lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Hamil Anak Luar Nikah, Kes Pertama Selepas Pindaan Pelihara Keturunan
Hamil Anak Luar Nikah, Kes Pertama Selepas Pindaan Pelihara Keturunan
KUALA TERENGGANU, 14 Ogos - Kes pertama melibatkan Seksyen 29A Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang baru dipinda pada 2022 telah direkodkan di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu semalam menandakan langkah tegas kerajaan negeri dalam menjaga maslahah keturunan dan kehormatan nasab. Seorang lelaki berusia 22 tahun dan pasangannya, 20 tahun, masing-masing mengaku bersalah di hadapan Hakim Mohd Nazri Yusof atas kesalahan berkaitan hamil dan melahirkan anak luar nikah. Tertuduh wanita didakwa di bawah Seksyen 29A(1) kerana melahirkan anak luar nikah pada Ogos tahun lalu, manakala tertuduh lelaki didakwa di bawah Seksyen 29A(2) kerana menyebabkan seorang perempuan melahirkan anak luar nikah berdasarkan hasil ujian DNA. Ketua Pegawai Penguatkuasa Syariah Negeri Terengganu, Aizi Saidi Abd Aziz memaklumkan, tertuduh wanita telah membayar denda RM2,300, manakala tertuduh lelaki dihantar ke penjara bagi menjalani hukuman penjara selama 3 bulan kerana gagal melunaskan denda yang dikenakan. “Kesalahan ini amat berat kerana bercanggah dengan Maqasid Syariah yang bertujuan menjaga keturunan (hifz al-nasab). Jika tidak dibendung, ia boleh membawa kepada pelbagai implikasi dalam isu pewalian, faraid dan keturunan,” tegas beliau. Beliau turut menekankan bahawa penguatkuasaan undang-undang ini bukan sekadar hukuman, tetapi sebahagian daripada usaha pendidikan dan pencegahan yang dilaksanakan. “Ibu bapa perlu memainkan peranan besar dalam mendidik anak-anak remaja agar tidak terjebak dengan kesalahan ini. Kerajaan negeri melalui jabatan dan agensi berkaitan juga telah melaksanakan pelbagai program kesedaran bagi membendung gejala ini sebelum ia berlaku,” ujarnya lagi. Dengan pelaksanaan pindaan ini, Terengganu menghantar mesej jelas bahawa isu menjaga maruah dan nasab bukan sekadar tanggungjawab peribadi, tetapi agenda penting dalam membina masyarakat yang bermoral dan berdisiplin.
14 Aug 25
10944
Pelan Strategik Akan Direalisasi
Pelan Strategik Akan Direalisasi
KUALA TERENGGANU, 14 Ogos - Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan bahawa pelaksanaan dasar dan pelan strategik negeri, khususnya di bawah Terengganu New Economy Transformation (TNEXT) akan direalisasikan dengan tindakan konkrit. Beliau menekankan bahawa pelaksanaan dasar dan pelan strategik itu bukanlah sekadar pelancaran tanpa hasil seperti yang disindir sesetengah pihak. "Ada juga suara-suara kecil yang terpencil dengan sinis menyebut bahawa bermacam dasar dan perancangan strategik negeri telah dilancarkan. Tetapi, mananya pembangunan yang dibawa?. "Tak apalah, mungkin makna sebuah pembangunan pun mereka keliru. Mungkin ini juga maksud peribahasa Melayu, 'agak lebih daripada agih' - iaitu banyak bicara tetapi sedikit kerja.  "Yang penting, kita dengan berjiwa besar menjadikan sindiran mereka sebagai kata semangat untuk kita terus bekerja. "Yang nyata apa yang kita jadikan dasar dan pelan srategik ini, semuanya sedang dilaksanakan dengan cermat, insya-Allah," katanya. Ahmad Samsuri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Dasar Dan Pelan Di Bawah Portfolio Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Tahun 2025, semalam. Tambahnya lagi, pentadbiran negeri juga tidak mahu mengulangi kesilapan lalu apabila projek-projek terbengkalai menjadi 'gajah putih' akibat perbalahan dan dendam politik. Menteri Besar turut menyeru rakyat, penjawat awam dan pelabur untuk memainkan peranan dengan sepenuhnya demi memastikan masa depan Terengganu untuk generasi akan datang. "Sehebat mana pun dasar dan pelan yang dirancang, tetapi tanpa sokongan penjawat awam yang cekap, pelabur yang yakin dan rakyat yang menyertainya, ianya hanya tinggal sebagai dokumen yang cantik dalam bentuk 'publication' semata-mata. "Idea yang mulia tidak akan hidup tanpa tindakan. Gerakkan ia, hidupkan idea-idea ini dan biarkan geloranya membina masa depan kita yang diimpi-impikan. "Oleh yang demikian marilah kita sama-sama merealisasikanya agar anak-anak dan generasi akan datang di negeri ini dapat berbangga dengan kita," pesannya.
