Artikel "Utama" Terkini
TLHT-MSNT Gagal Jelma Kebangkitan
KUALA TERENGGANU, 16 Februari - Jaringan Fazila Sylvester Silin menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-46 gagal menyuntik semangat Pasukan Hoki
Wanita Terengganu (TLHT-MSNT) untuk bangkit mengutip mata apabila tewas 1-2 kepada Young Tigress dalam aksi Liga Hoki Wanita Malaysia (MHL) di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di sini, semalam.
Bermain di laman sendiri, gandingan pemain muda dan berpengalaman TLHT-MSNT mempamerkan aksi kurang meyakinkan menentang skuad projek remaja kebangsaan itu.
Pelawat turut mengejutkan tuan rumah dengan mendahului menerusi pukulan ‘reverse’ Siti Nur Irdina Mohd. Nor pada minit ketujuh.
Ypung Tigress semakin garang selepas pemain kebangsaan, Khairunnisa Ayuni Mohd. Sharuddin meledak gol kedua pelawat hasil percaturan bijak dalam pukulan sudut penalti.
Memasuki babak kedua, TLHT-MSNT berjaya mengurangkan tekanan untuk bangkit dengan gol pukulan sudut penalti Fazila untuk merapatkan kedudukan kepada 1-2.
Bagaimanapun, kebangkitan yang cuba dijelmakan tuan rumah dibayangi kecemerlangan penjaga gol pelawat, Fitrinur Amiera Ramlee.
Kekalahan 2-1 itu meleburkan hasrat anak-anak buah Mohd Shahrun Nabil Abdullah untuk mengekalkan kedudukan teratas Liga Hoki Wanita Malaysia.
16 Feb 23
352
'Double Claim' Punca Lewat Agih Bantuan Banjir
MARANG, 15 Februari - Agihan bantuan khas banjir daripada kerajaan negeri masih belum dapat disempurnakan sepenuhnya kerana ada kalangan rakyat yang tidak jujur dalam melakukan tuntutan.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ada pihak melakukan tuntutan dua kali mengakibatkan proses pemutihan senarai nama yang berdaftar sebagai mangsa terpaksa dilakukan agar yang benar-benar layak sahaja menerimanya.
"Saya terpaksa jelaskan untuk pengetahuan seluruh rakyat dan setiap anggota masyarakat mengambil cakna dan bersifat amanah di antara satu sama lain supaya yang benar-benar layak sahaja menerimanya.
"Masalah timbul apabila ada kalangan mangsa-mangsa ini yang telah membuat 'double claim', isteri mengaku sebagai mangsa banjir di sebuah Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala suami pula pergi ke DUN yang satu lagi turut mendaftar nama sebagai mangsa juga, malah ada yang tidak terlibat cuba 'register' sebagai mangsa.
"Sebab itu saya menyeru kepada seluruh masyarakat supaya jujur dan beramanah tidak membuat tuntutan dua kali kerana ini merupakan wang negeri juga merupakan wang rakyat untuk diagihkan kepada yang memerlukan serta seharusnya dibantu," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman, selepas menyempurnakan penyampaian bauncer pakaian sekolah kepada 1,950 penerima di DUN Rhu Rendang, di Dewan Komuniti, Kampung Medan Jaya, Rusila, di sini, semalam.
Justeru itu katanya, kerajaan negeri ketika ini sedang berusaha untuk mengesahkan kesemua senarai nama penerima.
"Kita sedang menunggu, ada dua daerah lagi yang belum menghantar senarai nama yang telah melalui proses pemutihan, setelah kita menerima kesemua senarai nama yang telah disahkan itu barulah kita akan sampaikan bantuan sebagaimana yang telah dijanjikan.
"Saya menyeru kepada seluruh anggita masyarakat pada masa akan datang terutamanya mangsa banjir perlu jujur, tidak melakukan tuntutan dua kali, bersikap benarlah dalam membuat tuntutan ini,"ujarnya.
