lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

574 Mangsa Banjir DUN Ajil Terima Bantuan RM1,000
574 Mangsa Banjir DUN Ajil Terima Bantuan RM1,000
HULU TERENGGANU, 31 Mac – Seramai  574 mangsa banjir luar jangka di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil  menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) masing-masing semalam. Salah seorang penerima bantuan, Mansor Salleh, 76, dari Kampung Kua di sini bersyukur kerana bantuan wang tunai tersebut dapat mengurangkan beban mangsa banjir sepertinya. Menurutnya, pemberian bantuan itu akan digunakan sebaik mungkin terutama bagi persiapan menyambut ramadan dan membeli keperluan lain yang mengalami kerosakan akibar bencana tersebut. “Gembira dan lega sekurang-kurangnya ia dapat mengurangkan beban kami selepas mengalami banyak kerugian sebelum ini. “Terima kasih kepada kerajaan atas bantuan ini, sekurang-kurangnya ia meringankan beban saya. Alhamdulillah, semua dipermudahkan sepanjang proses mendapatkan bantuan ini," katanya.   Bagi Che Wahab Che Hassan, 83, dari Felcra Insitu Kampung Betong pula, dia sangat menghargai bantuan kerajaan untuk membantu mangsa seperti mereka. “Tidak ada perkataan yang dapat diucapkan selain jutaan terima kasih dan bersyukur kepada kerajaan atas keprihatinan membantu penduduk yang ditimpa musibah dan menanggung kerugian besar selepas banyak barangan dan kelengkapan rumah rosak akibar banjir diluar jangka,"ujarnya lagi. Menyifatkan penyerahan segera bantuan itu sebagai tindakan terbaik kerajaan kerana memahami kesusahan dihadapi rakyat, beliau berkata, penduduk tidak berhadapan kerenah bagi mendapatkan bantuan, hanya perlu mengisi borang dan menyertakan dokumen sokongan kepada JPKK sebelum permohonan diluluskan segera. Seorang lagi mangsa banjir, Yahya Ngah, 78, berkata, keprihatinan yang ditunjukkan kerajaan dalam membantu mangsa banjir amat dihargai apabila menerima jumlah bantuan sehingga RM1,000. “Apabila berlakunya banjir ada diantara kelengkapan rumah yang akan rosak dan perlu diganti baharu, jadi duit ini akan digunakan sebaik mungkin,” katanya. Bantuan tersebut disampaikan oleh ADUN Ajil, Maliaman Kassim pada Majlis Bantuan Wang Bantuan Ihsan Bencana Banjir Daerah Hulu Terengganu Fasa 1 di Masjid Pengkalan Ajal di sini semalam. Sementara itu, Maliaman berkata, seramai 574 mangsa banjir DUN Ajil yang terjejas dalam kejadian pada akhir Februari lalu menerima sumbangan wang ihsan bagi fasa 1. “Dengan sumbangan ini, diharap dapat meringankan bebanan mangsa banjir yang turut mengakibatkan kerosakan harta benda. “Selain sumbangan wang ihsan ini, bantuan mangsa banjir dalam bentuk baik pulih 92 rumah serta membina sebuah rumah baharu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil yang terjejas akibat banjir sudah bermula,"kata beliau. Tambahnya, dana bagi menampung segala perbelanjaan baik pulih berkenaan daripada Kerajaan Negeri,dari orang perseorangan serta hasil sumbangan daripada orang ramai.  
