Artikel "Utama" Terkini
Perantau Terengganu Terima Bayaran Pertama i-Perantau
Seramai 650 rakyat Terengganu di perantauan menerima sumbangan kerajaan negeri melalui agihan dana i-Perantau dalam Majlis Sambutan Hari Raya Anak Terengganu di Perantauan,baru-baru ini.
16 May 22
420
Perantau Terengganu Terima Bayaran Pertama i-Perantau
KUALA LUMPUR, 15 Mei- Seramai 650 rakyat Terengganu di perantauan menerima sumbangan kerajaan negeri melalui agihan dana i-Perantau dalam Majlis Sambutan Hari Raya Anak Terengganu di Perantauan, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat menzahirkan rasa syukur dan berpuas hati dengan pembayaran pertama yang dilaksanakan.
Jelasnya, jumlah berkenaan merupakan sebahagian daripada keseluruhan 2,500 perantau yang layak menerima i-Perantau dalam jumlah RM1.5 juta yang diperuntukkan kerajaan.
“Saya sangat berpuas hati dan ramai diantara mereka menzahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan negeri kerana ingat kepada perantau.
“Hakikatnya, selama ini pun idea dan lontaran pemikiran daripada anak-anak rantau ini memang ada kita terima dan laksanakan dalam proses pembangunan dan pentadbiran negeri kita.
“Hari ini, i-perantau juga merupakan idea sebahagian anak rantau yang melihat perkembangan negeri Terengganu selama empat tahun ini, apa yang boleh kita buat kita akan buat,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan yang berlangsung di MAEPS Serdang, hari ini.
Dalam majlis tersebut, gimik penyampaian i-Perantau dirasmikan sendiri Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang hadir meluangkan masa merakam kenangan bersama pengunjung selain meraikan kanak-kanak yang hadir dengan sumbangan duit raya.
Hadir sama, Tengku Seri Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Negeri, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah serta Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital, Ariffin Deraman.
Turut hadir, sebahagian ahli-ahli parlimen Terengganu dan ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selain pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri meraikan sekitar 6,000 anak-anak Terengganu yang berkunjung ke majlis itu.
Menurut Hanafiah, kerajaan negeri telah bersetuju menyampaikan dana tunai i-fitri dan i-perantau yang terhenti berikutan pandemik Covid-19 setelah mengambil kira keperluan lebih besar.
“Sebelum ini, kerajaan negeri terpaksa mengeluarkan beratus juta ringgit untuk menangani kesan pandemik, membantu membasmi dan memutuskan rantaian Covid-19 selain memastikan kesan minimum pandemik kepada rakyat.
“Sehinggakan sambutan raya secara bersemuka juga tidak dapat diadakan dan kerana ini, kerajaan memutuskan tiada dana raya sepanjang dua tahun lepas,” katanya.
Selain itu, Hanafiah memaklumkan pembayaran seterusnya akan diadakan di Johor Bharu pada hujung Mei ini.
Tambahnya, kerajaan negeri juga sekali lagi akan melakukan pembayaran pencen warga emas sebanyak RM600 kepada penerima yang layak pada penghujung Julai ini.
“Sesungguhnya kekayaan yang yang diperolehi akan kita kumpulkan dan akhirnya kita akan sumbangkan kepada kerajaan negeri Terengganu untuk disalurkan kepada rakyat.
“Bagi portfolio saya, sebanyak RM100 juta dibelanjakan pada tahun ini melalui pelbagai aktiviti dan saluran agihan.
“Jadi, kami (kerajaan negeri) amat berharap kepada semua perantau yang telah memberikan komitmen yang tinggi dalam pilihan raya lalu bersiap siaga menghadapi pilihan raya ke-15 dan memberi peluang pimpinan PAS terus mentadbir negeri Terengganu.
“Dalam empat tahun ini, semua perantau telah melihat apa yang telah dibangunkan oleh pentadbiran kerajaan negeri dan kita berharap kepemimpinan ini dikekalkan untuk kita terus membina kemajuan yang dirancang dan sedang dilaksanakan,” katanya.
