lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

96 Pelajar Terpilih Duta Kelestarian Alam Sekitar INSTEP
96 Pelajar Terpilih Duta Kelestarian Alam Sekitar INSTEP
KUALA NERUS, 11 September – Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP) telah melantik 96 pelajar dari lapan buah sekolah rendah sekitar Mukim Batu Rakit sebagai  di bawah program Menyemai Masa Hadapan: Edu-Lestari 2023. Ketua Pegawai Eksekutif INSTEP, Idris Ibrahim berkata, setiap peserta terpilih akan dibekalkan dengan ilmu asas pendidikan alam sekitar bagi meneruskan usaha menyemai kesedaran melestarikan alam sekitar di kalangan generasi muda.  Katanya, program pendidikan alam sekitar tersebut merupakan kesinambungan daripada program sama yang dilaksanakan pada tahun lalu.   “Sebagai duta, pelajar terbabit diharapkan mampu membuat perubahan peningkatan kesedaran alam sekitar disekeliling mereka melalui pelaksanaan amalan memulihara alam sekitar di dalam diri di samping berkongsi amalan tersebut kepada rakan sebaya dan masyarakat setempat.  “Setiap peserta didedahkan dengan pembelajaran berterusan di dalam aspek kitar semula dan kelestarian ekosistem.  “Selain daripada perkongsian berkenaan pengelasan sisa buangan, mereka juga turut mengikuti aktiviti pembelajaran interaktif mengenai kepentingan menghijaukan bumi.    “Menyemai Masa Hadapan: Edu-Lestari 2023 adalah salah satu daripada komitmen berterusan INSTEP ke arah masa hadapan yang lebih lestari melalui perubahan minda hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Tambah Idris, INSTEP sebagai organisasi yang mementingkan kelestarian alam sekitar, sentiasa komited di dalam misinya ke arah pencapaian taraf Kampus Hijau.  “Di samping pemasangan bumbung solar di dalam kampus, INSTEP juga giat menjalankan aktiviti penanaman pokok di sekitar kampus.  “Penjagaan pokok tersebut dilaksanakan secara semula jadi melalui kaedah siraman air hujan yang dikumpul melalui sistem penuaian air hujan dan juga menggunakan baja kompos yang dihasilkan oleh mesin pengompos makanan INSTEP,” ujarnya.    
12 Sep 23
251
Empat Negeri PN Bersetuju Wujudkan SG4
Empat Negeri PN Bersetuju Wujudkan SG4
KUALA TERENGGANU, 11 September - Empat buah negeri di bawah Perikatan Nasional bersetuju untuk mewujudkan kerjasama antara negeri dikenali sebagai 'State-Government 4' atau SG4. Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerjasama yang melibatkan Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis telah dipersetujui untuk diwujudkan pada 2 September yang lalu. "Kerjasama strategik mengikut bidang kuasa (empat) negeri ini akan memfokuskan kepada pembangunan ekonomi dan peningkatan taraf (kehidupan) rakyat di negeri terbabit. "Dengan mengenalpasti aset, kekuatan, kerjasama strategik dan sebagainya yang boleh dilaksanakan," ujarnya melalui satu kenyataan, di sini, hari ini. Dalam pada itu, Dr Ahmad Samsuri mendoakan agar agenda kebaikan rakyat di empat negeri ini dapat dijayakan dengan baik.  