14 Aug 25
90
TNEXT Strategi Kurangkan Kebergantungan Royalti Petroleum Terengganu
TNEXT Strategi Kurangkan Kebergantungan Royalti Petroleum Terengganu
KUALA TERENGGANU, 14 Ogos - Pelaksanaan Terengganu New Economy Transformation (TNEXT) bakal menjadi pemangkin utama kepada usaha negeri mengurangkan kebergantungan terhadap hasil royalti petroleum melalui pembangunan sektor tenaga, teknologi hijau dan pelaburan strategik yang menjana pendapatan baharu. Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata sebahagian besar pendapatan baharu negeri bakal disumbang daripada industri tenaga. “Apabila pendapatan baharu ini diperoleh, ia akan mengurangkan kebergantungan kita kepada hasil petroleum. "Kita menetapkan tempoh lima tahun, selari dengan dasar sehingga tahun 2030 dan meneruskan dasar sedia ada bagi mencapai matlamat yang telah digariskan. "Pada tahun 2024, pendapatan baharu kita telah meningkat kepada RM77 juta. Sementara itu, setakat Jun tahun ini sahaja, kita telah berjaya mencatat RM62 juta, angka ini sudah mewakili pencapaian separuh tahun,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media selepas Majlis Pelancaran Dasar Dan Pelan Di Bawah Portfolio Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Tahun 2025 di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI), semalam. Melihat kepada perkembangan positif tersebut, beliau yakin kerajaan negeri mampu menjana lebih RM100 juta pendapatan baharu sekali gus memperkukuh sumber hasil bukan cukai negeri bagi tahun 2025. "Dan sekarang ini kita rasa kita optimis dengan sasaran kita kalau untuk 2030 nanti kita akan sasarkan berjumlah RM530 juta pendapatan baharu, bukan pendapatan keseluruhan," katanya. Mengulas lebih lanjut, antara fokus lain TNEXT adalah memperkukuh industri tenaga boleh diperbaharui yang berpotensi menjadi sumber hasil utama negeri. Menurutnya, negeri Terengganu menjadi antara penyumbang terbesar kepada tenaga di peringkat nasional berikutan penjanaan tenaga menjangkau keperluan negeri sendiri yang hanya berjumlah 365 megawatts (MW). "Antaranya yang terkini, yang telah ada adalah daripada jana kuasa Tasik Kenyir berjumlah 665MW, solar hybrid di Marang berjumlah 100MW dan akan datang ke negeri Terengganu yang akan dikeluarkan melalui green hydrogen, 80MW.  "Yang paling baru yang telah diumumkan bulan lalu, 'floating' solar di Tasik Kenyir berjumlah 600MW dan keseluruhannya berjumlah 2.5 gigawatts (GW).  "Juga dimaklumkan akan berlaku adalah projek jana kuasa di Paka 1 dan 2 yang mempunyai kapasiti 1,400MW setiap satu. Maka, jika dicampurkan keseluruhan jumlah tenaga yang dikeluarkan oleh negeri Terengganu berjumlah 6.1 gigawatts," katanya. Dalam pada itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Rosli Latif menjelaskan bahawa penjanaan 600MW di Tasik Kenyir berupaya memberikan pendapatan langsung sebanyak RM34 juta setahun kepada negeri melalui pembayaran balik berkanun. "Tidak termasuk lagi kemungkinan dividen hasil daripada penglibatan anak syarikat kerajaan negeri dalam projek berkenaan, melalui Terengganu Incorporated (TI). "Yang saya sebut RM34 juta ini adalah 'statutory repayment' sahaja. Jadi kalau tuan-tuan bayangkan, 600MW sahaja kita dapat RM34 juta. 2.5GW, itu berganda," jelasnya.
