lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Redah Hutan Lebih 5 Jam Cari Pengundi Orang Asli
Redah Hutan Lebih 5 Jam Cari Pengundi Orang Asli
HULU TERENGGANU, 10 Ogos - Dua hari sebelum menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri ke 15 (PRN15), Ibrahim Awang, 57, sanggup meredah perjalanan lebih tiga jam menaiki bot dan berjalan kaki selama dua jam untuk mencari penduduk Orang Asli Sungai Berua yang bekerja jauh di pedalaman sempadan Terengganu-Pahang untuk pulang mengundi pada 12 Ogos nanti. Dia yang juga pembantu Tok Batin Orang Asli Semaq Beri di Sungai Berua turut dibantu oleh beberapa orang asli lain termasuk anak-anaknya sendiri. "Bagi memastikan semua 270 pengundi Orang Asli Kampung Sungai Berua menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih, saya nekad untuk mencari mereka di Gunung Bewah dan hutan sempadan Terengganu-Pahang. "Usaha itu dilakukan sejak beberapa lalu bagi memastikan semua mereka datang mengundi pada hari Sabtu ini dan saya melihat usaha itu amat berbaloi kerana semua Orang Asli kawasan ini pulang untuk mengundi," katanya kepada pemberita. Katanya, walaupun mengambil masa lama berikutan jarak yang jauh selain bentuk muka bumi yang perlu ditempuhi, ia tidak mematahkan semangat untuknya menjejak anak-anak buahnya yang berada di luar kawasan bekerja mencari hasil hutan. Ibrahim berkata, agak sukar untuk menjejak semua Orang Asli yang bekerja jauh di pedalaman, tetapi dengan kaedah tertentu mereka dapat ditemui dan dipujuk untuk pulang awal sebelum hari pengundian. "Syukur Alhamdulillah, mereka memberi kerjasama yang baik dan insya Allah pada hari pengundian nanti kami akan berkumpul terlebih dahulu sebelum bergerak ke pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Tapah, menggunakan kenderaan sendiri selain bantuan kenderaan daripada perayu undi," katanya.  
10 Aug 23
445
Rekod Bukti Rasuah, Segera Lapor SPRM
Rekod Bukti Rasuah, Segera Lapor SPRM
KUALA TERENGGANU, 10 Ogos - Orang ramai dinasihatkan merakam gambar atau video sekiranya melihat berlakunya sogokan atau aktiviti merasuah pengundi sepanjang kempen pilihan raya ini. Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Alias Razak berkata semua pihak perlu berperanan bagi memantau insiden tidak sihat itu di tempat masing-masing. "Dijangkakan pada hari akhir menjelang hari pengundian akan ada lebih banyak lagi aktiviti berupa sogokan dan politik wang ini, aktiviti rasuah akan berlaku secara berleluasa. "Suka saya mengingatkan kepada pengundi sekalian untuk terus memantau insiden ini jika berlaku di tempat-masing sila rakam gambar ataupun bukti-bukti yang lain serta segera laporkan perkara tersebut kepada pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika sidang medianya, di Pusat Media PAS, di sini, semalam. Tegasnya, adalah penting bagi setiap rakyat bagi memastikan mereka yang menang sebagai calon pilihan raya adalah mereka yang bersih dan berintegriti untuk dijadikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). "Kita tidak mahu calon itu menang kerana rasuah dan politik wang, pada ketika ini PAS Terengganu sendiri sedang meniliti beberapa insiden yang berlaku untuk dilaporkan kepada pihak berkuasa. "Kita juga ada membuat laporan polis dan SPRM dan ini akan menjadi bukti selepas Pilihan Raya. Kemungkinan petisyen akan berlaku, adalah lebih baik perkara ini dihentikan sekarang. "Jadi saya serulah kepada pihak sebelah sana jangan mengamakan budaya rasuah ini kerana kita ada mata-mata ataupun wakil kita yang sedang mengekori dan menyiasat perkara ini," ujarnya.
