Artikel "Utama" Terkini
Klasik, Ikonik... Kedai Kopi Buruk Kembalikan Nostalgia
KUALA TERENGGANU, 7 Mac - Pasti ramai antara kita tidak pernah membayangkan betapa nikmatnya secangkir kopi kampung panas dapat dihirup di sebuah kedai kopi dengan suasana yang nostalgik.
Dan, duduk bersantai di situ tidak sempurna kiranya minuman yang anda nikmati itu tidak ‘digandingkan’ dengan sekeping roti bakar atau kuih muih tradisi.
Bagi mereka yang merindui suasana ini boleh berkunjung ke Kedai Kopi Buruk di Kampung Wakaf Beruas yang baru sahaja beroperasi sebulan yang lalu dan sekarang ini telah menjadi bualan warga Terengganu amnya.
Pemiliknya, Ahmad Zulhisyam Awang, 35, berkata dia bersama adiknya, Asraff Awang, 29, sudah lama bercita-cita untuk membuka kedai berkonsepkan klasik dan mula serius sejak lima tahun yang lalu.
Berkongsi cerita, dengan bermodalkan lebih RM60,000, dia dan adiknya mengubahsuai bangunan yang disewa dan membuat beberapa penambahbaikan untuk menghasilkan sebuah kedai yang mempunyai aura .
“Sebelum ini, saya telahpun berniaga dengan menjual minuman di Pantai Batu Buruk pada 2019 menggunakan kenderaan antik, Volkswagen selain pada waktu yang sama mengumpul bahan-bahan untuk dipamerkan.
“Dalam tempoh itu, saya gunakan untuk mencari dan mengumpul barangan lama dan klasik dari beberapa negeri seperti Perak dan Pulau Pinang selain mendapatkan koleksi dari tempat besi buruk.
“Selepas hampir lima bulan membuat persediaan, akhirnya terbina tempat makan dengan suasana klasik ada auranya tersendiri. Tak hanya menawarkan hidangan yang cukup menyelerakan, malah hiasan dalaman yang serba antik dan padat dengan nostalgia buatkan ia menarik untuk dikunjungi,”katanya kepada Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui.
Tidak seperti kedai kopi atau kopitiam lain, dekorasi dan menu ‘orang lama’ yang diketengahkan di sini mampu menggamit memori silam atau membuatkan tetamunya mengimbau kembali hidangan dan persekitaran yang pasti pernah dirasai ketika zaman kanak-kanak dahulu.
Pengunjung yang datang ke sini bagai merentas masa kembali ke zaman silam berikutan dekorasi laman kedai yang berasaskan barang-barangan antik. Kedai makan kayu lama yang dihiasi aneka barangan antik pastinya menerbitkan rasa nostalgia pelanggan.
Deretan tin kopi, botol air lama, kerusi dan meja, majalah, gambar-gambar lama di ruang utama termasuk basikal serta vespa diluar kedai menjadi tumpuan tarikan pengunjung yang datang dari jauh dan dekat.
Menurut usahawan muda yang juga bekas pekerja di sebuah syarikat cari gali minyak dan gas dari Itali itu, selain reka bentuk dan susun atur premis, tarikan utama Kedai Kopi Buruk adalah terletak pada minuman yang dibancuh khas menggunakan gabungan kopi terpilih bagi menghasilkan aroma yang lebih istimewa.
Katanya, kedainya menyajikan pelbagai minuman seperti kopi buruk, kopi nisan butter, kopi butter dan kopi O disamping itu pelanggan juga boleh menikmati lempeng nyior, laksam, laksa, roti bakar, mi kari dan nasi putih ayam cincang.
Mengenai nama Kedai Kopi Buruk itu, Ahmad Zulhisyam berkata, dia menggunakan nama yang sama ketika berniaga di Pantai Batu Buruk sebelum ini kerana nama itu mempunyai nilai komersial dikalangan peminatnya
"Lagipun, ia juga sesuai dengan konsep kedai saya yang memang berkonsepkan barangan lama dan klasik," katanya.
07 Mar 23
1028
Premis Menu Rahmah Dijangka Meningkat Menjelang Ramadan
Jumlah premis yang menawarkan Menu Rahmah dijangka meningkat menjelang Ramadan tahun ini.
07 Mar 23
116
Galeri Khairunnisa’ Bantu Pasarkan Produk Usahawan Terengganu
Penubuhan Galeri Persatuan Isteri Wakil-Wakil Rakyat dan Bekas Wakil-Wakil Rakyat PAS Terengganu (Khairunnisa') yang beroperasi di Kompleks Usahawan Terengganu, Manir secara tidak langsung membantu usahawan dan komuniti kraf khususnya untuk memasarkan produk mereka secara terus kepada pengguna.
07 Mar 23
255
Tabung Kemanusiaan Turkiye Lepasi Sasaran RM500,000
KUALA NERUS, 6 Mac - Tabung kemanusiaan 'Terengganu For Turkiye' setakat hari ini dijangka akan melebihi sasaran RM500,000.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pihaknya menjangkakan kutipan berkenaan akan terus bertambah.