14 Aug 25
759
TDM Salur RM1.16 Juta Untung Sawit Kepada LTAWNT
TDM Salur RM1.16 Juta Untung Sawit Kepada LTAWNT
KUALA TERENGGANU, 13 Ogos – TDM Berhad hari ini mengumumkan pembayaran perkongsian keuntungan berjumlah RM1,164,670 kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM, Najman Kamaruddin berkata, jumlah tersebut adalah hasil kejayaan Projek Tanaman Kelapa Sawit di Ladang Air Puteh, Mukim Tebak, Kemaman, yang diuruskan bersama sejak hampir tiga dekad lalu. “Usaha sama strategik antara TDM dan LTAWNT adalah contoh terbaik bagaimana kolaborasi antara sektor korporat dan kerajaan negeri dapat memaksimumkan potensi industri perladangan negara. “Kejayaan ini bukan sahaja memberi pulangan kewangan yang mampan kepada kedua-dua pihak, malah turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi tempatan, mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan kemahiran tenaga kerja, serta memperkukuh kesejahteraan komuniti setempat,” ujarnya dalam kenyataan hari ini. Penyerahan replika cek disempurnakan oleh Najman kepada Setiausaha LTAWNT, Nor Azam A. Rahman @ Yusof, dengan disaksikan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman. Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia; Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham; dan Pengerusi TDM, Tengku Seri Bijaya Raja. Najman menjelaskan, projek yang diusahakan TDM Plantation Sdn. Bhd. (TDMP) itu melibatkan pengurusan kawasan seluas 1,336 hektar milik LTAWNT di Ladang Air Puteh sejak perjanjian dimeterai pada tahun 1996. “Kejayaan berterusan ini membuktikan kekuatan model perniagaan TDM yang mampu mengekalkan prestasi positif walaupun berdepan cabaran harga komoditi global yang tidak menentu. “Selain memberi pulangan kewangan yang signifikan, TDM turut menyokong usaha Kerajaan Negeri meningkatkan produktiviti tanah terbiar, memacu kelestarian pertanian melalui amalan perladangan mampan, dan memperkukuh kedudukan Terengganu dalam rantaian nilai industri sawit,” katanya. Beliau menambah, inisiatif itu selaras dengan Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 (PITAS 30) yang menekankan pembangunan ekonomi inklusif, kesejahteraan rakyat, dan kelestarian alam sekitar. “Sebagai kumpulan berteraskan sektor perladangan dan penjagaan kesihatan, TDM kekal komited meningkatkan kecekapan operasi, meneroka peluang baharu, dan memastikan setiap projek memberi impak positif kepada negeri dan masyarakat. “Dengan asas yang kukuh, TDM yakin kerjasama bersama LTAWNT akan terus berkembang menjadi pemangkin kemakmuran ekonomi negeri Terengganu pada masa hadapan,” ujarnya.