31 Mar 22
327
Kompleks Sukan Hulu Terengganu Dijangka Siap September Ini
Kompleks Sukan Hulu Terengganu Dijangka Siap September Ini
KUALA TERENGGANU, 31 Mac- Pembinaan Kompleks Sukan Hulu Terengganu yang benilai RM50 juta kini hampir siap dan dijangka boleh digunakan September depan. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan Dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pihak kontraktor kini sedang melaksanakan kerja-kerja akhir di kompleks berkenaan yang mula dibina sejak 2015. “Saya dimaklumkan oleh pihak kontraktor sebanyak 95 peratus pembinaan kompleks ini telah siap dan dijangka bulan september akan datang siap sepenuhnya. “Terdapat juga beberapa fasiliti sukan yang telah siap sepenuhnya seperti gelanggang hoki, padang bola sepak, trek olahraga dan gelanggang boling padang,” kongsinya dalam laman facebook rasmi beliau selepas melakukan lawatan ke kompleks tersebut, baru-baru ini. Menurut Wan Sukairi, antara fasiliti sukan lain yang disediakan di kompleks tersebut termasuklah dewan badminton serta gelanggang boling yang mempunyai 12 lorong. “InsyaAllah, mudah-mudahan segala kerja untuk menyiapkan kompleks ini akan berjalan dengan lancar dan dapat digunakan oleh masyarakat tidak lama lagi,” katanya. Sementara itu, beliau turut memaklumkan, Kompleks Sukan Wakaf Tapai yang mula dibina pada Mac 2017 pula dijangka dapat dapat disiapkan sepenuhnya Jun ini. “Alhamdulillah, saya cukup berpuas hati dengan kerja-kerja menyiapkan kompleks ini yang telah hampir siap keseluruhannya.  “Terdapat gelanggang badminton, boling, taman permainan dan tempat rekreaksi, dengan siapnya kompleks ini nanti pasti akan memberi manfaat yang besar buat penduduk sekitar untuk beriadah,” ujarnya.   
31 Mar 22
647
Hamparan Tawarkan Kediaman Mesra Syariah
Hamparan Tawarkan Kediaman Mesra Syariah
KUALA TERENGGANU, 30 Mac- Projek perumahan di Batu Hampar yang dikenali sebagai Hamparan boleh dianggap antara projek penempatan terbaik yang ditawarkan P-Excell Management Sdn. Bhd. (PEM) berikutan menekankan konsep mesra syariah. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan Dan Alam Sekitar negeri, Ahmad Shah Muhamed berkata, PEM yang merupakan syarikat milik penuh Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) akan membina 69 unit rumah teres satu tingkat di atas tanah berkeluasan 4.54 ekar. Katanya, projek perumahan tersebut melibatkan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM17.5 juta yang mana anggaran harga jualan bermula RM250,000. “Projek perumahan ini bukan sahaja menerapkan konsep mesra syariah iaitu seiring kehendak kerajaan negeri dalam Pelancaran Dasar Perumahan Baharu Terengganu yang telah dikuatkuasa pada 1 September yang lalu malah ia juga menerapkan konsep Kejiranan dan Keselamatan yang telah lama diamalkan di Pantai Barat.  “Dengan kata lain, P-Excell tidak hanya menjual rumah tetapi juga menjual konsep kejiranan, malah rumah yang dibina juga diterapkan dengan rekabentuk bercirikan ‘moden tropika’ dan tidak hanya fokus kepada rumah semata-mata tetapi juga kepada seluruh kawasan perumahan tersebut samada daripada landskap, fasiliti seperti jalan dan taman, keselamatan serta pencahayaan jalan belakang juga diutamakan dan konsep ini dipercayai yang pertama di Terengganu,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Majlis Pelancaran Logo Baru P-Excell Management Sdn. Bhd., Pelancaran Projek Batu Hampar Dan Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Bersama Mega Building System (MBS) di Paya Bunga Hotel, hari ini. Katanya, Hamparan merupakan projek kedua PEM selepas Projek Desa Tok Jamal bagi tahun ini. “Projek ini dijangka mendapat sambutan terutama penduduk tempatan malah telah menerima permohonan pembelian walaupun hebahan belum dibuat. “Selain itu, projek ini juga akan merancakkan ekonomi setempat, dan ia juga sebagai memenuhi kehendak rakyat yang memerlukan kediaman,”ujarnya. Tambah beliau, memandangkan kini kos bahan binaan yang meningkat dari masa ke semasa, maka bagi mengatasi masalah ini PEM telah bekerjasama dengan Mega Building System (MBS) iaitu syarikat yang mempunyai sistem pembinaan IBS dimana sistem dapat menjimatkan masa pembinaan dan seterusnya dapat mengawal kos dan harga bahan binaaan tersebut. “Sehubungan dengan itu, PEM telah membuat persepakatan dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi mengunapakai kaedah ini untuk pembinaan projek perumahan di Batu Hampar ini. “Projek dijangka dibina pada suku ketiga tahun ini dan dijangka siap sepenuhnya suku pertama 2024,” katanya.
