lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Budayakan Hari Jumaat Sebagai Hari Ilmu
Budayakan Hari Jumaat Sebagai Hari Ilmu
KUALA TERENGGANU, 1 September - Orang ramai digalakkan membudayakan setiap hari Jumaat sebagai Hari Ilmu serta meningkatkan rasa cintakan ilmu yang menjadi tonggak kepada pembangunan ketamadunan dan modal insan. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata semenjak PAS mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri, Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Ahmad Samsuri Mokhtar telah mengisytiharkan hari Jumaat sebagai Hari Ilmu bermula tahun 2019. "Pengisytiharan ini juga mampu mewujudkan insan kualiti dan mengoptimumkan pengupayaan sumber manusia sebagaimana yang tertera dalam Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030). "Oleh itu, marilah kita sama-sama membudayakan saranan Menteri Besar ini dengan menanamkan dalam diri kita dengan menterjemahkannya dengan mengikuti kuliah atau pengajian ilmu mahupun aktiviti-aktiviti seumpamanya yang berteraskan ilmu," katanya dalam satu hantaran di laman facebooknya hari ini. Tambah Dr. Muhammad Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, orang ramai digalakkan untuk “membuka” Hari Ilmu pada Jumaat yang mulia ini dengan menghadiri Kuliah Dhuha di Masjid Rusila. "Walaupun ia boleh diikuti secara maya namun terdapat kelebihan mahupun fadhilat kepada yang menghadirinya," jelasnya.
01 Sep 23
210
Pewaris Negara Merdeka Perlu Berjiwa Besar
Pewaris Negara Merdeka Perlu Berjiwa Besar
KUALA NERUS, 31 Ogos - Generasi hari ini yang merupakan pewaris negara yang merdeka perlu sentiasa berjiwa besar dan bersemangat patriotik mempertahankan kemerdekaan yang dikecapi. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri berkata, ia bagi memastikan nikmat kemerdekaan yang dikecapi pada hari ini akan dapat diwariskan kepada generasi masa hadapan. ''Ingatlah, perpaduan yang terbina semenjak usaha memperolehi kemerdekaan perlu diteruskan dan disemai supaya kejituan perpaduan dalam kalangan rakyat menjadi semakin kukuh. ''Marilah kita 'teguh bersama' berusaha menyumbang tenaga, akal fikiran dan doa untuk kita sama-sama menyumbang demi kemajuan, keberkatan dan kesejahteraan negara Malaysia tercinta,''ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Sambutan Malam Ambang Merdeka Peringkat Negeri Terengganu, di Dataran Muara Utara, Tapak Foodtruck, Dataran Jambatan Angkat, di sini, semalam. Dalam pada itu beliau turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada penganjur serta seluruh jawatankuasa yang terlibat dalam memastikan acara itu disambut dengan penuh meriah. ''Diharapkan dengan sambutan hari kebangsaan tahun ini dapat mengukuhkan lagi semangat patriotisme di kalangan masyarakat di negeri Terengganu. ''Marilah sama-sama kita mengibarkan jalur gemilang tanda rasa kasih dan sayang kita kepada negara Malaysia, saya ingin berpesan kepada diri sendiri dan seluruh rakyat Terengganu khasnya, pupuklah semangat perpaduan dan ukhwah sesama kita. Hargailah keamanan dan peliharalah keharmonian demi negara yang tercinta,''ujarnya. Dalam pada itu sambutan ambang merdeka telah turut diserikan dengan pertunjukkan bunga api diiringi dengan nyanyian lagu Tanggal 31 Ogos dan jalur Gemilang. Terdahulu majlis turut diserikan dengan persembahan lagu patriotik oleh artis jemputan Furqan Fawwaz, Hafiz Hamidun dan Aiman Sidek sebaik sahaja forum kemerdekaan Ukhwah Islamiah Melestarikan Intipati Kemerdekaan. Manakala persembahan sajak kemerdekaan telah disampaikan oleh Asiah Hanim dan Saifuldhari. Persembahan koir lagu negaraku telah dipersembahkan oleh pelajar-pelajar dari Institut Pendidikan Guru Kampus Dato Razali Ismail ketika upacara menaikkan Jalur Gemilang. Sebelumnya, upacara perarakan masuk anggota Rejimen 512 Askar Wataniah membawa Jalur Gemilang dan penyerahan Jalur Gemilang oleh Menteri Besar kepada Pasukan Simpanan Tentera Laut DiRaja Malaysia (PSTLDM) .    