15 May 22
884
Terima Kasih Kerajaan Terengganu - ILMAM
KUALA TERENGGANU, 12 Mei - Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia (ILMAM) merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas kecaknaan terhadap mahasiswa Islam di Timur Tengah dengan membina asrama baru di Hayyu Sabik.
Yang Dipertua ILMAM Negeri Terengganu, Mohd Ridzuan Mahmud berkata, pihaknya memandang perkara tersebut sebagai satu usaha yang sangat tepat kerana kos penempatan pada ketika ini sangat membebankan pelajar di sana ekoran kenaikan sewa rumah yang sangat tinggi.
"Sekalung syabas dan tahniah kepada Kerajaan Negeri Terengganu di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan, dan Pendidikan Tinggi Negeri Terengganu, Satiful Bahri Mamat dan Yayasan Terengganu.
"Selaku ALUMNI Mesir, kami sangat memahami peranan asrama Terengganu yang banyak membantu kami dalam memberikan khidmat kebajikan kepada pelajar dalam menyediakan prasarana yang sangat memberi keselesaan kepada pelajar," ujarnya dal satu kenyataan, hari ini.
Tambah Mohd Ridzuan, selain tempat kediaman, ia juga berfungsi sebagai medan menghubung dan mengeratkan hubungan sesama pelajar.
"Kami juga menaruh harapan yang sangat tinggi kepada pihak Kerajaan Negeri agar memberikan perhatian yang berterusan kepada mahasiswa- mahasiswa Mesir khususnya bantuan kewangan dan peluang pekerjaan yang lebih luas selepas mereka tamat belajar nanti.
"Mereka ini adalah aset negeri apabila pulang ke tanah air samada dalam bidang pengajian Islam mahupun Sains Kesihatan," ujarnya.
12 May 22
525
JKNT Giat Pantau Produk Kesihatan
KUALA TERENGGANU, 12 Mei- Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) melalui cawangan Penguatkuasaan Farmasi Negeri Terengganu sedang giat menjalankan pemantauan ke atas produk-produk kesihatan di negeri ini.
Pengarah Kesihatan Negeri, Dato' Dr. Kasemani Embong berkata, bagi memastikan pemantauan tersebut berjalan lancar, Program Gerak Gempur Cakna Ubat dianjurkan dengan kerjasama Syarikat Techno Secure Print Sdn. Bhd., iaitu sebuah syarikat kontrak pembekal label keselamatan hologram bagi produk berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia.
"Kerjasama ini diharapkan dapat mendidik pengguna-pengguna produk kesihatan agar lebih peka tentang penggunaan atau penjualan produk yang berdaftar dan kosmetik bernotifikasi dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, Cawangan Penguatkuasaan Farmasi, JKNT telah menjalankan 121 operasi serbuan ke atas pelbagai jenis premis yang beroperasi menjual secara dalam talian produk yang tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi dengan KKM membabitkan 1,287 jenis produk dan kosmetik, " ujarnya dalam satu kenyataan, semalam.
Tambah beliau, jumlah rampasan produk-produk adalah bernilai lebih RM1,100,000 bagi tahun 2020 hingga 2021.
"Berbanding pada tahun 2018 hingga 2019, sebanyak 120 operasi serbuan telah direkodkan membabitkan 1,814 jenis produk dan kosmetik bernilai RM 2,146,754," jelasnya.
Menurut Kasemani, terdapat peningkatan ketara dalam aspek penyaringan iklan perubatan sepanjang PKP berlangsung berbanding sebelum PKP, iaitu 1,238 penyaringan iklan berbanding 670 penyaringan yang dijalankan sebelum PKP.
"Produk-produk tidak berdaftar seperti ubat perangsang seks yang sering mendapat permintaan tinggi sangat memberi risiko yang tinggi terhadap kesihatan pengguna memandangkan kebanyakan produk sebegini turut dicampur palsu dengan racun berjadual seperti sildenafil, " ujarnya.
