Artikel "Utama" Terkini
                        
                                            
                            Reformasi Segera Sistem Kerjasama Negeri–Persekutuan
                        
                        
                             
KUALA TERENGGANU, 12 Ogos – Kerajaan Terengganu menegaskan perlunya reformasi terhadap sistem kerjasama antara negeri dan Persekutuan dengan mengamalkan konsep federalisme koperatif serta pembahagian hasil negara yang lebih adil.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, amalan seperti di negara-negara maju wajar dijadikan contoh agar pembangunan negeri tidak diikat oleh sentimen politik apabila kerajaan negeri dan Persekutuan berbeza ideologi.
“Dalam konteks ini, hasil petroleum adalah hak negeri yang dijamin Perlembagaan Persekutuan, bukannya keistimewaan.
“Ia perlu dipulangkan sepenuhnya, dibayar tepat pada masanya dan disalurkan tanpa birokrasi yang melambatkan manfaat kepada rakyat, seperti yang berlaku sekarang,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang dibahaskan Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Parlimen semalam, beliau mempersoalkan kedudukan Terengganu yang hanya dilibatkan dalam enam daripada 122 strategi keseluruhan.
“Angka ini menimbulkan persoalan besar tentang sejauh mana kesungguhan Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan Pantai Timur secara serius. Lebih membimbangkan, sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Terengganu hanya ditetapkan 4.8 peratus, jauh lebih rendah berbanding sasaran dalam RMK-12 dan unjuran kerajaan negeri sendiri iaitu 6.6 peratus menjelang 2030,” ujarnya.
Beliau turut mempertikaikan sasaran pertumbuhan sektor pertanian, perikanan dan akuakultur negeri yang hanya ditetapkan 1.1 peratus, sedangkan ia telah mencatat 7.4 peratus pada 2023.
“Ia langsung tidak mencerminkan kekuatan sebenar negeri yang terbukti berupaya mencapai prestasi tinggi dalam perikanan, akuakultur, tanaman dan penternakan. Negeri ini memerlukan projek dan peruntukan berimpak tinggi untuk melonjakkan ekonomi serta memberi kesan positif kepada seluruh Pantai Timur,” tegasnya.
Menurut beliau, projek strategik seperti Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT 3) dan pelaksanaan Economic Accelerator Project (EAP) di sepanjang jajaran ECRL Terengganu juga perlu dimulakan segera kerana mampu menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri.
 
                        
                        
                                12 Aug 25
            
                    
                                50
            
            
                        
                                            
                            R&D dan Inovasi Perlu Digembleng Secara Strategik
                        
                        
                            KUALA TERENGGANU, 12 Ogos - Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) perlu dilihat bukan sahaja menekankan pembangunan aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D), bahkan turut meletakkan secara selari aspek pengkomersialan dan inovasi (C&I), menjadikannya R&D dan C&I.  
Ahli Parlimen Kemaman, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dalam hal tersebut tidak wajar ‘re-invent the wheel’, tetapi lebih sesuai memilih ‘teknologi strategik’ yang ingin dibangunkan sebagai keperluan niche negara dan diangkat sebagai Agenda Nasional. 
Justeru, Menteri Besar Terengganu itu mencadangkan lima proses keutamaan, agar pertambahan peruntukan bagi aspek R&D dan C&I ini menghasilkan impak maksimum kepada rakyat dan negara.
“Antaranya, menetapkan sasaran kenaikan perbelanjaan R&D secara berperingkat, dan mewujudkan mekanisma pemantauan yang efektif. 
“Membangunkan modal insan berkualiti tinggi, melalui pelaksanaan program kajian lanjutan (PhD atau post-doctorate), bertemakan R&D berimpak tinggi dengan sokongan biasiswa yang kompetitif dan peluang kerjaya di dalam industri,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perbahasan RMK-13 di Dewan Rakyat, semalam.
Selain itu katanya, cadangan lain termasuk memperkukuh ekosistem kolaborasi sektor awam-swasta-akademik, melalui galakan program mobiliti antara universiti, institusi penyelidikan dan industri, bagi mempercepat proses pemindahan teknologi serta kemudahan prototaip.
“Juga mengarahkan pendekatan yang berfokus, kepada sektor yang menjadi kelebihan kepada negara dan keperluan setempat seperti industri pertanian pintar, tenaga boleh diperbaharui dan bioteknologi halal. 
“Di samping memantau dan menilai secara berterusan dasar yang berpandukan R&D, dan aliran peruntukan secara data-driven, untuk menghasilkan impak yang maksimum,” jelasnya.
Katanya, segala cadangan dan komentar tersebut diharap dapat dijadikan sebagai teladan dan penambahbaikan di dalam RMK-13, demi kesejahteraan negara dan rakyat secara keseluruhannya.  
 
