliau berkata demikian  ketika menjawab soalan tambahan Ir Saiful Azmi Suhaili (Pas-Kemasik) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini. Ahmad Samsuri berkata, selain itu elaun cukai 100 peratus daripada nilai perbelanjaan modal turut ditawarkan untuk tempoh lima tahun serta pengecualian duti setem berkaitan pengambilalihan tanah dan pembangunan Tambahnya, kerajaan turut menawarkan beberapa insentif bagi menarik pelabur ke Taman Perindustrian Kertih Terengganu (KTIP) di Kertih termasuk menerusi Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA). Katanya, antara insentif di sektor pembuatan itu ialah pengecualian cukai sebanyak 70 atau 100 peratus untuk satu atau 15 tahun bergantung kepada servis, industri atau produk.
23 Mar 22
228
Kebenaran Buka Puasa Di Kawasan Lapang Dimuktamad 1 April
Kebenaran Buka Puasa Di Kawasan Lapang Dimuktamad 1 April
KUALA TERENGGANU, 23 Mac - Keputusan muktamad berkait kebenaran aktiviti berbuka puasa di kawasan lapang, taman awam dan tepi pantai pada Ramadan tahun ini akan dimuktamadkan seawal-awalnya pada 1 April. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, buat masa ini ketetapan di peringkat Persekutuan tidak membenarkan aktiviti tersebut berdasarkan beberapa sebab. “Pihak kami masih menunggu Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu susulan negara akan memasuki fasa peralihan ke endemik berkuat kuasa 1 April ini, kita tunggu dan lihat apa ketetapan terbaharu nanti sama ada membenarkan atau tidak. “Namun, keputusan yang ada hingga hari ini masih tidak membenarkan, ini kerana kes Covid-19 masih tinggi di samping wujud kluster baharu akibat pergerakan rentas negeri dan kurang pematuhan prosedur operasi standard (SOP),"katanya kepada pemberita. Dalam perkembangan sama, Dr Alias berkata, semua masjid dan surau di seluruh negeri sudah dibenarkan menganjurkan majlis berbuka puasa.  
23 Mar 22
2791
Kerajaan Digesa Tubuh Pusat Pemurnian Akidah, Akhlak
Kerajaan Digesa Tubuh Pusat Pemurnian Akidah, Akhlak
KUALA TERENGGANU, 23 Mac - Cadangan penubuhan Pusat Pemurnian Akidah dan Akhlak, Baitul Iman akan membantu mengatasi masalah ketiadaan pusat pelindungan kepada pesalah syariah wanita Negeri Terengganu. Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor, Mahkamah Syariah memerintahkan pesalah ditahan di suatu rumah kebajikan yang diluluskan oleh Majlis selama tempoh tidak melebihi enam bulan. Namun, masalah utamanya adalah sehingga kini, masih belum ada mana-mana pusat atau rumah yang diluluskan bagi tujuan tersebut dalam Negeri Terengganu. "Sekiranya Mahkamah Syariah Terengganu memutuskan pesalah dikenakan tahanan di pusat pemulihan atau rumah diluluskan, maka pesalah akan dihantar ke Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan, Sabak Bernam, Selangor. "Manakala bagi pesalah lelaki, mereka akan dihantar ke Baitul Iman, Hulu Yam, Selangor," ujarnya. Zuraida berkata demikian ketika dalam berucap dalam Perbahasan Ucapan Titah Tuanku dalam Sidang DUN di Wisma Darul Iman, pada hari ini. Kata Zuraida Kos untuk menghantar pelatih ke sana akan ditanggung oleh pihak Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), dengan kadar RM7,080 bagi tempoh enam bulan untuk seorang pelatih. "Antara rasional mengapa perlunya pusat ini diwujudkan di Terengganu ialah kerana pesalah wanita akan ditempatkan ke pusat pemulihan yang terletak di Selangor yang sudah tentu akan memakan masa perjalanan yang panjang dan jarak yang jauh serta pesalah juga terpaksa dimasukkan ke lokap sebelum dibawa ke pusat pemulihan. "Di samping itu, pesalah berhadapan dengan risiko kemalangan di jalan raya kerana menggunakan pengangkutan darat selain kos tanggungan dapat dijimatkan. "Saya dimaklumkan bahawa kerajaan negeri di bawah Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Ustaz Satiful Bahari Mamat bercadang untuk membina pusat pemulihan akhlak dan aqidah di Marang dan saya mencadangkan agar pusat tersebut turut membawa fungsi sebagai Pusat Pemurnian Aqidah dan Akhlak untuk pesalah wanita, dengan cadangan nama Baitul Iman," katanya.  
