Artikel "Utama" Terkini
Terengganu Tuan Rumah Persidangan Biodiversiti Hutan Pertama di Malaysia
Negeri Terengganu telah diberi penghormatan menjadi tuan rumah buat julung kalinya dalam sejarah penganjuran ekspedisi saintifik biodiversiti hutan sejak tahun 1999.
10 Aug 25
18
Terengganu Pacu Bukit Bubus ke Pentas Antarabangsa
BESUT, 9 Ogos – Kerajaan Terengganu memperkukuh agenda pelancongan sukan udara dengan memacu Bukit Bubus di Tembila sebagai hab bertaraf antarabangsa menerusi penganjuran Terengganu International Air Festival (TIAF), yang disasar mencapai kemuncak pada Tahun Melawat Terengganu 2027.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, penganjuran tahun ini merekodkan penyertaan sembilan negara melibatkan 66 peserta, sekali gus melonjakkan status TIAF daripada acara nasional kepada antarabangsa.
"Bila sudah melebihi lima negara, kita boleh angkat program ini sebagai antarabangsa.
"Tahun hadapan Bukit Bubus akan jadi tuan rumah kepada Liga Negara-Negara Asia dan World Cup Paragliding," katanya pada sidang media selepas merasmikan TIAF 2025 di Besut Paragliding Park, Bukit Bubus, di sini semalam.
Turut bersama, Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh, ADUN Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin.
Menurutnya, sokongan terhadap TIAF selari dengan komitmen negeri memposisikan Terengganu sebagai destinasi sukan ekstrem dan berprestij di rantau ini.
"Ini melambangkan negeri Terengganu menyokong sukan-sukan yang ekstrem dan juga berprestij.
"Sukan ini juga adalah 'signature event' negeri Terengganu di bawah Jabatan Pelancongan Negeri," jelasnya.
Bagi memperkukuh daya saing penganjuran, kerajaan negeri memperuntukkan RM20,000 untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pengindahan kawasan Bukit Bubus, selain berusaha mendapatkan tambahan RM50,000 bagi menaik taraf infrastruktur termasuk cadangan memperkenalkan aktiviti rock climbing pada Air Festival 2026.
"Kita mahu adakan sukan rock climbing untuk menambahkan lagi acara pada Air Festival 2026.
"Kita akan mengangkat lagi supaya menjadi lebih besar menjelang 2027," tambah beliau.
Razali turut menggesa Majlis Daerah Besut memastikan fasiliti dan imej kawasan sentiasa berada pada tahap terbaik.
"Saya minta YDP Besut menceriakan lagi tempat ini, beberapa gerai usang itu perlu dibaik pulih.
"Kebersihan juga adalah satu produk pelancongan negeri Terengganu," tegasnya.
Beliau optimis penganjuran berskala antarabangsa itu akan memberi limpahan ekonomi kepada komuniti setempat, terutama peniaga kecil dan pengusaha tempatan.
"Dengan program seperti ini, ia akan memberi manfaat kepada sosioekonomi setempat.
"Bila festival ini diangkat ke peringkat antarabangsa, makin ramai lagi yang akan dapat manfaat," katanya.
09 Aug 25
948
Spesies Baru Belalang Pygmy Ditemui di Hutan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 7 Ogos - Terengganu mencuri tumpuan dunia pemuliharaan dan pemeliharaan apabila satu spesies baharu belalang 'pygmy' (kerdil atau kecil) yang dinamakan Belalang Sekayu atau Eufalconius sekayu telah ditemui di kawasan Hutan Simpan Sekayu, Kuala Berang.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, mengumumkan mengenai penemuan spesies baharu itu kelmarin.
Menurut beliau, penemuan ini bukan sahaja membanggakan dari sudut saintifik, tetapi juga membuktikan bahawa kawasan hutan di Terengganu masih kaya dengan biodiversiti dan berada dalam keadaan yang terjaga.
Datuk Razali Idris
"Antara penemuan saintifik yang direkodkan adalah spesies belalang baru, iaitu Eufalconius belalang sekayu yang diberi kepada saya tadi gambar itu daripada genus Eufalconius.
"Belalang ini sebenarnya hanya ada di Malaysia dan spesies ini dijumpai oleh Dr. Nurul Ashikin Abdullah dari Universiti Melaya (UM) semasa ekspedisi saintifik kepelbagaian biologi hutan di Hutan Simpan Hulu Terengganu Tambahan pada 9 Oktober 2024.