30 Aug 23
377
Dr Sam Rakam Tahniah Hakim Danish Rangkul Anugerah SAM
Dr Sam Rakam Tahniah Hakim Danish Rangkul Anugerah SAM
KUALA TERENGGANU, 30 Ogos - Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengucapkan tahniah kepada pelumba motosikal muda negara Muhammad Hakim Danish Ramli yang berjaya merangkul anugerah Atlet Muda Terbaik pada majlis Anugerah SAM-100PLUS 2022 yang berlangsung di Sunway Resort Hotel, semalam. Anak kelahiran Terengganu yang kini mewakili pasukan ZK Racing itu terus menempa nama apabila beliau terpilih sebagai penerima anugerah tersebut oleh Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) berdasarkan prestasi konsisten yang dipamerkan dan kejayaan demi kejayaan yang diperoleh. Kejayaan Muhammad Hakim atau lebih dikenali sebagai Hakim Danish bergelar juara keseluruhan saingan perlumbaan Asia Talent Cup (ATC) 2022 turut menjadi faktor utama pelumba berusia 16 tahun itu dipilih sebagai penerima anugerah. “Syabas adik Hakim Danish, teruskan mengharumkan nama negara dalam sukan permotoran ini,” tulis beliau dalam laman facebooknya. Foto Ihsan: Facebook Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia
30 Aug 23
885
Kebun Durian Terbiar Akan Dipulihkan
Kebun Durian Terbiar Akan Dipulihkan
HULU TERENGGANU, 30 Ogos – Kerajaan negeri melalui Jabatan Pertanian akan membantu melaksanakan pemulihan dusun-dusun durian yang banyak terdapat di seluruh daerah dalam keadaan terbiar. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata  justeru itu, Terengganu bakal memiliki lebih banyak durian kampung berkualiti tinggi, untuk dipasarkan secara lebih meluas setanding durian yang sudah dijenamakan. "Dipenuhi dengan semak samun, tidak dihiraukan dari aspek pembajaan, pengairan sehingga pokok ini menghasilkan buah yang sangat rendah kualitinya dan terbukti apabila kita pulihkan, antara hasilnya, durian kampung berkualiti. Jadi durian kampung sebenarnya bukan jaguh kampung tapi jaguh antarabangsa. "Apabila kita memberikan hak yang sepatutnya kepada pokok durian dari segi pembajaan, pengairannya, ia juga mampu menghasilkan buah pada tahap kualiti premium setanding dengan durian klon yang lain," ujarnya. Beliau berkata demikian pemberita di Pertandingan Durian Kampung Premium Peringkat Negeri Terengganu 2023 sempena Bulan Kebangsaan di Dewan Kompleks Pertanian Ajil, di sini hari ini. Pada pertandingan itu, durian milik pekebun dari Marang diumumkan sebagai johan yang membawa pulang hadiah tunai sebanyak RM3,000 manakala naib johan dan tempat ke tiga masing-masing dimenangi pekebun dari daerah Besut dan Setiu dengan hadiah RM2,000 dan RM1,000. Menurutnya, durian baka terbaik yang terpilih akan didaftarkan oleh Jabatan Pertanian Negeri sebagai variati baharu menggunakan kod nombor. Tambahnya lagi,  perubahan minda adalah kunci kepada mereka yang ingin menjadikan durian sebagai satu sumber ekonomi. “Bukan sekadar meneruskan kebun yang ditinggalkan oleh arwah tok, arwah ayah malah ada yang terbiar dengan semak samun cuma pergi tebas  setahun sekali bila durian mula berbunga. “ Ini adalah kesilapan  yang telah berlangsung sejak puluhan tahun  lalu, dan kita perlu mengorak langkah ke hadapan sekiranya nak durian kampung dikomersialkan ke peringkat lebih tinggi,” ujar Dr Azman.