10 Aug 23
171
'Perantau Pulanglah Mengundi'
'Perantau Pulanglah Mengundi'
KUALA TERENGGANU, 9 Ogos - Anak-anak perantau dinasihat untuk pulang mengundi bagi menunaikan tanggungjawab kepada negeri dan negara. Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Alias Razak berkata beliau yakin rakyat Terengganu memiliki semangat demokrasi yang tinggi lebih-lebih lagi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) pada kali ini merupakan pungutan suara rakyat bagi menyatakan kekecewaan kepada parti pemerintah di Persekutuan. "Pengundi akan (tetap) balik mengundi untuk memastikan 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) serta Parlimen Kuala Terengganu akan dimenangi dengan majoriti yang lebih besar. "Ini akan memberi penekanan kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim untuk meletakkan jawatan bagi diberikan kepada yang lebih berkeupayaan ataupun kepada parti yang lebih mampu mentadbir negara dengan lebih baik," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika sidang medianya, di Pusat Media PAS, hari ini, Menurutnya lagi, beliau mendapat maklum balas daripada anak Terengganu yang tinggi bersedia untuk pulang menunaikan tanggungjawab. "Dengar khabarnya telah ramai yang ingin pulang dengan menyertai konvoi, berkongsi kereta dan beli tiket bas. "Insya-Allah saya rasa melihat kepada trend pengundi awal semalam mencatatkan peratusan tinggi iaitu 97 peratus saya rasa ia akan mempengaruhi orang awam untuk melunaskan tanggungjawab mereka. "Apatah lagu pengundi-pengudi PN sekarang ini benar-benar ingin menzahirkan sikap tidak puas hati dan sudah 'Fed up' dengan PMX ini, setelah lapan bulan tidak tahu ke mana hala tuju ekonomi, ini merupakan kegagalan kerana dalam tempoh lapan bulan tiada apa perubahan tanpa ada pelan 100 hari," katanya.
09 Aug 23
124
Pendapatan Hotel Paya Bunga Meningkat 40 Peratus
Pendapatan Hotel Paya Bunga Meningkat 40 Peratus
KUALA TERENGGANU, 9 Ogos - Hotel Paya Bunga (PB), milik penuh kerajaan Terengganu berjaya meningkatkan pendapatan bagi tahun 2022 sebanyak RM15.7 juta atau 40.2 peratus berbanding 2021. Pengerusi Lembaga Pengarah Hotel PB, Ahmad Shah Mohamed berkata, berdasarkan prestasi itu pihaknya menyasar pendapatan RM20.5 juta pada 2023 menerusi pelbagai pakej perkhidmatan yang ditawarkan. Katanya, setakat Julai lalu, Hotel PB mencatatkan jumlah pendapatan sebanyak RM10.3 juta dan jangkaan pendapatan itu realistik berdasarkan prestasi kewangan Hotel PB yang terus mencatatkan pertumbuhan memberansangkan. “Pada tahun 2022, jumlah pendapatan Hotel PB adalah sebanyak RM15.7 juta iaitu peningkatan sebanyak 40.2 peratus berbanding jumlah pendapatan pada tahun 2021 iaitu sebanyak RM11.2 juta. Disebalik kenaikan kos operasi seperti kenaikan harga barang dan gaji minimum, pihak pengurusan telah berjaya mengekalkan keuntungan sebelum cukai melebihi RM2 juta setahun,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini. Menurut Ahmad Shah, Hotel PB mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM2.6 juta pada tahun 2022 dan RM2.7 juta pada tahun 2021. Beliau yang juga mantan ADUN Bandar memaklumkan, Hotel PB telah mendapat kontrak bekalan makanan dan minuman daripada salah satu anak syarikat Petronas pada Jun lalu. “Kontrak ini akan terus mengukuhkan lagi prestasi kewangan hotel pada tahun-tahun akan datang. Menurut beliau lagi, perkhidmatan yang terbaik dan kepuasan para tetamu hotel menjadi keutamaan kepada ahli lembaga pengarah, pengurusan serta semua kakitangan. “Baru-baru ini, Hotel PB telah mendapat anugerah Best City Hotel By Country oleh International Travel Award 2023 yang telah diadakan di Dubai. "Kami akan terus mencari peluang perniagaan di dalam bidang hospitaliti terutamanya perkhidmatan bekalan makanan dan minuman, kemudahan dan pengurusan acara serta lain-lain bagi mengukuhkan lagi kewangan," ujarnya.  