13 Aug 25
158
Terengganu Jangka Wujudkan Hingga 3,000 Peluang Kerja Sektor Tenaga Hijau
Terengganu Jangka Wujudkan Hingga 3,000 Peluang Kerja Sektor Tenaga Hijau
KUALA TERENGGANU, 13 Ogos – Terengganu menyasarkan penciptaan antara 2,000 hingga 3,000 peluang pekerjaan baharu dalam sektor tenaga hijau menjelang 2030 menerusi pelaksanaan pelan Terengganu New Economy Transformation (T-Next). Mantan Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Strategic and Integrity Institute (TSIS), Prof. Madya Dr. Mohd Hanif Yaacob berkata, potensi sektor tenaga hijau jauh melangkaui penghasilan tenaga semata-mata, dengan rantaian pertengahan (midstream) dijangka menjadi pemacu utama pembukaan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi. “Kalau hanya menjual tenaga elektrik kepada grid, peluang pekerjaan yang diwujudkan sangat kecil, satu ladang solar mungkin hanya memerlukan tiga hingga empat orang pekerja. Tetapi apabila kita kembangkan kepada ‘midstream’ tenaga hijau dan sektor berkaitan lain, unjuran kita menunjukkan sehingga 2,000 hingga 3,000 pekerjaan baharu dapat diwujudkan menjelang 2030,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI), semalam, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, serta Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Rosli Latif. Menurut Dr. Mohd Hanif, peralihan kepada tenaga hijau bukan sahaja menyumbang kepada kelestarian alam sekitar, malah memberi kesan rantaian nilai yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi negeri. "Langkah ini juga akan membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat tempatan, khususnya generasi muda," katanya. Beliau menjelaskan, walaupun peluang pekerjaan tersebut belum ketara pada masa ini, ia dijangka mula dirasai dalam tempoh dua tahun lagi apabila infrastruktur utama siap dibangunkan. “Sekarang rakyat belum nampak kerana kita sedang membina infrastrukturnya. Dalam dua tahun, kita percaya peluang itu akan mula jelas. Malah, kita sudah berbincang dengan MIDA supaya projek-projek tenaga di Terengganu mewajibkan sekurang-kurangnya 70 peratus tenaga kerja diambil daripada rakyat negeri ini,” ujarnya.
13 Aug 25
1518
Terengganu Lancar TNEXT Pacu Transformasi Ekonomi Baharu
Terengganu Lancar TNEXT Pacu Transformasi Ekonomi Baharu
Kerajaan negeri hari ini melakar sejarah baharu dengan pelancaran Terengganu New Economy Transformation (TNEXT) dalam memacu peningkatan ekonomi negeri secara mampan menjelang 2030.
13 Aug 25
61
Terengganu Lancar TNEXT Pacu Transformasi Ekonomi Baharu
Terengganu Lancar TNEXT Pacu Transformasi Ekonomi Baharu
KUALA TERENGGANU, 13 Ogos - Kerajaan negeri hari ini melakar sejarah baharu dengan pelancaran Terengganu New Economy Transformation (TNEXT) dalam memacu peningkatan ekonomi negeri secara mampan menjelang 2030. Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata TNEXT merupakan satu agenda komprehensif yang menggabungkan tiga dasar strategik. Menurutnya, TNEXT menghimpunkan Dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian Negeri Terengganu (DPPPNT) 2023–2030, Pelan Induk Teknologi Hijau Negeri Terengganu (PITIH) 2024–2030 dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Terengganu (RTEDT) 2025–2030 sebagai pelan hala tuju bersepadu ke arah ekonomi berkualiti, inklusif dan mampan. "TNEXT ini yang menggabungkan tiga dasar itu dan kita tengok secara holistik pergerakan dasar-dasar itu nanti. kita nak membawa kepada suatu perubahan daripada (dasar) sekarang ke arah yang lebih baik. "Dengan penambahan penambahbaikan dan kewujudan dasar-dasar dan rangka kerja ini, sudah pastinya kita bergerak pada satu langkah yang kedepan. "Banyak, (sebagai contoh) kalau dalam dasar industri, kita menambahbaik prosedur operasi standard (SOP) yang ada. Supaya proses-proses tu lebih mesra pelabur dan mempercepatkan proses-proses yang ada. "Begitu juga dengan dua dasar lain lagi, rangka kerja lain tu adalah kita suitkan dengan apa yang pihak persekutuan ada, Kita rujuk dan kita melangkah ke arah yang sama," katanya. Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Pelancaran Dasar Dan Pelan Di Bawah Portfolio Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Tahun 2025. Turut hadir Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Terengganu (SUK), Dato' Nara Setia serta Timbalan SUK (Pembangunan), Dato' Rosli Latif. Melalui DPPPNT, kerajaan negeri menyasarkan pelaburan berkualiti tinggi dalam enam kluster strategik iaitu minyak dan gas, teknologi hijau, pembuatan, logistik dan pengangkutan, bioteknologi serta teknologi bangunan.  