Katanya, pemilikan dan penjualan produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi dengan KKM boleh disiasat di bawah Akta Jualan Dadah 1952.
"Jika sabit kesalahan hukuman denda boleh dikenakan tidak melebihi RM 25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama bagi individu dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan berikutnya," ujarnya.
Beliau berkata, JKNT mengingatkan agar orang awam supaya tidak menggunakan produk-produk yang tidak berdaftar atau kosmetik yang tidak bernotifikasi dengan KKM.
" Selain itu, orang awam juga boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk atau notifikasi kosmetik melalui laman sesawang https://npra moh.gov.my 1 atau dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-7883 5400, " jelasnya.
12 May 22
714
Terengganu Catat Peningkatan Kes HFMD
HULU TERENGGANU, 11 Mei - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu(JKNT)merekodkan sebanyak 782 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dari awal Januari sehinga 7 Mei lepas.
Pengarahnya, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, kes berkenaan melibatkan 19 wabak HFMD yang berlaku di lima daerah iaitu Kuala Terengganu (lima), Setiu (lima), Hulu Terengganu (tiga), Marang(tiga), Besut (dua) dan Kemaman sebanyak satu kes.
Katanya, HFMD di negeri ini meningkat sebanyak 732.2 peratus jika dibandingkan pada tahun lepas dengan hanya 95 kes.
"Namun keadaan masih terkawal dan sehingga kini tidak ada di taman asuhan kanak-kanak (taska) dan taman didikan kanak-kanak (tadika) yang ditutup.
"Mereka yang dijangkiti HFMD tidak boleh hadir ke taska atau tadika dan sebaliknya boleh hadir seperti biasa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Program Gerak Gempur Cakna Ubat di Dewan Besar Majlis Daerah Hulu Terengganu di sini, hari ini.
Tambahnya, majoriti wabak ini menjangkiti kanak-kanak berusia enam tahun dan ke bawah.
"Oleh sebab itu bagi mengelakkan penularan wabak ini, kita mohon kerjasama daripada dua pihak iaitu taska atau taska serta ibu bapa.
"Bagi ibu bapa, jangan hantar anak mereka ke taska atau tadika jika bergejala dan pihak taska atau tadika pula jangan menerima jika ada kanak-kanak menunjukkan gejala HFMD," ujar beliau.
11 May 22
1108
RTB Felda Selasih; Satu Lagi Janji Dikota
SETIU, 11 Mei – Lot tanah Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) tapak rumah bagi generasi kedua Felda Selasih, Jabi bakal diagihkan kepada para penerima dalam masa terdekat.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata isu permasalahan yang berlanjutan sekian lama ini akhirnya menemui titik pengakhiran setelah terpaksa ditempuhi perjalanan yang sukar.
‘’Alhamdulillah, kita kata dan kita kota. Sebelum ini ramai yang mentertawakan dan menganggap ‘Tok Wakil’ Jabi hanya bermimpi di siang hari untuk selesaikan isu tanah tapak rumah generasi kedua felda ini. Malah, ramai juga yang berkata puluhan tahun kerajaan dahulu memerintah pun tidak dapat selesai, ingat dia ‘power’ sangat boleh selesai.
‘’Benar, bukan mudah mahu keluarkan tanah felda dari Akta Penempatan Berkelompok (GSA) 1960 untuk agihkan kepada anak-anak peneroka," katanya.
Beliau demikian ketika berucap dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Felda Selasih, Jabi, di Dewan Terbuka di sini, semalam.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata, setiap perkara yang dijanjikan dengan sedaya upaya ditunaikan demi untuk kesejahteraan rakyat walaupun terdapat segelintir mengejek dan memerli di atas usaha merealisasikan impian penduduk di sini.
Jelas Azman, keputusan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri yang terakhir sebelum Aidilfitri baru-baru ini meluluskan lot tanah RTB Tapak Rumah Generasi Kedua Felda Selasih beserta nama-nama peserta adalah satu kejayaan manis bagi semua pihak terlibat.
