lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

'Pengkid' Jadi Kesalahan di Terengganu
'Pengkid' Jadi Kesalahan di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 25 Oktober - Pindaan terbaharu Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Negeri Terengganu akan mewujudkan seksyen baharu iaitu perempuan berlagak lelaki adalah menjadi satu kesalahan di negeri ini. Ketua Hakim Syarie Terengganu, Datuk Wan Mohd Zakri Wan Mohd berkata, peruntukkan sedia ada hanya memperuntukkan kesalahan bagi lelaki berlagak perempuan sahaja. "Insya-Allah draf penambahbaikan telah disiapkan oleh jawatankuasa yang dilantik oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri. "Beberapa enakmen telah dikaji, insya-Allah dalam bulan November akan dibawa dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk dibahas serta diluluskan," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas menghadiri Forum Enakmen-Enakmen Syariah Terengganu 2001-Cadangan Penambahbaikan dan Pemerkasaan Enakmen, di Hotel Primula, semalam. Selain itu menurutnya, antara seksyen baharu yang akan dicadangkan di samping 21 pindaan hukuman sedia ada bagi menambah baik hukuman ialah membabitkan kesalahan perbomohan dan sihir, hamil atau melahirkan anak luar nikah, dan persediaan melakukan liwat. Tegasnya, antara beberapa enakmen yang telah dibuat penambahbaikan dan telah dikaji antaranya ialah memaksimumkan hukuman berdasarkan peruntukan 356 iaitu tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam sebatan. "Terdapat penambahan untuk beberapa hukuman dengan dibuat hukuman alternatif untuk peruntukan sedia ada dan telah dipinda antaranya daripada terus ditahan ke penjara diberi kuasa kepada hakim untuk membuat alternatif lain seperti dihantar ke pusat jagaan yang diluluskan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM)," ujarnya. Jelasnya kali terakhir enakmen itu digubal pada 20 tahun lalu dan kali terakhir pindaannya adalah pada tahun 2016 dengan hanya melibatkan lima seksyen sahaja. "Kerana itu Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah berpandangan langkah penambahbaikan itu adalah wajar rentetan pola perkembangan kes-kes jenayah di Mahkmah Syariah semakin meningkat saban tahun dan dikatakan semakin kompleks. "Dengan adanya pindaan  ini akan memperkukuhkan lagi perundahan syariah di negeri Terengganu dan cadangan pindaan berdasarkan takzir 2001 pindaan 2006 masih lagi dalam ruang lingkup bidang kuasa yang diberikan di bawah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Syariah) 1965 iaitu Akta 355," ujarnya lagi.  
25 Oct 22
1970
Kerana Doa Nenek
Kerana Doa Nenek
KUALA TERENGGANU, 25 Oktober - Asbab menjaga neneknya di kampung, Wan Mohamad Alif Wan Abdul Wahid, 26, menerima ganjaran setimpal apabila dinobatkan Pelajar Terbaik Kolej Kemahiran Yayasan Terengganu (KKYT) dalam Majlis Konvokesyen KKYT Kali Ke-6 baru-baru ini. Kata Wan Mohamad Alif, anugerah itu mungkin 'bayaran' Tuhan buat dirinya yang menolak tawaran dari luar Terengganu demi menjaga neneknya di kampung. "Saya dilahirkan di Terengganu tetapi dibesarkan di Selangor kerana ibu bapa saya bekerja di sana. Demi menjaga nenek, saya menolak semua tawaran pengajian luar negeri Terengganu dan memilih menyambung pelajaran di sini (KKYT). "Sebagai anak sulung daripada empat adik beradik, sudah tentu saya mahu memulakan langkah yang terbaik dalam keluarga serta menunjukkan mampu berdikari apabila berjauhan dengan ibu bapa dalam masa yang sama berbakti kepada nenek yang tinggal bersendirian. "Alhamdulillah kejayaan ini memberi semangat untuk saya menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi pada masa akan datang," ujarnya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Dewan Konvesyen Taman Tamadun Islam. Wan Mohamad Alif yang kini bekerja sebagai juruteknik komputer di Syarikat Integrity Network Sdn Bhd berjaya menamatkan tempoh pengajian selama tiga tahun dalam jurusan Diploma Pentadbiran Sistem komputer. Beliau teruja dengan anugerah tersebut dan menganggap kejayaannya itu datang daripada doa seorang