lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Pengunjung Luar Sanggup Datang Terengganu Meriahkan MRTM
Pengunjung Luar Sanggup Datang Terengganu Meriahkan MRTM
KUALA TERENGGANU, 21 Mei- Tidak hanya rakyat negeri ini sahaja teruja menyambut Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Aidilfitri 2022 yang julung-julung kali diadakan di sini malah turut menarik pengunjung dari luar Terengganu untuk hadir bagi memeriahkan program. Acara yang diadakan selama tiga hari itu telah dibanjiri oleh 70,000 keluarga Malaysia dari seluruh negara yang rata-ratanya ketika ditemui menyatakan keterujaan apabila mendapat tahu ia diadakan di negeri ini sehingga sanggup datang dari jauh. Salah seorang pengunjung dari Shah Alam, Mohd Rizal Fatah, 37 menyifatkan Terengganu sangat beruntung kerana terpilih diadakan acara ini. "Sangat  bertuah, kita dapat lihat pada malam ini ia dihadiri oleh pelbagai bangsa, mungkin kalau diperhatikan betul-betul akan terdapat pelancong luar negara setelah dua tahun tidak diadakan upacara besar sebegini apabila negeri ini menjadi tuan rumah sudah tentu ia menarik minat saya untuk hadir semata-mata ke program ini. "Sebagaimana kita sedia maklum Terengganu kini menjadi ikon pelancongan negara bagi saya sangat sesuai ia dipilih untuk diadakan acara sebegini,"ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) pada program terbabit, semalam. Manakala bagi Azrie Akmal Azami, 24 , pula berkata perjalananya dari kedah ke Terengganu bersama keluarga ternyata berbaloi apabila dapat menghadiri MRTM berkenaan. "Di mana bagi saya majlis ini sungguh meriah, mempersonakan dengan pelbagai aktiviti kesenian dan kebudayaan yang memperlihatkan keunikkan yang ada di negara kita ini, serta dapat bersama dengan pimpinan utama dalam negara. "Dari segi makanan pula semua ada, dan saya apabila datang ke Terengganu ini antara menu utama kegemaran saya yang ada pada malam ini ialah Nasi Dagang, Insya-Allah saya akan ambil masa lama sedikit di sini dimana selepas majlis ini saya akn berkunjung ke tempat-tempat yang menarik di sini, diantaranya kami akan pergi ialah ke Tasik Kenyir,"ujarnya. Sementara itu pengunjung dari negeri ini, Siti Nur Syafikah Mohd Nazari, 27, berkata sangat berbangga sebagai rakyat Terengganu dengan diadakan program tersebut. "Saya dapat tahu program ini melalui hebahan di media sosial dan saya lihat video di lama web kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), sangat kagum terasa bukan seperti di Terengganu ternyata negeri kita ini semakin jauh ke hadapan dan menjadi tumpuan bukan sahaja negara bahkan dunia. "Apabila tiga hari lepas saya melalui 'Drawbrigde' terlihat persiapan program ini, saya sangat teruja 'wow' terasa bukan macam dekat negeri sendiri, terasa sangat bangga apabila 'event' besar sebegini diadakan di negeri kita, malah telah memlih 'Drawbrigde' yang selama ini mercu ini menjadi kebanggan kita semua Semoga ini menjadi permulaan yang baik buat negeri ini dan akan terus berkembang maju dan membangun. "Paling utama, semua yang hadir malam ini tidak hanya dari Terengganu,  ramai dari luar datang dengan kepelbagaian kaum maka aspirasi keluarga Malaysia dapat diterjemahkan,"ujarnya. Dalam pada itu, Mohd Haizat Kama, 30, berkata pada awal mendapat tahu mengenai perkembangan program begini diadakan terdetik kebimbangan kerana selama ini takut berlaku sesuatu di luar jangka yang akan menjejaskan imej negeri Terengganu. "Dimana kita tahu rakyat negeri ini sangat sensitif dengan hiburan-hiburan melampau, namun saya melihat program ini berjaya mematuhi garis panduan hiburan yang ditetapkan, semoga perkara ini akan bertambah baik di masa hadapan. "Dalam masa yang sama dengan penganjuran program ini yang turut diselit dengan hiburan, kesenian dan kebudayaan ini menampakkan bahawa polisi kerajaan tidak menghalang hiburan asalkan patuh syariah serta tidak melanggar syariat yang telah ditetapkan di dalam Islam,"ujarnya.
