lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Projek Kampung Jelapang Setiu Diteruskan
Projek Kampung Jelapang Setiu Diteruskan
KUALA TERENGGANU, 23 Ogos - Kerajaan negeri akan meneruskan projek pembangunan padi di Kampung Jelapang, Langkap kerana ia bertetapan dengan visi menjadikan Setiu sebagai gedung pengeluar makanan. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata sangat sayang jika usaha itu tidak diteruskan kerana kerajaan Barisan Nasional sebelum ini telah membelanjakan RM40juta dan belum menjadi kawasan penanaman padi. "Bagi memastikan hasrat itu berjaya dilaksanakan ada beberapa kertas kerja yang telah diangkat ke kementerian yang masih lagi tergantung antaranya kita mencadangkan untuk membina takungan air. "Sebab isu utamanya ialah masalah pengairan air, apabila diselesaikan isu ini yang lain-lain itu akan dapat diatasi dengan sendirinya," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap semasa mengadakan kunjung hormat ke Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, di sini, semalam. Mengulas lanjut katanya, Terengganu ingin memastikan Kadar Sara Diri (SSR) mencecah lebih 70 peratus. "Isu-isu yang lain termasuk berkait dnegan kilang padi semua Alhamdulillah kita dah selesaikan, kini ke arah berkeja untuk menaikkan SSR padi." katanya.
23 Aug 23
1175
Peruntukan Tambahan RM3 Juta Selesai Isu Pelabuhan Chendering
Peruntukan Tambahan RM3 Juta Selesai Isu Pelabuhan Chendering
KUALA TERENGGANU, 22 Ogos - Kerajaan negeri bersetuju untuk memperuntukkan RM3 juta kepada Jabatan Pengairan Saliran (JPS) bagi menyelesaikan isu Pelabuhan Chendering. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata jumlah berkenaan merupakan peruntukan tambahan menjadikan jumlah keseluruhan RM7 juta. "Ini merupakan perbelanjaan awal sebagai memberikan ransangan sementara menunggu peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM196 juta. "Ini bagi memastikan usaha ini terus bergerak untuk mengembalikan semula zaman kegemilangan Pelabuhan Chendering yang merupakan satu-satunya pelabuhan perikanan yang ada di Terengganu kerana yang lainnya itu merupakan jeti pendaratan ikan," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjung hormat ke JPS negeri, di sini, hari ini. Mengulas lanjut katanya, jumlah peruntukan sebanyak RM7 juta secara keseluruhan kepada jabatan berkenaan sebagai usaha serius untuk memastikan segala agenda kebaikan kepada rakyat melalui sektor pertanian dapat dijayakan. "Apabila ada peruntukan ini semua jabatan yang berada di bawah Kementerian Pertanian ataupun yang membantu kita sebagaimana JPS yang perlu turut sama-sama memikul beban dan menyuntik kekuatan untuk berkerja. "Kita berterima kasih kepada JPS kerana menjadi antara jabatan yang sangat cepat membelanjakan peruntukan dan cepat memberikan respon kepada setiap isu serta aduan dan mengendalikannya dengan cepat," katanya.