"Insya-Allah kita akan melihat jumlah sebenarnya selepas 15 Mac nanti, setakat hari ini telah dapat mengumpul lebih daripada setengah juta dan kita mengharapkan dalam beberapa hari lagi yang masih berbaki ini jumlahnya akan terus bertambah.
"Sekarang ini kita masih lagi dalam proses mengutip dana daripada semua pihak termasuk jabatan, agensi kerajaan dan swasta serta anak-anak syarikat kerajaan negeri serta orang ramai.
"Dengan jumlah ini kita telah pun melebihi sasaran yang pada awalnya dianggarkan jumlah kutipan RM500,000 dan kita anggap ini sebagai bonus, menandakan keprihatinan serta solidariti rakyat Terengganu terhadap rakyat Turki yang dilanda gegaran gempa bumi yang dahsyat pada 6 Februari lalu,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas melancarkan pasukan ketiga yang ditubuhkan Aid4Turkiye & Syria, di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LMTS), di sini hari ini.
Mengulas mengenai delegasi yang diketuai Pakar Perubatan Keluarga, Dr Suhazeli Abdullah, Wan Sukairi berkata ia akan turut disertai oleh 11 doktor pakar dari Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malysia (PAPISMA), Warga Cakna dan beberapa NGO lain yang akan menghantar misi bantuan perubatan.
"Pasukan ini akan turut dibantu oleh sukarelawan dari Dewan Ulama dan Dewan Muslimat PAS Pusat, Liputan Media pula akan dibantu daripada Kelab Aktivis Media Insipirasi (KAMI) dan Radio Penyiaran Manis FM," ujarnya.
Dalam pada itu menurutnya, delegasi kerajaan negeri akan ke Turkiye pada 17 Mac hadapan yang akan diketuai olehnya sendiri.
"Saya turut menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan gempa bumi Turkiye-Syria ini untuk terus sama-sama bersolidariti dengan menyumbang ke Tabung bantuan mangsa gempa bumi melalui Sekretariat Aid4Turkiye&Syria ini.
"Segala sumbangan boleh disalurkan ke akaun Sejagat Relief yang bernombor : 12122010040554 (Bank Islam Malaysia Berhad),"ujarnya lagi,
06 Mar 23
314
Pendaftaran Lesen Motosikal Percuma Dibuka
Pendaftaran permohonan Lesen Motosikal Terengganu Sejahtera (LMTS) akan dibuka pada 6 Mac ini.
06 Mar 23
391
Didik Masyarakat dengan Hiburan Selari Syariat
KUALA TERENGGANU, 5 Mac - Masyarakat perlu dididik dengan hiburan yang berlandaskan panduan ditetapkan dan bersesuaian dengan agama serta adat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor mempersoal sesetengah pihak yang merosakkan cara berhibur dengan membawa masuk hiburan kebaratan.
Zuraida hairan mengapa diperlukan hiburan ala hedonisme yang menampilkan artis yang terkinja-kinja menari di pentas dengan pakaian yang mencolok mata, sedangkan negara kita majoriti penduduknya adalah Melayu-Islam.
Beliau dalam masa yang samamemuji penganjuran program hiburan yang mengambil kira garis panduan syariat dan lebih bertepatan dengan adab sopan setempat misalnya seperti penganjuran Pertandingan Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu yang diadakan baru-baru ini.
"Di saat ada belahan dunia yang lain, subur dengan konsert hiburan yang tidak berlandaskan syariat, kita bawa hiburan yang sesuai dan selari dengan syariat.
"Pertandingan Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu, tidak gagal memberi hiburan kepada kaum majoriti muslim.
"Bahkan hiburan sebeginilah yang sewajarnya buat kita yang dididik dalam suasana penuh kesopanan berkat agama Islam dan adat ketimuran itu sendiri," ulasnya lagi.
Zuraida berkata demikian dalam satu hantarannya di media sosial Facebook, semalam.
Jelasnya, baru-baru ini, Terengganu mengadakan Pertandingan Tadarus & Hafazan Al-Quran di Dataran Pejabat Tanah dan Daerah Marang dan ia mendapat sambutan ramai.
"Ini bukti bahawa masyarakat kita sokong dan hadir sahaja majlis yang sebegini, majlis yang selari syariat," tambah beliau lagi.
04 Mar 23
195
Galeri Khairunnisa’ Bantu Pasarkan Produk Usahawan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 2 Mac- Penubuhan Galeri Persatuan Isteri Wakil-Wakil Rakyat dan Bekas Wakil-Wakil Rakyat PAS Terengganu (Khairunnisa') yang beroperasi di Kompleks Usahawan Terengganu, Manir secara tidak langsung membantu usahawan dan komuniti kraf khususnya untuk memasarkan produk mereka secara terus kepada pengguna.
