lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Loji Air Baharu Lengkapkan Keperluan di Tiga Daerah
Loji Air Baharu Lengkapkan Keperluan di Tiga Daerah
Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Berapit yang berkapasiti penuh 120 juta liter sehari (JLH) dijangka dapat memberi manfaat dan melengkapi keperluan di tiga daerah.
05 Jul 23
246
Tujuh Van Jenazah Bawa Pulang Jenazah Tragedi Kepala Air
Tujuh Van Jenazah Bawa Pulang Jenazah Tragedi Kepala Air
KUALA TERENGGANU, 5 Julai - Jenazah tujuh mangsa tragedi kepala air di Jeram Mawar, air putih telah dibawa pulang semalam untuk disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Lepar Hilir 3, Gambang. Kesemua mangsa dibawa oleh tujuh van jenazah ihsan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan telah bertolak kira-kira jam 6.25 petang, semalam dengan diiringi kereta peronda polis. Jenazah ketujuh Puteri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, turut diberi pelepasa dari pihak polis untuk dibawa pulang bersama enam jenazah yang lain, iaitu Karim Abdullah, 39 dan isterinya Azizah Eyi, 40. Serta lima anak mereka iaitu Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11 ; Putri Nurerina Natasya,10 ; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6 ; dan Putri Aryana Umaira Karim, 4. Kesemua mangsa tragedi kepala air itu tiba di Masjid Ubbudiah Felda Lepar Hilir 3, dari kuala Terengganu pada jam 10.02 malam untuk disembahyangkan. Dua yang masih belum ditemui adalah Putri Nor Fatin, 14, dan Muhammad Fikri Saliman, 24, yang merupakan tunang kepada Putri Balqis Izzati.   
05 Jul 23
405
Pasar Besar Kedai Payang Baharu Bakal Operasi Tidak lama Lagi
Pasar Besar Kedai Payang Baharu Bakal Operasi Tidak lama Lagi
KUALA TERENGGANU, 5 Julai- Kompleks baharu Pasar Besar Kedai Payang, telah siap sepenuhnya dan dijangka akan memulakan operasi selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.  Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Rosli Latif memaklumkan, pihak kontraktor akan menyerahkan projek pembinaan semula pusat sehenti produk Terengganu itu yang telah bermula sejak lima tahun lalu kepada Kementerian Pembangunan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada 19 Julai ini.  "Setakat ini, jumlah peniaga yang akan berpindah ke kompleks baharu belum diperincikan dan kita akan melihat semula mengenai perancangan dan aktiviti peniaga yang beroperasi di kompleks sementara ketika ini, "ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada taklimat pelaksanaan Program Payang Walk dan Operasi Beca Warisan di Menara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman. Rosli dalam laporan media sebelum ini menyatakan, projek pembinaan Pasar Besar Kedai Payang yang menelan belanja RM69.3 juta itu bakal menempatkan semula 500 peniaga yang kini berada di kompleks sementara yang terletak bersebelahan. Jelas beliau, wajah baharu pusat sehenti yang menjadi destinasi wajib kunjungan pelancong ke bandar raya tersebut turut dilengkapi pelbagai kemudahan seperti penyaman udara, lif, tandas, eskalator dan bilik persalinan bayi. “Sebuah menara jam yang pernah menjadi mercu tanda Pasar Besar Kedai Payang pada awal kewujudannya juga dibina semula bagi membangkitkan nostalgia lama. “Kompleks ini akan mengukuhkan peranan Pasar Besar Kedai Pa¬yang sebagai pusat sehenti bagi kegiatan ekonomi, pelancongan dan kebudayaan Terengganu,” ujarnya. Pasar besar itu yang mula beroperasi pada 31 Ogos 1968 telah dirasmikan oleh Sultan Terengganu ke-16 iaitu Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah yang ketika itu merupakan Yang di-Pertuan Agong keempat. Sejak itu, ia menjadi tarikan utama pelancong untuk membeli produk warisan Terengganu seperti batik, songket, makanan tradisional, tembaga dan kraf tangan. Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang ketika itu diterajui Tan Sri Noh Omar meluluskan pembinaan semula Pasar Besar Kedai Payang yang agak uzur demi keselesaan pengunjung pada tahun 2018.  
05 Jul 23
735
Kerosakan Benteng Pemecah Ombak Dalam Perhatian Kerajaan Negeri
Kerosakan Benteng Pemecah Ombak Dalam Perhatian Kerajaan Negeri
KUALA TERENGGANU, 5 Julai- Runtuhan penghadang ombak berhampiran jambatan angkat atau 'drawbridge' di sini yang belum dibaik pulih sepenuhnya berada dalam perhatian kerajaan negeri, ujar Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman. Bagaimanapun Ariffin berkata, ianya memerlukan masa untuk proses pembaikian memandangkan projek berkonsepkan benteng hakisan pantai memerlukan peruntukan yang agak besar. “Kebimbangan masyarakat terhadap kerosakan benteng pemecah ombak tersebut yang tular di media sosial kerana dikhuatiri membahayakan keselamatan orang ramai termasuk pelancong memang dalam perhatian kita. “Kerajaan sememangnya melihat perkara ini, ia tidaklah terlalu bahaya cuma menjadi tumpuan apabila ianya tular, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) juga telah mengambil tindakan dengan meletakkan garisan kuning di lokasi terbabit tetapi dibuang oleh mereka yang tidak bertanggungjawab,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat pelaksanaan Program Payang Walk dan Operasi Beca Warisan di Menara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT). Turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Rosli Latif. Ariffin memaklumkan, menerusi laporan yang dikeluarkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), tidak kurang RM5 juta diperlukan untuk kos baik pulih kerosakan benteng pemecah ombak itu. “Bila jumlah terlalu besar, kita memerlukan masa untuk baiki dan juga kajian yang lebih terperinci oleh pihak konsultan yang dilantik,” ujarnya.  