30 Aug 23
2803
Wabak Kuku Dan Mulut Masih Terkawal
Wabak Kuku Dan Mulut Masih Terkawal
DUNGUN, 29 Ogos - Wabak penyakit mulut dan kuku (FMD) melibatkan ternakan lembu di Terengganu kini masih terkawal dan tidak membimbangkan apabila mencatatkan penurunan dari lapan kes pada 2022 kepada lima kes pada tahun ini. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata berdasarkan penurunan tersebut beliau menyasarkan sifar kes FMD pada masa akan datang. Katanya melalui program simulasi yang diadakan, ia lebih kepada langkah pencegahan dari pelbagai aspek sehingga kepada sekatan jalan raya untuk mengawal pemindahan ternakan disamping pemberian vaksin. "Ini adalah antara langkah pencegahan yang diambil Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk mengelakkan dari penyakit yang boleh menjejaskan industri penternakan kita," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Program Simulasi Penyakit FMD di Institut Veterinar Wilayah Timur, di sini hari ini. Justeru itu katanya, fokus JPV lebih kepada  pencegahan dan untuk merawat ternakan dari dijangkiti wabak dan seterusnya merebak. " Buat masa sekarang keadaan terkawal dan tindakan segera akan diambil JPV sekiranya ada laporan berkaitan dengan kes yang melibatkan ternakan," ujarnya. Jelasnya lagi, hampir 16,000 ekor lembu di negeri ini telah menerima vaksin setiap tahun melalui peruntukan negeri dan kerajaan pusat  terutama di kawasan yang berisiko.
29 Aug 23
141
82 Agensi Bersama Sesi Libat Urus Banci Pertanian 2024
82 Agensi Bersama Sesi Libat Urus Banci Pertanian 2024
KUALA TERENGGANU, 29 Ogos- Sebanyak 82 agensi berkaitan dari Negeri Terengganu, Pahang dan Kelantan berhimpun di Primula Beach Hotel, hari ini bagi menjayakan Sesi Libat Urus Banci Pertanian 2024 Zon Timur. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, Jabatan Perangkaan Malaysia yang berperanan sebagai agensi utama dalam urus tadbir data negara dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan Banci Pertanian 2024 selama tiga bulan bermula Julai tahun hadapan. “Data-data dalam bidang pertanian ini adalah data yang sangat penting untuk kita merangka dasar serta merancang pembangunan. “Justeru data yang berintegriti daripada peringkat paling bawah sampai ke peringkat paling atas diperlukan untuk tujuan ini,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Sesi Libat Urus Banci Pertanian 2024 Zon Timur di Primula Beach Hotel, hari ini. Katanya, sektor pertanian, penternakan, perikanan, perladangan serta perhutanan yang menjadi penyumbang terbesar kepada ekonomi untuk Pantai Timur ini menjadi fokus utama dalam sesi libat urus banci pertanian kali ini.  “Dalam merancang satu pelan tindakan yang betul kita perlukan ketepatan data. Dan data-data ini perlu melalui satu proses kajian yang teliti, pungutan dapatan daripada lapangan dan sebagainya sebelum dirangkumkan. “Seterusnya, barulah boleh kita lihat daripada setiap sektor ini, dimana maklumat yang kita perlu dan inilah bank data yang diperlukan oleh kerajaan dan rakyat,” ujarnya. Menurut beliau, banci pertanian kali terakhir dilakukan pada tahun 2005 dan kemungkinan data-data pada tahun tersebut sudah tidak valid sekarang ini. “Adalah satu langkah yang tepat pihak Jabatan Perangkaan Malaysia melakukan banci untuk bidang pertanian secara menyeluruh yang merangkumi semua sektor dan kelompok masyarakat. “Daripada dapatan banci pertanian 2024 nanti, Insyaallah kita akan dapat satu data perangkaan yang berintegiri dan tepat yang akan jadi bank data untuk kita merancang pelbagai agenda pembangunan negeri dan negara khususnya dalam usaha kita memperkukuhkan sektor keterjaminan makanan,” jelasnya.  
