lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

77 Peratus Calon Dapat Kerja Di Karnival Usahawan
77 Peratus Calon Dapat Kerja Di Karnival Usahawan
KUALA NERUS, 27 Mac - Seramai 205 calon berjaya menerima tawaran kerja sepanjang dua hari Program Gerbang Kerjaya sempena Karnival Usahawan Terengganu (KUAT)  yang berlangsung di dataran jambatan angkat. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata jumlah itu daripada keseluruhan 265 yang menghadiri sesi temuduga. "Kita harapkan ramai pencari kerja akan hadir sepanjang karnival itu berlangsung dan berjaya mencari pekerjaan yang bersesuaian dengan kelulusan dan kemahiran mereka.  "Sama ada dia pilih untuk duduk dalam atau Terengganu bagi saya ia tidak menjadi masalah. Kita kerajaan mahu menyelesaikan masalah rakyat dengan menyediakan seberapa banyak peluang pekerjaan dan bukan dasar kita untuk bawa rakyat keluar bekerja di luar Terengganu," katanya. Beliau berkata demikian di sidang media selepas Majlis Perasmian Karnival Usahawan Terengganu (KUAT) 2022 di Dataran FoodTruck, Drawbridge, Kuala Terengganu di sini hari ini yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Katanya, program yang bermula pada 24 hingga 28 Mac itu menawarkan sebanyak 3,070 peluang pekerjaan khususnya kepada rakyat Terengganu yang mana sebanyak tujuh syarikat terlibat dan lima daripadanya menawarkan 1,870 pekerjaan dalam Terengganu. Antara syarikat terlibat dalam usaha itu ialah Eastern Steel Sdn Bhd, Malaysia Rail Link Sdn Bhd, Mc Donald's, Encompass Industries Sdn Bhd, APTIV, MyBrush dan Samsung Electronics (M) Sdn Bhd.  
27 Mar 22
806
Harga Makanan : 'Peniaga Bazar Jangan Ambil Kesempatan'
Harga Makanan : 'Peniaga Bazar Jangan Ambil Kesempatan'
KUALA NERUS, 27 Mac - Peniaga di bazar Ramadan dinasihatkan tidak mengambil kesempatan dengan menjual juadah pada harga yang tinggi dan tidak munasabah.  Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro & Hal Ehwal Pengguna Negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, beliau tidak menolak kemungkinan harga makanan di bazar Ramadan tahun ini misalnya kuih-muih dan nasi naik disebabkan beberapa faktor seperti kos tapak dan bahan mentah. Katanya, kenaikan itu juga tidak dapat dielakkan jika krisis Rusia dan Ukraine berlarutan. “Rusia dan Ukraine adalah pengeluar gandum terbesar dunia. Tentunya keadaan ini memberi implikasi kepada peniaga kuih dan roti misalnya. "Walau bagaimanapun, beliau mengingatkan peniaga di bazar-bazar Ramadan supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga makanan terlalu tinggi bagi mengelakkan pengguna terus terbeban. “Orang ramai boleh terus melaporkan jika ada harga jualan yang agak melampau kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan pihak penguatkuasa akan turun ke lokasi dalam masa terdekat," ujarnya. Beliau berkata demikian di sidang media selepas Majlis Perasmian Karnival Usahawan Terengganu (KUAT) 2022 di Dataran Foodtruck, Drawbridge, Kuala Terengganu di sini hari ini. Terdahulu, menjelang Ramadan awal bulan depan, peniaga di beberapa negeri di Malaysia dijangka terpaksa menaikkan harga juadah yang dijual di bazar bagi menampung modal harga bahan mentah yang terus melambung.