21 May 22
388
Akur Syarat Ditetapkan Arab Saudi Terhadap Jemaah Haji
Akur Syarat Ditetapkan Arab Saudi Terhadap Jemaah Haji
MARANG, 21 Mei - Malaysia akur dengan kerajaan Arab Saudi yang menetapkan bakal jemaah haji tidak melepasi syarat tak dibenarkan menunaikan rukun Islam kelima itu. Antara syaratnya ialah hanya mereka yang berusia 65 tahun ke bawah sahaja dibenarkan untuk menunaikan rukun Islam, tidak mempunyai penyakit kronik, memiliki sijil vaksinasi Covid-19 dan perlu mengemukakan keputuan negatif ujian calitan (PCR) dalam tempoh 72 jam sebelum berlepas. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, kerajaan Malaysia melalui Lembaga Tabung Haji (TH) tidak menetapkan apa-apa syarat sebaliknya hanya mematuhi keputusan yang telah dibuat oleh negara terbabit. "Kita kena raikan padangan mereka tentang tentang kesihatan ini mungkin untuk mengelakkan berlakunya penularan Covid-19, dan keduanya kerana cuaca di sana agak panas, mereka tentu lebih tahu mengenai keadaan di sana kerana itu kita perlu mematuhinya. "Setakat kini 1,000 jemaah telah menolak panggilan pertama disebakan masalah kesihatan dan selepas ini akan disusuli dengan panggilan seterusnya,"ujarnya. Beliau berkata demikian pada sidang medianya, selepas merasmikan Program Rehlah Till Jannah Siri 1/2022 di Perkampungan Darul Barakah, di sini, pada hari ini.  Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah. Menurut Idris, program Rehlah Till Jannah yang kali pertama diadakan itu telah dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama dengan Yayasan Islam Terengganu. "Usaha berterusan ini dengan memberi mereka kefahaman agama akan mampu untuk mengembalikan mereka kepada fitrah asal,"ujarnya. Antara pengisian program dijalankan selama tiga hari dua malam melibatkan 100 pelatih Perkampungan Darul Barakah ialah memberi pendedahan berkaitan Islam dan HIV, meningkatkan kesedaran beragama dalam kehidupan seharian bagi memantapkan rohani dan spiritual serta memberikan motivasi untuk meningkatkan jati diri untuk terus berjuang menghadapai cabaran dan dugaan mendatang.  
21 May 22
292
KPWKM Sasar Bantu 25,000 Wanita Melalui Inisiatif Wanita Bangkit
KPWKM Sasar Bantu 25,000 Wanita Melalui Inisiatif Wanita Bangkit
KUALA TERENGGANU, 21 Mei - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyasarkan untuk membantu seramai 25,000 wanita melalui Program Wanita Bangkit@KPWKM sehingga Disember ini. Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, sejak dilancarkan tahun lepas, seramai 17,125 usahawan wanita terutamanya suri rumah, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) telah mendapat manfaat menerusi inisiatif tersebut. "Ini merupakan usaha berterusan kerajaan untuk memartabatkan golongan wanita dalam aspek sosio-ekonomi. Pihak NGO dan syarikat serta orang perseorangan adalah amat dialu-alukan untuk melaksanakan program-program bersesuaian untuk manfaat kumpulan sasar khususnya wanita.  "Diharapkan dengan adanya kerjasama ini, golongan yang terjejas akibat pandemik COVID-19 khususnya wanita dapat dibantu dan secara tidak langsung dapat menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan kursus bimbingan perniagaan yang dihadiri 231 peserta program MyKasih Kapital yang merupakan sebuah inisiatif di bawah Program Wanita Bangkit@KWPKM di Hotel Primula, semalam. Katanya, peserta MyKasih Kapital akan dinilai, dipantau dan akan mengikuti kursus-kursus bersesuaian bagi mempersiapkan diri dalam menceburi bidang perniagaan. "Antara bidang yang boleh diceburi bagi memulakan perniagaan seperti e-dagang, dropship, perniagaan kecil-kecilan yang bukan di bawah skim keusahawanan di Kementerian Keusahawan, TEKUN dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM)," ujarnya. Difahamkan, melalui program tersebut juga, peserta menerima RM500 untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan tanpa perlu membuat bayaran balik.