30 Mar 22
737
Kempen Kesedaran Isu Pembuangan Sisa Makanan Perlu Diperhebatkan
Kempen Kesedaran Isu Pembuangan Sisa Makanan Perlu Diperhebatkan
KUALA TERENGGANU, 30 Mac – Kerajaan perlu melaksanakan langkah-langkah yang lebih efektif dan holistik untuk jangka pendek dan panjang dalam menangani isu pembuangan sisa makanan yang begitu kritikal berlaku di Malaysia.  Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid berkata, usaha tersebut bagi memberi kesedaran kepada masyarakat untuk menghargai makanan dan tidak sewenangnya melakukan pembaziran terutama ketika di bulan puasa. Menurutnya, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) meramalkan peratusan sisa makanan di tapak pelupusan akan meningkat 40 peratus terutama di bazar Ramadan ekoran pembukaan bazar di seluruh negara pada tahun ini. " Perkara ini dilihat sangat mendukacitakan apabila sebanyak 17 juta kilogram sisa makanan daripada 38 juta kilogram sisa pepejal yang dibuang setiap hari iaitu bersamaan dengan tujuh buah kolam renang Sukan Olimpik," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini. Che Alias berkata, beliau  berharap kerajaan akan lebih banyak mengadakan pendekatan secara proaktif bagi memastikan isu pembuangan sisa makanan yang kritikal dapat diselesaikan sekaligus mendidik masyarakat untuk lebih menghargai makanan. Tambahnya, pereputan sisa makanan menyebabkan penghasilan 'Greenhouse Gas' (GHG) dan secara tidak langsung menjadi faktor pemanasan global berlaku. “Tapak pelupusan sisa juga antara punca utama penghasilan gas metana yang merupakan antara gas perosak lapisan ozon utama berbanding gas karbon dioksida. "Oleh itu, kerajaan perlu menyemak semula dari segi dasar, polisi dan pelan pembangunan serta pengurusan sisa makanan agar relevan dengan isu-isu yang berlaku pada hari ini dan mendapat jalan penyelesaian yang lebih inklusif," katanya. Beliau turut menyarankan penyelidikan dan inovasi dengan kerjasama pihak berkaitan untuk mengolah sisa makanan terbuang menjadi baja organik untuk pertanian perlu diperkasakan lagi.  
30 Mar 22
1451
Permohonan Pengeluaran KWSP Bermula 1 April
Permohonan Pengeluaran KWSP Bermula 1 April
PUTRAJAYA, 30 Mac - Pencarum yang berhasrat mengeluarkan simpanan RM10,000 daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di bawah kemudahan pengeluaran khas diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 16 Mac lalu, boleh membuat permohonan melalui portal khas. Dalam satu kenyataan hari ini, KWSP memaklumkan, pemohon boleh berbuat demikian bermula 1 April ini melalui portal pengeluarankhas.kwsp.gov.my yang juga boleh diakses menerusi aplikasi mudah alih i-Akaun. Bagaimanapun, dana persaraan itu menggalakkan pencarum menyemak baki simpanan KWSP mereka melalui i-Akaun, aplikasi mudah alih i-Akaun atau kios KWSP sebelum membuat permohonan pengeluaran berkenaan. "Dalam pengumuman pada 16 Mac lalu, KWSP memaklumkan permohonan untuk pengeluaran itu akan dibuka kepada ahli bawah usia 55 tahun, bermula 1 April ini dan tempoh permohonan berakhir pada 30 April, manakala pembayaran akan bermula pada 20 April ini. "Jumlah maksimum yang boleh dikeluarkan ialah RM10,000 dan minimum RM50. Ahli