"Alhamdulillah, apa yang saya dapat lihat dengan adanya (penemuan) belalang sekayu bermakna negeri Terengganu masih menjaga kelestarian hutan.
"Pembalakan pun dijaga dengan sempurna maka habitat kepada spesies-spesies yang dah nak pupus masih berada di negeri Terengganu," katanya.
Razali berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media selepas merasmikan Persidangan Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan 2025 di Raia Hotel Kuala Terengganu.
Mengulas lebih lanjut, beliau menyarankan supaya pencarian dan penjagaan yang lebih terperinci dijalankan oleh pihak berkenaan bagi mengenalpasti populasi belalang kerdil tersebut yang menurutnya, mempunyai nilai sebagai produk pelancongan negeri.
"Tetapi dia baru dijumpai dan kita akan minta supaya Jabatan Perhutanan melihat sama ada ianya spesies terancam ataupun memang tahap (bilangan) itu saja yang dia ada.
"Kita amat memerlukan spesies-spesies seperti ini seperti belalang sekayu tadi, itu satu produk baru untuk negeri Terengganu yang baru saja dijumpai dan belalang itu tak banyak bilangannya, silap-silap terhilang (pupus) jadi kita kena jaga habitatnya," jelasnya.
Perkara itu turut disokong oleh Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPMS), Dato' Zahari Ibrahim dimana beliau menekankan bahawa penjagaan habitat memainkan peranan yang besar untuk meneruskan kelestarian alam.
Zahari Ibrahim
"Fungsi Jabatan Perhutanan sendiri untuk mengawal, mengurus dan merancang serta menguatkuasakan habitat biodiversiti ini.
"Ada masyarakat yang lihat hanya penting jaga harimau, jaga tapir, jaga raflesia tapi yang penting habitat atau rumah dia itu. Dan habitat ini juga sering diberi ancaman yang besar apabila kita membuatkan pembangunan dan juga pengeluaran ekonomi kepada negeri-negeri masing-masing.
"Jadi, apa yang saya ingin tegaskan, sehingga sekarang kawasan habitat kita masih mengekalkan keluasan dia daripada tahun 1984 sehinggalah ke tahun sekarang ini walaupun dalam keadaan ekonomi dan juga pembangunan pesat," katanya.
Dalam pada itu, Zahari mengucapkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas kesudian untuk menjadi tuan rumah bagi Persidangan Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Tahun 2025.
"Maklumat (persidangan) ini penting supaya kita dapat mengutamakan apakah biodiversiti yang patut kita jaga, kita urus dan kita kawal dia daripada ancaman-ancaman yang lain.
"Jadi, saya berterima kasih kepada Kerajaan negeri, yang menjadi tuan rumah kita pada hari ini dan ini menunjukkan bahawa keprihatinan kerajaan negeri dalam memelihara dan mengurus serta menjaga khazanah hutan negara," ujarnya.
07 Aug 25
2541
Dr. Sam Hairan Insiden Bendera Terbalik Makin Kerap
Semua pihak diingatkan agar tidak memandang remeh berkaitan pengibaran Jalur Gemilang, sebaliknya ia perlu dilakukan dengan rasa hormat dan penuh kepekaan.
07 Aug 25
81
Sasar 500 Individu Bujang Daftar Portal Jodoh
Kerajaan Negeri Terengganu menetapkan sasaran sekurang-kurangnya 500 individu bujang untuk mendaftar dalam Portal Jodoh Darul Iman menjelang akhir tahun ini selepas ia dibuka secara rasmi kepada orang ramai.
07 Aug 25
3
RMK-13 Dibentang PM Mengecewakan
KUALA TERENGGANU, 7 Ogos – Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyuarakan kebimbangan terhadap beberapa keutamaan pembangunan di Pantai Timur yang tidak diberi perhatian sewajarnya ketika pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), baru-baru ini.
Antara contoh katanya, melibatkan penyediaan infrastruktur iaitu pembangunan projek Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) yang masih belum mendapat perhatian sepatutnya walaupun telah dibincang sejak RMK terdahulu.
“Memang kosnya besar tetapi berbanding dengan projek-projek tertentu yang dibawa ke Pantai Barat, di Pulau Pinang umpamanya ternyata terdapat ketidakseimbangan pembangunan antara Pantai Barat dan Pantai Timur.