21 May 22
230
KPWKM, KKM Kerjasama Tangani HFMD
KPWKM, KKM Kerjasama Tangani HFMD
KUALA TERENGGANU, 21 Mei- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menangani penularan penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD). Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, walaupun HFMD dikesan banyak berlaku di Selangor, pencegahan perlu dilakukan supaya tidak merebak ke negeri lain. "Kalau kita lihat kes HFMD sekarang ini banyak di Selangor. Tapi kita perlu ambil langkah berjaga-jaga supaya tidak merebak ke negeri lain. "Di peringkat kementerian, kita bekerjasama dengan KKM supaya dapat memantau keadaan di taska-taska. Peringatan akan sentiasa diberikan supaya taska memberi perhatian terhadap isu ini (HFMD)," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Wanita Bangkit@KWPKM di Hotel Primula, semalam. Katanya, pengusaha taska juga perlu sentiasa menitik berat aspek kebersihan dan tidak menerima kanak-kanak yang dikesan memiliki simptom penyakit berkenaan. "Selain itu, ibu juga perlu memainkan peranan menjaga tahap kebersihan anak ketika berada di rumah. "Jika lihat anak-anak ada simptom awal, mungkin ada ruam-ruam merah naik dibadan dan sebagainya elak dari anak ini dihantar ke pusat penjagaan sebaliknya terus mendapatkan rawatan doktor," katanya. Tambah Rina, dengan adanya pencegahan awal bukan sahaja daripada pengusaha taska tetapi ibu bapa dapat mengelakkan penularan HFMD berlaku.
21 May 22
202
Malaysia Terima Lebih 600,000 Warga Asing Sejak Pintu Sempadan Dibuka
Malaysia Terima Lebih 600,000 Warga Asing Sejak Pintu Sempadan Dibuka
KUALA NERUS, 21 Mei - Malaysia menerima 604,457 warga asing sejak pintu sempadan antarabangsa kembali dibuka semula pada 1 April lepas. Perdana Menteri, Dato Seri Ismail Sabri berkata berdasarkan perangkaan Jabatan Imigresen Malaysia, 93.8 peratus atau 567,025 orang daripada jumlah itu adalah pelancong.  "Pertumbuhan positif tersebut memberi kelegaan kepada semua sektor termasuk pelancongan yang merupakan antara penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia," ujarnya. Beliau berkata demikian di Sambutan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2022 di Dataran Drawbridge di sini semalam. Tambah Ismail, ketika pengumuman pembukaan semula sempadan antarabangsa negara, MOTAC telah menyasarkan kemasukan kira-kira dua juta pelancong asing pada tahun ini dengan pendapatan RM8.6 bilion.  Justeru itu katanya, sebanyak RM230 juta dalam Belanjawan 2022 di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan yang memberikan manfaat kepada penggiat seni, budaya dan warisan di bawah sektor pelancongan. 