09 Aug 23
268
"Pelik, Peguam Pendakwaan Zahid Digugurkan" - Tok Li
"Pelik, Peguam Pendakwaan Zahid Digugurkan" - Tok Li
KEMAMAN, 9 Ogos - Calon PAS-Perikatan Nasional (PN) Kijal, Dato' Razali Idris atau Tok Li mempersoalkan kenapa peguam pendakwaan yang lantang mendedahkan penyelewengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi digugurkan dengan tiba-tiba menjelang keputusan terhadap 47 kesnya. Katanya, perkara itu sangat pelik kerana tiba-tiba sahaja Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun mengeluarkan kenyataan Datuk Raja Rozela Raja Toran yang mengetuai kes Timbalan Perdana Menteri itu memohon untuk bersara awal pada 3 April lalu dan berkuatkuasa pada 1 November ini. "Semakin pelik apabila semua ini dikeluarkan pada ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15, apa yang sudah berlaku sebenarnya?. "Adakah ada tangan-tangan ghaib yang memaksa atau ada tekanan sehingga tiba-tiba ketua pasukan pendakwaan kes berprofil tinggi melibatkan seorang Timbalan Perdana Menteri merangkap menteri kabiner kerajaan perpaduan ala madani tidak lagi mengendalikan kes berkenaan? "Rakyat semakin tertanya-tanya walaupun jawapan sudah dikeluarkan secara umum,"ujarnya melalui suatu kenyataan di facebooknya, di sini, hari ini. Calon PN Kijal itu mengajak rakyat di negeri yang menghadapi PRN khususnya di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang agar membuat pertimbangan yang terbaik untuk memilih pemimpin berintegriti berdasarkan kes yang dihadapi Zahid ini. Katanya, 47 kes dihadapi Zahid itu antaranya kes pecah amanah, didakwa menggunakan dana milik Yayasan Akal Budi untuk membuat enam pembayaran bagi penggunaan kad kredit peribadi. "Polisi insurans dan lesen kenderaan peribadinya,  memindahkan wang ke firma guaman dan membuat sumbangan kepada Persatuan Bola Sepak Diraja Malaysia. "Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad Cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini, antara 13 Januari 2014 dan 23 Disember 2016. "Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara dua dan 20 tahun serta dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan," ujarnya.
09 Aug 23
291
Pasangan Lena Dibuai Mimpi Dicekup Pejabat Agama
Pasangan Lena Dibuai Mimpi Dicekup Pejabat Agama
DUNGUN, 8 Ogos – Sepasang kekasih yang kononnya berhenti untuk tidur antara tiga pasangan yang ditahan oleh Pejabat Agama Daerah Dungun dalam satu Operasi Bersepadu di sekitar Pantai Dungun di sini. Ketua Unit Penguatkuasaan (KUP) Pejabat Agama Daerah (PAD) Dungun, Ahmad Mohsein Zakaria berkata kesemua pasangan tersebut dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 34 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana melakukan perbuatan tidak sopan di tempat awam. Beliau yang mewakili Pegawai Agama Daerah Dungun berkata mengikut pertuduhan, dua pasangan ditangkap melakukan perbuatan tidak sopan di sekitar pesisir pantai manakala satu pasangan di dalam kereta. “Berdasarkan fakta kes pasangan dalam kereta, sepasukan pegawai dan anggota penguatkuasa syariah daerah melakukan rondaan dan ternampak sebuah kereta mencurigakan di tepi pantai berkenaan. “Anggota kemudian menghampiri kenderaan itu bagi tujuan pemeriksaan sebelum mendapati sebuah pasangan sedang tidur di dalam kenderaan,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika siang media selepas Operasi Bersepadu Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah bersama Pejabat Agama Daerah (PAD) Dungun bertempat di sekitar pantai Dungun baru-baru ini. Tambah Mohsein, pemeriksaan lanjut mendapati lelaki adalah seorang duda manakala perempuan mempunyai status janda. Susulan itu, pasangan terbabit ditahan dan dikenakan tindakan kaunseling serta diminta hadir ke Pejabat Agama Daerah Dungun untuk tindakan lanjut. Sementara itu, tinjauan turut dilakukan hotel-hotel di sekitar Dungun, namun tiada kes yang berjaya dikesan oleh pihak Penguatkuasa. “Hotel-hotel yang diperiksa juga memberi kerjasama yang baik sepanjang operasi dijalankan. “Operasi yang bermula pada jam 10 malam itu melibatkan tujuh orang pegawai penguatkuasaan Syariah (PPS) (PAD) Dungun serta seorang PPS sukarela. "Pola kes dalam Daerah Dungun menunjukkan perkembangan positif dari sudut pengurangan kes tangkapan. “Hal ini kerana, timbulnya kesedaran atas usaha kekerapan penguatkuasa PAD Dungun melakukan operasi, pemantauan dan sebagainya dalam daerah berkenaan,” ujarnya. Beliau berharap, agar kes tangkapan sentiasa berkurang sehingga mencapai angka sifar kes tangkapan khalwat dalam Daerah ini.      
