Artikel "Utama" Terkini
PM Bantu Mangsa Kebakaran Kampung Cina
KUALA TERENGGANU, 23 September - Nasib 12 mangsa kebakaran di Kampung Cina di sini, turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob apabila menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM1,000 setiap seorang hari ini.
Bantuan tersebut disampaikan oleh Setiausaha Politiknya, Datuk Mohammad Anuar Mohd. Yunus.
Mohammad Anuar berkata beliau diarahkan oleh Perdana Menteri yang ketika ini berada di luar negara atas urusan rasmi untuk menyantuni mangsa yang terlibat.
"Saya dimaklumkan pelbagai bantuan awal telah diberikan kerajaan negeri dan hari ini saya mewakili Perdana Menteri menyampaikan sedikit sumbangan tanda ingatan daripada beliau
“Difahamkan juga, lokasi kebakaran yang terletak di bawah tanah berstatus Lesen Kependudukan Sementara (TOL) menyukarkan bantuan disalurkan oleh kerajaan negeri.
"Selepas ini, saya akan berbincang dengan Perdana Menteri tentang kaedah sesuai bersama agensi-agensi lain untuk menghulurkan bantuan berikutnya yang diperlukan mangsa kebakaran," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mewakili Ismail Sabri melawat mangsa kebakaran di Kampung Cina, di sini, hari ini.
Terdahulu, Mohammad Anuar diberi taklimat ringkas oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Md. Hilman Abd. Rashid.
Dalam kebakaran kira-kira jam 8.15 malam Sabtu lalu, sebanyak 12 bangunan termasuk kedai pakaian, emas dan kedai makan, terbakar dipercayai akibat sistem pendawaian usang dan tidak teratur.
23 Sep 22
1252
RM242.97 Juta Diperuntukkan Bagi Projek Pemuliharaan Muara Sungai Dungun
DUNGUN, 22 September - Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM242.97 juta bagi Projek Pemuliharaan Sungai Dungun untuk menangani masalah pemendapan, kesukaran pelayaran dan banjir di muara sungai tersebut.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pelaksanaan projek pemuliharaan muara itu akan bermula pada 26 September 2022 dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 54 bulan iaitu pada 25 Mac 2027.
Katanya, ia melibatkan kerja pengorekan alur navigasi, pembinaan struktur pemecah ombak, pembinaan struktur dinding penahan lapis lindung pantai, pembinaan groin dan pembinaan lampu tanda arah suar.
"Projek ini menjadi keutamaan pihak kami kerana melibatkan lebih seribu nelayan dan kawasan industri pelancongan negara.
"Apabila siapnya projek pemuliharaan tersebut, ia akan mengurangkan kesan banjir di kawasan yang sering berlaku bencana itu, memudahkan pergerakan keluar masuk nelayan dan pihak kami juga akan mengekalkan pantai yang sedia ada.Ini semua akan memanfaatkan hampir 5,000 penduduk tempatan," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Projek Pemuliharaan Muara Sungai Dungun, di Dewan Sivik Bijangga, Kuala Dungun, di sini hari ini.
Menurutnya, sebelum ini, muara Sungai Dungun dikatakan tidak selamat untuk navigasi bot nelayan dan bot pelancongan ke Pulau Tenggol terutama semasa musim Monsun Timur Laut apabila angin kencang dan gelombang kuat menyebabkan kerosakan bot dan risiko kehilangan nyawa.
Selain itu, pemendapan di muara sungai turut mengurangkan keupayaan sungai untuk mengalirkan air ke laut dan mengakibatkan banjir.
Tuan Ibrahim juga berkata, sebanyak 21 projek telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dengan kos keseluruhan berjumlah RM1.55 bilion di Terengganu.
“Projek ini merangkumi kerja-kerja mengawal hakisan pantai, memulihara muara sungai, membangun lembangan sungai bersepadu dan menebat banjir,”ujarnya.
Tambahnya lagi, KASA juga telah memohon 20 lagi projek tambahan baharu di bawah Rolling Plan Ketiga (2023) RMKe-12 bagi seluruh negeri Terengganu.
22 Sep 22
1394
KASA Kenal Pasti 50 Lokasi Bagi Bina Empangan Sabo
DUNGUN, 22 September - Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mengenal pasti 50 lokasi berisiko insiden kepala air di seluruh negara bagi membina empangan kecil di tempat berbukit atau Empangan Sabo.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pembinaannya berupaya mengurangkan impak banjir serta kejadian kepala air atau aliran puing di kawasan tersebut.
Katanya, empangan Sabo ini adalah empangan kecil dalam aliran sungai itu, dan apabila berlaku insiden seperti kepala air, kayu akan tersekat, tidak akan menghilir.
