lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Alukan Kedatangan 'Coldplay' Suburkan Budaya Hiburan Melampau
Alukan Kedatangan 'Coldplay' Suburkan Budaya Hiburan Melampau
KUALA NERUS, 26 Jun - Mengalu-alukan kedatangan kumpulan penghibur antarabangsa seperti kumpulan 'Coldplay' dalam kalangan pemimpin negara adalah seolah-olah seperti menggalakkan budaya hiburan melampau terus subur dalam kalangan rakyat terutamanya anak muda negara ini. Ahli Akademik, Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah berkata, orang ramai yang masih tidak memiliki kefahaman islam sebenar pada hari ini tidak sewajarnya didedahkan dengan kumpulan menyokong golongan songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). "Bukan tidak boleh berhibur, tetapi benda-benda yang tidak boleh membawa kebaikan (dihalang) terutamanya serangan budaya barat ini melalui program hedonisme, ini cara untuk melalaikan (umat Islam) kita hari ini. "Kalau kita terus suburkan program sebegini dia tidak akan membantu anak muda kita (menjadi lebih baik) yang memiliki akidah yang rapuh," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap menjadi panel pembentang di Simposium Milenial Negarawan : Idealisme dan Aktivisme Belia Dalam Membangunkan Negara, di Dewan Perdana Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah, di sini, semalam. Mengulas lanjut, Ridhuan Tee berkata tugas pemimpin mewujudkan suasana yang baik dengan menyediakan persekitaran yang tepat sebagai sebuah negara Islam. "Kita kena ingat untuk jadi umat yang terbaik adalah dengan mencegah kemungkaran dan berimana kepada Allah, bukan tidak boleh berhibur tetapi perlu selari dengan syariat Islam," katanya.
26 Jun 23
149
Sultan Dan Sultanah Terengganu Santuni 400 Fakir Miskin Dan OKU
Sultan Dan Sultanah Terengganu Santuni 400 Fakir Miskin Dan OKU
KUALA TERENGGANU, 26 Jun -Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke majlis santapan bersama warga istimewa dan fakir miskin sempena sambutan ulang tahun ke-61 hari keputeraan baginda di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu. Keberangkatan baginda diiringi  Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah serta Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin dan paduka-paduka anakanda. Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Perpaduan Nasional Negeri, Hanafiah Mat. Baginda turut menyampaikan sumbangan kepada 400 penerima berbentuk wang tunai berjumlah RM200,000.Masing masing menerima sumbangan RM500 seorang. Penerima melibatkan 100 yang berdaftar dibawah Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu, 200 Orang Kurang Upaya(OKU) bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri dan 100 golongan ibu tunggal bawah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu. Salah seorang penerima OKU, Norhayati Mohamed, 43, dari Alor Serdang, Setiu, dia menyifatkan peluang menjejakkan kaki ke istana menjadi kenangan paling berharga buatnya. "Rasa tu bercampur baur..takut dan gembira dalam satu masa tapi ini saat paling indah dalam hidup saya," ujar ibu tunggal yang bekerja sebagai pembantu kedai makan itu. Sementara itu, Husna Abdullah, 43, berkata bantuan yang diterima pada hari ini akan digunakan untuk menampung perbelanjaan keluarganya. "Kali pertama saya dijemput ke istana dan menerima kurnia dari Sultan dan Sultanah Terengganu, cukup membuatkan saya rasa gembira," katanya. Ibu kepada tiga anak yang berusia lima hingga 16 tahun berkata suaminya, Abdullah Mohamad, 45, hanya bekerja sendiri menyebabkan dia meluangkan masa setiap Jumaat untuk sebagai tukang urut refleksologi dengan elaun RM400 sebulan.   
