Artikel "Utama" Terkini
Lebih 6,000 Pemilik Skuter Sertai Scooterian Mega Gathering
KUALA NERUS, 26 Februari- Lebih 6,000 pemilik dan peminat skuter dari seluruh negara memeriahkan program Scooterian Mega Gathering Vol 1.0 yang berlangsung di Taman Tasik, Kuala Nerus selama dua hari berakhir semalam.
Pengarah Program, Wan Mohd Zulhafeeza Wan Mohd Yusof berkata, perhimpunan julung kali diadakan itu terbuka kepada pelbagai jenis jenama dan model skuter.
Katanya, untuk acara autoshow sebanyak 11 kategori dipertandingan dimana tiga kategori bagi skuter moden dan selebihnya vespa.
“Sambutan diterima adalah di luar jangkaan, kita hanya letak sasaran 3,000 penyertaan tetapi yang hadir lebih 6,000.
“Matlamat kita adalah untuk mengumpul anak-anak muda seluruh Malaysia datang bersilaturahim, dan dalam masa yang sama (kami) pihak penganjur menerapkan lebih kepada keselamatan semasa berkonvoi.
“Selain berkumpul dan menggayakan skuter masing-masing, turut diadakan gerai jualan, cabutan bertuah, tidak lupa kita turut selitkan tazkirah disamping hiburan dimana kita mengharapkan event ini sedikit sebanyak dapat memberi manfaat kepada rider yang datang ke Terengganu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Perasmian Program Scooterian Mega Gathering 2023 yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah di Taman Tasik, Kuala Nerus, semalam.
Katanya, penganjuran program tersebut mendapat kerjasama baik dari semua pihak termasuk kerajaan negeri dan penaja.
“InsyaAllah, dengan sokongan kerajaan negeri dan semua pihak, kami turut bercadang untuk mengadakan Scooterian Mega Gathering Vol 2.0 juga di Terengganu pada tahun hadapan,” ujarnya.
Sementara itu, Wan Sukairi berkata, kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan dan akan memberikan kerjasama terbaik terhadap penganjuran program yang boleh memberi manfaat kepada kerajaan dan rakyat.
“Terengganu sentiasa mengalu-alukan kedatangan para rider yang bertujuan mengadakan program gathering seperti ini.
“Selain menguatkan hubungan silaturahim dan juga membina rangkaian pelbagai manfaat dan tujuan, ianya secara tidak langsung memberikan impak ekonomi kepada rakyat Terengganu khususnya di kawasan sekitar tempat penganjuran sesuatu program itu,” ujarnya.
Tambah beliau, selain mudah berurusan dengan pihak kerajaan, Terengganu yang terkenal dengan pelbagai tempat riadah yang cantik turut menarik minat penganjur untuk mengadakan program himpunan kenderaan di Negeri Terengganu sebelum ini.
26 Feb 23
2051
Karnival Beautiful Terengganu Platform Perkenal Pakej Pelancongan
KEMAMAN, 25 Februari- Kerajaan negeri menerusi Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu meneruskan kesinambungan penganjuran Karnival Beautiful Terengganu Malaysia (KBTM) 2023 yang berlangsung di Padang Astaka, di sini selama empat hari bermula 23 Februari lalu.
Timbalan Pengerusi (l) Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Sulaiman Sulong berkata, penganjuran KBTM kali kedua itu dilihat sebagai platform terbaik kepada penggiat industri pelancongan (players) Terengganu bagi memasarkan produk dan pakej pelancongan masing-masing kepada pengunjung secara berdepan.
"Selain dapat memperkenalkan seni warisan budaya yang ada di Terengganu, tujuan utama adalah untuk menjadi paltform bagi memperkenalkan pakej serta perkhidmatan yang berkaitan pelancongan yang disediakan oleh pemain industri kepada pengunjung karnival.
"Kita tampilkan keunikan dengan membawa produk-produk pelancongan dan pakej menarik yang dapat memberi pilihan kepada pengunjung.