16 Feb 23
1254
Tidak Wajar Ugut, Halang 'TikTokers' Bersuara
MARANG, 15 Februari - Pihak tertentu tidak sewajarnya menyalahguna kuasa dengan mengugut dan menghalang pengguna media sosial seperti TikTok daripada bersuara mengkritik kerajaan secara berfakta.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tekanan politik kerana tidak berpihak kepada kerajaan sangat bercanggah dengan kebebasan bersuara yang sering dilaungkan dalam negara demokrasi.
Katanya, adalah tidak menjadi masalah jika kritikan yang diberikan bersifat jujur dan berfakta serta tidak melampau.
"Tidak ada apa-apa isu sebenarnya di kalangan 'TikTokers' ini, sekiranya ada tindakan perlu diambil mengikut saluran yang sepatutnya bukan dengan melakukan ugutan kepada mereka dan keluarga mereka.
"Mengugut, menghalang dan sebagainya itu merupakan cara lama pada tahun 70-an dahulu, ia tidak patut diamalkan pada zaman langit terbuka seperti sekarang ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menyempurnakan penyampaian baucer pakaian sekolah kepada 1,950 penerima di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, di Dewan Komuniti Kampung Medan Jaya, Rusila, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri menyatakan beliau tidak faham dengan sikap pihak ahli-ahli politik pemerintah yang cuba memberikan tekanan kepada pengguna medium berkenaan.
"Saya ada mengikuti beberapa 'TikTokers' yang menerima ugutan, 'harassment' dan sebagainya, sedangkan apa yang mereka paparkan adalah secara berfakta sekiranya ada perkara-perkara dianggap mengancam keselamatan dan berbaur fitnah, kita ada undang-undang di peringkat negara.
"Jadi kenapa perlu buat 'harassment' dan 'body shaming' kepada 'TikTokers' ini. Saya menyeru kepada semua anggota lapisan masyarakat terutamanya pengguna TikTok, beranilah kerana benar dan itulah peranan mereka untuk membuat teguran dalam sesebuah negara dan negeri," ujarnya lagi.
15 Feb 23
410
Terengganu Tumpu Bidang Pembuatan, Farmaseutikal
KUALA TERENGGANU, 15 Februari- Kerajaan Terengganu mahu memberi tumpuan kepada bidang pembuatan serta farmaseutikal yang dikenal pasti mempunyai potensi besar untuk berkembang di rantau ini sekaligus mampu menarik minat pelabur.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ketika menerima kunjungan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ke kediaman rasminya di Seri Setia semalam, mereka ada berbincang mengenai bagaimana untuk meningkatkan jumlah pelaburan di Negeri Terengganu.
“Dalam pertemuan itu saya dimaklumkan bahawa beliau (Tengku Zafrul) akan mewakili Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk mengadakan misi pelaburan ke luar negara dan mungkin akan dijemput negeri-negeri untuk turut sama ke negara tertentu dalam waktu terdekat ini.
“Kita tunggu maklumat dari pihak kementerian dan kami juga berbincang tentang apakah bidang-bidang industri yang boleh dibawa ke Terengganu.
“Saya fokuskan kepada bidang di luar minyak dan gas supaya kita ada kepelbagaian bidang lain seperti pembuatan dan farmaseutikal,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai pertemuan tersebut selepas menyempurnakan Majlis Meet & Greet Menteri Besar Terengganu bersama Penerima Biasiswa Master & PhD Yayasan Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.
Katanya, bidang pembuatan dan farmaseutikal masih kurang diberi tumpuan walaupun Terengganu sudah memiliki Bio Polimer Park di Kerteh yang mengfokus kepada bidang-bidang yang berkaitan biologi dan seumpamanya.
“Kalau boleh kita mahu supaya dipertingkatkan mengenai farmaseutikal dan lain-lain yang berkaitan di negeri ini,” ujarnya.