05 Jul 23
413
Terengganu FC 'Berpeluh' Atasi Sang Kenari
Terengganu FC 'Berpeluh' Atasi Sang Kenari
Terengganu FC bekerja keras sebelum menang tipis 1-0 ke atas Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dalam aksi Liga Super Malaysia 2023.
04 Jul 23
211
Guna Renjatan Elektrik Tangkap Ikan, Mantan ADUN Dipanggil
Guna Renjatan Elektrik Tangkap Ikan, Mantan ADUN Dipanggil
KUALA TERENGGANU, 4 Julai - Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Dato' Rozi Mamat akan dipanggil Jabatan Perikanan Negeri Terengganu kerana didakwa melakukan kesalahan menggunakan kaedah renjatan elektrik bagi menangkap ikan. Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu berkenaan akan dipangil hari ini bagi memberikan keterangan berhubung perkara tersebut. "Apabila menerima laporan berkaitan video yang tular tersebut pada 3 Julai, pihak jabatan telah mengambil tindakan segera dengan menjalankan siasatan. "Berikutan itu kita sedang melengkapkan siasatan dan Individu yang dikatakan terpapar dalam video berkenaan akan dipanggil untuk memberikan keterangan berkaitan kejadian tersebut, insya-Allah pada hari ini," ujarnya ketika dihubungi, di sini, hari ini. Mengulas lanjut katanya, siasatan berkenaan dijalankan di bawah Seksyen 3 Kaedah-kaedah Perikanan Darat Negeri Terengganu 1988. "Iaitu penangkapan ikan dengan menggunakan peralatan terlarang antaranya termasuklah dengan menggunakan racun, bahan letupan dan perlatan-peralatan mekanikal atau elektrik. "Jika disabit kesalahan hukuman yang dikenakan ialah denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya," ujarnya lagi.
04 Jul 23
4806
SPR Dijangka Tetapkan Tarikh Pilihan Raya Negeri Esok
SPR Dijangka Tetapkan Tarikh Pilihan Raya Negeri Esok
PUTRAJAYA, 4 Julai -  Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan berbincang bagi menentukan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Rabu ini. Setiausahanya, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata satu Mesyuarat Khas akan diadakan pada hari tersebut bagi membincangkan tarikh-tarikh penting PRN Ke-15 seperti tarikh Writ Pilihan Raya. Pada mesyuarat itu juga akan turut membincangkan Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian dan Daftar Pemilih yang akan digunakan serta lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut. "Satu sidang media akan diadakan sejurus selepas Mesyuarat Khas tersebut," ujarnya menerusi kenyataan tersebut, semalam. Terdahulu SPR memaklumkan telah menerima notis pembubaan rasmi Dewan Undangan Negeri (DUN) Yang Ke-14 bagi kesemua enam negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan daripada Speaker DUN masing-masing.
04 Jul 23
132
Jeram Mawar Besar Kemungkinan Akan Ditutup Sementara-Ariffin
Jeram Mawar Besar Kemungkinan Akan Ditutup Sementara-Ariffin
KUALA TERENGGANU, 3 Julai- Kawasan Perkelahan Jeram Mawar di Air Putih, Kemaman besar kemungkinan akan ditutup sementara daripada dikunjungi orang ramai, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman. Katanya, ianya bagi memastikan tiada lagi kejadian sama berulang dalam masa terdekat susulan tragedi kepala air melibatkan sepuluh mangsa dengan sembilan daripadanya sekeluarga. “Hujan lebat yang sering berlaku di kawasan hulu sangat berisiko menyebabkan berlakunya tragedi seumpama itu. “Kita juga akan berbincang dengan pihak berkuasa apakah langkah keselamatan yang perlu diambil seterusnya selepas ini,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat pelaksanaan Program Payang Walk dan Operasi Beca Warisan di Menara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), hari ini. Turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Rosli Latif. Dalam kejadian Sabtu lalu, sepuluh individu dengan sembilan daripadanya sekeluarga berasal dari FELDA Lepar Hilir, Kuantan, Pahang yang berkelah di jeram itu, dihanyutkan arus deras kepala air.
