Artikel "Utama" Terkini
1,000 Sertai Sesi Libat Urus Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam
KUALA TERENGGANU, 5 September- Seramai 1,000 penjawat awam negeri ini menyertai Sesi Libat Urus Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam Bersama Penjawat Awam Negeri Terengganu yang diadakan di Dewan besar, Wisma Darul Iman, hari ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, sesi libat urus itu amat signifikan untuk membantu pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengkaji semula sistem saraan perkhidmatan awam dengan mengambil kira cabaran semasa dan merangka keperluan di masa akan datang.
“Susulan daripada pengumuman Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa majlis perhimpunan hari pekerja pada 1 Mei lalu yang menekankan keperluan untuk diteliti semula berkaitan sistem saraan perkhidmatan awam, satu mesyuarat penyelarasan khas berkaitan dengan bengkel kajian sistem saraan perkhidmatan awam telah dianjurkan oleh pihak JPA pada bulan Julai yang lepas.
“Sistem saraan ini dilihat terdapat keperluan untuk disemak semula memandangkan kajian terakhir berkaitan sistem saraan secara menyeluruh dilaksanakan pada tahun 2002,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan di sesi libat urus tersebut yang mana ucaptamanya telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Dr. Anesee Ibrahim.
Tambah beliau, untuk tujuan tersebut pihak JPA akan melaksanakan kajian sistem saraan perkhidmatan awam dan untuk mengumpulkan input dan juga maklumat daripada pelbagai pihak terutamanya daripada semua agensi kerajaan.
“Objektif kajian ini adalah untuk meningkatkan efisiensi penjawat awam, mengoptimumkan kos pengurusan agensi kerajaan, menigkatkan produktiviti dan kesejahteraan semua penjawat awam,” ujarnya.
Katanya, penjawat awam perlu sentiada menyokong inisiatif kerajaan dan diharapkan semua ketua jabatan dan pegawai dapat mengemukakan input dan justifikasi bagi memastikan kajian sistem saraan perkhidmatan awam bersifat inklusi serta mengambil kira keperluan sumber manusia pada masa kini dan akan datang.
“Diharapkan pengumpulan input yang diperolehi pada hari ini dapat dirangkumkan menjadi satu hasil yang positif sebelum ianya dapat dipanjangkan kepada pihak JPA,” ujarnya.
05 Sep 23
262
Beras Mahal : 'Penjual Perlu Patuh Harga Siling' - Dr Azman
KUALA TERENGGANU, 5 September - "Harga beras adalah bawah bidang kawal selia padi beras negara. Siapa pun pengedar dan pembungkus perlu patuh kepada siling harga yang ditetapkan," ujar Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim.
Katanya, anak syarikat kerajaan negeri, Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC) hanya bertanggungjawab membungkus dan mengedar beras MyGAP yang berkualiti tinggi dari sawah padi tempatan yang mempunyai Sijil Amalan Pertanian Baik Malaysia, MyGAP.
"Kerajaan negeri terus bekerja keras bagi meningkatkan pengeluaran beras negeri dengan beberapa strategi termasuk pembukaan sawah padi baru, mengekalkan sawah padi sedia ada tanpa ditukar syarat, menaik taraf infrastruktur ladang, sistem pengairan dan kesuburan tanah serta kawasan bertanam sekali setahun ditingkatkan kepada dua kali setahun," katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan yang dikeluarkannya di akhbar Harian Metro yang menyatakan TADC akan meningkatkan pengeluaran beras sebanyak 100 tan metrik sebulan, berbanding hanya 60 tan metrik sebulan sejak Julai lalu.
Dalam kenyataan akhbar tersebut beliau memaklumkan, TADC akan bekerjasama dengan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) untuk mendapatkan tambahan beras berikutan penanaman padi musim pertama sudah berakhir Jun lalu.
“Pembelian beras tempatan daripada kilang Bernas diperlukan bagi menampung permintaan beras di negeri ini.
"Bagi memastikan bekalan beras tempatan dikeluarkan TADC mencukupi untuk menampung keperluan penduduk di Terengganu sementara menunggu pengeluaran padi musim kedua, kita akan membeli beras tempatan dikeluarkan beberapa kilang Bernas di negeri ini," jelasnya.