08 Aug 23
714
Berbaki Tiga Hari Kempen, PAS Sedang Mendahului
Berbaki Tiga Hari Kempen, PAS Sedang Mendahului
KUALA TERENGGANU, 8 Ogos - Pengarah Pilihan Raya PAS Negeri Terengganu, Ariffin Deraman berkata, Perikatan Nasional (PN)-PAS sedang mendahului dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 ketika tempoh berkempen berbaki tiga hari sahaja lagi. Katanya, dengan meletakkan sasaran untuk menyapu bersih 32 kerusi DUN Terengganu pada PRU (DUN) 12 Ogos ini, jentera parti perlu terus fokus kepada usaha menyantuni seramai mungkin masyarakat. “Alhamdulillah, saya sangat seronok bila saya dah pusing satu negeri, kempen kita berjalan dengan baik. “Semakin dekat dengan hari mengundi, nak kata agresif pun tidak, kita ‘steady’ je, sebab kita ada jadual kempen bermula selepas penamaan calon 29 Julai lepas. “Sebahagian besar calon-calon kami (PAS) mula menyantuni rakyat sejak awal pagi bermula dengan solat subuh di masjid, aktiviti ziarah serta lain-lain. Pada sebelah malam pula adakan ceramah dengan keizinan pihak berkuasa,” ujarnya. Beliau yang juga calon PAS Alur Limbat berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau proses undi awal pegawai dan anggota Askar Wataniah Rejimen 512 AW serta pasangan di Kem Padang Midin, di sini, hari ini. Ariffin berkata, berdasarkan pertemuan yang diadakan sokongan rakyat dilihat berpihak kepada PAS dan jentera parti juga mematuhi peraturan yang telah ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh berkempen. “Ini termasuk tidak boleh melakukan sebarang pemberian yang boleh dianggap rasuah, petugas kita memahami, kita hanya rayu undi dengan bawa risalah serta beri penjelasan dan pencerahan berhubung agenda untuk rakyat. “Secara zahirnya, pendekatan kita diterima baik masyarakat dan tiada sebarang provokasi. Saya lihat di setiap DUN, dari segi undi kita tidak tahu, tetapi dari segi kempen kita mendahului,” ujarnya.  
08 Aug 23
123
PRN Referendum Rakyat Kecewa, Tolak Kerajaan Madani
PRN Referendum Rakyat Kecewa, Tolak Kerajaan Madani
KUALA NERUS, 8 Ogos - Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 ini menjadi medan terbaik kepada 9.7 juta rakyat untuk mengemukakan referendum atau pungutan suara di enam negeri bagi menolak kerajaan Madani hari ini. Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kemenangan besar PN akan menjadi isyarat bahawa rakyat mahukan perubahan setelah kecewa dengan kerajaan dipimpin Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim. "Ditambah dengan pembohongan sepanjang masa, kerana itu kita kena sedarkan rakyat agar mereka membuat pertimbangan bagi membuat keputusan lebih baik. "Saya yakin mereka akan membuat keputusan yang betul kerana sudah tidak tahan dengan kerajaan sekarang ini. "Rakyat menunjukkan kebencian kerana tidak ada usaha bersungguh-sungguh (dilakukan) untuk membantu rakyat jelata," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Santai Petang, di The Payang Scout Hotel, di sini, semalam. Turut hadir, calon PN DUN Seberang Takir, Khazan Che Mat. Mengulas Lanjut, Muhyiddin berkata selama ini penerangan PN kepada seluruh rakyat adalah berlandaskan fakta yang tepat dan benar. "Dalam berkempen kita bercakap perkara yang benar supaya rakyat faham dengan kita memberikan penerangan yang jelas untuk membolehkan rakyat membuat keputusan yang tepat. "Kita jelaskan kegagalan, mereka nak kekal tetapi mereka tidak (berusaha) untuk buat apa-apa (menyelesaikan masalah rakyat)," katanya lagi. image widget
08 Aug 23
269
Proses Undi Awal Di Kem Padang Midin Berjalan Lancar