“Keadaan itu akan membantu dalam mengelakkan kemusnahan besar kepada kawasan di bawah seperti yang terjadi dalam tragedi kepala air yang kerap berlaku di beberapa kawasan sekiranya hujan lebat,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Projek Pemuliharaan Muara Sungai Dungun, di Dewan Sivik Bijangga, Kuala Dungun, di sini hari ini.
Dalam masa yang sama, Tuan Ibrahim turut mengarahkan semua jabatan dan agensinya membuat pemantauan persiapan banjir yang dijangka tiba tidak lama lagi.
Beliau berkata tindakan itu diambil bagi memastikan semua aset dapat digunakan sekiranya berlaku banjir nanti.
“Ini termasuk pemasangan pam air, penyelenggaraan pintu air dan kerja-kerja mendalamkan kawasan takungan air di kawasan berisiko banjir di seluruh negara.
“Di kawasan rekreasi juga, kita arahkan memasang siren amaran banjir untuk memberi maklumat awal kepada pengunjung supaya mereka bersiap sedia,”ujarnya.
22 Sep 22
340
Terengganu Perkenal Biasiswa Khusus Buat Pelajar B40
PUTRAJAYA, 21 September – Kerajaan negeri menerusi Yayasan Terengganu (YT) dan Terengganu Incorporated (Terengganu Inc) memperkenalkan biasiswa khusus untuk pelajar cemerlang keluarga B40 bagi membolehkan golongan terbabit melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi tanpa bebanan kewangan.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, program biasiswa YT-TI Young Talent Scholarship Programme tersebut direalisasikan menerusi anak-anak syarikat Kumpulan Terengganu Inc dengan peruntukan sebanyak RM500,000.
Katanya, program itu dijangka akan bermula dengan permohonan atas talian pada 26 September ini buat lepasan STPM, STAM, Matrikulasi dan Asasi mengikut terma dan syarat yang telah ditetapkan.
"Kerajaan Negeri menyedari cabaran dihadapi ibu bapa bagi melanjutkan pelajaran anak-anak mereka iaitu kos pendidikan pengajian yang tinggi. Oleh itu, biasiswa ini dibentuk dan merangkumi pelbagai kos pendidikan seperti yuran pengajian, elaun sara hidup, elaun peralatan dan buku serta pemberian peranti IPad.
“Bagi manfaat jangka panjang, tajaan tersebut berperanan untuk pembangunan modal insan dengan bakal melahirkan golongan professional dan mengisi jurang pekerjaan di Terengganu, pada masa akan datang.
"Ini adalah kali pertama anak syarikat kerajaan negeri dan YT bekerjasama memberi biasiswa buat pelajar cemerlang, peruntukan ini adalah untuk permulaan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Terengganu Inc memeterai memorandum perjanjian (MoA) dengan YT di Le Meridien, Putrajaya hari ini.
Sementara itu, Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, biasiswa peringkat pengajian Ijazah Sarjana Muda (Ijazah pertama) berkenaan dibentuk bagi memastikan anak Terengganu yang berkelayakan dapat melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara.
"Biasiswa khas tersebut juga mampu mengurangkan beban kewangan bagi para pelajar yang mengambil jurusan releven seperti bidang Kepintaran Buatan (AI), Sains Data (Big Data), Undang-undang, Muamalat, Sains Kesihatan (Fisioterapi), Pengurusan Korporat dan Perladangan.
"Langkah ini direalisasikan dengan komitmen anak-anak syarikat Kumpulan antaranya TDM Berhad, Golden Pharos Berhad, GPQ Sdn Bhd, Tl Properties Sdn Bhd, Chicken Cottage Limited serta Permodalan Terengganu Berhad," katanya.
MoA itu ditandatangani oleh Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanudin Hilmi Mohamed @ Harun; Pengarah Eksekutif TDM Berhad, Najman Kamaruddin; Ketua Pegawai Eksekutif Golden Pharos Berhad, Dr. Mohd Zaki Hamzah; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif GPQ Sdn Bhd, Azmi Mat Ali; Ketua Pegawai Eksekutif TI Properties, Khalilzan Mahmud dan Pengarah Permodalan Terengganu Berhad, Muhammad Ramizu Mustafa yang mewakili Terengganu Inc.
Manakala, Yayasan Terengganu diwakili oleh Pengarahnya, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham sambil disaksikan oleh Ahmad Samsuri, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat dan Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja.
21 Sep 22
2410
Air Terjun Kenyir Keruh Bukan Kerana Pembalakan
Aktiviti pembalakan bukan menjadi punca keindahan Air Terjun Sungai Lasir di Tasik Kenyir keruh dan berkeladak.
21 Sep 22
144
Dua Sekolah dari Kemaman Terima Anugerah Sekolah Lestari
KUALA NERUS, 21 September - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Baru Kerteh dan Sekolah Kebangsaan (SK) Mak Lagam menerima persijilan Sekolah Lestari sempena Anugerah Alam Sekitar (SLAAS).