26 Jun 23
161
PBKSB Jalin Kerjasama Dengan PETRONAS, Pengendali Petroleum
PBKSB Jalin Kerjasama Dengan PETRONAS, Pengendali Petroleum
KUALA TERENGGANU, 25 Jun - Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd (PBKSB), anak syarikat Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) telah menandatangani kontrak bersama PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PCSB) dan lapan Kontraktor Pengendali Petroleum (PACs) lain. EPIC Berhad dalam satu kenyataan memaklumkan, jalinan kerjasama strategik tersebut bagi perkhidmatan fasiliti pangkalan bekalan dan sewaan di Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB). Menurut kenyataan itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Hanafiah Mat dalam ucapan beliau menyatakan, pihaknya menghargai sokongan tidak berbelah bahagi PETRONAS dan PAC lain yang terlibat.  “Kontrak ini adalah penting bagi PBKSB kerana ia bukan sahaja mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai penyedia kemudahan pangkalan bekalan tetapi juga menggalakkan pembangunan bakat tempatan dalam bidang aktiviti operasi.  “Kami berharap untuk terus menjalin hubungan kerjasama yang akan memacu pertumbuhan industri minyak dan gas tempatan,” ujarnya. Beliau yang juga Pengerusi PBKSB berkata demikian ketika berucap di Majlis Menandatangani Perjanjian Penyediaan Fasiliti, Perkhidmatan Dan Sewaan Antara PBKSB dan Kontraktor- Kontraktor Pengendali Petroleum di Mandarin Oriental, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Hadir bagi menyaksikan majlis tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Ridzuan Ali serta Pengurus Besar Kanan PETRONAS, Wan Asmawadi Wan Mohd.  Pada majlis itu, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan EPIC, Muhtar Suhaili menandatangani kontrak-kontrak bersama Pemangku Pengurus Besar PBKSB, Suhardi Akil Awang @ Hassan mewakili pihak syarikatnya dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan EPIC, Wan Mohd Azilah Wan Abdullah. Ujar kenyataan itu, KSB adalah fasiliti bekalan minyak dan gas berintegrasi terbesar di Semenanjung Malaysia merangkumi keluasan 200 hektar secara keseluruhan, dengan tambahan 60 hektar yang ditetapkan untuk pertumbuhan di masa hadapan. “Sepanjang tempoh kontrak, PBKSB akan menyediakan kemudahan dan perkhidmatan seperti peralatan pengendalian bahan (MHE), tenaga kerja berkaitan MHE, pengurusan pangkalan bekalan dan perkhidmatan sokongan gudang, serta perkhidmatan bersepadu bagi operasi PETRONAS di Semenanjung Malaysia dan lapan PACs lain,” jelas kenyataan itu.
25 Jun 23
375
Sultan Mizan Rasmi Jambatan Pulau Poh
Sultan Mizan Rasmi Jambatan Pulau Poh
HULU TERENGGANU, 23 Jun - Sultan Terengganu, Sultan Mizan berkenan merasmikan Jambatan Pulau Poh, Tasik Kenyir sempena Sambutan Ulang Tahun Ke 61  baginda di sini, hari ini. Sultan Mizan berangkat tiba pada jam 9.00 malam, diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah serta Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin dan semua paduka anakanda baginda. Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, Toh Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab. Rahman,  serta barisan ahli Exco yang lain. Dr Ahmad Samsuri dalam ucapannya berkata dengan rekaan bermotifkan kepala bangau, jambatan ikonik ‘cable stayed’ sepanjang 133 meter dengan empat lorong dua hala melibatkan kos sebanyak RM150 juta telah siap sepenuhnya 24 Oktober 2021. "Projek ini diserahkan kepada Kerajaan Terengganu pada 22 Disember 2021 dan diuruskan secara sementara oleh Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu .    "Projek ini juga akan memberikan impak pembangunan ekonomi di kawasan sekitar terutamanya pembangunan di Tasik Kenyir dan Hulu Terengganu," katanya. Dalam masa yang sama, kerajaan negeri telah mengenalpasti kawasan-kawasan yang berpotensi untuk dibangunkan bagi meningkatkan ekonomi setempat. Tambah beliau, adanya  jambatan ini juga telah memberi peluang ekonomi baharu kepada rakyat tempatan dengan penganjuran pelbagai program dan acara pelancongan di kawasan ini. "Ini termasuk kewujudan perniagaan-perniagaan kecil seperti kiosk-kiosk jualan  di kawasan sekitar sudah pasti akan memberi peluang kepada lebih ramai usahawan - usahawan di negeri ini," katanya.
