Artikel "Utama" Terkini
Proses Pengundian DUN Seberang Takir Lancar
KUALA NERUS, 12 Ogos – Calon Parti Islam Se-malaysia (PAS), Khazan Che Mat turun padang meninjau pusat mengundi di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) DUN hari ini.
Khazan berkata keadaan proses pengundian di DUN tersebut berjalan dengan lancar mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan.
Beliau memulakan tinjauan di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal kira-kira jam 10 pagi tadi diiringi pegawai-pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya yang terlibat.
Khazan kemudian melawat beberapa lagi pusat mengundi, antaranya di Dewan Sivik Seberang Takir dan SK Kompleks Seberang Takir.
“Setakat ini, keadaan berjalan lancar dan terkawal namun peratusan keluar mengundi tidak dapat dibaca dengan jelas lagi,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas tinjauan di perkarangan Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Kompleks Seberang Takir di sini hari ini.
Tambah Khazan, saluran pengundi muda dapat tidak putus-putus sepanjang lawatan di beberapa pusat pengundian pada pagi ini,” katanya.
Dalam tinjauannya, Khazan turut dilihat menyapa pengundi di pusat mengundi bagi bertanya khabar dan situasi semasa.
“Alhamdulillah setakat ini, cuaca sangat baik, pengundi diharap dapat menunaikan tanggungjawab lebih awal,” ujarnya.
12 Aug 23
154
Pengundi DUN Ladang Terima Kehadiran Saya- Zuraida
KUALA TERENGGANU, 12 Ogos- “Walaupun saya merupakan calon wanita bagi bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 pada hari ini, penerimaan penduduk serta pengundi di Ladang terhadap kehadiran saya sangat baik. Tidak ada sebarang masalah.”
Itu kata calon Perikatan Nasional (PN)-PAS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, Zuraida Md Noor.
Menurut satu-satunya calon wanita yang mewakili PAS, sejak penamaan calon sehingga kini, beliau telah turun padang berkempen setiap hari dan telah berjumpa ribuan pengundi serta warga Ladang secara bersemuka khususnya di kawasan itu yang paling ramai pengundi.
“Di DUN Ladang ini kawasan bandar, jadi tidak timbul isu gender di kalangan kami, setakat kami turun berkempen tidak ada penolakan untuk calon wanita, semua menyambut dengan baik.
“Dengan pengalaman saya menjadi ADUN Wanita selama lima tahun dan saya juga anak jati di sini, jadi saya tidak kekok dengan masyarakat di sini,” ujarnya ketika ditemui pemberita selepas selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan Tengku Bariah, hari ini.
Terdahulu, Zuraida tiba di Pusat Pembuangan Undi di sekolah itu pada pukul 9.15 pagi dan selesai menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi 10 minit kemudian di Saluran 5.
Beliau turut mengambil kesempatan untuk beramah mesra dengan pengundi dan petugas yang ada dengan bertanya khabar mereka semasa meninjau kesemua 10 Saluran Mengundi di pusat terbabit.
Dalam PRU DUN Ke-15 kali ini, Zuraida berdepan dengan calon Barisan Nasional (BN),iaitu Dato’ Mohd Sabri Alwi.
12 Aug 23
583
Ahmad Amzad Selesai Mengundi Di SK Durian Burung
KUALA TERENGGANU, 12 Ogos- Calon Perikatan Nasional (PN)-PAS, Dato’ Ahmad Amzad Hashim bagi Parlimen Kuala Terengganu menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Burung di sini, pada pagi ini.
Beliau yang tampil kemas berpakaian kemeja tiba di pusat pengundian itu pada pukul 8.15 pagi dengan ditemani isterinya, Datin Dr. Nur Diana Ahmad Takri kelihatan ceria untuk menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.
Ahmad Amzad yang juga penyandang kerusi itu selesai membuang undi pada pukul 8.27 pagi di Saluran 2 Pusat Pembuangan Undi di sekolah itu dan turut sempat beramah mesra dengan pengundi yang menunaikan tanggungjawab mereka di lokasi yang sama.
Ketika ditemui pemberita, Ahmad Amzad yang juga bekas Timbalan Menteri Sains, Tenaga dan Inovasi Malaysia berkata, beliau berpuas hati dengan perjalanan proses pengundian pagi ini dan berharap pengundi keluar lebih awal susulan keadaan cuaca yang tidak menentu.
“Alhamdulillah, Allah S.W.T kurniakan hari ini cuaca yang baik, dan saya tengok yang keluar mengundi pun dalam keadaan yang segar, maksudnya tidak dalam keadaan yang stress ke apa ke walaupun di Kuala Terengganu ini berbeza dengan tempat-tempat yang lain dimana kita ada dua kotak undi iaitu satu Parlimen dan satu Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Saya berharap semua dapat keluar mengundi lebih awal supaya proses mengundi dapat diselesaikan dengan segera. Terima kasih kepada semua petugas termasuk pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), anggota keselamatan dan lain-lain,” ujarnya.