15 Feb 23
394
Laluan ECRL ke Pelabuhan Kemaman Jangka Siap 2024
KEMAMAN, 15 Februari - Pelan pembangunan fasa pertama Konsortium Pelabuhan Kemaman (KPK) bagi pelaksanaan kerja pembinaan laluan kereta api (spur line) dari stesen utama dijangka siap sebelum akhir tahun depan.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC Bhd), Ir Muhtar Suhaili berkata, projek yang menelan kos RM20 juta itu akan dimulakan selewat-lewatnya akhir tahun ini dan dijangka siap dalam masa 13 bulan.
Jelas beliau, pihaknya kini dalam proses perbincangan untuk perlantikan konsultan dan pasukan pengurusan projek (PMT)
“Laluan ini akan menghubungkan stesen utama Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ke Pelabuhan Kemaman," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program bersama media di Pelabuhan Kemaman di Telok Kalong semalam.
Menurut Ir Muhtar, projek pembesaran pelabuhan kemaman akan diteruskan untuk beberapa fasa iaitu fasa kedua yang dijangka bermula pada 2026 dan fasa ketiga pada 2030 dengan anggaran kos RM3 bilion untuk memenuhi permintaan aktiviti yang semakin meningkat.
“Kita sedang berbincang dengan beberapa orang pelabur yang boleh bekerjasama dengan untuk fasa ketiga termasuklah memanjangkan lagi pelabuhan kita dan fungsinya untuk menampung keperluan pengguna pelabuhan dalam masa sekarang dan masa hadapan.
“Pelan ini dimulakan seiring dengan peningkatan kapasiti pegendalian kargo sebanyak 12 juta tan metrik (MT) pada masa ini sehingga 30 juta MT akan direkodkan setelah projek pembesaran ini siap kelak.
15 Feb 23
1381
Pembudayaan Pendidikan Rakyat Sepanjang Hayat Diberi Tumpuan
KUALA TERENGGANU, 14 Februari - Kerajaan negeri sentiasa memberikan sepenuh tumpuan terhadap pendidikan di kalangan rakyat termasuk kempen pembudayaan pembelajaran sepanjang hayat bagi meningkatkan kualiti hidup masyarakat.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, inisiatif yang dilakukan itu akan menjadikan rakyat negeri ini memiliki intelektual serta spiritual yang sejahtera.
"Kita ingin membawa keluar pemikiran rakyat negeri dan negara ini dari (menumpukan) pendidikan rasmi sahaja kepada penekanan pendidikan sepanjang hayat.
"Dengan belajar, berfikir dan membaca akan menjadi praktis kepada otak kita supaya terus aktif, insyaAllah, apa saja usaha yang membawa manfaat kepada rakyat Terengganu akan kita teruskan,"ujarnya menerusi facebook rasminya, hari ini.
Justeru itu, beliau merakamkan ucapan tahniah atas inisiatif Persatuan Alumni Pelajar Yayasan Terengganu (PAKAT) yang telah memastikan pemerkasaan pendidikan di kalangan rakyat itu dapat direalisasikan.
"Kerana telah bertindak menggariskan pelbagai usaha menampung kelompongan pendidikan selepas Kongres Pendidikan Rakyat Terengganu yang lalu,"ujarnya.
14 Feb 23
124
1,573 Pelajar B40 Terima Bantuan Persekolahan
KUALA TERENGGANU, 14 Februari – Seramai 1,573 individu daripada keluarga kurang berkemampuan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk menerima bantuan awal persekolahan hari ini.
Bantuan tersebut merupakan inisiatif daripada Kerajaan Terengganu bagi meringankan beban rakyat khususnya ibu bapa dalam membuat persiapan buat anak-anak mereka untuk sesi persekolahan akan datang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi telah hadir bagi menyempurnakan perasmian majlis agihan tersebut yang diadakan di Dewan Kenanga Terengganu Equestarian Resort (TER).