23 Jun 23
284
AJK Masjid Perlu Pastikan Penceramah Ada Tauliah MAIDAM - Sultan Mizan
AJK Masjid Perlu Pastikan Penceramah Ada Tauliah MAIDAM - Sultan Mizan
HULU TERENGGANU, 23 Jun - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru Jawatankuasa Masjid memastikan penceramah dan penyampai kuliah yang diundang mempunyai tauliah daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM). Baginda bertitah setiap program yang dilaksanakan haruslah selari dengan setiap arahan dan peraturan yang dikeluarkan oleh MAIDAM dan undang-undang yang berkuatkuasa, terutama hal-hal berkaitan dengan tauliah mengajar.  "Peraturan yang dibuat bukan bermaksud untuk menyekat penyebaran ilmu di masjid dan surau tetapi ianya bagi memastikan setiap ilmu yang disampaikan bertepatan dengan aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi pegangan kita umat Islam di negeri ini," Titah Baginda ketika menyempurnakan perasmian Masjid Kampung Pelandan, di sini hari ini. Dalam masa yang sama , Baginda berharap pihak Pengurusan Masjid juga mempunyai minda yang terbuka dan berfikiran kreatif bagi merangka dan melaksanakan pelbagai program yang boleh melahirkan ummah yang cemerlang. "Usaha yang bersepadu bagi mempromosi dan menyemarakkan program-program di masjid perlu diperkasakan agar ianya mendapat tempat di hati setiap lapisan masyarakat.  "Kebolehan dan kepakaran para jemaah boleh digembeling bersama-sama jawatankuasa masjid untuk dimanfaatkan oleh anak kariah dan masyarakat setempat agar usaha ke arah mengoptimumkan fungsi masjid berjaya direalisasikan,"  Titah Baginda. Baginda bertitah, masjid  sebagai pangkalan pembangunan insan yang berpaksikan kepada akidah yang benar dalam membina masyarakat ke arah memiliki nilai-nilai hidup yang mulia. "Justeru sistem pengajian masjid dilihat penting dalam usaha mendidik jiwa manusia menjadi insan cemerlang dan bertaqwa," Titah Baginda. Baginda turut bertitah, masjid memainkan peranan yang sangat penting dalam membangunkan umat Islam dan menegakkan tamadun kehidupan Ummah. Justeru itu, Pengurusan Masjid diingatkan untuk memainkan peranan dalam merancang dan melaksanakan aktiviti-aktiviti atau program-program yang terbaik dengan nilai-nilai Islam sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.  
23 Jun 23
211
Sultan Mizan Rasmi Masjid Kg Pelandan
Sultan Mizan Rasmi Masjid Kg Pelandan
HULU TERENGGANU, 23 Jun - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini berangkat menyempurnakan majlis perasmian Masjid Kampung Pelandan dekat sini yang menelan belanja RM5.5 juta. Turut berangkat pada upacara itu Yang Di-Pertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin dan Tengku Sri Setia Mahkota Raja Tengku Mua’az Sultan Mizan Zainal Abidin. Turut mengiringi Sultan Mizan ialah Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Datuk Mohd Nor Hamzah, Ahli-ahli Dewan Pangkuan Diraja dan barisan Exco. Sejurus selesai majlis perasmian, Sultan Mizan bersama hadirin menunaikan solat Jumaat berjemaah di masjid berkenaan seterusnya ke majlis santapan tengahari di pekarangan masjid sebelum berangkat meninggalkan majlis. Dalam pada itu, Masjid Kampung Pelandan itu siap dibina pada 2019 sekali gus menggantikan masjid lama yang dibina pada awal 1970. Masjid yang mampu memuatkan 750 jemaah pada satu masa itu turut mempunyai pelbagai kemudahan antaranya bilik jenazah, dewan serbaguna selain keluasan ruang letak kenderaan.   