27 Mar 22
452
Tasik Kenyir 'Bird Watching Destination' Temukan 40 Spesies Baharu Burung
Tasik Kenyir 'Bird Watching Destination' Temukan 40 Spesies Baharu Burung
HULU TERENGGANU, 27 Mac - Tasik Kenyir yang terkenal sebagai “Kenyir Hornbill Valley” merekodkan tambahan 40 spesis burung menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 336 spesis burung sudah berada di sekitar kawasan itu. Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Datuk Razali Idris berkata spesis burung baharu termasuk yang dikategorikan sebagai terancam kembali berhijrah ke Tasik Kenyir termasuklah burung sewah tekukur besar, burung hantu kuang kuik, burung tukang kelab dan burung sultan tit “Kenyir Hornbill Valley di Bukit Lawit, Tasik Kenyir adalah antara 125 lokasi di Asia Tenggara yang terbaik untuk aktiviti melihat burung. “Burung Enggang juga dapat dilihat dengan mudah di Tasik Kenyir. Lebih menarik lagi, sebanyak 9 spesis burung enggang (Hornbill) terdapat di Tasik Kenyir  termasuk yang terancam iaitu tebang mentua atau helmeted hornbill,” ujarnya dalam sidang akhbar selepas merasmikan program Kenyir Bird & Nature Quest (KBNQ) 2022 di sini, semalam.  Katanya, ini membuktikan bahawa, ekosistem dan alam semulajadi di Tasik Kenyir yang sentiasa terjaga dan lestari menjadi daya penarik kepada burung – burung untuk berhijrah ke lokasi tersebut. Tambah beliau lagi, penganjuran Kenyir Bird & Nature Quest telah melakarkan kejayaan dalam penjenamaan Tasik Kenyir sebagai “Kenyir Hornbill Valley” yang telah tersenarai antara 125 lokasi aktiviti melihat burung terbaik di Asia Tenggara. “Pengiktirafan ini dicapai setelah Tasik Kenyir tercatat dalam salah satu buku pelancongan utama di dunia iaitu The Lonely Planet,” kata Razali.
27 Mar 22
1186
4 Masjid Di Hulu Terengganu Terima Sumbangan JAWI
4 Masjid Di Hulu Terengganu Terima Sumbangan JAWI
  HULU TERENGGANU, 27 Mac - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) memperuntukkan sebanyak RM100 ribu bagi membantu empat masjid, di Hulu Terengganu yang terjejas akibat banjir luar jangka yang melanda pada akhir Februari lalu. Pengarah JAWI, Datuk Haji Mohd Ajib Ismail berkata, jumlah tersebut diperuntukkan bagi membantu Masjid Kampung Gunung,Masjid Kampung Betong,Masjid Kampung Bukit Gemuruh dan Masjid Kampung Padang Setar yang terjejas teruk akibat bencana tersebut. Menurutnya, hasil perbincangan bersama Pegawai Agama Daerah Hulu Terengganu, Muhammad Ash-Shafie Abd Manan, kerosakan karpet dan peralatannya lain memerlukan penyelenggaraan serta mengambil kira bulan puasa yang hampir tiba telah dikenal pasti. "Kami amat simpati dengan bencana banjir ini dan sumbangan RM25,000  ini adalah tanda ingatan daripada kami.  "Saya juga telah menghubungi Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Negeri Terengganu (JHEAT) sekiranya ada keperluan di masa akan datang untuk kita memberi bantuan sebagai tanda keprihatinan," katanya. Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan Banjir Kepada Empat Buah Masjid Di Hulu Terengganu, semalam. Sementara itu ADUN Ajil, Maliaman Kassim, berkata hikmah yang paling besar di sebalik banjir yang berlaku baru baru ini adalah keprihatinan masyarakat luar menghulurkan sumbangan,baik dari segi keperluan, kewangan dan tenaga. "Di samping itu ramai lagi penyumbang dari luar Terengganu yang terus ke lokasi. Kepada mereka juga saya rakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih. "Sumbangan dari JAWI hari ini amat saya alu-alukan, ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban akibat banjir. Kehadiran JAWI membuktikan yang masyarakat Malaysia prihatin dengan nasib masyarakat yang terjejas akibat banjir besar baru-baru ini," katanya.