Mengulas lanjut, Dr Azman dalam laporan tersebut memberitahu, TADC membelanjakan RM270,000 untuk pembelian beras daripada beberapa kilang padi di negeri ini untuk proses pembungkusan sebelum dibekalkan kepada pengedar tunggal yang dilantik untuk dipasarkan.
"Walaupun berlaku kenaikan harga beras putih import berkuat kuasa Jumaat lalu, tapi kita akan memastikan tiada kenaikan harga bagi beras Super Special Tempatan (SST) dikeluarkan TADC.
"Kita akan pastikan Berasganu My GAP dikeluarkan TADC dijual pada harga RM12.90 bagi setiap lima kilogram dan RM25.60 bagi setiap pek 10 kilogram," katanya memetik laporan Harian Metro.
05 Sep 23
1806
Lapangan Terbang Sultan Mahmud Dalam Perhatian Kerajaan Negeri
KUALA TERENGGANU, 4 September – Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) Terengganu sedang diteliti oleh Kerajaan Negeri bagi menarik lebih ramai pengunjung dan pelancong.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata pihaknya telah melakukan tinjauan di lapangan terbang tersebut yang dikatakan agak suram.
"Melalui tinjauan tersebut, kami mendapati bahawa LTSM ada sedikit kekurangan dari sudut pelancong asing untuk terus datang ke negeri Terengganu.
“Ramai pelancong asing yang transit di Singapura dan melalui jalan darat ke semenanjung Malaysia,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Sidang media dan Penyerahan Penajaan Mount Tebu Climbathon Challenge (MTCC) 2023 bertempat di Aras Bawah, Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu (JPNT), Fadli Yusof Zakaria.
Tambah Razali, perbincangan juga telah dijalankan bersama pihak imigresen dan kastam untuk tindakan lanjut.
“Insya-Allah, dalam masa terdekat Kerajaan Negeri akan berusaha untuk meningkatkan lagi kualiti Lapangan terbang tersebut yang juga merupakan mercu tanda negeri Terengganu,” ujarnya.
Untuk rekod, LTSM merupakan lapangan terbang antarabangsa yang terkenal terutamanya pada musim haji.
04 Sep 23
4371
Hasrat Jadikan Terengganu 'Land Of Cycling' Mampu Dicapai
MARANG, 4 September - Kerajaan negeri optimis impian untuk menjadikan Terengganu sebagai negeri kayuhan basikal mampu dicapai.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, hasrat menjadikan Terengganu sebagai 'Land Of Cycling' merupakan sebagai sebahagian daripada promosi pelancongan negeri Terengganu.
"Di mana destinasi yang menjadi tempat atau hentian program sebagaimana yang diadakan hari ini (Tour Gateh D'Tranung) akan lebih memperkenalkan lagi lapan daerah iaitu dari Marang, Dungun, Kemaman , Hulu Terengganu sehingga ke Besut.
"Kita akan meneruskan program seperti hari ini bagi memastikan hasrat kerajaan untuk mengangkat sukan basikal ini juga menjadikan Terengganu 'Negeri Kayuhan Basikal' akan mampu tercapai dan akan menjadi satu faktor pelancong dari dalam dan luar negara datang ke negeri ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan pelepasan Kejohanan Tour Gateh D'Tranung Peringkat 1, di Pulau Kekabu di sini hari ini.
Katanya hari ini sebanyak 27 pasukan hebat antara benua terlibat, serta penyertaan dari Singapura, Indonesia serta Brunei.
"Selain kita turut menerima peserta antarabangsa yang pada awalnya ingin turut menyertai namun membatalkan penyertaan pada saat akhir.
"Insya-Allah kita akan ulangi lagi pada tahun hadapan dengan menjadikan ia sebagai acara antarabangsa.
"Sebenarnya bagi menjadikan negeri Terengganu sebagai negeri kayuhan basikal ia turut dibantu dengan reputasi Terengganu yang selama ini telah melahirkan ramai jaguh-jaguh dalam sukan basikal yang mencipta nama bukan sahaja dalam negara tetapi di peringkat antarabangsa," ujarnya lagi.