nenek. Sementara itu, penerima Anugerah Pelajar Terbaik Diploma Pentadbiran Sistem Maklumat, Nur Farihan Romele, 23, pula gembira dengan pencapaiannya itu dan sangat berterima kasih kepada ibunya yang menasihatinya agar memilih KKYT sebagai tempat untuk meneruskan pengajiannya. "Saya sebenarnya pada ketika itu belajar di tingkatan enam, tidak pernah terlintas di fikiran untuk menyambung pengajian di bidang ini kerana minat saya pada awalnya adalah menjadi seorang guru. Akhirnya, saya turutkan juga nasihat ibu saya, dan saya telah melalui suatu pengalaman yang sangat menarik di sini kerana pensyarahnya sangat membantu dalam memberikan tunjuk ajar yang terbaik. "Nasihat saya kepada mereka di luar sana, terutamanya yang tidak boleh ke universiti jangan sedih, boleh menyambung pengajian di sini, insya-Allah dengan menimba ilmu kemahiran ia akan menjamin peluang pekerjaan yang lebih baik," katanya. Bagi Pelajar Terbaik Sijil Operasi Latihan Vokasional, Fatin Ezeanne Yaman Nasir, 26, berkata pilihannya menyambung pengajian di KKYT adalah tepat bagi mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik. "Kualiti pensyarah di sini sangat baik, benar-benar membantu. Walaupun saya agak berusia berbanding pelajar lain, saya tidak peduli kerana bertekad mahu berjaya dalam bidang kemahiran ini. "Pada awalnya ingat nak belajar di tahap dua sahaja, tetapi pensyarah minta saya meneruskan di peringkat yang tinggi, sebagai persediaan untuk saya menempatkan diri sebagai pengajar dalam bidang kemahiran ini," ujarnya. Seramai 144 graduan diraikan dalam majlis yang dirasmikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Maliaman Kassim.    
25 Oct 22
509
Terengganu Tubuh SUKANT Jaga Kebajikan Atlet
Terengganu Tubuh SUKANT Jaga Kebajikan Atlet
KUALA TERENGGANU, 23 Oktober - Kerajaan negeri melancarkan Sekretariat Kebajikan Atlet Terengganu (SUKANT) bagi memastikan kebajikan mereka yang menceburi bidang sukan serta bekas atlet terjamin serta tidak dipinggirkan. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sukan, Belia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata ia berperanan sebagai perantara untuk menyelaraskan segala urusan dan keperluan golongan terbabit yang dikendalikan oleh Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT). "Fungsinya sama seperti Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) bertujuan untuk menjaga kebajikan ahli di kalangan atlet dan bekas atlet yang merupakan anak jati negeri Terengganu, termasuk sekiranya mereka ingin menyambung pelajaran maka akan digunakan jawatankuasa ini bagi merealisasikan hasrat mereka. "Jika sekiranya ada atlet yang berminat untuk berniaga maka kita akan uruskan untuk mereka mengikuti kursus dan mendapatkan modal yang diperlukan, juga termasuk dalam menjaga aspek kesihatan dan kesejahteraan mereka dengan memberikan kad sejahtera pada peringkat awal ini supaya digunakan untuk tujuan mendapatkan perubahan di klinik swasta yang menjadi panel kepada kerajaan. "Kita berikan inisiatif ini di atas menghargai segala jasa yang mereka lakukan sewaktu memberikan sumbangan dan mengharumkan nama negeri dengan melakarkan kejayaan yang sangat membanggakan,"ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita, di Majlis Apresiasi Kontinjen Negeri Terengganu SUKMA XX, di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI), di sini baru-baru ini. Katanya, pada peringkat awal ini kerajaan sedang mengumpulan semua bekas atlet untuk disenaraikan sebagai ahli SUKANT. "Walaupun mereka telah mendapat bantuan selama ini daripada YAKEB, kerana mereka atlet Terengganu maka merkea ini juga akan dipastikan mendapat inisiatif ini untuk menampung keperluan juga sebagai sokongan tambahan. "Setakat ini tidak ada kadar yang spesifik, ia adalah mengikut keperluan dan dana yang diberikan oleh kerajaan sebagai permulaan untuk hari ini kita telah menerima RM100,000 yang diserahkan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dana ini akan ditambah lagi melalui pihak kerajaan dan swasta berdasarkan keperluan tertentu di masa akan datang," katanya.
