Artikel "Utama" Terkini
Sistem Perlindungan Pantai Seberang Takir Siap
KUALA TERENGGANU, 8 Mac - Projek sistem perlindungan pantai di sepanjang Pantau Seberang takir dijangka siap pada 31 Mac ini.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, projek itu termasuk kerja-kerja pemulihan pantai serta pembinaan 'North Groyne' dan 'South Groyne' di bawah Majlis Pembangunan Wilayah Pantai Timur (ECERDC).
"Manakala empat tanjung buatan di Pantai Teluk Lipat juga kita rangkakan,dijangka siap pada tahun ini. Antara projek lain yang sedang dilaksanakan termasuk Projek Bekalan Air Kemaman-Gebeng dan Projek Penaiktarafan Jalan Pakej 2: KTCC-KTAR yang dijangka siap pada Julai 2025 nanti," ujarnya.
Beliau berkata demikian melalui suatu kenyataan di facebooknya hari ini.
Dalam pada itu katanya, pihaknya juga telah dimaklumkan oleh pihak ECERDC sedang berusaha untuk memantapkan perniagaan tani dalam sektor tanaman, tenusu dan perikanan.
"Sebagai menyokong agenda keselamatan makanan negara. Terima kasih atas usaha murni dari pihak ECERDC," ujarnya.
08 Mar 23
349
Terengganu Hulur Bantuan Keperluan Asas Ke Johor
KUALA TERENGGANU, 8 Mac - Kerajaan Terengganu menyalurkan bantuan barangan keperluan asas bernilai kira-kira RM200,000 kepada mangsa banjir di Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, bantuan berupa kelengkapan diri, air mineral, tilam serta lain-lain akan dihantar ke negeri itu pada Khamis (esok).
Selain itu katanya, seramai 400 sukarelawan daripada pelbagai persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) Terengganu turut digerakkan dalam misi tersebut.
“Dalam misi membantu mangsa banjir di Johor ini, selain fokus kepada bantuan tenaga kerja untuk melakukan pembersihan oleh para sukarelawan, kita turut membawa sumbangan barangan untuk diedarkan kepada mereka yang terjejas.
“Pagi tadi, kita telah membuat pelepasan para sukarelawan ke kawasan Segamat, Simpang Renggam dan beberapa daerah lain yang boleh dimasuki dari Terengganu, manakala esok kita akan sambung lagi dengan misi menghantar barang-barang keperluan asas,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan insurans kematian kepada waris atlet lawan pedang Terengganu di Kampung Telaga Daing, disini, hari ini.
Katanya, diharapkan dengan bantuan barangan dan penghantaran sukarelawan oleh kerajaan negeri, sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan beban rakyat di negeri Johor yang berdepan bencana banjir.
“Beberapa hari lepas Menteri Besar Terengganu telah berhubung dengan Menteri Besar Johor, selain ucapan takziah, beliau juga berjanji untuk menghantar misi sukarelawan dan bantuan ke Johor,” ujarnya.
08 Mar 23
329
Waris Atlet Lawan Pedang Terima Pampasan RM52,000
KUALA TERENGGANU, 8 Mac- Keluarga kepada seorang atlet pelapis sukan lawan pedang Terengganu, Allahyarham Muhammad Amirul Zulkafli yang meninggal dunia akibat lemas di Pantai Tanjung, Seberang Takir pada 21 Ogos 2020, menerima pampasan daripada Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) berjumlah RM52,000.
Pampasan melalui Skim Perlindungan Insurans Kemalangan Berkelompok daripada MPI Generali Insurans Berhad itu disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah kepada bapa allahyarham Zulkafli Mohd,61, di kediaman keluarga mangsa di Telaga Daing, di sini, hari ini.
Wan Sukairi berkata, kerajaan negeri melalui MSNT sebelum ini menyediakan skim perlindungan insurans kemalangan secara berkelompok untuk semua atlet di bawah jabatan itu.
"Setiap atlet MSNT dilindungi insurans sebagai bukti kecaknaan dan keprihatinan kerajaan negeri terhadap mereka. Dengan adanya pampasan seperti ini, ia sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban keluarga mangsa sekiranya berlaku perkara tidak diingini kepada atlet," katanya selepas menyempurnakan majlis penyerahan wang pampasan insurans termasuk pengurusan jenazah bernilai RM52,000 itu.