Kejayaan itu menyaksikan kedua-dua sekolah terbabit menerima wang insentif sebanyak RM2,000.
Wakil Guru SMK Kampung Baru Kerteh, Rusliza Mohd Arsad berkata, penyertaan itu secara tidak langsung memberikan kesedaran kepada pihak sekolah dan generasi baru tentang kepentingan penjagaan alam sekitar.
"Antara idea yang kita ketengahkan ialah mengenai sistem tadahan air hujan, baja kompos, mewujudkan lorong Program Pencegahan Dadah (PPDa) dan juga mengadakan laman sejahtera.
"Kita telah memulakannya pada tahun lepas, selepas ini akan banyak lagi aktiviti yang akan dibuat, antaranya akan melabelkan pokok-pokok tanaman dan sebagainya dalam usaha untuk melestarikan sekolah serta menjaga alam sekitar.
"Sewajarnya program ini diadakan secara berterusan supaya nilai-nilai murni dapat dipupuk dalam kalangan diri pelajar agar sebati, apa yang dapat di sekolah tidak berakhir begitu sahaja sebaliknya menjadikan mereka lebih bertanggungjawab apabila berada di luar dari sekolah," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika Program Sambutan Hari Ozon Sedunia 2022 dan Majlis Penganugerahan Sekolah Lestari Peringkat negeri, di Dewan Cenderawasih, Pejabat Daerah Kuala Nerus, di sini, semalam.
Perasmian program berkenaan telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato' Dr Alias Razak.
Sementara itu, Guru Besar Sk Mak Lagam, Siti Mariam Mat Zain sangat berterima kasih kepada Jabatan Alam Sekitar kerana menganjurkan program demikian dan turut menyatakan perasaan teruja kerana telah diberikan anugerah tersebut.
"Ini merupakan satu penghormatan, ivovasi yang telah kami lakukan ialah mewujudkan ruang-ruang pemimpin-pemimpin Islam, karyawan Islam yang boleh diakses melalui kad khas dan lampu-lampu yang telah dicipta melalui sistem yang kita ada dan setiap murid yang berjaya menghasilkan sesuatu akan dapat bermain satu permainan iaitu membawa treler secara maya.
"Program ini kita libatkan semua murid, guru dan seluruh komuniti dengan mengadakan pembelian barang-barang kitar semula seperti botol plastik, pakaian terpakai, minyak terpakai, barang e-waste yang kemduiannya kita jual balik dan gunakan untuk membantu menjayakan setiap program ini dalam masa yang sama menanamkan semangat mencintai alam sekitar.
"Untuk peringkat kebangsaan nanti kami akan buat yang terbaik untuk berjaya menjadi johan pula di peringkat tertinggi itu nanti,"ujarnya.
Dalam pada itu, Penolong Pengarah Unit Pusat Kokurikulum Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Hashimi Ismail yang juga telah bertindak selaku ahli panel penilai menyatakan beberapa kriteria telah ditepati oleh dua sekolah berkenaan yang melayakkannya menerima anugerah lestari itu.
"Iaitu dinilai dari sudut aktiviti kurikulum dan Kokurikulum yang melibatkan guru, murid dan semua pihak sekolah iaitu melibatkan kegiatan di dalam kelas serta di luar bilik darjah, usaha penghijauan yang dilakukan serta terdapat beberapa elemen khas yang ditampilkan,"ujarnya.
21 Sep 22
2509
Mangsa Kebakaran Terima Bantuan Awal RM1,000
Mangsa yang terbabit dalam kebakaran rumah kedai sederet di Jalan Bandar, Kampung Cina di sini menerima bantuan kewangan berjumlah RM1,000.
20 Sep 22
384
18 Nelayan Ceroboh Perairan Terengganu Ditahan
Jabatan Perikanan Terengganu berjaya menahan 18 nelayan berpengkalan di Pahang kerana melanggar syarat lesen apabila menceroboh Pantai Merchang bagi melakukan aktiviti penangkapan hasil laut.
20 Sep 22
98
18 Nelayan Ceroboh Perairan Terengganu Ditahan
KUALA TERENGGANU, 20 September - Jabatan Perikanan Terengganu berjaya menahan 18 nelayan berpengkalan di Pahang kerana melanggar syarat lesen apabila menceroboh Pantai Merchang bagi melakukan aktiviti penangkapan hasil laut.
Pengarahnya, Ruzaidi Mamat berkata 16 daripada nelayan berkenaan merupakan warga Myanmar yang didapati tiada permit dan dua daripadanya merupakan warga tempatan.
