Artikel "Utama" Terkini
Sultan, Sultanah Berkenan Mencemar Duli Hadir Ke Jamuan Negeri
KUALA TERENGGANU, 21 Jun - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli ke Majlis Jamuan Negeri yang diadakan di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, semalam bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-61 Hari Keputeraan Baginda.
Mengiringi baginda, Sultanah Nur Zahirah, yang Di-Pertuan Muda Terengganu serta Yang Amat Mulia Paduka anakanda-anakanda Sultan Terengganu ; Yang Amat Mulia Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja,Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja.
Turut hadir mengiringi, Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman, Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan isteri To' Puan Hajah Nor Zaini Abd Latif dan Pengerusi Majlis Jamuan negeri, Dr Azman Ibrahim
Selain kehadiran para pegawai tertinggi pentadbiran negeri, para ahli sidang Dewan Undangan negeri, perwakilan pengarah dari pelbagai jabatan serta agensi negeri dan persekutuan turut hadir.
Sebaik sahaja Sultan dan Sultanah Terengganu tiba di Meja Santapan DiRaja dan sebelum bersemayam, lagu 'Selamat Sultan' telah dipersembahkan.
Dalam pada itu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri telah menyampaikan persembahan ucapan kemudian Menteri Besar Terengganu itu bersama isteri, To' Puan Serti Tuan Faizah memohon limpah perkenan Sultan dan Sultanah Terengganu untuk menyempurnakan acara pemotongan pulut kuning.
Majlis Jamuan Negeri ini juga telah diserikan dengan persembahan daripada artis jemputan terkenal tanah air iaitu Datuk Ramli Sarip dan Syamel.
21 Jun 23
226
Tahap Kualiti Perkhidmatan Awam Terengganu Terhadap Kepuasan Pelanggan Sederhana
KUALA TERENGGANU, 20 Jun- Tahap kualiti perkhidmatan terhadap kepuasan pelanggan di jabatan mahupun agensi kerajaan masih di tahap sederhana.
Ketua Pusat Pengajian (Sains Kejururawatan), Fakulti Perubatan UniSZA, Prof. Madya Dr. Zainab Mohd Shafie berkata, dapatan itu berdasarkan Kajian Tahap Kualiti Perkhidmatan Terhadap Kepuasan Pelanggan Di Jabatan/Agensi Kerajaan Negeri Terengganu yang diketuainya bersama tiga rakan penyelidik.
Menurut beliau, keseluruhan kajian mendapati bahawa kualiti perkhidmatan dalam kajian ini adalah sederhana.
“Pihak jabatan perlu sedar masih lagi terdapat aspek lain yang perlu diperbaiki dari masa ke masa kerana masih wujud jurang antara perkhidmatan yang ditawarkan dengan persepsi pelanggan terhadap kualiti perkhidmatan yang sepatutnya diterima,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan hasil kajian tersebut sempena Program Simposium Kajian Pembangunan Terengganu Sejahtera dan Pelancaran Buku Penerbitan Penyelidikan TSIS 2023 di Duyong Marina, semalam.
Katanya, hasil laporan kajian tersebut juga mendapati, masih banyak rungutan terhadap penyampaian kualiti perkhidmatan oleh Kerajaan Negeri Terengganu tidak memenuhi jangkaan pelanggan dan akan mempengaruhi tahap kepuasan pelanggan.
Katanya, kepuasan pelanggan merupakan isu penting dan kritikal bagi menjamin kejayaan sesebuah organisasi perkhidmatan.
“Malah kualiti sesuatu perkhidmatan adalah suatu proses berterusan untuk mengekalkan hubungan antara sesebuah organisasi perkhidmatan dengan pelanggan,” ujarnya.
Justeru katanya, kajian ini membuktikan bahawa kualiti perkhidmatan merupakan strategi perkhidmatan yang penting bagi meningkatkan tahap kepuasan pelanggan terhadap perkhidmatan yang disediakan.
20 Jun 23
189
'Bertanding Secara Berhemah Dalam PRN' - Titah Sultan Mizan
KUALA TERENGGANU, 19 Jun - Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru setiap parti supaya bertanding secara sihat dan berhemah.
Baginda bertitah, mereka yang bertanding itu nanti turut perlu mempamerkan akhlak dan teladan yang baik.
"Beta berharap agar tidak berlaku budaya yang melampaui batas seperti memaki hamun, caci mencaci dan seumpanya.
"Beta juga berharap agar selepas sahaja tamat pilihan raya dan apa jua keputusannya nanti, keseluruhan rakyat beta akan kembali sepenuhnya kepada kehidupan yang harmoni dan saling hormat menghormati antara satu sama lain," titahnya.
Baginda bertitah demikian ketika berucap sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-61 Hari keputeraan Baginda, di Istana Syarqiyyah, di sini semalam.