"Kita ada 20 gerai pempamer yang boleh dikunjungi oleh para pengunjung untuk mendapat pilihan perkhidmatan dan pakej pelancongan dengan tawaran harga yang berpatutan," ujarnya ketika berucap merasmikan KBTM 2023 di Padang Astaka, malam tadi.
Menurut Sulaiman, kerajaan negeri mahu mereka (pemain industri) melihat ini adalah satu inisiatif yang bersungguh digerakkan oleh kerajaan negeri dan sekali gus ingin menjadikan KBTM sebagai peluang yang perlu direbut.
"Ini adalah peluang terbaik untuk memasarkan dan menjual produk, pakej yang ada pada pemain industri di Negeri Terengganu.
"Sekiranya pemain industri di peringkat negeri kurang minat kita bersedia panggil penggiat luar, " ujarnya.
Sementara itu katanya, sektor pelancongan Negeri Terengganu merupakan penyumbang kedua terbesar selepas industri minyak dan gas di negeri ini yang juga menyumbang kepada sosiol ekonomi penduduk.
"Kerajaan negeri sentiasa komited dan berusaha untuk mempromosikan produk-produk pelancongan dalam menarik jumlah kedatangan pengunjung ke negeri Terengganu.
"Pelbagai usaha dan promosi yang dilakukan oleh kerajaan negeri samada di peringkat dalam dan luar negeri termasuk ke luar negara.
"Salah satu yang kita usahakan ialah KBTM yang kita adakan ini sebagai usaha mempergiatkan lagi kempen promosi sektor pelancongan negeri, " ujarnya.
25 Feb 23
1357
20 Peratus KRT Di Terengganu Tidak Aktif
KUALA TERENGGANU23 Februari- Kurang penyertaan daripada golongan muda menjadi antara faktor kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan 529 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di negeri ini tidak lagi aktif.
Pengarah Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Terengganu, Mohd Rosli Alias berkata, faktor lain dikesan ialah masalah kepimpinan, tidak berminat dan lain-lain.
Justeru katanya, bagi mengatasi masalah tersebut pihak jabatan telah melaksanakan penyusunan semula barisan jawatankuasa KRT.
“20 peratus yang tidak aktif dan kurang aktif itu disebabkan pelbagai faktor termasuk kepimpinan, kita tidak akan menutup KRT ini, tetapi ambil tindakan untuk memulihkan dan mengaktifkan kembali dengan salah satunya kita buat penyusunan balik barisan jawatankuasa KRT terbabit,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas isu KRT yang tidak aktif di negeri ini pada Majlis Penutup Program Harmoni Peringkat Tegeri Terengganu yang disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Dan Perpaduan Nasional Negeri, Alias Harun di Taman Sinar Harapan, di sini, hari ini.
Rosli berkata, pihaknya menetapkan sasaran untuk menyelesaikan masalah tersebut tahun ini memandangkan peranan KRT begitu meluas termasuk projek meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan penduduk.
“Sasaran kita untuk selesaikan tahun ini, dua tahun sekali KRT akan dinilai keaktifannya.
“Kita mahu kewujudan rukun tetangga itu dirasai oleh komuniti setempat melalui program-program yang diadakan dimana kalau kita lihat program KRT ini menyeluruh, ia bukan sahaja untuk meningkatkan soal interaksi perpaduan bahkan juga untuk kesejahteraan,” ujarnya.
Katanya, pihak jabatan juga menyasarkan untuk menubuhkan satu KRT baru di setiap daerah tahun ini.
23 Feb 23
525
Etika Pemakaian Patuh Syariah Angkat Martabat Wanita
KUALA NERUS, 21 Februari - Usaha kerajaan Terengganu menguatkuasakan etika pemakaian patuh syariah di negeri ini adalah untuk mengangkat martabat kaum wanita.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional, Hanafiah Mat berkata, oleh kerana itu usaha mendidik rakyat serta memperkenalkan pakaian yang benar-benar menutup aurat diadakan secara berterusan sekali gus membendung kesalahan jenayah syariah.