Tegasnya, kesemua nelayan yang ditahan itu akan diambil tindakan lanjut melalui siasatan mengikut undang-undang terhadap empat vesel zon C pukat tunda.
"Kita telah bertindak atas aduan yang diterima daripada nelayan berkait isu pencerobohan ini kemudiann kita mengadakan tindakan penguatkuasaan melalui cawangan konservasi dan perlindungan perikanan hasil daripada penguatkuasaan yang telah kita kita lakukan pada jam 12 malam tadi.
"Kita telah menyita sebanyak lapan tan hasil laut yang bernilai kira-kira RM40,000 dan jenis kesalahan didakwa (disiasat) mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu mengkap ikan kurang daripada 12 batu nautika.
"Kedua, mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 bersalah kerana menangkap ikan kurang dari dari 12 batu nautika dari perairan negeri lain serta dibawah seksyen yang sama kerana melakukan kesalah menggunakan kru asing tanpa kebenaran ketua Pengarah Perikanan Malaysia,"ujarnya.
Beliau berkata demikian, ketika ditemui pemberita di sidang medianya mengenai kejayaan menahan empat buah vesel tempatan negeri pahang itu, di Jeti Nelayan Pulau Duyong, di sini semalam.
Tambah beliau, antara lain kesalahan dilakukan nelayan terbabit ialah turut melanggar akta perikanan di bawah Peraturan-Peraturan Perikanan (Kawasan Larangan) (Rantau Abang 1991).
"Kesemua mereka ini ditahan di perairan Rantau Abang kira-kira enam hingga lapan batu nautika daripada pantai dan ini merupakan kes yang ke-38 yang telah melanggar Akta Perikanan 1985 yang dikendalikan di bawah Jabatan Perikanan Malaysia Terengganu.
"Ketika operasi dijalankan tidak hadapi apa-apa masalah cuma didapati satu bot pernah melakukan kesalahan yang sama sebelum ini, dimana kes ini jika berulang lagi boleh dibawa ke mahkamah untuk menentukan tindakan yang lebih berat dan tegas terhadap pemilik dan juga kru,"katanya.
Tegasnya lagi, pihaknya tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak sama ada vesel kelas c dimiliki oleh nelayan tempatan atau asing yang menceroboh perairan Terengganu demi kepentingan 6,000 nelayan Terengganu.
"Seboleh-bolehnya kita akan cuba melindungi perairan negeri ini dari dicerobohi, demi untuk dimanfaatkan oleh nelayan kita, dimana selama ini kita telah berusaha memperkayakan sumber dengan melabuhkan unjam dan tukun-tukun yang telah dilaburkan bagi menambah stok ikan di perairan negeri ini," ujarnya lagi.
19 Sep 22
646
Mangsa Kebakaran Terima Bantuan Awal RM1,000
KUALA TERENGGANU, 19 September - Mangsa yang terbabit dalam kebakaran rumah kedai sederet di Jalan Bandar, Kampung Cina di sini menerima bantuan kewangan berjumlah RM1,000.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, mangsa yang terdiri daripada 12 peniaga itu juga turut ditawarkan lokasi perniagaan sementara di Pasar Besar Kedai Payang.
“Saya telah keluarkan arahan kepada pegawai kita untuk berbincang dengan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bagi membenarkan mangsa kebakaran tersebut berniaga buat sementara di Pasar Besar Kedai Payang.
“Di samping itu, kerajaan negeri sedia mempertimbangkan bantuan wang tunai RM25,000 untuk mereka membina semula premis perniagaan atau menerima rumah baharu bernilai RM60,000 di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT),” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kesan kebakaran tersebut di Kampung Cina di sini, hari ini.
Bagaimanapun katanya, beliau telah mengarahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk membuat laporan terperinci mengenai kebakaran tersebut sebelum dihantar kepada Sektariat Tabung Darul Iman untuk sebarang keputusan penyerahan bantuan dilakukan.
“Kita akan tengok apa bantuan yang sesuai memandangkan sebahagian mereka duduk di atas tanah kerajaan.
“Untuk yang mendiami tanah sendiri pula tiada masalah, biasanya kerajaan akan bagi rumah PPRT, tetapi dalam kes ini disebabkan mereka peniaga dan sekiranya tidak mahu rumah kediaman, kita akan mempertimbangan untuk memberikan wang tunai,” ujarnya.
Terdahulu, laporan media memaklumkan dalam kebakaran yang dipercayai berlaku jam 8.15 malam tadi, 12 rumah kedai serta kedai setingkat jenis separuh kekal membabitkan kedai kain, kedai jahit, kedai membuat kunci, kedai makan, kedai emas dan rumah penginapan musnah dijilat api.
Kebakaran itu menyebabkan tujuh premis terbakar 100 peratus manakala lima lagi rosak antara 20 hingga 90 peratus.
19 Sep 22
2086