26 Mar 22
987
Terengganu FC II Menang Mudah Aksi Pertama
Terengganu FC II Menang Mudah Aksi Pertama
KUALA NERUS, 26 Mac- Terengganu Football Club II (Terengganu FC II) menang mudah 3-0 ke atas Perak FC dalam aksi pertama pasukan itu di Liga Premier Malaysia 2022, sebentar tadi. Beraksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), tuan rumah berusaha mencari gol awal dengan asakan berterusan ke kubu lawan. Pada minit ke-12, Engku Muhammad Nur Syakir yang menerima hantaran lintang rakan sepasukan cuba menanduk masuk bola ke gawang, namun tersasar. Tersentak dengan percubaan itu, Perak FC cuba menyerang.  Tiga minit berselang Penyerang Perak FC, Royizzat Daud berjaya menggelecek dua pertahanan tuan rumah sebelum melakukan rembatan dalam kotak penalti, namun Syed Muhammad Nasrulhaq lebih tangkas menampan bola keluar. Memasuki minit ke-22, hasil kesilapan pertahanan lawan, pemain tengah kelahiran Namibia, Petrus Shitembi, yang melakukan 'debut' malam ini berjaya mencatat nama sebagai penjaring menerusi rembatan deras dari jarak 20 meter menewaskan Muhammad Farhan Abdul Majid untuk The Turtle selesa satu gol di hadapan. Terengganu FC II terus mendominasi perlawanan sehingga wisel separuh masa ditiup dan kedudukan kekal 1-0. Bersambung babak kedua, Terengganu FC II tidak menunggu lama untuk menjarakkan kedudukan. Pada minit ke-57, penyerang kesayangan ramai, Jordan Mintah meledak gol melalui tandukan kemas setelah Engku Muhammad Syakir menanduk bola hasil hantaran Shitembi tepat menemuinya. Hanya tujuh minit berselang, Muhammd Syafik Ismail pula menjaringkan gol ketiga pasukan melalui hantaran lintang rendah Engku Muhammad Syakir. Terengganu FC II kekal mendahului 3-0 sehingga tamat perlawanan. Selepas ini, The Turtle akan bertemu PDRM, 10 April ini bagi perlawanan kedua Liga Premier Malaysia 2022.    
25 Mar 22
969
Perumahan Bercampur Ganti Projek Akuapolitan RM180 Juta
Perumahan Bercampur Ganti Projek Akuapolitan RM180 Juta
KUALA TERENGGANU, 24 Mac - Kerajaan negeri membuat keputusan tidak akan meneruskan projek Akuapolitan Kuala Nerus sebaliknya menggantikannya dengan projek lain demi manfaat penduduk. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pembatalan projek yang bernilai RM180 juta pada 2019 itu, bukan keputusan kerajaan Terengganu sebaliknya ia adalah keputusan bersama Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan kerajaan Pusat. “Kerajaan negeri mencadangkan dan telah mendapat kelulusan untuk sebahagian daripada tanah itu dibangunkan dengan projek perumahan bercampur dan juga rumah mampu milik secara penswastaan untuk kita tempatkan kira-kira 67 keluarga yang terlibat dengan pengambilan tanah ketika pembinaan jalan raya di Kuala Terengganu City Centre (KTCC). "Selain itu, kita cadangkan kepada ECERDC untuk bina jeti pendaratan nelayan kerana jeti sedia ada di Pulau Kambing sudah semakin sesak. "Jeti baharu itu nanti lengkap dengan bilik sejuk beku dan kilang air batu untuk kemudahan nelayan di sekitar Seberang Takir," katanya  pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri (DUN), Keempat Belas, di Wisma Darul Iman, hari ini. Difahamkan, projek yang dirasmikan pada 2016 itu, bertujuan mewujudkan sebuah ekosistem perikanan yang bersepadu dan mampan termasuk pembinaan terminal perikanan, pusat pemprosesan ikan, pasar ikan segar dan restoran yang bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat tempatan, malah akan menarik minat pelaburan dalam sektor perikanan, perniagaan, industri hiliran dan pelancongan.