Manakala, PITIH menetapkan sasaran Terengganu sebagai peneraju teknologi hijau serantau melalui tenaga boleh diperbaharui, mobiliti hijau, ekonomi sirkular dan industri hijau. Mengulas lebih lanjut, beliau menjelaskan RTEDT akan dilaksanakan dalam dua fasa bagi memastikan transformasi digital menyeluruh. "RTEDT ini akan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu fasa pertama daripada tahun 2025 sehingga 2027 dan fasa kedua daripada tahun 2028 sehingga 2030. "Fasa pertama akan menumpukan pada pengukuhan asas penggunaan digital manakala fasa kedua akan memacu transformasi digital secara inklusif dan menyeluruh melalui rangka tindakan ini, lima teras utama akan diberi penekanan. Nurkhuzaini menjelaskan fasa pertama memfokus kepada pengukuhan asas digital, manakala fasa kedua memacu transformasi inklusif dengan penekanan kepada pendigitalan perkhidmatan awam, pembangunan bakat dan inovasi ekonomi digital. Tambahnya, inisiatif sokongan TNEXT termasuk pemasangan tiang pintar (intelligent pole) di seluruh negeri untuk menyediakan rangkaian 5G, WiFi awam, lampu LED jimat tenaga, sensor udara, stesen pengecasan EV dan sistem keselamatan pintar, sejajar dengan pembangunan bandar pintar. "Untuk negeri Terengganu, inisiatif ini akan memperkukuhkan kedudukan negeri terengganu sebagai peneraju teknologi hijau dan meningkatkan kualiti hidup melalui penyelarasan bandar pintar dan juga menjadikan model pembangunan seimbang antara kemajuan teknologi dan kelestarian alam. "Inilah masa depan yang kita bina bersama, negeri Terengganu yang bukan sahaja pintar dari segi teknologi tetapi juga mampan dan berpaksikan rakyat," ujarnya.
13 Aug 25
592
DPPPNT Rancakkan Pelaburan Industri Terengganu
DPPPNT Rancakkan Pelaburan Industri Terengganu
KUALA TERENGGANU, 12 Ogos – Kerajaan Terengganu hari ini melakar satu lagi pencapaian penting dalam agenda pemerkasaan ekonomi negeri dengan melancarkan Dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian Negeri Terengganu 2023–2030 (DPPPNT) di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam. Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dalam satu kenyataan berkata, dasar itu menjadi bukti keazaman Kerajaan Negeri memperkukuh ekosistem pelaburan serta merancakkan pembangunan sektor perindustrian secara strategik, inklusif dan mampan. “DPPPNT ini digubal sebagai landasan utama bagi menarik lebih banyak pelaburan berimpak tinggi ke Negeri Terengganu. Ia selari dengan hala tuju pembangunan negeri dan agenda nasional berkaitan seperti Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030,” jelas kenyataan itu. Dasar tersebut memberi fokus kepada kluster-kluster perindustrian strategik yang berpotensi tinggi untuk dikembangkan di Terengganu termasuk industri minyak dan gas, teknologi hijau, pembuatan, logistik/pengangkutan, bioteknologi serta teknologi bangunan. Enam teras strategik dibentuk sebagai tunggak utama pelaksanaan dasar ini, merangkumi penambahbaikan ekosistem pelaburan sedia ada, menaik taraf kawasan perindustrian, pembangunan kluster baharu, menggalakkan penerokaan industri baharu, pemutihan kawasan perindustrian yang tidak dibangunkan, peningkatan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, serta penyediaan insentif yang jelas dan telus. Kerajaan Negeri juga menegaskan komitmen untuk menarik pelaburan berkualiti dan berimpak tinggi melalui pelaksanaan bersepadu oleh semua agensi kerajaan, sektor swasta, institusi akademik dan pemain industri. Bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan, penyelarasan dan pemantauan akan dilakukan secara menyeluruh termasuk memperkasakan peranan Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Industri Negeri Terengganu (MJPINT) yang dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau. Menurut PMINT, pelancaran DPPPNT menandakan kesediaan Terengganu untuk melangkah sebagai destinasi pelaburan perindustrian yang kompetitif, berdaya tahan dan mesra pelabur, sejajar aspirasi menjadikan negeri ini pemacu pertumbuhan ekonomi rantau Pantai Timur.