“Saya tidak ada masalah dengan Pulau Pinang, mereka adalah rakyat Malaysia yang berhak untuk mendapat projek-projek pembangunan.
“Sedangkan apa yang diperjuangkan oleh kami dahulu adalah untuk ‘sharing of prosperity’ di kalangan rakyat seluruh negara supaya tidak ada negeri-negeri atau kalangan rakyat yang tertinggal,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Terengganu 2025 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, semalam.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri menyifatkan pembentangan RMK-13 agak mengecewakan kerana Kerajaan Persekutuan tidak mengambil peluang sepenuhnya untuk memperbetulkan kelemahan-kelemahan yang ada dalam perancangan RMK sebelum ini.
“Secara lebih mendalam saya akan bahaskan RMK-13 pada minggu hadapan di Dewan Rakyat, tetapi secara umumnya saya boleh sebutkan bahawa apa yang dibentangkan itu agak mengecewakan.
“Walaupun perkataan itu agak pedas, tapi rasa agak mengecewakan kerana sepatutnya RMK13 menjadi medan untuk memperbetulkan pelbagai kelemahan termasuk dari sudut pelaksanaan yang sering menjadi isu dalam RMK sebelum ini," katanya.
07 Aug 25
72
Persidangan Saintifik Biodiversiti Himpun 350 Penyelidik Dan Pendidik
KUALA TERENGGANU, 7 Ogos - Seramai 350 penyelidik dan pendidik dari pelbagai institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta individu berkumpul di Terengganu bagi menyertai Persidangan Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Tahun 2025.
Persidangan anjuran Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu itu diadakan di Raia Hotel & Convention Centre, Kuala Terengganu dan telah berlangsung selama tiga hari mulai 4 Ogos sehingga 6 Ogos 2025.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, penganjuran edisi julung kali ini merupakan platform penting dalam mendokumentasikan penemuan saintifik dan menyampaikan ilmu kepada generasi muda serta masyarakat umum.
Datuk Razali (kiri) dan Dato’ Zahari (kanan)
"Sebanyak 57 kertas kerja akan dibentang dalam persidangan ini yang melibatkan pelbagai disiplin seperti ekosistem hutan, flora, fauna ekopelancongan, rekreasi, ekologi geologi, arkeologi serta sosioekonomi.
"Pengajaran persidangan ini selaras dengan Dasar Perhutanan Negara 2021 yang menekankan kepentingan pendidikan pemeliharaan, pemuliharaan dan penggunaan sumber hutan secara lestari.
"Saya memang sarankan supaya didokumentasikan persidangan ini dan hasilnya diagihkan yang pertamanya kepada para pelajar, universiti dan orang awam. Yang pentingnya generasi penerus harus tahu bahawa spesies-spesies yang ada pada hari ini perlu dijaga," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Persidangan Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan tahun 2025, di sini, kelmarin.
Tambahnya, persidangan itu mengetengahkan hasil pengumpulan maklumat kepelbagaian biologi Hutan Simpan kekal (HSK) di Semenanjung Malaysia, khususnya daripada ekspedisi saintifik di beberapa negeri pada tahun 2024.
"Persidangan ini adalah sebagai platform kepada para pendidik dan saintis untuk membentangkan hasil penemuan kajian daripada empat ekspedisi saintifik yang telah dilaksanakan di Hutan Simpan Bukit Jernih, Perlis 20 hingga 30 Julai 2024.
"Selain itu, kajian juga dilaksanakan di Hutan Simpan Gunung Arong, Mersing, Johor 17 hingga 21 September 2024; Gunung Nuang Hutan Simpan Ulu Langat, Selangor, 2 hingga 6 September 2024 dan Hutan Simpan Hulu Terengganu Tambahan, Kuala Berang, Terengganu, 7 hingga 11 September 2024," jelasnya.
Datuk Razali turut berharap agar Terengganu terus diberi kepercayaan menjadi platform utama persidangan seumpama ini, sekali gus mengangkat negeri ini sebagai hab ilmu biodiversiti dan pemuliharaan alam sekitar negara.
Dalam masa sama, Ketua Pengarah JPSM, Dato’ Zahari Ibrahim, berkata sambutan luar biasa terhadap penyertaan persidangan adalah bukti bahawa kesedaran masyarakat terhadap isu biodiversiti semakin meningkat.