 
                        
                        
                                12 Aug 25
            
                    
                                59
            
            
                        
                                            
                            Proses Pewartaan Pulau Bidong Sebagai Taman Negeri Terus Diperkemas
                        
                        
                            KUALA TERENGGANU, 12 Ogos - Proses pewartaan Pulau Bidong sebagai sebahagian daripada Taman Negeri sedang diperkemaskan dengan penekanan terhadap pemeliharaan ekosistem dan warisan alam.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, antara syarat utama pewartaan ialah larangan pembinaan struktur kekal di pulau berkenaan.
"Salah satu syarat utama bagi pewartaan ini adalah larangan pembinaan struktur kekal, bagi memastikan ekosistem dan warisan alamnya kekal terpelihara.
"Langkah ini mempunyai implikasi tertentu kepada pihak kerajaan serta pihak-pihak yang telah menjalankan pembangunan di kawasan tersebut.
"Oleh itu, kerajaan perlu melihat perkara ini dari sudut pandang yang seimbang antara kepentingan pemuliharaan alam sekitar dengan keperluan pembangunan sosioekonomi setempat.
Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan yang telah dikeluarkan melalui akaun Facebooknya, berikutan satu tinjauan yang telah dijalankan di pulau itu beberapa hari yang lalu.
Mengulas lebih lanjut, Wan Sukairi menjelaskan bahawa pendekatan sebegitu amat kritikal dalam pewartaan pulau bersejarah tersebut agar tidak menjejaskan mana-mana pihak.
"Pendekatan ini penting bagi memastikan pewartaan Pulau Bidong dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan hak, kepentingan dan kesejahteraan semua pihak yang terlibat," ujarnya.
Terdahulu, kerajaan negeri secara rasmi membuat keputusan bersejarah untuk mewartakan Pulau Bidong sebagai Taman Negeri.
Pewartaan kawasan seluas 231.3 hektar daratan dan perairan 1 batu nautika dari garis air surut pulau itu akan diuruskan oleh Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu.
Perkara tersebut telah diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris pada 7 November, tahun lepas.
                        
                        
                                12 Aug 25
            
                    
                                107
            
            
                        
                                            
                            Dr. Sam Cadang Pusat Kecemerlangan REE, Tegur Hak Negeri Diabai
                        
                        
                            KUALA TERENGGANU, 12 Ogos – Ahli Parlimen Kemaman, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mencadangkan kerajaan Persekutuan menubuhkan Pusat Kecemerlangan Nasional REE bagi merancakkan pembangunan industri unsur nadir bumi bukan radioaktif (NREE) di Malaysia.
Menteri Besar Terengganu itu berkata, pusat berkenaan perlu memberi fokus kepada pembangunan pemprosesan berteknologi tinggi, metalurgi unsur nadir bumi serta kaedah pemulihan tanpa sisa, selari dengan keperluan industri masa depan.
“Walaupun saya menyokong penuh pembangunan industri NREE ini, namun hasil penelitian terhadap perinciannya di dalam RMK-13, penekanan terhadap hak negeri kurang diberikan perhatian. Sedangkan REE ini berada di bawah bidang kuasa negeri seperti termaktub dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
“Apa yang membimbangkan kami di peringkat negeri, setakat rekod yang ada, pihak negeri tidak pernah dilibatkan dalam sebarang urusan berkaitan tuntutan perolehan pihak Amerika Syarikat terhadap NREE di Malaysia, seperti yang dilaporkan media asing sebagai salah satu syarat rundingan tarif dengan Kerajaan Amerika Syarikat,” katanya ketika berucap membahaskan RMK-13 di Dewan Rakyat, hari ini.
Ahmad Samsuri berkata, perancangan pembangunan industri REE kini meliputi keseluruhan rantaian nilai termasuk perlombongan, penulenan dan pengasingan, pembangunan industri hiliran dan pertengahan, penyediaan produk untuk tujuan eksport serta penjagaan alam sekitar.
Katanya, langkah itu amat dialu-alukan kerana industri REE berpotensi menjana pulangan besar kepada negeri dan negara, sekali gus memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
                        