22 Aug 23
367
Peluang Cerah Bangunkan IADA KETARA Fasa 2
Peluang Cerah Bangunkan IADA KETARA Fasa 2
KUALA TERENGGANU, 22 Ogos - Peluang kerajaan negeri untuk ningkatkan pengeluaran padi melalui Projek kawasan Bersepadu (IADA) Terengganu Utara (KETARA) Fasa 2 kini semakin cerah. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata mandat rakyat yang diberikan kali ini dengan mencapai kemenangan besar tidak akan dipersiakan bagi memastikan segala perancangan untuk kebaikan rakyat dapat diteruskan. "RM30 juta untuk projek IADA KETARA Fasa 2 nampak macam cerah dan apabila menang ini semakin cerah untuk menjadikan ia sebagai 'prioriti' supaya kawasan-kawasan yang berada di luar jelapang dapat kita salurkan sumber air dari takungan yang memang berlebihan. "Di empangan Paya Peda kita ada tiga 'wave' yang ada dibuka baru satu, dan ia berpotensi untuk dimanfaatkan untuk IADA KETARA Fasa 2, kerana selama ini air dibuang daripada empangan lebih banyak dibuang daripada yang digunakan," ujarnya. Beliau berkata demikian semasa beliau mengadakan kunjung hormat ke Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Terengganu, di sini, hari ini. Ujarnya, kerajaan negeri mempunyai hala tuju serta matlamat yang jelas  dengan cadangan pembangunan IADA  KETARA Fasa 2 sebagai perancangan bagi meningkatkan sekuriti makanan dan mengekalkan kawasan tanaman padi sedia ada. "Sebelum ini kawasan-kawasan padi yang berhadapan masalah pengairan, pemilik tanah menjadikannya sebagai tapak bagi menanam kelapa sawit sehingga menjadi punca utama apabila berada di sebelah padi dia akan menjadi tikus dan sarang perosak. "Kini permohonan untuk menukar syarat tanah terutamanya di kawasan padi aktif tidak diluluskan lagi, kerana kita tengok kehilangan kawasan padi begitu ketara dalam tempoh 10 tahun yang terakhir sebelum daripada ini," ujarnya.    
22 Aug 23
493
KMI Kuantan Terima Anugerah SOHELP DOSH
KMI Kuantan Terima Anugerah SOHELP DOSH
KUALA TERENGGANU, 22 Ogos - KMI Kuantan Medical Centre (KMI Kuantan) telah dianugerahkan tempat pertama bagi Tempat Kerja SOHELP (Systematic Occupational Health EnhancementLevel Programme) DIY Terbaik (Kategori 3).  Majlis penganugerahan telah berlangsung di Konvensyen SOHELP DIY Kebangsaan bertempat di IDCC, Shah Alam, Selangor. Anugerah berprestij ini telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia merangkap Pengerusi Majlis Negara Bagi Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan, Ts. Mustapha Sakmud.  Pegawai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan KMI Kuantan, Mohd Nashriqbin Ismail yang juga Enabler kepada SOHELP DIY telah dijemput untuk menyampaikan pembentangan dan mewakili KMI Kuantan Medical Centre bagi menerima anugerah tersebut. SOHELP telah diperkenalkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) atau DOSH dalam usaha untuk meningkatkan tahap pengurusan higien industri di tempat kerja terutamanya dalam aspek kawalan pendedahan bunyi bising, pengurusan bahan kimia dan ergonomik. KMI Kuantan telah mengambil langkah penambahbaikan dalam menguruskan beban untuk mengelakkan masalah ergonomik kepada pekerja. Kawasan bunyi bising berlebihan dikenalpasti seterusnya langkah kawalan diambil untuk memastikan pekerja tidak terdedah kepada bunyi bising.  Mengelakkan pendedahan bahan kimia kepada pekerja dengan mengambil kira kawalan kejuruteraan antara usaha yang dilakukan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja di hospital sehingga berjaya memenangi anugerah tersebut. KMI Kuantan salah satu di antara lima buah hospital dibawah rangkaian Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) bahagian penjagaan kesihatan TDM Berhad. Sejak penubuhannya pada 1996, KMI Kuantan telah berkembang pesat menjadi hospital pakar mesra komuniti yang menawarkan perkhidmatan rawatan dan penjagaan kesihatan berkualiti tinggi dengan kapasiti 176 katil serta kini lengkap dengan akreditasi MSQH. Jumlah tersebut bakal ditambah melalui pembinaan sayap baharu yang akan menempatkan 80 katil tambahan serta fasiliti lain yang lebih moden dan canggih.