24 Mar 22
698
Terengganu Kini Benarkan Berbuka Puasa Di Tempat Awam
Terengganu Kini Benarkan Berbuka Puasa Di Tempat Awam
KUALA TERENGGANU, 24 Mac – Umat Islam di Terengganu kini dibenarkan berbuka puasa di kawasan lapang termasuk di padang sekitar jambatan angkat atau drawbridge pada Ramadan tahun ini. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak bagaimanapun berkata, mereka perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan. “Pihak kerajaan negeri telah berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM), semalam.dan kelulusan diberikan bagi rakyat negeri ini untuk menjalankan aktiviti berbuka puasa secara terbuka di kawasan lapang, taman awam dan kawasan tepi pantai. “Dalam masa yang sama, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan KKM  juga akan buat pemantauan bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP dan orang ramai diminta melakukan penjarakan fizikal untuk mengelakkan berlakunya penyebaran virus Covid-19,” ujarnya kepada pemberita selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.  Sementara itu, Dr Alias mengingatkan kepada orang ramai yang teruja untuk berbuka puasa berlatar belakangkan pemandangan indah pantai atau jambatan angkat atau ‘drawbridge’,  supaya tidak mencemarkan keindahan kawasan itu apabila segelintir daripada mereka membiarkan sampah berlonggokan. “Tolong buang sampah dan sisa makanan selepas berbuka puasa dan jaga kebersihan kawasan tersebut. “Kerjasama orang ramai diperlukan bagi mengelakkan berlakunya lambakan sampah dan pada masa yang sama petugas penguatkuasa akan terus memantau dan mengenakan kompoun bagi mereka yang membuang sampah merata-rata seperti biasa,” katanya.  Mengenai isu Kanak-kanak berusia bawah 12 tahun ke bawah disaran tidak ke bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri, Dr Alias berkata ia susulan peningkatan kes Covid-19 di kalangan golongan kanak-kanak. “Kita tidak galakkan kanak-kanak masuk ke bazar kerana vaksinasi mereka masih belum lengkap dan ini demi kebaikan bersama namun terpulang kepada ibu bapa untuk menentukannya,” katanya.  
24 Mar 22
1913
128 Ladang Ayam Penuhi Keperluan Rakyat Terengganu
128 Ladang Ayam Penuhi Keperluan Rakyat Terengganu
KUALA TERENGGANU, 24 Mac - Terengganu mempunyai 128 ladang ayam di seluruh negeri yang mampu menghasilkan 3.3 juta ekor ayam bagi satu pusingan pengeluaran atau 17 juta ekor setahun melibatkan lima pusingan. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata pada tahun lalu, sebanyak 30,722 metrik tan ayam telah dihasilkan berbanding 42,880 metrik tan keperluan rakyat negeri ini dengan Tahap Sara Diri (SSL) sebanyak 64.18 peratus.  “Bagaimanapun, Terengganu belum mempunyai ladang ayam penelur dan keperluan telur ayam di negeri ini adalah sebanyak 465 juta biji setahun dibekalkan dari ladang-ladang ayam penelur luar Terengganu,” katanya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Hishamuddin Abdul Karim (PAS-Tepoh) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di sini hari ini. Dr Azman juga berkata kerajaan negeri telah membangunkan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Telaga Papan, Setiu dan TKPM Mengabang Bakong, Kuala Nerus sebagai Zon Penternakan Unggas lengkap dengan infrastruktur asas. Tambah beliau, zon berkenaan merupakan antara langkah kerajaan memajukan industri ternakan ayam di negeri ini. “Dalam masa yang sama, kita mengalu-alukan pemaju yang berminat dalam industri ternakan unggas memanfaatkan ruang lot di TKPM Telaga Papan dan Mengabang Bakong bagi  meningkatkan pengeluaran ayam sekaligus mencapai keperluan ayam di negeri ini. “Kadar sewaan lot tanah itu adalah murah iaitu sebanyak RM200 setahun bagi satu hektar yang lengkap dengan infrastruktur asas seperti jalan serta bekalan elektrik,” katanya
24 Mar 22
719
Lantik Konsesi Tangani Pemendapan Pasir Di Pelabuhan Chendering