04 Sep 23
810
Tourism Terengganu Nafi Kutip Deposit Peniaga Karnival Jom Heboh
KUALA TERENGGANU, 4 September - Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (Tourism Terengganu) menafikan dakwaan terlibat dengan kutipan deposit peniaga-peniaga bagi program Jom Heboh yang didakwa diadakan pada 17 hingga 21 Ogos lalu sepertimana telah tular di media sosial.
Pengarah Tourism Terengganu, Fadli Yusof berkata, pihaknya memandang serius mengenai isu kutipan wang deposit ini dan menafikan sekeras-kerasnya tindakan individu tersebut yang dipercayai dilakukan demi kepentingan peribadi.
“Kami meminta kepada orang awam yang terbaca iklan di mana-mana laman sosial, ditawarkan atau sudah membuat bayaran bagi tujuan itu dinasihatkan agar membuat laporan polis dan menyerahkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa,”ujarnya dalam satu kenyataan.
Untuk rekod, kali terakhir penganjuran Jom Heboh Omnia di Terengganu diadakan pada 7 dan 8 Oktober 2022 di Perkarangan Stadium Gong Badak, Kuala Nerus.
Justeru itu, Tourism Terengganu menasihati semua pihak terutama peniaga untuk sentiasa berwaspada dengan segala modus operandi yang digunakan oleh “scammer” bagi tujuan penipuan dan seterusnya mengelak menjadi mangsa.
Tambah Fadli, orang ramai boleh mendapatkan perkembangan aktiviti-aktiviti menarik pelancongan negeri Terengganu menerusi laman sosial rasmi di Facebook, Instagram, dan Telegram dengan nama BEAUTIFUL TERENGGANU MALAYSIA, dan ikuti Tiktok kami di @tourismterengganu
04 Sep 23
1011
Pelancong Luar Puji Terengganu
KUALA TERENGGANU, 4 September - "Dalam hidup kami tidak pernah tengok pantai sebersih ini, kami dapat jumpa banyak ikan, coral. Kalau tanya saya, ya, Terengganu adalah salah satu tempat tercantik di Malaysia,” ujar pelancong dari Selangor.
Punitha, 48, yang berasal dari Shah Alam berkata, mereka sekeluarga sangat teruja ketika pertama kali menjejakkan kaki di Pulau Redang.
“Kami banyak mendengar tentang Terengganu antaranya kecantikan pulau dan pelbagai warisan yang terdapat di sini.
“Ini kali pertama kami datang ke negeri ini dan berada di sana (Pulau Redang) selama dua malam, kami pergi snorkeling, bermain pantai dan lain-lain aktiviti,” katanya ketika ditemui di Terminal Feri Pulau Redang di Taman Tamadun Islam, semalam.
Terdahulu, tinjauan pemberita di jeti tersebut mendapati ramai ibu bapa yang mengambil peluang membawa anak-anak berkunjung ke Pulau Redang sempena cuti penggal persekolahan minggu lalu.
Punitha berkata, dia dan suami Sivamaran, 51, serta anak-anak akan kembali mengunjungi Terengganu pada masa akan datang bersama ahli keluarga yang lain.
“Pasti lepas ini saya akan datang lagi, walaupun saya sudah tinggal di Malaysia lebih 40 tahun, tapi mungkin selama ini saya tidak pernah dapat peluang berkunjung ke sini,” ujarnya.
Sementara itu, Nur Atikah Mohd Maliki ,28, dari Kulim, Kedah memilih untuk bercuti ke Pulau Redang bersama 10 ahli keluarganya kerana tertarik dengan kecantikan alam semula jadi pulau tersebut.
Difahamkan, antara tarikan utama pelancong ke Pulau Redang adalah dapat melihat sendiri hidupan marin dan terumbu karang melalui aktiviti snorkelling dan menyelam serta merakam gambar dan video di lokasi menarik pulau itu selain melihat rutin harian penduduk tempatan di Kampung Baru Pulau Redang.
04 Sep 23
5783
'Silap Kata Mundur, Terengganu Negeri Wajib Dikunjungi'
KUALA TERENGGANU, 3 September – Silap besar jika ada pihak mengatakan Terengganu sebagai sebuah negeri yang mundur dan patut diboikot, ujar pelancong dari Selangor.