"Jumlah penyertaan yang besar menjadi penanda aras yang bagus untuk menunjukkan komitednya, ini menunjukkan bahawa masyarakat sekarang mula prihatin kepada kepentingan khazanah biodiversiti ini.
"Dan kita sedia maklum bahawa dunia mengikiraf bahawa perubahan iklim dunia ini disebabkan salah satunya oleh kemerosotan khazanah biodiversiti negara dan dunia.
"Jadi ekspedisi ini bukan sahaja penyertaan semua akademi dan juga inisiatif pengajian tinggi tapi dia melahirkan banyak pelapis-pelapis baru dalam menyokong usaha-usaha untuk menimba dan mencari khazanah-khazanah biodiversiti negara," katanya.
07 Aug 25
110
Tarif Air Terengganu Masih Terendah Di Malaysia
KUALA TERENGGANU, 7 Ogos - Tarif air baharu di Terengganu kekal antara tiga negeri di Malaysia sebagaimana yang digazetkan pada Julai 2025.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, pihaknya telah mendengar penjelasan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu (SATU), Abdul Karim Endut ketika mengadakan pertemuan.
"Saya sempat mendapatkan penjernihan tentang isu tarif air SATU yang berlegar dalam media sosial, beliau memaklumkan memang tarif air disemak setiap tiga tahun dengan kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Terengganu (SPAN) untuk semua negeri.
"Ternyata tarif air SATU, Terengganu yang baru adalah dalam kelompok tiga yang paling rendah sebagaimana yang saya lampirkan pada carta (dalam gambar)," ujarnya dalam satu kenyataan di media sosialnya, hari ini.
Dalam pada itu katanya, Terengganu juga masih kekal dengan dasar memberikan subsidi air percuma untuk rakyat dalam kategori B40 selain untuk institusi seperti masjid.
"Saya (juga) mengingatkan beliau dengan tarif yang baru, rakyat mengharapkan SATU meningkatkan kualiti perkhidmatan bekalan air.
"Alhamdulillah banyak masalah bekalan telah diselesaikan tapi masih banyak penambahbaikan perlu kepada ikhtiar gigih semua yang terlibat,"ujarnya.
07 Aug 25
463
Terengganu Pertegas Kekal Pengharaman Vape
KUALA TERENGGANU, 7 Ogos - Kerajaan Terengganu kekal tegas dengan keputusan pelaksanaan larangan penuh terhadap penjualan semua produk rokok elektronik (vape) di semua premis perniagaan di negeri ini yang bermula 1 Ogos lepas walaupun terdapat rayuan pihak tertentu untuk menangguhkannya.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, ia sebagai usaha memelihara masa depan generasi muda daripada ancaman kesihatan yang semakin membimbangkan.
“Seperti yang semua sedia maklum, bermula 1 Ogos lalu telah berkuatkuasa pengharaman vape di negeri ini
“Tidak lagi dibenarkan premis-premis untuk jual vape dan tidak akan diberi lesen kepada pengusaha vape.
“’Banner’ atau papan tanda iklan berkenaan vape termasuklah penajaan-penajaan oleh syarikat vape ke atas apa juga penganjuran oleh pihak kerjaan negeri juga tidak akan dibenarkan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai isu vape selepas Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Terengganu 2025 yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, arahan telah dikeluarkan kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan agar memastikan semua papan tanda di kedai-kedai vape diturunkan.
“Selepas lapan hari perkara ini dikuatkuasakan, belum ada sebarang tangkapan dibuat dan kita masih kekal dengan apa yang kita putuskan.
“Keputusan pelaksanaan larangan penuh terhadap penjualan vape ini bukanlah dibuat secara mengejut, tetapi telah dimaklumkan lebih awal kepada pengusaha,” ujarnya.
Katanya, larangan ini telah diumumkan sejak 1 Mei lalu sebagai satu langkah memberi tempoh masa peralihan kepada semua peniaga bagi menghentikan aktiviti penjualan produk vape secara berperingkat sebelum penguatkuasaan sepenuhnya bermula Ogos.
Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) sedia membantu pengusaha vape yang terjejas dengan menawarkan kursus-kursus yang bersesuaian bagi mereka yang mahu menceburi bidang perniagaan baru.
07 Aug 25
100
Kenyir Rangers Kawal, Lindung Sumber Alam
Pasukan Pemantauan Tasik Kenyir yang ditubuhkan pada tahun 1997 dijenamakan semula kepada nama baharu iaitu Kenyir Rangers.
07 Aug 25
25