Sultan Mizan turut bertitah kepada rakyat negeri ini agar perbezaan fahaman politik tidak membawa kepada perpecahan dan menggugat asas penyatuan rakyat yang terdiri daripada 98 peratus merupakan Melayu Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah yang bermazhab Syafie.
"Kedudukan ini seharusnya menjadi asas penyatuan rakyat majoriti umat Islam Terengganu, berteraskan akidah yang satu dan teguh serta menjadi teladan kepada yang bukan Islam.
"Ini bersesuaian dengan negeri Terengganu yang diberi gelaran 'Darul Iman," titah baginda.
Dalam pada itu, baginda mengucapkan terima kasih kepada setiap rakyat yang telah mendoakan kesejahteraannya beserta keluarga dan seluruh kaum kerabat baginda.
"Terima kasih juga kepada para penjawat awam, baik di peringkat negeri mahupun persekutuan, khasnya mereka yang berada di barisan hadapan serta anggota-anggota pasukan keselamatan, di atas tahap dedikasi dan komitmen yang tinggi dalam menjalankan tugas masing-masing.
"Akhirnya, beta berdoa agar rakyat dan Negeri Terengganu Darul Iman akan terus dilindungi oleh Allah Subhanahu Wata'ala dan sentiasa dilimpahi rahmat-Nya. Kepada Allah beta berserah," titah Sultan Mizan.
Terdahulu, bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-61 keputeraan, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin turut berkenan mengurniakan Gelaran dan Darjah Kebesaran Bintang-Bintang serta Pingat kepada 111 individu di Istana Syarqiyyah, di sini, hari ini.
19 Jun 23
641
SMK Bukit Sawa Perintis Pendidikan Pesawat Udara Tanpa Pemandu
Terengganu Incoporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) memperuntukkan RM45,000 untuk melaksanakan program rintis pendidikan Pesawat Udara Tanpa Pemandu (UAV) dalam negara, melibatkan kerjasama dengan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Sawa.
19 Jun 23
222
Sambutan Luar Biasa Harimau Malaya di Terengganu
Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak, Terengganu menerima sambutan luar biasa oleh peminat pasukan Harimau Malaya.
19 Jun 23
314
Perantau Gembira, Mahu Kerajaan Sedia Ada Kekal
Rata-rata anak perantau Terengganu berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan negeri hari ini dan mahu ia dikekalkan.
19 Jun 23
88
Pelancongan Berkaitan Penyu di Terengganu Kembali Rancak
Kerajaan Negeri bertekad untuk merancakkan kembali aktiviti pelancongan berasaskan pengalaman bersama dengan penyu (Terengganu Turtle Experience Tourism).
19 Jun 23
109
Pasangan Suami Isteri Warga Emas Maut Dalam Kemalangan Di LPT2
HULU TERENGGANU, 19 Jun – Sepasang suami isteri warga emas maut manakala anak lelaki mereka cedera parah selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 392.9 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) berhampiran Ajil di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira 9 malam tadi, mangsa, Mohd Ghani, 68, yang merupakan pesara kerajaan dan Minah Abdullah, 69, yang berasal dari Kampung Tok Rimau, Pengadang Buluh Kuala Terengganu maut di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, DSP Hasmeera Hassan berkata siasatan awal mendapati kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mangsa dengan anak lelakinya datang dari arah Kuantan menuju ke Pengadang Buluh, Kuala Terengganu manakala treler pula dari arah Kuantan ke Kota Bharu.
“Ketika di lokasi kejadian, kenderaan pacuan roda terbabit telah merempuh treler yang berada di lorong kiri dari arah belakang.
"Rempuhan tersebut menyebabkan kerosakan teruk pada bahagian hadapan kenderaan pacuan empat roda manakala treler yang membawa muatan hampas kelapa sawit hanya pecah tayar kanan dan bengkok besi belakang.
"Pemandu dan kelindan treler tidak mengalami sebarang kecederaan manakala pemandu kenderaan pacuan empat roda patah kaki kiri dan kanan,”katanya kepada pemberita.
Hasmerra berkata, mayat Mohd. Ghani dan Minah kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu di sini untuk tindakan lanjut
Menurut beliau kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
19 Jun 23
443
TDM Sedia Rizab 514 Hektar Tanah Untuk Program 'Releaf Nestle' Malaysia
KUALA TERENGGANU, 19 Jun - TDM Plantation Sdn Bhd (TDMP), bahagian perladangan TDM Berhad (TDM atau Kumpulan) berjaya menanam 2,000 pokok dalam usaha memartabatkan kelestarian bumi di Ladang Jernih, Kemaman.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hamdan Ibrahim berkata projek bersama Nestlé Malaysia dengan rizab 514 hektar tanah untuk tanam 350,000 pokok bagi membolehkan matlamat Projek RELeaf Nestlé menuju tiga juta pokok tertanam di seluruh Malaysia pada awal 2025.