‘’Jalan panjang dan berliku yang dilalui dalam proses sebelum sampai pada tahap ini biarlah disimpan sebagai pengalaman. Senyum di wajah rakyat sudah cukup untuk mengubati segala kepahitan lalu. Yang penting kita telah berjaya merealisasikan sesuatu yang pada awalnya dianggap mustahil. Semua ini kurniaan Tuhanku.
‘’Insya-Allah, dalam seminggu dua lagi kita akan buat majlis undian lot dituruti dengan majlis agihan Jadual 5A. Selepas bayaran premium tanah dijelaskan, akhirnya geran hak milik akan diagihkan,’’ katanya.
11 May 22
567
Kira-kira 5000 Pengunjung Meriahkan Majlis Raya DUN Batu Buruk
KUALA TERENGGANU, 11 Mei – Kira-kira 5,000 pengunjung hadir bagi memeriahkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk, semalam.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi, meskipun telah dua tahun majlis seperti itu tidak diadakan ekoran penularan wabak Covid-19, namun sambutan daripada orang ramai pada tahun ini sangat menggalakkan.
“Saya sangat teruja melihat kegembiraan wajah semua yang hadir pada hari ini dari segenap usia, baik dewasa hingga kanak-kanak.
Kemeriahan sambutan Majlis Hari Raya DUN Batu Buruk
“Program ini dijadualkan bermula pada pukul 10.30 pagi tetapi saya dimaklumkan orang ramai telah mula hadir seawal jam 10.00 pagi lagi.
“Alhamdulillah, makanan yang kita sediakan cukup untuk semua yang hadir,” katanya.
Majlis tersebut dimeriahkan lagi dengan kehadiran Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah, Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim dan pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus.
Turut diraikan dalam majlis itu ialah golongan kanak-kanak yang diberikan duit raya dan disampaikan sendiri oleh ADUN Batu Buruk serta isteri, Dr. Farhaana Husainy Hasbullah.
Antara juadah yang disediakan ialah nasi minyak, ketupat, rendang, laksa Kg. Nibong, sate, kuih muih dan banyak lagi.
11 May 22
689
Generasi Kedua Felda Selasih Terima Berita Gembira
KUALA TERENGGANU, 11 Mei- Kerajaan negeri meluluskan Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Tapak Rumah Generasi Kedua Felda Selasih dan nama-nama pesertanya akan diumumkan dalam masa terdekat.
Berita gembira itu diumumkan sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim semasa Majlis Sambutan Hari Raya di Felda Selasih di Jabi, semalam.
Jelasnya, perkara terbabit telah diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang terakhir sebelum Aidilfitri baru-baru ini.
"Insya-Allah dalam seminggu dua lagi kita akan buat undian lot dituruti majlis agihan Jadual 5A. Di mana selepas bayaran premium tanah dijelaskan, akhirnya geran hak milik akan diagihkan, Alhamdulillah kita kata dan kita kota.
"Sebelumnya ramai yang mentertawakan dan menganggap YB (Yang Berhormat) Jabi hanya bermimpi di siang hari untuk selesaikan isu tanah tapak rumah generasi kedua ini kerana ramai juga yang kata puluhan tahun kerajaan 'dulu ngetoh (memerintah) dok leh selesai," katanya.
Tambahnya, kejayaan itu dianggap manis kerana proses untuk keluarkan tanah felda dari Akta Penempatan Berkelompok (GSA) untuk agihkan kepada peneroka-peneroka agak sukar dilakukan.
"Jalan panjang dan berliku yang ambe (saya) lalui untuk sampai ke tahap ini biarlah disimpan sebagai pengalaman. Senyum di wajah rakyat sudah cukup untuk mengubati segala kepahitan lalu. Apa yang penting, kita telah berjaya merealisasikan sesuatu yang pada awalnya dianggap mustahil," jelasnya melalui hantaran di Facebook rasminya, semalam.
10 May 22
545
500 Mahasiswa Mesir Gembira Terima Penempatan Baru
KUALA TERENGGANU, 8 Mei - Lebih 500 mahasiswa Terengganu di Mesir gembira menerima sebuah bangunan baharu 10 tingkat di Hayyu Sabik selepas beberapa tahun menginap dalam suasana 'suram'.