Pengerusinya, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman berkata, beliau yakin Galeri Khairunnisa’ yang bertindak sebagai pusat aktiviti dan pameran, jahitan dan aksesori serta jualan hasil kraftangan yang memaparkan identiti Negeri Terengganu mampu menarik minat orang ramai untuk melihat barangan yang dijual.
“Idea penubuhan galeri dan pusat aktiviti ini tercetus daripada penganjuran program jejari emas oleh Persatuan Kharunnisa’, di mana kita bersama-sama turun padang untuk ajarkan kemahiran menjahit kepada penduduk di kampung-kampung seluruh Terengganu.
“Justeru, kita ingin lihat adanya satu galeri untuk membantu memasarkan produk dari mereka (orang kampung) tanpa sebarang cas dan penyertaan daripada penduduk yang berminat memasarkan apa sahaja produk yang diusahakan sangat dialu-alukan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Galeri Khairunnisa’ yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman di sini, hari ini.
Katanya, Persatuan Khairunnisa’ juga bercadang untuk mengadakan kolaborasi bersama Portfolio Pelancongan Negeri bagi menjadikan galeri berkenaan sebagai salah satu produk pelancongan.
“Kita selalu menerima rungutan daripada orang luar di Terengganu ini tidak ada satu pusat yang menyediakan kepelbagaian produk Negeri Terengganu, kita cuba buka untuk tujuan itu dan bila bila orang datang nak cari produk Terengganu seperti kraf tangan, batik, anyaman dan sebagainya boleh datang ke sini,” ujarnya.
Tambah beliau, pusat aktiviti wanita yang beroperasi di galeri tersebut juga banyak memberi manfaat kepada penduduk sekitar termasuk membuka peluang kepada mereka mengikuti kelas yang dianjurkan.
“Antara aktiviti yang disediakan seperti kelas menjahit, dandanan dan masakan. Aktiviti sebegini sedikit sebanyak sebenarnya boleh menjana pendapatan kepada mereka khususnya suri rumah,” jelasnya.
Sementara itu, Mohd Nurkhuzaini menyambut baik inisiatif yang dilaksanakan Persatuan Khairunnisa’ menubuhkan gelari dan pusat aktiviti terbabit.
“Tahniah saya ucapkan kepada usaha murni pihak persatuan yang telah menjadi peneraju untuk membantu memasarkan produk usahawan khususnya dalam pembuatan kraf dan seumpamanya.
“Dengan adanya galeri sebegini kita dapat ketengahkan lagi hasil usahawan Terengganu kepada pengunjung dari dalam dan luar negeri.
“Penduduk sekitar juga boleh ambil manfaat untuk pasarkan produk masing-masing kerana ramai yang saya jumpa mereka boleh menghasilkan produk tetapi agak gagal untuk memasarkan dan sayang kerana produk-produk mereka ini sebenarnya berkualiti,” ujarnya.
02 Mar 23
665
Terengganu Sedia Bantu Mangsa Banjir di Johor
KUALA TERENGGANU, 2 Mac - Terengganu akan menghantar pasukan sukarelawannya bagi membantu negeri Johor yang kini sedang berhadapan dengan musibah banjir.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya telah menghubungi Menteri Besar Johor, Dato' On Hafiz Ghazi bagi mendapatkan maklumat semasa mengenai banjir di negeri terbabit pada jam 8.20 pagi ini.
"Saya telah memaklumkan kepada beliau bahawa Terengganu akan mengerakkan pasukan sukarelawan terdiri daripada pelbagai unit seperti T-Volts, Khidmat Malaysia, Jabatan Amal dan lain-lain bagi membantu proses pembersihan pasca banjir nanti, insya-Allah," ujarnya menerusi facebooknya, di sini, hari ini.
Sehubungan dengan itu, Dr Ahmad Samsuri turut mendoakan agar mereka yang diuji bersabar dan bertabah.
"Semoga rakan taulan di Negeri Johor Darul Takzim tabah dan bersabar dengan ujian ini," ujarnya.
Keadaan banjir di Johor bertambah buruk dengan bilangan mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) melonjak kepada 25,213 orang setakat jam 8 pagi ini.
Mereka membabitkan 7,013 keluarga yang dipindahkan ke 187 PPS yang dibuka di 10 daerah terjejas banjir.
Keadaan hujan lebat berterusan berserta fenomena air pasang menyebabkan keadaan banjir semakin buruk dan menjejaskan ramai penduduk.
02 Mar 23
136
Tilawah dan Hafazan Subur Kecintaan Pada Al-Quran
Usaha kerajaan negeri menganjurkan majlis tilawah dan hafazan al-Quran diharap mampu menyuburkan kecintaan masyarakat untuk lebih menghayati kitab suci umat Islam itu.
01 Mar 23
180
Tanah Bris 8,000 Hektar Peluang Rakyat Tanam Kelapa
Kerajaan negeri membuka ruang dan peluang seluas-luasnya untuk rakyat negeri ini bagi mengusahakan tanaman kelapa yang memberikan pulangan sangat lumayan.
01 Mar 23
275