Sunaini Othman, 54, yang berasal dari Shah Alam berkata, Terengganu merupakan sebuah negeri yang wajib dan berbaloi untuk dikunjungi.
Katanya, negeri pantai timur itu terus menjadi pilihan orang ramai menghabiskan masa bercuti sehingga beberapa lokasi popular dipenuhi pelancong, sepanjang tempoh cuti sekolah berlangsung baru-baru ini.
"Ini merupakan kali kedua saya datang dan kalau boleh nak datang lagi. Bagi saya orang yang mengatakan Terengganu mundur adalah silap, cakap orang yang tak fikir lebih jauh sekadar nak puaskan hati mereka sahaja.
"Bagi saya Terengganu adalah tempat terbaik untuk datang tak kira lah apa orang nak kata sebab bagi saya semua best, rakyat bagus , bersopan santun, peramah dan banyak tempat menarik untuk dilawati,”ujarnya ketika ditemui di Pasar Payang di sini hari ini.
Terdahulu, tinjauan pemberita di beberapa lokasi antaranya di Masjid Kristal, Jeti Pulau Redang, Taman Tamadun Islam, Pasar Payang dan banyak lagi lokasi meriah dengan kehadiran pelancong yang mengabadikan kenangan mereka di mercu pelancongan negeri itu.
Sementara itu, pelancong asing dari Singapura, Reid Lim, 36 dan isteri Kit Shan 31 yang berasal Hong Kong berkata, Terengganu memiliki banyak tempat menarik berbanding negeri lain di Malaysia.
Menurut beliau yang kali pertama datang bercuti ke negeri pesisir pantai itu, antara yang digemarinya adalah makanan, cuaca dan masyarakat Malaysia yang peramah dan menerima baik pelancong sepertinya.
"Saya sangat sukakan Terengganu dan ketika datang di sini, saya paling gemar makan nasi dagang dan isteri lebih kepada keropok lekor. Di sini juga ada pelbagai makanan enak yang selalu dianggap pelancong sebagai 'syurga' makanan.Negeri ini bukan hanya ada pantai yang indah tetapi pantai itu juga bersih
“Saya tak tahu apa yang orang lain fikirkan tapi saya sukakan tempat ini bila datang ke Terengganu. Jika ada yang mengatakan Terengganu tidak sesuai untuk bercuti, mungkin ada salah faham sebab segalanya menarik tentang negeri ini, termasuk binaan bangunan... pasti akan datang untuk kali kedua tidak lama lagi," katanya.
03 Sep 23
6611
Camper Rally Gathering Pecah Malaysia Book Of Records
KUALA TERENGGANU, 3 September - Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu berjaya menghimpunkan 250 campervan dan motorhome (CRM) dengan penglibatan lebih 700 ahli keluarga sempena program Camper Rally Gathering 2023 di Pulau Poh, Kenyir.
Penganjuran program selama tiga hari berakhir semalam itu mendapat kerjasama Persatuan Campervan & Motorhome Malaysia (PCMM) dan turut melibatkan penyertaan terbesar pemilik CRM Malaysia iaitu sebanyak 231 buah kenderaan rekreasi (RV), termasuk 12 dari Thailand, Jerman (6), sebuah dari United Kingdom.
Jumlah itu berjaya dicatatkan dalam The Malaysia Book of Records sebagai Most Recreational Vehicle (RV) in a Rally Gathering, sekaligus memecahkan rekod tahun lalu di mana program sama diadakan di Taman Wetland Putrajaya yang membabitkan 122 RV.
Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Tun Faisal Tun Abdul Razak berkata, kerajaan negeri komited untuk mambangunkan kawasan RV di setiap daerah.
“Telah ada beberapa lokasi yang berpontensi dijadikan kawasan pelancongan RV seperti Pantai Peranginan Rhu 10, Setiu, Pulau Kekabu, Marang serta Pantai Teluk Kalong, Kemaman termasuk di Tasik Kenyir.
“Keindahan dan keunikan lokasi di Terengganu merupakan kawasan tarikan pelancong sedia ada dan mempunyai nilai pelancongan semulajadi.
“Dengan penambahan nilai tambah prasarana kemudahan RV ini. Kita yakin ia mampu menarik minat pelancong dari pelbagai segmentasi pelancong khasnya segmentasi pelancong berasaskan kekeluargaan yang kini menggunakan RV untuk melancong,” ujarnya.
