Artikel "Utama" Terkini
Bekalan Barangan Basah Cukup Menjelang Raya
KUALA TERENGGANU, 25 April - Kerajaan negeri memberi jaminan bekalan barangan basah seperti ikan, ayam dan sayur-sayuran mencukupi menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, rakyat tidak perlu bimbang mengenai perkara itu.
"Kita menjangkakan tidak akan berlaku situasi di luar jangkaan melihat kepada keadaan yang ada serta usaha yang telah dijalankan bagi mencukupkan segala barangan keperluan termasuk membawa masuk sayur dari luar.
"Dengan penyelesaian ini kita mengharapkan agar lebaran pada kali ini dapat disambut dengan baik dan meriah serta tidak akan menjejaskan persiapan untuk menyambutnya lebih-lebih lagi ramai perantau dijangka akan pulang ke Terengganu setelah diberikan kelonggaran," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melakukan tinjauan di Pasar payang Kuala Terengganu, di sini, pada hari ini.
Turut hadir, Pengarah KPDHEP negeri, Saharuddin Mohd Kia dan Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Zulkepli Amin Mat Jusoh @ Yusof.
Mengulas mengenai tinjauan itu, Dr Azman berkata ia bertujuan untuk memastikan barangan keperluan mencukupi bagi memenuhi permintaan rakyat serta harga dipamerkan adalah berpatutan sepanjang ramadan dan Aidilfitri yang bakal disambut nanti.
"Kesemua peniaga mematuhi penetapan harga Skim Harga Maksimun Musim Perayaan (SHMMP) insya-Allah perkara ini akan dipastikan berkekalan dengan pemantauan berterusan oleh penguatkuasa," ujarnya.
25 Apr 22
341
Guru Digalak Sertai YGMB Untuk bela Nasib Waris
KUALA TERENGGANU, 25 April - Para guru digalakkan menyertai Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) bagi membolehkan mereka menikmati pelbagai manfaat antaranya khairat kematian untuk membela nasib waris.
Pengarah Jabatan Pendidikan Terengganu Abdul Muie Ngah berkata, kebelakangan ini ramai individu termasuk guru meninggal dunia akibat pelbagai penyakit berbahaya seperti kanser.
"Saya sentiasa menyarankan guru di Terengganu agar mengambil berat tentang kesihatan dan kebajikan keluarga dan kalau boleh jadilah ahli YGMB," katanya kepada Bernama selepas majlis penyerahan khairat kematian YGMB di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Terengganu di sini, pada Ahad.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YGMB Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, sejak ditubuhkan pada 1994, pihaknya telah menyampaikan sumbangan berjumlah hampir RM25 juta kepada warga pendidik di seluruh negara.
"Setakat ini, kita ada 110,000 keahlian berdaftar terdiri daripada guru, anggota kumpulan pelaksana (AKP) dan pegawai Kementerian Pendidikan dan saya harap lebih ramai yang akan mendaftar dengan YGMB agar lebih ramai dapat menikmati manfaatnya.
"Selain menjaga kebajikan, YGMB juga sangat aktif mengadakan pelbagai aktiviti dengan pejabat pendidikan daerah, JPN dan KPM untuk membantu meningkatkan profesionalisme guru agar dapat berbakti dengan lebih cemerlang sepanjang perkhidmatan mereka," katanya.
Sementara itu, penerima khairat kematian Othman Mohamad, 50, berkata, sumbangan itu sangat bermakna setelah isterinya Norliza Hasan @ Alias yang merupakan guru di Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin di sini, meninggal dunia akibat kanser paru-paru pada 3 November tahun lepas.
Othman yang bekerja sendiri berkata, sumbangan itu akan digunakan untuk keperluan serta pendidikan tiga anaknya yang terdiri daripada dua perempuan dan seorang lelaki, berumur antara sembilan dan 16 tahun. - Bernama
25 Apr 22
414
112 Orang Asli Sungai Berua Terima Bantuan i-Fitri
HULU TERENGGANU, 25 April – Seramai 112 keluarga Orang Asli Sungai Berua menjadi antara 4209 penerima agihan bantuan perayaan i-Fitri Negeri Terengganu 2022 peringkat DUN Telemong, di sini.
Pegawai Penyelaras DUN Telemong, Mohd Safari Abu berkata, bantuan itu merupakan komitmen kerajaan negeri bagi meringankan beban rakyat yang kurang berkemampuan sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.
“Keprihatinan kerajaan negeri menerusi bantuan raya ini akan meringankan beban rakyat golongan B40 dan M40 untuk menyambut hari raya.
“Alhamdulillah, kita layan rakyat dengan adil, tanpa mengira mana-mana fahaman politik, bangsa, agama dan etnik.
"Kita juga tidak akan sisihkan orang Asli dan sumbangan daripada agensi kerajaan akan diteruskan untuk membantu penduduk etnik ini di sini menjalani kehidupan yang lebih selesa seperti rakyat lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Penyerahan Dana i-Fitri Peringkat DUN Telemong di Dewan Besar Majlis Daerah Hulu Terengganu, hari ini.
