Artikel "Utama" Terkini
Kerja Baik Pulih Jalan Aring-Kenyir Bermula November
Kerja-kerja pembaikan Jalan Aring-Kenyir yang runtuh akibat hujan lebat hujung tahun lepas dijangka bermula November ini.
15 Jul 25
63
Baik Pulih Jalan Runtuh di Batu Rakit Dijangka Siap Oktober
Projek pembaikan jalan dan tebing runtuh bernilai RM4.95 juta di Batu Rakit yang rosak akibat musim Monsun Timur Laut, kini menunjukkan kemajuan memberangsangkan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Oktober ini.
15 Jul 25
43
Baik Pulih Jalan Runtuh di Batu Rakit Dijangka Siap Oktober
KUALA TERENGGANU, 14 Julai – Projek pembaikan jalan dan tebing runtuh bernilai RM4.95 juta di Batu Rakit yang rosak akibat musim Monsun Timur Laut, kini menunjukkan kemajuan memberangsangkan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Oktober ini.
Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi berkata projek yang dibiayai menerusi Sistem Maklumat Rekod-rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) itu dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
"Kami meninjau projek ini yang dilaksanakan susulan runtuhan sepanjang 280 meter akibat cuaca buruk tempoh hari.
"Kerja-kerja ini dibuat bagi menyelamatkan pantai dan jalan yang ada di kawasan terlibat," katanya ketika sidang media semasa meninjau tapak projek di Kampung Tanjung Batu Rakit, di sini semalam.
Turut hadir Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia, Dato’ Ir. Roslan Ismail, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail.
Menurut Alexander, setakat 15 Jun 2025, kemajuan fizikal projek telah mencapai 45.37 peratus iaitu 18 hari lebih awal daripada jadual, manakala kemajuan kewangan pula mencecah RM3.03 juta daripada jumlah keseluruhan RM4.95 juta, sekali gus mencerminkan tahap pelaksanaan yang sangat memuaskan.
"Saya diberi taklimat bahawa progres sangat baik dan bakal siap awal dari jadual.
"Mengikut prestasi kewangan pun mengikut seperti yang sepatutnya, ini boleh dikatakan terbaiklah," jelasnya.
Beliau menjelaskan projek pembaikan ini dilaksanakan oleh syarikat SR Tech Resources bermula 8 April dan dijadual siap pada 7 Oktober 2025, justeru semua pihak terutama kontraktor diminta meneruskan kerja sehingga selesai sepenuhnya.
"Kita berharap bila tiba bulan Oktober nanti, ia akan siap dengan sempurna.
"itu penting, kita mahu kerjasama semua pihak sampai projek ini siap sepenuhnya," tambahnya.
Dalam masa sama, projek pembinaan benteng pemecah ombak atau breakwater yang dijalankan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut dilaksanakan bersebelahan kawasan sama, sebagai pelengkap kepada usaha menyeluruh menangani hakisan pantai.
"Adapun kerja-kerja breakwater di belakang kita ini, ia merupakan kerja di bawah JPS.
"Kedua-dua projek ini kita harapkan akan menangani masalah runtuhan pantai," ujarnya.
Menurut beliau, teknologi Cresmet Concrete yang digunakan untuk membina struktur tebing di lokasi itu dipilih kerana terbukti mampu menahan ombak secara 'modular' berdasarkan kajian khusus terhadap faktor ombak dan bentuk pantai.
"Saya difahamkan ia akan terbukti dan berkesan untuk menahan ombak.
"Semua itu sudah diambil kira, sebab itu reka bentuk tebing sebegitu," jelas beliau.
Beliau turut menyeru penduduk agar terus bersabar, memberikan kerjasama, dan mematuhi semua arahan keselamatan demi memastikan kelancaran pelaksanaan kerja serta keselamatan bersama.
"Saya amat menghargai kesabaran dan sokongan rakyat.
"Kerana inilah kunci kepada kemudahan awam yang selesa dan selamat untuk semua," ujarnya.
14 Jul 25
213
Kerja Baik Pulih Jalan Aring-Kenyir Bermula November
KUALA NERUS, 14 Julai – Kerja-kerja pembaikan Jalan Aring-Kenyir yang runtuh akibat hujan lebat hujung tahun lepas dijangka bermula November ini.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu, Ir. Dr. Hasli Ibrahim berkata, kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM36 juta bagi pelaksanaan projek tersebut.