Proses Undi Awal Di Kem Padang Midin Berjalan Lancar
KUALA TERENGGANU, 8 Ogos- Proses pengundian awal Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 membabitkan pegawai dan anggota Askar Wataniah Rejimen 512 AW serta pasangan mereka di Kem Padang Midin di sini berjalan lancar. Pusat mengundi awal di kem itu dibuka pukul 8 pagi dan proses pengundian awal di situ dijangka berakhir sebelum pukul 5 petang berikutan hanya membabitkan seramai 53 pengundi daripada 176 jumlah asal. Tinjauan Urus Setia Penerangan Darul Iman mendapati, suasana agak tenang memandangkan rata-rata anggota dan pasangan yang hadir tidak perlu menunggu lama untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing. Difahamkan, sebahagian besar anggota telah menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih menerusi undi pos sekali gus mengurangkan jumlah yang berdaftar sebagai pengundi awal. Terdahulu, calon PAS Alur Limbat, Ariffin Deraman turut meninjau proses pengundian awal di sini sekitar jam 8 pagi tadi. Beliau berharap semua anggota dan pasangan yang layak untuk mengundi awal dapat hadir menunaikan tanggungjawab mereka hari ini. “Saya yakin mereka akan datang untuk mengundi. Memandangkan masih awal pagi dan hari ini hari bekerja, masih ada yang belum dapat keluar mengundi, InsyaAllah sebelum pusat pengundian ditutup mereka akan buat pemilihan yang terbaik,” ujarnya ketika ditemui pemberita di kem tersebut. Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), peratusan keluar mengundi bagi undi awal di Terengganu mencatat 59 peratus setakat 11 pagi ini manakala Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu mencatat 53 peratus. Sebanyak 24 pusat mengundi awal dibuka di seluruh negeri ini dimana empat di Parlimen Besut, Setiu (tiga), Kuala Nerus (tiga), Marang (empat), Hulu Terengganu (dua), Dungun (tiga), Kemaman (empat) dan satu di Parlimen Kuala Terengganu.  
08 Aug 23
650
Polis Hulu Terengganu Tidak Terima Laporan Salah Laku, Khianat Sepanjang  Kempen PRN15
Polis Hulu Terengganu Tidak Terima Laporan Salah Laku, Khianat Sepanjang  Kempen PRN15
HULU TERENGGANU, 8 Ogos - Polis Hulu Terengganu mengesahkan tidak menerima sebarang laporan berkaitan salah laku proses berkempen yang dilakukan oleh parti yang bertanding sepanjang  berkempen pada Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri ke 15 (PRN DUN Ke 15) hingga hari ini. Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, YM ASP Raja Saripah Robiah Raja Sulaiman berkata, bagi Parlimen Hulu Terengganu tidak ada kes atau kertas siasatan dibuka. "Setakat ini tidak ada aduan bersabit kesalahan PRU, perbuatan khianat atau apa-apa kes jenayah yang berlaku sepanjang tempoh berkempen daripada mana-mana parti politik yang bertanding. "Secara keseluruhannya, kesemua parti yang bertanding menunjukkan pematuhan dan prestasi baik dalam tempoh berkempen dengan mematuhi peraturan dan undang-undang Akta Pilihan Raya... saya berharap momentum ini dapat dipertahankan sehingga hari pengundian nanti," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuang undi  di Pusat Pengundian Awal di Dewan Kelah, Kompleks PDRM, di sini. Menurut Raja Saripah Robiah, proses pengundian awal ini dijalankan bermula jam 8 pagi hingga 5 petang di dua lokasi iaitu Dewan Kelah, Kompleks Perumahan PDRM Hulu Terengganu (220 anggota) dan Balai Polis, Ajil (12 anggota). "Alhamdulillah proses pengundian awal berjalan lancar yang mana pegawai dan anggota telah keluar menunaikan kewajipan masing-masing sejak jam 8 pagi tadi," ujarnya.  
08 Aug 23
519