23 Oct 22
350
Terengganu Sasar 2024 Semua Atlet Wanita Berpenampilan Patuh Syariah
Terengganu Sasar 2024 Semua Atlet Wanita Berpenampilan Patuh Syariah
KUALA TERENGGANU, 21 Oktober - Kerajaan Terengganu menyasarkan semua atlet wanita muslim yang menyertai kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 akan memakai pakaian patuh syariah. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata perubahan ketara telah berlaku dalam aspek pemakaian patuh syariah atlet yang menyertai SUKMA baru-baru ini. Namun, perkara itu masih belum menyeluruh dalam semua sukan kerana proses pendidikan masih berjalan. "Kita akan terus berusaha melakukan perubahan dengan memberikan galakan dan juga semangat, termasuklah mendidik melalui pengajian ilmu dan juga kita telah menubuhkan satu unita khas iaitu Hal Ehwal Agama di Majlis Sukan Negeri Terengganu. "Alhamdulillah, perubahan ketara telah dapat kita saksikan dalam SUKMA baru-baru ini hanya tiga jenis sukan sahaja yang didapati para atletnya masih tidak menurup aurat dengan sempurna. "Jadi kita akan melipatgandakan lagi usaha sehingga semua para atlet kita ini di masa akan datang kita akan pastikan mereka akan menutup aurat dengan lebih sempurna," ujarnya. Beliau berkata demikian, ketika ditemui pihak media di Majlis Apresiasi Kontinjen Negeri Terengganu, SUKMA XX, MSN 2022 yang disemprunakan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, di Dewan Konvesyen, Taman Tamadun Islam (TTI) di sini, semalam. Wan Sukairi berkata, majlis yang diadakan itu adalah bagi memberikan insentif kepada semua atlet Terengganu yang telah berjaya mendapatkan pingan emas, perak dan juga gangsa pada temasya SUKMA lalu. Katanya, pada pencapaian SUKMA kali ini kerajaan negeri Terengganu bersetuju menaikkan kadar insentif sebanyak RM500 berbading kadar yang diberikan pada tahun 2018. "Di mana setiap atlet yang berjaya memperolehi pingat emas diberi RM3,500, perak RM2,500 dan gangsa sebanyak RM1,500. "Jadi ini merupakan satu penghargaan di atas pencapaian yang ditunjukkan kerana berjaya melebihi sasarkan yang ditetapkan oleh MSNT, untuk SUKMA tahun akan datang insya-Allah target kita adalah merampas semula kejuaraan keseluruhan," ujarnya lagi.
21 Oct 22
618
Penganjuran Sukan Permotoran Dibenarkan Kembali
Penganjuran Sukan Permotoran Dibenarkan Kembali
KUALA TERENGGANU, 10 Oktober - Kerajaan membenarkan semula penganjuran sukan permotoran dan kereta di Litar Gong Badak, tetapi hanya melibatkan perlumbaan drag sejauh 200 meter sahaja. Pengerusi Pembangunan Belia, Sukan, dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata litar tersebut telah melalui ujian dan pemeriksaan yang terperinci dan didapati ia berada dalam keadaan baik serta tidak beralun sebagaimana didakwa. "Untuk makluman saya telah mendapat laporan daripada pihak Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dalam laporan itu jelas mencatatkan bahawa kemalangan yang berlaku kepada pelumba drag, Apeh Jamal bukan disebabkan litar tetapi kerana masalah teknikal jentera. "Pihak MSNT juga telah memanggil saudara Wazi Abul Hamid (bekas pelumba motor) untuk memeriksa litar dan telah mendapati ia berada dalam keadaan baik, tidaklah sebagaimana yang dikatakan beralun, ertinya litar berada dalam keadaan yang baik," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita, di Majlis Apresiasi Kontinjen Negeri Terengganu SUKMA XX, di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI), semalam. Wan Sukairi turut menjelaskan, sebarang perlumbaan melebihi jarak 200 meter kekal tidak dibenarkan lagi. "Hanya setakat jarak itu sahaja yang dibenarkan," jelasnya.