11 Sep 23
26202
Ini Bukan Masa Bulan Madu – Dr Sam
Ini Bukan Masa Bulan Madu – Dr Sam
KUALA TERENGGANU, 11 September – Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengingatkan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai yang terlibat dalam urus tadbir bahawa tugas mereka sudah pun bermula dengan gaya pengurusan lebih baik. Menurutnya, jika penggal lepas semuanya dalam proses pembelajaran tetapi pada penggal kedua gaya pengurusan perlu berubah lebih laju, dan  bukan lagi dalam tempoh berbulan madu. Katanya, peranan semua pihak yang terlibat dalam urus tadbir negeri diperlukan secara kolektif, bagi mencapai objektif. “Jika pada penggal pertama masih fasa belajar,’ give and take’, ‘wait and see’ dan bersabar dengan kelemahan tetapi  penggal kedua ini semua Exco dan ketua jabatan, ‘should have shorter learning curve’. “Selepas hampir sebulan masa pembentukan kerajaan, kita tak mempunyai masa yang panjang untuk 5 tahun akan datang yang dijangka lebih pendek dari itu,” katanya dalam laman facebook rasminya pada hari ini. Sehubungan itu, beliau berharap Bengkel Hala Tuju Exco Kerajaan Negeri Terengganu yang dianjurkan akan membina satu gerak kerja yang terbaik buat semua pasukan. “Cabaran yang kita hadapi juga ialah cabaran internal yang melibatkan rakyat dan pemegang taruh selain external.  “Jika tidak menukar mindset rakyat dan tidak menggunakan peluang, pergerakan kita akan lambat.” jelasnya lagi. Tambah Dr Ahmad Samsuri, bengkel kali ini turut memfokuskan bagaimana untuk memastikan kecekapan kelulusan projek dapat dilaksanakan dengan pantas.  “Sentiasalah berlapang dada, memberi jawapan yang cermat dan mempermudahkan urusan pelabur,”ujarnya.  
11 Sep 23
2064
Operasi 'Pukat' RXZ Members Kerana Ada Aduan?
Operasi 'Pukat' RXZ Members Kerana Ada Aduan?
KUALA TERENGGANU, 10 September - Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Terengganu memaklumkan, operasi khas motosikal secara bersepadu bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri sewaktu penganjuran program RXZ Members 5.0 pada 8 dan 9 September lalu ekoran aduan daripada orang awam. Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, orang awam memaklumkan segelintir penunggang motosikal tersebut telah memandu secara melulu dan merbahaya di jalan raya termasuk Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dan jalan-jalan negeri. “PDRM bertugas dan berfungsi untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di Negeri Terengganu dan Malaysia amnya. “Ekoran dari rungutan dan aduan tersebut, pihak polis telah membuat pemantauan serta pemeriksaan dan mendapati sememangnya benar terdapat segelintir penunggang motosikal ini telah melakukan kesalahan lalu lintas dan mengganggu ketenteraman awam seperti yang didakwa,” ujarnya pada sidang media sempena Operasi Bersepadu-Operasi Khas Motosikal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, hari ini. Katanya, sebanyak 185 pelbagai buah motosikal dan seramai 205 individu telah ditahan semasa operasi dijalankan dengan kekuatan anggota seramai 83 orang. “Kesemua mereka telah di bawah ke IPK Terengganu untuk proses dokumentasi. Semasa proses dokumentasi pelbagai kesalahan telah didapati dan saman trafik dikeluarkan antaranya tiada lesen memandu (39), nombor pendaftaran ‘fancy’ (103), tiada cermin sisi (146) dan ubah suai ekzos (4),” ujarnya. Sementara itu katanya, sebanyak (111) buah motosikal disita oleh JPJ dibawah seksyen 64 APJ 1987 (Kuasa menyita kenderaan motor) dan sebanyak (311) saman/notis telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan. “Secara keseluruhannya sebanyak (292) saman telah dikeluarkan oleh Polis Trafik dan (311) saman/notis telah di keluarkan oleh pihak JPJ Terengganu,” jelasnya. Tambah beliau, perjalanan operasi tersebut telah dimaklumkan kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. “PDRM dan JPJ Terengganu melaksanakan operasi ini secara professional dan proses dokumentasi berjalan dengan lancar.  “Mana-mana motosikal yang tidak melakukan kesalahan serius telah dilepaskan manakala motosikal yang tidak memenuhi justifikasi dan spesifikasi akan melalui proses pemeriksaan lengkap oleh pihak JPJ dibawah Seksyen 64 APJ 1987,” jelasnya.