“Agihan bantuan ini merupakan duit rakyat, kita kembalikan kepada rakyat untuk dimanfaatkan oleh mereka yang layak khususnya dalam konteks program hari ini iaitu anak-anak bersekolah.
“Tidak dinafikan di sana ada beberapa kelemahan daripada pihak kerajaan, namun kita sentiasa berusaha untuk menambah baik dari semasa ke semasa,” kata Dr. Muhammad Khalil dalam ucapan perasmiannya.
Menurut beliau lagi, inisiatif-inisiatif yang berterusan daripada Kerajaan Negeri Terengganu menunjukkan bahawa kerajaan serius dalam menjaga kebajikan rakyat.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) yang telah menguruskan agihan bantuan ini dengan lancar,” tambahnya lagi.
Antara kelengkapan yang diterima ialah sepasang pakaian sekolah, kasut dan beg sekolah.
14 Feb 23
578
MB Terengganu Bayangkan DUN Bubar Sebelum Julai 2023
Menteri Besar Terengganu, Dato Seri Ahmad Samsuri Mokhtar memberi bayangan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibuat sebelum Julai hadapan.
14 Feb 23
268
ADUN Belia Jangan Jadi ‘Burung Kakak Tua’
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia Terengganu diingatkan agar terus memberikan komitmen melaksanakan program dan agenda belia serta tidak takut membuat kritikan jika mempunyai asas dan fakta yang kukuh.
14 Feb 23
123
Kerajaan Perpaduan Tipu Rakyat, Bukan Madani
KUALA TERENGGANU, 13 Februari - Pakatan Harapan (PH) telah menipu rakyat serta seluruh dunia dengan menubuhkan 'Kerajaan Perpaduan' serta bukan kerajaan 'madani' sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.
Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, mengikut istilah sains politik kerajaan perpaduan yang sebenar tiada pembangkang atau dalam jumlah yang sedikit.
Menurut beliau, PH sebenarnya memimpin kerajaan campuran dengan ahli Parlimen mereka didominasi oleh bukan Islam seramai 50 orang dan 31 daripada kalangan orang Islam serta tidak menjadikan Melayu Muslim yang berintegriti bagi mendominasi penduduk negara ini sebagaimana yang terkandung dalam hadis.
"Selain itu, kerajaan campuran ini bercampur aduk pula dengan pelbagai ideologi seperti kalangan liberal, puak ekstrem berhaluan kiri mahupun kanan, serta kalangan opurtunis.
"Malah mereka disertai oleh kalangan yang dipertikai integritinya seperti bekas banduan, kluster mahkamah, kronisme dan nepotisme yang menjadi gejala dalam kerajaannya.
"Betapa mereka adalah paling jauh daripada ciri-ciri 'madani' yang mampu mencipta kemajuan yang positif dan jauh daripada konsep al-din yang wajib menjadi panduan," ujarnya melalui Bicara Media Presiden yang dimuat naik di facebooknya semalam.
Presiden PAS itu turut berkata, kepimpinan negara yang dilantik menerajui negara adalah kalangan mereka yang hanya menang tipis dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 yang lalu dengan mendapat sokongan bukan muslim.
"Bukannya sokongan kaum muslim yang mendominasi penduduk negara. Calon pemimpinnya berpindah randah tempat bertanding sehingga terpaksa bergantung kepada sokongan bukan Islam yang tidak mendominasi keseluruhan penduduk.
"Makin hari, makin terdedah perkara-perkara yang melibatkan soal salah laku, sehingga beberapa orang pemimpin dalam komponennya sendiri membuat teguran secara terbuka kepada media melalui lisan dan tulisan, menyentuh prinsip dan integriti yang menggoncangkan kedudukan mereka.
"Keadaannya tidak mampu ditutup dengan alasan kenyataan dan tindakan menyerang parti lawan dengan tujuan menutup kelemahan mereka," ujarnya lagi.
14 Feb 23
638