12 Aug 25
651
Jadikan Pertanian Agenda Nasional
Jadikan Pertanian Agenda Nasional
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos - Ahli Parlimen Kemaman, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan menjadikan sektor pertanian sebagai identiti teras Malaysia yang perlu diberikan tumpuan sepenuhnya dan diangkat sebagai agenda nasional. Katanya, perkara itu penting untuk diberikan perhatian selain menjadikan 'mega-trend' lain terkini di peringkat global seperti Kecerdasan Buatan (AI) dan kemajuan teknologi sebagai fokus pembangunan jangka panjang. "Lihatlah agenda nasional yang pernah kita berikan tumpuan suatu ketika dahulu, ke mana kesan dan hasilnya masa kini?.  "Adakah ia menjadi pemacu ekonomi negara kita atau ia sekadar trend semasa yang dijadikan tumpuan sehingga kita terlepas fokus yang sepatutnya,"ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan Perbahasan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13), di Dewan Rakyat, semalam.   
12 Aug 25
55
Terengganu Sasar Imbangi Sumber Perikanan Melalui Akuakultur Berkualiti
Terengganu Sasar Imbangi Sumber Perikanan Melalui Akuakultur Berkualiti
BESUT, 12 Ogos – Terengganu menyasarkan untuk menyeimbangkan sumber hasil perikanan negeri dengan 50 peratus daripada sektor akuakultur dan 50 peratus daripada hasil tangkapan laut serta perikanan darat dalam tempoh terdekat. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato Dr. Azman Ibrahim berkata, langkah itu penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber tangkapan yang dijangka semakin berkurangan pada masa hadapan. “Pada masa ini, nisbah pengeluaran adalah sekitar 40 peratus akuakultur dan 60 peratus tangkapan. Setiap tahun, kita menghasilkan lebih 5,000 metrik tan hasil akuakultur dan tahun ini kita menyasarkan lebih 6,000 metrik tan. “Fokus sektor air payau termasuk ternakan siakap, kerapu hibrid, udang harimau dan udang putih, manakala sektor air tawar melibatkan ikan baung, patin, tilapia, keli, udang galah dan pelbagai spesies lain,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas merasmikan Seminar Amalan Akuakultur Baik (myGAP) Ke Arah Keterjaminan Makanan Dan Penyerahan Insentif Perikanan di Dewan Auditorium UniSZA, Kampung Tembila, hari ini. Menurut Azman, kerajaan negeri memberi penekanan bukan sahaja kepada kuantiti, malah kualiti hasil ternakan melalui pensijilan MyGAP yang memerlukan pematuhan lebih 100 senarai semak audit termasuk aspek biosekuriti. “Penternak yang memiliki pensijilan MyGAP berpeluang menembusi pasaran eksport dan pasar raya ternama. Ia memberi nilai tambah kepada produk negeri. “Kita juga memastikan rantaian pengeluaran lengkap dari pusat pembenihan, pengeluaran, pemasaran hingga ke peringkat pensijilan. Jika sebelum ini hanya berhenti di tahap pemasaran, kini kita bergerak ke tahap pensijilan,” ujarnya. Tambah Azman, sehingga kini terdapat 45 pensijilan MyGAP akuakultur di Terengganu, dengan 25 daripadanya di daerah Besut yang menjadi tumpuan bersama Setiu dan beberapa daerah lain. Mengulas cabaran status tanah penternak, beliau berkata kerajaan negeri telah mewartakan beberapa lokasi sebagai Zon Industri Akuakultur (ZIA) yang diurus secara berpusat di bawah Jawatankuasa Pembangunan Tanah Kekal Pengeluaran Makanan (TPKM). “Dengan adanya ZIA, pengurusan lebih sistematik, cepat dan mengurangkan kerenah birokrasi. Kita mahu industri akuakultur ini berkembang dengan teknologi terkini serta KPI kualiti yang tinggi,” katanya. Selain perikanan, jelas beliau, Terengganu turut mencatat pencapaian dalam sektor pertanian dengan 500 hektar sawah padi memperoleh pensijilan MyGAP, sekali gus menjadikan negeri ini antara yang tertinggi di Malaysia.
12 Aug 25
78