10 Sep 23
2189
Sembilan Pelajar Cemerlang Dihantar ke Tunisia
Sembilan Pelajar Cemerlang Dihantar ke Tunisia
KUALA TERENGGANU, 10 September- Seramai sembilan pelajar berjaya dihantar ke Universiti Ez- Zitouna, Tunisia bagi menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi melalui tajaan Yayasan Terengganu. Pengarah Yayasan Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham berkata, lima pelajar lelaki dan empat pelajar perempuan terbabit mendapat tajaan sebanyak RM18,000 setahun untuk setiap orang bagi tempoh pengajian selama empat tahun peringkat ijazah pertama di universiti tertua dunia itu dalam bidang pengajian Islam. “Mereka telah terpilih sebagai penerima sulung Skim Pinjaman Boleh Ubah Yayasan Terengganu yang ditawarkan untuk melanjutkan pengajian ke Tunisia bagi tahun 2023. “Kesemua pelajar telah berangkat ke Tunisia pada 9 September (semalam) dengan diiringi Penolong Kanan Pengarah Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu, Dr Hazwan Abdul Rahman,” ujarnya ketika dihubungi pemberita, hari ini. Beliau berkata, dengan adanya Skim Pinjaman Boleh Ubah itu diharap membantu pelajar golongan B40, M40 dan juga masyarakat luar bandar terutamanya anak Negeri Terengganu melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi. “Dengan tahap pendidikan yang baik sudah tentu dapat menghasilkan pelajar yang berjaya seterusnya dapat menyumbang jasa dan bakti kepada negeri dan negara apabila mereka menamatkan pengajian nanti,” katanya. Difahamkan, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad  Samsuri Mokhtar serta rombongan telah mengadakan lawatan rasmi ke universiti tersebut pada Mac tahun lalu. Susulan lawatan itu, satu perjanjian persefahaman (MoU) telah dijalin antara kerajaan negeri dan Universiti Ez Zitouna bagi membolehkan pelajar cemerlang Terengganu dapat melanjutkan pengajian di universiti ternama itu.    
10 Sep 23
635
Terengganu Dinobat Negeri Terbaik Amalan Pertanian
Terengganu Dinobat Negeri Terbaik Amalan Pertanian
KUALA TERENGGANU, 10 September - Jabatan Pertanian Terengganu sekali lagi memenangi kategori negeri terbaik bagi pensijilan Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP) di Malaysia bagi tahun 2022. Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Datuk Zulkepli Amin Mat Jusoh berkata, berkata pensijilan itu menjadi Petunjuk Prestasi Utama pelaksanaan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) bagi menambah baik keselamatan dan nutrisi makanan rakyat. “Sebanyak 566 ladang di bawah subsektor tanaman memperoleh pensijilan MyGAP sepanjang tahun 2022 dan telah meningkat dari tahun 2021 yang merekodkan hanya 416 buah sahaja. “Kejayaan tersebut bukan kejayaan kami tetapi merupakan hasil usaha pengusaha dan para petani di Terengganu,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman ( UPDI) hari ini. Tambahnya, dengan kemenangan tersebut, beliau yakin Terengganu akan lebih inovatif untuk menghasilkan produk-produk yang lebih berkualiti untuk bersaing dengan produk negeri lain termasuk dari luar negara.. Menurut beliau, kini ramai pengguna mencari produk yang selamat dimakan seperti produk organik sesuai dengan peningkatan taraf hidup terutama tahap kesihatan "Semua nak kata produk mereka selamat bebas daripada racun dan logam berat tetapi siapa yang mengesahkannya… itulah diwujudkan pensijilan MyGAP melalui amalan pertanian baik (APB). "Saya difahamkan terdapat lebih 100 produk di seluruh Malaysia yang dalam senarai menunggu termasuk ujian makmal untuk menerima pensijilan MyGAP yang mana syaratnya hampir sama seperti syarat-syarat sijil halal. MyGAP merupakan merupakan skim pensijilan yang dirangka dan dilaksanakan sejak 2002 untuk mengiktiraf ladang yang mengamalkan amalan pertanian baik bagi mengeluarkan makanan yang selamat dan berkualiti, menjaga keselamatan alam sekitar, serta menjamin keselamatan dan kebajikan pekerja. Untuk rekod pensijilan MyGap semakin meningkat, 2018 Terengganu hanya 141 sijil, kemudian bertamabah ke 211 pada 2019, manakalan 2020 (315, 2021 (416) dan 2022 (566).