Katanya, beliau mengharapkan pengundi dapat membuat pilihan yang bijak untuk memilih calon wakil rakyat mereka.
“Saya rasa masyarakat telah pun melalui satu tempoh kematangan dalam menilai maklumat-maklumat yang disebarkan melalui media sosial dan sebagainya.
“Lebih-lebih lagi maklumat sekarang di hujung jari, jadi selagi mana kita membawa sesuatu yang betul, tidak menyeleweng fakta saya rasa tidak ada masalah.
“Kalau ada kelemahan ke apa ke pada saya adalah lebih baik untuk kita menunjukkan kematangan dengan sedia bersifat terbuka untuk terima teguran,” ujarnya.
Terdahulu, Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu terpaksa diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu membatalkan kemenangan Ahmad Amzad pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 27 Jun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Mohd. Firuz Jaffril membenarkan petisyen dikemukakan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd. Zubir Embong.
Ahmad Amzad menjadi Ahli Parlimen Kuala Terengganu sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.
Dalam PRK Parlimen Kuala Terengganu kali ini, Ahmad Amzad berdepan dengan calon Pakatan Harapan (PH), iaitu Azan Ismail.
12 Aug 23
299
Empat Sekawan Orang Asli Teruja Pangkah Calon Pilihan
HULU TERENGGANU, 12 Ogos- Empat sekawan Orang Asli Semaq Beri Kampung Sungai Berua, teruja dapat menunaikan tanggungjawab kali pertama sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15 (PRN-15) di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan Tapah di sini, hari ini.
Halim Akong, 20 bersama tiga lagi kawannya Mazlan Karim, 21, Hasibi Salleh, 21, dan Yusof Akom, 22 merupakan antara kumpulan pengundi Orang Asli yang sanggup pulang dari hutan sekitar Tasik Kenyir sejak dua hari lepas.
Menurut Halim, beberapa orang dari kampungnya telah datang ke kawasan hutan untuk memanggil mereka pulang lebih awal dari tarikh sepatutnya untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
"Kami meredah perjalanan selama lebih lima jam untuk balik ke kampung dengan rakan-rakan yang lain walaupun sepatutnya kami keluar dalam masa seminggu lagi.
"Atas kesedaran inilah, kami sanggup pulang beramai-ramai dan datang bersama-sama pada hari ini untuk memilih calon wakil rakyat kami," ujarnya yang mencari hasil hutan sebagai punca rezeki.
Sementara itu, seorang lagi pengundi muda Orang Asli, Mazlan berkata, dia teruja menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi buat kali kedua selepas PRU ke 15 baru-baru ini.
“Saya tidur awal malam tadi, pukul 7.30 pagi sudah bersiap bertolak ke pusat mengundi bersama ahli keluarga serta kawan sekampung.
"Harap calon yang dipilih nanti akan merubah ekonomi kami semua," ujarnya.
12 Aug 23
209
Proses Pengundi Lancar, Pengundi Luar Teruja Datang Awal
HULU TERENGGANU, 12 Ogos-Proses mengundi pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu(PRN DUN ke 15) yang bermula jam 8 pagi tadi, berjalan lancar dengan pengundi dilihat mula hadir untuk menunaikan tanggungjawab pada jam 7.45 pagi.
Tinjauan di beberapa pusat pengundian di sini, mendapati kebanyakan pengundi yang keluar mengundi pada sebelah pagi terdiri daripada golongan warga emas, wanita dan pengundi luar.
Anggota polis dan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memantau keadaan pusat pengundian bagi memastikan semua pengundi yang hadir mematuhi peraturan ditetapkan.
Suasana di sekitar pusat pengundian juga terkawal dengan kehadiran anggota polis untuk mengawal lalu lintas di kawasan tersebut.
Selain itu, kerusi roda juga disediakan bagi memudahkan pengundi yang uzur untuk memasuki pusat pengundian.
Bagi Nurul Hasniza Shaari, 35, yang merupakan anak perantau berkata dia pulang daripada Shah Alam sejak dua hari lepas untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi luar.
Katanya, dia sanggup pulang kerana satu undinya, bakal menentukan wujudnya perubahan dari segi pentadbiran dan ekonomi di negeri kelahirannya itu.
"Balik untuk negeri tercinta dan memilih wakil rakyat yang boleh berkhidmat untuk lima tahun lagi,"ujarnya yang membuang undi di SK Kuala Berang.
Calon PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh tiba di SK Kuala Berang untuk mengundi jam 8.00 pagi tadi.