Turut hadir, Pengarah MSNT, Ahmad Shahrizal Yahaya.
Dalam kejadian malang tersebut, Allahyarham Muhammad Amirul yang ketika itu berusia 15 tahun ditemukan lemas ketika mandi bersama enam rakannya di pantai tersebut dan salah seorang rakan Allahyarham, Muhammad Aidil Ashman Abdul Manan turut lemas.
Sementara itu, Hasmaliza Omar, 40, yang merupakan ibu kepada Allahyarham Muhammad Amirul berkata, dia akan menggunakan wang pampasan berkenaan untuk kebajikan allahyarham termasuk membuat tahlil dan sebahagiannya akan disedekahkan kepada rumah anak yatim.
"Kami bersyukur dan terkejut ketika dimaklumkan MSNT, sebenarnya tidak menyangka akan menerima wang pampasan ini kerana kejadian menimpa anak saya bukan dalam tempoh latihan atau sertai kejohanan.
“Wakil MSNT juga ada maklumkan supaya kami tidak berharap, apa-apapun kami sangat berterima kasih dengan pemberian ini,” ujar ibu kepada tiga anak itu.
08 Mar 23
481
'Tea Peng King' Penaja Baru TFC
KUALA NERUS, 8 Mac - Kelab Bola Sepak Terengganu (TFC) mengumumkan produk Tea Peng King Legacy (TPK) sebagai rakan penaja baharu pasukan itu untuk musim 2023.
Pengurus Operasi TPK Legacy, Mohd Farhanuddin Salleh berkata keputusan itu dibuat bertujuan untuk membawa kelainan dari sudut mempromosikan produk TPK ini.
Katanya, beliau amat bersyukur kerana diberi peluang untuk berkolaborasi dengan TFC yang merupakan sebuah syarikat gergasi yang terkenal di negeri ini.
“Tercedusnya idea untuk menjadi penaja bagi pasukan TFC ini adalah melalui perbualan dan ajakan daripada rakan kerja yang ingin melakukan sesuatu perubahan yang lebih besar terhadap jualan TPK ini.
“Inisiatif ini diambil adalah untuk kepentingan produk kami supaya mendapat hasil yang lebih berkembang justeru kami yakin bahawa TFC merupakan 'platform' yang terbaik untuk mempromosikan produk ini,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Penaja antara Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) dan Tea Peng King Legacy (TPK) bertempat di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di sini semalam.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif TFCSB, Ab Rasid Jusoh, Ketua Pegawai Operasi TFCSB, Sabri Abbas dan Pengurus pemasaran TPK LEGACY, Amri Salleh.
Tambah Mohd Farhanuddin, jumlah penajaan adalah sebanyak RM70,000 untuk semusim namun bergantung kepada komisen, bilangan penonton, permainan dan sebagainya.
"Kami berharap TPK Legacy dapat bersama dengan TFC selama yang boleh serta dapat menjalin hubungan yang baik antara kedua-dua belah pihak," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh berkata kerjasama penajaan ini amat dialu-alukan oleh pihak TFC bagi meningkatkan mutu sukan bola sepak di negeri ini.
Di samping, dapat mempromosikan produk serta jualan masing-masing selaku penaja.
Setakat ini, sebanyak 20 Syarikat telah bersama menjadi rakan penaja bagi pasukan TFC untuk musim 2023 dan mungkin akan bertambah.
“Berbeza pada musim 2022 yang hanya mendapat bilangan penaja sebanyak 15 Syarikat,” ujarnya.
08 Mar 23
986
Pernah Dihina, Kini Masliza Teraju Mi Wantan Halal Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 8 Mac - Walaupun pernah dihina namun wanita ini berjaya bangkit semula dan berbangga dengan kejayaan yang dikecapi hari ini.
Pengasas Mi Wantan Annur, Nur Masliza Abdullah, 60, berkata, cercaan daripada seorang pelanggan dijadikan pembakar semangat untuk berusaha lebih keras.