21 Oct 22
805
Tiada Lagi Kelibat Syahida di SUKMA
Tiada Lagi Kelibat Syahida di SUKMA
KUALA TERENGGANU, 20 Oktober - Atlet kanu berbakat besar Terengganu, Shahida Asyiqin Rusli, 18, membuat keputusan untuk meninggalkan Sukan Malaysia (SUKMA) meskipun menerima pujukan ramai pihak supaya kekal dalam karier terbabit. Katanya, dia nekad berbuat demikian bagi memberi tumpuan dalam dunia pendidikan di Institusi Pengajian Tinggi. "SUKMA ke-20 baru-baru ini adalah yang terakhir dan memberikan kenangan manis kepada saya setelah berjaya memecah tiga rekod kebangsaan. "Saya tidak menyangka akan mencapai kemenangan itu kerana saya tidak meletakkan harapan yang tinggi walaupun dimaklumkan dengan kejayaan ini saya boleh pergi ke peringkat yang lebih tinggi di sukan SEA. "Namun, keputusan berhenti ini adalah muktamad, datang daripada diri sendiri, sebelum SUKMA lagi saya simpan nekad dan menyatakan ini merupakan penyertaan terakhir," ujarnya. Dia berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas menerima insentif kemenangan di Majlis Apresiasi Kontinjen Negeri Terengganu, SUKMA XX, MSN 2022, di Dewan Konvesyen Taman Tamadun Islam (TTI), di sini, hari ini. Majlis berkenaan dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Untuk rekod, Syahida merupakan penerima insentif terbanyak dengan jumlah keseluruhan diberikan oleh kerajaan negeri RM33,500.00 atas kejayaan memenangi empat pingat emas, tiga perak dan enam gangsa. Selain itu, dia turut menerima seutas jam tangan sukan berjemana Garmin, bernilai RM1,500. Sementara itu, mengulas mengenai hasrat kerajaan negeri yang ingin menempatkannya di IPT Terengganu, Shahida Asyikin berkata dia sedang menunggu keputusan itu. "Kalau masih tidak dapat akhir tahun ini, harapnya akan dapat menyambung pelajaran awal tahun hadapan, pertemuan dan perjumpaan sudah diadakan, tiada kata putus lagi. "Saya memang berhasrat berlajar di IPT Terengganu sahaja,"katanya. Untuk rekod, sukan kanu merupakan penyumbang pingat terbanyak dengan memperolehi lima emas, lapan perak dan 17 gangsa yang menerima insentif tertinggi keseluruhan dengan jumlah RM286,000.00 . Terdahulu, Menteri Besar Terengganu mengumumkan insentif sebanyak RM1,504,500 atas pencapaian terbaik dan dinobatkan sebagai Naib Juara dengan membawa pulang pingat sebanyak 64 emas, 49 perak dan 55 gangsa. Walaupun tidak dapat mengekalkan kejuaraan, namun Terengganu telah merekodkan kejayaan manis apabila mencatat rekod baru kutipan pingat serta menjadi juara keseluruhan bagi 10 acara sukan yang dipertandingkan selain berjaya memperolehi ibu segala pingat iaitu bola sepak.  