                        
                                12 Aug 25
            
                    
                                111
            
            
                        
                                            
                            Anak Didik Imtiaz Rangkul Tiga Anugerah Bertaraf Antarabangsa BIICC 2025
                        
                        
                            KUALA TERENGGANU, 11 Ogos - Aira Nur Maisarah Abdullah Fuad, 14, melakar momen bersejarah apabila pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu (YT) Kuala Terengganu itu merangkul tiga anugerah bertaraf antarabangsa dalam Borneo International Innovation Creativity Competition (BIICC) 2025.
Kejayaan tersebut diraih menerusi projek infografik bertajuk 'When They Disappear, So Do We', yang membolehkan Aira membawa pulang 'Gold Medal', 'Platinum Award' serta 'Best Infographic Poster Award' yang diumumkan di International Youth Centre, Kuala Lumpur, semalam.
Berkongsi berita, anak pintar solehah Imtiaz Kuala Terengganu itu meluahkan keterujaan dan kegembiraannya apabila dia diumumkan sebagai penerima tiga anugerah dalam pertandingan tersebut.
Aira
Menurutnya, idea di sebalik infografik itu tercetus daripada kesedaran bahawa hubungan antara alam sekitar dan manusia adalah sangat rapat serta saling memerlukan.
"Mesej yang saya ingin sampaikan adalah apabila sesuatu komponen penting dalam biodiversiti atau alam sekitar hilang, ia akan memberi kesan langsung kepada kehidupan manusia. 
"Kita semua bergantung antara satu sama lain untuk kelangsungan hidup," ujarnya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini.
Mengulas mengenai proses penyediaan projek, Aira berkata penganjur menetapkan tempoh selama dua minggu untuk menyiapkannya, namun dia hanya mengambil masa seminggu sahaja untuk menyelesaikan infografik tersebut.
"Sepanjang proses ini, saya dibantu oleh dua guru pembimbing iaitu Ustaz Zaimuddin (Zaimuddin Anizan) dan Ustaz Abdul Rashid (Abdul Rashid Al Muzmi), selain sokongan berterusan daripada ibu bapa dan rakan-rakan sekelas di 2 Nafi'.
"Oleh itu, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada mereka yang telah banyak membantu saya dalam menyiapkan projek ini," tambahnya.
Selain cemerlang dalam pertandingan ini, Aira juga pernah menerima Anugerah Hafazan Program Khas Asasi Ulul Albab Sekolah-Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu 2024 sebagai salah seorang daripada dua pelajar terpilih. 
Pelajar tingkatan dua itu turut pernah menyertai 'Biology Explorer Competition' 2025 serta mewakili sekolah dalam Sukan Catur Majlis Sukan-Sukan Sekolah Malaysia (MSSD) Kuala Terengganu 2025 kategori Bawah 15 Perempuan.
Pengetua SM Imtiaz Kuala Terengganu, Md Imran Md Nor menyifatkan pencapaian itu sebagai satu perkara yang menajdi kebanggaan besar bagi institusi pendidikan menengah di kuala Terengganu itu.
"Ia bukan sahaja mencerminkan usaha gigih pelajar tersebut, malah menjadi bukti bahawa pendidikan yang seimbang antara akademik, akhlak dan kemahiran mampu melahirkan pelajar yang cemerlang di peringkat antarabangsa," katanya.
Antara projek lain yang turut merangkul 'Platinum Award' bagi kategori infografik
Beliau turut memuji Aira sebagai pelajar yang serba boleh, berdisiplin tinggi dan seimbang dalam pelbagai aspek serta perlu dijadikan sebagai contoh oleh pelajar-pelajar lain.
"Aira adalah seorang pelajar yang sangat aktif dan berdisiplin. Beliau bukan sahaja menunjukkan prestasi cemerlang dalam akademik, malah terlibat aktif dalam pelbagai aktiviti kokurikulum, termasuk program kepimpinan, pertandingan dan aktiviti kemasyarakatan.
"Saya berharap pencapaian ini menjadi inspirasi kepada semua pelajar untuk berani mencabar diri, melangkah keluar dari zon selesa dan menyertai pelbagai peluang di peringkat nasional mahupun antarabangsa," katanya.
BIICC 2025 yang julung kali diadakan berjaya menarik penyertaan kira-kira 650 peserta dari pelbagai latar belakang termasuk pelajar sekolah rendah, menengah, guru-guru serta wakil dari 15 negara.
Dianjurkan oleh Pertubuhan Saintis Muda Malaysia (MYSO) bersama Sarawak Teachers' Aspirations Organization, ia bertujuan untuk membudayakan kecenderungan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), khususnya dalam kalangan pelajar sekolah.
                        