Turut hadir, Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Telemong, Ustaz Yusuf Abdullah dan Pegawai Jawatankuasa Kebajikan Orang Asli (JAKOA) Sungai Berua, Ghazali Ngah.
Tambah Safari lagi, bantuan RM400 diberikan kepada 4,025 isi rumah miskin manakala RM250 pula kepada 184 isi rumah berpendapatan antara RM2,500 hingga RM5,000 dengan keseluruhan penerima 4,209 isi rumah di DUN Telemong.
25 Apr 22
578
'Jom Baca Bersama 10 Minit' Pupuk Minat Membaca Dalam Masyarakat
Program 'Jom Membaca Bersama 10 minit' yang dianjurkan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) merupakan usaha untuk menarik dan memupuk minat membaca di kalangan masyarakat di negeri ini agar ia dijadikan amalan yang berterusan.
24 Apr 22
330
'Terima Kasih JPKK Bantu Mudahkan Pemberian I-Fitri' - Penerima
Rata-rata penerima i-Fitri di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar berterima kasih kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kerana membantu melancarkan urusan mereka menerima bantuan tunai tersebut .
24 Apr 22
335
Pengguna Diminta Buat Aduan Jika Tertipu Dengan Jualan Murah
HULU TERENGGANU, 24 April - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) meminta orang ramai supaya membuat aduan sekiranya ada peniaga cuba menipu atau manipulasi harga semasa mengadakan jualan murah sempena Aidilfitri.
Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata peniaga yang melakukan kesalahan ini boleh dikenakan tindakan di bawah Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Harga Jualan Murah) 1997.
“Memang ada berlaku peniaga yang menampal harga baharu atas harga lama dan jika ini berlaku, pembeli boleh membuat aduan dan sertakan bukti belian kepada KPDNHEP untuk kita buat siasatan.
“Namun setakat ini kita masih belum menerima sebarang aduan,” katanya ditemui selepas memantau perjalanan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di sebuah pasar raya di Kuala Berang di sini hari ini.
Sementara itu, Rosol berkata pihaknya telah menerima permohonan daripada 12,278 premis perniagaan di seluruh negara untuk mengadakan jualan murah sempena Aidilfitri sejak 3 April lalu.
“Kita juga telah mempermudahkan prosedur penganjuran jualan murah dengan cukup sekadar menghantar notis bukan seperti kebiasaan iaitu perlu melakukan permohonan rasmi yang akan diluluskan dalam tempoh tujuh hari,”ujar beliau.
Dalam masa yang sama katanya, pemantauan oleh 2,200 penguat kuasa dan dibantu kira-kira 1,000 pegawai pemantau harga akan tetap diteruskan walaupun kelonggaran diberikan kepada peniaga bagi memastikan hak pengguna terjamin.
24 Apr 22
245
Permohonan i-Perantau Mula Dibuka Hari Ini
SERDANG, 24 April – Permohonan bantuan tunai ‘one-off’ i-Perantau untuk rakyat Terengganu di perantauan mula dibuka hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata kali ini kerajaan memperuntukkan hampir RM1.5 juta bagi dana khas tersebut yang bakal memberi manfaat kepada 5,000 orang ketua isi rumah.
“Syarat permohonan i-Perantau adalah seperti i-Fitri iaitu bagi ketua isi rumah yang mengundi di Terengganu berpendapatan isi rumah RM5,000 dan ke bawah.
“Saya ingin mengingatkan kepada semua perantau yang layak untuk membuat permohonan secara ‘online’ segera bermula esok (hari ini),” ujarnya kepada pemberita.
Hanafiah turut memaklumkan bahawa bayaran pertama i-Perantau akan mula dibuat pada 15 Mei bermula di zon Lembah Klang serta disusuli zon lain termasuk di Sabah dan Sarawak.
“Kita akan kumpulkan seramai mungkin penerima di Lembah klang dan saya sendiri akan hadir bagi sempurnakan agihan tersebut,"ujarnya lagi.
Inisiatif tersebut diumumkan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam ucapan perasmian Majlis Berbuka Puasa Anak Terengganu Di Perantauan Bersama Kepimpinan Kerajaan negeri di MAEPS, Serdang di sini semalam.
Permohonan i-Perantau boleh mula dibuat dengan melayari pautan ibantuan.terengganu.gov.my dan akan ditutup pada 7 Mei.
Sementara itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai mengambil kesempatan untuk mengalu-alukan kepulangan para perantau ke Terengganu bagi sambutan Aidilfitri dan berpesan agar berhati-hati dalam perjalanan.
24 Apr 22
21410
Ketengah Tubuh Jawatankuasa Tambah Baik SOP
HULU TERENGGANU, 23 April -Satu jawatankuasa khas ditubuhkan susulan dakwaan kes cabul di dalam rumah bot Tasik Kenyir di sini baru-baru ini.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) Datuk Razali Idris berkata, penubuhannya bagi menambah baik prosedur operasi standard (SOP) pengendalian rumah bot dan bot laju di Tasik Kenyir.