perlu menggunakan sepenuhnya baki dalam Akaun 2 sebelum mengakses Akaun 1 mereka serta perlu mengekalkan jumlah minimum sebanyak RM100 dalam akaun. "Pembayaran akan dibuat dalam satu bayaran sahaja dan dikreditkan ke dalam akaun bank simpanan atau semasa ahli yang perlu memastikan akaun bank mereka aktif dan bawah nama ahli sendiri. Akaun bersama atau yang didaftarkan di bawah nama syarikat adalah tidak dibenarkan," kata KWSP. Kenyataan itu memaklumkan, pencarum boleh membuat semakan status permohonan bermula 9 April melalui portal pengeluarankhas.kwsp.gov.my. "Pengeluaran khas ini bertujuan membantu ahli yang masih terkesan dengan pandemik untuk memenuhi keperluan mendesak hari ini. KWSP mengingatkan ahli supaya mempertimbangkan jaminan pendapatan mereka pada masa depan dan hanya mengeluarkan simpanan sekiranya benar-benar perlu," katanya. KWSP memaklumkan, pencarum boleh berjumpa dengan pegawai khidmat nasihat ahli di mana-mana cawangan agensi berkenaan di seluruh negara untuk mendapatkan nasihat percuma mengenai simpanan mereka. Maklumat lanjut mengenai kemudahan pengeluaran khas boleh diperoleh dengan menggunakan kemudahan 'Ask ELYA' dalam laman web KWSP di www.kwsp.gov.my, Facebook, Twitter dan Instagram KWSP atau menghubungi Hotline Pengeluaran Khas di talian 03-8922 4848, bermula 1 April ini. BERITA HARIAN
30 Mar 22
413
Sidang DUN Belia Fokus Kepada Enam Teras Pembangunan Belia
Sidang DUN Belia Fokus Kepada Enam Teras Pembangunan Belia
KUALA TERENGGANU, 29 Mac- Persidangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia Terengganu yang akan berlangsung selama tiga hari berakhir Rabu ini memberi fokus kepada enam teras utama termasuk pembangunan pendidikan dan penghayatan agama di kalangan belia negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, belia yang mengambil bahagian dalam persidangan tersebut turut diharap dapat memberi penekanan terhadap pembangunan ekonomi dan kerjaya, pembangunan sosial dan kebajikan, pembangunan wanita dan keluarga, pembangunan kemahiran dan kepimpinan serta pembangunan teknologi maklumat. "Enam teras ini merangkumi permasalahan dan masa depan anak-anak kita. Sekiranya isu-isu ini dapat ditangani dengan baik sudah tentu masa depan mereka lebih terjamin," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Persidangan ADUN Belia Terengganu Siri II di Wisma Darul Iman, semalam. Sementara itu beliau berkata, Dewan Belia menjadi platform untuk berbahas dan memberi cadangan penambahbaikan kepada kerajaan negeri. Tambahnya, usul yang dibentangkan para perwakilan juga menjadi input berharga kepada pihak kerajaan dalam menggubal dasar dan polisi. "Walaupun persidangan ini bukan mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sebenar, ia merupakan platform yang sangat baik kerana ADUN Belia boleh tampil memberikan pandangan dan cadangan dari perspektif belia kepada pihak kerajaan negeri. "Segala perbahasan akan diberikan penekanan oleh pihak kerajaan dalam melaksanakan segala agenda yang berkaitan dengan pembangunan belia Terengganu," ujarnya. Katanya, seramai 33 orang belia terpilih akan mewakili 32 DUN di Terengganu disamping seorang menjadi wakil ADUN Wanita.