03 Jul 23
188
Payang Walk, Operasi Beca Warisan Tarikan Baharu Di Pasar Payang
Payang Walk, Operasi Beca Warisan Tarikan Baharu Di Pasar Payang
KUALA TERENGGANU, 3 Julai- Kerajaan negeri melalui Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan melaksanakan program Payang Walk dan operasi beca warisan di sekitar Pasar Besar Kedai Payang sebagai salah satu usaha untuk memperkasa destinasi ikonik itu yang juga merupakan aset pelancongan utama Negeri Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri pada 8 Mei lalu yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Dato’ Sri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah meluluskan cadangan pihak MBKT untuk menganjurkan program Payang Walk dan operasi beca warisan di lokasi terbabit. “Payang Walk merupakan konsep jualan dan aktiviti berkonsepkan pelancongan di pinggiran jalan yang beroperasi pada hujung minggu (setiap Jumaat) di Pesisir Payang (bersebelahan Pasar Besar Kedai Payang).  “Antara segmen jualan dan aktiviti yang akan dijalankan adalah jualan barangan tempatan, makanan tradisional tempatan serta persembahan kebudayaan dan kesenian,” ujarnya pada sidang media program tersebut di Menara MBKT, hari ini. Turut hadir,  Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Rosli Latif. Menurut Ariffin, program Payang Walk dan laluan beca warisan di Pesisir Payang ini merupakan ‘pilot projek’ untuk melihat sejauhmana keberkesanannya sebelum sebarang penambahbaikan dilakukan. “Menteri Besar dijangka akan menyempurnakan majlis pelancaran program ini pada 21 Julai nanti dan kira-kira 100 peniaga akan mengambil bahagian.  “Orang ramai juga boleh menggunakan perkhidmatan beca secara percuma pada malam perasmian,” ujarnya. Katanya, selain meningkatkan imej Pasar Kedai Payang sebagai ikon pelancongan Terengganu dan memperkasa imej Kuala Terengganu sebagai Bandaraya Warisan Pesisir Air, tujuan penganjuran Payang Walk dan laluan beca warisan juga adalah untuk meningkatkan taraf ekonomi penduduk. “Selain itu, kita juga mahu mengalakkan ‘retail street culture’, mengekalkan warisan tradisi tempatan dan juga mempromosi agenda ‘car free day’,” jelasnya. Sementara itu, Rosli berkata, laluan khas beca warisan dan hentian (pit stop) di sekitar Pasar Besar Kedai Payang diwujudkan adalah sebagai usaha untuk mengekalkan dan meningkatkan lagi warisan tradisi tempatan selain untuk mengangkat operasi beca sebagai produk pelancongan yang mampu menarik pelancong dan pengunjung. “Jarak laluan khas beca ini adalah sejauh tiga kilometer. Beca-beca sedia ada akan dinaiktaraf secara berperingkat dengan rupa bentuk yang lebih menarik dan dilengkapi kemudahan solar melalui kerjasama pihak MBKT dengan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).  “Ketika ini di lapangan telah terdapat empat unit beca telah dinaiktaraf melalui kerjasama tersebut manakala sembilan unit lagi masih di peringkat ubahsuai,” ujarnya. Menurut Rosli, di sepanjang operasi Payang Walk dan beca warisan ini, sebahagian Jalan Sultan Zainal Abidin dan Jalan Bandar di Kampung Cina akan disediakan laluan khas beca manakala di Pesisir Payang akan ditutup sepenuhnya untuk laluan kenderaan bermotor.  “Penyediaan laluan khas beca dan penutupan jalan ini hanya pada hujung minggu sahaja iaitu setiap hari Jumaat petang hingga malam bermula jam 3.00 petang sehingga 12.00 malam,” ujarnya.  
03 Jul 23
365
Bubar DUN : MB Menghadap Sultan Mizan Esok
Bubar DUN : MB Menghadap Sultan Mizan Esok
KUALA TERENGGANU, 26 Jun - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengesahkan bahawa akan menghadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, pada hari Selasa (esok) bagi memohon perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN). Beliau  berkata permohonan itu akan dibuat sebelum DUN terbubar secara automatik pada 30 Jun ini. “Saya telah mendapat perkenan Tuanku untuk menghadap pagi esok pada jam 9 pagi di Istana Syarqiyyah, Chendering. “Mengenai (tarikh pembubaran DUN), saya rasa lebih baik saya sembah maklum dulu kepada Tuanku, (jika tarikh itu dipersetujui), kemudian kita akan umum selepas itu,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini. Ditanya tentang agihan kerusi, Ahmad Samsuri berkata bagi pihak PAS, ianya telah selesai dan perkara tersebut telah diserahkan kepada Pesuruhjaya PAS untuk diuruskan. Selain Terengganu, PRN juga akan diadakan di Selangor, Kelantan, Kedah, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang. Mengambil kira tempoh masa pembubaran itu, PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu serta Kelantan dijangka diadakan pada Julai atau Ogos ini. Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PAS menguasai 22 kerusi manakala BN memenangi 10 kerusi iaitu Jertih, Kuala Besut, Hulu Besut, Permaisuri, Langkap, Batu Rakit, Seberang Takir, Telemong, Bukit Besi dan Kijal.  
26 Jun 23
245