Lebih 9.67 juta pemilih berdaftar akan keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri hari ini bagi memilih wakil rakyat kawasan masing-masing untuk tempoh lima tahun akan datang.
12 Aug 23
151
Terengganu Umum Cuti Pada 13 Ogos
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos- Kerajaan Negeri Terengganu mengumumkan Hari Kelepasan Am pada Ahad, 13 Ogos(Ahad) depan bagi memberi kemudahan dan peluang perantauan pulang menunaikan tanggungjawab untuk mengundi pada 12 Ogos (Sabtu) sempena Pilihan Raya Umum DUN Terengganu kali ke-15.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata keputusan ini dibuat bagi memudahkan pengundi dari luar Terengganu yang bekerja di Terengganu untuk pulang ke tempat mengundi masing-masing di Kelantan, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
"Pengumuman ini juga mengambilkira tugasan dan bagi memudahkan kakitangan kerajaan negeri yang bertugas sehingga lewat malam membantu SPR di seluruh negeri pada hari pengundian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau juga berharap pengumuman ini akan dapat memberikan kemudahan dan keselesaan kepada semua yang terlibat dalam pesta demokrasi pada 12 Ogos 2023 nanti.
11 Aug 23
402
PDRM, SPRM Segerakan Siasatan Insiden Tentera Diugut Mengundi
KUALA TERENGGANU, 10 Ogos - PAS Terengganu menggesa agar pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak segera setelah menerima laporan telah berlakunya insiden sogokan dan ugutan ke atas para anggota dan polis ketika hari pengundian awal baru-baru ini.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Alias Razak berkata kejadian yang berlaku di Kemaman berkenaan telah tular di media sosial melalui video dan tangkap layar yang jelas menunjukkan anggota keselematan tersebut telah diumpan dengan duit bahkan dipaksa mengundi parti tertentu.
"Insiden ini sekiranya benar-benar berlaku bukan sahaja menunjukkan ada pihak-pihak tertentu yang terdesak untuk memenangi plihan raya bahkan sedang menjahanamkan agenda pemerkasaan demokrasi yang menjadi teras sistem pemerintahan dan pentadbiran negara ini.
"Semua kita tahu rasuah politik yang terjadi ini antara punca yang menjahanamkan sesebuah negara ini yang perlu dielakkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang medianya, di Pusat Media PAS, di sini, semalam.
Mengulas lanjut katanya, apa yang berlaku itu benar-benar mengundang perasaan sedih kerana anggota keselamatan negara diperlakukan sedemikian.
"Harapnya tidak akan berlaku 'double standart' dengan hanya menumpukan dan mengenakan tindakan kepada sebelah pihak sahaja, itu tidak adil.
"Pihak yang bersalah tanpa mengira sebelah mana samada kerajaan ataupun pembangkang diambil tindakan dengan cepat dan sewajarnya," ujarnya lagi.
10 Aug 23
176
Selesai Segera Isu Runtuhan Tanah Flat Bukit Kecil- Rosli
KUALA TERENGGANU, 10 Ogos- Kerajaan negeri menerusi Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan beberapa agensi terbabit akan memuktamadkan kaedah penyelesaian sementara bagi kejadian tanah runtuh di Flat Bukit Kecil sebaik mendapat laporan penilaian daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).
Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latif berkata, penyelesaian segera perlu dilakukan sebelum musim tengkujuh kerana dikhuatiri akan berlaku lagi runtuhan yang boleh menjejaskan keselamatan penghuni di kawasan itu.
Katanya, beliau telah meminta pihak JKR untuk membuat anggaran kos pembaikian segera itu dan dijangka laporan tersebut akan diperoleh dalam tempoh dua minggu lagi.
“Untuk menghadapi musim tengkujuh yang akan datang, saya hendak tahu daripada JKR apakah penyelesaian sementara sehingga kita menerima peruntukan daripada Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) untuk kerja-kerja pembaikan penuh cerun tersebut.
“Tanah runtuh ini kita perlu buat ‘protection’, jadi saya minta pihak JKR buat anggaran kos dan setelah laporan tersebut siap, kita akan tengok beberapa kaedah penyelesaian yang dapat dilakukan untuk menjaga kepentingan penduduk di sini,” ujarnya kepada pemberita ketika meninjau kawasan runtuhan terbabit bersama wakil JKT dan JKR, hari ini.
Rosli berkata, runtuhan tanah itu berlaku pada musim tengkujuh tahun lalu dan pihaknya telah mengambil tindakan awal sebaik menerima aduan penduduk.
“Kita terima aduan daripada penduduk dan segera kita turun bersama dengan JKR, bomba, polis dan agensi-agensi lain. Pada masa itu, kita ambil tindakan dengan meletakkan kanvas untuk elak berlaku runtuhan lagi.