23 Jun 23
249
Sultanah Nur Zahirah Berkenan Lawat Hospital Hulu Terengganu
Sultanah Nur Zahirah Berkenan Lawat Hospital Hulu Terengganu
HULU TERENGGANU, 22 Jun - Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan berangkat mengadakan lawatan ke Hospital Hulu Terengganu (HHT), di sini, hari ini. Keberangkatan tiba baginda  diiringi oleh kedua paduka anakanda iaitu Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja. Turut mengiringi baginda, isteri Menteri Besar Terengganu, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab. Rahman dan isteri Ahli Dewan Pangkuan Diraja, To' Puan Hajjah Azizah Aziz. Baginda yang tiba di perkarangan hospital pada pukul 9.30 pagi disambut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Datuk Dr Alias Razak, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Kasemani Embong, serta kakitangan hospital berkenaan. Baginda meluangkan masa selama satu jam melawat wad bersalin, wad kanak-kanak dan wad psikiatri di hospital tersebut dan menyampaikan cenderamata serta sumbangan kepada pesakit. Sultanah Nur Zahirah turut berkesempatan mendengar persembahan taklimat oleh Datuk Dr Kasemani mengenai pembangunan HHT. Baginda kemudian berangkat pulang pada kira-kira jam 11.30 pagi. Hospital Hulu Terengganu yang mula beroperasi pada tahun 1 Disember 1994 mempunyai kapasiti 105 katil pesakit, lima wad termasuk satu bilik bersalin. Hospital itu juga mempunyai kakitangan seramai 366 orang, termasuk 25 pegawai perubatan, 133  jururawat, 23 pegawai farmasi dan 38 penolong pegawai perubatan.
23 Jun 23
651
Sultan Mizan Berkenan Hadir Forum Perdana
Sultan Mizan Berkenan Hadir Forum Perdana
HULU TERENGGANU, 22 Jun- Sultan Terengganu, Sultan Mizan berkenan berangkat ke Majlis Forum Perdana di tapak Pasar Tani, Kuala Berang, di sini, malam ini. Keberangkatan Baginda turut diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah serta Yang Di Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin dan paduka-paduka anakanda. Forum anjuran Kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu  (JHEAT) itu diadakan bersempena Hari Keputeraan Rasmi Baginda tahun ini. Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, Toh Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab. Rahman; Yang Dipertua Dewan Undangan Rakyat, Dato Yahaya Ali dan isteri; Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan isteri; ahli-ahli Dewan Pangkuan Diraja dan isteri; serta barisan ahli Exco yang lain. Forum bertajuk ‘Islam Di Martabat Rakyat Muafakat’ itu turut dihadiri lebih 2,000 penonton, selain disiarkan secara langsung di saluran TerengganuFM. Forum itu menampilkan Ustaz Mohd Hariri  Mohamad Daud  sebagai moderator bersama tiga panel, Prof Madya Dr Syarifah Hayati  Syed Ismail, Datuk Dr Haji Zahazan Mohamad dan Prof Madya Dato' Dr Hj Mohd Izhar Arif  Mohd Kashim. Intipati forum selama sejam bermula 9.00 malam itu, antara lain memfokuskan kehebatan pendidikan Terengganu serta masyarakat yang bersatu padu melahirkan generasi hebat dan akhirnya membentuk negeri yang kuat dalam semua aspek.  