Katanya, walaupun insiden berkenaan di luar kawalan operator rumah bot, penambah baikan SOP perlu dilakukan bagi menghindar sebarang perbuatan jenayah sekali gus menjamin keselamatan pengunjung.
Selain itu Razali berkata, SOP itu juga bertujuan bagi mengelakkan insiden sama berulang pada masa depan.
"Walaupun ia kes terpencil dan pertama kali berlaku sejak saya menjadi Pengerusi Ketengah lebih dua tahun lalu tetapi kami amat mengambil berat.
"Sekiranya (kes cabul) benar berlaku, ia perlu ditangani kerana tidak mahu kerana nila setitik, rosak susu sebelanga," katanya ketika ditemui pada majlis Kenyir Bermunajat di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir di sini kelmarin.
Tambah beliau, pihaknya juga akan memanggil semua operator rumah bot dan bot laju pada masa terdekat.
"Kita mahu semua operator dan kru rumah bot dan bot laju di Tasik Kenyir bebas daripada sebarang unsur jenayah termasuk penyalahgunaan dadah.
"Begitu pun, Ketengah secara dasarnya menyerahkan siasatan kes cabul itu kepada pihak berkuasa," katanya.
Terdahulu, seorang penceramah bebas ditahan bagi membantu siasatan kes dakwaan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun pada bulan lalu.
23 Apr 22
553
90 Peratus Pemohon Layak Terima I-Fitri
KUALA TERENGGANU, 23 April - Sekurang-kurangnya 90 peratus pemohon dana khas Aidilfitri, i-Fitri layak untuk menerima bantuan terbabit.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat memberi jaminan individu yang memenuhi syarat untuk mendapatkan i-Fitri tidak akan tercicir.
"Daripada 160,000 pemohon yang isi borang, cuma 10 peratus yang tidak dapat.
"Yang tidak berjaya pertamanya disebabkan pemohon bukan pengundi di Terengganu, kedua penjawat awam sebab kerajaan sudah bagi bonus RM500, yang ketiga nama berulang-ulang.
"Kita tidak kira parti, kita bagi kepada pemohon yang layak, makna kata yang isi borang cukup syarat boleh belaka," ujarnya.
Sementara itu katanya, golongan belia diharap bersabar kerana bantuan Dana Remaja akan dibuat pembayaran pada Julai ini.
"Manakala, permohonan bantuan i-Perantau pula akan dibuka pada minggu hadapan dan pembayarannya akan dibuat selepas raya," ujarnya.
23 Apr 22
3739
Gergasi Merah 'Tenggelam' Di Pantai Timur
KUALA NERUS, 22 April- Terengganu FC mudah menewaskan Selangor FC dalam aksi ni keempat Liga Super Malaysia 2022 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), malam ini.
Beraksi di laman sendiri, pengendali Skuad Penyu Nafuzi Zain mempertaruhkan pemain Filipina, Luke Woodland bagi menggantikan Petrus Shitembi yang cedera dalam perlawanan menentang Sarawak United tempoh hari.
Terengganu FC mempamerkan corak permainan pantas sejak wisel ditiupkan bagi mengulangi kemenangan sulung, hujung minggu lalu.
Pada minit ke-20 penyerang lincah, Faisal Halim yang menerima umpanan Habib Haroon meledak gol pendahuluan setelah menewaskan dua pertahanan sebelum rembatan derasnya melepasi jangkauan Mohd Khairul Azhan.
Selangor FC yang belum tewas musim ini, cuba bangkit namun rembatan leret Herlison Caion setelah menerima lorongan Mukhairi Ajmal berjaya ditepis Muhammad Rahadiazli pada minit ke-26.
10 minit kemudian, tuan rumah hampir menambah jaring berpunca kesilapan Shahril Nazeem mengeluarkan bola, Syafik melakukan volley rendah ke sisi gol.
Keputusan kekal 1-0 pada separuh masa.
Bersambung babak kedua, Red Giant merancakkan serangan dan hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-50, mujur rembatan Mohd Syahir Bashah ditepis Rahadiazli.
Seminit kemudian, rembatan susulan Yazan Al-Arab yang menewaskan penjaga gol berjaya dikeluarkan Muhammad Shahrul Nizam.
Pemain kesayangan ramai, Habib Haroon cemerlang mendominasi kawasan tengah pasukan.
Skuad penyu kembali mendapat tonik pada minit ke-60 apabila Muhammad Syafik Ismail dijatuhkan Yazan Al-Arab dalam kotak penalti.
Kapten pasukan, Tcheche Kipre tenang menyempurnakan jaringan menjarakkan jurang kepada 2-0.
Pelawat terus buntu mencipta jaringan, menjadikan Terengganu FC kekal mengatasi 2-0 sehingga wisel penamat ditiupkan.
Skuad kendalian Nafuzi naik ke tangga ketujuh liga dengan enam mata, menolak Red Giant ke tangga kelapan dengan lima mata.
22 Apr 22
2661