29 Aug 23
346
Jaga Kebersihan, Terengganu Kini Destinasi Pilihan Pelancong
Jaga Kebersihan, Terengganu Kini Destinasi Pilihan Pelancong
BESUT, 28 Ogos - Rakyat Terengganu digesa menjaga kebersihan dengan meninggalkan budaya membuang sampah di merata-rata tempat bagi memastikan kebersihan di negeri ini memuaskan pelancong. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Sulaiman Sulong berkata, setiap rakyat perlu berperanan dalam menjadikan amalan kebersihan satu budaya yang perlu ada dalam diri setiap anggota masyarakat. "Pelancongan merupakan salah satu cabang pendapatan ekonomi negeri Terengganu, seluruh negara hari ini apabila sebut di mana lokasi untuk 'healing' maka ramai yang memilih untuk datang ke negeri ini. "Sekiranya aspek kebersiham tidak dijaga sudah tentu ia akan memberikan imej yang negatif  apabila dicemari sampah sarap seperti plastik, botol mineral, dan sisa-sisa makanan. "Kerana itu, menjadi tanggungjawab semua untuk memastikan semua lokasi yang ada dalam negeri ini berada dalam keadaan bersih di samping kita mempromosikan Terengganu untuk terus dikunjungi orang ramai," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Program International Air Festival (TIAF), di sini, semalam. Kata Sulaiman, kebanjiran ramai pelancong dari dalam dan luar negara telah merancakkan ekonomi negeri kerana itu sektor pelancongan dijadikan tumpuan utama. "Agenda memperkasakan pelancongan ini bukan sahaja untuk menguntungkan kerajaan negeri tetapi memberikan pulangan ekonomi yang lumayan kepada komuniti setempat. "Sebagai contoh kita cukup bangga dengan Bukit Bubus ini yang mengamit kehadiran peserta dari luar negara yang menyertai acara TIAF ini. di mana lokasi diadakan acara ini  telah menyumbangkan impak yang positif kepada penduduk setempat. "Acara 'meluncur udara' ini telah dijadikan sebagai acara tahunan yang telah menjadikan Besut sebagai salah satu tarikan pengunjung serata dunia untuk hadir," ujarnya.  
28 Aug 23
1875
Projek Terbengkalai Diteruskan Elak Pembaziran Duit Rakyat
Projek Terbengkalai Diteruskan Elak Pembaziran Duit Rakyat
KUALA TERENGGANU, 28 Ogos – Pembangunan semula projek terbengkalai diteruskan oleh kerajaan negeri sekarang bagi mengelakkan pembaziran duit rakyat daripada terus berlaku. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata jika kita selidik dalam tempoh 20 tahun yang lampau sehingga hari ini, projek terbengkalai yang dibuat oleh kerajaan negeri sebelum ini telah mencapai anggaran jumlah keseluruhan RM1 billion. Katanya, kesemua duit tersebut merupakan duit rakyat yang boleh diperuntukkan untuk perkara-perkara lain seperti pendidikan, bantuan kebajikan dan sebagainya. “Bila kita tengok kenapa terbengkalai kerana berlaku pertukaran Menteri Besar, sedangkan mereka dari parti yang sama cuma masing-masing tidak mahu teruskan kerana mahu ada (legasi) sendiri. “Punca segala masalah apabila orang politik menganggap membina sesuatu projek adalah suatu legasi masing-masing,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemubual oleh DJ Manis FM, Fad dan Ifa di konti Manis FM di sini baru-baru ini. Tambah Ahmad Samsuri, projek terbengkalai tersebut perlu ada penerusan seperti pembangunan semula projek ‘Strawbery Park’. “Strawberry Park sebelum ini merupakan sebuah resort persendirian dibeli oleh kerajaan negeri pada tahun 2010 dengan nilai kira-kira RM27 juta selepas resort tersebut bermasalah. “Hasrat kerajaan negeri terdahulu untuk menjadikan resort itu juga sebagai institut jantung negara tidak berjaya dilaksanakan menyebabkan resort tersebut terbengkalai. “Ini antara salah satu projek terbengkalai dan terdapat banyak lagi projek yang ditinggalkan sehingga menyebabkan kerosakan, tiada 'maintenance', bangunan runtuh dan sebagainya. “Bagi pandangan saya, sebarang projek yang dilaksanakan tidak boleh ditinggalkan kerana ia akan berlaku kerugian yang besar kepada rakyat,” ujarnya.    