20 May 22
400
Kesatuan dan Kerjasama Kunci Aspirasi Keluarga Malaysia
Kesatuan dan Kerjasama Kunci Aspirasi Keluarga Malaysia
KUALA TERENGGANU, 20 Mei - Kerjasama dan kesatuan semua pihak tanpa mengira fahaman politik dan kaum adalah kunci utama menjayakan aspirasi Keluarga Malaysia. Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, seluruh kepimpinan negeri persisir pantai itu amat mendokong konsep diperkenalkan Perdana Menteri, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob itu.  "Malah, soal perpaduan rakyat dan penyatuan ummah amat dititikberatkan kerajaan negeri dalam membangunkan Terengganu yang Maju, Berkat dan Sejahtera. "Kunci utamanya adalah kerjasama dan kesatuan tanpa mengira bangsa dan fahaman politik.  "Nikmat perpaduan dan penyatuan ini sewajarnya kita pertahankan tanpa jemu dengan sepenuh jiwa, dan tidaklah pula kita menjadi gunting dalam lipatan memecahkan kekuatan penyatuan kepada cebisan kelemahan," ujarnya. Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Aidilfitri 2022, di Dataran Drawbridge, hari ini. Majlis berkenaan turut dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato' Sri Nancy Shukri, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman dan Tengku Seri Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu. Dalam majlis yang dirasmikan Perdana Menteri itu, Dr. Samsuri turut menegaskan betapa pentingnya memelihara kesatuan yang dibina. "MRTM Aidilfitri 2022 ini adalah sangat bermanfaat untuk menyatukan kita sebagai sebuah Keluarga Malaysia.  "Inisiatif ini bukan sahaja dapat menghangatkan kemeriahan perayaan Aidilfitri umat Islam, malah turut diraikan oleh pelbagai kaum di mana dapat menzahirkan rasa hormat dan meraikan perbezaan budaya antara masyarakat berbilang kaum yang wujud sejak sekian lama di tanah air kita tercinta ini. "Mudah-mudahan dengan komitmen yang padu oleh semua pihak tanpa mengira kaum, tanpa mengira fahaman politik, tanpa mengira pegangan adat dan budaya, nescaya akan dapat menjadi penggerak bagi mencapai aspirasi Keluarga Malaysia yang Maju, Berkat dan Sejahtera," katanya.
20 May 22
378
Kejatuhan Nilai Ringgit Tidak Jejas Sektor Pelancongan
Kejatuhan Nilai Ringgit Tidak Jejas Sektor Pelancongan
KUALA NERUS, 20 Mei - Penyusutan nilai mata wang Ringgit Malaysia tidak memberi kesan kepada industri pelancongan secara keseluruhan di dalam negara. Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Syukri berkata, sehingga kini industri pelancongan masih bertahan walaupun negara kini mengalami kejatuhan nilai ringgit. "Sehingga hari ini dari segi mobiliti pelancong belum menunjukkan kesan negatif dan sektor tersebut  masih lagi berjalan seperti biasa. "Jika kita lihat, berlaku peningkatan tempahan di hotel-hotel dalam negara malah ada yang sudah penuh terutama pada hujung minggu dan musim cuti persekolahan," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita di Rewang Raya dan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2022 di Masjid Seberang Takir di sini hari ini. Dalam pada itu, Nancy berkata, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) memberikan pelbagai subsidi bagi mengurangkan beban dan menggalakkan  pelancong domestik untuk bercuti di dalam negara dalam fasa endemik. "Antara subsidi yang kita berikan adalah diskaun baucar hotel, penerbangan, pengangkutan darat, spa dan semua yang berkaitan dengan pelancongan," katanya. 