10 Sep 23
3011
Melon Manis Terengganu Akan Dipaten
Melon Manis Terengganu Akan Dipaten
KUALA TERENGGANU, 10 September - Melon Manis Terengganu (MMT) kini dalam proses pendaftaran sebagai penunjuk geografi harta intelek (GI)  dan setelah diluluskan, nama MMT  tidak boleh digunakan oleh negeri lain. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, apabila kelulusan ini diperolehi, MMT akan menjadi ‘signature’ produk ataupun ikon kepada pertanian Terengganu. Menurutnya, proses ini sedang berjalan dan kertas ke arah itu telah diangkat setelah mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.  “Ada dua produk pertanian yang dalam proses untuk dipatenkan dan inysa-Allah selepas diluluskan maka rasmilah secara inteleknya bahawa nama Melon Manis Terengganu dan Sweet Nira Terengganu adalah milik negeri Terengganu.  “Selepas dipatenkan seperti  Harum Manis Perlis, penggunaannya akan jadi lebih meluas lagi,”katanya kepada pemberita ketika ditemui di Wisma Darul Iman baru-baru ini. Tambah Dr Azman, kini Terengganu turut memasarkan hasil Melon Manis untuk pasaran antarabangsa berikutan  banyak permintaan daripada penduduk di beberapa negara seperti Dubai, Singapura dan Hong Kong . Katanya, MMT yang dihasilkan di tempatnya boleh mencapai kemanisan sehingga skala 14 dan buahnya juga rangup serta tahan lama. Buah yang direka khas untuk industri pertanian Terengganu  juga mempunyai khasiat tersendiri termasuk bersifat antioksida, baik untuk kesihatan kulit, menguatkan antibodi badan, mengandungi vitamin A dan C, serta pencegah penyakit kronik seperti kencing manis, angin ahmar dan jantung.
10 Sep 23
1537
Kursus Intensif Khas Dedah Pelajar Dengan Timur Tengah
Kursus Intensif Khas Dedah Pelajar Dengan Timur Tengah
KUALA TERENGGANU, 7 September- Seramai 143 pelajar yang mengikuti Kursus Intensif Khas Pelajar Terengganu Ke Timur Tengah Sesi 2023 bakal berangkat ke institusi pengajian masing- masing termasuk di Jordan dan Mesir bermula 9 September ini.  Kesemua pelajar yang terlibat adalah lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dari seluruh negeri ini.  Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, kursus selama tiga hari itu bertujuan meningkatkan penguasaan pelajar dalam mempelajari Bahasa Arab melalui penulisan dan komunikasi serta memahami adat budaya dan nilai-nilai masyarakat di Timur Tengah. "Saya mewakili kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kepada jabatan yang terlibat dengan penganjuran program ini termasuk Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT), Yayasan Terengganu, Maidam serta UniSZA yang telah memberikan kerjasama yang baik.  "Melalui program khas ini, pelajar mendapat pendedahan awal dalam mempelajari ilmu berkenaan 'bahasa pasar' dan juga budaya Timur Tengah kerana perkara ini tidak diterapkan semasa pembelajaran di sekolah," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyempurnakan Majlis Penutup Kursus Intensif Khas Pelajar Terengganu Ke Timur Tengah Sesi 2023 di Dewan Dato' Seri Tuan Guru, DITC Kemaman, hari ini. Satiful berkata, kerajaan negeri amat komited dalam membantu anak Terengganu yang cemerlang meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. "Ini termasuk peruntukan sebanyak RM5 juta setahun yang kita peruntukkan kepada pelajar cemerlang melanjutkan pelajaran bermula tahun 2018. "Hasrat kita adalah untuk memastikan tiada pelajar cemerlang yang tidak dapat melanjutkan pelajaran disebabkan masalah kewangan," ujarnya.   