Lantik Konsesi Tangani Pemendapan Pasir Di Pelabuhan Chendering
KUALA TERENGGANU, 24 Mac – Kerajaan negeri  telah melantik konsesi penggerukan pasir di pelabuhan Cendering bagi menangani isu pemendapan pasir yang menyebabkan kawasan untuk masuk ke pelabuhan menjadi cetek. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata ia bagi meningkatkan kembali status dan fungsi pelabuhan yang semakin pudar susulan pendaratan semakin kurang. “Kedalaman yang diperlukan oleh vesel laut dalam untuk berlabuh adalah sedalam lima meter, namun pemendapan pasir ini telah menyebabkan kedalaman pelabuhan ini semakin cetek kepada tiga meter.  “Pemendapan ini berpunca daripada benteng breakwater sedia ada tidak berfungsi dengan baik (bocor) jadi kita akan  penggerukan tersebut  dalam masa terdekat,”ujarnya Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri (DUN), Keempat Belas, di Wisma Darul Iman, pada hari ini. Dalam masa yang sama, kerajaan negeri juga bercadang menjadikan  Projek Pembangunan dan Pemerkasaan Pelabuhan LKIM Chendering (PLC) sebagai projek utama dalam permohonan di Bawah Rolling Plan Ketiga (RP3) Tahun 2023 Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12). Dr Azman berkata, permohonan ini melibatkan RM192 juta daripada kerajaan pusat bagi penambahbaikan dan pembangunan pelabuhan itu. “Peruntukan itu melibatkan kerja-kerja menaiktaraf benteng pemecah ombak (breakwater) sedia ada, pembinaan breakwater dan menaiktaraf insfrastruktur  fasiliti yang ada. “Terdahulu,  Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) juga telah melawat PLC ini dalam lawatan kerja beliau di Terengganu pada 24 Januari 2022 lepas bagi melihat sendiri isu serta masalah disini… dan semoga mendapat perhatian daripada kerajaan pusat dengan segera,”ujarnya.  
24 Mar 22
327
Caruman PERKESO Buat Suri Rumah Terengganu
Caruman PERKESO Buat Suri Rumah Terengganu
KUALA TERENGGANU, 24 Mac - Zuraida mengulangi saranan agar kerajaan negeri dapat meneliti cadangan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) buat suri rumah di Terengganu. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berharap agar cadangan yang pernah dilontarkan olehnya dalam Sidang yang lalu, akan segera diperhalusi dan diluluskan. Beliau meletakkan pengharapan yang tinggi agar pihak kerajaan mengambil tindakan sewajarnya agar kebajikan golongan suri rumah terjamin dan terbela. "Peratus komuniti suri rumah di Terengganu mencatat angka 53 peratus di mana peratusannya lebih tinggi berbanding wanita yang bekerja. "Di sini dapat kita lihat betapa golongan suri rumah ini perlu disantuni dan dibantu agar institusi kekeluargaan yang harmoni dapat diwujudkan sekaligus komuniti suri rumah dapat turut menyumbang kepada kemajuan negeri," ujarnya. Zuraida berkata demikian ketika mengambil bahagian dalam Ucapan Perbahasan menjunjung kasih Titah Ucapan Tuanku al-Sultan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam. Beliau berpandangan bahawa para suri rumah harus didedahkan dengan ilmu kemandirian agar lebih bersedia sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini seperti perceraian atau kematian suami. "Untuk makluman ahli dewan, Pemberdayaan Komuniti Suri Rumah adalah Mercu Tanda PITAS2030 (Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030) di bawah Teras Strategik 7; Keterangkuman Kebajikan Rakyat dan Peningkatan Kedayaan Wanita. "Saya ingin mencadangkan kepada semua pihak agar dapat memberi sokongan dalam usaha menjayakan Modul Pemberdayaan Komuniti Suri Rumah," ulasnya lagi. Zuraida menambah bahawa aplikasi modul Pemberdayaan Komuniti Suri Rumah ini juga wajar diberikan kepada golongan lelaki yang merupakan ketua keluarga. Justeru itu, beliau mencadangkan agar elemen kesedaran dan tanggungjawab para suami dalam menguruskan rumahtangga dimasukkan ke dalam siri teks khutbah Solat Jumaat.
23 Mar 22
921