22 Jun 23
444
Sultan, Sultanah Berangkat Ke Jamuan Teh Bersama Rakyat Hulu Terengganu
Sultan, Sultanah Berangkat Ke Jamuan Teh Bersama Rakyat Hulu Terengganu
HULU TERENGGANU, 22 Jun- Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke majlis Jamuan Teh bersama lebih 3,000 rakyat daerah ini  bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-61 Hari Keputeraan baginda di Tapak Pasar Pagi Kuala Berang, hari ini. Sultan Mizan berangkat tiba pada jam 3.00 petang, diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah serta Yang Di Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin dan paduka-paduka anakanda baginda.  Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, Toh Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab. Rahman,  serta barisan ahli Exco yang lain. Majlis bermula jam 3 petang hingga 4 petang itu turut diserikan dengan persembahan alunan muzik, tarian dan nyanyian, selain mempersembahkan buah-buahan tempatan dari daerah Hulu Terengganu. Meskipun hujan lebat, ia tidak menghalang lebih 3,000 rakyat jelata pelbagai lapisan membanjiri dataran berkenaan dan mengambil peluang bersalaman dengan Sultan Mizan serta Sultanah Nur Zahirah. Baginda meluangkan masa selama satu jam bersama rakyat sebelum berangkat pulang pada  4.05 petang. Orang ramai turut dihidangkan dengan pelbagai sajian tempatan seperti  kuih-muih, roti jala, pulut dakap, karipap dan mee goreng.
22 Jun 23
487
EPIC Catat Peningkatan Perolehan Kepada RM343.1 Juta
EPIC Catat Peningkatan Perolehan Kepada RM343.1 Juta
KUALA TERENGGANU, 21 Jun - Anak syarikat kerajaan negeri, Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC) mencatatkan perolehan sebanyak RM343.1 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, peningkatan 17 peratus berbanding RM292.2 juta yang direkodkan pada tahun sebelumnya. EPIC dalan satu kenyataan berkata, perolehan paling tinggi  sebanyak RM179.1 juta (52 peratus ) adalah daripada perkhidmatan pangkalan bekalan Selain itu katanya,perolehan juga dijana oleh perkhidmatan kejuruteraan sebanyak RM93 juta (27 peratus); operasi pelabuhan sebanyak RM60 juta (18 peratus); dan segmen tenaga solar sebanyak RM11 juta (tiga peratus). “EPIC Berhad mencatatkan peningkatan keuntungan bersih selepas cukai (PAT) kepada RM3.9 juta berbanding RM2.8 juta pada tahun sebelumnya.“Pertumbuhan perolehan direkodkan adalah sumbangan pencapaian yang memberangsangkan oleh Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd (PBKSB) yang mencatatkan perolehan yang tinggi berikutan peningkatan aktiviti minyak dan gas di Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB).,”menurut kenyataan itu. Terdahulu, EPIC Berhad mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke 42 syarikat yang dipengerusikan oleh  , Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar merangkap Pengerusi EPIC Berhad. Semua resolusi telah diluluskan oleh pemegang saham yang hadir. Justeru itu, bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023,, Kumpulan EPIC mensasarkan perolehan sebanyak RM387.2 juta, 13 peratus  lebih tinggi berbanding tahun 2022.  “Dengan sasaran perolehan yang lebih tinggi, peningkatan keuntungan sebelum cukai (PBT) dianggarkan naik 14 peratus, daripada RM21.7 juta kepada RM24.7 juta, manakala PAT pula dianggarkan meningkat lebih daripada 2 kali ganda atau lebih daripada 100 peratus kepada RM9.3 juta berbanding rekod RM3.9 juta bagi TK2022.  “Dalam masa yang sama, PBKSB dijangka mencatatkan perolehan dan keuntungan yang lebih tinggi berikutan peningkatan dalam aktiviti onshore dan offshore serta peningkatan dalam kadar sewaan fasiliti hartanah,” menurut kenyataan itu lagi. Tambahnya, pemasangan dua kren gantri (gantry cranes) di Dermaga Timur atau East Wharf yang bakal dijalankan pada hujung tahun 2023 akan meningkatkan jumlah pengendalian kargo bagi operasi pelabuhan oleh Konsortium Pelabuhan Kemaman Sdn Bhd (KPKSB).  “EPIC Berhad kekal komited untuk mengikuti rancangan perniagaan strategik syarikat sambil memanfaatkan peluang kerjasama perniagaan bersama pemain-pemain industri yang muncul daripada pemulihan aktiviti sektor minyak dan gas, selain daripada pelaburan berpotensi bagi memajak tanah milik syarikat di kawasan perindustrian Teluk Kalong serta memanfaatkan kemudahan di Pelabuhan Kemaman,” katanya.
21 Jun 23
334