                        
                                11 Aug 25
            
                    
                                339
            
            
                        
                                            
                            RMK-13 Tidak Seiring Realiti Pertanian Terengganu
                        
                        
                            KUALA TERENGGANU, 11 Ogos – Sasaran pertumbuhan sektor pertanian Terengganu hanya 1.1 peratus dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) disifatkan terlalu rendah dan bercanggah dengan pengumuman besar Kerajaan Persekutuan yang mahu menjadikan negeri itu hab pembangunan ekonomi biru dan hab pengeluaran makanan negara.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim, berkata sasaran itu tidak selari dengan potensi sebenar sektor berkenaan. 
"Gema besar tapi sasaran kecil. Agak menghairankan mengenai sasaran dan perancangan di dalam RMK-13 bagi sektor pertanian Terengganu," katanya kepada pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).
Beliau menjelaskan, pengumuman Perdana Menteri di Parlimen berkaitan projek mega itu bercanggah dengan angka sasaran yang terlalu sederhana. 
"Ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pembangunan hab ekonomi biru dan pewujudan hab pengeluaran makanan negara melibatkan Negeri Terengganu, purata kadar pertumbuhan tahunan bagi KDNK sektor pertanian negeri ini disasarkan hanya 1.1 peratus.
"Sedangkan pertumbuhan KDNK pertanian Terengganu bagi tahun 2023 ialah 7.4 peratus," jelasnya.
Menurutnya, subsektor perikanan dan akuakultur merupakan nadi ekonomi rakyat, di samping subsektor tanaman dan penternakan yang semakin berkembang pesat. 
"Subsektor perikanan dan subsektor akuakultur adalah merupakan salah satu industri strategik bagi ekonomi rakyat Terengganu. 
"Subsektor tanaman dan subsektor penternakan Terengganu juga telah menunjukkan pertumbuhan yang semakin signifikan kebelakangan ini," tambah beliau.
Azman turut memetik dapatan Banci Pertanian 2024 yang meletakkan Terengganu sebagai negeri dengan pegangan ternakan dan pertanian tertinggi di Malaysia.
"Sebagaimana dapatan dalam Banci Pertanian 2024, Terengganu mempunyai jumlah pegangan ternakan dan pertanian tertinggi dalam negara. 
"Kerana itulah, Kerajaan Negeri menyasarkan sektor pertanian Terengganu untuk tumbuh mencecah antara 10.6 hingga 12.0 peratus menjelang tahun 2030," jelasnya lagi.
Beliau menegaskan unjuran itu adalah realistik dan berasaskan data sebenar di lapangan, sekali gus lebih tinggi berbanding sasaran RMK-13. 
"Ia adalah sasaran yang realistik berdasarkan fakta dan data di lapangan.
"Kalau sekadar mensasarkan pertumbuhan KDNK pertanian Terengganu pada kadar 1.1 peratus maka ia tak sepadan dengan gema kuat pengumuman untuk menjadikan Terengganu sebagai hab pembangunan ekonomi biru dan hab pengeluaran makanan negara," tegasnya.
Beliau menyeru supaya perancangan pembangunan sektor pertanian negeri dipacu ke hadapan dan tidak mundur kebelakang. 
"Kita perlu berjalan ke hadapan dan bukannya mengundur ke belakang.
"Saya menyokong penuh ucapan perbahasan RMK-13 Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar merangkap Ahli Parlimen Kemaman," ujarnya.
                        