20 Oct 22
3600
JPKK Lapor Polis Ahli Politik Fitnah Isu Tanah
JPKK Lapor Polis Ahli Politik Fitnah Isu Tanah
MARANG, 19 Oktober - Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Padang Tanjung membuat laporan polis terhadap pemilik facebook bernama MohdFairuz Mohamadharun yang juga ahli sebuah parti kerana membuat satu hantaran fitnah berkait isu pemberian tanah. Pengerusinya, Ismail Sepia berkata, laporan dibuat di Balai Polis Bukit Payong selepas individu berkenaan menuduh JPKK melakukan penyelewengan dalam pembahagian 10 lot tanah di Kampung Padang Tanjung. Katanya, dakwaan tidak berasas itu telah menimbulkan suasana tegang serta memecah belahkan keharmonian penduduk kampung sejak ia mula ditularkan di media sosial bermula semalam. "Laporan polis yang saya buat hari ini adalah menafikan isu dan perkara yang dibangkitkan oleh Ketua Pemuda UMNO Bukit Payong, ia ternyata tidak berasas dan berniat jahat dengan sengaja mencetuskan suasana tidak harmoni. "Laporan yang dilakukan ini juga berhasrat untuk menghentikan ketegangan yang telah berlaku membabitkan penduduk akibat termakan hasutan dan ia juga menjatuhkan kredibiliti JPKK yang selama ini sentiasa berusaha keras menyelesaikan masalah dihadapi masyarakat," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika tampil membuat laporan polis berkait isu fitnah yang yang dicetuskan oleh Ketua Pemuda UMNO di Balai Polis Bukit Payong, di sini, semalam. Tegas Ismail,  pihak terbabit perlu segera menghentikan perbuatan tersebut dan mengemukakan permohonan maaf secara terbuka agar hubungan masyarakat di kampung berkenaan kembali pulih dan dapat dijernihkan. "Saya berharap agar pihak polis akan dapat menjalankan siasatan dan mengambil tindakan yang bersesuaian di atas hasutan yang dilakukan tersebut," ujarnya. Terdahulu, pemilik facebook bernama MohdFairuz Mohamadharun itu mengatakan JPKK Padang Tanjung mengagihkan tanah secara tidak adil. Dakwanya, dia mendapat maklumat itu setelah mendengar cakap-cakap daripada orang.
19 Oct 22
1769
PETRONAS Serah Bantuan Persediaan Banjir
PETRONAS Serah Bantuan Persediaan Banjir
KUALA TERENGGANU, 17 Oktober -Sebanyak 7,000 baju hujan, 1,000 khemah boleh lipat, 700 jaket keselamatan, dan empat bot bersama enjin disumbangkan pihak PETRONAS kepada agensi penyelamat Terengganu sebagai persediaan menghadapi banjir.  Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly  Ramli berkata, sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada 36 buah bot, 8,800 buah khemah, 5,500 unit jaket keselamatan dan 55,000 helai baju hujan yang disumbangkan ke 14 negeri seluruh negara oleh PETRONAS.  “PETRONAS berterimakasih di atas komitmen yang telah diberikan oleh pihak berkuasa di dalam usaha menyelamat mangsa banjir selama ini.  “Kami berharap agar sumbangan yang disampaikan dapat membantu agensi terbabit membuat persediaan menghadapi musim tengkujuh,” katanya kepada pemberita ketika ditemui. Sumbangan berbentuk peralatan menyelamat dan perlindungan kepada mangsa banjir itu disampaikan oleh kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Terengganu, YBM Tengku Seri Bijaya Raja di dalam satu majlis ringkas di Wisma Darul Iman di sini.  Turut hadir, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Negeri Terengganu, Lt Kol Mohd Rosman Abdullah dan Timbalan Pengarah Bomba, Muhammad Basri  Kamarazaman.  Menurutnya, inisiatif yang dilaksanakan itu adalah sebahagian daripada sumbangan bantuan banjir PETRONAS berjumlah RM25 juta yang diumumkan pada Disember 2021.  