22 Aug 23
569
Utamakan Rakyat Seiring Revolusi Industri 4.0
Utamakan Rakyat Seiring Revolusi Industri 4.0
KUALA TERENGGANU, 22 Ogos - Warga Kerja Yayasan Terengganu diseru agar mengutamakan rakyat dalam memberikan perkhidmatan secara profesional, progresif dan berintegriti seiring zaman Revolusi Industri 4.0 . Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, di mana pada zaman ini mobiliti, kepantasan dan kecekapan memainkan peranan sangat signifikan kepada kerajaan dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat. Ujarnya, sebagai nadi penggerakan kerajaan sudah tentu langkah tersebut sangat diharapkan untuk terus berperanan sebagai sebuah agensi kerajaan negeri yang bertanggungjawab bagi membangunkan modal insan termasuk menyediakan kemudahan melanjutkan pelajaran kepada rakyat Terengganu. "Maka sistem penyampaian perkhidmatan produktif serta berkualiri adalah imperatif bagi memastikan rakyat Negeri Terengganu terus mendapat manfaat. "Sebagaimana dihasratkan oleh pimpinan negeri, sekali gus menjadikan perkhidmatan kerajaan kekal relevan serta diyakini," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang Yayasan Terengganu Tahun 2023, di Pusat Konvesyen Taman Tamadun Islam, di sini, kelmarin. Turut hadir, Pengarah Yayasan Terengganu Dato' mohd Azmi Mohamad Daham. Mengulas lanjut, Tengku Seri Bijaya Raja turut memberi peringatan kepada warga kerja untuk mencipta budaya kerja kelas pertama. "Insya-Allah dengan gabungan elemen progresif, integriti, disiplin dan tanggungjawab setiap warga kerja akan membawa Yayasan Terengganu ke arah sebuah organisasi cemerlang, dinamik serta bermindakan 'par excellence'." ujarnya. Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada seramai 33 orang penerima anugerah perkhidmatan cemerlang serta 22 orang yang telah menerima anugerah 'Jasamu Dikenang' bagi meraikan kakitangan yang telah bersara. "Harapan saya agar pengiktirafan serta penghargaan seumpama ini dapat melonjakkan motivasi pekerja seterusnya menjadi 'role model' dan mentor terbaik kepada rakan sekerja yang lain, secara langsung membentuk ekosistem pekerjaan cemerlang," ujarnya.
22 Aug 23
153
"32-0, Kerajaan Terengganu Tak Boleh 'Menyederhanakan' Prestasi"
"32-0, Kerajaan Terengganu Tak Boleh 'Menyederhanakan' Prestasi"
KUALA TERENGGANU, 21 Ogos - Kemenangan besar PAS/PN pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 lalu bukan alasan untuk parti itu berpuas hati dengan prestasi lepas, ujar Dr Azman Ibrahim. "Saya kurang setuju kalau dikatakan kerajaan ini perlu kekalkan prestasi semasa, yang sepatutnya ialah kerajaan ini perlu tingkatkan prestasi. "Kita tidak boleh menyederhanakan prestasi kerja sekadar berpuas hati dengan kejayaan sesi lepas," ujar Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri itu melalui satu kenyataan hari ini. Mengulas lanjut kata beliau, pihaknya mengambil pendekatan melihat ke hadapan tanpa menoleh ke belakang untuk mengulas apa yang telah berlaku sepanjang kempen. "Perkara besar ialah untuk memahami bagaimana tingginya harapan rakyat kepada PAS/PN yang perlu dipenuhi setelah pengundi menjatuhkan hukuman 32-0 kepada BN/PH. "Lima tahun yang berlalu, rakyat telah membuat penilaian dan mereka memilih untuk mengundi dengan keputusan badi kerajaan sepenggal telah berakhir," ujarnya. Tambahnya, berlakunya peralihan penggal pertama kepada penggal kedua merupakan waktu yang yang sangat kritikal terpaksa ditempuhi dengan cabaran yang tersendiri. "Tapi kini setelah badi ini berjaya dilepasi ia bukan bermakna kita sudah boleh 'slow down' sebaliknya gear perlu dinaikkan lagi dan momentum graf perlu menaik ke atas. "Naik kereta kalau main gear sama, boleh 'lokoh' gear," ujarnya lagi.    