                        
                                11 Aug 25
            
                    
                                517
            
            
                        
                                                    
                            Siang Pandu Grab, Malam Jual Nasi Lemak
                        
                        
                            Bertahun-tahun mengerah tenaga siang dan malam, memandu Grab pada waktu siang dan membungkus nasi lemak pada waktu malam, akhirnya penantian seorang ibu tunggal untuk memiliki tanah bagi membina kediaman sendiri berakhir dengan senyuman penuh kesyukuran.
                        
                        
                                11 Aug 25
            
                    
                                43
            
            
                        
                                                    
                            Projek Terengganu-PETRONAS-Arab Saudi Dalam Perbincangan Teknikal Akhir
                        
                        
                            Projek pembangunan tenaga solar membabitkan Kerajaan Terengganu, PETRONAS dan sebuah syarikat dari Arab Saudi, ACWA Power kini berada pada peringkat perbincangan terakhir sebelum dimuktamadkan.
                        
                        
                                11 Aug 25
            
                    
                                74
            
            
                        
                                            
                            Dr. Sam Pelik Sasaran PM Terhadap Pertumbuhan Pertanian Terengganu
                        
                        
                            KUALA TERENGGANU, 11 Ogos – Ahli Parlimen Kemaman, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar melahirkan rasa hairan terhadap sasaran pertumbuhan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sektor pertanian Terengganu yang hanya ditetapkan pada purata 1.1 peratus setahun.
Menurutnya, angka tersebut tidak mencerminkan potensi sebenar negeri itu, memandangkan sektor perikanan dan akuakultur turut menjadi antara industri strategik dalam ekonomi biru Terengganu.
“Sub-sektor tanaman dan penternakan di Terengganu juga telah menunjukkan pertumbuhan yang semakin memberangsangkan kebelakangan ini.
“Kerajaan negeri menyasarkan sektor pertanian Terengganu untuk berkembang sehingga 10.6 hingga 12.0 peratus menjelang 2030, atau secara purata 8.0 peratus bagi tempoh 2026 hingga 2030,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perbahasan RMK-13 di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam masa sama, Ahmad Samsuri turut menuntut agar Perdana Menteri mempertimbangkan beberapa perkara berkaitan sektor pertanian, termasuk menyokong pembangunan infrastruktur pengairan dan saliran, serta pembinaan pusat pengumpulan, pemprosesan, pembungkusan dan pengedaran hasil pertanian dan bekalan makanan di Terengganu.
“Langkah ini sekali gus dapat meningkatkan pengeluaran hasil pertanian negara,” ujarnya.
 
                        
                        
                                11 Aug 25
            
                    
                                333
            
            
                        
                                                    
                            518 Penduduk Tak Sangka Terima Tanah daripada MB
                        
                        
                            Seramai 518 penduduk Rhu Rendang hari ini pulang dengan senyuman apabila menerima dokumen tanah yang dinantikan sejak sekian lama.
                        
                        
                                11 Aug 25
            
                    
                                23