Ketua Biro Perumahan Keluarga Penuntut Mesir, Muhammad Khairul Anam Ahmad berkata, usaha kerajaan negeri di bawah pimpinan Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri itu merealisasikan impian pelajar Terengganu yang sudah lama memohon kediaman lebih selesa.
"Kami sangat teruja di atas pemberian ini dan sangat berterima kasih kepada kerajaan negeri khususnya kepada Menteri Besar kerana telah hadir sendiri bagi merasmikan bangunan ini.
"Sejujurnya saya sendiri ketika mula-mula datang ke sini pada tahun 2019 ingin menginap di bangunan baharu seperti Wisma Darul Iman ini yang mampu memuatkan lebih ramai pelajar dengan kapasiti 10 tingkat dengan 64 bilik yang mampu menempatkan 256 pelajar dalam satu-satu masa," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi UPDI hari ini.
Sementara itu Ketua pelajar Terengganu di Mesir, Muhammad Munawir Al-Masyhadi M. Shukrimun berkata dengan adanya penempatan baharu itu, ia membantu untuk anak-anak Terengganu menimba ilmu dalam suasana lebih kondusif dan selesa.
"Ia sangat mengembirakan pelajar-pelajar Terengganu di sini yang mana asrama lama sebelum ini tidak mampu lagi menampung jumlah pelajar yang setiap tahun bertambah bilangannya.
"Saya juga mengharapkan agar kalau boleh ditambahkan lagi bangunan baru di masa akan datang untuk memastikan pelajar dari Terengganu ini tidak menghadapi masalah penempatan," katanya.
Seorang lagi pelajar, Muhammad Afifuddin Khalid, turut berterima kasih kepada kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu telah bersusah payah berusaha bagi memastikan masalah yang selama ini dihadapi berkait penempatan dapat diselesaikan.
"Kami mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Menteri Besar, kerana telah bertungkus lumus bagi memudahkan kami di sini untuk terus menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh," ujarnya.
10 May 22
1414
Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri ‘Ustaz Man’ Meriah
HULU TERENGGANU, 9 MEI – Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil hari ini berlangsung dengan meriah dalam suasana Keluarga Malaysia apabila dikunjungi lebih 5,000 masyarakat sekitar Hulu Terengganu.
Pengunjung memenuhi Dewan Sivik Ajil bermula pukul 9 pagi bagi bersama-sama memeriahkan sambutan Aidilfitri.
Pelbagai lapisan masyarakat hadir memeriahkan majlis dengan sajian pelbagai juadah raya tradisi Terengganu seperti Nasi Dagang dan kuih-muih serta dihiburkan dengan nyanyian daripada kumpulan 'Seedrain'.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim berkata, majlis rumah terbuka diadakan kali pertama selepas dua tahun tidak diadakan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan COVID-19 di seluruh negara.
“Sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini seperti biasa setiap tahun dihadiri masyarakat di daerah ini dan Alhamdulillah ramai juga orang luar daerah turut hadir.
“Terima kasih kepada semua yang hadir yang mana makanan dan juadah disediakan oleh JPKK di daerah ini,” katanya di sini hari ini.
Turut hadir memeriahkan majlis Yang Dipertua DUN, Datuk Yahaya Ali dan isteri serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Hilmi Harun.
Dalam pada itu seorang pengunjung, Muhammad Razali, 45, berkata, dia bersama keluarga dan rakan-rakan hadir ke rumah terbuka Aidilfitri DUN Ajil seawal pukul 9 pagi.
Katanya, sambutan Hari Raya kali ini amat bermakna sekali selepas 2 tahun tidak dapat meraikan akibat wabak Covid-19.
“Di sini kami dapat bersama menikmati pelbagai makanan seperti lemang dan ketupat bersama masyarakat selain bertemu dengan ADUN Ajil.
“Kami amat teruja sekali dan berharap sambutan hari raya seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.
09 May 22
833