20 May 22
296
MRTM Rancakkan Ekonomi Terengganu
MRTM Rancakkan Ekonomi Terengganu
KUALA NERUS, 20 Mei - Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Aidilfitri 2022 yang julung kali diadakan di Pantai Timur mampu menjadi nilai tambah kepada ekonomi kerajaan negeri Terengganu. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata program anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) itu tampil dengan pelbagai program menarik, bermula sejak semalam sehingga hingga 21 Mei ini. "Terengganu akan menjadi tumpuan seluruh negara dengan pelbagai pengisian selama tiga hari MRTM berlangsung. "Saya percaya pelbagai produk yang dipamerkan sepanjang program jelas menunjukkan negeri ini mempunyai  produk dan seni budaya yang sangat unik untuk orang ramai mengenali dan menikmatinya," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita di Rewang Raya dan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2022 di Masjid Seberang Takir di sini hari ini. Tambah Ahmad Samsuri, secara tidak langsung, MRTM membantu melonjakkan nilai tambah produk yang ada sekali gus meningkatkan ekonomi di negeri ini.
20 May 22
247
Ringgit Lemah : Penggiat Pelancongan Dinasihat Jangan Naikkan Harga
Ringgit Lemah : Penggiat Pelancongan Dinasihat Jangan Naikkan Harga
KUALA NERUS, 20 Mei - Para penggiat pelancongan dalam negara dinasihatkan tidak ghairah menaikkan harga pakej percutian mereka susulan senario kelemahan nilai ringgit yang berlaku ketika ini. Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Syukri berkata, tindakan itu boleh merencatkan permintaan dalam sektor berkenaan. "Kita menyarankan mereka (penggiat pelancongan) supaya tidak mengambil kesempatan kepada pelancong, sebab kita sama-sama mempunyai satu misi iaitu mahu melihat Malaysia lebih maju dari sudut ekonomi. "Jadi sama-sama kita tolong satu sama lain, jangan  ketatkan lagi peluang orang lain bercuti sebaliknya giatkan lagi rezeki masing-masing melalui sektor pelancongan," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita di Rewang Raya dan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2022 di Masjid Seberang Takir, di sini hari ini. Jelas Nancy, pihaknya sukar untuk mengawal sekiranya ada pihak yang masih mengambil peluang untuk menaikkan harga namun ia bergantung kepada pelancong itu sendiri. "Kita minta kebijaksanaan pelancong sendiri untuk menilai dan mereka boleh melihat sendiri perbandingan kerana sekarang semua atas talian jadi boleh lihat sendiri dari segi harga mana yang terbaik. "Kadang-kadang mereka memilih untuk harga mahal dengan kualiti terbaik. Oleh sebab itu, kita serahkan kepada mereka untuk menilai dan memastikan mereka memilih dengan bijak," tambahnya.
20 May 22
80
HFMD Di Terengganu Terkawal
HFMD Di Terengganu Terkawal
KUALA TERENGGANU, 19 Mei - Kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Terengganu  masih terkawal walaupun ia menunjukkan peningkatan hampir 10 kali ganda bagi tempoh 1 Januari hingga kelmarin. Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dato’ Dr Kasemani Embong berkata, setakat 17 Mei lalu, 1,182 kes dilaporkan berbanding hanya 103 kes dalam tempoh sama tahun lalu. Bagaimanapun katanya, tiada keperluan menutup taman asuhan kanak-kanak (taska) dan taman didikan kanak-kanak (tadika) negeri ini walaupun berlaku peningkatan kes. “Arahan penutupan taska dan tadika akan dilakukan sekiranya berlaku penularan yang teruk. "Kita akan melihat situasi mengikut keadaan di satu-satu taska. Kalau kata taska itu memang ada penularan yang teruk, kita akan buat arahan tutup. "Tetapi setakat ini, di Terengganu, kita kekal dengan 19 taska yang terbabit dan kesemuanya beroperasi seperti biasa," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Jururawat Peringkat Negeri Terengganu yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor di Dataran Batu Burok, hari ini. Menurut Dr Kasemani, jangkitan HFMD di kalangan bayi dan kanak-kanak negeri ini tidak serius dan tiada pesakit yang dimasukkan ke wad setakat ini dengan kesemuanya hanya dirawat sebagai pesakit luar.  
19 May 22
326