"Buat masa sekarang peruntukan untuk pelaksanaan projek tersebut telah diluluskan kerajaan sebanyak RM36 juta.
"Sekarang sudah di peringkat reka bentuk akhir dan perolehan akan berlaku, mengikut rancangan kita, projek tersebut akan dimulakan pada November nanti,” katanya dalam sidang media selepas sesi lawatan kerja Menteri Kerja Raya.
Runtuhan berlaku sepanjang 100 meter di laluan berkenaan akibat hujan lebat musim tengkujuh hujung tahun lalu, menyebabkan jalan ditutup kepada semua jenis kenderaan sehingga kini.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia, Dato’ Ir. Roslan Ismail.
14 Jul 25
1439
Terengganu Tuan Rumah Persidangan Ortodontik Antarabangsa Kali Pertama
KUALA TERENGGANU, 14 Julai - Buat kali pertama, Terengganu telah terpilih bagi Persidangan Saintifik Antarabangsa & Pameran Perdagangan Persatuan Ortodontis Malaysia (MAOISCTE) Kali Ke-31, sekali gus mencatat sejarah tersendiri dalam bidang kesihatan pergigian negeri.
Menteri Besar, Dato' Sri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri menyokong penuh inisiatif ke arah amalan pergigian yang lebih lestari, inklusif dan berteraskan teknologi.
Menurutnya, pendekatan tersebut selaras dengan usaha dalam memperluas akses perkhidmatan kesihatan pergigian yang adil dan menyeluruh, khususnya kepada komuniti luar bandar.
"Tema tahun ini, 'Kelestarian Dalam Bidang Ortodontik' sangat bertepatan dengan arus pembangunan kesihatan masa kini yang bukan sahaja menekankan kecemerlangan klinikal, tetapi juga kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan sosial.
"Terima kasih kerana memilih Terengganu menjadi tuan rumah bagi Persidangan Saintifik Antarabangsa & Pameran Perdagangan Persatuan Ortodontis Malaysia Kali Ke-31 buat julung kalinya," katanya.
Dalam usaha memperkukuh jaringan profesional dan perkongsian ilmu dalam bidang berkenaan, persidangan yang diadakan di Primula Beach Hotel di sini berjaya menghimpunkan pengamal ortodontik dari lima buah negara termasuk Malaysia.
Himpunan delegasi daripada luar serta dalam negara bagi MAOISCTE Kali Ke-31 itu jelas menjadikan persidangan pertama di seluruh pantai timur kali ini lebih signifikan dan berprestij.
"Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua delegasi dari dalam dan luar negara, khususnya tetamu utama dari Itali, New Zealand, Korea Selatan dan Taiwan yang turut hadir dalam persidangan berprestij ini.
"Selamat datang ke Terengganu. Negeri kaya warisan, indah budayanya," ujarnya menerusi satu hantaran di laman sosial media rasminya, semalam.
Dalam pada itu, beliau turut menyuarakan harapan agar persidangan ini menjadi pemangkin kepada perkongsian ilmu yang lebih luas, merintis inovasi baharu serta memperkukuh jaringan profesional demi manfaat rakyat dan kemajuan negara.
14 Jul 25
231
Hubungan Baik Negeri, Persekutuan Beri Manfaat Kepada Rakyat
Hubungan erat antara Kerajaan Negeri Terengganu dan Kerajaan Persekutuan dilihat mampu membawa manfaat besar kepada rakyat, khususnya dalam aspek pendidikan dan pembangunan negeri.
14 Jul 25
23
Persekutuan Wajib Salur Peruntukan, Bukan Atas Dasar Ehsan
KUALA TERENGGANU, 13 Julai – Pembahagian hasil dan tanggungjawab antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu difahami dengan tepat agar tidak timbul kekeliruan mengenai kedudukan sebenar negeri dalam kerangka Persekutuan Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim menegaskan bahawa segala bentuk peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan kepada negeri termasuk negeri yang tidak sehaluan politik merupakan tanggungjawab berasaskan perjanjian persekutuan, bukannya ihsan atau pertimbangan politik.