“Dalam masa yang sama kita telah minta JKR pusat untuk buat penilaian runtuhan yang berlaku dan akhirnya pada Mac lalu, JKR pusat telah turun dan buat penilaian dan mendapati ada dua lokasi runtuhan, satu yang kita nampak sekarang ini dan yang sebelah sana juga ada pergerakan tanah,” ujarnya.
Katanya, berdasarkan anggaran awal oleh JKR, sebanyak RM3.1 juta diperlukan untuk kos pembaikian cerun ini.
“Tetapi anggaran awal itu perlu dimulakan dengan kerja-kerja penyiasatan terlebih dahulu. Melalui data-data penyiasatan tanah (soil investigation) dilakukan, barulah JKR boleh tentukan skop metadologi dan komponen ‘protection’ cerun tu macam mana,” ujarnya.
Menurut Rosli, pihaknya telah mendapat laporan daripada pihak JKR dan beliau telah memohon peruntukan pembaikian dengan JKT.
“Alhamdulillah, pasukan JKT telah turun hari ini untuk menilai runtuhan yang berlaku dan kita berharap JKR dan JKT dapat membantu menyelesaikan masalah penduduk di sini,” ujarnya.
Mengulas lanjut, punca kejadian tersebut kemungkinan disebabkan hujan lebat yang menyebabkan pergerakan air di dalam tanah seterusnya berlaku runtuhan.
Justeru, beliau meminta kerjasama penduduk supaya sentiasa berhati-hati dan segera melaporkan kepada pihak berwajib sekiranya ternampak runtuhan yang berlaku.
10 Aug 23
661
Orang Lama UMNO Beralih Sokong PAS
KUALA TERENGGANU, 10 Ogos - Trend terbaru pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 menyaksikan orang-orang lama UMNO telah beralih sokongan kepada PAS.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Alias Razak berkata, maklum balas yang diterima itu merupakan perkembangan yang sangat menarik sekali gus menyumbang kepada kemenangan besar.
"Sokongan daripada orang-orang lama yang merupakan pengundi teras UMNO/BN ini nampaknya dah bersedia untuk meninggalkan ataupun tidak lagi menyokong parti tersebut dan memberi sokongan kepada PN/PAS.
"Ini merupakan satu perkembangan yang sangat menarik dan positif kepada PN insya-Allah semoga dengan trend terbaharu ini akan menjadi satu lagi petanda ataupun hasilnya kita akan melihat kejatuhan UMNO/BN di Terengganu," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang medianya, di Pusat Media PAS, di sini, baru-baru ini.
Tambah beliau, dengan perkembangan terbaru itu ia mendatangkan keyakinan kepada PAS untuk menang di kesemua Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri ini serta Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu.
Dalam perkembangan sama, dalam tempoh kempen yang masih berbaki tiga hari memperlihatkan calon PAS terus bekerja keras mendekati pengundi.
"Mereka telah turun hampir kesemua kampung dalam DUN masing-masing untuk menyantuni para pengundi sama ada calon yang lama ataupun pertama kali telah bekerja keras untuk menawan hati-hati pengundi," ujarnya.
10 Aug 23
700
'Jangan Cetus Huru Hara Rai Kemenangan di Jalan Awam'
KUALA TERENGGANU, 10 Ogos - Penyokong dan ahli PAS diingatkan agar tidak mencetuskan sebarang huru hara dan mengadakan perarakan konvoi sama ada malam menjelang hari mengundi atau meraikan kemenangan Perikatan Nasional di negeri ini nanti.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Alias Razak berkata, ia bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku.
"Kita telah membuat arahan kepada penyokong-penyokong dan ahli kita supaya tiada apa-apa konvoi kerana dikhuatiri akan menganggu ketenteraman awam apatah lagi menganggu lalu lintas.
"Sama ada sebelum malam (mengundi) atau selepas menerima kemenangan, itu merupakan arahan yang telah jelas," ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa sidang medianya, di Pusat Media PAS, di sini, semalam.
Tegasnya, ahli PAS dan penyokong diharapkan terus menjaga disiplin agar tidak dilihat sebagai pihak yang mencetuskan keadaan huru hara.
"Kita tidak mahu dilihat sebagai pihak yang terlalu 'excited' sehingga boleh membahayakan pengguna jalan raya ataupun menghuru-harakan keadaan dan kehidupan orang ramai khususnya.
"Boleh bergembira, mungkin boleh berkumpul di Dataran Jambatan Angkat itu tiada masalah jangan kita menganggu lalu lintas sahaja kerana ia mengundang bahaya bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga kepada orang awam," ujarnya lagi.
10 Aug 23
410