Menurut beliau, program berkonsepkan terbuka kepada orang awam itu juga memberikan peluang kepada pengunjung dan peminat RV untuk mengenali jenis-jenis RV, DIY RV serta turut berpeluang mengalami percutian dengan kenderaan rekreasi tersebut.
03 Sep 23
720
TSG Shimano Fellowship Ride Realisasikan Terengganu Negeri Basikal
KUALA TERENGGANU, 3 September - Penganjuran TSG Shimano Fellowship Ride 2023 yang menjadi acara terbesar setiap tahun berupaya menjelmakan Terengganu sebagai Negeri Kayuhan Basikal.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata, program yang dianjurkan oleh Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) tersebut selaras dengan teras utama dalam Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS2030) bagi menjadikan negeri ini terkenal dengan aktiviti berbasikal.
"Kalau kita tengok hari ini ia menjadi program terbesar yang melibatkan 3,500 peserta malah menghimpunkan seluruh peminat basikal yang datang dari seluruh negara termasuk Singapura, Indonesia dan Thailand.
"Saya turut difahamkan bahawa hasrat TSG sangat bertepatan dengan kehendak kerajaan negeri bagi menjadikan acara ini sebagai pengerak kepada ekonomi negeri Terengganu dengan menyasarkan pendapatan RM2.1 juta setiap tahun pada setiap kali acara ini diadakan," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui menyempurnakan pelepas program berkenaan, di Dataran Batu Burok, di sini semalam.
Mengulas lanjut katanya, reputasi Terengganu selama ini berjaya melahirkan atlet berbasikal juga telah menarik perhatian dunia kerana itu sangat bertepatan menjadikan negeri ini sebagai lokasi popular untuk kayuhan basikal.
"Kita berharap agar usaha-usaha ini diteruskan oleh pelbagai pihak kerana untuk menarik lebih ramai lagi rakyat terutama peminat-peminat sukan basikal samada dari dalam negara mahupun luar negara," ujarnya lagi.
03 Sep 23
674
Warga Emas Tetap Bersemangat Berarak Sambut Merdeka
KUALA TERENGGANU, 2 September - Menjangkau usia 64 hingga 85 bukan penghalang untuk Geng Surau Padang Luar, mengambil inisiatif tersendiri menyambut kemerdekaan negara.
Penyelaras Program, Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata, kalangan peserta terdiri daripada pesara kerajaan termasuk guru semuanya bersemangat menzahirkan perasaan penuh cinta kepada negara.
"Walaupun ada yang uzur mereka tetap hadir namun mereka tidak sama-sama berarak seperti yang lain hanya berada di surau.
"Tujuan kami adalah untuk menyemarakkan semangat dan mengimbau kembali erti kemerdekaan sebenarnya dalam konteks negara Malaysia, dimana inilah dahulunya dikenali sebagai Tanah Melayu yang perlu dipelihara dan dipertahankan," ujarnya ketika dihubungi, di sini, baru-baru ini.
Mengulas lanjut katanya, pesanan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar agar jangan ada kalangan rakyat yang bermuka Melayu tetapi memiliki jiwa penjajah bagi memastikan negara ini terus harmoni bagi diwariskan dari satu generasi kepada generasi yang lain.
"Kenangilah jerit perih orang dahulu berjuang, ada yang terkorban kerana sanggup bergadai nyawa menentang penjajah Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun.
"Tidak boleh dipadamkan daripada sejarah bahawa ulama, tok guru dan orang-orang alim yang 'istiqamah' memperjuangkan kemerdekaan demi menjaga agama, bangsa dan tanah air," ujarnya.
Caption
Dalam pada itu katanya, generasi hari ini perlu insaf dan sedar bahawa kemerdekaan sebenar adalah memiliki keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT agar menyedari peranan sebenar berada di dunia ini.
"Kemerdekaan sebenar adalah menjadi khalifah di atas muka bumi ini dan menyeru manusia untuk menyembah Allah SWT Tuhan yang Maha Esa dan tiada sekutu dengan-Nya," ujarnya lagi.
02 Sep 23
496