“Apabila negeri-negeri menyertai Persekutuan Malaysia pada tahun 1963, segala hasil mahsul seperti minyak, gas, hutan, cukai dan sumber semula jadi diserahkan kepada Kerajaan Pusat. Maka berdasarkan perjanjian tersebut, terdapat lebih 13 jenis pemberian yang wajib disalurkan semula kepada kerajaan negeri.
“Kita tidak pernah menafikan pemberian tahunan yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada semua negeri, termasuk negeri pembangkang. Malah, negeri-negeri seperti Pulau Pinang menerima jumlah yang lebih besar. Namun, perlu ditegaskan bahawa pemberian ini bukanlah satu bentuk belas kasihan atau kemurahan hati PMX sebaliknya, ia adalah tanggungjawab mengikut perjanjian persekutuan,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial rasminya, kelmarin.
Beliau menegaskan bahawa pemberian itu tidak wajar dijadikan modal politik, seolah-olah negeri perlu berterima kasih atas ‘kebaikan’ kerajaan pusat.
Tambah beliau, negeri hanya mempunyai akses kepada hasil daripada tanah, hutan dan air, manakala kutipan utama seperti cukai pendapatan, duti kastam, saman, denda, dan pelbagai jenis cukai lain dikutip dan disalurkan terus kepada kerajaan pusat.
“Realitinya, hasil cukai menjadi tunjang kepada kewangan negara dan negeri. Semua hasil seperti cukai LHDN, lesen, saman polis, duti setem, duti kastam dan sebagainya masuk ke Persekutuan.
“Negeri pula hanya bergantung kepada hasil tanah, hutan, air serta cukai premis. Ke mana perginya hasil minyak dan gas daripada Terengganu dan Kelantan, kita semua sudah maklum,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Dr. Azman turut mencadangkan agar semakan semula kadar pemberian kepada negeri-negeri dibuat, bersandarkan kepada peningkatan kutipan hasil negara yang sebahagiannya disumbangkan oleh negeri-negeri seperti Terengganu dan Kelantan.
“Kita tidak mempersoalkan jika negeri seperti Selangor dan Pulau Pinang mendapat peruntukan lebih besar kerana mereka mempunyai hasil yang tinggi. Namun, negeri lain juga berhak menerima kadar yang adil dan setimpal dengan sumbangan mereka kepada ekonomi negara,” katanya.
Kenyataan beliau itu sebagai reaksi terhadap kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang sebelum ini menyatakan bahawa pembangunan di Kelantan akan terus ketinggalan tanpa peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan seolah-olah membayangkan bahawa kemajuan negeri bergantung kepada pertimbangan politik pusat semata-mata.
“Asas pembentukan negara ini perlu difahami secara tuntas agar peranan dan tanggungjawab antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri tidak dipolitikkan. Kedua-duanya mempunyai bidang kuasa dan fungsi yang wajib dihormati,” tegas beliau.
13 Jul 25
861
Terengganu Terus Komited Memperkasa Pembangunan Sukan
KUALA TERENGGANU, 13 Julai – Kerajaan Negeri Terengganu terus komited memperkasa pembangunan sukan melalui pelbagai inisiatif di bawah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) demi memastikan kelangsungan prestasi atlet dan kemudahan sukan yang mampan serta inklusif.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurus MSNT yang dipengerusikannya pada Selasa lalu.
Menurutnya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi tahun ini untuk melaksanakan beberapa projek penting, termasuk menaik taraf Litar Latihan MiniGP dan Pocket Bike, serta pembinaan baharu gelanggang futsal, pickleball dan sukan padel.
“Pembangunan sukan di Terengganu bukan sahaja memberi fokus kepada atlet elit, malah turut merangkumi penyediaan infrastruktur yang memberi manfaat kepada pembangunan akar umbi dan generasi muda,” katanya menerusi satu kenyataan.
Jelas beliau, pihaknya turut membincangkan persediaan awal kontinjen negeri bagi menghadapi Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dan PARASUKMA Selangor 2026.
Sehubungan itu katanya, sebuah pasukan khas telah ditubuhkan dan segala perancangan akan dikemas kini secara berterusan.
Tambahnya lagi, program sukan berprestasi tinggi bagi atlet Para juga akan dikendalikan oleh MSNT, sebagaimana arahan terkini daripada KBS.