Katanya, setakat ini walaupun Dewan Undangan Negeri (DUN) telah meluluskan Rang Undang-Undang berkaitan perkara tersebut namun tiada tindakan diambil sebelum ini kerana masih dalam proses mendidik sehingga rakyat di negeri ini mendapat kefahaman yang jelas.
"Setakat ini kita beri nasihat, nasihat disampaikan melalui penguatkuasa di majlis daerah perbandaran dan juga melalui pejabat agama dan daerah, insya-Allah telah tiba masanya kita bertegas dalam penguatkuasaan.
"Selama ini kita hanya mengambil tindakan meminta pihak polis dan penguatkuasa untuk memberikan nasihat-nasihat terakhir ketika diadakan operasi 'Ops Bonceng' pada Januari yang lalu," ujarnya.
Beliau berkata demikian, selepas menyempurnakan Sambutan 'Terengganu Hijab Day' di Dewan Perdana Komplekas Pentadbiran Al-Wathiqu Billah Shah, di sini semalam.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor dan Pengarah Urus Setia Wanita negeri, Wan Nur Sakinah Din.
Menurut Hanafiah, Terengganu Hijab Day yang telah memasuki tahun kelima penganjurannya adalah usaha berterusan dalam memperkenalkan pakaian mengikut syariat sebagaimana yang dianjurkan dalam Islam.
"Bagi memastikan pakaian menutup aurat dan berhijab dengan tepat mesti melabuhkan sehingga ke bawah paras dada, yang ini kita beri didikan dari semasa ke semasa, apatah lagi wanita muda hari ini suka bergaya mengikut fesyen masing-masing.
"Jadi kita cuba kemukakan, bahawa inilah pakaian yang sebenar mengikut etika patuh syariah," ujarnya lagi.
21 Feb 23
529
Bajet 2023 : Jangan Biar Suri Rumah Terbeban
KUALA NERUS, 21 Februari - Kerajaan Persekutuan diharap mampu mengemukakan penyelesaian yang mampu mengembirakan hati seluruh rakyat khususnya suri rumah menerusi Bajet 2023 yang akan dibentangkan iaitu menurunkan harga bahan mentah.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Naisonal negeri, Hanafiah Mat berkata, perkara tersebut menjadi harapan golongan terbabit demi kelangsungan hidup.
"Saya berharap sangat perkara ini diberikan tumpuan kerana kalau harga barang tidak dapat diturunkan serta diselesaikan ia akan menjadi beban serta masalah kepada golongan ibu yang selama ini bertungkus lumus menyediakan masakan setiap hari.
"Jadi seluruh pengguna mengharapkan agar kerajaan campuran ini dapat memastikan kos barangan keperluan dapat dikurangkan dengan seberapa segera,"ujarnya.
Beliau berkata demikian, ketika ditemui pihak media, selepas menyempurnakan Sambutan Terengganu Hijab Day 2023 bersama Ustaz Azhar Idrus bertempat di Dewan Perdana, Kompleks Pentadbiran Al-Wathiqu Billah, di sini semalam.
Dalam pada itu, Hanafiah berharap, Bajet 2023 yang akan dibentangkan nanti juga akan dapat menaikkan bantuan kewangan kepada golongan ibu tunggal.
"Selama ini kerajaan negeri telah memberikan sumbangan bantuan 'one-off' jadi saya mengharapkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dapat menaikkan bantuan bulanan kepada ibu tunggal.
"Manakala yang bekerjaya dalam bidang perniagaan saya mohon tambahkan lagi peruntukan tanpa faedah sebagaimana yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) dimana setiap mereka boleh membuat pinjaman sehingga RM20,000," ujarnya.
Sementara itu, beliau turut berharap agar kerajaan campuran hari ini menunaikan segala-janji manifesto yang dikemukakan oleh Pakatan Harapan (PH) sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
"Antarnya memansuhkan hutan Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) secara bersasar, secara tidak langsung kebajikan ini akan memberikan kesenangan kepada seluruh rakyat," ujarnya.