23 Mar 22
589
Peniaga Bazar Ramadan Disaran Guna Plastik Mesra Alam
Peniaga Bazar Ramadan Disaran Guna Plastik Mesra Alam
KUALA TERENGGANU, 22 Mac- Peniaga-peniaga bazar Ramadan seluruh negeri Terengganu disaran beralih kepada penggunaan beg plastik mudah urai (biodegradasi) bagi menyambut Kempen Tiada Beg Plastik dan Pemberian Penyedut Minuman Atas Permintaan yang dilaksanakan kerajaan negeri. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pelaksanaan kempen itu adalah kesinambungan pelan hala tuju Malaysia ke arah sifar plastik 2018-2030. "Pelaksanaan kempen diteruskan di hampir 63 bazar Ramadan dengan penglibatan 5,342 orang peniaga. "Semua yang terlibat juga perlu menyediakan alternatif lain seperti menggantikan penggunaan beg plastik dengn beg boleh berulang kali digunakan iaitu 'woven bag', mengamalkan memberi penyedut minuman (straw) berdasarkan permintaan sahaja dan pengunaan straw mesra alam. "Pengunjung juga disaran membawa bega dan bekas makanan sendiri bagi meminimakan penggunaan beg plastik sekali guna," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan kempen berkenaan di Wisma Darul Iman, hari ini. Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr. Alias Razak memaklumkan, kempen tersebut boleh dilaksanakan peniaga dalam pelbagai alternatif. "Kita galakkan peniaga untuk tawarkan plastik mudah urai kepada pelanggan yang tiada beg dengan mengenakan caj yang bersesuaian. "Saya bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) akan turun memantau mana-mana individu yang mengambil kesempatan dengan mengenakan caj bagi plastik sekali guna," katanya kepada pemberita. Menurutnya, bagi jangka masa panjang, kerajaan negeri akan menguatkuasakan penggunaan plastik mesra alam (mudah urai) dalam syarat perlesenan kepada peniaga. Kempen Tiada Beg Plastik merangkumi dua fasa iaitu Fasa 1 bermula pada tahun 2018-2021 yang dilaksanakan pada setiap Jumaat dan Sabtu bertumpu kepada premis kekal seperti pasar raya besar, kedai serbaneka, restoran makanan segera, kefai rangkaian dan farmasi. Manakala, Fasa 2 dilaksanakan lebih meluas kepada jenis premis perniagaan lain termasuk kedai runcit, pasar basah, pasar malam, pasar tani dan sebagainya.
22 Mar 22
598
Bayaran Baiki Taman Ilmu Lebih Mahal Berbanding Kos Bina
Bayaran Baiki Taman Ilmu Lebih Mahal Berbanding Kos Bina
KUALA TERENGGANU, 22 Mac - Kos baik pulih Taman Ilmu di Tembila, Besut memakan belanja sebanyak RM400 juta, jauh lebih tinggi berbanding semasa awal pembinaan projek iaitu RM300 juta. Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, susulan itu, kerajaan negeri tidak bercadang meneruskan pembinaan projek yang terbelengkalai lebih dari 10 tahun itu sebaliknya akan mencari penyelesaian terbaik sebaik urusan perundangan selesai. "Selain memakan kos yang tinggi, ia juga berdepan dengan kes mahkamah. "Setakat ini kita tunggu selesai kes mahkamah dahulu, kerajaan negeri ada dua lagi kes mahkamah pada 22 Mac dan 4 April ini melibatkan saman yang dikemukan kontraktor kepada POSC TI Sdn Bhd. "Tapi kerana syarikat itu telah gulung tikar jadi mereka telah kemukakan saman kepada kerajaan negeri. Kemudian kita juga ada buat lawatan dan diberitahu kos nak baiki projek itu sangat tinggi, jadi memandangkan terlalu banyak isu kita rasa sukar untuk kita lakukan pembangunan semula di situ," katanya. Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sura, Wan Hapandi Wan Nik dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri, Keempat Belas, di Wisma Darul Iman, hari ini. Difahamkan, Taman Ilmu merupakan projek sakit kerajaan negeri yang terbengkalai sejak 2004. Ia merupakan projek pembangunan  Wilayah Ekonomi Pantai timur (ECER) semasa pentadbiran Barisan Nasional bagi menempatkan enam buah institut pengajian tinggi (IPT) dengan melibatkan kawasan seluas 280 hektar. Pada 2013 kerajaan negeri melantik syarikat POSC TI untuk membangunkan semula dan menguruskan  projek Taman Ilmu itu. POSC TI  kemudiannya telah melantik 17 lagi syarikat (sub kontraktor) dibawahnya. Namun menteri besar ketika itu telah menamatkan kontrak syarikat POSC T1. Pada 2016 kerajaan negeri membayar kepada POSCT TI sebanyak RM45 juta selepas syarikat itu mahu menyaman kerana isu penamatan kontrak. Selepas 2018, PAS mengambil alih kerajaan negeri, enam sub kontraktaktor di bawah syarikat POSCT TI meneruskan saman terbabit. Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Satiful berkata kerajaan negeri ada memberi tawaran kepada kepada enam sub kontraktor itu pada 2020 untuk membaik pulih projek tersebut dengan kos bernilai RM24 juta namun ditolak oleh syarikat berkenaan. Pada masa sama beliau berkata ketika ini hanya dua blok bangunan asrama Taman Ilmu yang dapat digunakan dan ia diserahkan kepada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). Justeru katanya, kerajaan negeri juga akan menukarkan tapak bangunan kolej universiti milik kerajaan negeri yang sepatutnya dibina di Taman Ilmu. "Seperti yang kita kata kos itu terlalu tinggi RM400 juta berbanding nak buat kolej universiti dengan kos RM350 juta sahaja baik kita buat di kawasan baharu," katanya. Tambahnya  kolej universiti itu akan ditempatkan di Durian Mentangau, Dungun dan proses pembinaankan akan bermula pada tahun ini juga.
22 Mar 22
2892