28 Aug 23
2104
Rafizi Asyik Berpolitik, Tidak Fikir Soal Rakyat
Rafizi Asyik Berpolitik, Tidak Fikir Soal Rakyat
KUALA TERENGGANU, 26 Ogos - Menteri Besar Terengganu melalui tulisannya jelas memaparkan kekecewaannya terhadap Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang gemar berpolitik setiap masa daripada memikirkan soal rakyat dan negara. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, amat jarang Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menulis artikel dengan nada sebegitu kecuali ia benar-benar serius. ''Jika melihat bait-bait tulisannya dan memahami maksudnya, ia menjelaskan apa itu politik, ketika dan saat mana berpolitik, peranan serta fungsi sebagai pentadbir serta tugas untuk memaju dan memakmurkan negeri/negara secara kolektif sebagaimana termaktub dalam perlembagaan. ''Namun selepas tamatnya PRN (Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Ke-15), seolah-olah kelihatan seperti negeri yang diterajui Perikatan Nasional (PN) mahupun penyokong serta pendokong PN bakal dihukum kerana pegangan politiknya. ''Malaysia adalah sebuah negara berdaulat, begitu juga negeri-negeri yang menjunjung kesatuan yang membina Malaysia. Hormatilah perbezaan pandangan,''ujarnya. Beliau berkata demikian melalui hantaran di facebooknya, di sini, hari ini. Tambah Khalil, ketika sebelum ini Pakatan Harapan (PH) ketika menjadi pembangkang meminta semua pihak menghormatinya serta dilayan dengan adil, begitu juga PN pada ketika ini. ''Jangan cakap tak serupa bikin dan 'double standart' kerana sikap beginilah ramai rakyat muak dan memandang hina kepada ahli politik dan pentadbir,''ujarnya.
26 Aug 23
238
MB Terengganu Nasihat Rafizi Henti Berpolitik
MB Terengganu Nasihat Rafizi Henti Berpolitik
KUALA TERENGGANU, 25 Ogos- "Saya jadi malas nak melayan suara yang siang malam nak berpolitik, walau atas urusan negeri atau negara yang perlu komitmen serius dan menjangkaui politik," ujar Menteri Besar, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli tentang ada negeri diberi keutamaan dalam belanjawan Persekutuan, tetapi tiada perancangan ekonomi yang baik termasuk Terengganu. Katanya, tidak mustahil lama kelamaan rakyat akan muak dan benci spesies ahli politik yang hanya mementingkan diri semata.  "Ya ada perkara berpolitik, dan ada perkara yang kena keluar dari politik. Jiwa besarlah sikit kawan. Kita perlu jiwa besar, bukan merasa diri besar atau merasa 'superiority complex'.  "Pandangan kita walau hebat macam mana pun, ada kalanya kena berpijak di alam nyata. Tidak rugi untuk duduk mendengar pandangan rakyat di bawah," ujarnya di laman facebook rasmi beliau hari ini. Ahmad Samsuri berkata Rafizi seumpama 'mengail ikan tetapi mata kail di kaki sendiri' atau disebut sebagai 'shooting your own foot' dalam bahasa yang lain apabila membangkitkan isu tersebut. Tambahnya, semua rakyat membayar cukai dikenakan dan hasil dari negeri diangkut ke Persekutuan, dalam bentuk yang dipersetujui bersama dan bukannya rampasan. "Maka semua negeri ada harga diri dan peranannya, kerana yang bernama Malaysia adalah dibina dari semua negeri-negeri ini. "Semua kena ingat, hasil yang diperolehi dan dikumpulkan oleh negara adalah diperolehi dari semua rakyat dan semua negeri. Saya ulang... semua rakyat dan negeri," ujarnya lagi Beliau juga berkata pihak menteri sepatutnya membaca angka-angka dan peratusan berkaitan serta melihat nama fail sebelum membuat kenyataan sedemikian. Justeru itu katanya, mengapa tidak diwujudkan satu hubungan yang lebih harmoni di negeri-negeri atau Putrajaya melalui perbincangan dengan semangat Federalisme yang mengukuh terutama selepas pilihanraya dijalankan. "Kalau itu pun tidak boleh, negara kita tidak akan bergerak ke hadapan. Bye-bye keharmonian dan kesejahteraan yang diimpikan oleh rakyat semua. "Jika ada YB Menteri yang marahkan rakyat Negeri Terengganu kerana memilih kami dalam pilihan raya baru ini, biarlah saya jadi galang ganti untuk dimarahi. Jangan dera rakyat kerana pilihan mereka," ujar Ahmad Samsuri.
25 Aug 23
1615