21 Feb 23
838
'Pencetus Provokasi Himpit Yang Gusarkan Rakyat'
KUALA NERUS, 20 Februari - Pencetus provokasi program Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit) adalah individu yang bertanggungjawab menimbulkan kegusaran kalangan rakyat, ujar Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri.
Hanafiah Mat berkata segelintir pihak itu memiliki agenda politik dengan cuba mewajahkan perarakan tersebut sebagai 'ganas'.
Katanya, ia merupakan usaha untuk memburuk serta menjatuhkan imej kerajaan Terengganu yang diketuai PAS.
"Itu hanya provokasi politik, saya rasa adalah lebih baik hentikan perkara yang tidak berguna seumpama ini, lebih baik beri tumpuan kepada kesejahteraan rakyat, lebih sepuluh tahun sebelum ini tidak pernah lagi dijadikan isu, ini kali pertama.
"Ia dicetuskan oleh tangan-tangan ghaib yang tidak beruas hati dan memiliki agenda politik untuk menjatuhkan PAS sedangkan penglibatan parti ini sudah melebihi 60 tahun tidak pernah menyusahkan serta menakutkan rakyat, sebaliknya semakin diterima dan disayangi, buktinya 'gelombang hijau' telah menjelajah semua negeri yang ada dalam Malaysia," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pihak media, selepas menyempurnakan Sambutan 'Terengganu Hijab Day' 2023 Bersama Ustaz Azhar Idrus, di Dewan Perdana, Kompleks Pentadbiran Al-Wathiqu Billah, di sini hari ini.
Menurut Hanafiah, pihak kerajaan negeri membuka pintu seluas-luasnya kepada pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk melakukan siasatan secara lebih terperinci.
"Setiap kali penganjuran program ini kita dah maklumkan kepada polis, dan dah dapat permit sebagaimana kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Terengganu, bahawa telah memperolehi maklumat kita mempersilakan siasaran, saya menafikan terselit agenda untuk melakukan sebarang keganasan.
"Kita tidak berhasrat untuk mengambil apa-apa tindakan kerana kecil sangat tidak pada dengan kes, kita tidak ekstrim apa yang dibawa dalam perarakan pada program tersebut hanya replika semata-mata.
"PAS merupakan parti yang telah mewarnai politik tanah air, setiap kali kalah kita teruskan semua, perjuangan kita tidak sebagaimamana parti lain," ujarnya.
Mengulas mengenai penularan program tersebut, beliau berkata ia menjadikan PAS semakin dikenali.
"Tidak memberi kesan dan memusnahkan imej, sebaliknya semakin menaikkan imej, alhamdullilah seluruh agensei media sama ada di TV, akhbar dan sebagainya membuat liputan tentang perkara ini, kalau tidak bila lagi program yang dianjurkan pemuda PAS nak masuk dalam TV.
"Perkara ini juga tidak menjejaskan persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri yang dijangka sekitar Jun atau Julai," jelasnya.
20 Feb 23
824
PPR Kuala Nerus Dijangka Siap 25 Februari
KUALA NERUS, 20 Februari- Timbalan Ketua Setiausaha (Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti) Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, Datuk Azhar Ahmad memaklumkan, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kuala Nerus dijadualkan siap sepenuhnya 25 Februari ini.
Menurut beliau, kelewatan menyiapkan projek itu berlaku disebabkan beberapa faktor termasuk pelaksanaan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19.
“Sepatutnya projek ini siap pada 16 April 2021 namun tarikh siap sebenarnya jatuh pada 25 Februari 2023 setelah mendapat beberapa keputusan.
“Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan akibat pandemik COVID-19 yang melanda negara berkuatkuasa 18 Mac 2020 lalu telah menganggu kelancaran perjalanan projek kerana pihak kontraktor terpaksa memberhentikan kerja-kerja di tapak.