“Walaupun begitu, kerjasama erat bersama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu (JBSNT) akan terus diperkukuh dalam usaha melahirkan lebih ramai atlet para yang berpotensi.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Terengganu, KBS, Majlis Sukan Negara (MSN) dan JBSNT atas sokongan berterusan mereka.
“Kerjasama erat antara kerajaan negeri dan agensi persekutuan amat penting bagi memastikan Terengganu kekal cemerlang dalam bidang sukan dan seterusnya menyumbang kepada kecemerlangan sukan negara,” katanya.
13 Jul 25
348
Hubungan Baik Negeri, Persekutuan Beri Manfaat Kepada Rakyat
KUALA TERENGGANU, 14 Julai – Hubungan erat antara Kerajaan Negeri Terengganu dan Kerajaan Persekutuan dilihat mampu membawa manfaat besar kepada rakyat, khususnya dalam aspek pendidikan dan pembangunan negeri.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan kesyukuran atas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pelaksanaan Program Tuisyen Rakyat dengan peruntukan RM5.27 juta sebagai projek rintis yang dimulakan di Terengganu, melibatkan seramai 9,408 pelajar.
“Kita berasa amat teruja dan terharu dengan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri. Saya difahamkan Menteri Pendidikan sendiri turut terkejut dengan pengumuman itu,” katanya kepada media.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Penutup Program Madani Rakyat di Pasar Payang semalam, yang disempurnakan oleh Perdana Menteri.
Mengulas lanjut, beliau berkata inisiatif itu diyakini dapat membantu meringankan beban kewangan ibu bapa serta membuka peluang kepada pelajar untuk mengikuti kelas tuisyen secara percuma, sekali gus meningkatkan tahap pencapaian akademik pelajar di negeri ini.
Tambahnya lagi, pelaksanaan program itu memerlukan penyelarasan rapi antara pihak sekolah dan Jabatan Pendidikan Negeri, agar manfaatnya dapat dirasai secara menyeluruh merangkumi pelajar cemerlang, sederhana dan juga yang tercicir.
“Kesemua kumpulan ini harus diberikan perhatian secara seimbang agar tiada yang tercicir daripada menerima manfaat di negeri Terengganu ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Dr Ahmad Samsuri turut menyatakan bahawa kerajaan negeri sentiasa mengemukakan permohonan peruntukan pembangunan berdasarkan keperluan semasa, termasuk bagi projek-projek di luar Rancangan Malaysia.
“Alhamdulillah, walaupun perinciannya belum diperincikan dari segi lokasi dan jenis projek, yang lebih penting ialah wujudnya hubungan baik antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat kerana kedua-duanya saling memerlukan,” ujarnya.
13 Jul 25
63
Kecurian Kabel Jejas Projek ECRL
BESUT, 11 Julai – Isu kecurian kabel yang berlaku di beberapa jajaran projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pihak pelaksana termasuk Kerajaan Negeri kerana dikhuatiri menjejaskan kelancaran pembinaan serta proses pentauliahan projek nasional berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, insiden itu sememangnya berlaku dan perlu ditangani segera agar tidak memberi kesan negatif terhadap jadual 'testing and commissioning'.
“Apabila kita uar-uarkan isu kecurian kabel ini, ia membuka mata banyak pihak agar lebih berwaspada dalam memastikan kelangsungan projek nasional ini.
“Kita telah mengenal pasti kawasan-kawasan ‘titik panas’ dan mengambil tindakan dengan melantik beberapa perkhidmatan kawalan keselamatan untuk pemantauan serta mempergiat rondaan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan bersama Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ke Tapak Cadangan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) ECRL di Jerteh, kelmarin.
Tambah beliau, usaha pemantauan dan penguatkuasaan yang dijalankan sejak tiga bulan lalu telah menunjukkan pengurangan kes kecurian.
“Harapan kita adalah untuk memastikan momentum pembinaan ECRL dapat diteruskan tanpa gangguan,” ujarnya.
Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata pihak Kerajaan Negeri akan meminta semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pihak berkuasa tempatan termasuk Majlis Daerah supaya bekerjasama dengan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam memantau sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan projek.
“JPKK boleh menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa, bukan untuk mengambil tindakan, tetapi bagi memerhati dan melaporkan segera sekiranya terdapat sebarang aktiviti luar biasa,” katanya.
11 Jul 25
134