21 Aug 23
268
Dr Sam Jumpa Mantan Menteri Ekonomi Bincang Hala Tuju Pembangunan
Dr Sam Jumpa Mantan Menteri Ekonomi Bincang Hala Tuju Pembangunan
KUALA TERENGGANU, 21 Ogos - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah mengadakan perjumpaan dengan mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato' Seri Mustapa Mohamed bagi membincangkan kesenjangan pembangunan di empat negeri 'Malay Belt' . Menurut Ahmad Samsuri, antara perkara yang turut dibincangkan dalam satu pertemuan khas bersama dengan tokoh negara tersebut yang lebih mesra dikenali sebagai Tok Pa adalah membabitkan isu-isu mikro di negeri turut fokus mengenai pembangunan aset negeri. "Bagi meningkatkan hasil, peningkatan tahap ekonomi negeri, peningkatan pelaburan, dan bagaimana empat negeri di bawah PAS/PN dapat mengadakan kerjasama bagi menanganinya. "Dalam kerangka kuasa Kerajaan Negeri di bawah Jadual Sembilan Perlembagaan Persekutuan," ujarnya melalui satu kenyataan di facebook rasminya, di sini, semalam. Mengulas lanjut katanya, pengalaman bekas Menteri kewangan Kedua pada tahun 1998 itu mahu dimanfaatkan bagi membantu Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu. "Pengalaman luas Tok Pa sejak sekian lama dalam Majlis Tindakan Ekonomi Negara dan pelbagai kementerian seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Pembangunan Usahawan, Pengajian Tinggi dan sebagainya diharap dapat membantu kami di empat negeri. "Insya-Allah perbincangan lanjut akan diadakan sesama pimpinan negeri," ujarnya. Untuk rekod, Mustapa berkecimpung dalam dunia politik lebih 25 tahun dan pernah menyaksikan ketika beliau menjadi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, pelaburan asing pernah mencapai tahap memberasangkan.  
21 Aug 23
516
Generasi Muda Pertahan Tradisi Wau Bulan
Generasi Muda Pertahan Tradisi Wau Bulan
KUALA TERENGGANU, 21 Ogos - Tradisi permainan Wau Bulan terus dipelihara oleh golongan muda di Kampung Sungai Derhaka. Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor memuji penganjuran Pertandingan Wau Bulan Naik Tertutup Kg. Sungai Derhaka 2023 yang beliau sifatkan sebagai satu usaha kreatif masyarakat tempatan dalam memelihara seni warisan bangsa. Zuraida turut bersama-sama memberikan sokongan dalam pertandingan tersebut. "Pertandingan sebegini selain dapat menyambung ukhuwah sesama komuniti, dapat juga kita mengekalkan warisan kita," ujarnya. Sementara itu pengarahnya, Mohd Idrus Jusoh berkata pertandingan tersebut telah diadakan di Padang Perumahan Taman Residensi Bayas dan menerima sambutan yang agak menggalakkan daripada penduduk setempat. Salah seorang peserta bersama wau bulannya. "Kami menerima sebanyak 64 penyertaan dengan kehadiran pengunjung seramai 300 orang. "Apa yang kami harapkan ialah program sebegini dapat diadakan setiap tahun dengan sokongan daripada ADUN dan masyarakat setempat," ulasnya. Antara aksi peserta pertandingan. Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada ADUN Ladang atas kesudian meluangkan masa untuk turut bersama-sama dalam pertandingan tersebut.