Katanya, penglibatan TDM dalam Projek RELeaf Nestlé Malaysia ini adalah sebahagian daripada Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan salah satu cara TDM menunjukkan sokongan kepada kempen “Road To 1 Million Trees 2023”, bersempena dengan Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok Peringkat Negeri Terengganu.
“Penanaman semula 2,000 pokok ini bukan sahaja akan menyumbang kepada penghutanan semula kawasan ini tetapi juga membantu memerangi perubahan iklim dengan menyerap karbon dioksida dan membebaskan oksigen.
“Pokok-pokok ini akan menjadi bukti hidup kepada komitmen kita terhadap kemampanan dan yang lebih penting, akan berfungsi sebagai habitat kepada pelbagai spesis flora dan fauna sekaligus menyokong kepelbagaian biologi di rantau ini.
“Kerjasama ini akan sekaligus membuka mata lebih ramai pihak untuk turut serta dalam usaha kami menghijaukan bumi demi masa depan yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, Program Penanaman Pokok Nestlé Cares Nationwide ini berlangsung secara serentak dengan penglibatan seramai 450 sukarelawan dari TDM Plantation, Nestlé dan Sime Darby Plantation (SDP), di lima lokasi iaitu di Ladang Jernih TDMP di Terengganu, Ladang SDP Carey Island di Selangor, Ladang SDP Gunung Mas di Johor, Ladang SDP Tenom di Sabah dan Hutan Simpan Bukit Bintang di Perlis.
“Antara pokok-pokok yang ditanam bagi menjayakan Projek RELeaf Nestlé Malaysia ini terdiri daripada spesies asli seperti Sea Apple (Kelat Jambu Laut), Bitter Bean (Petai), Pongam (Mempari) and Sea Poison (Putat), dan lain-lain,”katanya.
19 Jun 23
397
SUK, Exco Terengganu Terima Darjah Kebesaran
KUALA TERENGGANU, 18 Jun - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mengurniakan Gelaran dan Darjah Kebesaran Bintang-Bintang serta pingat kepada 111 individu di Istana Syarqiyyah, di sini, hari ini.
Pengurniaan disempurnakan dalam Istiadat Pengurniaan Bintang-bintang Darjah Kebesaran Negeri di Balairong Seri, Istana Syarqiyyah.
Tengku Seri Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Terengganu dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah antara penerima penerima Bintang-bintang Darjah Kebesaran Negeri Terengganu 2022 sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-61 Hari Keputeraan Baginda.
Tengku Seri Bijaya Raja dikurniakan Darjah Kebesaran Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (SSMZ) yang membawa gelaran Dato' Seri.
Manakala Mohd Nor pula merupakan antara penerima Darjah Kebesaran Dato' Paduka Mahkota Terengganu (DPMT) yang membawa gelaran Dato'.
Terdahulu, keberangkatan tiba Baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu serta Yang Amat Mulia Paduka anakanda-anakanda Sultan Terengganu ; Yang Amat Mulia Tengku Sri Mahkota Raja, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja.
Turut bersama, Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, Dato' Yahaya Ali dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Mendahului senarai penerima dengan anugerah tertinggi iaitu Datuk Bergelar, Pengarah Tanah dan Galian Negeri Terengganu, Datuk Zulkifli Ali dan Pengarah Urusan Yen Tin, Datuk Tan Choo Meng.
Selain Tengku Seri Bijaya Raja seorang lagi penerima SSMZ ialah Pengarah Eksekutif TSLAW Tower, Tan Sri Datuk Law Tien Seng.
Selain itu, enam penerima dianugerahkan Darjah Datuk Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu, manakala 27 lagi turut menerima DPMT ialah Mufti Terengganu, Prof Dr Mohamad Sabri Haron, Pengarah Yayasan Islam, Ishamudin Hashim dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Terengganu, Anuar Awang.
Sultan Mizan turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Setia Sultan Mizan Abidin (S.M.Z) kepada 16 penerima.
Darjah Kebesaran Setia Mahkota Terengganu (SMT) turut dikurniakan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim turut menerimanya bersama 11 penerima yang lain.
Pada masa sama, Sultan Mizan turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Ahli Sultan Mizan Zainal Abidin (A.M.Z) kepada 12 penerima, dua daripadanya merupakan ADUN Terengganu, Wan Hapandi Wan Nik, Alias Harun bersama 12 penerima yang lain.
Manakala enam lagi ADUN, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi (Batu Burok), Ridzuan Hashim (Teluk Pasu), Sulaiman Sulong (Pengkalan Berangan), Ahmad Shah Muhamed (Bandar), Ab. Razak Ibrahim (Air Putih), Maliaman Kassim (Ajil) merupakan antara 36 penerima Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Terengganu (A.M.T) .
18 Jun 23
6641