29 Mar 22
444
TDM Plantation Kekal  Diiktiraf Pensijilan ISCC EU
TDM Plantation Kekal  Diiktiraf Pensijilan ISCC EU
KUALA TERENGGANU, 24 Mac – TDM Plantation Sdn. Bhd. (“TDMP”), bahagian perladangan TDM Berhad ("TDM" atau "Kumpulan"), sekali lagi menerima Pensijilan Kelestarian dan Karbon Antarabangsa (ISCC) untuk tahun kedua berturut-turut. Pengiktirafan yang diberikan kepada bahagian perladangan TDM Bhd itu berkuatkuasa dari 17 Mac 2022 hingga 16 Mac 2023. Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TDMP, Hamdan Ibrahim berkata, sebelum ini, TDMP muncul sebagai syarikat perladangan pertama di Terengganu diperakui dengan pensijilan ISCC EU pada tahun 2021 berdasarkan audit yang dijalankan ke atas first Gathering Points (FGP) dan kilang minyak sawit atau Oil Mill (OM) milik syarikat. Katanya, pensijilan ISCC EU ini adalah begitu penting, terutamanya buat perniagaan kami, kerana ia kini membuka lebih banyak peluang untuk memanfaatkan efluen kilang minyak sawit (POME) dan membolehkan syarikat mengakses pasaran Eropah.  “Selain daripada pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) dan Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO), pengiktirafan ini akan menjadi perakuan buat syarikat untuk memenuhi permintaan Minyak Sawit Mampan Diperakui (CSPO) dan Isirung Sawit Mampan Diperakui (CSPK) yang semakin meningkat ekoran sentimen dan kesedaran alam sekitar orang awam dan syarikat perniagaan. "Bukan itu sahaja, pensijilan ini juga merupakan cerminan kepada dedikasi kami dalam menghijaukan operasi dan amalan syarikat melalui inovasi dan teknologi bagi mengurangkan jejak karbon dan kesannya terhadap persekitaran di samping menjalankan perniagaan secara bertanggungjawab. “Kami tidak hanya memberi lebih banyak penekanan kepada usaha meningkatkan produktiviti, tetapi juga untuk menambah baik operasi dengan mengurangkan kesan mahupun impak terhadap alam sekitar, memelihara dan melindunginya untuk tahun-tahun akan datang," ujarnya dalam satu kenyataan. Sementara itu, Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin berkata, pihaknya akan terus mengurus dengan teliti impak operasi perniagaan terhadap alam sekitar, memberikan sokongan kepada komuniti di kawasan syarikat beroperasi, dan mengekalkan persekitaran kerja yang selamat ke arah visi syarikat untuk meningkatkan kesejahteraan pihak berkepentingan di samping melindungi alam sekitar. Tambahnya, TDMP juga  bertekad untuk mengurangkan lagi jejak karbon perniagaan dengan selesainya pembinaan dua loji biogas milik syarikat yang dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang suku kedua tahun ini.   
29 Mar 22
456
Perumahan Bercampur Ganti Projek Akuapolitan RM180 Juta
Perumahan Bercampur Ganti Projek Akuapolitan RM180 Juta
Kerajaan Terengganu membuat keputusan tidak akan meneruskan projek Akuapolitan Kuala Nerus sebaliknya menggantikannya dengan projek lain demi manfaat penduduk.
28 Mar 22
206
Lebih 2,000 Penguatkuasa KPDNHEP Pantau Harga Makanan Bazar Ramadan
Lebih 2,000 Penguatkuasa KPDNHEP Pantau Harga Makanan Bazar Ramadan
KUALA TERENGGANU, 28 Mac -   Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Pengguna (KPDNHEP) akan menggerakkan lebih 2,000 penguat kuasa bagi memantau bazar Ramadan di seluruh negara berikutan jangkaan akan berlaku kenaikan harga juadah kali ini. Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid berkata, penguatkuasaan turut dibantu kira-kira 1,000 pegawai pemantau harga bagi memastikan pengguna tidak menjadi mangsa kenaikan harga pihak yang tidak bertanggungjawab. “Kenaikan harga makanan mungkin tidak boleh dielak berikutan perubahan harga bahan mentah di pasaran, namun menjadi satu kesalahan sekiranya keuntungan yang diambil terlampau tinggi. "Peniaga mungkin akan melakukan perubahan harga jual untuk menampung kos dan jika kita terima aduan harga makanan dijual melampau serta tidak munasabah, kita akan lakukan siasatan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011,” katanya. Datuk Rosol menyampaikan penghargaan KPDNHEP kepada presiden KAWAT, Khairul Azlam Mohamad. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Apresiasi Kepenggunaan bersama Media Terengganu di Hotel Paya Bunga, di sini pada malam Ahad. Tambahnya, sebarang penentuan harga perlulah munasabah dengan kos bahan mentah yang terpaksa ditanggung.
28 Mar 22
353
Kerajaan Tambah Tong Atasi Isu Longgokan Sampah
Kerajaan Tambah Tong Atasi Isu Longgokan Sampah
Kerajaan Terengganu sedang dan telah mengambil tindakan segera bagi mengatasai masalah longgokan sampah yang mencemari lokasi-lokasi tertentu terutamanya kawasan tumpuan ramai.
28 Mar 22
119