21 Aug 23
342
PTT Jamborace & Funrace Tasik Kenyir Tawar Ganjaran RM100,000
PTT Jamborace & Funrace Tasik Kenyir Tawar Ganjaran RM100,000
KUALA TERENGGANU, 20 Ogos- Peminat sukan basikal lasak bakal menerima durian runtuh RM100,000 menerusi anjuran program berbasikal lasak, PTT Jamborace & Funrace Tasik Kenyir 2023 yang akan diadakan di Pulau Poh, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu pada 6 dan 7 Oktober ini. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO, Hishamuddin Abdul Karim berkata, program anjuran Kelab Sukan dan Kebajikan Terengganu Inc (TISAW), Terengganu Inc itu bakal menarik lebih 1,000 penyertaan dari seluruh negara. “Acara sukan ini menawarkan nilai ganjaran keseluruhan mencecah RM100,000, di antara yang tertinggi dalam sejarah pertandingan sukan berbasikal lasak dalam negara, dengan RM50,000 disediakan dalam cabutan bertuah manakala selebihnya adalah hadiah wang tunai bagi kategori-kategori pertandingan. "Di samping menawarkan 10 kategori terbuka kepada peminat basikal berumur seawal 12 tahun ke atas sehingga 'otai-otai' berusia 56 tahun, hadiah yang ditawarkan juga menarik untuk dimenangi bagi setiap kategori," katanya pada sidang media Majlis Soft Lauching XCO Jamboree & Funrace Tasik Kenyir 2023 di Wisma Darul Iman, hari ini. Sementara itu, Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed berkata, program berbasikal tersebut merupakan acara yang julung kalinya diadakan di Pulau Poh memandangkan kawasan hutan dara tersebut baru dibuka secara rasminya pada bulan lalu. Katanya, dengan wujudnya fasiliti dan kemudahan penginapan, restoran dan jeti, anjuran ini bukan sahaja dapat melonjakkan lagi sektor pelancongan tempatan malah berpotensi menarik minat peminat basikal ke trek berbasikal hutan yang bakal dijadikan kawasan trek tetap. "Program yang diadakan ini secara tidak langsung dapat membantu rakyat untuk menjana pendapatan tambahan di samping menggalakkan sektor eko-pelancongan di Pulau Poh menerusi pelbagai aktiviti sukan lasak seperti basikal bukit, trek hutan, jet ski dan sebagainya, hasil kedudukan dan bentuk muka bumi strategik" katanya. Dalam pada itu katanya, Terengganu Inc sentiasa mengalu-alukan penajaan daripada anak-anak syarikat Kumpulan Terengganu Inc serta syarikat-syarikat besar lain untuk mengadakan anjuran kesukanan seperti ini untuk kelestarian sukan berbasikal. “Terima kasih kepada PTT Synergy Group Berhad, sebuah syarikat pemaju dan infrastruktur yang tersenarai di papan utama Bursa Saham di atas kesudian menaja program ini. "Kita juga berbangga PTT Synergy Group Berhad telah melahirkan rakyat Terengganu yang berjaya dan kejayaan yang dikecapi ini telah disalurkan melalui program- program CSR di dalam Negeri Terengganu juga," ujarnya.
20 Aug 23
915
MPD Tawar Diskaun Kompaun Tempat Letak Kereta 75 Peratus
MPD Tawar Diskaun Kompaun Tempat Letak Kereta 75 Peratus
KUALA TERENGGANU, 20 Ogos - Majlis Perbandaran Dungun  menawarkan pengurangan kompaun sebanyak 75 peratus kepada orang ramai untuk melunaskan tunggakan khusus kepada kompaun Tempat Letak Kereta bermula esok hingga 15 September 2023. Yang Dipertuanya, Tuan Azizul Ab Hadi berkata, tawaran pengurangan itu bersempena Sambutan Ulang Tahun Pemasyhuran MPD kali ke 11, Sambutan Hari Kemerdekaan Dan Hari Malaysia 2023.  Katanya, pembayaran kompaun boleh dibuat di kaunter Bersepadu MPD dan kaunter D’ Gate Walk. "Kempen ini adalah inisiatif MPD untuk menggalakkan Orang Kena Kompaun (OKK) menyelesaikan tunggakan kompaun pada kadar tidak membebankan. "Orang ramai dinasihatkan untuk mengambil peluang keemasan ini bagi menjelaskan tunggakan kompaun agar dapat mengelakkan tindakan undang-undang dikenakan melalui mahkamah," katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini. Tuan Azizul berkata, tawaran itu hanya khusus kepada kesalahan berkaitan tidak mempamerkan kupon, tidak membayar 'parking' atau meletakkan kenderaan di luar petak sahaja. Tambah beliau, promosi tersebut tidak termasuk kes-kes yang dalam proses pendakwaan dan telah disabitkan oleh mahkamah. Katanya, untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Penguatkuasaan MPD melalui talian 09-8481931/ 1932 atau melawati laman web http://mpd.terengganu.gov.my  
20 Aug 23
655