“Mereka telah dapat mulakan kembali kerja tapak pada 14 April 2020, namun sekali lagi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dilaksanakan menyebabkan pihak kontraktor menghadapi masalah kekurangan tenaga kerja di samping kelewatan menerima barang binaan daripada pihak pembekal,” ujarnya ketika berucap di Majlis Penyerahan Projek Perumahan Rakyat Kuala Nerus, hari ini.
Pada sesi menandatangani dokumen penyerahan projek sempena majlis tersebut, beliau telah mewakili Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan manakala Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja mewakili Kerajaan Negeri Terengganu.
Katanya, PPR Kuala Nerus yang dibangunkan di Kampung Bukit Nanas, Tepoh itu mempunyai enam blok bangunan setinggi lima tingkat dengan bilangan 500 unit kediaman dengan saiz setiap unit rumah berukuran 700 kaki persegi.
“PPR Kuala Nerus ini adalah sebuah projek dibawah Rancangan Malaysia Ke-10 yang telah dirancang untuk membantu Kerajaan Negeri Terengganu menyediakan kediaman kepada penduduk di kawasan sekitar Kuala Nerus.
“Saya berharap dengan penyerahan projek ini dapat memberikan impak positif dan kemajuan kepada rakyat dalam memastikan agenda negara tercapai iaitu menyediakan perumahan mampu milik kepada rakyat,” ujarnya.
20 Feb 23
2927
Solidariti Kemanusiaan 'Terengganu For Turkiye' Dilancarkan
KUALA TERENGGANU, 16 Februari - Sebagai tanda solidariti terhadap bencana yang melanda Selatan Turkiye dan Utara Syria kerajaan Terengganu telah melancarkan tabung 'Terengganu For Turkiye'.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, tabung itu merupakan satu inisiatif atas dasar prihatin dan ambil peduli terhadap negara terbabit yang dilanda gegaran gempa bumi yang dahsyat pada 6 Februari lalu.
"Juga atas dasar kebersamaan dengan rakyat Turki kerajaan negeri sekali lagi menganjurkan satu program tabung 'Terengganu For Turkiye' sepertimana tabung yang pernah ditubuhkan sebelum ini iaitu 'Terengganu For Yemen', 'Terengganu For Palestine' dan 'Terengganu For Lubnan.
"Bermula dari sekarang kita akan mengadakan 'roadshow' ke seluruh pelusuk daerah dalam negeri Terengganu untuk mengumpulkan sumbangan bagi membantu meringankan penderitaan mangsa," ujarnya melalui suatu kenyataan, di sini, hari ini.
Menurut Wan Sukairi, kutipan derma melalui tabung berkenaan akan diserahkan kepada Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada 8 Mac.
"Sumbangan itu akan datang daripada pelbagai pihak samda jabatan, agensi kerajaan negeri, anak syarikat, orang perorangan serta ngo-ngo dan juga syarikat-syarikat tertentu yang bersedia untuk memberikan sumbangan.
"Sehubungan dengan itu juga kerajaan negeri insya-Allah melalaui satu rombongan akan menghantar sendiri bantuan tersebut ke Turkiye pada 17 Mac yang akan datang,"katanya.
Justeru, beliau menyeru seluruh rakyat Terengganu beramai-ramai menyumbang ke tabung berkenaan sebagai solidariti terhadap nasib yang menimpa negara terbabit.
16 Feb 23
313
Tidak Wajar Ugut, Halang 'TikTokers' Bersuara
Pihak tertentu tidak sewajarnya menyalahguna kuasa dengan mengugut dan menghalang pengguna media sosial seperti TikTok daripada bersuara mengkritik kerajaan secara berfakta.
16 Feb 23
97
'Double Claim' Punca Lewat Agih Bantuan Banjir
Agihan bantuan khas banjir daripada kerajaan negeri masih belum dapat disempurnakan sepenuhnya kerana ada kalangan rakyat yang tidak jujur dalam melakukan tuntutan.
16 Feb 23
112