07 Sep 23
268
Ahmad Amzad Angkat Sumpah Ahli Dewan Rakyat
Ahmad Amzad Angkat Sumpah Ahli Dewan Rakyat
KUALA TERENGGANU, 6 September- Parlimen Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, Dato' Ahmad Amzad Hashim telah mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat bagi kawasan Parlimen Kuala Terengganu.  "Ahmad Amzad memenangi Pilihan Raya Kecil P.036 pada 12 Ogos lalu. "Upacara Mengangkat Sumpah dilafazkan di hadapan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dato' Johari Abdul bertempat di Kamar Khas, Blok Utama, Parlimen Malaysia, hari ini (5 September), " ujar kenyataan itu.  Dalam kenyataan tersebut, Johari turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas kejayaan Ahmad Amzad dan berharap agar beliau dapat melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi.
06 Sep 23
274
Dua Anak Jati Terengganu Cipta Nama di Qatar
Dua Anak Jati Terengganu Cipta Nama di Qatar
KUALA TERENGGANU, 5 September - Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin mengharumkan nama Malaysia khususnya Terengganu di Qatar sempena Kejohanan Debat Bahasa Arab Sekolah-Sekolah Antarabangsa yang berlangsung pada  2 hingga 4 September baru-baru ini. Dua pelajar sekolah tersebut membuktikan keupayaan mereka apabila Wan Amzar Izzuddin Wan Mohd Azlan  berjaya merangkul kejayaan sebagai Pendebat Terbaik Kategori Bukan Penutur Jati Bahasa Arab manakala rakannya, Abdul Muiz  Hasanulddin meraih tempat kedua terbaik dalam kategori yang sama. Kejayaan itu secara tidak langsung mengubat kesedihan pasukan Malaysia yang tidak berjaya melangkah ke peringkat akhir selepas tewas kepada pasukan Bahrain di pusingan ketiga. Menurut Wan Amzar, mereka berdua telah terpilih menganggotai pasukan debat Malaysia selepas berjaya menjuarai pertandingan debat bahasa Arab kebangsaan pada tahun lalu. Tambahnya, mereka telah menjalani latihan intensif yang dikendalikan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia bersama dua orang lagi murid dari Maahad Pontian Johor yang turut terpilih. Wan Amzar turut melahirkan rasa syukur atas kejayaan tersebut dan berkongsi terima kasih kepada kedua ibu-bapa, guru-guru, jurulatih-jurulatih dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kerajaan Negeri Terengganu, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu serta Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu. Sementara itu, Pengetua SMA(A)SZA , Engku Abdullah Engku Dalam Ahmad yang bersama dengan kedua pelajar tersebut turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menyumbang tenaga dan kewangan bagi menjayakan perjalanan mereka ke Qatar.  Dia juga berharap kejayaan itu menjadi motivasi kepada anak-anak Terengganu untuk terus cemerlang di peringkat antarabangsa. Dalam masa yang sama, Menteri Besar, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar melalui laman facebook rasminya mengucapkan ucapan tahniah dan penghargaan buat kedua-dua pelajar SMA(A)SZA yang meraih kejayaan sekali gus meletakkan nama Terengganu di persada dunia. "Syabas dah tahniah juga buat dua orang lagi ahli pasukan debat dari negeri Johor, para ibu bapa, guru-guru, jurulatih dan semua pihak di atas kejayaan yang membanggakan ini. "Kejayaan ini tidak akan berhasil tanpa sokongan dan dorongan semua pihak, Alhamdulillah,"ujar beliau.  
05 Sep 23
5612