17 Oct 22
308
Litar Pintas Dipercayai Punca Kebakaran Premis Kedai
Litar Pintas Dipercayai Punca Kebakaran Premis Kedai
SETIU, 17 Oktober - Siasatan kebakaran melibatkan 22 premis di Kampung Cina, Kuala Terengganu pada September lepas dipercayai akibat litar pintas. Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Md Hilman Abd Rashid berkata, siasatan pihaknya mendapati masalah pendawaian elektrik yang lama dan usang telah menyebabkan litar pintas seterusnya mengakibatkan kebakaran yang menyebabkan kerugian hampir RM2 juta. “Kerugian akibat kebakaran di Kampung Cina baru-baru ini dianggarkan kira-kira RM2 juta manakala harta benda yang berjaya kita selamatkan lebih kurang RM1.2 juta. “Ia melibatkan premis yang disewa dan ada juga milik sendiri,” katanya. Beliau berkata ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Hadiah Sultan Mizan Cup di Terengganu International Endurance Park (TIEP) di sini, semalam. Pada majlis itu, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyampaikan hadiah kepada enam pemenang dalam pelbagai kategori dan turut berangkat, Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah yang diiringi oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Katanya, pihak JBPM tidak mempunyai kuasa untuk mengadakan pemeriksaan berkaitan isu pendawaian di premis persendirian. “Bagi bangunan persendirian, kita tidak ada hak cuma boleh syorkan supaya dibuat pendawaian semula. “Cuma bangunan yang perlu kepada sijil perakuan bomba atau Fire Certificate (FC) atau sijil layak menduduki bangunan (CF), penguatkuasa kita boleh masuk dan periksa," jelas beliau. Justeru katanya, JBPM Terengganu merancang untuk mengadakan taklimat menerusi townhall kepada penduduk Kuala Terengganu dalam masa terdekat bagi menerangkan kepentingan pendawaian baharu terutama di kawasan padat bagi mengelak tragedi tidak diingini daripada berlaku.
17 Oct 22
350
Sukan Permotoran Dihentikan Sementara - Wan Sukairi
Sukan Permotoran Dihentikan Sementara - Wan Sukairi
SETIU, 17 Oktober- Kerajaan negeri mengarahkan penganjuran semua acara melibatkan aktiviti sukan permotoran dan kereta di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak dihentikan buat sementara waktu. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata arahan yang berkuatkuasa dua hari lalu dilaksanakan susulan kemalangan yang meragut nyawa seorang pelumba kereta drag Muhamad Hafez Jamal Jamaluddin ketika menyertai perlumbaan Battle Of The Kings (BOTK) 2022 kelmarin. Katanya, semua aktiviti di litar terbabit diarahkan dihentikan serta-merta kelmarin dan akan dibuka semula selepas semua hasil laporan dan aspek keselamatan di litar ditambah baik. “Mewakili kerajaan negeri, saya merakamkan salam takziah kepada keluarga arwah dan kita sangat kesal dengan apa yang berlaku dan ini merupakan insiden pertama kali libatkan kematian di litar ini. “Kita jangka akan terima laporan berkaitan insiden terbabit daripada penganjur hari ini (semalam). “Sebaik terima laporan, kita akan kaji dan lihat aspek keselamatan yang perlu diperbaiki serta ditambah baik dari segi kemudahan dan penganjur sendiri,” katanya selepas Majlis Penyampaian Hadiah Sultan Mizan Cup di Terengganu International Endurance Park (TIEP) di sini, semalam. Pada majlis itu, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyampaikan hadiah kepada enam pemenang dalam pelbagai kategori dan turut berangkat, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah yang diiringi oleh Menteri Besar, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Wan Sukairi berkata, pihaknya juga akan mengadakan perjumpaan dengan pihak penganjur untuk mendengar sendiri tentang apa yang berlaku. Katanya, dari segi permit kebenaran dan sebagainya tidak ada masalah kerana penganjur telah mendapat kebenaran daripada pesuruhjaya sukan negeri. Dalam kejadian kelmarin, pelumba drag dikenali Apeh Jamal, 40, maut sewaktu menyertai perlumbaan drag BOTK 2022 pada 11.35 pagi akibat kecederaan parah selepas kereta jenis Mitsubishi Lancer Evo yang dipandunya hilang kawalan lalu terbabas melepasi trek perlumbaan sebelum merempuh sebatang pokok.  
17 Oct 22
796