Katanya, tanggungjawab sebagai seorang muslim menjadikan dia lebih kuat dan cekal tekad untuk menerokai pasaran mi wantan halal di Negeri Terengganu.
Beliau yang merupakan seorang muallaf berbangsa cina yang telah 27 tahun memeluk agama Islam, memulakan perniagaan membuat mi sejak 15 tahun yang lalu.
Puan Nur Masliza Abdullah.
"Kami sudah menceburi bidang ini selama hampir 15 tahun, bermula dengan berniaga kecil-kecilan bagi menjana ekonomi keluarga.
"Kelebihan produk kami ialah kami tidak menggunakan bahan kimia, sebaliknya hanya menggunakan bahan yang selamat dan organik.
"Mi kami menggunakan bahan seperti saffron, kismis, habatussauda, za'atar (oregano) dan air beralkali yang mengandungi natrium dan serta mineral lain," ujarnya yang kini mempunyai lapan pekerja.
Beliau berkata demikian ketika ditemuramah di Kilang Mi Wantan Annur miliknya yang terletak di Kompleks Usahawan Terengganu (KUT) Kubang Jela, Manir.
Menurut Masliza lagi, mereka menggunakan tepung tanpa peluntur yang diluluskan oleh SIRIM (Standard and Industrial Research Institute of Malaysia), bebas benzoate, asid borik, bahan pengawet, pewarna tiruan, plumbum dan sulfur.
Demonstrasi pembungkusan mi wantan.
Selain itu katanya, perencah mi tersebut juga turut menjalani proses Rnd (penyelidikan dan pembangunan) selama dua tahun dan tidak menggunakan MSG (monosodium glutamate).
"Produk kami semuanya dihantar untuk menjalani ujian makmal bagi memastikan ianya selamat untuk dimakan.
"Sebab itu produk kami boleh dimakan oleh kanak-kanak autisme ataupun ekzema," tambahnya lagi.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor bersama-sama ahli Persatuan Usahawan Wanita Negeri Terengganu (SAHANITA) telah mengadakan lawatan ke kilang tersebut.
Ahli rombongan SAHANITA.
Zuraida memuji kerja keras pemilik Mi Wantan Annur dan menyifatkan usaha tersebut adalah sebahagian daripada jihad memartabatkan makanan yang halal dan toyyib (baik).
"Hari ini kita mengadakan kunjungan bagi menunjukkan sokongan kepada produk muslim di samping kita nak menjejaki usahawan wanita dalam Negeri Terengganu.
"Saya menyeru kepada orang ramai untuk sama-sama menyokong produk yang berkualiti ini, insya-Allah ini sumbangan besar kita kepada agama kita," ujarnya.
Zuraida ketika mengadakan lawatan ke kilang pembuatan Mi Wantan Annur.
07 Mar 23
1429
TMBS Bukti Kejayaan Kerajaan Terengganu
Karnival Terengganu Maju Berkat Sejahtera (KTMBS) merupakan ruang terbaik bagi kerajaan negeri untuk memaklumkan kepada rakyat tentang kejayaan negeri Terengganu.
07 Mar 23
236
Rider E-Hailing Sebagai Ejen Dakwah
Pekerja penghantar makanan (rider) ‘E-Hailing’ wajar dianggap sebagai ejen dakwah berikutan perkhidmatan mereka adalah secara langsung bersama masyarakat .
07 Mar 23
226
Terengganu FC Terus Kemarau Jaringan
Terengganu FC gagal memanfaatkan kelebihan tempat sendiri apabila sekadar seri 0-0 menentang Kuala Lumpur City FC (KLCFC) pada aksi ketiga Liga Super Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA).
07 Mar 23
184
'Sepak Takraw Tidak Akan Pupus di Terengganu '
Itu keyakinan yang dilontarkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah ketika merasmikan Kejohanan Sepak Takraw Piala Exco Belia &Sukan Terengganu.
07 Mar 23
702
Bilal Masjid Putih Juara Tilawah Al-Quran Terengganu
Bilal Masjid Abidin (Masjid Negeri), Abdul Hadi Che Abdul Halim, 30 dari Kuala Terengganu dinobatkan sebagai Johan Qari Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu.
07 Mar 23
629